Kelahiran anak

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sepanjang pengetahuan ana, ada tiga perkara yang sunat dilakukan seawal hari pertama kelahiran anak (sejurus selepas mendapatkan anak yang baru dilahiran); iaitu, Azan, tahnik dan ucapan tahniah kepada ibu dan bapa yang dikurniakan kelahiran tersebut.

1. Azan
Iaitu lafaz azan biasa yang digunakan untuk menyeru umat Islam mendirikan solat (selain subuh). Ianya sunat dilakukan di telinga kanan manakala di telinga kiri pula diperdengarkan lafaz-lafaz iqamah. Amalan ini adalah sama bagi kedua-dua anak; sama ada lelaki ataupun perempuan.

Hikmah:  Memperdengarkan dan memperkenalkan anak kepada kalimah tauhid (asas aqidah ‘pegangan’ umat Islam iaitu beriman dengan keesan Allah, kenabian Muhammad SAW dan penerimaan segala syariat yang dibawa Baginda SAW) seawal saat pertama kelahirannya ke dunia. Semoga dengannya juga dijauhkan daripada gangguan Iblis dan Syaitan yang dilaknat oleh Allah daripada mengganggu dan menguasai bayi yang baru sahaja dilahirkan dalam keadaan serba kelemahan itu dengan segala kekuatan yang dikurniakan dan dizinkan oleh Allah SWT.

Lagi

Cerai Taklik

Bismillahirrahmanirrahim, wa bihi nastaien

Dua perkataan yang betul-betul pun jadi, main-main pun jadi. Iaitu perkataan ‘nikah’ dan seerti dengannya dan ‘talak’ dan perkataan yang seumpamanya. Kalau belajar kitab fikah bab ini, tuan guru akan beria-ia memesan agar dua perkataan ini (jika) perlu dilafazkan dengan penuh hati-hati. Katanya inilah dua perkataan yang diucapkan secara sungguh-sungguh pun jadi, main-main punjadi. Maksudnya, ia akan terjadi sepertimana yang dilafazkan.

Dua perkataan itu adalah berkaitan ikatan mutlak antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Sama ada termeterai atau tercerai. Ia termasuk dalam hukum Allah yang bukannya diletakkan untuk main-main. Perkara ini melambangkan bahawa hukum Allah itu suatu yang serius, penting, bermatlamat dan sesekali tidak berhak untuk dimain-mainkan oleh mereka yang waras akal fikirannya. Sebenarnya bukan dua perkataan itu sahaja hukum Allah yang tidak boleh dimain-main, tidak boleh dibuat selamba dan sambil lewa tetapi baki keseluruhan ketetapan Allah. Cuma “kuasa” dua perkataan ini terletak dihujung bibir ramai orang (iaitu wali dan suami).

Maksud
Cerai taklik bermaksud perceraian yang berlaku kerana suami telah bertaklik. Taklik ialah perkataan Arab yang memberi maksud (dalam bahasa Melayu) bergantung, tergantung atau bergantungan. Biasanya diterjemahkan sebagai cerai bersyarat. Manakala daripada segi Istilahnya, ialah perceraian yang berlaku kerana suami telah melafazkan talak atau cerai ke atas isteri dengan syarat-syarat atau peristiwa yang tertentu. Seperti kata suami “apabila saya meninggalkan isteri selama empat bulan tanpa nafkah, dan isteri telah mengadu kepada hakim syarie serta telah membuat bayaran RM1 bagi pihak diri saya, maka jika sabit kesalahan, pada masa itu jatuhlah satu talak khalie”.

Persoalan 1
Satu hari ana terima panggilan daripada seorang kawan lama. Kawan yang sudah sangat lama tidak berjumpa. Pelik juga kerana dia dapat nombor telifon ana. “Kalau nak, seribu daya kan?” jawabnya apabila ana tanya “mana dapat no ni?”. Tujuan dia hubungi ana kerana ingin meminta pendapat berkenaan situasi dalam rumahtangganya. Katanya dia telah lafazkan kepada isterinya “Kalau awak sms lagi lelaki ni, maka jatuh talak”.

Dengan tidak semena-mena isterinya itu menghantar sms “dah lah, suami saya tak nak saya sms awak lagi. tq” Tujuannya hanyalah untuk memberitahu itulah sms terakhirnya kepada lelaki berkenaan. Apakah situasi mereka? Adakah ikatan yang telah lama terjalin itu telah terpisah? Macamana?

“Perkara ni serius” Kata ana. “Aku tahu, tapi masalahnya adakah ia jadi (jatuh talak) sebab dia sms pun untuk bagitahu itu adalah sms terakhirnya”. Balas rakan ana. Maka ana minta sedikit masa bagi membuat rujukan. Kemudian bila dapat jawapan, ana call dia balik. Ternyata walaupun itu adalah sms terakhir tetapi peristiwa sebagaimana yang dilafazkan (taklik) itu telahpun berlaku. Iaitu si isteri telah menghantar sms kepada si lelaki yang dimaksudkan.

Walaupun ia adalah sms terakhir dan tidak ada tujuan lain selain memberitahu agar tidak lagi akan menghantar sms kerana suaminya tidak suka dan sangat serius dalam perkara itu (hantar sms). Maka pada saat si isteri menghantar sms terakhir itu, jatuh lah talak satu (kerana si suami tidak menyebut bilangan talak dalam lafaznya).

Agar peristiwa seperti dalam lafaz suami tidak berlaku, si isteri boleh meminta suaminya sendiri mengantar sms (terakhir itu). Atau, si isteri call sahaja (buat panggilan) kepada lelaki terbabit bagi memberitahu hasratnya. Atau, si isteri meminta rakannya yang lain memberi tahu (sama ada dengan sms atau apa sahaja cara) hasratnya kepada lelaki itu dan sebagainya lagi betuk peristiwa yang tidak memungkinkan perkara (seperti dalam lafaz taklik) itu terjadi.

Persoalan 2
Seorang mak saudara ana bertanya perihal rakannya yang telah ditaklik oleh suami. Kata suaminya “kalau lelaki ni datang lagi ke rumah ni, jatuh talak awak”.

Kebetulan satu hari si lelaki yang dimaksudkan oleh suaminya itu datang ke rumah mereka. Maka apakah talak telah jatuh? Kerana kedatangan si lelaki itu adalah di luar kemampuan si isteri. “Orang nak datang, dia tak bagitau nak datang, dan kita mana boleh nak tahan orang yang bernyawa nak ke sana ke mari, dan datang ke rumah kita” kata si isteri berkenaan.

Setelah membuat rujukan, ternyata talaknya juga telahpun terjadi. Kerana ia betul-betul terjadi seperti yang dilafazkan oleh si suami. Kalaulah si suami berkata “kalau awak tak larang lelaki tu datang, maka jatuh talak” barulah talak tersebut tidak jatuh hanya dengan kedatangan lelaki yang tak diundang itu. Kerana disebutkan syarat ‘tidak halang’.

Setelah perkara seperti ini berlaku, kedua-dua pihak suami dan isteri udah tidak boleh tidur bersama. Mereka perlu segera merujuk kepada Mahkamah syariah dan menjalani prosidur tertentu. Pun begitu, mereka masih boleh duduk serumah. Kalau sabit kesalahan (cerai) oleh mahkamah, lepas ni mereka boleh rujuk perkahwinan mereka itu semula. Dan menjadikan persitiwa ini sebagai panduan agar tidak melafazkan talak lagi pada masa hadapan.

Kesimpulan
Berdasarkan perbualan ana bersama mereka yang mengajukan persoalan di atas. Kedua-dua pasangan seakan tidak inginkan perceraian berlaku. Mereka tidak menyangka bahawa peristiwa sebagaimana yang dilafazkan itu akan berlaku. Mereka ingin menyatakan bahawa mereka benar-benar serius. Dan berharap (di dalam hati) agar isteri tidak lagi melakukan peristiwa itu (kes 1). Atau membiarkan peristiwa itu terus berlaku (kes 2).

Kedua-dua kejadian tersebut telah memberi impak yang baik kepada semua yang terlibat. Mereka akhirnya faham akan kepentingan lafaz taklik yang (jika) perlu dilafazkan adalah dengan ilmu. Banyak yang mereka pelajari daripada peristiwa tersebut dan mendoakan agar hubungan mereka suami isteri selepas ini akan bertambah baik. Sesungguhnya ilmu yang satu ini, sangat mahal harganya (sehingga dapat -dan telah- meruntuhkan sebuah rumahtangga) dan mereka akan lebih menghargainya lagi (buat panduan di hari kemudian).

Ala kulli hal, kedua suami dan isteri perlu kepada ilmu pengetahuan agama yang tinggi di dalam usaha mereka menjalani kehidupan rumahtangga yang baik, cemerlang, sempurna dan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Satu-satunya usaha yang perlu adalah menimba ilmu dan sesekali tidak merasakan ilmu telah penuh di dada.

Wallahu aklam.

p/s: Matlamat ana ‘public’kan masalah ini adalah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan ia tidak melibatkan nama mana-mana pihak secara khusus, sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia. Pun begitu, ana tidak nafikan bahawa kedua-dua kisah ini adalah kisah benar berdasarkan pengalaman peribadi ana di dalam (asbab) menimba ilmu Allah. Sama-sama kita ambil pengajaran daripada dua kisah realiti ini dan jadikannya sebagai panduan.

Namun, pelawat, pengunjung dan sesiapa sahaja yang berkenaan, adalah bertanggungjawab terhadap apa sahaja yang mereka utarakan dalam ruangan ini. Pemilik blog iaitu ana tidak boleh dipersalahkan sekiranya mana-mana pihak terdedah dengan kerugian akibat maklumat yang ada pada mana-mana bahagian dalam ruangan ini (sama ada soalan pelawat atau respon ana).

Sekali lagi ditegaskan bahawa ruangan ini hanyalah bertujuan memeriahkan input ilmu dan pengalaman. Mana-mana bahagiannya tidak boleh diambil sebagai hujjah yang terpakai dalam mana-mana perundangan yang sedang berkuatkuasa di mana-mana negara dan negeri. Pengunjung adalah dinasihati merujuk pihak-pihak yang lebih berotoriti untuk kes-kes peribadi yang tersendiri.