Ekspo Inovasi Pendidikan (EIP) 2011

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Syukur alhamdulillah dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpahan kurnianya, ana bersama dua lagi sahabat dari JAPIM (Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan) berpeluang menyertai Pertandingan Inovasi sempena Ekspo Inovasi dan Penyelidikan (EIP 2011) yang bertempat di Dewan Bendahara, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut Terengganu pada hari ini.

Lagi

Lahirnya artikel akademik pertamaku

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah thumma alhamdulillah. Setinggi kesyukuran ku panjatkan ke hadrat Allah SWT atas kelahiran artikel akademikku yang pertama di persada dunia akademik yang sangat luas itu. Sila klik link ini untuk membaca dan/atau download artikel yang dimaksudkan. Terima kasih kepada pihak GEMA Online Jurnal yang berpangkalan di UKM atas kesudian pihak tuan menunjuk ajar, mengelola dan menguruskan hal-hal berkaitan artikel ini. Terutama atas kesudiaan menerimanya.

Lagi

Kursus KSSR (Bahasa Arab) Zon B

Lagi

Nahu al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Setelah sebulan lebih berusaha menyiapkan pembetulan disertasi selapas tamat viva tempohari, maka hari ini, dengan rahmat dan inayah Allah SWT jua, karya kecil dalam dunia akademik yang besar itu selamat diserahkan kepada pihak PPS, UKM. Ada rezeki, dapatlah konvo akhir tahun ni kot. InsyaAllah.

Lagi

Kolokium FPI UKM 2009

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT yang mengizinkan ana sampai ke UKM bagi membentangkan sedikit daripada dapatan tesis yang diusahakan itu. Ana dan beberapa rakan menyahut seruan dan mengambil peluang yang terbuka pada program Kolokium Siswazah Pengajian Islam Islam, UKM untuk tahun ini. Segala pengalaman adalah seumpama penghargaan kepada sedikit usaha yang dikerah dan dicurahkan dalam dunia akademik yang amat luas lagi dalam.

Seingat ana, ini adalah kali kedua membentangkan hasil kerja akademik di hadapan khalayak. Alhamdulillah, pengalaman pertama membentangkan latihan ilmiyah (masyruk takharruj) di Universiti Al al-Bayt dulu sedikit sebanyak membantu mengurangkan stress, walaupun kegugupan dan perasaan kekurangan menyelubungi diri. Ramai juga yang hadir memberi sokongan hari ini seperti di al-Bayt dulu juga kerana waktu itu ana adalah orang melayu ke-13 viva LI untuk batch pertama itu. Mereka datang menyokong di samping mengambil sedikit sebanyak pengalaman bagi menghadapi hari viva mereka pula nanti.

Lagi

Sifat Nabi terpuji: Ummiyy

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu ala manittaba’a al-huda

Ana agak terkejut mendengar satu sesi tazkirah Ramadhan yang diterbitkan dalam salah sebuah radio tempatan. Pentazkirah berkenaan melahirkan rasa terkilan kerana ada golongan para ahli agama (Islam) di negara ini yang menasabkan sifat ummiyy kepada Nabi Muhammad SAW dan diterjemahkan sebagai Nabi itu tidak tahu menulis dan tidak tahu membaca. Katanya tuduhan itu adalah melampau dan tidak realistik kepada seorang yang sangat sempurna kejadiaanya samentelah dia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Rasulullah!

Bagi ana, kenyataan si pentazkirah ini telah menunjukkan sifatnya yang tidak suka mengkaji, sebaliknya hanya suka membuat tafsiran perkara agama mengikut logik akal fikirannya sendiri tanpa merujuk kepada fakta-fakta atau huraian yang dilakukan oleh para ulama muktabar. Sayanglah kalau kita tidak merujuk fakta sahih kerana ia berkemungkinan menyerlahkan penguasaan ilmu agama kita yang sangat tohor.

Lagi

Proposal oh proposal

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT. Melalui perbualan telifon dengan pegawai yang berkenaan di Jabatan Arab dan Tamadun Islam (JATI) UKM, beliau memaklumkan bahawa proposal tesis ana telahpun mendapat kelulusan pihak jabatan untuk kajian penyelidikan. Ana rasa syukur sangat dan tak sabar untuk memulakan kajian. Harap perasaan yang berkobar-kobar ini akan berterusan sehingga ke saat kelahiran sebuah tesis tersebut dengan jayanya.

Dewasa ini, tidak ramai pelajar di peringkat sarjana atau PhD sekalipun yang berminat melakukan kajian membawa nama al-Quran. Mereka lebih suka dan diterujakan dengan kajian-kajian yang berbentuk lapangan. Kononnya itu lebih realiti ke arah penyelesaian masalah. Bagi ana, biarlah apa pun orang nak kata, kajian yang meletakkan asasnya adalah al-Quran itu lebih penting dan hasilnya kelak lebih manis dan menambah iman sebagaimana kata Syed Qutb “Hidup di bawah naungan al-Quran itu nikmat, suatu nikmat yang tidak akan dirasai kecuali oleh mereka yang pernah merasainya”

Menyahut cabaran tersebutlah maka ana memilih tajuk tesis: Penggunaan Shāhid al-Qurān Dalam Kitab Sharh Ibn cAqīl dan Sharh Qatr al-Nadā Wa Ball Al-Sadā : Bab Marfucāt Satu Kajian Perbandingan sebagai tajuk kajian ana. Semoga Allah mempermudahkannya bagi ana. Seterusnya menjadikan impian dan matlamat ana melakukan kajian ini suatu kenyataan yang akan menyerlahkan fakta bahawa kajian yang berasaskan al-Quran itu wajar mendapat prioriti utama terutama sarjana Islam yang mengkaji ilmu bahasa Arab.

Terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan ana. Walaupun perjalanan ana di dalam pengajian ini masih terlalu panjang, tetapi langkah pertama ini perlu jua disyukuri. Allah telah berfirman, sekiranya kamu syukur, nescaya aku tambahkan lagi nikmat kepadamu. Itulah harapan ana semoga nikmat-nikmat dalam perjalanan menyiapkan tesis ini dan seterusnya mendapat kelulusan daripada pengajian ini akan dipermudahkan oleh Allah SWT. Tuhan yang Maha Pemurah, Maha Mengetahui dan Maha Pengasih lagi Penyayang itu.

Teruskan mendoakan kejayaan kita semua. In Sya Allah.. wassalam

p/s: berkat doa rakan-rakan dan restu ikhlas orang tua, hr ni ana dpt result sem baru ni yang agak cemerlang walaupun ramai yg tohmah ana bukan budak library, kerana asyik ulang alik jaga orang tua. syukur sangat.

Bahasa ahli syurga

Bismillahirrahmanirrahim

Tidak ada nas yang benar-benar sahih menyatakan bahawa bahasa Arab adalah bahasa yang digunakan oleh ahli syurga. Tiada nas al-Quran ataupun hadith yang mutawatir. Yang ada hanyalah sebuah hadith masyhur (tetapi sangat diragui kesahihannya) daripada Rasulullah SAW bermaksud “Kasihilah Arab kerana tiga; kerana aku adalah Arab, al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab dan bahasa ahli syurga adalah bahasa Arab“. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tabraniy, dan al-Baihaqiy di dalam bab ‘cabang iman’. Sanad terakhir dikatakan berakhir kepada Ibn Abbas ra. Sanad yang lain pula berakhir kepada Abu Hurairah ra.

Ibn al-Jauziy menyatakan bahawa ia adalah hadith maudhu’ (ciptaan manusia kemudian disandarkan kepada Rasulullah SAW). Pendapat ini disokong oleh al-Zahabiy dan juga al-Albaniy. (silsalah al-dhaifah: no. 160). Al-thaalubiy menegaskan bahawa ia adalah hadith yang tidak ada asal usulnya (daripada Rasulullah SAW). Pendapat ini disokong pula oleh pakar hadith Ibn Hibban (Iqtidha al-Sirat al-Mustaqim 1/158).

Kesimpulannya, memang tidak ada nas betul-betul sahih yang menyatakan bahasa ahli syurga adalah bahasa Arab. Oleh yang demikian, tidak sepatutnya pelbagai pihak menggembar-gemburkan hadith masyhur tersebut sebaliknya serahlah perkara ini kepada Allah. Persoalan ini pernah ditanyakan kepada syikeh Islam Ibn Taimiyyah, lalu beliau menjawab bahawa semua yang berkaitan dengan isu ini (bahasa arab bahasa ahli syurga) adalah tidak berasas. Tidak ada satu hujjah (dalil) yang benar-benar menyakinkan.

Wallahu aklam.

Kajian al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim

Boleh dikatakan (mengikut pendapat dan bacaan ana yang mungkin amat terhad lagi) kajian-kajian ilmu bahasa Arab yang disandarkan kepada al-Quran amat kurang di Malaysia. Susah nak dapat buku yang bercakap tentang bahasa Arab dan al-Quran. Kebanyakkan kajian dilakukan secara berasingan. Kalau bahasa Arab, maka sudah tentu ia akan jauh daripada al-Quran. Kata sesetengah orang, bahasa Arab ini bukan bahasa Al-Quran, di sana perbezaan yang sangat jelas di antara keduanya. Tegas mereka.

Bagi ana, kalau kita kembali kepada antara asbab (sebab-sebab) asal kewujudan nahu bahasa Arab sekalipun, ia bertujuan agar orang tidak salah baca al-Quran yang akan membawa kepada sesat dan lari jauh daripada maksud al-Quran sebenar. Kebanyakan sarjana yang mengkaji asal usul ilmu nahu tidak menafikan fakta ini.

Bertitik tolak daripada asas inilah (mengembalikan kajian ilmu bahasa Arab dekat dengan al-Quran) maka ana ingin melakukan kajian bahasa Arab berasaskan al-Quran. Kata guru ana (di Jordan dulu) kaji al-Quran sekurang-kurangnya kamu dah confirm dapat pahala. Tak akan lari jauh kepada unsur-unsur yang sangat duniawi yang kadang-kadang tidak berpijak di bumi nyata.

Akhirnya, ana tertarik juga dengan kata-kata Sayyid Qutb “Kehidupan di bawah naugan al-Quran itu suatu nikmat, yang tidak akan dirasai kecuali oleh orang-orang yang (pernah) merasainya”. Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah dalam kerja-kerja ana nanti. InsyaAllah. Wa ana muhtajun li duaikum ajmain..

Wallahu aklam.

Doa bahasa Arab

Bismillahirrahmanirrahim

Sebagai orang mukmin, kita sangat digalakkan agar berdoa. Nabi SAW berpesan yang bermaksud: Senjata orang mukmin adalah doa. Sebaik-baik doa adalah yang diucapkan dengan ikhlas. Sekiranya mampu hendaklah pula dengan menggunakan bahasa Arab kerana kemuliaan bahasa itu. Bahasa Arab adalah bahasa yang dituturkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Bahasa Arab juga bahasa Ahli syurga.

Apabila berdoa menggunakan bahasa Arab, hendaklah seboleh-bolehnya mengetahui asas-asas bahasa itu. Tidak boleh ikut suka hati sahaja. Satu keistimewaan bahasa Arab adalah, kalau pendengarnya adalah seorang yang sangat peka tentang bahasa itu, ia boleh mendatangkan ketidaksenangan di hati apabila mereka mendengar suatu kesalahan. Semacam ada gangguan apabila mendengar bahasa Arab yang disebut secara membuta tuli dan secara sambil lewa sahaja.

Kalau ia (bahasa Arab) dikaitkan dengan al-Quran, maka lebih dahsyat. Sebab itulah sebelum membaca al-Quran seseorang perlu belajar tajwid. Kalau anda perhatikan, guru al-Quran sangat sensitif (garang dan marah) apabila mendengar muridnya tidak lancar atau tidak fasih membaca al-Quran. Setiap sebutan ayat-ayat al-Quran mesti dituturkan sebetulnya. Kalau boleh sefasih sebutan Arab.

Hal ini kerana, kesilapan dalam menggunakan bahasa Arab boleh mengubah maksud ayat al-Quran atau maknanya. Samada kesilapan pada baris, panjang pendek (mad) apatah lagi kesilapan makhraj (tempat atau cara sebutan) huruf. Kesilapan-kesilapan ini hanya boleh diperbetulkan dengan cara belajar. Bukan semata-mata dengar kemudian mengikuti (taklid).

Doa dua ibubapa
Di sini cuba diperturunkan sedikit panduan sekiranya anda ingin berdoa untuk keampunan dan kesejahteraan kedua ibu bapa.

1. Berdoa seorang diri

Maksudnya: Ya Allah, ampunilah segala dosaku, dan (dosa) kedua ibubapaku, dan rahmatilah keduanya sepertimana mereka mendidikku pada waktu kecil.

2. Anda menjadi imam bagi adik beradik anda (seibu sebapa) sahaja

Maksudnya: Ya Allah, ampunilah segala dosa kami (adik beradik), dan (dosa) kedua ibubapa kami, dan rahmatilah keduanya sepertimana keduanya mendidik kami pada waktu kecil.

3. Anda menjadi imam orang lain.
Termasuklah kalau anda mengimami solat bersama keluarga sendiri yang terdiri daripada anda, isteri dan anak-anak anda. Apatah lagi kalau anda adalah imam di masjid atau di khalayak ramai.


Maksudnya: Ya Allah, ampunilah segala dosa kami (semua), dan (dosa) kedua ibubapa-ibubapa kami, dan rahmatilah kedua-dua mereka sepertimana mereka mendidik kami pada waktu kecil.

Sekiranya anda perhatikan maksud doa dalam kedua-dua situasi terakhir itu nampak macam sama sahaja. Tetapi sebutannya dalam bahasa Arab cukup berbeza. Perkataan walidaina memberi maksud dua orang ibu bapa kami. Ibu bapa yang dimaksudkan adalah orang yang sama kerana mereka berdua juga ibu dan bapa adik beradik anda. Cuma perkataan walidina bermaksud kedua ibubapa-ibubapa kami kerana kedua ibu bapa anda bukannya kedua ibu bapa isteri dan anak-anak anda. Begitu juga mereka bukannya kedua ibu bapa semua makmum anda. Jadi sejumlah ibubapa-ibubapa itulah yang membezakannya.

Ikut perkataan al-Quran
Ada pendapat mengatakan doa ibubapa ini dipetik daripada ayat al-Quran (surah al-Isra’ ayat 24). Maka ikut sahajalah perkataan al-Quran. Itu bagus dan tepat sekali. Cuma kalau ikut perkataan al-Quran kita tak boleh ubah ayatnya. Mesti naqal (nukil) satu persatu. Maka anda perlu memetik potongan keseluruhan ayat tersebut iaitu:

Cuma sekiranya anda perhatikan lagi, dalam ayat berkenaan tidak ada perkataan “ampunkan dosa”. Maka anda tidak perlu menambah perkataan “ighfir zunub”. Ayat al-Quran tidak boleh disebut secara sesuka hati, ditambah dibuang di mana suka sahaja. Pelajarilah bahasa Arab. Jangan sakiti telinga mereka yang tahu sedikit sebanyak tentang bahasa Arab (apatah lagi mereka yang mahir seperti guru-guru al-Quran) apabila mendengar doa-doa dibacakan.

Sekian, wallahu aklam.

Penggunaan al-Quran dalam kaedah mengajar bahasa Arab

Bismillahirrahmanirrahim..

Penggunaan al-Quran untuk tujuan mengajar ilmu bahasa Arab terutama nahu (grammar) itu sendiri telah mendapat perhatian yang utama oleh para nuhat (ahli-ahli nahu) sejak zaman berzaman. Bermula daripada Abu Aswad al-Duali yang telah menyahut seruan saidina Ali K.W dalam meletakkan asas ilmu nahu setelah beliau mendengar adanya lahn (kesalahan daripada segi nahu) dalam pembacaan al-Quran.

Sibaweih (180H) dalam bukunya ‘al-Kitab’ juga menggunakan dalil ayat-ayat al-Quran sebagai bukti kepada kaedah-kaedah nahu. Penggunaan dalil daripada ayat-ayat al-Quran untuk membuktikan ketepatan kaedah nahu dipanggil dengan istilah “syahid al-quran”. Syahid al-quran yang pertama digunakan oleh Sibawieh di dalam kitabnya adalah ketika membincangkan tentang kalimah iaitu tajuk pertama tentang ilmu nahu.

Sekiranya dilihat pula Ibnu Hisham (761H) maka beliau juga menggunakan syahid al-Quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu bahasa Arab. Di dalam bukunya “syarh qatr al-nada wa bal al-sada” penggunaanya (syahid al-quran) yang pertama adalah dalam bab al-kalimah apabila beliau membawa ayat al-quran sebagai dalil kepada jumlah mufidah.

Begitu juga Ibnu ‘Aqil (769H) yang juga tidak ketinggalan dalam menggunakan syahid al-Quran ini di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu. Syahid al-Quran yang pertama di dalam kitabnya “syarh ibn ‘Aqil” ialah apabila beliau memperkatakan juga tentang al-kalam (iaitu al-kalimah).

Jikalau ada pihak yang mengatakan Ibnu Hisham dan Ibnu ‘Aqil kedua-duanya adalah “syarih” (orang yang melakukan huraian) kepada matan Ibnu Malik (alfiah) yang bersifat “nazam atau syair” maka sepatutnya lah mereka menggunakan al-Quran, maka kita lihat pula kepada ulama-ulama nahu yang melakukan huraian kepada matan al-ajrumiyah (bukan syair) yang juga menggunakan syahid al-Quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu.

Kita ambil contoh al-Syeikh muhammad Ab al-Bariy (1298H) yang telah menulis nota tentang matan bekenaan menggunakan syahid al-Quran pada permulaan bab nahu lagi iaitu bab al-ikrab dan al-bina’ manakala al-syarih bagi matan al-ajrumiyyah pula iaitu al-Syiekh muhammad al-Ra’aini menggunakan syahid al-Quran, dan syahidnya yang pertama datang dari bab al-kalam.

Sekiranya kita perhatikan ulama-ulama nahu terdahulu, mereka sangat berpegang teguh dengan al-quran di dalam pengajaran mereka tentang kaedah-kaedah nahu. Sehinggakan pada permulaan bab lagi mereka telah menggunakan al-Quran sebagai bukti atau dalil ketepatan kaedah yang dibawa.

Tetapi apabila kita merujuk kepada kitab-kitab pengajaran nahu yang ditulis oleh ulama-ulama kini, maka kita dapati sebahagian daripada mereka menggunakan al-quran dan sebahagian yang lain pula tidak menggunakan al-quran langsung di dalam menerangkan kaedah-kaedah nahu.

Di antara kitab-kitab nahu yang masih menggunakan al-quran sebagai bukti ketepatan kaedah nahu adalah seperti kitab ‘jami al-durus’ yang dikarang oleh al-Ghalayini (1912), kitab ‘al-tatbiq al-nahwi’ karangan Dr. Abduh al-Rajihi (1988), dan juga kitab terbaru yang mengemukakan huraian (syarh) kepada matan al-ajrumiyyah yang telah dilakukan oleh Muhammad Mahyu al-Din Ab Hamid yang dinamakan dengan ‘al-tuhfatu al-saniyyah’ juga tidak ketinggalan menggunakan syahid al-quran sebagai hujjah membuktikan ketepatan nahu bahasa Arab.

Manakala kitab-kitab yang tidak menggunakan syahid al-quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu adalah seperti kitab ‘al-nahwu al-wadhih’ tidak menggunakan syahid al-quran pada kedua-dua jilid (untuk marhalah ibtidaiyah dan thanawiyyah). Begitu juga buku-buku ringkasan nahu bahasa Arab yang digunakan di sekolah-sekolah juga tidak menggunakan syahid al-Quran ini.

Kesimpulan daripada kajian yang sedikit ini (jika boleh dikatakan) bahawa terdapat kaitan yang jelas di antara menggunakan syahid al-quran dalam kaedah pengajaran bahasa Arab dengan penguasaan ilmu bahasa Arab itu sendiri dalam kalangan pelajar-pelajar. Maksudnya, kemungkinan kesukaran pelajar-pelajar dan kelemahan mereka menguasai ilmu bahasa Arab kerana mereka kini telah jauh daripada al-Quran itu sendiri yang mana suatu ketika dahulu didekatkan oleh guru mereka melalui kaedah penggunaan syahid al-Quran.

Hal ini demikian kerana kaitan al-quran itu sendiri dengan bahasa Arab adalah diibaratkan seperti isi dengan kuku. Tidak sempurnalah jari yang tidak mempunyai kuku tetapi hanya ada isinya sahaja dan begitulah sebaliknya.

Jadi usaha untuk memantapkan kembali penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar adalah dengan mengembalikan mereka kepada kaedah sebagaimana yang diasaskan oleh ulama terdahulu, di antaranya adalah menggunakan al-Quran di dalam pengajaran nahu bahasa Arab itu sendiri.

Sesungguhnya mukjizat al-quran yang maha suci itu memungkinkan pelajar mudah faham tentang kaedah-kaedah nahu yang nampak seakan-akan terlalu susah kini. Mudah-mudahan usaha mengembalikan al-quran bersama kaedah pengajaran nahu akan memantapkan kembali penguasaan nahu dan bahasa Arab itu sendiri.

Wallahu aklam.

Iqra dalam al-Quran

Salamullahi ‘alaikum warahmatuhu wabarakatuh..

Semangnya umum mengetahui ayat al-Quran pertama yang diturunkan kepada Baginda Rasulullah SAW untuk disampaikan kepada umatnya adalah “iqra”. Dan umum juga mengerti maksudnya adalah “Bacalah”. Mengikut kaedah bahasa Arab ia didatangkan dalam bentuk feel amr iaitu bernada suruhan. Bacalah!. Menyuruh orang supaya membaca.

Persoalan
Apakah suruhan membaca berdasarkan ayat pertama surah al-Alaq itu adalah membaca sebagaimana yang kita sedia maklum? Membaca bahan bacaan? Membaca sesuatu tulisan? Kerana biasanya orang dikatakan membaca sesuatu tulisan sahaja? Atau apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perintah membaca dalam surah tersebut? Kata guru ana: “Kalaulah bacaan yang diperintah itu sebagaimana yang kita sedia maklum, iaitu membaca bahan bacaan yang ditulis, nescaya Nabi Muhammad lah orang pertama yang melanggar perintah Allah itu”. Kerana Nabi Muhammad bersifat Ummiy (tidak tahu membaca dan menulis).

Fitnah ke atas jungungan besar itu terlalu besar dosanya. Masakan Nabi orang yang menyampaikan risalah Allah terlebih dahulu melanggar perintahNya? Itu merupakan suatu tohmahan yang maha besar sekiranya kita memahami kehendak daripada suruhan “iqra” adalah perintah agar membaca sesuatu tulisan! Jadi, apakah boleh kita mengatakan “Bacalah buku wahai anakku, kerana perintah Allah yang pertama adalah “iqra” bererti bacalah!”? Subhanallah.

Ayat-ayat Allah
Ayat (perkataan Arab) bermaksud tanda. Ayat Allah bermaksud hujjah, tanda atau bukti kekuasaan Allah. Ayat Allah yang menandakan (ataupun menjadi hujjah) kekuasaannya terbahagi kepada dua. Pertama: Ayat Tanziliyyah (Ayat yang diturunkan iaitu kitab-kitab Allah seperti Taurat, Zabur, Injil dan yang terkini dan masih kekal seperti sedianya adalah Al-Quran). Kedua: Ayat Kauniyyah iaitu Alam semester dan segala isi kandungannya; samada yang zahir dan nampak oleh penglihatan mata kasar kita ataupun yang tidak nampak seperti perkara-perkara ghaib (jin, arus elektrik, gelombang radio dan sebagainya).

Apakah erti membaca?
Membaca biasanya dilakukan dengan menggunakan medium mata. Jadi apakah yang berlaku kepada orang buta? Adakah mereka tidak membaca? Mereka juga membaca tetapi menggunakan medium rasa (melalui sentuhan jari jemari). Oleh yang demikian, tidak semua perkara yang dilakukan dengan menggunakan mata itu adalah membaca. Samalah seperti tidak semua pekara itu hanya dibaca dengan menggunakan mata. Sebahagian menggunakan mata, sebahagian menggunakan jari dan sebahagian yang lain menggunakan penghayatan.

Begitu juga tidak semua tulisan sahaja yang dibaca. Kita juga membaca lukisan. Kita juga membaca papan tanda. Kita juga membaca warna lampu isyarat. Kita juga membaca bagaimana Allah menciptakan alam yang sangat hebat ini lalu menjadikan kita taat, tunduk dan patuh pada kekuasaan Allah! Membaca maksudnya memahami. Cuma meduimnya sahaja yang berbeza. Ada orang membaca menggunakan mata, jari dan sebagainya. Menggunakan medium (perantara) mengikut kemampuan yang diberikan oleh Allah.

Kesimpulan
Allah menyuruh dan memerintah Nabi Muhammad SAW (dan perlu disampaikan kepada semua manusia) supaya membaca tanda-tanda kekuasaan Allah ini (kesemuanya sekali). Bukan tulisan (ayat tanziliyyah) sahaja. Sebaliknya apa sahaja yang membawa kepada kefahaman bahawa Allah itu berkuasa dan yang Maha Mencipta serta tunduk dan patuh (menyembah) Allah melalui tanda-tanda kebesarannya (ayat kauniyyah).

Orang celik, banyak kelebihannya kerana dapat membaca al-Quran yang membuktikan kekuasaan Allah di samping dapat pula melihat alam yang terbentang luas yang tidak dapat difahami perjalanannya pun oleh manusia. Orang buta dikurniakan pula oleh Allah deria rasa yang boleh digunakan juga untuk membaca dan menghayati kebesaran Allah. Malah deria bau, deria dengar dan apa sahaja deria kurniaan Allah ini boleh digunakan bagi membaca kebesaran Allah.

Oleh yang demikian, membaca sebagaimana yang Allah perintahkan bukan membaca buku semata-mata. Tidak cukup sekiranya diterjemahkan suruhan Allah yang pertama adalah membaca (sebagaimana yang sering digunakan) sebaliknya kita mesti tafsirkan suruhan Allah yang pertama “iqra” itu adalah arahan agar manusia sedar kekuasaan Allah, maka dengan sebab itu mereka perlu tunduk, taat dan patuh serta menyembah Allah subhanahu wataala. Itu semua terkandung dalam kalimah “iqra” iaitu membaca apa sahaja yang membawa kepada “Bertuhankan Allah!”

 Wallahu aklam…

Anda juga mungkin ingin membaca tentang ummiyatul rasul.