Cikgu, Alias, beruk dan …

Cerpen bertajuk beruk ini pernah menyentuh hati ana pada suatu kem Bina Insan Guru (BIG) yang dianjurkan kepada guru-guru pelatih Institut Perguruan Rajang, Sarawak. Lalu pada kesempatan ini, ana kongsikan cerpen ini untuk tatapan insan yang telah bergelar guru, bakal-bakal guru dan semua yang dapat mengambil pengajaran daripadanya. Untuk semua, inilah kisah…

Beruk!

Pukul lapan tiga puluh minit masing-masing masuk bertugas. Cikgu Sunan masuk ke dalam darjahnya, darjah lima. Ketua darjah melaung kuat suruh murid-murid bangun. Masing-masing bangun, tapi sama seperti berbaris tadi. Malas. Cikgu Sunan tidak ambil pusing hal itu.

Separuh masa sudah berlalu. Cikgu Sunan membuat soalan kira-kira yang lain. Tiba-tiba seorang murid masuk senyap-senyap dan duduk di bangku paling belakang. Dia terlewat datang. Cikgu Sunan sedar. Dia memerhati murid itu dengan pandangan tajam, sehingga mata murid itu tidak kuasa menentangnya.

Semakin lama Cikgu Sunan memerhati, murid itu mulai gelisah. Dia pura-pura mencari sesuatu di dalam mejanya. Menggaru-garu betis yang basah dengan air embun. “Alias! Mari sini!” Cikgu Sunan memanggil murid yang datang lambat itu dengan bengis.

Murid yang bernama Alias itu bangun lambat-lambat, kemudian melangkah perlahan-lahan ke depan. Dia tahu, sebentar lagi dia pasti akan menerima habuan. Dan kawan-kawan yang lain pun sudah menduga yang Alias akan menerima habuan. Begitu selalunya.

“Berdiri di situ!” perintah Cikgu Sunan sambil jari tunjuknya menunjuk ke tepi meja tulis. Dia kembali menulis soalan-soalan di papan hitam. Alias berdiri di tepi meja dengan hati yang berdetap-detap. Bimbang. Takut. Gentar. Dia tidak dapat menduga apakah hukuman yang akan dijatuhkan oleh Cikgunya nanti akibat dia datang lambat.

Tapi kali ini dia bercadang, dia akan berterus terang saja. Dia akan bercakap benar walaupun tidak diterima oleh Cikgu Sunan.

“Mari dekat sini, Lias!” perintah Cikgu Sunan apabila dia selesai menulis soalan. Punggungnya yang lebar itu dihentak ke kerusi. Murid  yang bernama Alias ini mendekat sedikit. Dia cuma memakai seluar dan baju tanpa dua biji butang bawah. Rambutnya tidak disikat. Berkaki ayam. Betisnya bercalar-calar diguris oleh duri lorong denai yang dilaluinya.

Cikgu Sunan memerhati dari atas ke bawah. Jijik sekali. Rupa bentuk dan pakaian muridnya ini sungguh-sungguh tidak berbeza sejak darjah empat dulu lagi. Alias tidak berani memanggung kepala apabila Cikgu Sunan memerhatinya tanpa berkata sepatah pun. Kaki kanannya menenyeh-nenyeh kaki kiri. Gatal. Jarinya memintal-mintal kaki seluarnya yang lusuh itu.

“Kenapa kau datang lambat?” Akhirnya Cikgu Sunan bersuara. Alias tidak menjawab. Dia tahu walau bagaimana benar sekalipun jawapannya, dia akan kena habuan juga. Dia tahu hukuman yang akan dijatuhkan kepadanya bukanlah berdasarkan sebab-sebab sama ada rumahnya jauh atau aral yang lain. Tapi kerana dia datang lambat.

“Hei beruk! Saya tanya kenapa kau datang lambat?” Cikgu Sunan hampir-hampir memekik.

Alias diam. Dia masih tunduk juga. Panggilan “beruk” kepadanya bukanlah sekali itu sahaja dan bukan sekadar cikgu Sunan seorang. Di sekolah dia sudah masyhur dengan panggilan “beruk” sebab dia membela seekor beruk.

“Pandang sini!” sergah Cikgu Sunan sambil mengangkat dagu Alias dengan pembaris panjang. Alias memanggung kepala. “Saya tanya kepada kau datang lambat?”

Dengan suara tergagap-gagap bercampur takut, Alias menjawab, “Beruk… beruk saya putus rantai, cikgu!”.

“Haaa, kalau dah putus apa yang kau buat?”. Cikgu Sunan bertanya keras. Memang dia tidak pernah beri muka kepada murid-muridnya.

“Saya cari, cikgu!”.

“Dah jumpa?”.

Alias angguk. Tersenyum.

“Sebab itu kau datang lambat?”

Angguk juga.

”Kau lebih pentingkan beruk daripada sekolah ya? Sebab tu kau pun macam beruk”. Cikgu Sunan berleter. Muka Alias dipandang dengan jijik.

“Saya sayangkan beruk saya cikgu. Dia kawan baik saya!” kata Alias dengan jujur.

Marah Cikgu Sunan naik meluap. Jawapan Alias itu sungguh menyakitkan hatinya. Dia menggaru-garu. Tubuh kurus Alias dipandangnya, bagai seekor semut.

“Kau nak main-mainkan saya, ya?” Cikgu Sunan menahan marah. Matanya bersinar-sinar.

“Tidak cikgu, saya…”

“Sudahlah!” Tiba-tiba Cikgu Sunan menempik, Serentak dengan itu satu penampar kuat hinggap di telinga kanan Alias. Alias terhuyung-hayang. Tapi tidak mengangis. Telinganya terasa bengang. Pendengarannya berdengung. Mukanya merah.
       
Dengan langkah yang lesu dia kembali duduk di kerusi. Kawan-kawan diam membisu. Masing-masing menumpukan perhatian kepadanya.

“Cuba kamu tengok beruk tu! Tak malu. Malas! Kamu semua jangan jadi beruk macam dia!” Cikgu Sunan bersyarah kepada murid-muridnya yang lain. Murid-muridnya diam membisu. Sekali-sekala mereka berpaling melihat Alias yang malang itu. Tapi pada Alias macam tidak ada apa-apa yang terjadi. Kalau tadi dia asyik tunduk, kali ini dia memanggung mukanya dan berwajah tenang. Begitu pun di kelopak matanya ada air yang bertakung.

Tiga hari sesudah itu Alias tidak datang ke sekolah. Daripada desas desus murid-murid yang lain, Cikgu Sunan mendapat tahu Alias sudah berhenti. Dengan tiba-tiba, dada Cikgu Sunan diserkup sayu. Sedih dan kasihan. Dia terasa macam ada suatu dosa yang telah dilakukannya terhadap Alias.

Beberapa ketika dia termenung. Dia tahu perbuatannya salah dari segi undang-undang. Tapi hari itu dia sungguh tidak tahan. Alias telah ponteng bukan sekali dua. Apabila ditanya cuma beruknya saja yang menjadi alasan. Mana hati tidak geram. Tapi apabila dia mendapat tahu bahawa Alias berhenti, perasaan hibanya tidak dapat dikawal lagi. Dia berasa tanggungjawabnya pula untuk menarik Alias supaya belajar semula hingga tamat. Dia menyesal.

Tengah hari itu Cikgu Sunan tidak terus pulang ke rumahnya. Selepas bertugas dia meminjam basikal seorang muridnya dan terus pergi ke rumah Alias yang terletak sejauh empat kilometer itu. Dia tidak memberitahu guru besar. Biarlah hal itu dia selesai sendiri.
  
Untuk sampai ke rumah Alias, Cikgu Sunan terpaksa melalui lorong sempit yang boleh dikatakan denai. Di kiri kanan  lorong itu banyak pokok “keman malu” dan senduduk. Berlopak-lopak. Tidak ada orang lalu-lalang.

Kampung tempat tinggal Alias sangat-sangat terpencil. Sekali-sekala terlintas juga di hati Cikgu Sunan, bahawa memang patut Alias tidak datang selalu ke sekolah. Kalau dia sendiri pun jadi Alias dia tentu tidak datang ke sekolah. Sekali lagi perasaan menyesal menumbuk di hatinya kerana perbuatannya itu tidak diselidik lebih dulu. Akhirnya sampai juga Cikgu Sunan. Dia terpaksa menyeberangi sebatang titi melintasi sebuah parit yang selebar tiga meter.

Alias tidak ada. Berkali-kali Cikgu Sunan memanggil, tapi senyap saja. Tiba-tiba seorang tua menjenguk dari lubang tingkap. Orang tua itu menjemput Cikgu Sunan naik. Cikgu Sunan menolak perlawaan itu, tapi berkali-kali pula orang tua itu menjemputnya. Akhirnya Cikgu Sunan mengalah apabila orang tua itu memberitahu yang dirinya lumpuh, tidak dapat turun.

Sekali lagi rasa sebak menyerang dada Cikgu Sunan. Rupa-rupanya kesulitan Alias berbagai-bagai jenis. Terasa mahu dikerat tangannya yang ganas itu.

“Alias ke mana mak cik?” tanya Cikgu Sunan.
 
“Entah, dia turun dari rumah tadi pukul sepuluh. Katanya dia nak petik buah kelapa di hujung kampung”.

“Dia panjat pokok kelapa?”

“Takkk, dengan beruknya tulah. Itulah pencariannya sejak mak cik lumpuh,” terang ibu Alias dengan hiba. Di atas alang rumah itu terdapat buku-buku Alias. Dindingnya tembus di sana sini. Tidak ada apa yang boleh dinamakan perhiasan. Cuma satu cermin bulat sebesar tempurung jantan.

“Dah lama mak cik lumpuh?” tanyanya.
 
“Dah hampir setahun,” terang orang tua itu lagi.
 
Cikgu Sunan yang duduk di muka pintu sahaja itu mengangguk-angguk. Rasa simpati kepada Alias semakin tebal.

“Saya datang ni nak tau. Mengapa Alias tak ke sekolah lagi?”.

“Entahlah. Katanya dia tak sekolah lagi. Telinganya sakit”.

Cikgu Sunan termenung panjang. Wajahnya berkerut. Sedang dia termenung itu tiba-tiba dia melihat Alias pulang, beruknya di atas bahu. Alias membimbit dua biji kelapa.

“Haa, itu pun dia dah balik,” kata Cikgu Sunan dengan tersenyum. Orang tua itu menjengguk dari lubang tingkap. Dia menyambut kepulangan anaknya dengan pandangan mata saja. Lebih daripada itu dia tidak terdaya. “Begitulah kerjanya setiap hari sejak bapaknya meninggal,” kata orang tua itu dengan sedih.

Alias yang sudah hampir sampai ke rumahnya itu terhenti seketika apabila melihat ada orang di muka pintu rumahnya. Dia macam tidak percaya orang itu ialah Cikgu Sunan. Tapi apabila dia sudah pasti benar, segera dia melepaskan buah kelapa yang dipegangnya. Beruknya diletakkan ke tanah dan dia terus meluru mendapatkan Cikgu Sunan. Dia senyum girang. Bersalam tangan.

Beruk yang ditinggalkannya itu melompat-lompat. Berkereh-kereh bunyinya, kerana orang yang berada di muka pintu rumah tuannya itu belum pernah dilihatnya.

“Dia lama cikgu sampai ?” tanya Alias.
 
“Baru sekejap,” jawab Cikgu Sunan.   

Keramahan Alias sungguh mengejut Cikgu Sunan. Beruk yang ditinggalkan oleh Alias di halaman rumahnya itu melompat-melompat dengan suara garang. Alias menempik beberapa kali supaya diam, tapi beruk itu tetap melompat juga. Dia tidak kenal orang itu guru kepada tuannya.

Cikgu Sunan terpandang telinga kanan Alias. Telinga itu merah dan bengkak nampaknya. Dari lubangnya meleleh benda putih.
 
“Dekat sini Alias,” kata Cikgu Sunan dengan lembut.

Alias mendengar kata-kata itu berlainan sekali dengan perintahnya semasa sekolah. Kata-kata itu macam, kata-kata orang yang menyayanginya. Dia mendekatkan kepalanya kepada Cikgu Sunan.

“Senget sedikit kepala kau”. Cikgu Sunan berkata lagi. Alias menyengetkan kepalanya. Cikgu Sunan memegang kepala Alias dan menekannya sedikit untuk memastikan telinga Alias yang sakit itu. Tapi dengan tiba-tiba beruk yang sedang marah-marah dan melompat-lompat di halaman tadi, melompat naik lalu menggigit tangan Cikgu Sunan. Beruk itu menyangka orang itu akan menyakiti tuannya.
 
Cikgu Sunan mengadu sakit. Tangannya berdarah. Beruk masih bergelut. Suasana menjadi kelam-kabut. Alias menempik beberapa kali supaya beruk berlalu. Tapi tempiknya tidak diendahkan oleh beruknya. Beruk itu terus menyerang Cikgu Sunan. Demi untuk  menyelamatkan Cikgu Sunan, Alias mencapai sebatang lembing yang digunakan untuk menghimpun buah-buah kelapa, lalu dengan sekuat-kuat hatinya dia meradak lembing itu ke perut beruknya. Cuma itulah saja yang boleh menyelamatkan gurunya.

Beruk yang garang itu menjadi lemah. Terlentang di atas lantai. Sebelum menghembus nafasnya yang terakhir, mata hitamnya memandang kepada Alias dengan sayu. Kelopak mata yang berbulu itu tergenang air jernih.
 
Alias terpaku seketika. Ibunya juga tidak berkata apa-apa. Cikgu Sunan menahan darah di lengannya dengan sapu tangan. Tapi darah yang keluar di lengannya tidaklah sama dengan darah beruk yang telah diradak lembing tadi.

Suasana sepi. Cikgu Sunan memandang Alias, Alias memandang beruknya bagai satu mimpi. Dan ibu tua itu memandang anaknya dengan satu tafsiran yang asing.
 
Alias tidak dapat menahan perasaannya. Dia menangis tersedu-sedu. Air matanya berderai keluar, jatuh menimpa di atas tubuh beruk kesayangannya. Dia bangun lambat-lambat. Matanya memandang ibunya. Ibu tua itu tetap membisu. Dia tersedu-sedu.

“Terima kasih Alias.” Tiba-tiba dalam kesepian itu Cikgu Sunan berkata. Darah di lengannya masih juga keluar.

“Cikgu sakitkah?” tanya Alias antara sedu-sedannya.

“Tak mengapa, sikit saja. Err, saya balik dulu Lias.” kata Cikgu Sunan, lalu turun dari rumah itu.

“Cikgu…”

“saya minta maaf’,” kata Alias sebaik saja Ckgu Sunan memijak tangga bawah.

“Tak apa…. tapi kau mau ke sekolah lagi?”

Alias duduk. Kaku. Sedih.

“Lebih baik kau ke sekolah, hingga darjah enam” Cikgu Sunan memberi nasihat.

“Saya tidak dapat ke sekolah lagi Cikgu.” Tiba-tiba Alias menjawab sayu.

“Kenapa?”

“Beruk… Saya mencari makan dengan beruk itu cikgu.”

Dada Cikgu Sunan bagai ditikam lembing berkarat. Perkataan Alias benar-benar menusuk hatinya. Barulah dia tahu, bahawa beruk itu pada Alias merupakan tali perhubungan nyawanya selama ini. 

Dia melangkah pulang dengan dada yang sebak. Tapi Alias yang terpaku di ambang pintu lebih pilu lagi.

Azizi Hj Abdullah
Dewan Bahasa, Disember 1970

Jahil murakkab

Pada suatu malam yang gelap gelita tanpa sebarang cahaya bulan dan cahaya bintang terdapat seekor burung hantu yang sedang berehat di atas dahan pokok. Terdapat 2 ekor tikus mondok bergerak dibawah pokok itu secara senyap-senyap. 

“Kamu !” kata burung hantu itu. “Siapa?” soal kembali kedua tikus mondok itu sebagai respon.

Mereka kini dalam keadaan yang sangat terkejut dan takut. Bagi mereka, adalah mustahil bagi sesiapa untuk melihat dalam keadaan gelap gelita seperti itu.

“Kamu berdua !” burung hantu itu berkata.

Kedua tikus mondok itu terus berlari secepat mungkin dari situ dan mula menyebarkan berita bahawa burung hantu adalah binatang yang paling hebat dan paling bijak di dunia kerana dapat melihat pada waktu malam yang gelap gelita.

“Saya akan uji burung hantu itu dulu” kata seekor burung layang-layang yang bijak.

Burung layang-layang pun pergi untuk menemui burung hantu pada keesokkan malamnya yang juga gelap gelita dan memulakan sessi soal jawab dari jauh.

“Berapa helai rumput sedang aku pegang di paruhku ini ?” tanya burung layang-layang. “Dua” jawab burung hantu dan itulah adalah jawapan yang betul pun.

Setelah beberapa soalan yang lebih kurang sama ditanyakan kepada burung hantu dan burung hantu menjawab kesemuanya dengan mudah dan spontan. Maka burung layang-layang kembali semula ke tempat perhimpunan binatang-binatang di situ pada keesokan harinya dan melaporkan mengenai pengalaman yang dilaluinya pada malam sebelumnya.

“Burung hantu sangat hebat ! Dia boleh melihat dalam gelap, tidak tidur sepanjang malam dan dapat menjawab semua soalan dengan tepat” kata burung layang-layang yang memang terkenal dengan kepintarannya di kalangan binatang-binatang di situ.

“Dia adalah binatang paling hebat dan paling pintar di dunia !” sambung burung layang-layang lagi. “Bolehkah dia melihat pada waktu siang juga ?” soal seekor serigala dengan muka serius. “Tentulah boleh” jawab arnab dan kambing.

“Bolehkah dia melihat pada waktu siang juga ?” semua binatang yang ada di situ ketawa besar berdekah-dekah terhadap soalan bodoh yang ditanya oleh serigala. Mereka memutuskan pada hari itu untuk menghukum semua serigala di situ supaya dibuang negeri untuk 3 bulan atas kebodohan mereka.

Keesokannya mereka memutuskan untuk menghantar burung layang-layang untuk bertemu dengan burung hantu dan menawarkan kepadanya tawaran untuk menjadi ketua kepada semua binatang-binatang yang ada di hutan itu.

Burung hantu bersetuju dan semua binatang berkumpul pada waktu tengahari itu untuk menyaksikan upacara perlantikan kuasa burung hantu sebagai ketua kepada semua binatang.

Pada waktu tengaharinya itu, burung hantu tiba hanya dengan berjalan kaki, ini memberikan satu persepsi tentang bertapa pentingnya burung hantu itu. Matanya yang besar pula menandakan kehebatannya mengawal dan mengawasi dalam semua keadaan.

“Dialah tuhan” jerit seekor ayam jantan setelah merasa kagum dan gementar dengan karisma si burung hantu. “Dialah tuhan” jerit semua binatang lain mengikut seruan ayam jantan itu tadi.

Maka semua binatang pun mengikut burung hantu beramai-ramai sebagai tanda taat setia mereka kepada ‘tuhan’ yang baru mereka lantik itu. Mereka mengikutnya secara membabi buta, apabila burung hantu terlanggar sesuatu, mereka juga akan melanggar objek itu dengan sengaja dan mereka mula menafsirkan setiap tindakan burung hantu itu sebagai sesuatu yang mempunyai hikmah dan mesej yang tersirat.

Akhirnya, mereka sampai ke jalan lebuhraya yang bertar dan semua binatang ini mengikut jejak burung hantu yang berjalan di tengah-tengah lebuhraya itu.

Kini, helang yang bertugas sebagai pengawal dari udara bagi rombongan ini turun ke bawah dengan tergesa-gesa  dan memberitahu burung layang-layang bahawa terdapat sebuah lori besar sedang bergerak menuju ke arah mereka.

Burung layang-layang pula melaporkan “Tuanku, terdapat bahaya di hadapan” bisik burung layang-layang kepada burung hantu. “Bahaya ?” kata burung hantu dengan nada angkuh kerana tidak faham apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh burung layang-layang. “Tuanku tidak takut ke?” tanya burung layang-layang lagi. “Siapa?” tanya burung hantu dengan tenang kerana dia tidak dapat melihat lori besar yang sedang bergerak dihadapannya itu. (Burung hantu tidak dapat melihat pada siang hari)

“Dialah tuhan” teriak semua binatang yang mengikut burung hantu sehinggalah ke saat mereka ramai-ramai dilanggar oleh lori besar itu. Kebanyakkan daripada mereka telah mati termasuk burung hantu, kecuali beberapa binatang yang hanya cedera parah.

Apa pengajaran buat kita ???
Fwd email rakan.

Terhantuk Di Pintu Sedar

AKUKAH itu? Dalam kegembiraan itu sebenarnya aku meratap hiba. Dalam kegembiraan itu sebenarnya aku tercalit luka. Kejahilan mendiami peribadi dan aku adalah golongan yang tertewas. Ya, golongan tertewas dalam selimut tebal kepalsuan. Kebenaran bakal tercabut daripada sampul penipuan! Kelantungan bisa terbau!

Alam bagaikan tidak sabar-sabar melihat keruntuhan seorang insan. Burung bagaikan teruja mendecit irama kehancuran. Dunia dan segala apa di dalamnya adalah kesenangan yang memukau serta menipu sang pencintanya. Maka andai cinta ini diberikan pada buana, maka ia bisa memartabatkan manusia sebagai hambanya. Itu adalah benar! Ia terang dan bersuluh.

Argh… berapa lama lagi pekung ini mampu disorokkan? Berapa lama lagi bangkai ini bisa ditutup? Yang pasti baunya dapat dihidu juga nanti. Tengik dan meloyakan. Sampai bila lagi harga diri ini dapat diselamatkan? Persoalan yang menyendati benak Zaf. Bagaikan tiada esok lagi buatnya. Yang pasti mati bukan jalan penyelesaian. Itu tindakan orang pengecut!!! Tiada agama!!! Tiada peganggan!!! Tapi masih adakah sinar addin dalam diri ini? Setelah bertahun hidup dalam gelombang kemaksiatan. Zaf terpinga-pinga mencari jawapan.

Jalan buntu. Hanya noktah yang kelihatan. Akan berakhir sebuah kehidupan yang dipenuhi kesenangan dan kemewahan dunia yang mengasyikkan. Kehidupan yang bakal hancur serentak membuka ruang pada penderitaan, cacian serta makian. Itu sudah pasti! Mulut manusia bukan tempayan yang boleh ditutup. Jika tidak dijaga pedihnya bisa membinasakan alam dengan bau hanyir darah. Bagai mata pedang yang menikam, tapi lukanya tak nampak walaupun keperitan dirasai.

Zaf ingin kekal dalam kehidupannya sekarang. Dilimpahi kemewahan, disaluti sanjungan dan pujian yang melimpah ruah. Tapi mana mungkin. Benda yang busuk sudah menanah. Ingin sekali menonjolkan diri sekali gus memusnahkan apa yang sedia ada. Argh…. aku seharusnya mencari jalan penyelesaian bukan meratap resah berdamba pilu. Menunggu bagaikan penjenayah yang bakal mati di tali gantung. Menunggu tanpa usaha dan harapan. Tapi masih adakah harapan buat diri ini? Zaf meraup wajahnya yang menekur ke bumi.

Pertama kali kakinya menapak ke masjid setelah 10 tahun terlupa akan kewujudan institusi itu. Buat pertama kalinya dahinya mencecah sejadah setelah sekian lama leka akan kewajipan itu. Tenang duduk berteleku di hamparan ambal biru yang menghiasi lantai masjid.

Satu persatu kesalahannya menerjah. Bagaikan wayang gambar yang sering ditontonnya. Ya Allah, adakah ruang kemaafan untukku. Zaf terbayang bagaimana tangannya laju menggunakan kemajuan memasukkan duit daripada titik peluh hasil orang lain ke akaunnya. Walau satu sen, yakni jumlah yang terlalu kecil daripada setiap akaun orang lain digelapkan untuk menerangi akaunnya yang malap. Jika berbilion orang digelapkan, berapa banyak cahaya yang melimpah masuk dalam akaunnya.

Walau cahaya yang masuk itu bukan cahaya keimanan. Hanya kepalsuan semata-mata, ia sudah cukup membuatkan dirinya hebat! Hebat di kaca mata kepalsuan dunia.

Zaf menekan-nekan daging di tangannya. Ini daging yang tumbuh daripada duit yang haram. Daging ini bakal menjadi makanan api. Api yang antagonis daripada api yang membakar Ibrahim. Jika Ibrahim tenang dalam nyalaan api yang marak itu. Dia bakal menjerit kesakitan!

Zaf mengambil lilin yang kebetulan berada di tiang masjid yang berdekatan. Mancis di tangan digunakan untuk menyalakan lilin itu. Lama cahaya lilin itu diperhatikannya.

Perlahan-lahan jarinya dibawa mendekati api daripada lilin itu. Bergetar tangannya mendekati. Semakin dekat, semakin kuat bahang kesakitan dirasai. Panas ! Pedih! Sakit! Argggghhhhhh kulit tangannya bagai mengelupas dimakan api lantas isinya pula diratah rakus! Kesakitan bagai sampai ke kepala.

Pantas dia menarik tangannya. Peluh-peluh jantan mula membasahi setiap tubuhnya. Jarinya direnung. Kesakitan itu masih ada walau jarinya kini bukan berada di zon api. Ya Allah, Allahuma ajirna minan nar! Allahuma ajirna minan nar! Allahuma ajirna minan nar! Berkali-kali bibirnya menyebut, hatinya turut terjiwa dan air matanya ikut sama mengalir.

Dunia yang fana ini telah menghayutkan Zaf ke lembah kebinasaan. Buana yang nyanyuk ini turut menyayukkan dia dalam memilih arah tujuan. Tahniah dunia! Tahniah nafsu! Kau berjaya menipu dan menundukkanku melupai peganganku. Aku mangsa yang lemas dalam dakapan nafsu dan dunia!!! Syabas!!! Arghhhh…. jeritan penyesalan yang tidak menjanjikan perubahan apa-apa. Cuma sedikit ketenangan yang bisa membuak kembali kerunsingan pada minda serta resah jiwa.

Zaf merenung jalan yang dirasakan masih kabur. Kenapa dulu dia tewas dengan telunjuk nafsu yang berajakan syaitan! Sedangkan dulu dirinya dekat dengan pencipta. Siapa tidak kenal Mohd Zafwan Ariffin! Jaguh menghafaz al-Quran, anak murid kesayangan Ustaz Alias, Imam yang selalu memberi tazkirah, ketua naqib yang disegani, orang yang dicari untuk berdiskusi soal agama bukan sahaja di sekolahnya malah di IPTA. Orang yang dulu amat berpegang pada ‘amal makruf nahi mungkar’

“Zaf jom kita tengok wayang. Ada cerita best ini!” Hafiz mendekati Zaf yang sedang berehat seketika. Di dadanya terdampar sebuah buku rujukan. Zakuan membuka matanya.

“Apa dia?” pertanyaan meminta kepastian.

“Jom kita tengok wayang,” Hafiz mengulangi. Zaf pantas menggeleng.

“Alah kau ini apa salahnya sekali sekala,” pujuk Hafiz

“Sekali yang menyebabkan untuk kesekian kalinya dan bulan Ramadan pula bermula,” Zaf berbicara tegas. Yang pasti dia sudah kematian akal untuk menasihati rakannya itu berpuluh kali ditegaskan keburukan menonton wayang namun kedegilan masih membaluti diri sahabatnya. Maka hanya titipan doa dan harapan agar perubahan menyinari sahabatnya.

Zaf sendiri tidak pasti bila dia hanyut di lautan yang tak bertepi. Angin taufan fana dunia ini telah menjatuhkannya ke dalam lautan penderhakaan. Terlalai seketika menyebabkan syaitan mengambil kesempatan sesungguhnya. Pautannya pada dahan yang longgar memudahkan syaitan membuat perhitungan lantas dia kecundang. Jatuh jua setelah segalanya cuba dipertahan.

Iman yang lupa disemai. Ilmu yang disangkanya mantap, ketakwaan yang dilabelkan kental rupanya rapuh jua akhirnya. Benar kata seseorang “Orang yang menyangka ilmunya sudah cukup sebenarnya dia adalah orang yang jahil.” Yang pasti kejahilan buat dia tergolong dalam golongan yang tertewas.

Firman Allah SWT, “Sesungguhnya Allah tidak menganiayai manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiayai diri mereka sendiri” (Surah Yunus, ayat 43).

Zaf tidak sangka niat untuk membantu seorang gadis yang mengengkang jalannya. Akhirnya dia turut sama jalan mengengkang. Iman yang disangkanya mantap, rupanya terliur juga dengan pujuk rayu seorang wanita. Nafsu yang disangkanya terkawal rupanya di luar kawalan bila matanya menyentuh tubuh yang mengiurkan serta belaian daripada gadis yang berjiwa syaitan.

Hati kenapa kau mati di kala itu!! Iman kenapa kau diam di saat itu? Membiarkan diri menikmati ‘nikmat dunia’ yang seketika tapi derita yang berpanjangan sengsara yang tiada kesudahan. Kemaksiatan yang diulang-ulang hingga lupa jalan pulang.

Sebab perempuan itu juga, daging-daging haram kini menghuni tubuhnya. Menurut kemahuan yang melebihi kemampuan. Maka akhirnya dia hancur!

Zaf ingat lagi bagaimana dia cuba membantu Sheera. Tidak disangka perempuan itu pandai menanam tebu di bibir. Zaf dijeratnya. Zaf digodanya. Akhirnya anak muda itu tewas. Saat itu detik hitam bermula dalam lembaran hidupnya. Ketelanjuran sekali yang berlarutan untuk kesekian kalinya. Zaf ingin bertanggungjawab, tapi Sheera mengekek tergelak. Kehidupan itu normal baginya. Betapa kebaratan itu telah menyaduri gadis itu.

Zaf mula lupa diri. Berjauhan dengan keluarga melebarkan langkahnya yang dulu hanya sejengkal. Tambah lagi si gadis pandai memainkan peranan menggoda dalam kefanaan. Menabur cinta yang kononnya setia bermazhab syaitan. Haram dan halal semua dibedal. Kesudahannya hati menjadi bebal, nafsu menguasai akal.

“Wan… wan kalau I jadi bunga, you nak jadi apa?” tanya Sheera yang manja mencairkan Zaf.

“I jadi durinya,” jawapan daripada Zaf yang menyebabkan Sheera mengerutkan dahinya.

“Duri melindungi bunga daripada dipetik orang,” terang Zaf yang mampu mengembalikan senyuman di bibir Sheera.

“Kalau I jadi langit, you nak jadi apa?” tanya Sheera lagi yang mungkin kehabisan modal untuk berbicara lalu menyoal yang bukan-bukan.

“I jadi bintangnya,” pendek jawapan Zaf.

“Kenapa tak jadi bumi?” tanya Sheera.

“Sebab bumi jauh dengan langit, kalau bintang ia lebih dekat dengan langit siang dan malam walaupun pada kala siang cahayanya tidak kelihatan,” jawab Zakuan. Mereka berdua bergelak ketawa bersaksikan segala makhluk ciptaan-Nya di langit dan di bumi yang menyaksikan syaitan turut bergelak ketawa bersama-sama kemungkaran mereka, di samping terus menabur serbuk kelalaian berbaur keseronokan. Satu pakej yang lengkap untuk melupakan Yang Maha Pencipta.

Zaf mengeluh panjang bila satu-satu helaian hitamnya bermain-main di kotak fikirannya. Memaparkan kejahilannya seolah-olah mengejeknya bagaimana anak seorang imam boleh terlajak jauh daripada pegangan. Betullah kata orang, imam itu adalah mutiara yang tidak dapat diwarisi dan menduduki hati bila kemungkaran dicari dan amalan dijauhi . Zaf masih lagi berteleku di tikar sejadah di masjid yang julung-julung kali dipijaknya. Kesakitan di jarinya yang dimamah api lilin masih bersisa.

Tiba-tiba dia berjalan ke luar masjid. Betul-betul duduk di kawasan lapang yang berlantaikan tanah hitam. Tanah itu digenggamnya. Bagaimana tanah yang duduknya paling rendah dan kotor di bumi ini layak melakukan kemungkaran. Tangannya mencapai batu yang berdekatan.

“Batu ini patut merejamku, biar dia menyiat koyak kulitku ini. Kulit dan daging yang terladung dosa,” bisik Zaf. Tiba-tiba dia terasa kesakitan yang teramat di kepalanya.

“Aduh,” tangannya pantas meraba bahagian kepala yang sakit. Ada cecair merah yang menghuni. Dia memandang ke hadapan. Ada seorang yang serabai pakaiannya, ingin melontar batu lagi kepadanya.

“Ya Allah sakitnya,” lirih Zaf perlahan. Orang yang serabai itu ketawa berdekah-dekah lantas berlalu. Zaf hanya diam. Tidak mampu buat dirinya untuk marah. Orang itu telah kehilangan kewarasan dan dia baru sahaja menemui jalan kesedaran!

Merenung diri yang makin jauh daripada Pencipta. Masihkan ada sinar cahaya buatnya? Masihkan ada kesempatan membaiki jalan yang sudah mengengkang itu? Zaf mengeluh lagi. Wajahnya lebih rela ditekurkan ke bumi.

“Assalamualaikum. Saudara tidak apa-apa ke?” Pertanyaan yang membuatkan Zaf mengangkatkan wajahnya.

“Eh, Zaf! Ya Allah, aku Razif!” Zaf mengerutkan keningnya seketika kemudian bibirnya mengukir senyuman. Lalu sahabat sejemaahnya suatu tika dulu itu dipeluknya erat. Razif masih seperti dulu, wajahnya nampak bersih tidak keruh sepertinya. Badannya masih sasa tidak lemah sepertinya. Zaf dalam diam membuat penilaian.

“Dahi kau berdarah Zaf,” ujar Razif sedikit cemas sambil cuba mengelap luka itu dengan sapu tangannya. Pantas Zaf menolak. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku pada sahabatnya itu. Darah yang mengalir itu biar dia yang mencucinya sendiri.

Pertemuan hampir tiga jam itu membina ruang untuk mereka bercerita hal kehidupan masing-masing.

Razif walaupun tidak sehebat Zaf dalam membina kerjayanya sebagai ahli politik dan akauntan, tapi kehidupan Razif lebih bahagia berbanding Zaf. Razif masih lagi dalam nikmat yang paling besar yakni iman dan Islam. Tidak seperti Zaf yang tercabut imannya lantaran kejahilan dan kekotoran yang membaluti setiap tubuhnya. Dia sekarang merana membawa virus HIV positif dalam badannya. Penyakit yang diperoleh natijah daripada penderhakaan yang dilakukan.

Razif simpati dengan nasib yang menimpa sahabatnya itu. Langsung tidak disangka itu kesudahan bagi seorang insan yang bernama Zaf. Nasib baik cahaya hidayah tidak malu bertandang, cahaya keinsafan sudi menampak. Sekurang-kurangnya masih ada harapan untuk mengharap pengampunan Tuhan, membaiki keadaan, mengerjakan amalan. Tambahan Razif sudi membantu. Takdir Tuhan di dalam kegelapan itu ada sinar yang datang. Sesungguhnya Tuhan itu maha pengasih dan pengampun.

Malam itu bersaksikan malam yang kelam, berdirilah seorang hamba dengan penuh keinsafan bersalut harapan, dengan penuh penghayatan berserta butiran jernih air mata yang tidak putus-putus sedang memohon ampun kepada Tuhan-Nya. Dengan penuh kerendahan hati bercampur penyesalan dia berdoa. Dia meminta agar taubatnya diterima. Biarlah aku kehilangan segalanya kerana aku telah memperoleh nikmat yang sebesar-besarnya yakni keinsafan dan kesedaran, bisik Zaf penuh kesyukuran. Air matanya menitis lagi. Bersyukur masih ada yang sudi menerima di saat dia tertewas begini.

Keesokan harinya ada sepasang kaki yang bergerak lemah menuju ke Balai Polis Seri Aman dan dia pasti kelantungan itu bakal berada di dada akhbar.

Cerpen hasil nukilan Insan Yalin, Berita Harian. Klik untuk ke link asal.

Nilai keluarga

Assalamu’alaikum wbt..

Sekali lagi di tengah-tengah kesibukan menghadapi musim exam ini, ana panjangkan sebuah kisah dari dalam mailbox emel ana yang telah dikongsikan oleh seorang rakan yang baik. Sesungguhnya suatu nikmat yang besar kalau kita dikurniakan keluarga sendiri, isteri dan anak-anak sebagai penyeri. Namun kadang-kadang tanpa kita sedari, nikmat itu tidak kita hargai.. kepada peminat laman Kalam IbnRajab, inilah suatu kisah teladan.

Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta di halakan ke dalam garaj. “Horey! Papa balik!” Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.
 
“Tepi! Bahaya tau tak?” Jeritnya.
 
Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.
 
“Aimin bawa adik ke belakang.” Arahnya pada anak yang sulong.
 
Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.
 
“Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita,” pujuk Laila.
 
Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.
 
“Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!” Sergahnya. Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya. “Asal saya balik rumah mesti bersepak. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?” sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.
 
“Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman.” Balas isterinya lembut.
 
“Fail saya kat depan tu mana?”
 
“Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan.”
 
“Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi.” Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu. Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya.
 
“Laila..” Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.
 
“Saya nak ke out station minggu depan.”
 
“Lama?” Soal Laila.
 
“Dalam seminggu.”
 
“Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?”
 
“Budak-budak?”
 
“Ikut jugalah.”
 
“Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana. Tengok masa kat Legacy dulu tu”
 
“Masa tu Amirul kecik lagi.” Balas Laila. Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi. “Bolehlah Pa! Lama sangat kita tak ke mana-mana.” “Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung,” Muktamad! Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.
 
“Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!”
 
“Manalah saya ada masa..” “Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!” Dia tersentak dari khayalannya. “Kalau tak suka pulangkan balik!” Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir. Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma.. “Mizi, makan!” Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. “Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah.” “Papa! Makan!” Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya. “Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?”
 
Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.
 
“Awak masak apa?”
 
“Mama masak sup tulang dengan sambal udang!” jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.
 
“Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!”
 
“Papa nak ke mana?” Soal isterinya perlahan.
 
“Keluar!”
 
“Mama dah masak Pa!”
 
“Awak saja makan!”
 
“Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!”
 
Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan. “Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?” Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi. “Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan.” “Abang tak suka tengok papa marah-marah..” “Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan?”
 
Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?
 
Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.
 
“Laila..” serunya
 
“Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti.” Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.
 
“Sunyi pulak rumah ni mak,”
 
“Lama-lama kau biasalah.”
 
Airmatanya menitis laju. “Kalau tak suka pulangkan!” Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.
 
“Papa beli apa untuk Aiman?” Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.
 
“Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu.”
 
“Tak ada lah?”
 
“Ingat papa ni cop duit?”
 
Aiman termanggu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.
 
Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya. “Awak tak sihat ke?”
 
Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.
 
“Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi.” Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.
 
Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.
 
“Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!” Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.
 
Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.
 
“Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!”
 
Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.
 
“Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan.” Ujar Laila perlahan
 
“Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana, kecah barang. Gila apa?” Omelnya kembali.
 
Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.
 
“Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni.” Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang. Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah. “Celaka betul!” Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja. “Abang!”
 
“Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!” Getusnya kasar.
 
Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.
 
Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.
 
“Pak Ngah, Eddie nak balik!” Shamizi terpana. Dia mengangguk. “Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti.” Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A. “Laila..” “Papa nak ke mana hensem-hensem gini?” Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat. “Wangi-wangi lagi. Dating ye?”
 
“Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff.” Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.
 
“Ikut boleh?”
 
“Dia tak ajak family. Staff only!” Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang. “Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami.”
 
“Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. “
 
“Papa pesanlah..”
 
“Nantilah besar sikit.” Dalihnya.
 
“Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun.”
 
“Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,”
 
Laila terdiam. “Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki.”
 
“Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik.” “Mama tanya sikit boleh?” Dia mengangguk “Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?”
 
Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.
 
“Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik,” ujar Mr. Kwai, tuan rumah.
 
Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.
 
“Kalau tak suka pulangkan!” Kata-kata itu semakin keras di fikirannya. Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian. “Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan!” Laila merenungnya dalam.. Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil. Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa.. “Kalau tak suka pulangkan,”
 
Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga.
 
Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila..
 
Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.
 
Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi..
 
Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan..

Anak-anak, kadang-kadang kita merasakan, kehadiran mereka sangat menganggu. Terutama di kala kita kepenatan dan dibelenggu runsing yang pelbagai. Sebenarnya kita lupa, sekiranya kita terjemah atau tafsirkan kehadiran mereka dengan iman, nescaya saat mereka bising dan haru-biru itulah saat paling manis dan berharga buat kita melupakan seribu satu mehnah dunia.

Untuk kita tidak menyesal (sekiranya kita berpegang kepada berkeras dalam mendidik anak itu suatu pendekatan juga) kalau kita marahkan anak, istighfar dulu lah.. kerana falsafah Islam, sekiranya apa sahaja yang datang kepada kita yang mengganggu kita, datangnya kerana isyarat keburukan kita. Saidini Umar RA, apabila tunggangannya tidak mengendahkan arahan, dia turun lalu beristighfar seterusnya menaikinya semula barulah tunggangannya kembali mengikut arahan.

Wallahu aklam.