Kerja sebagai ibadah

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Kerja sebagai ibadah. Adakah kita menghayati kata-kata itu? Apakah yang dimaksudkan dengan kerja dan pekerjaan sebenarnya? Menurut Kamus Dewan, kerja adalah bersinonim dengan khidmat, tugas, tanggungjawab, kewajipan, usaha, urusan dan kegiatan. Kerja dalam konteks bahasa Arab dikatakan “Amal” yang bermaksud perbuatan yang dibuat dengan qasd (niat). Qasd juga bermaksud perbuatan dengan keteguhan hati ingin melakukannya.

Ibadah pula adalah istilah Islam bermaksud melakukan kerana ingin menzahirkan nilai Ta’abbud iaitu pengabdian diri kepada Allah. Pengabdian itu diambil daripada perkataan Arab juga iaitu “ABD” yang bermaksud “Hamba”. Hamba kepada Allah tidak sama dengan hamba kepada sesama makhluk. Hamba kepada makhluk atau kepada sesama manusia menzahirkan rasa hina dan kehilangan nilai, sebaliknya hamba kepada Allah menzahirkan ketinggian nilai insani. Manusia menjadi lebih nilai kemanusiaannya jika dia adalah hamba Allah sebaliknya nilai kemanusiaannya kurang kalau ia hamba kepada manusia lain.

Kerja sebagai ibadah adalah melakukan perbuatan dengan sungguh-sungguh, dengan keazaman dan keteguhan hati semata-mata ingin menzahirkan rasa kehambaan kepada Allah. Ganjaran daripada kerja bukan semata-mata nampak pada zahir berbentuk gaji dan elaun tetapi ada nilai tambah iaitu keredhaan dan keberkatan anugerah daripada Allah untuk keselamatan, kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat yang lebih kekal abadi.

Benarlah sabda junjungan Nabi Muhammad SAW ”sesungguhnya setiap amalan (kerja) itu hendaklah dengan niat, sekiranya baik niatnya (kerana Allah) maka balasan (rahmat, kesejahteraan dan keberkatan) adalah sepertimana yang Allah redha. Sebaliknya jika buruk niatnya (kerana dunia semata-mata, kerana manusia sama ada lelaki mahupun wanita) maka ia tidak akan dapat selain perkara yang menjadi isi kepada niatnya itu sahaja (fizikal atau material) yang lebih berbentuk fatamorgana dan fana.

Oleh yang demikian, mereka yang faham konsep bekerja sebagai ibadah, akan menjadi lebih sempurna pekerjaannya. Lebih teratur, tersusun dan jika ada kelemahan pun, mereka masih boleh menerima teguran yang membina dengan hati yang tabah. Kerana mereka faham, yang sempurna hanya milik Allah dan mereka berusaha ke arah kesempurnaan sama ada pada pandangan manusia ataupun pandangan Allah (yang jauh untuk dicapainya). Tetapi mereka tetap berusaha dan ada ketenangan di sebalik tiap usaha mereka. Tidak ada keluh kesah, tidak ada ragu-ragu, dan tidak dapat dipengaruhi terutama oleh mereka yang zalim.

Kerana, segala perbuatan mereka dilindungi Allah berkat niatnya yang suci dan pengharapan serta kebergantungan mereka kepada hanya Allah. Hidup mereka akan selamat di dunia walau pada pandangan zahir penuh dengan kelemahan-kelemahan yang terinsaf dan yang lebih penting, mati mereka diterima oleh Allah SWT. “Wahai nafsu-nasfu yang mutmainnah…” (rujuk al-Quran; surah al-Fajr: 27-30).

Sebaliknya mereka yang kerja hanya kerana dunia, dan hanya kerana yang selain daripada Allah, tidak ada konsep ibadah dalam pekerjaannya, maka hidup mereka adalah fatamorgana. Mengejar dunia yang diibaratkan seperti bayang-bayangnya sendiri, semakin dikejar, semakin ia menjauh. Lalu hiduplah mereka dalam kepenatan yang tidak berpenghujung. Bukan itu sahaja, apabila mati mereka tidak diterima sebagai Hamba Allah.. dan ditempatkan ke dalam azab siksaan yang kekal abadi. Nauzubillah.

Oleh itu, berbaliklah kita ke pangkal jalan. Sedarilah apa tujuan pekerjaan kita sebenarnya. Soal diri sendiri dari mana kita datang dan ke mana kita akan pergi untuk kehidupan yang jauh lebih baik daripada ini, selepas ini.

Wallahu aklam.

Umur semakin meningkat

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabaraktuh

Dengan adanya anak-anak, kita mudah terasa fizikal kita semakin tua. Umur yang disebut-sebut itu adalah umur fizikal. Umur fizikal dikira sebagai meningkat dari hari ke hari, dari bulan ke bulan, tahun ke tahun dan seterusnya. Adapun umur metafizik, umur rohani yang di luar daripada fizikal itu tidak meningkat, tidak juga mengenal tua. Sebab itulah, ada orang walaupun mencecah umur 70an, 80an, masih ada perasaan untuk berkahwin. Masih bernafsu.

Lagi

Tanggungjawab Muslim

Bismillahiirahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sebagai seorang muslim, tanggungjawab mereka tidak terhenti setakat menunaikan segala rukun Islam dengan baik sahaja, malah lebih daripada itu. Tuntutan agama kepada seseorang individu muslim adalah sepertimana yang diterjemahkan melalui sirah Rasulullah SAW. “Dan sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu adalah suri teladan yang baik” (al-Quran surah al-ahzab:21)

Lagi

Interaksi PGSR: Pend. Moral

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Alhamdulillah, hari ini telah berlangsung dengan jayanya interaksi pertama mata pelajaran Pendidikan Moral Minor bagi kumpulan PGSR ambilan November 2008 dengan Major Pengajian Sosial. Kuliah dimulakan seawal jam 7.30 pagi. Walaupun kepenatan jelas terpacar di muka kebanyakan pelajar, namun segala isi pengajaran dapat dihadam dengan baik dan sesi pembelajaran juga sangat memberangsangkan.

Lagi

Kenapa nak jadi cikgu?

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Kenapa nak jadi cikgu? Atau soalan lain, Kenapa mohon nak kerja cikgu? Kenapa dalam banyak-banyak profesion yang ditawarkan dalam pasaran, profesion sebagai seorang guru yang menjadi pilihan? Itulah bentuk-bentuk soalan ataupun persoalan (secara yang lebih tepat) akan dikemukakan kepada seorang calon guru.

Mungkin sesuai dengan peristiwa semasa, iaitu pada masa ini iklan permohonan KPLI telah dikeluarkan dan borang-borang permohonan secara atas talian sudah mula diisi oleh para calon guru (yang ingin jadi cikgu, atau kerja cikgu), maka ana mengambil sedikit ruang dan peluang ini untuk bermusabah (melakukan sedikit refleksi) tentang apakah tujuan sebenar anda nak jadi cikgu, atau kerja guru.

Lagi

Info Moral 1/10

PATRIOTISME adalah satu sentimen nasional yang menekankan kepada aspek   kesetiaan dan kecintaan yang mendalam kepada negara. Mempertahankan kedaulatan negara dan kesanggupan untuk berjuang menggadai nyawa demi negara memperlihatkan tahap patriotisme tertinggi yang wujud dalam diri seorang warga negara.

Patriotisme yang tinggi sangat penting bagi setiap rakyat dalam sebuah negara yang merdeka. Kemerdekaan yang dicapai sesebuah negara adalah berbeza antara satu sama lain dan biasanya ia bukanlah sesuatu yang mudah. Justeru, kecintaan yang mendalam kepada negara adalah asas utama untuk memastikan negara terus bebas dan merdeka daripada sebarang bentuk penjajahan.

Lagi

Memberi dan memenuhi

Bismillahirrahamanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Adalah tidak sama maksud dua perkataan ini. Memberi dan memenuhi. Mengikut Kamus Dewan Edisi Empat, memberi diertikan sebagai menyampaikan (sesuatu) kpd seseorang (utk disimpan, digunakan atau utk sesuatu keperluan). Manakala memenuhi pula diertikan sebagai mengisi (memuatkan) penuh-penuh, atau memuaskan permintaan dll, menyampaikan harapan dll, mengabulkan, atau menjalankan (kewajiban dll), menepati (janji dll), menunaikan, menyempurnakan.

Dengan perkataan mudah, memberi itu lebih berbentuk pemberian yang fizikal. Sama ada memberi sesuatu untuk disimpan, maka dalam konteks ini, seseorang itu memberi sesuatu tanpa diminta daripadanya mungkin. Ataupun memberi sesuatu untuk kegunaan. Dalam konteks yang ini pula, mungkin ada orang yang memerlukan jadi dimintanya kepada seseorang yang kemudiannya memberikan kepadanya. Cuma mungkin kadar pemberian itu tidak sampai ke tahap penuh.

Lagi

Sabar: tidak semudah mewasiatkan

Bismillahirrahmanirrahim
[Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi]

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sabar adalah suatu sifat mahmudah (terpuji) yang sangat tinggi nilaianya, sama ada di sisi Allah SWT mahupun di sisi manusia. Mereka yang bersabar adalah mereka yang terpuji sikap dan sifatnya. Sesungguhnya sabar adalah anugerah hasil didikan Allah ke atas hamba-hambaNya. Mereka yang bersabar pula akan mendapat tempat yang mulia di sisi Allah SWT, sama ada dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat.

Dalam al-Quran, banyak sungguh ayat-ayat gesaan Allah menyeru manusia agar bersabar. Bentuk ayat-ayat sabar dalam al-Quran juga berbeza-beza. Ada yang berbentuk ayat suruhan, ada yang berbentuk ajakan dan ada juga yang berbentuk ayat penyata ataupun kenyataan umum.

Lagi

Cinta

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Peribahasa melayu meninggalkan pepatah “Seperti labah-labah cintakan telurnya” bermaksud ”Kasih sayang yang tak dapat dipisahkan” (Kamus Istimewa Peribahasa Melayu). Manakala Kamus Dewan Edisi Empat (terkini) pula menggariskan makna cinta sebagai “perasaan atau berperasaan sangat sayang kpd” sesuatu sama ada negara, orang tua, kebebasan dan lain-lain.

Cinta jika diterjemahkan kepada bahasa Arab bermaksud “Hubb”. Ada lagi beberapa perkataan yang ada kaitan dengan kasih sayang dalam bahasa Arab seperti al-Wud. Daripada dua perkataan ini “al-Hubb dan al-Wudd” keluarlah istilah mahabbah dan mawaddah. Kedua-duanya adalah istilah dalam berkasih sayang. Kasih sayang itu pula secara langsungnya dikaitkan pula dengan syariat agama. Seperti didoakan agar sebuah keluarga yang hidup aman damai dalam suasana kasih sayang itu sebagai ”mawaddah wa rahamah”. Perkataan “rahmah” itu adalah pinjaman daripada sifat Allah yang Maha Esa lagi Maha Pengasih Sayang.

Lagi

Kesihatan mental

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sehari dua ni, ana kerap berkunjung ke klinik. Maklum saja musim tengkujuh mudah pula anak-anak terkena demam tiba-tiba, sakit perut, selesema, batuk dan macam-macam dugaan. Kadang-kadang ada juga suara masuk ke telinga ana “macam tu lah dulu, nak tunggu anak-anak besar, macam-macam macam ni lah, demam, menangis, bergurau berlebih-lebih, bergaduh sana-sini, hingga mencabar minda mak ayah”.

Ana akur dengan pengakuan ikhlas sebegitu. Iyalah, kalau anak-anak yang ditatang bagai minyak yang penuh itu, setelah besar dan dapat pula berbuat bakti kepada orang tua, alangkah berbaloinya. Tetapi sekiranya anak-anak yang dipelihara dengan baik, dijaga makan minum mencukupi, dihantar belajar tinggi-tinggi, sakit demam anak diperhati, tiba-tiba bila sudah besar, sudah punyai kehidupan sendiri, ibu ayah bukan sahaja dilupai, malah ada yang sanggup… (anda bebas untuk menyambung ayat-ayat ini)

Lagi

Sumbangan ibubapa

Bismillahirrahmanirrahim

Allah SWT melalui firmannya (Isra:23) sengaja menyuruh hamba-hambaNya yang beriman agar sentiasa berbuat baik kepada kedua ibubapa. Manakala dalam surah Luqman, Allah mewasiatkan hamba-hambaNya agar kekal bersahabat yakni berbuat kebaikan kepada ibubapa walaupun mereka masih kekal di dalam agama asal (tidak beriman kepada Allah) Firman Allah bermaksud: “Dan jika keduanya memaksamu agar mempersekutukan Aku (melakukan syirik) dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, Maka janganlah kamu mengikuti keduanya, sebaliknya bergaullah dengan kedua mereka di dunia dengan baik (Luqman:15)

Melalui hadith yang disandarkan kepada Rasulullah SAW pula, banyak sekali terdapat pesan Baginda mengenai berbuat kebaikan kepada orang tua. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW diriwayatkan sebagai menjawab soalan seorang sahabat berkenaan dengan siapakah yang paling layak untuk menerima kebaikannya lalu Rasulullah menjawab “ibumu” sebanyak tiga kali kemudian “bapamu” pada kali yang keempat. Di dalam hadith yang lain Rasulullah SAW diriwayatkan menyuruh sabahat-sahabatnya mengumpul kayu api untuk membakar seorang anak yang terlalu sukar melafazkan kalimah syahadah semasa nazaknya kerana dosa-dosa terhadap ibu, sehingga akhirnya si ibu berkenaan mengampunkan dosa si anak tersebut, maka dengan mudah beliau melafazkan kalimah suci itu untuk kembali ke rahmatullah.

Ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith tersebut memberi pengajaran betapa peri pentingnya berbuat kebaikan kepada kedua ibupada selain ada dosa yang dikenakan sekiranya si anak menyakiti kedua orang tuanya. Beratnya dosa sehingga sukar melafazkan dua kalimah syahadah ketika hendak meninggal dunia. Berbahagialah dan sejahteralah anak-anak yang telah dan selalu melakukan kebaikan kepada kedua orang tua mereka.

Tanggungjawab wajib
Tanggungjawab berbuat kebajikan kepada ibubapa haruslah dipikul bersama, sama ada oleh anak lelaki atau anak perempuan. Walaupun dalam ayat al-Quran dan hadith di atas, khitabnya (sasaran) secara langsung kepada anak lelaki, tetapi ia juga termasuk anak perempuan mengikut kaedah ‘al-ibrah bi umum al-lafz la bi khusus al-sabab’. Tetapi tanggungjawab anak lelaki lebih utama dan mengikut kefahaman ana ia adalah fardhu (wajib). Oleh kerana itulah, mungkin (pada pandangan peribadi ana juga) hikmah Allah menetapkan 2 bahagian harta pusaka orang tua kepada anak lelaki berbanding 1 bahagian jatuh kepada anak perempuan, kerana tanggungjawab anak lelaki adalah lebih besar berbanding anak perempuan. Anak lelaki bertanggungjawab (wajib) kepada kedua orang tua, saudara-saudara perempuannya yang masih belum berumahtangga dan tanggungjawab juga kepada keluarganya sendiri (iteri dan anak-anak) manakala anak perempuan hanya bertanggungjawab ke atas dirinya sahaja di samping kebergantungan mereka pula kepada lelaki sama ada ayah atau saudara lelakinya (sebelum kahwin) ataupun suaminya (setelah berkahwin).

Terdapat pelbagai cara dan bentuk melakukan kebaikan yang boleh dilakukan kepada orang tua sekiranya mereka masih ada. Kebaikan tersebut pula perlulah memenuhi kehendak fizikal (luaran), perasaan (dalaman) malah sehingga keperluan spritual.  Kehendak fizikal itu seperti memenuhi keperluan makan, minum, pakaian, kewangan, tempat tinggal yang selesa dan sebagainya. Kehendak perasaan pula seperti keperluan bertanya khabar dan keinginan mereka, pulang menziarahi mereka, meluangkan masa bersama mereka, merawati kesakitan mereka dan sebagainya bagi mempastikan mereka berada di dalam keadaan kesihatan dan ketenangan fikiran yang baik. Manakala kehendak spritual pula seperti membantu memudahkan atau kalau mampu memandu mereka pada melakukan lebih ketaatan kepada Allah dengan bersolat jemaah bersama, berpuasa dan berbuka bersama, melakukan haji atau umrah bersama dan sebagainya.

Bantuan kewangan
Kebanyakan orang tua yang bekerja pada masa muda, mereka akan menikmati wang pencen selepas bersara. Perkara ini dapatlah sedikit sebanyak meringankan beban kewangan, kerana kini mereka sudah kurang mampu melakukan pekerjaan bagi mendapatkan sumber kewangan tersebut. Wang ganjaran pencen ataupun kwsp yang diterima secara lumsum pula (sekiranya tidak diusik oleh anak-anak) boleh dilaburkan dalam mana-mana institusi pelaburan yang memberikan pulangan lumayan. Bonus pelaburan yang diterima saban tahun itu pula adalah sebagai sumber tambahan yang dapat memenuhi keperluan bagi membiayai mereka untuk melakukan umrah setahun sekali, membuat persiapan menyambut hariraya atau dikeluarkan bulan-bulan sebagai amaun tambahan kepada pencen bulanan sedia ada.

Namun bagi sesetengah orang tua yang kurang bernasib baik, yang bergantung hidup kepada ‘kais pagi makan pagi’ pada masa mudanya, dan banyak mengeluarkan belanja untuk membesarkan anak-anak sehingga kesenangan hidup mereka di masa tua turut digadaikan. Mereka ini tidak ada pencen bulanan, tulang empat kerat pun sudah tidak seteguh dulu, manakala tahap kesihatan pula kurang memuaskan bagi membantu mereka meneruskan pekerjaan yang dapat memberikan pendapatan. Sekadar bercucuk tanam di halaman rumah untuk mementenkan kesihatan itu, cukup untuk itu sahaja. Nak berjual seperti waktu muda, mereka memang sudah tidak mampu lagi. “Dulu makcik jual hasil tanaman, dapat RM10 pun dapat beli itu dan beli ini, kini hanya mampu ditukarkan dengan ikan, itupun kadang-kadang tak cukup sekilo” antara ungkapan yang selalu ana dengar. Maksudnya, hasil tenaga sudah tidak dapat menampung hatta keperluannya sendiri pun.

Sebab itulah bantuan anak-anak berbentuk sumbangan kewangan kepada orang tua sangat-sangat mereka perlukan. Di zaman mereka dulu, tak perlu bayar bil-bil, dan kalau bayar pun jarang sangat yang melebihi RM5. Tetapi di zaman ini sewaktu tenaga sudah tidak mampu dijanakan lagi, komitmen bil-bil pun boleh mendatangkan penyakit darah tinggi. Kadang-kadang untuk membeli makanan pun tidak mampu juga dan terpaksa berhutang. Nak mengadu kepada anak-anak, mereka pun kata “kami pun hutang mak…”

Memang agak sukar menguruskan kewangan pada zaman ini. Kerana keperluan manusia sentiasa dirancang melebihi kemampuan pendapatan mereka dan paling kritikal kerana bajet kebanyakan seseorang tidak mengambil kira saat-saat ujian Allah yang melibatkan kewangan seperti sakit, kematian, hatta bocor tayar kereta sekalipun. Kebanyakan mereka melakukan bajet seperti akan sihat sepanjang hayat, tidak terlibat dengan kes-kes kecemasan, tidak perlu peruntukkan kewangan untuk perkara-perkara yang tidak diduga. Banyak antara mereka suka perhabiskan semua yang dapat, hatta yang belum dapat pun (seperti bonus) dah ada perancangan ke mana hendak dipergunakannya.

Sepatutnya manusia hari ini mengaplikasi saranan Rasulullah SAW dalam berbelanja, iaitu hanya merancang dan mengurus kehidupan berdasarkan 1/3 nilai pendapatannya sahaja. Baki 2/3 lagi adalah untuk simpanan dan dibelanjakan ke jalan Allah termasuklah kebajikan kepada ibubapa. Sebagai contoh, sekiranya pendapatan mereka RM2100 maka mereka merancang dan mengurus kehidupan dalam kadar RM700 sahaja (1/3×2100) dan perlu mereka memberitahu kepada diri sendiri bahawa nilai 700 itulah pendapatan bulanan mereka. Jalanilah kehidupan berdasarkan nilai 700 itu. Berumah, berkereta, makan dan minum dalam lingkungan RM700 sebulan. Mereka perlu fahamkan diri kalau semuanya hendak yang besar-besar, hati pula ingin menandingi orang lain maka akhirnya tertinggallah kewajipan kepada orang tua yang semasa sihat dan muda mereka bersusah payah membersarkan dan menyekolahkan anak-anak. Bukan dengan nilai 1/3 daripada kehidupan mereka laburkan, seluruh harta benda mereka keluarkan kerana pada anggapan mereka, anak-anak adalah aset mereka dan kekayaan mereka kelak.

Tetapi apa jawab anak-anak kepada orang tua mereka? “saya pun hutang mak..”

Apa yang lebih teruk lagi ialah apabila anak dah besar-besar hatta yang dah beranak pinak pun masih bergantung dan berharap kepada ihsan kedua orang tuanya. Lalu berkelahilah anak-anak di hadapan orang tua yang masih sakit atau sedang sakit atau mula menunjukkan tanda-tanda hendak pergi selama-lamanya, seperti yang diketengahkan dalam filem ‘Tiga Abdul’ ilham P.Ramlee itu. Kerana nak sangat ikut nafsu dan lupa pula pada saranan nabi, maka mereka lupa juga bahawa mereka adalah berasal daripada keluarga ‘kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang dan malam’.

Kalau dulu dengan rezeki ‘kais pagi makan pagi’ itulah mak dan ayah dapat besarkan mereka dengan pelajaran, tetapi hari ini gaya kehidupan ibubapa sudah ditinggalkan jauh seperti jauhnya timur dari barat atau lebih jauh daripada tingginya langit dengan bumi. Tanpa segan mereka berkata “saya pun hutang mak..” sedangkan mak berhutang untuk meneruskan kehidupan tetapi mereka berhutang untuk bermewah-mewahan.

Jalan keluar
Memang sukar kalau seseorang hendak memberi wang sebanyak RM500 sekaligus kepada orang tuanya berbanding not RM50. Apatah lagi kalau RM5000 lagilah berfikir panjang. Tetapi kalau anak-anak buat terus buat potongan daripada gajinya secara bulan-bulan, mungkin tak terrasa sangat. Katakanlah kalau buat potongan RM250 sebulan (10% daripada gaji anak RM2500) ia telah mencapai RM3000 (tiga ribu ringgit) untuk tempoh setahun. Tidakkan terlalu sukar seorang anak nak hulurkan not 3000 pada satu-satu masa kepada mak, sedang ia dapat buat banyak benda dengan jumlah itu? Tetapi mungkin bukan terlalu sukar kalau ia RM250 yang dipotong bulan-bulan.

Kelebihan membuat potongan bulanan kepada orang tua, selain ia tidak memberikan ‘rasa’ sangat kepada anak, ia membantu anak menguruskan kehidupan mereka dengan lebih baik. Kerana orang biasanya akan melihat kepada jumlah gaji bersih mereka tiap bulan untuk buat bajet keluarga. Itulah rasionalnya mereka yang buat pinjaman kereta dengan gov loan, pinjaman perumahan dengan gov loan, kerajaan akan tolak terus daripada gajinya. Sebab itulah juga kalau diselidiki data orang yang tidak mampu menguruskan kewangan dengan baik adalah mereka yang bayar loan kereta, loan rumah dengan ‘cash’ di bank. Dan kerana mereka masih berfikiran bahawa jumlah gaji mereka adalah terlalu besar tanpa memikirkan hak-hak yang dituntut daripada gaji tersebut.

Macam itulah juga kisahnya bagi anak-anak yang tidak membuat potongan bulanan ke akaun ibubapanya. Mereka tidak ada rasa bahawa dalam jumlah pendapatan mereka itu sebenarnya ada hak yang perlu diberikan kepada kedua orang tua. Tiada rasa tanggungjawab (wajib) itu. Kalau ada rasapun, bila mereka nak berikan dalam jumlah yang agak besar, mereka pasti terfikir dua tiga kali. Akhirnya tak jadi.

Opsyen potongan gaji bulanan untuk saraan ibubapa disediakan oleh Tabung Haji. Apa yang anak perlukan adalah, apabila dapat sahaja pekerjaan, dan dah ada slip gaji, silalah ke pejabat tabung haji untuk isi satu borang potongan gaji secara bulanan. Ia mengizinkan anak mengagihkan potongan berkenaan dimasukkan ke akaun ibubapanya. Isikan amaun tertentu dengan niat menjalankan tanggungjawab kerana Allah dan kemudian ‘lupakannya’. Tiada caj dikenakan oleh tabung haji untuk perkhidmtan ini.

Selain itu, anak-anak boleh buat arahan tetap melalui bank di mana gaji mereka dibayar. Arahan yang dikenali sebagai DDI (Direct Debit Instruction) ini memberi izin kepada pihak bank secara tetap bulan-bulan, untuk memotong jumlah yang ditetapkan dan dimasukkan ke akaun tertentu (cth akaun ibubapa). Perkhidmatan ini dikenakan caj yang berbeza-beza mengikut peraturan bank yang berlainan dari satu bank dengan yang lain.

Keberkatan
Seorang ibu pernah bercerita kisah dan pengalaman seorang anaknya yang memasukkan (cash) ke akaun ibunya sebulan sebanyak RM400 (awal kerja). Setelah dua tahun (berkahwin) dan pada satu bulan tertentu, si anak tidak memasukkan wang tersebut ke akaun ibunya sebagaimana selalu kerana kemungkinan ia perlukan duit tu.

Selang dua tiga hari kemudian si anak menelifon ibunya memberitahu cermin kerete hadapannya pecah hanya kerana terkena percikan kecil daripada batu di tempat parkir kereta dan kos menggantikannya adalah RM400. Dalam pada si ibu menyuruhnya bersabar si anak melahirkan kata-kata “tidak mak, saya yakin itu duit mak sebenarnya, yang saya tidak bank-in kepada mak bulan ni. Allah keluarkan juga jumlah tu daripada saya”.

Selepas peristiwa itu, si anak telah melakukan potongan bulanan daripada gajinya dengan jumlah yang kurang sedikit dan ia kekal sehingga ke hari ini.

Memang tidak dinafikan, berbuat kebaikan akan diberikan ganjaran kebaikan juga oleh Allah SWT. Dalam surah al-Rahman:60, Maksud firman Allah, “tidakkah balasan kepada kebaikan itu adalah kebaikan juga?”. Inikan pula berbuat kebaikan kepada kedua orang tua yang menjadi asbab kewujudan anak itu sendiri. Sudah tentu keberkatan hidup akan mencurah-curah ke atas si anak.

Hal ini kerana, memang tidak dapat dinafikan, dalam hati kecil mana-mana manusia akan berasa senang terhadap kebaikan yang dilakukan oleh orang lain kepadanya. Tidak dinafikan juga. mereka akan berterima kasih dan berdoa kebaikan pula kepada yang memberi. Maka ketahuilah bahawa, doa orang tua kepada anak-anaknya itu sudah tentu memberi keberkatan hidup yang berlipat kali ganda kepada anak-anak itu sendiri.

Doa orang tua
Doa manusia sesama manusia yang ikhlas telah dijanjikan perkenan oleh Allah SWT. Dan tidak ada doa seseorang manusia kepada manusia yang lain terlebih ikhlas daripada doa seorang ibu kepada anaknya. Dalam surah al-Bayyinah:5, Maksud firman Allah, tidaklah kamu disuruh, melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas. Doa itu sendiri merupakan bentuk ibadah manusia kepada Allah. Manakala dalam ayat yang lain surah Ghafir:60, Maksud firman Allah, dan berdoalah kamu nescaya Aku perkenankan bagimu. Ayat-ayat al-Quran ini menunjukkan bahawa Allah memperkenan doa (ibadah hamba) yang dilakukan dengan ikhlas.

Sumbangan kepada orang tua yang telah tiada
Anak-anak yang soleh akan sentiasa memberikan manfaat untuk kedua orang tua walaupun jasad mereka telah lama atau sedang dimakan bumi. Perkara ini jelas berdasarkan sebuah hadith sahih, Rasulullah berpesan “tiga perkara yang tidak akan putus kebaikannya kepada seseorang anak Adam; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh”

Anak yang soleh, apa sahaja jenis kebaikan yang dilakukannya, pahala kelakuannya itu akan mengalir ke dalam kubur ibubapanya yang mendidiknya menjadi anak yang soleh. Berdasarkan sebuah hadith, bahawa Rasulullah SAW pernah melakukan sedekah bagi pihak Khadijah iaitu isterinya yang sudah meninggal dunia, sebagai tanda kasih sayang dan atas segala kenangan manis Baginda bersama isterinya itu. Berdasarkan nas ini, sebagai anak soleh, sekiranya ibubapa telah meninggal mereka masih boleh memberikan sumbang bulanan kepada ibubapa dengan menyedekahkan amaun tertentu secara tetap kepada mana-mana badan atau rumah anak yatim dan sebagainya atas nama ibubapa mereka.

Sayugialah diingatkan bahawa, pahala sedekah itu tadi tidaklah hanya dimasukkan kepada catatan ibubapanya sahaja, sebaliknya anak-anak yang mengeluarkan infaq tersebut turut mendapat pahala juga bahkan dua kali ganda; pertama pahala melakukan kebaikan kepada orang tua, dan kedua pahala melakukan infaq ke jalan Allah. Dan hanya Allah lah yang berhak melipatgandakan pahala hamba-hambaNya yang ikhlas.

Semoga kita semua berusaha menjadi anak-anak yang soleh, yang membahagiakan orang tuanya bukan sahaja pada kehidupan di dunia bahkan berterusan sehingga alam barzakh seterusnya ke alam baqa. Wallahu aklam

Wassalam.

p/s: catatan ini hanyalah sebagai peringatan kepada diri sendiri, moga suatu nanti sekiranya diri ini lalai (wal iya zubillah), maka catatan inilah sebagai rujukan bahawa “aku pernah menulis tentang ini, mengapa diriku kini adalah seorang yang gagal melakukan kebaikan kepada kedua orang tuaku?” semoga peristiwa tersebut tidak akan berlaku ke atas diri ana, dan diri anda sekalian.

Tinggi ilmu vs rendah akal

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Ana nak kongsi satu email yang di’foward’kan oleh seorang rakan melalui yahoo group. Email berkenaan mengandungi satu pengamatan atau kekecewaan daripada seorang rakyat Malaysia yang tidak setuju dengan kempen boikot restoran KFC. Dakwanya, ramai dalam kalangan bloggers menyokong perbuatan memboikot dan mengatakan syarikat KFC Malaysia juga memberi saham dalam mengkayakan KFC seterusnya menguatkan lagi ekonomi Israel itu tidak betul dan fitnah semata-mata.

Dakwanya lagi, dalam nada yang agak berlapik (bla bla bla.. maaf lah kerana terpaksa menggunakan bahasa kesat… bla bal bla bla) bahawa perbuatan memboikot ini memang patut. Tetapi tidak patut ke atas KFC yang pada hemat dan kajiannya mengatakan KFC Malaysia itu dan ini, yang padanya tidak menyumbang ke arah kekuatan ekonomi KFC dan tidak membantu kekuatan ekonomi Israel dan Yahudi. Beliau dengan perasaan penuh geram melemparkan tuduhan meliar dan mencemuh para ustaz dan imam-imam masjid yang turut sama menggesa perbuatan boikot KFC melalui kuliah-kuliah agama dan sesi ceramah umum. Katanya, dengan adanya para ustaz dan imam sebeginilah maka rosak agama dan imej Islam makin tidak dihormati.

Wow! hebat sekali dapatan kajian dan menarik sekali cara tulisan artikel dalam email berkenaan.

Tidak dapat dinafikan ada semacam rasa geli hati juga ana bila baca email berkenaan. Bukan apa si penulis ni rasa bangga sangatlah dengan ketinggian ilmu dan pengetahuannya sehingga ilmunya membenarkannya mengutuk ustaz-ustaz (maybe macam ana) dan pak-pak imam (maybe imam di hujung kampung) yang bertungkus lumus iklankan boikot KFC.

Tinggi sangatlah ilmu dan pengetahuan dia yang tahu siapa CEO KFC Malaysia. Kelakar betul. Pastu tahu pula ayam KFC Malaysia confirm halal. Dan KFC Malaysia tak macam KFC US yang menyalurkan dana kepada Israel. Alahai dalamnya ilmu pengetahuan keduniaan mamak ni. Kita yang membaca pun rasa terpegun dan tabik spring dengan luahan rasa berlapiknya itu. Lalu paling tidak kita akan diam (seterusnya maybe ada rasa nak makan KFC Malaysia lagi).

Sepupu ana pengurus besar salah satu KFC di Malaysia. Tapi ana tak lah marahkan ustaz-ustaz dan para imam tu yg nak boikot KFC. Semua orang ada pendapat masing-masing. Bahkan Kerajaan kita termasuk semua parti-pati yang ada, termasuk NGO menggesa rakyat agar memboikot. Dalam khutbah ana dengar gesaan memboikot barangan US, dan apa-apa yang mendorong kepada kekuatan ekonomi Yahudi dan Israel.

Kalau pasal kerja, peluang pekerjaan dan mencari kekayaan. Wujudkanlah satu produk Islam. Orang-orang kaya sebagaimana yang tuan email itu agung-agungkan boleh main peranan. Kalau rasa-rasa ianya dah wujud, perbanyakkan, perkayakan dan perhebatkan. Media boleh main peranan. KFC itu pun famous antara sebabnya adalah media juga. Selain itu, kita secara individu ini, sokong dan perlu rasa best, rasa lazat dan rasa hebat mengguna atau makan produk orang Islam. Buang jauh-jauh perasaan hebat makan fast food omputih itu.

Takan pasal kerja, nak cari rezeki maka terpaksa buat apa sahaja tanpa berkira. Yang orang Islam beli KFC, naik turun mahkamah utk dapatkan semua saham KFC tu siapa yang suruh? Kalau bukan nafsu dunia yang kononnya nak jadi kaya. Kaya harta tapi miskin jiwa. Konon tinggi ilmu pengetahuan. Adakah dengan membaca bismillah ketika nak jual arak atau nak minum arak sudah menjadikan arak itu halal? tingginya ilmu dan kajian kamu!

Pandai pula bagitau KFC Malaysia tak macam KFC US yng banyak menyumbang kepada Israel. Kenapa sampai terpaksa gantung gambar (orang itu saja yang ana confirm dia bukan orang Islam) di tengah-tengah restoran KFC? Ana tak nampak lagi lah gambar jutawan muslim yang nak jadikan bisnes KFC tu lebih islamik ada di mana-mana restoran KFC? Kenapa? Takut kena saman sebab tak gantung gambar dia yang itu? Atau saja nak tarik perhatian dan ada rasa mengagung orang itu? Itukah yang menggambarkan ketinggian ilmu dan kedalaman kajian? Bila tiba musim krismas pula, terpaksa buat aneka decoration di sekeliling pasu bunga yang ditanam padanya sepokok krismas. Secara tak langsung, semua orang Islam yang datang makan KFC pada 25 Disember setiap tahun itu menggambarkan apa?

Setiap gerak geri orang bukan Islam, akan menterjemahkan ayat alquran “tidak akan redha kepada kamu, kaum yahudi dan nasrani melainkan setelah kamu mengikuti agama (cara hidup) mereka”. Ana rasa tidak ada fakta yang terlebih sahih daripada al-Quran. Kalau kita tidak prihatin, dan bersekongkol pula, seterusnya bila ada pihak yang sahut cabaran Kerajaan untuk memboikot, kita naik angin dan marah-marah? Siap kutuk orang-orang agama lagi. Apakah petanda tingkatan iman kita ini? Lebih tebal dari kulit bawang?

Ana secara peribadi ada juga tertanya-tanya, kenapalah suka sangat makan ayam? Mana lebih tinggi protien ayam berbading protien makanan laut? Bukankan sumber protien lebih terbukti mencerdikkan manusia? Kenapa kedai-kedai makanan segera tak banyak dan tak glamourkan makanan laut? tidak ada jenama udang dari canada. Tidak ada jenama komersial ketam dari australia. Tiba-tiba ada saja ayam dari kentucky tu? Ada hotdog (Anjing panas) lagi. Burger. Bukankah semua itu produk-produk yang berasaskan makanan haiwan darat yang nak kena sembelih?

Orang Islam boleh ke makan binatang-binatang itu semua kalau tak sembelih? Tapi kalau ikan, sotong, udang dan ketam, adakah pula syarat sembelihnya? Kenapa tak fikir, kenapa mereka tak majukan yang ini? Satu lagi boleh jamin kah KFC Malaysia terutama yang dibuka di kawasan-kawasan majoriti bukan Islam (lebih 80%) contoh kat sabah atau sarawak tu cari ayam halal? paling halal? maksudnya paling anda yakin benar-benar ia bersumberkan ayam yang disembelih secara halal? Kemudian diperlahapkan oleh anak2 bangsa Islam di sana.

Amboi buat pula bandingan KFC Malaysia salurkan jutaan ringgit kepada rakyat Palestin. Entah-entah bayaran royalti jenama KFC itu lebih banyak daripada yang disalurkan ke Palestin. Buat bandingan pula dengan pak-pak imam yang mampu bagi RM5 je. Pada ana itu dah banyak. Ana rasa ramai lagi yang dermakan hanya 50sen atau RM1 atau RM2 je. Nasib tuan email tu tak sebut dan hinakannya dalam artikel ilmiahnya itu.

Dia tak pula bandingkan (daripada persepsi dosa pahala dalam Islam) antara seorang kafir yang bina jambatan emas di hadapan sebuah masjid dengan seorang hamba Allah yang berkaki ayam sahaja masuk masjid, solat dengan khusyuk dan patuh segala ajaran Allah? Siapa masuk syurga?  Bangga sangat dengan angka. Sedangkan dalam surah al-Mulk ayat 2, Allah tak bangga langsung dengan angka. Bahkan Allah gesa kita umat Islam agar ada kualiti. Angka yang besar tak penting kalau macam buih di lautan! Perang Badar membuktikan beza angka dengan kualiti.

Dua tiga hari lepas, ana bersama seorang rakan tinjau-tinjau pantai irama Bachok. Berekriasi sambil-sambil tu makan udang, sotong yang digoreng celup tepung. Kata rakan ana “best juga, dan kreatif orang kelantan ya?”. Ana jawab “kalau ada restoran KFC kat area ni, mak cik (sambil jari menunjukkan kepada seorang pekedai tengah goreng produk-produk makanan lautnya) tu gulong tikar…”.

Siapa yang memusnahkan impian orang Islam? Siapa yang membawa masuk jenama orang bukan Islam kemudian mengislamkan produk tersebut demi menjatuhkan dan merendahkan kreativiti orang Islam? Mungkin bukan niat begitu tapi itulah realiti. Kalau ikhlas nak majukan Islam, nak meriahkan ekonomi Islam, jihad ekonomi, jihad bisnes atau apa saja, kenapa asasnya adalah produk yg diimport? Terutama dari tamadun bukan Islam? Kita yang belajar tinggi-tinggi tak pernah ambil subjek tamadun islam kah? Adakah matapelajaran itu diwujudkan untuk suka-suka saja kah? utk kenal Ibn Sina, Ibn Batutah itu aje kah?

Kesimpulan
Janganlah kita terlalu berdabik dada dengan ilmu dan pengetahuan keduniaan yang sedikit. Dengan beberapa fakta nombor dan angka yang besar-besar maka melayakkan kita memperlekeh para ustaz, para imam dan ahli agama yang lain. Ana teringat satu kata-kata seorang bekas paderi yang telah diberikah hidayah oleh Allah berkata “Semasa aku jadi paderi dulu, tak pernah jejak kaki kelas ke belakang kapal terbang untuk duduk di seat kelas ekonomi. Jarang-jarang aku menikmati kelas perniagaan dan kebiasaanya aku duduk di kelas pertama. Sebaliknya, apabila aku Islam, tidak pernah sesekali aku bermimpi untuk duduk kecuali di kerusi kelas ekonomi”.

Samada pengakuannya itu kerana ia ingin berjimat cermat, sudah zuhud atau kerana kekurangan orang-orang Islam lain yang memandang tinggi kepada ahli-ahli agama, jauh sekali ingin menaja perjalanan mereka, makan minum dan tidur baring seorang pejuang agama Allah.

Fikir-fikirkan, orang Islam berada di sebuah wadi dan ajaran agama Islam berada di wadi yang lain. Pada masa sama musuh-musuh Islam bersatu dan mempengaruhi orang-orang Islam yang nampak kuat (material dan wang ringgit) agar sama-sama menghancurkan Islam! “Tak apa, kamu maju, kamu kaya, nanti kamu dermakan banyak-banyak” padahal jiran dan saudara kandung kamu mati kebuluran!

Wallahu aklam.

Tabung Kebajikan

Bismillahirrahmanirrahim

Cuba anda bayangkan, kalau setiap orang daripada kita mempunyai tabung kebajikannya tersendiri. Sesuatu yang baik bukan? Jika ada orang dipertengahan jalan, tiba-tiba meminta sedekah, maka kita dengan senang hati dapat menghulurkan sepuluh sen dua. Kalau ada mana-mana masjid nak buat ubahsuai (renovation) dan memerlukan bantuan, maka kita dapat sertai sepuluh dua. Walau apa sahaja bentuk kebajikan kepada orang lain, atau apa yang dinamakan sebagai kebajikan sosial, kita pasti susah untuk ketinggalan.

Kalau ikut syariat Islam, kita diwajibkan berzakat, iaitu mengeluarkan sebahagian kecil daripada harta atau pendapatan kepada beberapa golongan tertentu setelah duit atau harta kita itu mencapai nisab (tahap) yang tertentu. Kalau berdasarkan nisab zakat bagi negeri Kelantan tahun 2008 iaitu RM7788.00. Siapa yang ada simpanan, atau pendapatan bersih yang lebih daripada itu maka wajib keluarkan zakat. Tak bayar zakat berdosa hukumnya.

Tetapi sekiranya pendapatan bulanan kita tak mencapai nisab zakat, apakah kita rasa selesa untuk sentiasa ketinggalan dalam berbuat kebajikan? Tentu tidak ada seorang (mukmin) pun yang ingin ketinggalan di dalam mengejar pahala (bekalan) untuk dituai di akhirat sana. Termasuklah mereka yang berpendapatan rendah.

Oleh yang demikian, kalau kita boleh wujudkan satu tabung kebajikan peribadi. Setiap kali dapat gaji, maka peruntukkanlah 2.5% (kalau ikut ini adalah nisab zakat) daripada gaji itu untuk dimasukkan ke dalam tabung kebajikan. Sebagai contoh, orang yang bergaji RM1000 maka dia perlu masukkan sebanyak RM25 ke dalam tabung peribadinya. Kalau gajinya RM500 maka keluarkanlah ke jalan Allah (melalui tabung kebajikan tersebut) sebanyak RM12.50. Begitulah seterusnya. Maka sesiapapun boleh merasai nikmat berbuat kebajikan berbentuk bantuan kewangan ini.

Hari ini orang sentiasa ingin lari daripada memberi bantuan kepada yang memerlukan. Mereka lebih suka menghina mereka yang meminta-minta dengan pelbagai label, daripada memikirkan apakah sumbangan yang perlu mereka lakukan bagi mencegah sifat suka meminta sedekah dalam kalangan masyarakat. Kata sesetangah “mereka ini bukannya miskin, ada sindiket ni”. Dan yang lain pula mencemuh “… nampak macam sihat tubuh badan, pergilah cari kerja, jangan asyik meminta-minta, mencemarkan aje!”

Begitu juga ada beberapa pihak lagi mengidamkan sebuah negara berkebajikan. Kata mereka seperti negara US, UK dan beberapa negara maju (pada penilaian mereka sendiri). Kadang-kadang, batch making yang dibuat itu tidak kepada yang ada nama Islam pun, tidak kepada negara Islam atau bekas negara Islam di bawah kepimpinan khalifah Islam suatu ketika dahulu. Mereka lebih suka mengetengahkan bahawa orang Islam ini tidak mampu. Negara orang Islam bukan negara kebajikan sebaliknya mereka lah yang memerlukan kebajikan. Subhannallah.

Semua orang sedia maklum bahawa sesebuah negara dibentuk oleh ahli-ahli warganegaranya. Jikalau setiap ahli sesebuah masyarakat itu memilih untuk memberi kebajikan maka akan lahirlah sebuah negara berkebajikan. Kalau setiap (kebanyakkan) rakyat sangat memerlukan maka negara itu adalah termasuk kategori negara dunia ketiga (miskin).

Macamana nak memberi sekiranya kita tidak ada (kemahiran dan niat) untuk memberi. Atau kita memang tidak ‘ada’ benda yang hendak diberi. Pepatah Arab mengatakan “Seseorang yang tidak ada, tidak boleh memberi.” Niat untuk memberi itu dilihat kepada tindakan. Tindakan orang yang berjaya adalah sesuatu yang realiti. Nampak pada mata kasar. Dilakukan dengan sedar, bukannya di bawah sedar.

Kebiasaannya orang Islam memberi sedekah di bawah sedar. Kalau kebetulan pada masa itu ada duit lebih (baki berbentuk 1 sen, 10 sen daripada membeli belah) maka mereka bersedekah. Sebab itu apabila terserempak sahaja dengan peminta sedekah (atau peminta sedekah bertandang ke rumah pun) mereka mencari seribu satu alasan untuk tidak memberi. Tidak cukup dengan itu, siap berburuk sangka dan memfitnah itu ini kepada saudara seagama.

Cuba umat Islam belajar daripada pensyariatan zakat. Kalau zakat mereka akan keluarkan dengan disertakan niat, akad dan sebangainya. Cukup teratur. Aplikasikanlah yang sama dengan sedekah. Bezanya zakat diberikan kepada asnafnya (kumpulan) yang tertentu manakala sedekah diberikan kepada sesiapa sahaja.

Dengan adanya sebuah tabung kebajikan masing-masing. Maka senanglah sedekah dikeluarkan. Dan ia suatu yang terancang. Dengan niat dari awal hari gaji lagi untuk berbuat kebajikan kerana Allah. Cuma menunggu masanya sahaja. Apabila ada peluang memberi, maka berilah dan bila balik rumah, buat claim dengan tabung kebajikan tersebut.

Dan cuba bayangkan kalau sudah sepuluh bulan tabung kebajikan kita diisi dan tidak ada rezeki (peluang) lagi untuk memberi (kecuali tabung masjid pada hari jumaat sahaja). Sudah tentu tabung kita itu akan menjadi kuat juga dan dapat berbuat kebajikan yang dahsyat juga. Apa pun bentuk kebajikan, kita pasti dapat menghulurkan (menyertainya).

Yakin lah, sekiranya setiap umat Islam ada hati ingin menolong saudaranya (dengan perancangan yang rapi dan strategik) yang lain, maka tidak mustahil pada saat itu Allah akan memberikan pertolongan kepada umat Islam seluruhnya. Pada masa itu, umat Islam menjadi kuat, tidak lagi ditindas di mana-mana seperti hari ini. Yakin lah bahawa setiap kita perlu berjuang. Dan jangan perlekehkan usaha mewujudkan tabung kebajikan di rumah untuk diri masing-masing adalah suatu usaha besar yang digajarkan pahala oleh Allah dan dijanjikan keberkatan dunia akirat. Tidak itu sahaja, mungkin suatu kemenagan bagi umat Islam pada masa yang sama. Kerana umat Islam masing-masing ada hati ingin menolong sesama mereka walaupun pada masa sama mereka juga sebenarnya memerlukan pertolongan.

Kita mesti ingat satu kisah sahabat nabi yang masyhur di dalam menjelaskan perkara ini. Mereka bertiga adalah mangsa sebuah peperangan dan berada di ambang kematian. Masing-masing berada dalam keadaan yang sangat dahaga. Apabila sahabat pertama ingin meneguk air, terdengar di telinganya sahabatnya yang lain meminta air. Lalu diminta air itu diberikan kepada sahabatnya (yang pada padangannya sangat memerlukan). Begitulah apabila sahabat kedua ingin meneguk air, terdengar sahabatnya yang ketiga meminta air. Maka diminta agar diberikan dahulu air itu kepadanya. Apabila sampai kepada sahabat yang ketiga, didapati ia telah meninggal dunia. Lalu dikejarkan air kepada sahabat yang kedua, juga telah meninggal dunia. Seterusnya kepada sahabat yang mula-mula itu tadi, pun telah didapati baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Itulah pengorbanan seorang mukmin yang berada dalam keadaan perlu, tetapi lebih mengutamakan ‘keperluan’ sahabat seagamanya yang lain.

Berbalik kepada soal kebajikan tadi. Jangan kita asyik fikirkan apa kebajikan yang negara atau orang lain berikan kepada kita, sebaliknya, fikir dan bertindaklah terlebih dahulu untuk menghulurkan kebajikan kepada orang lain. Walaupun kita sebenarnya berada dalam situasi ‘perlu’. Kerana sebenarnya “tidak ada orang yang lebih kaya daripada seseorang yang kaya jiwanya”.

Wallahu aklam.

Harta Pusaka

Bismillahirrahmanirrahim

Harta Pusaka adalah harta peninggalan seseorang (selepas kematian) kepada para warisnya. Kebiasaannya peninggalan orang tua kepada anak-anak mereka. Boleh berlaku sebaliknya iaitu harta peninggalan si anak (yang meninggal terlebih dahulu) dan diwariskan kepada ibubapa. Pengurusan harta pusaka ini telah dijelaskan secara terperinci oleh Allah SWT melalui hukum al-Faraid (surah al-Nisa ayat 11 dan ayat 176).

Apabila sesuatu harta pusaka itu ingin dibahagikan, kebiasaannya semua mereka yang terlibat (samada anak-anak, isteri-isteri akan) dipanggil oleh pihak yang berkuasa, mereka diberi pilihan samada ingin membahagikan harta pusaka mengikut hukum al-faraid ataupun mengikut hukum biasa iaitu sama banyak antara lelaki dan perempuan (sebaliknya mengikut faraid, anak lelaki akan memperolehi dua bahagian manakala perempuan satu bahagian sahaja). Kebanyakan yang terjadi, sebahagian masyarakat memilih untuk tidak menggunakan pembahagian secara al-Faraid ini lalu memilih pembahagian sama rata.

Ulama bersepakat bahawa, sekiranya berlaku pertelingkahan walaupun daripada seorang wasi (yang layak menerima pusaka) maka hukum al-faraid wajib diikuti. Iaitu membahagikan harta pusaka mengikut ketetapan lelaki akan menerima dua bahagian manakala perempuan satu bahagian. Sebaliknya, jika ada kata sepakat (daripada semua pihak yang layak terima pusaka itu) maka mereka berhak membuat pilihan samada ingin mengikut hukum faraid ataupun pembahagian biasa. Kerana pada masa itu, tidak ada persengketaan bahkan mereka sebulat suara bersetuju.

Ada sebahagian ulama lain berpendapat, pembahagian harta pusaka mesti mengikut hukum al-faraid. Kerana ia adalah ketetapan Allah berkenaan pengurusan harta pusaka itu. Setelah dibahagi, dan (pihak wasi) masing-masing menerima hak masing-masing, maka bolehlah pada masa itu sekiranya mereka ingin sedekahkan bahagian mereka kepada mana-mana wasi lain (atas kerelaan sendiri). Kerana harta (bahagian) itu tadi adalah milik mereka. Terserahlah kepada mereka untuk menguruskannya.

Mengikut pendapat ana, samada membahagikan harta mengikut faraid atau undang-undang sedia ada sama sahaja. Bahkan kalau ikut faraid, sekiranya seseorang (wasi itu) orang kaya, manakala ada dalam kalangan adik beradiknya kurang kemampuan sedikit, sudah tentu si kaya tadi ingin bertimbang rasa dengan limpahan kurniaan rezeki Allah kepadanya, lalu ingin diberikan bahagiannya itu kepada saudaranya yang berada dalam kesempitan. Atas kerelaannya sendiri. Mungkin ada sedikit kerumitan daripada segi masa pengurusan. Iaitu setelah dibahagikan mengikut faraid, hendak pula diadakan majlis akad satu lagi, iaitu akad menyerahkan haknya. Tidakkan sekiranya pilihan kedua (iaitu mengikut hukum biasa) diamalkan, maka itu akan lebih menjimatkan masa.

Namun sebaliknya, kalau timbul ketidak senangan dalam kalangan mana-mana pihak (wasi) yang terlibat, maka pendapat wajib menggunakan hukum al-faraid itu hendaklah diamalkan. Begitu juga sekiranya ada dalam kalangan wasi yang belum mencapai umur baligh. Iaitu had kematangan menguruskan harta dan mengeluarkan pandagan yang bijak. Pada masa itu juga, semua mereka yang terlibat wajib memilih untuk dibahagikan harta pusaka mereka ikut al-faraid. Wallahu aklam.

Ada juga orang bertanyakan ana. Sekiranya sebelum meninggal dunia, seseorang terlebih dahulu menjual harta pusaka mereka. Apa hukumnya. Jawapan ringkas (dengan pengetahuan yang cetek ini) ana menjawab, kerana hak masih ditangannya, dan disertakan dia adalah orang yang layak menguruskan harta, maka tiada sekatan untuk dia menjual hartanya walaupun harta itu bukan hasil usahanya tetapi adalah harta pusaka.

Cuma kalau mengikut pandangan peribadi ana, tidak patut sangatlah seseorang menjual harta pusaka mereka (yang berupa harta tanah, bangunan, syarikat dan aset bernilai yang lain) kerana semua itu bukan 100 peratus miliknya. Iaitu harta itu tidak diperolehi dengan hasil titik peluh sendiri. Sebaliknya hanyalah diwarisi dari generasi sebelumnya. Kita sudah tentu sedia maklum bahawa, kalaulah ia sebidang tanah, maka sudah tentu pewaris awalnya berniat untuk ia diwarisi oleh anak cucu. Kalau dahulu mereka nak jual dan tinggalkan harta berbentuk wang ringgit, sudah tentu mereka lebih berhak untuk jual. Kecualilah harta peninggalannya hanyalah sekangkang kera, atau dua tiga unit saham syarikat, sudah tentu sukar untuk dipertahankan dan diwarisi oleh bilangan wasi yang ramai. Dengan itu bolehlah dijual.

Seperkara lagi ana selalu perhatikan, sekiranya seseorang itu gemar sangat menjual harta pusaka, lama kelamaan sifat suka menjual itu menjadi suatu ketagihan. Sehingga habis harta pusaka peninggalan orang tua dijualkannya, dan tidak ada langsung yang boleh ditinggalkan kepada waris yang terkemudian. Apa yang lebih menyedihkan, walaupun selalu jual (biasanya tanah) harta pusaka, nasib mereka tidak juga berubah. Malah semakin miskin, sukar mencari rezeki dan dipandang hina juga dalam masyarakat. Mereka ini diibaratkan sebagai orang yang mendapat bekalan ikan tetapi tidak tahu menahu tentang cara bagaimana memancing atau mendapatkan ikan yang lain.

Oleh yang demikian, berhati-hatilah apabila kita berhadapan dengan pengurusan harta pusaka. Pertama sekali, seboleh mungkin kita usaha untuk gunakan kaedah pembahagian yang disyorkan oleh syarak iaitu dengan menggunakan hukum faraid yang dijamin lebih berkat. Keduanya, jangan sesekali kita ada hati untuk menjual harta pusaka, sebaliknya menjadikan ia sesuatu yang boleh diwarisi dari satu keturunan ke satu keturunan yang lain. Orang kata biar ada kenang-kenangan.

Paling baik, kalaulah kita mampu, maka wakafkanlah harta pusaka itu untuk dijadikan masjid, surau atau tempat-tempat kebajikan yang lain. Kerana hasilnya (pahala wakaf iaitu amal jariah) nanti akan mengalir bukan sahaja kepada akaun kita (di sisi Allah) secara berterusan bahkan kepada akaun-akaun orang tua kita yang telah meninggalkannya untuk kita suatu ketika dahulu. Ingatkan penat lelah dan hasil titik peluh mereka. Lakukanlah yang terbaik kerana mereka sebagai orang tua selalu memikirkan kebaikan kita. Apa salahnya kalau kita pula membalasnya dengan melakukan yang lebih baik buat bekalan mereka (di sisi Allah sana).

Kalau nak dirikan rumah, nak duduk rumah besar, ada tanah dan kebun maka bekerja keraslah ke arah itu. Berusahalah mencari rezeki yang Allah sediakan. Kalau orang tua boleh buat, masakan kita selaku waris mereka yang terkenal dengan pandai buat harta ini tidak dapat lakukannya. Takan pandai perhabis harta sahaja.

Sekian, wallahu aklam dan wassalam.

Surat untuk mak..

Mak…..
Terlalu bosan rasanya duduk membilang hari…..
Dah hampir sepuluh bulan mak pergi,
Rasanya baru semalam mak peluk kiter kan?
Sejuk syahdu masih terasa lagi nih….

Mak tau tak…..
itu lah pertama kali mak peluk anak mak yang nakal ni sejak kiter dewasa……
dan itu jugalah terakhir kali nya.
Emmmm… rupanya mak dah tau mak nak pergi jauh…..
nak tinggal kan anak-anak mak…..
nak tinggal kan dunia fana ni…..

mak macam dah sedia…..
Seminggu sebelum tu…..
mak dah menganyam tikar mengkuang 3 helai…..
Akak kata sampai ke pagi mak anyam tikar tuu….
tanpa rasa mengantuk, tanpa rasa letih…..
kakak pun rasa hairan…..
mak tak penah buat gitu…..

pastu mak pasang radio kecil di sebelah mak…..
tapi mak seolah-olah tak sedar bahawa rancangan radio tu siaran siam ……
kekadang siaran indonesia …
mak terus tekun menganyam…
Rupanya tikar yang telah mak siapkan tu di gunakan untuk mengiringi mak ke kuburan…

Pastu mak sapu sampah sekeliling rumah bersih-bersih….
pastu mak jemur karpet-karpet…
pastu mak ubahkan sofa ke tempat lain..
mak biarkan ruang tu kosong..
rupanya kat situ jenazah mak diletakkan..

paling menarik sekali mak bgtau kat mana semua duit dan barang kemas mak…
ada kat dalam almari…..
ada kat dalam dalam beg…..
ada dalam ASB…..
ada kat dalam Tabung Haji.. 
mak cakap tak berapa cukup lagi.. ada kat dalam gulung tikar…..

masa tu mak perasan takk..??
kiter gelak sakan bila mak bgtau duit dalam gulung tikar…
kiter kata mak ni memang pesen lama laaa…
mak cuma gelak jer…
eeemmm..bahagiaa nya saat ituu..

Mak…..
Hari tu hari sabtu 18/08/xxxx pukul 3 petang mak tiba-tiba sakit perut…..
bila malam tu kiter sampai dari KL.. mak dah dalam kesakitan.
Akak dan abang kat kampong semua dah pujuk…..
mak tetap tak mau pi hospital…..
dan cuma tinggal giliran kiter sahaja yang belum pujuk..
Mak kata mak tak mau duduk dalam hospital…. .
tapi kiter berkeras juga pujukk…
nanti di hospital ada doktor…
ada ubat untuk mak..
kat rumah kami hanya mampu sapu minyak dan urut jer..

Mak tetap tak bersetuju… ..
mak memang degil..
tak salah, anak mak yang ni pon mengikut perangai mak tu..
Tapi akhirnya bila melihat keadaan mak makin teruk….
mak sakit perut sampai nak sentuh perut mak pon sakit
kami adik beradik sepakat hantar juga mak ke hospital.

Mak…..
amponkan kami semua…
kami nak mak sehat…
kami sayang mak…
kami tak mau mak sakit…
kami terpaksa juga hantar mak ke hospital….
ampon kan kami ya mak….

Mak…..
Malam itu abang bawa mak ke hospital
dan itulah pertama dan terakhir kali mak naik kereta kiter…

Masih terbayang betapa ceria dan gembiranya mak,
kiter kata nak beli kereta….
Mak asyik tanya ajer..
cukup ker duitt..
kiter jawab pula…
kalau tak cukup, mak kan banyak duit…
mak gelak ajerr…..

Lepas tu bila kereta kiter sampai….
mak buat kenduri kesyukuran.. ….
Dan kiter masih ingat lagi…
bila kiter eksiden terlanggar Ah-Chong naik motor…..
Punya la kiter takut…
kiter warning kakak kiter jangan sesekali bagitau kat mak…..
Bila balik sahaja kampong….
kiter cepat-cepat simpan keta dalam garaj…..
Tapi mak perasan juga bumper depan kemek…
mak tanya kenapa…?
Selamba jerr kiter jawab terlangar pokok bunga…..

Mak….
tujuan kiter menipu tu supaya mak tak risau…
Maafkan kiter kerana sampai mak pergi mak tak tau hal sebenar…
mak, kiter menipu mak kan?..
ampon kan kiter..

Mak…..
Jam 4.30 pagi 19/08/xxxx
Bila tiba aja kat hospital….
nurse tengah balut mak dengan kain putih…..
mak mesti nampak kiter jatuh terduduk di lantai hospital…
Mesti mak nampak abang cium dahi mak…..
Mesti mak nampak akak baca doa untuk mak….
Mesti mak nampak adik terduduk kat kerusi kat sudut itu…
mesti mak nampak semua tu kan?…kan?.. kan..

Mak tau tak….
Pagi tu balik dari hospital jam 5.20 pagi kiter mamandu dalam keadaan separuh sedar…
Adik kat sebelah diam melayan perasann…
Kenangan bersama mak berputar dalam kepala ini…
jalan di depan terasa makin kelam…..
airmata dah tak mampu di tahan….
Masa tu seandainya apa-apa terjadi di jalan itu kiter rela…
Namun alhamdulillah akhirnya kiter sampai juga…
di sebab kan pagi masih awal, jadi jalan tu lenggang..
kosong…. sekosong hati ini…..
Sepanjang perjalanan terasa kedinginan subuh itu lain benar suasananya..
terasa syahdu dan sayu… dingin….

Mak…..
Kiter masih ingat lagi…
Kiter baca AlQuran kat tepi mak temankan mak…
Jam 11.00 pagi mak dimandikan …..
Anak-anak mak yang pangku masa mak mandi….
Mak mesti rasa betapa lembut nya kami mengosok seluruh tubuh mak…..
Kiter gosok kaki mak perlahan-lahan…..
Mak perasan tak…?

Makcik yang mandikan mak tu pujuk kiter…..
Dia kata…” dikk…jangan nangis…kalau sayang mak jangan buat gitu…jangan nangis ya..”
Bila makcik tu kata gitu…
lagi laaaa laju airmata ni..
tapi kiter kawal supaya tak menitik atas mak….

Mak…..
Sampai takat ini surat ni kiter tulis…..
kiter nangis ni…..
Ni kat dalam bilik…
baru pukul 4.00 pagi….
Takder orang yang bangun lagi…..
kiter dengar nasyid tajuk “anak soleh” kiter sedih…
kiter rindu kat mak..!

Takpa la….
nanti bila kita selesai sembanyang subuh,
kiter baca yassin untuk mak…
mak tunggu ya..!

Mak..
Sebelum muka mak di tutup buat selamanya… .
Semua anak-anak mak mengelilingi mak…
menatap wajah mak buat kali terakhir….
Semua orang kata mak seolah-olah senyum aja…

Mak rasa tak….
masa tu kiter sentuh dahi mak….
kiter rasa sejukkkk sangat dahi makk…..
Kiter tak mampu nak cium mak…
kiter tak daya….
kiter tuliskan kalimah tauhid kat dahi mak dengan air mawar…
Airmata kiter tak boleh tahan….

Mak mesti ingat kan
yang anak mak ni jadi imam solat jenazah untuk mak…
tapi kite suruh tok imam bacakan doa..
sebab..
kite sebak.. mak

Jam 12 tengahari mak diusung keluar dari rumah juga….
Akak pula dah terkulai dalam pelukan makcik…
badan akak terasa panas…
makk… anak mak yang seorang tu demam….
Mak tauu…
cuma akak sorang saja anak mak yang tak mengiringi mak ke tanah perkuburan..

Mak…..
Hari-hari ku lalui tanpa kewujudan mak lagi…
Begitu terasa kehilangan mak…
boleh kata setiap malam selepas maghrib anak mak ini berendam airmata…
Dan sampai satu tahap….
masa tu malam jumaat selepas maghrib…
Selepas kiter baca yassin dengan kawan-kawan. ….

Entah kenapa biler kat bilik kiter keluarkan gambar-gambar mak..
pastu apa lagi….
semakin kiter tenung terasa semakin sayu…
tangisan tak dapat dibendung…

Mak tauu…
kiter cuba bertahan…
memujuk diri sendiri tapi tak juga reda…
Kiter rasa nak telefon mak…
nak cakap dengan mak….
anak mak yang ni dah tak betul kan…?

Dan akhirnya dalam sedu sedan itu kiter telefon juga ke kampong…
Kiter cakap dengan kakak..
kiter nangis lagi…
Puas la kakak memujuk kiter…
Akak kata… “tak baik laa nangis aje.. doa lah untuk mak!”
Dan akhirnya akak juga nangis.. mak

Mak tau tak..
di saat itu kerinduan terasa menusuk sehingga ke hulu hati…
rasa nyilu sangat…
menusuk-nusuk sehingga terasa begitu sakit dalam dada ni….
Sampai sekarang bila kerinduan itu menjelma…
hanya sedekah al-fatihah kiter berikan…..

Mak….
cukup la sampai sini dulu….
kawan kiter dah ketuk pintu bilik tu….
kejap lagi kami nak pergi solat subuh kat masjid…
selalunya, kiter yang bawak mak naik motor kan ….
kali ni kiter jalan kaki dengan kawan pulak…
esok kiter ingat nak tulis surat kat ayah pula….
Mula-mula kiter tak tau nak hantar mana surat nih…
pastu kawan kiter bagitau…
simpan je buat kenangan..
 
Tapi kita kongsi juga surat ni..
Takper yer mak…
kiter kasi orang lain baca…
Kiter stop dulu…
sebab kawan kiter dah lama tunggu tu…

Akhir kata untuk mak,
I LOVE YOU SO MUCH
dan jutaan terima kasih kerana membesarkan kiter…
memberi seluruh kasih sayang dari kecil sampai masuk sekolah..
sampai masuk unibesiti..
sampai kiter boleh rase naik kapal terbang…
sampai boleh rasa duduk kat negara orang…
sampai akhir hayat ini jasa mak tak akan mampu kiter balas..
Sekian terima kasih,
Yang Benar Anak mak yang dah tak degil.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Ana sengaja nak panjang email nih. Datang dari seorang rakan yang juga fowardkan email dari seorang rakan yang lain. Apabila membacanya, hati kecil ana tersentuh. Untuk itu, ana kongsikan rasa ini bersama rakan pengunjung laman Kalam IbnRajab. Semoga kita semua dapat mengambil manfaat daripadanya.

Kalau orang belajar kesusasteraan Arab, tentu mereka terjumpa uslub surat seperti ini. Ia dinamakan ‘ratha’. Maksudnya ratapan. Terdapat banyak syair-syair Arab (daripada jahiliy sehingga modern) membincangkan tajuk ‘ratha’ ini. Ia sangat menyentuh hati di samping meninggalkan manfaat kepada setiap yang membacanya. Sekiranya anda tidak rasa apa-apa setelah membaca isi surat ini tadi, mungkin kerana anda baca dengan kadar yang terlalu cepat. Cara membaca surat atau apa sahaja sastera ratha ialah dengan perlahan di samping mengahayati setiap byte (abjad, tanda baca dll) yang digunakan. Sebelum berpindah daripada ayat atas ke ayat bawah, anda perlu berhenti dan menghayatinya terlebih dahulu. Dengan itu, anda akan berada dalam situasi penulis dan dapat merasai sebagaimana yang penulis rasai.

Hasil sastera seperti ini elok sekiranya kita bagi anak-anak baca. Untuk mendidik rasa mereka. Sebenarnya perasaan sayang, kasih, cinta dan sebagainya itu juga perlu kepada didikan. Ia adalah ilmu seperti ilmu lain juga malah lebih halus. Kerana ia melibatkan perasaan. Mungkin anak-anak tak pandai menyayangi orang tuanya kerana mereka tidak pernah lihat bagaimana rupa sayang itu. Sebaliknya, sekiranya mereka membaca tulisan-tulisan ratha orang lain menceritakan sayang mereka kepada seseorang, sedikit sebanyak anak-anak akan mula belajar.

Jadi semua perkara perlu kepada ajaran, didikan dan pupukan. Diajar dididik dan dipupuk. Semoga artikel kali ini mampu mendidik diri ana sendiri, untuk menghargai diri seorang ibu, dan terus berbakti kepada tanpa jemu, selagi ada peluang yang diberikan oleh Allah. Bagi mereka yang ibubapanya sudah tiada, juga masih boleh berbuat kebajikan kepada keduanya. Kerana doa dan amalan anak soleh itu terus akan mengalir kepada mereka tanpa hijab.

Semoga kita mengasihi orang tua kita, untuk kita dikasihi oleh anak-anak kita pula. Dan semoga kita menyayangi orang tua kita, untuk kita dirahmati oleh Allah pula. Sesungguhnya syurga itu dimasuki dengan Rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Wallahu aklam.

Info kesihatan

Tulisan ini ana sunting daripada satu kertas kerja yang dibentangkan oleh Faridah Abdul Rashid, Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM Kubang Kerian Kelantan. Anda boleh mengikuti bicara akademik beliau di blognya (http://theearlymalaydoctors.blogspot.com/). Selamat mencari yang baik dan bermanfaat.

Bismillahirrahmanirrahim

Lipid
Lipid berupa minyak dan lemak. Untuk menentukan sama ada sesuatu bahan makanan itu lipid atau sebaliknya, anda boleh lesekkan sedikit makan berkenaan pada kertas dan lihat kesannya. Jika makanan berkenaan meninggalkan kesan berupa minyak pada kertas, maka ia adalah ‘lipid’. Karbohidrat dan protein tidak meninggalkan kesan minyak pada kertas.

Umumnya terdapat sembilan (9) jenis ‘lipid’ dalam alam semesta ini – ada di antaranya boleh dimakan dan ada juga yang boleh memudaratkan jika dimakan terlalu banyak. Umumnya, hampir semua makanan yang boleh dimakan manusia mengandungi sedikit lipid sama ada secara semula jadi atau ditambah.

Segala makanan (kecuali air) yang kita makan mempengaruh jumlah lipid dalam darah kita. Agak sukar bagi umum mengetahui kandungan setiap makanan yang mereka makan atau ingin makan. Namun satu cara berkesan untuk mengatasi masalah ini ialah membaca label yang tertera pada setiap barangan makanan ketika membeli.

Lemak Makanan
‘Lemak’ ialah istilah umum untuk semua bentuk minyak yang kelihatan pejal di suhu bilik. Istilah saintifik bagi lemak ialah trigliserida (istilah dalam bidang perubatan) atau triasilgliserol (istilah saintifik kimia). ‘Lelemak’ pula ialah lemak yang dihasilkan setelah lemak asal diproses.

Makanan yang mendorong kepada tubuh sihat kurang mengandungi lemak. Sebaliknya, makanan yang mampu dan sering memudaratkan kesihatan kita mengandungi banyak lemak. Antara makanan kurang lemak ialah daging lembu atau kambing yang dibuang ketulan lemaknya, daging arnab, daging burung unta, ikan air tawar dan ikan laut. Antara makanan yang banyak lemak ialah daging lembu atau kambing berlemak.

Kolesterol Makanan
Tubuh kita memerlukan sejumlah kolesterol kerana kolesterol ialah bahan asas untuk tubuh kita membina hormon steroid. Kita perlu makan makanan mengandungi kolesterol. Kita perlu sedikit sebanyak mengambil tahu tentang kolesterol dan perlu mampu mengawal pengambilan kolesterol dalam makanan seharian. Jumlah kolesterol yang dimakan perlu dikawal sebaik mungkin jika kita mahu mengelakkan pelbagai penyakit masa kini.

Kolesterol hanya terdapat dalam makanan yang diperoleh daripada sumber haiwan. Kolesterol tidak terdapat sama sekali dalam makanan daripada sumber tumbuhan. Sebaliknya, tumbuhan mengandungi sitosterol sebagai ganti kolesterol. Sitosterol berbeza dengan kolesterol. Sitosterol bersifat berlawanan dengan kolesterol.

Makanan boleh mengandungi rendah kolesterol atau banyak kolesterol. Antara makanan yang mengandungi banyak kolesterol ialah makanan daripada sumber haiwan termasuk: daging merah berlemak seperti daging lembu dan kambing, daging organ, keju keras, susu penuh krim, yogurt, krim, telur, makanan laut seperti kerang-kerangan, ketam, udang, udang galah, dan sotong, coklat, mentega, lemak babi, minyak kelapa dan marjerin keras.

Manakala makanan yang mengandungi sederhana kolesterol termasuklah: daging merah tanpa lemak seperti daging lembu dan kambing, keju lembut, ais krim, kek, pastry, petis, dan mee telur. Antara makanan yang mengandungi rendah kolesterol termasuklah daging putih tanpa lemak seperti daging arnab, daging rusa, daging ayam, keju kotej, susu soya, susu cair, yogurt kurang lemak, ikan, kekacang, buah-buahan segar, sayur-sayuran, nasi dan bijirin lain, roti, minyak sayuran, minyak zaitun, minyak jagung, dan marjerin lembut. 

Kita boleh ambil langkah mencegah kolesterol dari naik mendadak dalam darah. Jika pada masa ini kita minat makanan tinggi kolesterol, kita hanya perlu ubah dan memilih makanan rendah kolesterol sebagai langkah bijak bagi menyelamatkan keadaan saluran darah dan jantung kita tersumbat dengan ledakan kolesterol. Inilah langkah terbaik jika kita inginkan saluran darah yang bersih dan menjamin kesihatan buat masa terdekat mahupun masa depan. Andainya kita mengabaikan langkah permulaan ini, maka kita sendiri menempah dan menjemput penyakit datang menimpa diri kita, tidak sekarang, lambat-laun penyakit akan tetap melawat kita.

Kolesterol Darah
Kolesterol ialah lipid daripada kumpulan sterol. Kolesterol darah disumbangkan oleh dua punca iaitu hepar (hati) dan menerusi pemakanan (makanan yang dimakan atau diet). Sebahagian besar kolesterol darah (70%) disumbangkan oleh hepar manakala pemakanan menyumbang sebahagian kecil sahaja (30%). Jumlah sebenar kolesterol yang dibekalkan oleh hepar ke dalam darah ditentukan oleh baka kita. Jumlah kolesterol darah juga ditentukan oleh baka kita.

Oleh demikian, terdapat banyak gen yang mempengaruh jumlah kolesterol yang akhirnya berada dalam darah. Walau pun demikian, ini tidak bermakna kita tidak ada jalan keluar untuk mengawal aras kolesterol darah kita. Sebaliknya, kita ada banyak pilihan jika kita mengetahui!

Umum perlu mengetahui bahawa kolesterol boleh hadir dalam dua bentuk dalam tubuh kita, iaitu bentuk ‘kolesterol bebas’ dan ‘kolesterol ester’. Bentuk kolesterol yang aktif dalam tubuh kita ialah kolesterol bebas. Manakala kolesterol ester ialah bentuk simpanan kolesterol dalam tubuh kita. Kolesterol bebas yang banyak dalam darah memudaratkan kerana mampu dimendakkan dalam saluran darah dan juga dalam jantung.

Sakit Dada/Jantung
Arteri koronar membekalkan darah kepada jantung. Jika arteri koronar tersumbat, kita boleh dapat ‘sakit dada’ atau pun ‘sakit jantung’.

Sakit dada berlaku secara tiba-tiba. Sakit dada boleh jadi sementara dan kadang-kala hilang begitu sahaja tanpa apa-apa kesan sampingan dalam masa terdekat. Namun sakit dada boleh berulang dalam masa terdekat atau lama kemudian. Sakit dada ialah petanda awal bahawa sakit jantung mungkin akan berlaku berikutnya.

Sakit jantung juga berlaku secara tiba-tiba. Sakit jantung boleh berlaku pada lelaki dan juga perempuan dewasa. Sakit jantung kali pertama sering membawa maut bagi kaum lelaki dewasa. Ramai perempuan mampu terus hidup selepas sakit jantung pertama. Namun, ramai perempuan tidak mampu hidup selepas sakit jantung kali kedua. Sakit jantung kali kedua sering membawa maut bagi kaum perempuan dewasa.

Strok
Terdapat dua jenis strok. Satu jenis strok disebabkan oleh saluran darah ke otak tersumbat oleh ledakan kolesterol dan dikenali sebagai ‘strok sumbatan’ (strok iskemia). Satu lagi jenis strok disebabkan oleh saluran darah dalam otak terpecah dan dikenali sebagai ‘strok berdarah’ (strok hemoraj). Umum perlu mengetahui bahawa, walau apa pun jenis strok yang berlaku, semua pesakit strok perlu segera dibawa ke hospital (bahagian kecemasan). Strok boleh dirawat dengan ubat-ubat khas dengan syarat pesakit dibawa ke hospital dalam masa 6 jam berlakunya strok. Selepas tempoh 6 jam, kebanyakan kerosakan tetap telah pun berlaku pada otak dan sukar untuk mana-mana pakar bedah neuro menyelamatkan keadaan sengsara pesakit. Oleh demikian, orang yang sedar akan mana-mana pesakit yang baru terkena strok perlu tangkas bertindak kerana secara tak langsung ia boleh mempengaruh nasib pesakit strok berkenaan.

Strok berdarah (haemorrhaghic stroke) boleh dirawat dengan membekalkan darah dari penderma darah yang mempunyai genotip apolipoprotein E jenis E3 atau E4.

Pengesanan Peringkat Awal Gangguan Glukosa
Peringkat awal gangguan glukosa (sebelum mendapat diabetes) boleh dikesan dengan menjalankan dua ujian mudah iaitu glukosa darah semasa berpuasa (FBG) dan ujian tolerans glukosa (OGTT). Kedua-dua ujian glukosa ini memerlukan kita berpuasa sepenuhnya (dikenali sebagai ‘puasa pembedahan’ – tanpa minum dan makan) selama sekurang-kurangnya 12 jam sebelum kita boleh menjalani kedua-dua ujian ini dengan sempurna.

Setelah berpuasa 12 jam, kita menjalani ujian FBG. Aras glukosa darah berpuasa perlu berada dalam lingkungan julat tertentu. Nilai glukosa darah FBG yang berada diluar julat ini tergolong sebagai ‘glukosa berpuasa terganggu’. Setelah ditentukan status FBG, kita boleh menjalani ujian OGTT.

Dalam ujian OGGT, setelah menjalani FBG, kita diberikan minuman larutan glukosa mengandungi 75 gram glukosa dalam segelas air (hampir 200-250 ml). Kemudian, darah akan diambil 2 jam selepas minum larutan glukosa ini. Aras glukosa darah 2 jam selepas minum larutan glukosa (2HPP) perlu berada dalam lingkungan julat tertentu. Nilai glukosa darah 2HPP yang berada diluar julat ini tergolong sebagai ‘tolerans glukosa terganggu’.

Kencing Manis (Diabetes Jenis 2)
Istilah saintifik bagi kencing manis ialah diabetes mellitus, atau diabetes sahaja. Diabetes tidak terjadi secara tiba-tiba. Diabetes tergolong sebagai ‘penyakit kronik’ iaitu memakan masa yang agak lama sebelum ia menjadi nyata. Sebenarnya, kita menghadapi perubahan di peringkat awal sebelum kita mencapai peringkat diabetes (peringkat akhir). Peringkat awal ini boleh dikesan dengan menjalankan ujian glukosa darah. Kehadiran glukosa yang dikesan dalam air kencing tidak semestinya bermakna kita menghidap kencing manis.

Antara punca utama kita boleh dapat penyakit kencing manis ialah gemuk akibat berlebihan memakan makanan jenis karbohidrat dan makanan terlalu manis, bagi tempoh yang lama. Ini bermakna kita sendiri telah memilih untuk mendapat diabetes, mungkin sebab sikap acuh tak acuh (tak kisah) kita sendiri.

Doktor hanya mampu merawat diabetes. Dunia perubatan masa kini tetap tidak ada ubat khas untuk menyembuhkan diabetes. Apakah nasib kita? Apakan daya? Nasi telah menjadi bubur! Kita sebenarnya tidak ada pilihan setelah didiagnos menghidapi diabetes kerana diabetes ialah peringkat akhir, penghujung jalan (kekalahan), setelah tubuh kita puas menggembling kekuatan bertahun-tahun untuk cuba mengatasi gangguan glukosa yang berlaku dalam tubuh kita (hanya kita tidak sedar akan hal ini). Memang benar, pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Sesal awal bermakna, sesal kemudian tidak bererti. Jangan kita sekali-kali abaikan risiko diabetes!

Kita tidak perlu tunggu hingga sakit baru datang ke klinik atau hospital. Kita boleh mengambil tindakan lebih proaktif dan pilih untuk melibatkan diri dalam kajian penyelidikan atau pun datang terus ke klinik atau hospital dan mendapatkan pemeriksaan darah pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai. Kita boleh minta doktor menjalankan pemeriksaan perubatan ke atas diri dan darah kita jika kita inginkan doktor mengesan sebarang perubahan kesihatan di peringkat awal. Kita juga boleh memaklumkan kepada doktor bahawa kita ingin mengetahui sama ada kita menghidapi hiperlipidemia, glisemia, hipertensi atau pun tidak. Kita juga boleh minta nasihat untuk pencegahan ketiga-tiga keadaan bahaya ini.

Wallahu aklam.. semoga bermanfaat.

p/s: sakit adalah ujian (tentera Allah). Kalau sakit telah datang, berusahalah mencari ubatnya. Banyak beristighfar, syukur, sabar dan serah diri pada Allah. Kata hukama’ penyakit hati, itulah yang lebih utama untuk dirawati.

Bantuan

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Menjawab pertanyaan beberapa rakan, kenalan dan pelawat Kalam IbnRajab yang ada memohon untuk mengambil beberapa artikel untuk dimuatkan samada dalam majalah sekolah mereka, blog peribadi mereka dan sebagainya, maka dengan ini ana izinkan apa sahaja tindakan yang dapat memberi manfaat yang baik kepada (kalau boleh) seluruh umat manusia. Kerna itu juga sebenarnya niat disebalik kewujudan laman blog yang seadanya ini.

Kalau ada yang terbaca tulisan ana yang sebelum ini berkenaan antivirus, kat bawah sekali tulisan tu (dalam p/s) ana ada tulis macam nak kenakan caj RM50. Sebenarnya itu melawak je. Bagi menampak mesrakan sedikit tulisan itu. Ana (sebenarnya tak banyak sangat) ada juga terlibat dengan membetulkan komputer rakan-rakan, bagi tunjuk ajar tentang beberapa software (yang ana tahu serba sedikit itu) tapi ana tak terfikir pun untuk minta bayaran. Jangan salah sangka dan membuat andaian awal sebelum anda mengenali seseorang kerna hanya anda baca tulisannya. Sepatutnya bila anda rasa sangsi, anda ajukan soalan dengan cara yang betul (profesional kata orang).

Untuk rakan-rakan (pelawat Kalam IbnRajab) yang ingin mencari artikel tentang apa sahaja tajuk dalam blog ini (tak semua isu/tajuk ana dah tulis, kerna kekurangan ilmu dan masih mencari sebenarnya) taip sahaja pada ruangan “cari” dalam kotak menu sebelah kanan tu. InsyaAllah senanrai artikel (kalau ada) akan terkeluar pada halaman utama ini. Sebagai contoh anda taiplah ‘prepaid’. Akan keluar (kalau tak silap) empat catatan berkenaan dengan prepaid itu.

Harapan ana, semoga laman ini akan memberi sedikit manfaat bagi anda, paling kurang merapatkan ikatan persaudaraan antara kita (memang tidak dinafikan ana telah dapat beberapa rakan melalui tulisan-tulisan sebelum ini dan kini hubungan itu agak terjalin, alhamdulillah, padahal sebelum ini kami tidak pernah kenal). Dan ana juga mengharapkan akan ada (sentiasa pun takpe) teguran-teguran yang membina (bukan mengutuk la kalau boleh anda kawal sikit emosi, hehe) moga sama-sama kita bantu membantu sesama insan untuk memperolehi bantuan Allah jua dalam melakukan taat kepadaNya.. Amien.

Sekian, terima kasih atas sokongan anda semua dan wassalam.

KASIH SAYANG

Artikel asal ada fwd email daripada seorang rakan

Bismillahirrahmanirrahim..

Kasih sayang adalah satu sifat yang terpuji yang amat digalakkan bagi setiap individu Muslim yang mengamalkannya dalam kehidupan. Setiap insan mahu diri mereka disayangi. Oleh itu wujud sistem kekeluargaan dalam masyarakat yang berteraskan kasih sayang ini untuk kehidupan yang aman damai. Apabila sifat kasih sayang mula luntur ditambah pula sifat dendam dan kebencian, ianya akan menjanjikan kehancuran kepada sesuatu bangsa atau masyarakat.

Dalam ajaran Islam terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang menyeru ke arah memupuk semangat kasih sayang antara sesama Islam. Pernah Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang Maksudnya: ” Orang Mukmin itu mengasihani saudaranya seperti mana ia mengasihani dirinya sendiri. “

Maka kita lihat baginda Rasulullah s.a.w telah menyatupadukan golongan Aus dan Khadraj yang berperang lebih dari seratus tahun, semata-mata melalui perasaan kasih sayang. Malah kehadiran orang Muhajirin disambut dengan hati yang terbuka oleh orang Ansar, dengan penuh rasa simpati dan kasih sayang yang amat mendalam. Sifat pengorbanan juga jelas kelihatan di kalangan para sahabat yang sanggup berkongsi apa jua kesenangan dan kesusahan di kalangan mereka. Inilah faktor utama kewujudan sebuah masyarakat dinamik yang muncul di tengah Kota Madinah, walaupun kota tersebut sebelum ini diselaputi dengan prasangka buruk dan kebencian sesama Arab Madinah. Malah ia juga dapat meningkatkan taraf dan kedudukan masyarakat Arab Madinah yang sebelum ini hanya bekerja sebagai petani dan peladang, kepada suatu kedudukan yang dihormati. Peranan orang Muhajirin yang banyak berkongsi pengalaman dan kemahiran juga telah membawa perubahan yang ketara dalam kehidupan masyarakat Kota Madinah.

Jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w telah dapat menyusun masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama dengan konsep kasih sayang dan tolerensi yang telah membawa satu kekuatan yang utuh. Kota Madinah pernah diserang oleh musuh, namun dengan semangat kerjasama dan pengorbanan yang tinggi, dapat ditangkis segala serangan tersebut. Kalau sebelum ini Kota Madinah telah dikuasai ekonomi dan maruahnya oleh orang Yahudi, maka kehadiran Muhajirin telah membantu umat Islam ketika itu meningkatkan taraf hidup dan pemikiran mereka untuk berdikari dan berusaha bersungguh-sungguh. Akhirnya ladang dan harta orang Ansar yang tergadai ke tangan orang-orang Yahudi itu telah dapat mereka tebus kembali. Maka tepatlah sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ” Orang Mukmin ibarat sebuah bangunan yang masing-masing berpaut satu sama lain. “

Apabila kita meninjau akan kelemahan kita pada masa kini serta perpecahan yang berlaku ke atas umat Islam, puncanya ialah kita tidak lagi meletakkan semangat kasih sayang dalam pergaulan kita sehari-hari. Akibatnya mudahlah musuh Islam menyebarkan pelbagai hasutan dan propaganda agar umat Islam terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, yang akhirnya membawa kepada kejatuhan umat dan negara Islam itu sendiri. Ini amat menguntungkan musuh-musuh Islam, lagi memudahkan mereka merampas hak dan tanah air kita dengan cara memperalatkan sesama kita. Malah dalam sejarah bangsa Melayu, pernah kita mengajak Inggeris, menyediakan kelengkapan perang untuk menjatuhkan sesama Melayu. Akibatnya negara kita dijajah.

Masyarakat yang kita harapkan ialah sebuah masyarakat yang penuh dengan semangat kasih sayang serta kerjasama, dapat mengembalikan maruah dan kekuatan perpaduan sesama Muslim. Apa yang penting ialah nilai-nilai kasih sayang perlu diberi perhatian utama dalam pembentukan sahsiah Muslim, seterusnya diserap dalam keluarga dan masyarakat kita.

Sifat-sifat keji yang menjurus kepada kebencian hendaknya kita hindari dari terus tersemat di dalam masyarakat kita. Antara sifat buruk itu ialah suka mencaci sesama Islam, mengadu domba, membuat fitnah dan sebagainya. Ini ternyata akan merugikan kita kelak dan Baginda Rasulullah s.a.w sendiri melarang sifat buruk tersebut. Baginda dengan tegas telah menyatakan di dalam sabdanya yang bermaksudnya: ” Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.” (Riwayat Tarmidzi)

Malah banyak lagi Hadis yang melarang segala sifat keji ini. Antara punca lahirnya sifat-sifat keji itu ialah:

1. Hilang rasa malu dan rendah diri kita terhadap segala perkataan dan perbuatan kita.
2. Meletakkan nafsu dan dorongan rasa benci terhadap saudara kita.
3. Rasa benci dan ketidakpuasan hati kita yang telah mengawal akal dan hati kita.

Akibatnya lahirlah satu gerakan yang bermula dari individu, seterusnya menjadi satu golongan yang besar yang membawa kepada rasa kebencian sesama kita demi kepentingan individu tertentu. Maka ketika itu mudahlah musuh mengeksploitasikan orang Islam untuk kepentingan mereka. Maka jatuhlah kerajaan dan negara umat Islam seperti di Indonesia, negara-negara Arab dan Afrika yang hanya memikirkan cara untuk menghapuskan saudaranya sahaja, bukan untuk membantu dan meningkatkan maruah serta martabat bangsa mereka sendiri.

Oleh itu marilah kita bersama-sama dengan semangat kasih sayang yang pernah menjanjikan kebahagiaan kepada kita dan melupakan segala kesengsaraan. Biarlah kita semai diri setiap kita dengan hati yang jujur lagi ikhlas, dengan ajaran yang murni semoga berkekalan hingga ke generasi anak cucu cicit kita seterusnya. Banyak tanggungjawab kita yang belum selesai dan sesungguhnya kebencian tidak pernah menjanjikan kebahagiaan kepada sesiapa pun jua.

Rumusan
Kasih sayang membentuk jiwa dan hati kita supaya menjadi halus dan suka kepada kedamaian dan kesejahteraan. Semoga semangat itu terus menjadi teras pembina akhlak anak kita di rumah. Biarlah cerita dan andaian ke arah kebencian antara kita dihentikan. Semoga tidak merosakkan hati kita dan anak-anak kita.

Ibuku seorang pembohong

Assalamu’alaikum..

*Artikel ini bukan nukilan ana.. tetapi difowardkan oleh seorang sahabat lalu menyentuh hati ana dan  terpanggil untuk berkongsi dengan kalian semua* kisahnya..
 
Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.

Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga.
Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : “”Makanlah nak ibu tak lapar.” – PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi.. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : “Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.
 
Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak.
Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih denagn beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : “Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula.” Ibu tersenyum dan berkata : “Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

 Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.
Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih saying ibu yang jauh lebih kental.
Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : “Minumlah nak, ibu tak haus!!” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.
Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu.
Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : “Saya tidak perlukan cinta saya tidak perlukan lelaki.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya.
Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : “Jangan susah-susah, ibu ada duit.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara.
Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.
Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; “Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta.
Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap ajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menhadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus.
Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : “Jangan menangis nak, ibu tak sakit.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, ‘Ibu,saya sayangkan ibu.’ Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebi dari segala-galanya, tapi tidak pernah sealipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu. Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…

Modal insan

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bachok dan sebaliknya biasa memakan masa selama 8 jam jika menggunakan perkhidmatan Bas ekspress melalui jalan Gua Musang. Jika menggunakan jalan Kuala Terengganu pula akan memakan masa yang lebih panjang, sekitar 9 hingga 11 jam. Jika menggunakan perkhidmatan Keretapi Malaysia (KTMB) ianya memakan masa yang lebih lama iaitu 12 hingga 13 jam. Manakala, sekiranya aspek masa yang menjadi keutamaan, rakyat Kelantan akan menggunakan perkhidmatan udara (MAS atau AirAsia) kerana ia hanya memakan masa selama 40 sehingga 50 minit sahaja.

Pengalaman
Mengikut pengalaman peribadi ana, drive kereta menggunakan jalan Kuala Terengganu memakan masa 11 jam setengah, manakala melalui jalan Gua Musang pula dalam sekitar 8 jam sahaja. Ada orang kata boleh sampai dalam masa 5 jam sahaja ikut Gua Musang. Wow hebat dan mungkin dahsyat!. Apa pun setiap orang menginginkan keselamatan di mana sahaja mereka berada termasuklah di jalanraya. Setiap orang tidak ingin terlibat dalam kecelakaan. Cuma kadang-kadang, hasrat murni seperti itu mudah dilupakan apabila kita berada di atas jalanraya yang sememangnya memerlukan banyak kesabaran. Akhirnya nafsu juga yang menang.

Dua minggu yang lepas mungkin anda teringat kepada suatu berita pengalaman ngeri yang berlaku ke atas sebuah keluarga di jalan Gua Musang. Laporan berita mengatakan pemandu kereta berkenaan ingin mengelak luabang lalu terbabas dan melanggar sebuah lori yang menuju arah bertentangan. Semua penumpang kereta tersebut telah meninggal dunia. Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiuun. Semoga keluarga yang terlibat dapat menerima ujian Allah dengan kesabaran. Dan semoga mereka yang masih hidup mengambil langkah perlu berikutan peristiwa yang sangat menyayat hati itu.

Jalanraya
Apa yang menarik perhatian ana ialah apabila ana sendiri memandu di jalan tempat berlaku tragedi, ana mengucap banyak. Tahap kerosakan jalan Gua Musang menghala ke Kuala Krai itu boleh dikategorikan sebagai sudah boleh diperbaiki. Membahayakan pengguna. Jalan banyak berlubang di tepi-tepi malah di tengah-tengahnya juga. Jauh pula tu. Ana rasa dalam 10 hingga 20 km. Mungkin lebih. Rosak!

Sesabar manapun pengguna, apabila terlibat dengan keadaan jalan yang sebegitu, sesekali tayar kereta terjun lubang mungkin masih boleh tahan. Orang kata, beza antara dapat kereta baru dengan bini baru adalah ‘lubang’. Bila memandu kereta baru seboleh-bolehnya nak elak masuk lubang tapi sebaliknya bila berbini baru. Malahan, bila tayar kereta asyik masuk lubang ia akan memberi kesan kepada prestasi kereta itu sendiri. Standard kawalan ke atas kereta pun boleh berkurangan. Sebab itulah kena bawa ke bengkel dan buat allingment. Silap haribulan kena buat sekali dengan ‘chamber’. Maaf sekiranya ejaan atau istilah salah.

Siapa salah
Bila melihat keadaan jalan yang begitu, biasanya kita akan terus terfikir tak mampukah kerajaan membaikinya secepat yang mungkin? Tidakkah kebanyakan jalanraya utama ada pihak yang mengambil tahu akan aspek-aspek keselamatan dan kerosakannya? Ada pihak yang tak buat kerja kah? Jalan Gua Musang tu umurnya sudah lebih 20 tahun tapi macam tu jugalah saiznya. Lebarnya sahaja yang ada nampak macam bertambah. Ada lah dalam 2 kaki. Berbanding jalan-jalan di KL nun, jalan masuk kawasan perumahan pun ber’lane-lane’. Itu tidak masuk ‘fly over’nya lagi.

Cuma ana terfikir. Mungkin modal insan di negara kita ni yang berkurangan. Betul. Mana ada ‘orang kita’ yang suka bekerja sebagai penampal jalan? Kalau kontrak buat jalan baru mungkin ada umph sket! Nak baiki jalan berapa sangat (yang masuk) fulusnya. Kerja di tengah-tengah panas. Berhadapan pula dengan kesibukan dan kederasan kenderaan dipandu. Kat KL tu bukan ‘orang kita’ yang buat kerja tampal-tampal nih. Tambahan lagi mana ada graduan universiti nak buat kerja macam tu? Mana ada kelas kan? Rela makan anggur yang dah terhidang. Orang lain tukang hidang. Kita tukang hentam sahaja.

Ana rasa Kerajaan ada duit banyak untuk diperuntukkan bagi kerja-kerja macam tu. Orang yang nak buat kerja tu yang tarak (tidak cukup sebenarnya). Padahal mereka yang melakukan kerja-kerja buat jalan ni dapat pahala yang cukup banyak. Cikgu, pensyarah, tok imam, tok bilal, pilot kapal terbang, askar, doktor, peguam dan lain-lain semuanya pengguna jalan raya. Tidakkah orang yang memudahkan orang lain itu akan diganjarkan pahala yang cukup banyak? Dalam hadith, Rasulullah menegaskan, barangsiapa yang memudahkan bagi penuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke Syurga! Pengguna jalanraya bukan sahaja penuntut ilmu, bermacam-macam karektor orang yang baik-baik menggunakan jalanraya itu dan si pembuat jalannya akan mendapat pahala!

Saranan
Orang-orang tua yang ada anak besar. Daripada membiarkan sahaja mereka lepak-lepak kat tepi kampung, suruh lah ambil lesen kontraktor. Buat kerja baiki jalan. Jangan hanya menyusahkan orang tua dengan pil kudanya, dadahnya, merempit dan pelbagai karenah manusia tidak bertamadun. Kita hidup atas dunia ini hanya seketika biarlah melakukan kerja yang dapat memanfaatkan orang lain. Walaupun tidak ada orang yang akan sebut nama setiap orang pekerja tampal jalan rosak tapi Allah menulis setiap sumbangan manusia. Yang tak baiknya ditulis, yang baik lagi-lagilah ditulis. Sesungguhnya Allah itu amat sukakan kebaikan.

Nabi bersabda “Setiap umatku akan masuk ke Syurga kecuali mereka yang abai (tak mahu!)”. Itu tandanya Allah nak masukkan semuanya (kalau manusia nak) ke dalam Syurga, tapi manusia ini pula suka ikut hawa nafsu. Buat kerja nak yang selesa sahaja. Cara berfikir sudah dipandu Syaitan.

Marilah kita memikirkan sesuatu yang baru. Jangan asyik nak menyalahkan orang lain. Sebaliknya hitunglah diri sendiri. Persalahkanlah diri sendiri apabila berlakunya sesuatu kerosakan dimuka bumi Allah ini.

Wallahu aklam.

Dari Bachok ke Shah Alam

Syukur al-Hamdulillah. Di saat-saat kita memerlukan, akan ada sahaja orang lain yang sudi menghulurkan bantuan. Nikmat Allah. Cuma kadang-kadang kita kurang menyedari akan nikmat-nikmat Allah yang begitu banyak. Sesetengah orang pula, jiwanya lebih senang mengingati Allah apabila ada ujian berbentuk kesusahan datang kepadanya. Padahal, bagi umat Islam, sekiranya ia syukur dengan nikmat atau sabar dengan kesusahan sudah tentu akan ditulis pahala buat bekalannya nanti.

Sesak nafas 
Kebetulan tiket bas untuk ke Kuala Lumpur telah habis dijual. Macamana nak daftar UKM? Nasib baik sepupu yang pulang beraya aidil adha masih belum pulang ke tempat kerjanya di KL dapatlah ana tumpang. Kalau dilihat daripada sudut kos, memang tidak dinafikan, menaiki bas atau keretapi lebih murah. Hatta kapal terbang pun lebih murah sekiranya kebetulan dengan masa ‘offer’. Biasanya kenalah beli tiket berbulan-bulan lebih awal. Tak kisah asalkan sampai KL. Tambahan pula pergi bersama-sama dengan sepupu yang telah lama tidak bercerita panjang. Tentu banyak topik yang dapat diselesaikan dalam perjalanan yang dijangka memakan masa lebih lapan jam itu.

Dicampur tolak dengan berhenti rehat untuk solat, makan dan berehat (biar lambat asalkan selamat) kami sampai di Shah Alam jam 10.40 malam (semalam). Bertolak jam 11.30 pagi. Hampir 12 jam perjalanan kami. Katanya (sepupu ana) ini suatu perjalanan yang teruk dan memecah rekod peribadinya. “Sebelum ni paling lambat pun 9 jam je bang Yie..” Jalan jam. Kenderaan berpusu-pusu nak balik ke kota setelah pulang beraya di kampung masing-masing. Itulah punca perjalanan jadi lembab. Satu ketika (ana drive) bawa dalam lingkungan 40 km/j sahaja. Nafsu kata ‘sangat membosankan’. Jangan ikut kata nafsu.

Pengorbanan 
Hari ini pula sepupu terpaksa ambil cuti. Kereta ana yang dijangka boleh bawa keluar dari port Kelang seawal jam 8.30 pagi hanya boleh ana pandu jam 12.30 tengahari. Mulanya bateri dah tak berfungsi. Kena beli baru. Repair itu ini (sebab nak jalan jauh, nanti nak ke UKM kemudian terus bawa balik kereta tu ke Kelantan). Jam 5.00 petang baru sepupu bergerak balik ke rumah sewanya di Kepong. Di sini (Shah Alam) rumah sewa abangnya yang kerja di JVC.

Kadang-kadang orang lain boleh buat untuk kita sesuatu di luar jangkaan sama sekali. Sanggup ambil cuti kerana nak tolong dan bimbang akan kesusahan akan berlaku kepada orang lain. Itulah nilai murni yang tidak dapat disampaikan melalui buku dan kuliah. Jika nak dikira daripada segi pencapaian akademik, jauh bezanya dari pencapaian ana. Kadang-kadang kemuliaan yang dapat kita kecapi daripada ikatan tali persaudaraan dan persahabatan tidak dapat ditafsirkan melalui perkataan. Jauh sekali untuk ditukar ganti dengan nilai mata wang.

Kebetulan petang ini juga, seorang sahabat yang sangat lama ana tak jumpa menghubungi melalui telefon bimbit. Memang sudah lama tak jumpa. Rasa ana sudah dekat 10 tahun. Alhamdulillah, ikatan tali persaudaraan sedikit sebanyak telah kembali terjalin kemas. Perasaan seorang sahabat yang ikhlas terhadap nilai persahabatan hanya dapat dikecapi oleh orang yang hanya menjalinkan tali persahabatan dengan ikhlas juga.

Saudara dan kawan, tidak dapat dibeli dengan apa sahaja matawang. Alhamdulillah. Bersyukurlah bagi mereka yang kaya (mempunyai ramai saudara mara serta ramai pula sahabat handai dan rakan taulan)

Wassalam.

Ukhuwah fillah

Mafhum sabda Rasulullah SAW “Tiga golongan yang dapat merasai kemanisan iman; Orang yang mengasihi Allah lebih daripada kasihnya kepada selain dari Allah, Orang yang kasih kepada Rasulullah lebih daripada kasihnya pada dirinya sendiri, keluarga dan semua manusia dan Orang yang mengasihi sesama manusia hanya kerana Allah”. Mafhum sabdanya lagi “Antara mereka yang dapat bernaung di bawah payung Allah di Mahsyar (pada hari yang tiada payung melainkan payungNya) adalah dua saudara yang betemu dan berpisah hanya kerana Allah. Lagi maksud hadith “Apabila dua orang saudara yang berjumpa, tidaklah (menjadi sia-sia begitu sahaja apabila) mereka berjabat tangan (bersalam) melainkan gugur dosa-dosanya seperti gugur dedaun yang kekeringan ke bumi”.

Tidak ada harta yang lebih berharga daripada memiliki orang2 yang mengasihi kita dan peluang kita untuk mengasihi orang lain pula. Sengaja Allah mentakdirkan kita dilahirkan oleh seorang ibu. Sebelum itu selama sembilan bulan kita berada dalam rahimnya (rahim dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan ‘Rahmat iaitu kasih sayang’). Alam rahim adalah alam pertama kita berada di dalam kasih sayang seorang manusia. Ibu kita.

Setelah kita dilahirkan, sengaja Allah jadikan untuk kita seorang ayah, adik beradik, datuk, nenek, ibu dan bapa saudara dan sebagainya. Kemudian, apabila mula bertatih sehinggalah kita meneruskan kehidupan di alam persekolahan hingga ke universiti kita berpeluang pula untuk menjalinkan hubungan silaturrahim bersama rakan2 seperjuangan. Kawan-kawan kita. Pada masa tiada ibubapa, saudara mara terdekat, kepada merekalah kita mengadu sakit demam. Susah senang kita. Suka duka, gelak tawa sehingga sekali sekala membawa kepada persengketaan sementara.

Banyak sungguh kenangan kita bersama rakan2. Bersama mereka kita sama2 mencari erti dan makna kehidupan. Jatuh dan bangun sama2. Kekadang makan dan minum kita adalah daripada hasil tangan mereka. Malah ada juga di kalangan manusia yang diciptakan Allah tanpa ikatan persaudaran kekeluargaan itu telah sanggup menanggung susah payah seorang manusia lain demi persahabatan. Daripada situ jugalah kita benar2 belajar erti nilai kepercayaan, keikhlasan dan kebahagiaan.

Selamat mengingati sahabat anda, hargai dan teruskan menyayangi mereka. Kerana Allah. Hari ini sangat mudah untuk anda terus berhubung dengan mereka walau di mana anda berada. Janganlah ikatan ukhuwwah tidak sehebat teknologi perhubungan masa kini yang Allah sediakan hebat.

p/s: Al-fatihah ke atas roh saudara ana (x-housemate Allahyarham ustaz Azamiruddin) yang telah terlebih dahulu kembali bertemu Allah. Semoga rohnya sentiasa dirahmati Allah dan berada disamping para auliya dan solihin. Tidak ku terkenang darimu melainkan hanya yang baik2 belaka. Kerana mungkin aku mengenalimu lebih daripada yang lain.. inna lillahhh

Didik anak

Anak adalah anugerah tuhan kepada pasangan suami dan isteri. Kehadiran anak dianggap sebagai penyeri rumahtangga bahagia. Biasanya pasangan suami isteri berdebar-berdebar menunggu saat tibanya anak pertama. Hati yang sangat teruja dan terlalu mendesak untuk memiliki anak sendiri. Isteri adalah orang yang paling bahagia apabila seorang anak lahir dari rahimnya sendiri. “Akan aku besarkan anakku ini sepenuh kasih sayang yang maksima bagai menatang minyak yang penuh..” Dengan anak itu, maka beliau bergelar seorang ibu.

Begitu juga suami, alangkah indah menyambut kelahiran bayi. Dengan suara yang sangat perlahan dialunkan azan kepada anaknya takut suaranya menganggu si anak. Betapa bangganya kerana dengan kedatangan bayi itu telah terbuktilah kelelakiannya. Tanpa dipinta, maka ditanam di dalam hati satu hasrat untuk membesarkan anak itu dengan segalanya cukup. Keperluannya akan dijamin sehingga besar. Suatu matlamat yang jelas. Juga harapan yang jelas juga bahawa si anak akan berbakti pula kepada dua orang tuanya, bangsanya dan agamanya.

Anak kecil.
Semua orang suka anak kecil. Kata orang sekiranya ditinggalkan anak kecil di dalam hutan pun, harimau tak makan. Hanya mereka yang hatinya sudah tidak ada kemanusiaan malah melampaui batas kebinatangan sahaja yang tidak ada perasaan suka pada budak kecil lantas sanggup mengorbankan mereka dan mencampakkan mereka di mana2. Selain mereka, bermula dari alam para malaikan sehingga alam seluruh haiwan sukakan kanak-kanak. Senyuman mereka cukup membahagiakan. Terutama kedua ibubapanya.

Anak kecil memang mudah dididik. Akur sahaja. Rela apa sahaja. Lapar, sakit dan mengantuk dia akan menangis. Itu sahaja kekuatan yang ada padanya tika itu. Ibubapa pasti tidak pernah terasa hati dengannya. Terasa kesian sahaja yang ada. Atau lebih tepat, rasa kasih sayang. Yang selainnya tidak ada. Marah, geram, sakit hati jauh sekali.

Kanak-kanak.
Pada tahap ini mereka sudah memiliki banyak juga kekuatan. Selain menangis mereka boleh merajuk sudah. Kadang-kadang agak mendesak. Jika nak susu, pantang lambat. Hati ibu pun kadang2 berkata “dah kecik2 pandai mengarah”. Tapi diturutkan juga kehendak si anak dengan penuh kasih sayang walau kadang2 terpaksa mengorbankan masa rehat. Tengah lena dibuai mimpi pun sanggup lagi bangun. Jika bangun untuk solat tahajud pun tidak semudah itu. Kerana untuk solat terasa macam umur panjang lagi dan boleh buat lain kali tapi untuk anak terasa bagai mungkin inilah perkhidmatan terakhir dalam hidup yang dapat membuktikan kasih sayang.

Pada masa ini juga mereka masih lagi nak mendengar kata. Jika diugut untuk tidak diberikan duit sekolah pun mereka dah ketar. Takut dan bimbang. Mereka masih lagi belum melihat kebesaran dan keluasan dunia nih. Mereka masih merasakan rumah ibubapa adalah segala-galanya.

Remaja.
Pada tahap ini kekuatan mereka sudah banyak. Jasmani dan mental. Saiz badan kadang-kadang dua kali bapanya. Hampir semua emosi telah dikuasainya. Dan sesuatu yang paling dahsyat ialah, pada masa ini mereka merasakan diri mereka dan keputusan mereka adalah muktamad. Terutama sekiranya tahap pendidikan ibubapa tidak sejauh mana. Berbanding dengan orang2 di sekeliling seperti guru-guru, ibubapa rakan dan masyarakat setempat. Mereka boleh sahaja menganggap diri mereka mempunyai kelayakan seperti guru. Kalau gurunya ada PhD, mereka pun rasa macam dah ada PhD. Jadi apalah sangat memiliki seorang ibu malah bapa yang hanya lepas SPM atau hanya ada first degree.

Dunia ini pada pandangan mereka sudah luas. Dengan teknologi dan kemudahan transportasi hari ini, lagilah menjadikan diri mereka sombong. Mereka beranggapan rumah ibubapa tu tempat persinggahan macam rumah sedara mara malah macam rumah kawan je. Kalau kawan ini tak suka pergi rumah kawan satu lagi. Idea untuk mengugut meninggalkan rumah ada seribu dalam kepala. Janganlah sekali-kali ibu atau bapa mengugut atau olok2 “menghalau”. Memang dengan mudah akan dilaksanakannya.

Bersambung…

Paradigma Melayu

Berbeza sangat aliran pemikiran berteraskan bangsa seperti Melayu berbanding dengan aliran pemikiran berteraskan Islam. Perjuangan yang diasaskan sesuatu bangsa lebih susah mencapai tahap gemilang berbanding perjuangan yang diasaskan oleh Islam. Kadar ketidakpuasan adalah lebih mudah diluah dan dicatatkan apabila sesuatu itu diperjuangkan kerana sesuatu kaum atau bangsa.

Pada ana, kita ingin melahirkan seorang Muslim yang sejati tanpa mengira kaum. Kita berhasrat untuk maju berpaksi ketaatan dalam beragama yakni setiap orang bekerja ke arah kemajuan diri, keluarga dan negara ikhlas semata-mata kerana menyahut cabaran Allah yang mengamanahkan manusia sebagai khalifahNya di bumi. Balasan yang baik akan diperolehi sekiranya manusia lulus ujian di dunia dengan menikmati hidup yang berkekalan di akhirat.

Hal ini kerana, setiap insan, setiap bangsa ada kelemahan yang tersendiri. Sekiranya ia Melayu, banyak sangat kekurangan sebagaimana laras pemikiran yang tercatat di dalam sejarah mereka. Sebagai contoh, malas, hasad dengki, berbuat baik berpada2 dan sebagainya terbukti dalam catatan sejarah orang Melayu dan akan diwarisi sehinggalah orang Melayu ini mengubah laras pemikiran berpaksikan ajaran Islam yang menganjurkan kebaikan dan kesejahteraan sarwajagat.

Ana sekarang sangat mencuba sebenarnya, untuk mencari sebanyak yang mungkin ilmu yang berpaksikan ajaran Islam. Sebagai ketua keluarga, ana ingin mentadbir keluarga berteraskan ajaran Islam bukan ajaran orang Melayu. Jikalau Islam mewajibkan setiap muslimah mengenakan tudung kepada, insyaAllah ana akan berusaha berjuang agar setiap muslimah yang ada dalam keluarga ana mengikuti ajaran Islam tersebut walaupun jika ana lihat kepada gambar2 orang melayu lama (termasuk rakaman Allahyarham P.Ramlee dalam filem2nya spt guru melayu pun) tidak bertudung atau mengenakan tudung yang tidak sepatutnya. Kerana gambar2 tersebut adalah warisan melayu, tetapi ilmu berpaksikan Islam itulah yang sebenarnya.

Ana sering mengingatkan ahli keluarga agar melakukan sesuatu kerana Allah dan takut akan azab Allah sekiranya meninggalkan arahan Allah. Tidak perlu takutkan manusia seperti ana hanya kerana ana ketua keluarga. Kerana, melayu hanya taatkan rajanya sahaja seperti Hang Tuah sehingga sanggup memperlakukan hal yang tidak sepatutnya menurut Islam ke atas Hang Jebat. Islam melarang manusia taat kepada sesiapa sekiranya ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Sekiranya menjadi ketua, ana akan sentiasa ingat sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sekiranya aku dapati ‘Aisyah itu mencuri, nescaya akan aku potong tangannya. Bukan seperti banyak ibubapa melayu hari ini yang tidak dapat menerima fakta sekiranya anaknya memang didapati bersalah contohnya sekecil kesalahan merokok di sekolah, hanya kerana di hadapannya anak tersebut pijak semut pun tidak mati. Kita juga perlu setiasa ingat pesan Allah dalam al-Quran bahawa, tidak mustahil harta dan anak akan menjadi fitnah buat ibubapa. (surah al-Anfal:28)

Akhirnya, perjuangan mendaulatkan Islam lah agenda yang murni, bukan perjuangan mendaulatkan mana-mana bangsa! Wallahu aklam.

Ramadhan sudah separuh

Salamullahi alaikum wbt..

Semalam sebelum ana pi solat tarawih di masjid, anak ana teriak “Abi, bulan dah besar lah..” Ana tersenyum tanpa niat nak senyum. Bila fikir2 ana berkata dlm hati, itu nampak sahaja bulan penuh tapi sebenarnya (hakikat) Ramadhan dah tinggal separuh je lagi. Semoga amalan kita diterima olehNya.

Pesan Nabi Muhammad SAW: Ramadhan, awwaluhu rahmah, wa ausotuhu maghfirah, wa aakhiruhu itqun minan Nar!

Bulan Ramadhan yang pada permulaanya (10 hari pertama) penuh dengan rahmat (sbb itu masuk je bulan Ramadhan, kita rasa senang sahaja utk berpuasa, senang aje utk pergi solat berjamaah di masjid, penuh orang, senang sahaja utk baca al-Quran, senang sahaja=rahmat Allah) dan pertengahannya (10 hari seterusnya) keampunan dan akhirnya (10 hari terakhir) pembebasan dari api Neraka!

Sahutlah offer daripada khalikil makhluk (pencipta kepada segala hasil ciptaan) wahai jiwa.. wallahu aklam.

Previous Older Entries