Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Alhamdulillah, setelah empat hari menunggu iaitu sejak mak dan ayah bertolak ke tanah suci awal pagi Ahad lepas, akhirnya tengah hari ini kami sekeluarga mendapat khabar dari mak dan ayah yang kini telah selamat tiba di bumi barakah, Makkah al-Mukarramah. Suara mak dalam telifon masih sama menandakan beliau sihat walafiat. Begitu juga ayah, sihat katanya. Syukur alhamdulillah.
Khabarnya mak dan ayah telah selesai menunaikan ibadah umrah, alhamdulillah. Kini mereka berdua boleh mengenakan pakaian biasa setelah bertahallul dari ihram umrah berkenaan. Mak dan ayah memilih untuk melakukan haji tamatu’, kini mereka berdua menjalani kehidupan biasa di sana dan menunggu saat tibanya 8 zulhijjah untuk memulakan manasik ibadah haji pula. InsyaAllah.
Berita ini juga dipanjangkan kepada semua ahli keluarga, adik ana di Subang, sanak saudara, relatif dan juga termasuklah ahli-ahli jemaah masjid kampung ana yang selalu bertanyakan khabar berita mak dan ayah di sana. Terima kasih semua atas perhatian dan ambil berat. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.
Semoga mak dan ayah di sana kekal sihat, bertenaga dan berada dibawah payung rahmat Allah sentiasa serta diberikan kekuatan dan kemudahan dalam menjalani ibadah di bumi barakah sana. InsyaAllah. Kami di tanah air ini sentiasa mendoakan yang terbaik buat mak dan ayah berdua serta seluruh jemaah haji sama ada dari negara kita ataupun dari mana-mana mereka datang bertamu ke sana. Semoga mendapat haji yang mabrur. Amien.
Sekian, harap maklum dan wassalam warahmatullah..









