Baca al-Quran di perkuburan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Beberapa hari lepas ana menerima persoalan dalam ruangan soal jawab di blog ini, berkenaan hukum atau letaknya asas amalan membaca al-Quran di perkuburan, adab ziarah kubur sebagaimana yang dianjurkan oleh Baginda SAW, amalan membaca al-Fatihah untuk si mati dan sebagainya yang berkaitan.

Kebetulan ana terjumpa artikel ini, maka ana fikirkan ianya juga sesuai dipanjangkan di sini agar para pengunjung atau mereka yang mengajukan pertanyaan berkenaan dapat sedikit info dan maklumat. Selamat membaca semoga ia menjadi titik tolak kepada perkembangan ilmu kita semua ke arah kematangan fikiran dalam beribadat kepada Allah dengan sebaik-baiknya.

MEMBACA AL-QURAN DI KUBUR TIDAK BID’AH
Oleh MUHAMMAD RAMZI OMAR

Dewasa ini umat Islam berada dalam persimpangan dan kekeliruan ekoran timbulnya dakwaan bahawa beberapa amalan yang mereka lakukan adalah satu kesalahan dan bidaah yang menyesatkan. Timbulnya dakwaan oleh pihak tertentu yang mengemukakan hujah dan bukti melalui kajian ilmiah dan akademik (seperti yang didakwakan) boleh menyebabkan kesan negatif di kalangan sesetengah masyarakat awam, iaitu merasa bersalah atas amalan yang selama ini dianggap baik, rupa-rupanya ia adalah sesat seperti yang didakwakan.

Jauh lebih buruk daripada itu, bibit-bibit sangkaan buruk kepada ahli-ahli agama mula menular. Tidak jauh kemungkinan timbulnya tanggapan bahawa selama ini sesetengah ahli agama menipu mereka dengan ajaran-ajaran palsu ekoran dakwaan yang ditimbulkan itu. Apatah lagi dakwaan itu pula ditimbulkan oleh kalangan cerdik pandai yang terbabit membuat penyelidikan dan pembacaan dalam bidang-bidang yang mereka perkatakan.

Salah satu daripada isu yang semakin kerap dibincangkan dewasa ini ialah hukum membaca al-Quran di atas kubur dengan dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Adakah amalan ini diharuskan atau sebaliknya? Benarkah jumhur ulama menghukumnya sebagai bidaah? Memang tidak dinafikan terdapat perbezaan pendapat tentang keharusan amalan ini, tetapi secara umumnya ramai di kalangan ulama yang berpendapat harus membaca al-Quran di atas kubur dengan tujuan menghadiahkan pahalanya kepada si mati, dan ia bukannya amalan yang bidaah serta amat tersasar untuk dikatakan sebagai sesat.

Salah seorang tokoh salafi yang terkenal iaitu Imam Ibn Taimiyah menyebutkan: “Sesiapa yang membaca al-Quran kerana mengharapkan ganjaran pahala dan menghadiahkannya kepada si mati, maka yang demikian itu ada manfaatnya.” (Majmu’ Fatawa, juzuk 24, hlm. 30). Tidak dinafikan bahawa dalam soal membaca al-Quran di kubur, Imam Ibn Taimiah berpandangan tentang larangannya, tetapi beliau tidaklah menghukum sebagai sesat atau mengatakan jumhur ulama menghukumnya sebagai bidaah. Ini kerana beliau turut menukilkan pertikaian pendapat di kalangan imam-imam mazhab antara yang mengharuskan dan yang tidak menyukainya (makruh). Walaupun begitu terdapat sesetengah buku semasa berbahasa Arab yang memerangi bidaah, mengharamkan membaca al-Quran untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati sama ada di kubur atau di tempat lain melebihi pandangan yang diutarakan oleh Ibn Taimiyah.

Berkata Ibn al-Qayyim dalam kitab ar-Roh: “Sebaik-baik yang dihadiahkan kepada mayat ialah sedekah dan istighfar, berdoa untuknya dan menunaikan haji bagi pihaknya. Manakala membaca al-Quran dan menghadiahkan pahala kepadanya secara sukarela tanpa dibayar upah, maka amalan ini (yakni pahalanya) sampai kepadanya (mayat) sebagaimana sampainya pahala puasa dan haji kepadanya.” Dalam tempat yang lain beliau (Ibn al-Qayyim) menyebutkan: “Yang lebih utama adalah berniat ketika melakukannya (membaca al-Quran) bahawa ia (pahalanya) adalah untuk si mati, dan tidaklah disyaratkan berlafaz dengan niat itu.” (Ar-Roh, Maktabah al-Mutanabbi. hlm. 143)

Ibn al-Qayyim melaporkan berita yang bersumber daripada ‘Ali bin Musa al-Haddad seorang yang benar (dipercayai), katanya: “Pernah aku bersama Ahmad bin Hanbal dan Muhammad bin Qudamah al-Jauhari mengiringi satu jenazah. Setelah mayat itu dikebumikan, maka duduklah seorang lelaki buta membaca al-Quran di sisi kubur. Lantas berkatalah Imam Ahmad: “Hai kamu, membaca al-Quran di sisi kubur adalah bidaah.” Maka tatkala kami keluar dari kawasan kubur, berkatalah Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad bin Hanbal: “Wahai Abdullah, apa pandangan tuan tentang Mubasysyir al-Halabi?” Jawabnya: “Dia seorang yang dipercayai.” Tanya Imam Ahmad: “Adakah anda menulis sesuatu daripadanya?” Kata Muhammad bin Qudamah: “Ya, Mubasysyir telah memberitahuku daripada Abdul Rahman bin al-‘Alla’ al-Lajlaj daripada bapanya yang berwasiat kepadanya apabila dia dikebumikan supaya dibaca di sisi kepalanya permulaan surah al-Baqarah dan penghujungnya, dan dia berkata: “Aku mendengar Ibn Umar berwasiat seperti yang demikian.” Lantas berkatalah Imam Ahmad: “Kembalilah kamu dan suruhlah lelaki itu membaca al-Quran.”

Ibn al-Qayyim menyebutkan lagi: “Berkata al-Hasan bin al-Sabah al-Za’farani: Aku bertanya al-Syafie tentang membaca al-Quran di sisi kubur, lalu dia menjawab: “Tidak mengapa.” (Ibid, hlm. 10-11). Sayugia diingatkan bahawa laporan oleh Ibn al-Qayyim ini bukan bertujuan menyanggahi amalan tersebut, malah beliau menyetujuinya.

Berdasarkan kenyataan ini dapatlah difahami pandangan imam al-Syafie bahawa pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati bukanlah bererti beliau mengatakannya sebagai salah atau haram seperti yang didakwakan sesetengah pihak. Apatah lagi fuqaha’ mutaakhir dalam mazhab al-Syafie seperti Imam an-Nawawi menyebutkan bahawa nas al-Syafie dan disepakati oleh para ashab (ulama al-Syafie) menyebutkan dimustahabkan (sunat) membaca al-Quran di sisi kubur. (Al-Majmu’ 5/286, Maktabah al-Irsyad, Jeddah).

Apabila Imam an-Nawawi menyebutkan hukum ini disepakati di kalangan ashab maka ia menunjukkan galakan membaca al-Quran di kubur itu adalah pendapat jumhur ulama dalam mazhab al-Syafie. Dan apabila beliau menyebutkan nas al-Syafie menyatakan demikian, maka ini menunjukkan bahawa beliau sendiri menemui sumber tersebut yang berasal daripada pandangan al-Syafie, apatah lagi beliau merupakan salah seorang ulama al-Syafie yang menjadi tonggak sandaran dalam menukilkan pandangan-pandangan dalam mazhab al-Syafie. Jika ada yang memberikan alasan bahawa Imam an-Nawawi menyebutkan dalam kitab yang lain bahawa pendapat yang masyhur dalam mazhab al-Syafie tidak sampai pahala al-Quran kepada si mati, maka secara langsung ini bererti pendapat yang azhar adalah sebaliknya, di mana masyhur dan azhar adalah istilah yang dipakai dalam fiqh mazhab al-Syafie dan azhar adalah pendapat yang dinilai lebih kuat.

Pada tempat yang lain dalam kitab yang sama beliau (Ibn Qayyim) menyebutkan: “Al-Khallal menyebutkan daripada al-Sya’bie, katanya: “Adalah orang-orang Ansar apabila berlaku kematian di kalangan mereka, maka mereka berulang alik ke kuburnya untuk membaca al-Quran di sisinya.” (Ar-Roh, Maktabah al-Mutanabbi hlm 143). Kenyataan ini dinukilkan oleh beliau (Ibn al-Qayyim) bukannya untuk membantah kesahihan berita tersebut, malah untuk menyokong pandangan tentang sampainya pahala al-Quran kepada si mati. Beliau juga menyebutkan bahawa pada mulanya Imam Ahmad mengingkari bacaan al-Quran di kubur kerana tidak sampai athar kepadanya, kemudian beliau menarik balik pandangannya itu. Yang pastinya kenyataan tersebut bukannya bertujuan untuk menghukum bidaah membaca al-Quran di atas kubur.

Sebaliknya. beliau menjadikan kenyataan ini untuk menguatkan pandangannya tentang sampainya pahala al-Quran jika dibaca dan dihadiahkan kepada si mati. Justeru dalam perengggan selepas kenyataan ini beliau menyebutkan lagi: “Jika dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah memberi petunjuk kepada mereka tentang (sampainya pahala) puasa, sedekah, dan haji, tetapi tidak memberitahu mereka tentang bacaan al-Quran, maka sebagai jawapannya dikatakan: “Bukannya Rasulullah s.a.w yang memulakan pemberitahuan itu kepada mereka, malah anjuran Baginda itu terbit sebagai memberikan jawapan kepada mereka. Orang ini bertanyakan kepada Nabi s.a.w tentang melakukan haji bagi pihak si mati, maka Baginda pun memberikan kebenaran kepadanya. Orang ini pula bertanya tentang berpuasa untuk si mati, maka Baginda pun memberikan kebenaran kepadanya. Orang ini pula bertanyakannya tentang bersedekah untuk si mati, maka Baginda pun memberikan kebenaran kepadanya, dan Baginda tidak pun melarang mereka selain daripada itu.” (Ibid, hlm. 143). Dengan kata lain Rasulullah menjawab apa yang mereka tanya, bukannya Rasulullah yang memulakan pemberitahuan hukum berpuasa bagi pihak si mati, bersedekah dan sebagainya adalah sekian sekian, dan selain daripada itu adalah sekian sekian.

Seterusnya beliau menyebutkan lagi: “Orang yang mengatakan tidak seorang pun daripada salaf yang melakukan demikian (membaca al-Quran di kubur) adalah orang yang bercakap apa yang tidak diketahuinya, kerana kenyataan ini menunjukkan dia menafikan apa yang dia tidak tahu. Mana dia tahu, entahkan para salaf melakukan demikian tetapi tidak menzahirkan kepada orang yang datang kepada mereka.” (Ibid)

Tidak dinafikan bahawa sebahagian daripada nukilan yang disebutkan ini telah dikoreksi oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani dalam kitabnya Ahkam al-Jana’iz wa Bida’uha. Kesimpulan daripada penilaian yang dibuat oleh Syeikh al-Albani ialah sama ada hadith atau athar yang dilaporkan oleh Ibn al-Qayyim itu tidak dikenali perawinya, atau mauquf setakat Ibn Umar dan lain-lain lagi justifikasi yang diberikan olehnya. Terserahlah kepada sesiapa yang hendak berpegang dengan pandangan Syeikh al-Albani. Namun sesuatu yang tidak diragui bahawa sebelum kemunculan Syeikh al-Albani umat Islam zaman berzaman telah berpegang dengan pandangan keharusan membaca al-Quran di kubur berdasarkan pandangan ulama-ulama mazhab seperti yang akan disebutkan nanti. Apakah dalam jarak masa yang sejauh itu selama ini umat Islam rupanya berada dalam kesesatan sehinggalah datang Syeikh al-Albani pada abad ini untuk memperbetulkan kesesatan itu? Bagaimana pula dengan para ulama yang sezaman dengan Syeikh al-Albani yang berpandangan sebaliknya. Lihat sahaja fatwa oleh Mufti Mesir Syeikh Ali Jum’ah yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pada 14/2/2006, fatwa bil 4294:

“Para ulama telah ijmak bahawa mustahab (sunat atau digalakkan) membaca al-Quran di atas kubur sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Syeikh al-Uthmani dalam kitab “Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A’immah”. Ungkapan kitab itu menyebukan: “Para ulama berijmak bahawa bacaan istighfar, doa, sedekah, haji dan pemerdekaan hamba (untuk si mati) dapat memanfaatkan si mati, dan pahalanya sampai kepadanya. Dan membaca al-Quran di sisi kubur adalah mustahab (sunat atau digalakkan).”

Tulisan ini bukan bermaksud mempertikaikan fatwa Syeikh al-Albani dalam hal tersebut. Tetapi apabila berlaku pertembungan antara fatwa yang menolak dengan yang mengharuskan maka apakah kita perlu berkeras untuk mengharam dan membidaahkan umat yang berpegang dengan fatwa yang sebaliknya? Apatah lagi fatwa Syeikh Ali Jum’ah adalah berautoriti kerana ia mewakili institusi fatwa secara resmi.Terserahlah pada sesiapa yang hendak berpegang dengan fatwa Syeikh al-Albani, tetapi jangan diheret umat ini kepada kancah kemelut yang membawa salah menyalah antara satu sama lain.

Seperkara lagi para ulama dahulu yang tidak mengharuskan bacaan al-Quran di sisi kubur, mereka hanya mengungkapkan dengan perkataan “saya tidak suka’, atau dimakruhkan, atau “tidak disyariatkan”, dan mereka tidak lancang lidah untuk mengatakan haram, bidaah, sesat dan yang seumpamanya. Syeikh al-Albani sendiri dalam fatwanya berkaitan hal ini tidak menyebut perkataan bidaah, haram, sesat dan sebagainya. Sebaliknya, beliau menyebutkan: “Adapun membaca al-Quran ketika ziarah kubur tidak ada asalnya dalam sunnah, malah hadis-hadis yang disebutkan dalam masalah yang lepas membayangkan ia tidak disyariatkan.” Saya gunakan perkataan “membayangkan” sebagai terjemahan daripada perkataan “tusy’iru” yang boleh diterjemahkan “seakan merasakan”, “seakan memberitahu” atau seumpamanya. Maknanya, beliau sendiri tidak menyebutkan hadis-hadis yang disebutkan menyatakan dengan pasti tidak disyariatkan membaca al-Quran di kubur.

Seperkara lagi bahawa hadiis-hadis yang dihukum sahih atau daif mahupun dihukum palsu oleh Syeikh al-Albani bukannya mutlak. Dengan kata lain ada kemungkinan penilaiannya betul atau sebaliknya. Begitu juga dengan penilaian oleh ulama-ulama lain yang tidak boleh dikatakan sebagai muktamad dan seratus peratus betul. Lihat apa yang dikatakan oleh Dr. Yusuf al-Qardawi berkaitan hal ini:

“Syeikh al-Albani pada pandangan saya adalah ulama hadith yang terkenal pada zaman kita khususnya dalam ilmu takhrij, tauthiq dan tad’if hadis. Di samping itu pandangannya bukanlah muktamad dalam semua hadith yang disahih dan dida’ifkannya. Ada kalanya dia disanggahi oleh ulama lain yang sezaman dengannya seperti Syeikh al-Allamah Habib al-Rahman al-A’zami, Syeikh Syua’ib al-Arna’ut, dan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah serta selainnya. Tidaklah pelik mereka itu menyanggahinya sebagaimana dia sendiri menyanggahi ulama-ulama besar sebelumnya dalam sesetengah hadis. Sebahagian mereka mengambil pendekatan yang tidak sama dengan pendekatannya dalam mentashih sebagaimana yang dilakukan oleh al-Allamah al-Syeikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah. Justeru, apabila Syeikh (al-Albani) menghukum da’if sesuatu hadith maka ia bukannya hujah yang muktamad dan keputusan pemisah. Malah saya (al-Qardawi) mengatakan: Syeikh al-Albani hafizahullah adakalanya menghukum da’if sesuatu hadis dalam sebuah kitab, dan dalam kitab yang lain diputuskannya sebagai sahih”. (Fatawa Mu’asarah 2/103).

Maka, sebagai lanjutan daripada itu, mari kita perhatikan pula apa yang dinyatakan oleh tokoh-tokoh ulama pelbagai mazhab berkaitan hal terbabit.

Al-Aini rahimahullah dari kalangan ulama Hanafi menyebutkan dalam kitab al-Binayah Syarh al-Hidayah (3/306, Dar al-Fikr): “Tidak mengapa membaca al-Quran di sisi kubur.” Dalam kitab Hasyiah Raddul Muhtar (2/246), Ibn Abidin rahimahullah menyebutkan: “Tidak dimakruhkan duduk di atas kubur untuk membaca al-Quran menurut pendapat yang dipilih.”

Dalam kitab Hasyiah al-Dusuqi ‘Ala al-Syarh al-Kabir (Fiqh mazhab Maliki) (1/423, Maktabah az-Zahran, Kaherah) menyebutkan: “Makruh membaca al-Quran selepasnya yakni selepas kematiannya, dan di atas kuburnya, kerana ia bukan dari amalan salaf, akan tetapi ulama mutaakhir berpandangan tidak mengapa membaca al-Quran dan zikir, dan dijadikan pahalanya untuk si mati. Si mati memperoleh pahalanya insya-Allah.”

Dalam kitab al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir li Ibn Qudamah (Fiqh mazhab Hanbali) menyebutkan: “Tidak mengapa membaca al-Quran di kubur. Telah diriwayatkan daripada Imam Ahmad bahawa beliau berkata: “Apabila kamu masuk ke kubur bacalah ayat al-Kursi dan tiga kali Qulhuallah (surah al-Ikhlas), kemudian katalah: “Ya Allah sesungguhnya kelebihannya untuk ahli kubur ini.” (2/426)

Para ulama al-Syafie seperti Imam an-Nawawi rahimahullah menyebutkan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (5/286, Maktabah al-Irsyad, Jeddah) dengan katanya: “Dimustahabkan (sunat) membaca sebahagian daripada al-Quran apa yang termudah -yakni di sisi kubur- dan berdoa supaya dijadikan pahalanya untuk mereka (penghuni kubur) selepas membacanya. Hukum ini dinaskan oleh al-Syafie dan disepakati oleh ashab (para ulama al-Syafie).” Jika ada yang mengatakan imam al-Syafie berpandangan tidak sampai pahala membaca al-Quran kepada si mati, maka sebagai orang kebanyakan ini cukuplah bagi kita meletakkan kepercayaan kepada Imam an-Nawawi bahawa kenyataan oleh beliau menunjukkan beliau sendiri menemui teks imam al-Syafie tersebut. Sementara teks yang dijadikan hujah oleh sesetengah pihak konon imam al-Syafie melarang berbuat demikian, sebenarnya adalah berpunca daripada kekeliruan memahaminya seperti yang dihuraikan oleh para ulama dalam mazhabnya.

Yang menjadi pokok persoalan sehingga menimbulkan permasalahan ini ialah apabila ada pihak yang mahu supaya apa yang diamalkan itu benar-benar 100% menunjukkan Nabi s.a.w berbuat demikian. Mereka tidak menerima jika amalan itu berdasarkan hukum yang diistinbatkan oleh para ulama tertentu berdasarkan kefahaman terhadap nas syarak yang pelbagai serta teknik mengistinbatkan hukum seperti yang digariskan dalam ilmu Usul Fiqh. Lantaran itu oleh kerana tidak sabit bahawa Nabi s.a.w berbuat demikian, maka perkara itu dianggap sebagai bidaah. Lebih memilukan lagi, umat ini disesatkan dengan alasan semua yang bidaah itu sebagai sesat berdasarkan kefahaman mereka terhadap hadith Nabi s.a.w yang bermaksud: “setiap yang bid’ah adalah sesat”, tanpa mengambil kira di kalangan ulama yang lain juga mempunyai kefahaman tersendiri, dan mereka (ulama) sedikit pun tidak alpa dan mengabaikan peringatan dalam hadith ini. Kalau kita hendak menentukan sesuatu hukum hanya boleh dilakukan dengan berdasarkan 100% perbuatan Nabi s.a.w, maka kita juga perlu meletakkan hukum larangan berbuat demikian berdasarkan 100% Nabi s.a.w melarang berbuat demikian.

Maka, dalam hal membaca al-Quran di atas kubur jika tidak ditemui dengan jelas dan terang bahawa Nabi s.a.w berbuat demikian, maka apakah ditemui dengan jelas dan terang (tanpa perlu ditakwil dan dihuraikan) bahawa Nabi s.a.w melarang berbuat demikian? Sebagai contoh, mengemukakan hadith: “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah. (Riwayat Muslim, Tarmizi, dan Ahmad)”, untuk membuktikan bahawa kubur bukan tempat membaca al-Quran adalah dalil yang tidak terang, kerana ia merupakan kefahaman sesetengah ulama seperti Syeikh al-Albani.

Tentunya kita menghormati pandangan beliau. Pada masa yang sama di kalangan ulama yang lain memahami hadith itu dengan kefahaman yang lain, iaitu orang yang berada dalam rumah yang tidak dibacakan al-Quran bagaikan orang mati yang berada dalam kubur. Ini kerana rumah adalah tempat kediaman orang hidup, dan kubur adalah tempat orang mati. Maka, hadis tersebut (menurut kefahaman ini) menyifatkan orang yang tidak membaca al-Quran di dalam rumahnya bagaikan orang mati yang tidak ada kebaikan lagi untuk dilakukan. Kefahaman ini disokong dengan hadith riwayat Muslim yang bermaksud: “Bandingan rumah yang disebutkan Allah di dalamnya dengan rumah yang tidak disebutkan Allah di dalamnya seperti bandingan orang yang hidup dengan orang yang mati”. Kedua-dua kefahaman ini ada kemungkinan betul dan salah, tetapi apabila kita mendakwa kefahaman yang pertama menunjukkan nas yang sahih menafikan keharusan membaca al-Quran di atas kubur maka ia masih boleh dipertikaikan.

Renunglah maksud firman Allah: “dan apa jua yang dibawa datang oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu maka terimalah, dan apa jua yang kamu dilarang olehnya maka patuhilah larangannya” (Surah al-Hasyr, ayat 7). Dalam hal beramal dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w maka Allah perintahkan kita mengambilnya dengan menggunakan perkataan “apa yang dibawa datang”, sedangkan dalam hal mengharam atau melarang sesuatu maka Allah sebutkan dengan perkataan “apa yang kamu dilarang”, padahal lawan kepada perkataan apa yang dibawa datang ialah apa yang tidak dibawa datang, atau apa yang ditinggalkan, atau apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Allah tidak menyebutkan “tinggallah apa yang tidak dilakukan atau tidak dibawa datang oleh Rasulullah, sebaliknya Allah menyebutkan “tinggallah apa yang dilarang…”.

Berdasarkan ini al-Allamah al-Muhaddith Abdullah Siddiq al-Ghumari menyebutkan satu kaedah Usul, iaitu “meninggalkan sesuatu bukan bererti mengharamkannya” (Itqan as-Sun’ah fi Tahqiq Ma’na al-Bid’ah, hlm 9, Maktabah al-Kaherah). Kaedah usul ini bagi menetapkan bahawa apabila Rasulullah s.a.w meninggalkan daripada melakukan sesuatu atau tidak sabit adanya perbuatan Nabi s.a.w, maka tidaklah semestinya perkara itu haram dilakukan. Jangan pula kita tersasar dengan kenyataan ini bahawa semua yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w adalah boleh belaka. Apa yang hendak disampaikan ialah bukan semua yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w dilarang, tetapi apa yang dilarang oleh baginda dengan terang, jelaslah larangannya. Untuk mengenal pasti hal-hal yang tidak dilakukan atau dilarang secara terang dan nyata oleh Rasulullah s.a.w maka para ulama adalah sandaran kita kerana mereka lebih mengetahui tentang bidang pengkhususan mereka. Jadi kalau di kalangan ulama berbeza pendapat antara memboleh dan menidakkan sesuatu perkara, maka secara langsung yang mengikuti ulama juga akan berbeza pendapat. Selagi perbezaan pendapat itu diraikan dengan harmoni sebagaimana para ulama dahulu meraikannya maka tidaklah timbul soal sesat dan menyesatkan sesuatu amalan selagi ia masih dalam ruang lingkup perbezaan di kalangan ulama yang dikenali sebagai masalah khilafiyah.

Antara dalil yang dikemukakan oleh ulama berkaitan masalah ini ialah hadith berkaitan dua orang yang diseksa di dalam kubur, yang mana salah seorangnya diseksa kerana tidak membersihkan kencingnya. Dalam hadis terbabit menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w memacak pelepah tamar di atas kubur itu dan bersabda (yang kira-kira maksudnya): “Mudah-mudahan ia dapat meringankan kepada mereka berdua selagi mana ia tidak kering” (maksud hadis riwayat al-Bukhari). Berkata Imam an-Nawawi dalam kitab Syarh Muslim (3/260): “Para ulama memandang sunat hukumnya membaca al-Quran di sisi kubur berdasarkan hadis ini, kerana jika dapat diharapkan keringanan dengan tasbih oleh pelepah tamar, maka lebih utama lagi membaca al-Quran.” Jika ada yang berpendapat bahawa hadith ini khusus untuk menunjukkan keberkatan Nabi s.a.w berdasarkan sesetengah pendapat yang menyatakan demikian, maka silalah berpegang dengan pendapat itu, tetapi jangan sampai menyalahkan pendapat yang lain.

Kita sedia berlapang dada kepada sesiapa jua yang tidak mahu membaca al-Quran di kubur, bertalqin, bertahlil dan sebagainya. Siapa mahu dia boleh buat, dan siapa mahu dia boleh meninggalkannya, tetapi tidak sepatutnya sampai membawa kepada pencelaan dan penuduhan sesat yang amat berat untuk ditanggung oleh umat ini.

At-Tabarani meriwayatkan dalam al-Mu’jam al-Kabir (19/220, Maktabah Ibn Taimiah, Kaherah) daripada hadis Abdul-Rahman bin al-‘Ala’ bin al-Lajlaj, katanya: Bapaku berkata kepadaku: “Duhai anakku, bila aku mati nanti, galilah liang untukku. Apabila engkau letakkan aku dalam liang lahadku, maka bacalah: Bismillah wa ‘ala millati Rasulillah s.a.w (dengan nama Allah dan di atas agama Rasulullah s.a.w), kemudian timbuskan tanah ke atasku, kemudian bacalah di sisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penamatnya, kerana aku mendengar Rasulullah s.a.w menyebutkan demikian”. Berkata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (3/44, Dar al-Kitab al-‘Arabi): “Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam kitab Mu’jam al-Kabir, dan rijalnya (senarai perawinya) dipercayai.” Imam an-Nawawi rahimahullah menyebutkan dalam kitab al-Azkar (hlm 219, Dar al-Rayyan li al-Turath): “Berkata al-Syafie dan para ashab: “Disunatkan membaca al-Quran di sisinya (kubur) sesuatu daripada al-Quran. Mereka (ashab) mengatakan: Jika mereka mengkhatamkan al-Quran semuanya, maka itu adalah baik. Dan telah diriwayatkan kepada kami (seperti) dalam Sunan al-Baihaqi dengan sanad yang hasan bahawa Ibn Umar menggalakkan dibaca di atas kubur setelah pengkebumian permulaan surah al-Baqarah dan penghujungnya.”

Dr. Wahbah az-Zuhaili menyebutkan dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu tentang pandangan ulama pelbagai mazhab hukum berkaitan membaca al-Quran untuk si mati. Beliau menyebutkan:

“Ulama berbeza pendapat tentang sampainya pahala ibadat badani semata-mata seperti solat dan bacaan al-Quran kepada orang yang tidak melakukannya. Ada dua pendapat dalam hal ini: Pandangan ulama Hanafi dan Hanbali serta ulama mutaakhir dalam kalangan mazhab al-Syafie dan Maliki mengatakan pahala al-Quran sampai kepada si mati jika dibaca di di sisinya, atau didoakan supaya disampaikan pahala itu selepas membaca al-Quran, walaupun mayat itu ghaib (jauh dari pembacanya). Ini kerana tempat al-Quran dibaca akan turun rahmat dan keberkatan, dan berdoa selepasnya lebih diharapkan untuk diterima.

Golongan terdahulu dari kalangan Maliki dan pendapat yang masyhur dari kalangan ulama al-Syafie yang terdahulu mengatakan tidak sampai pahala ibadat mutlak (yakni tidak berkaitan dengan harta) kepada bukan si pelakunya.

Berkata ulama Hanafi: Menurut pendapat yang dipilih tidak makruh mendudukkan beberapa orang pembaca al-Quran untuk membacanya di sisi kubur. Mereka menyebutkan dalam bab mengerjakan haji bagi pihak orang lain: Manusia berhak untuk menjadikan pahala amalannya untuk orang lain, sama ada amalan itu berupa solat atau puasa atau sedekah atau selainnya, sedangkan yang demikian itu tidak mengurangi sedikitpun pahalanya.

Berkata ulama Hanbali: Tidak mengapa membaca al-Quran di sisi kubur berdasarkan hadith (yang bermaksud): “Sesiapa yang masuk ke perkuburan lalu membaca surah Yasin, maka diringankan daripada mereka (penghuni kubur) pada hari itu, dan dia memperolehi kebaikan sebanyak bilangan mereka yang ada di situ (kubur).” Mereka juga menyebutkan hadith: “Sesiapa yang menziarahi kubur kedua-dua ibu bapanya, lalu membaca al-Quran di sisinya atau membaca Yasin di sisi kedua-duanya, maka diampunkan untuknya.” Di bahagian nota kaki, beliau (Dr. Wahbah az-Zuhaili) menyatakan kedua-dua hadith ini adalah da’if dan hadith yang pertama lebih da’if daripada yang kedua seperti yang diisyaratkan oleh as-Suyuti dalam kitab al-Jami’.

Golongan mutaakhir dari kalangan ulama al-Syafie mentahkikkan bahawa pahala membaca al-Quran sampai kepada si mati, seperti membaca al-Fatihah dan selainnya, dan berdasarkan pandangan inilah menjadi amalan yang dilakukan oleh orang ramai. Apa yang dipandang baik oleh orang Islam maka ia adalah baik di sisi Allah. Apabila ternyata bahawa membaca al-Fatihah memberikan manfaat kepada orang hidup yang disengat binatang dan diperakui oleh Nabi s.a.w melalui sabdanya: “Bagaimana engkau tahu bahawa ia (al-Fatihah) boleh dijadikan jampi?, maka kemanfaatannya kepada mayat adalah lebih utama.” (selesai nukilan al-Fiqh al-Islami 2/1579).

Kemungkinan hadis yang disebutkan oleh ulama Hanbali ini disenaraikan sebagai hadis palsu oleh sesetengah pihak, walaupun Dr. Wahbah az-Zuhaili menukillkannya sebagai hadis daif. Moga dilindungi Allah daripada kita melabelkan ulama Hanbali sebagai tidak bertanggunjawab kerana menyebarkan hadith ini. Sama ada hadis tersebut palsu atau daif tidaklah menjejaskan pandangan para ulama yang berpandangan membaca al-Quran di kubur bukannya bidaah kerana bukan hadis terbabit yang menjadi tonggak pendalilan semua ulama yang mengharuskannya. Ekoran perbincangan di atas timbul satu kemusykilan, jumhur ulama yang manakah menghukum bidaah membaca al-Quran di atas kubur? Jika dikatakan segelintir ulama berpandangan demikian tentulah tidak disangsikan.

Saya tidak mengharapkan daripada tulisan ini agar pembaca mengambil ketetapan bahawa apa yang dikemukakan adalah pandangan yang tidak boleh dipertikaikan. Cuma, apabila dikemukakan perbincangan di atas, harapan untuk orang awam janganlah sampai anda menyalahkan ahli agama atau ustaz-ustaz yang dianggap tidak pakar kerana mengajarkan kepada anda ajaran yang selama ini kononnya bidaah (seperti yang didakwakan). Berbaik sangkalah bahawa mereka yang diamanahkan menyampaikan ilmu berusaha menyampaikan sekadar yang terdaya olehnya, dan jauh sekali mereka berniat menyebarkan bidaah sama ada secara sedar atau tidak. Bagi mereka yang pakar, mudah-mudahan kepakaran itu dapat dimanfaatkan untuk umat sejagat

sumber: Sila klik untuk membaca artikel pada lamannya yang asal

RESPON ANA:

1. Ana juga tidak setuju dengan penulis yang terus menghukum bacaan al-quran di kubur itu tidak bid’ah (tajuk artikel) sebagaimana beliau sendiri telah menegaskan dalam artikelnya itu, agar kita tidak meletakkan hukum berdasarkan kefahaman sendiri. Sehingga betul-betul merujuk kepada nas larangan atau suruhan amalan berkenaan daripada sumber al-Quran dan hadis.

2. Pada pendapat ana, sepatutnya bukan persoalan hukum yang dipersoalkan tetapi suruhan al-Quran yang menggesa umatnya berpusu-pusu dan berlumba-lumba melakukan kebaikan. Sila rujuk firman-firman Allah (surah al-Baqarah:148, ali Imran:114, al-Maidah:48 dan al-Mu’minun:61). Kecualilah sekiranya amalan tersebut telah jelas wajib seperti mengenakan pakaian menutup aurat atau nyata haram seperti meratapi ke atas jenazah dan sebagainya. Sekiranya ia adalah permasalahan khilaf (perbezaan pendapat antara ulama dalam mengeluarkan pendapat dan hukum) maka ia sepatutnya kembali kepada kaedah asal seperti anjuran al-Quran menerusi ayat di atas yang menggesa umatnya berlumba-lumba melakukan kebaikan. Sebaliknya memberi hukum seperti tidak bid’ah, bid’ah, haram, sunat dan sebagainya itu tidaklah tepat.

3. Kita yang hidup di akhir zaman ini, yang diasuh dengan pendidikan berasaskan paksi orang bukan Islam (ada subjek major, jurusan, Master, PhD dll) yang bertujuan menghalakan pemikiran kepada satu-satu perkara dan tidak menjuruskan ilmu kepada yang sepatutnya seperti pegangan ulama Islam di zaman Silam yang mula menguasai ilmu al-Quran, kemudian sunnah, bahasa Arab dan seterusnya kepada cabang-cabang ilmu berasaskan kajian al-Quran dan sumber-sumber alam sehingga kepada kajian bulan dan bintang; tidak seharusnya berasa kaya maklumat sehingga mampu memfitnah amalan-amalan yang diasaskan oleh alim ulama Islam yang ikhlas menuntut dan mengajarkan ilmunya. Keberkatan ilmu mereka tidak seperti ahli ilmu hari ini yang bermatlamat keduniaan di samping mempelajari dan mengajar kembali ilmu-ilmu.

Wallahu aklam.

About these ads

Satu Komen (+add yours?)

  1. aisyah
    Jan 23, 2011 @ 19:36:56

    adakah kita perlu menkhatam al-quran

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: