Selamat bercuti persekolahan

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Lama juga tidak menulis di sini. Entah, mungkin ketandusan idea, kesuntukan masa, kesibukan dunia dan seribu lagi alasan kalau hendak dinyatakan. Rasanya tidak sesuai, kalau di mana-mana sahaja para pembaca dihidangan dengan luahan saja. Di fesbuk dah banyak sekali luahan-luahana orang. Di blog kalau boleh jangan ditambah lagi.

Hari ini Jumaat. Tadi imam dengan bersemangatnya berkhutbah (ekceli membaca sebenarnya) tentang tajuk keibubapaan. Katanya tanggungjawab ibubapa mendidik dan membesarkan anak-anak dengan sepenuh perhatian. Bak kata orang tua-tua, bagai menatang minyak yang penuh. Bukan macam mem’binatang’ ya, tapi menatang.

Lagi

Hujan oh hujan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Usai solat maghrib berjamaah tadi, ana mengajak ‘Aidi Bassyar pulang ke rumah. Anak ini perlu masuk tidur awal, esok nak ke sekolah. Jika lewat tidur, maka masalah lah ketika hendak bangun pagi. Jadualnya hari-hari, makan malam adalah selepas solat maghrib. Amalan asuhan bulan Ramadhan. Bila azan maghrib, berbuka dengan tamar dan air sahaja, usai solat baru jamah nasi. Berehat seketika sementara menunggu untuk solat Isya’ seterusnya tarawih. Itulah jadualnya.

Lagi

Didik anak dengan teka teki

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Kadang-kadang mendidik anak ini perlu kepada suasana yang mencabar minda mereka. Salah satu cara ibubapa mencabar minda anak-anak adalah melalui teka teki. Seingat ana, masa kecil-kecil dahulu, selalu ana dicabar dengan teka teki oleh orang-orang sekeliling; nenek, bapa saudara, mak saudara, kakak, abang-abang senior (waris-waris sebelah mak atau ayah) dan juga rakan-rakan; sama ada semasa di sekolah atau tempat mengaji al-Quran.

Lagi

Ceramah keibubapaan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah, pagi ini ana diberi ruang dan kesempatan berkongsi sedikit pengalaman dan ilmu pengetahuan bersama sekitar 60 orang ibubapa dari sekitar Sibu dalam program Ceramah Lonjakan Pelajar-pelajar Muslim Tahap-2 Sekolah Rendah. Program ini dianjurkan oleh Biro Perkhidmatan Pendidikan, Majlis Islam Sarawak (MIS) dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Sibu manakala Jawatankuasa pengurusan Masjid al-Nur, Sibu pula menyediakan masjid ini sebagai tempat program dijalankan.

Lagi

Cek kiblat anda hari ini

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Jangan lupa untuk menyemak arah Kiblat tempat anda hari ini. Sebenarnya kita di Malaysia boleh menyemak ketepatan arah Kiblat (untuk kepastian bagi mereka yang baru menetap di suatu tempat baru contohnya) dua hari dalam setahun; iaitu pada hari ini 28 Mei pada jam 5.16 pm (1716) atau pada 16 Julai jam 5.28 pm (1728). Hal ini kerana, pada kedua-dua hari tersebut dan pada masa berkenaan, keadaan matahari berada tepat di atas Ka’bah di Makkah al-Mukarramah (seperti yang ditunjukkan dalam ilustrasi di atas). Oleh yang demikian, di mana-mana tempat yang menerima bayang matahari pada tempoh hari dan masa yang berkenaan akan dapat menentukan arah Kiblat mereka dengan tepat. Cara menentukan arah Kiblat menggunakan kaedah ini telah digunapakai oleh banyak negara dan badan-badan rasmi yang bertanggungjawab terhadap agama Islam setempat.

Lagi

Pilih sekolah di Kelantan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sejak ana bermastautin di Kelantan ni ramai pula saudara mara dan sahabat handai (sama ada orang Kelantan dan bukan Kelantan yang bekerja dan masih menetap di luar Kelantan) bertanyakan tentang persekolahan di sini. Terutama pada akhir-akhir tahun begini dan tambahan pula penggal baru persekolahan akan bermula dalam masa tidak kurang sebulan sahaja lagi. Walaupun sibuk dengan melayan dan membawa anak-anak bercuti, mungkin juga membeli peralatan baru persekolahan, ada segelintir ibubapa yang sudah tercari-cari tempat persekolahan terbaik untuk masa depan anak-anak mereka.

“Ustaz, kalau sekolah kat Kelantan, mana sekolah yang baik?”
“Ustaz ada tak borang kemasukan ke Sekolah Maahad Tahfiz Sains?”
“Ana nak anak ana melanjutkan pelajaran menengahnya di Kelantan, dia pun minat, katanya nak tukar suasana”
“Mengaji di Kelantan ni berkat, guru-gurunya pun rajin”

Lagi

Manfaatkan cuti

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Cuti-cuti Malaysia! Kini dah jadi “Cuti-cuti 1Malaysia” hehe, sekarang ni semua benda dah nak jadi 1. Alhamdulillah, moga-moga kita semua beriman kepada Tuhan yang 1, mengambil panduan dan perundangan Allah yang 1, mengikuti sunnah Rasulullah yang 1 dan terakhir itu, dan berjuang untuk hidup, mati, beribadah dan segala-galanya demi agama Islam yang 1 juga.

Sesungguhnya, manusia yang paling mulia antara kamu adalah yang paling tinggi nilai taqwanya. (al-Quran al-kariem)

Lagi

Apabila anak bertanya tentang Tuhan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Anak-anak ibarat kain putih. Ibubapalah yang mencorakkannya dengan pelbagai warna mengikut apa yang disukai atau difahami dari kehidupan keduanya. Mafhum sabda Nabi SAW “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (semulajadi, bersih dan suci dari dosa), kemudian para ibubapalah yang mencorakkannya sama ada akan menjadi (beragama) Majusi, Yahudi, Nasrani (ataupun beriman kepada Allah)”.

Anak-anak memang suka bertanya. Mereka akan bertanya. Kerana pertanyaan itu adalah terbit dari sifat (fitrah) semulajadi dirinya yang ingin kepada ilmu atau pengetahuan. Kepada kedua ibubapalah pertanyaan selalu diajukan. Dan mereka tidak berhenti sehinggalah segala persoalan itu telah terjawab dan jiwa mereka dipenuhi oleh ilmu dan pengetahuan tentang sesuatu perkara yang ingin diketahuinya.

Lagi

Keputusan UPSR hari ini

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Masa datang ambil Bassyar kat sekolah dia tadi, ana tengok suasana berlainan daripada hari-hari biasa. Selalu dekat kantin itulah ana selalu jemput Bassyar. Hari ini ramai pula budak-budak sekolah kat situ. Cikgu-cikgu pun ramai yang lalu lalang dan pusing-pusing area kantin. Baru ana sedar, hari ini keputusan UPSR diumumkan. Budak-budak yang nampak besar-besar daripada Bassyar itu mungkin murid-murid tahun enam yang baru sahaja dapat keputusan mereka.

Kelihatan ada yang mundar-mandir, ada sekelompok bergembira dan tersenyum senyum sambil membawa slip ke kerete tempat ibu atau ayah mereka datang jemput. Ana dulu, datang ke sekolah dan pulang ke rumah jalan kaki saja. Budak-budak zaman sekarang ni datang berhantar, pulang pula berjemput. Kebanyakan dengan menggunakan kereta. Ada jugalah dua tiga kerat yang menggunakan motorsikal.

Lagi

Kelahiran anak

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sepanjang pengetahuan ana, ada tiga perkara yang sunat dilakukan seawal hari pertama kelahiran anak (sejurus selepas mendapatkan anak yang baru dilahiran); iaitu, Azan, tahnik dan ucapan tahniah kepada ibu dan bapa yang dikurniakan kelahiran tersebut.

1. Azan
Iaitu lafaz azan biasa yang digunakan untuk menyeru umat Islam mendirikan solat (selain subuh). Ianya sunat dilakukan di telinga kanan manakala di telinga kiri pula diperdengarkan lafaz-lafaz iqamah. Amalan ini adalah sama bagi kedua-dua anak; sama ada lelaki ataupun perempuan.

Hikmah:  Memperdengarkan dan memperkenalkan anak kepada kalimah tauhid (asas aqidah ‘pegangan’ umat Islam iaitu beriman dengan keesan Allah, kenabian Muhammad SAW dan penerimaan segala syariat yang dibawa Baginda SAW) seawal saat pertama kelahirannya ke dunia. Semoga dengannya juga dijauhkan daripada gangguan Iblis dan Syaitan yang dilaknat oleh Allah daripada mengganggu dan menguasai bayi yang baru sahaja dilahirkan dalam keadaan serba kelemahan itu dengan segala kekuatan yang dikurniakan dan dizinkan oleh Allah SWT.

Lagi

Manisnya kenangan

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

pantaiLama juga ana tidak mengetuk papan kekunci laptop ini untuk menulis sesuatu untuk diposkan dekat sini. Mungkin tekanan tesis yang masih dalam proses untuk disiapkan tidak menyempatkan ana berbuat seperti selalu. Komitmen kepada tesis itulah yang lebih utama kerana ia adalah amanah kerja ana buat waktu ini. Apa-apa pun, pada saat dan waktu ini, rasa ini memaksa juga ana menuliskan sesuatu.

Ia adalah berkaitan dengan suatu kunjungan ke rumah sahabat ana di Pasir Mas. Bukan dia orang Pasir Mas pun, tidak juga isteri dia orang sana. Tapi mereka sekeluarga baru berpindah ke sana kerana isteri sahabat ana ini bertukar tempat mengajar ke salah sebuah sekolah di bandar tersebut. Kunjungan ana bersama keluarga hari ini ke rumah sewanya atas niat ziarah merangkap membalas ziarah yang dilakukannya hujung minggu baru ni ke rumah ana (rumah orang tua ana sebenarnya).

Pada minggu lepas ana sempat berkata padanya “macam mimpi je ana tengok anta dah tercegak kat kampung ana ni, macam tak masuk difikiran ana langsung yang anta akan jadi orang Kelantan”. Masakan tidak kerana dulu kami sama-sama hidup merantau di bumi Sarawak. Selalu kami berbalas kunjungan antara satu sama lain. Ana, ust azman, ust ainsa, ust hadi, ust adni dan rakan-rakan yang sama-sama bekerja di sana, akan memanfaatkan cuti hujung minggu untuk saling ziarah menziarahi. Kalau tidak menziarahi, kami pula yang akan diziarahi.

Walaupun hidup berjauhan daripada ibubapa dan sanak saudara, tetapi ikatan silaturrahim amat kami rasai. Kalau ada buat majlis keraian sikit-skit seperti majlis tahnik anak, akikah, majlis sambut hari raya dan sebagainya, kami meriah kawan walaupun tidak dapat menikmati keriuhan kehadiran sanak-saudara. Apatah lagi kalau ada di antara kami yang ditimpa sakit. Sikit sakit pun kami akan diziarahi dan didoakan agar cepat sembuh kembali. Sungguh manisnya kenangan itu.

Ingat lagi ana, kalau kebetulan ada dua tiga keluarga berkumpul (biasanya usrah ana, ust azman dan ust ainsa) maka kami akan jalan-jalan ke pantai Damai dekat santubung. Kat sana ada pantai. Suasananya agak tenang, jauh dari kesibukan dan agak damai seperti namanya pantai damai. Sebab tempat kami bertugas nak kata bandar tak la juga, mungkin lebih kepada hujung kampung la gamaknya. Kalau ust ainsa tu tempat dia lagi hujung kampung. Jadi keputusan untuk ke tepian pantai bawa anak-anak main itu menyeronokkan. Kadang-kadang tu bukan buat apa pun, hanya pergi kemudian balik, itu sudah memadai. Pada masa itu dan pada masa ini kenangan itu memang manis untuk dikenang.

Kalau rajin sikit, kami bawa anak-anak mandi air terjun kat Ranchan. Sini dekat sikit dengan rumah ust ainsa. Sampai hari ini, anak-anak suka sangat pasang video yang ana buat sendiri hasil daripada gambar-gambar dan visual yang diambil dari sana. Walaupun mereka tengok benda yang sama, dan hasil video ana itu tidaklah terlalu memuaskan tetapi anak-anak sangat terhibur. Mereka masih ingat nama-nama kawan yang sudah lama tidak dijumpai. Mereka juga merindui dan merasai manisnya kenangan itu.

Bila ana balik tempat asal ni, rasa nikmat ziarah menziarahi itu kurang. Ya lah, kalau ada pun cuti hujung minggu, rasa tanggungjawab nak balik rumah mertua. Atau menghabiskan masa melayan karenah anak-anak dengan membawa mereka jalan-jalan dalam suasana keluarga sendiri sahaja. Nak bawa orang tua (sama ada mak ayah ana atau mertua) memang mereka tak nak ikut sebab dah memang tempat sendiri.

Hari ini, dengan melakukan kunjungan ini, kenangan yang manis itu telah sedikit sebanyak terulang dalam sejarah kami. Walaupun tidak ada ikatan kekeluargaan, tetapi hubungan persaudaraan yang berlandaskan keikhlasan itu memberikan seribu satu makna. Dan hubungan seperti ini telah memeriahkan kehidupan kami di bumi perantauan. Apabila balik ke kampung pada hujung tahun (cuti sekolah) dan kemudiannya terpaksa meninggalkan ibubapa kerana kembali semula ke tempat kerja meneruskan tanggungjawab, perasaan adanya sahabat dan indahnya tali persaudaran inilah yang menguatkan semangat kami untuk terus berjuang walaupun hakikat kami berada di tempat orang.

Sesungguhnya amalan ziarah menziarahi ini sangat dituntut dalam Islam. Kedatangan tetamu dan kesudian kita menerima tetamu itu sebenarnya membuka pintu rahmat dan kasih sayang Allah. Ana ingat lagi, kalau pergi rumah kawan-kawan ni, selalunya mereka suka hidang makanan, dan tak pernah pula ada rasa tak lalu dan tidak ada selera untuk menjamah makanan itu. Selalunya memang luak lah. Dan kalau mereka pula datang, macam tu juga. Tetapi biasanya hidangan di rumah ana lah yang paling ringkas berbanding sahabat-sahabat yang lain.

Satu lagi yang ana sangat perasan, sahabat-sahabat ana ni memang tahu ana suka komputer. Jadi awal-awal lagi mereka dah siapkan satu laptop kat ruang tamu, siap dengan broadband lagi. Masuk-masuk rumah saja, perkara pertama selepas bersalaman yang kami buat adalah melayan komputer. Persoalan remeh temeh tentang komputer pun kami bincang. Nak sangat tarik suasana riang di samping anak-anak pula bising main sesama mereka. Ada tu saja je tanya pasal benda-benda (bahan) yang boleh disedut dari pen drive. Pasal antivirus, pasal software windows terkini dan lain-lain hal yang ada kaitan dengan dunia komputer. Dan hari ini kenangan manis itu berulang kembali.

Dalam hati kecil ana terfikir juga. Prihatin sungguh seorang sahabat di dalam melayan tetamu mereka yang bernama sahabat pula bagi mereka. Walaupun dalam keadaan yang tidaklah dirancang tetapi itulah nilainya sebuah persahabatan. Menjadikan seorang sahabatnya yang lain itu bahagia dan rasa seronok merupakan suatu yang selalu dibuat-buat. Biasanya yang kenal minat, hati budi dan kehendak seseorang itu selain ibunya adalah seorang sahabat.

Kebanyakan hari-hari yang dilalui buat masa ini adalah menikmati manisnya kenangan semalam. Cuma alhamdulillah, hari ini kemanisan itu telah kembali dapat kami rasai dan insyaAllah akan disirami selalu agar ia mekar kembali buat masa-masa yang mendatang. Selamat menziarahi sahabat-sabahat anda walau di mana anda berada. Semoga akan ada lagi sahabat yang datang ziarah ana juga dan menjemput pula ana untuk menziarahi mereka. InsyaAllah!

Wassalam

Selamat Hari Ibu

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Di kesempatan ini, ana ingin mengucapkan selamat hari ibu kepada mak ana. Seterusnya kepada isteri ana yang juga emak kepada anak-anak ana. Seterusnya lagi kepada adik beradik perempuan ana yang juga emak kepada anak-anak saudara ana. Seterusnya kepada semua wanita yang bergelar ibu walau di mana sahaja mereka berada. Semoga kehidupan ibu-ibu di muka bumi Allah ini mendapat berkat seterusnya redha Allah apabila dipanggil mengadapNya suatu hari nanti. Semoga ibu masuk syurga. Amien..

Sengaja ana panjangkan email berantai yang menjengah masuk melbox ana yang di’foward’kan juga oleh dua tiga orang rakan yang prihatin dan suka memberi peringatan. Semoga rasa yang dikongsi menerusi bayt-bayt catatan tersebut mendatangkan sesuatu keinsafan ke dalam diri kita semua. Sedarilah jasa ibu, insafilah jasa dan pengorbanan ibu, hargailah jasa, pengorbanan dan keikhlasan kasih seseorang insan yang bergelar ibu.

Selamat menghayati setiap aksara yang seterusnya ini..
 
Yang mengandungkan aku… mak
Yang melahirkan aku… mak
Yang menyusukan aku… mak
Sekolah pertama aku… mak

Rezeki pertama Allah berikan kepadaku di alam rahim…. darah mak
Khasiat pertama membentuk dan menguat tulang temulangku…. kalsium mak
Makanan pertama yang masuk ke mulutku setelah dilahirkan… susu mak
Sentuhan pertama yang membelaiku…. tangan mak
Keindahan dunia yang pertama aku kenal… senyuman mak

Seterusnya
Bila dahaga, yang susukan aku…. mak                              
Bila lapar, yang suapkan aku…. mak                                
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku…. mak                      
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut…. Mak
                        
Bila bangun tidur, aku cari…. mak                                
Bila nangis, orang pertama yang datang…. mak                          
Bila nak bermanja, aku dekati….. mak                              
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah…. mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanyalah….. mak                          
Bila nakal, yang memarahi aku…. mak                   
Bila merajuk, yang memujukku cuma…. mak                            
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah…. mak                    
Bila takut, yang tenangkan aku…. mak                              
Bila nak peluk, yang aku suka peluk…. mak

Aku selalu teringatkan…. mak                                  
Bila sedih, aku mesti talipon…. mak                              
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu…. mak                        
Bila bengang, aku suka luah pada…. mak                              
Bila takut, aku selalu panggil… “mmaaakkkk!”

Bila sakit, orang paling risau adalah…. mak                          
Bila nak exam, orang paling sibuk juga…. mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu…. mak                            
Bila ada masalah, yang paling risau…. mak                            
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni…. mak
                       
Yang selalu masak makanan kegemaranku…. mak                          
kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk…. mak              
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku…. mak                    
Yang selalu berleter kat aku…. mak                                
Yang selalu puji aku….. mak                                    
Yang selalu nasihat aku…. mak                                  
Bila nak kahwin, Orang pertama aku tunjuk dan rujuk…. mak    
               
Aku ada pasangan hidup sendiri……      
Bila seronok, aku cari…. pasanganku                              
Bila sedih, aku cari…. mak
                                   
Bila berjaya, aku ceritakan pada…. pasanganku                          
Bila gagal, aku ceritakan pada…. mak    
                         
Bila bahagia, aku peluk erat…. pasanganku                            
Bila berduka, aku peluk erat…. mak  
                           
Bila nak bercuti, aku bawa…. pasanganku                            
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah…. mak  
                         
Bila sambut valentine…. Aku bagi hadiah pada pasanganku                    
Bila sambut hari ibu… aku cuma dapat ucapkan “Selamat Hari Ibu”
               
Selalu.. aku ingat pasanganku
Selalu.. mak ingat kat aku
                                   
Bila-bila… aku akan talipon pasanganku  
Entah bila… aku nak talipon mak
                               
Selalu…aku belikan hadiah untuk pasanganku                          
Entah bila… aku nak belikan hadiah untuk emak      
                   
Renungkan: “Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja… bolehkah kau kirim wang untuk mak? mak bukan nak banyak… lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah”. Berderai air mata jika kita mendengarnya. Tapi kalau mak sudah tiada……….

MAKKKKK… RINDU MAK, RINDU SESANGAT….      
 
Ketika mak masih ada….
Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya….?
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya…..?
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya….?
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya…..? .
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya…?
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya….?

dan akhir sekali bila mak dijemput pergi
berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya…..?
 
Peristiwa: Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.

Kos upah membantu ibu:

1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik   : RM4.00
3) Tolong buang sampah: RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Belas Sahaja)

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar di mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan – PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu – PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu – PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu – PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu – PERCUMA
Jumlah keseluruhan nilai kasih sayangku padamu – PERCUMA

Air mata si anak berlinang dan tidak dapat dibendung lagi setelah selesai membaca apa yang dituliskan oleh si ibu. Si anak menatap wajah ibu, memeluknya dan berkata, “Saya Sayangkan Ibu”. Kemudian si anak mengambil pen dan menulis “Telah Dibayar” pada mukasurat yang sama ditulisnya tadi.

Habis dah. Cukuplah. Sekadar perkongsian sahaja sebenarnya. Maaflah kalau ada yang tersinggung rasa. Ambillah tindakan segera mana dan apa yang patut. Hargailah ibu masa ada, dan doakan ibu yang telah tiada. Semoga ibu masuk syurga.. Amien..

Wassalam

p/s: entri ana sebelum ini tetang ibu.

Tips memberi nama anak

Bismillahirrahmanirrahim

Memberikan nama yang baik merupakan satu tanggungjawab ibubapa kepada anak-anak. Nama yang baik juga akan menjadi kebanggaan pada hari kiamat. Berdasarkan sebuah hadith Rasulullah SAW (Wallahu aklam) “Berikanlah nama yang baik kepada anak kerana mereka akan diseru pada hari kiamat dengan namanya itu” atau sebagaimana yang difahami daripada hadith berkenaan. Juga sebuah lagi hadith “Nama yang paling baik adalah apa yang ada padanya lafaz ‘Abd’ dan ‘Hamd’”.

Perkataaan Abd termasuk juga kata seperti Abdul, Ubaidu, Abid dan lain-lain yang memberi maksud Hamba. Biasanya kata ‘Abd’ ini akan dinisbahkan kepada nama-nama Allah yang sempurna seperti Abd al-Rahman, Abd al-Nur dan sebagainya dan ia akan memberi makna Hamba Allah Yang Maha Pengasih atau Yang Maha Menyinari (dengan cahaya hidayahNya).

Manakala perkataan ‘Hamd’ pula termasuk kata Ahmad, Muhammad, Hamid, Hamdan, Hamdun, Hamdin, Hamdi, Muhammadin dan lain-lain yang membawa maksud puji atau terpuji.

Nasihat guru
Di samping nama-nama sebagaimana yang tersebut di atas, guru ana pernah berpesan “Kalau nanti nak letak nama anak, banyakkan perkataan yang ada huruf vokal”. “InsyaAllah, anak itu akan mudah menerima ajaran, berhati lembut, tidak panas baran dan bertuah” sambungnya. Wallahu aklam, ana pun tak pasti tapi itulah pesannya yang ana masih ingat.

Huruf vokal itu ialah huruf A, E, I, O dan U. Kalau dalam ilmu bahasa Arab ia dikenali sebagai huruf Illah (Ain berbaris di bawah, Lam bersabdu berbaris di atas dan Ta al-Marbutah). Ia bermaksud huruf-huruf sakit (Illah). Ianya terdiri daripada huruf Alif, Wau dan Ya. Kata guru ana “Ia seperti juga orang sakit, mudah mendapat simpati daripada orang lain yang tidak sakit. Orang pula tidak akan marah kepada orang yang sakit dan tidak diajak untuk bergaduh dengannya”.

Kalau dalam ilmu tajwid, ia dikenali pula sebagai huruf-huruf mad (Alif, Wau dan Ya). Daripada ketiga-tiga huruf inilah terhasil daripadanya berpuluh-puluh cabang ilmu tajwid. Itu belum lagi masuk bab al-Tarannum (lagu al-Quran). Kerana melalui olahan huruf mad ini jugalah terbentuknya alunan suara Qari yang menakjubkan. Pelbagai nama dan kaedah tarannum al-Quran dikenalpasti berasaskan kepada kreativiti melagukan huruf-huruf mad (vokal).

“Dengan huruf-huruf vokal ini ramai orang dapat cari makan (rezeki)” sambung guru ana sambil bergurau. Kebetulan hari ini kita perhatikan, lahirnya pengkritik vokal penyanyi. Pakar vokalist. Penyanyi hebat dalam vokal. Senikata lagu yang baik daripada segi vokal. Ada orang dapat pangkat ‘Datuk’ pun kerana keindahan vokalnya di dalam menyanyi. Dan sebagainya.

Salah guna atau tidak salah itu sudah tidak dihiraukan. Tetapi yang pentingnya bagai kata guru ana “huruf vokal ini sakit tetapi ramai orang dapat buat duit daripadanya, sebab ia dapat menarik tuah dan perhatian orang lain (yang sihat) kepadanya”.

Aplikasi
Daripada dapatan dan amatan perbincangan di atas, mungkin kita dapat simpulkan bahawa, maksud guru ana kalau nak berikan nama anak, bagus kalau banyak guna huruf vokal itu adalah “mudah-mudahan dengan niat yang ikhlas ia dapat menarik ihsan dan kasihan Allah untuk menjadikan anak kita itu nanti seorang yang bertuah, baik dan cemerlang serta memiliki budi pekerti yang mulia”.

Kalau anda nak buat perbandingan. Mari kita sama-sama mengaplikasikan beberapa nama yang kita kenal. Sama ada ia adalah rakan kita, adik beradik, saudara mara dan sebagainya. Kumpulkan beberapa nama yang banyak (atau berakhir dengan) huruf vokal pada satu kertas, dan nama-nama yang kurang huruf vokal dan berakhir dengan huruf konsonan pada kertas yang satu lagi. Kemudian, lihat mereka dari kumpulan yang mana memiliki ciri kejayaan atau akhlak sebagaimana yang anda impikan? Siapa dari kumpulan mana yang lebih bertuah? dan sebagainya.

Apa yang ana sendiri perhatikan (berdasarkan pengalaman hidup dan pergaulan yang sedikit) mereka yang memakai nama, yang banyak (berkahir) huruf konsonan itu lebih keras sifatnya. Lebih dominan dan susah untuk menerima pandangan orang lain. Kebanyakkan pemimpin besar-besar pun kita perhatikan nama-nama mereka daripada kumpulan ini. Begitu juga nama-nama pejuang yang berani. Sebab itu mereka boleh memegang kuasa dan mudah memerintah berbanding orang-orang daripada kumpulan satu lagi (vokal) yang mungkin mudah lembut hati, lebih memikirkan nasib dan kasihan belas kepada orang dan sebagainya.

Kesimpulan
Walau apapun nama yang bakal kita letak pada anak, pastikan ia memiliki maksud dan makna yang baik terutama daripada sisi agama Islam. Elakkan menamakan anak dengan perkataan yang kononnya canggih, sehingga tidak difahami maksudnya selain ia membelitkan lidah untuk dilafazkan. Apa tidaknya kalau nak sebut nama anak kita orang dah mula menyumpah seranah dalam hati dek susahnya ia. Belum dikenali lagi anak dah dapat imbuhan yang tak baik.

Pilihlah nama-nama sebagaimana yang Nabi sarankan seperti di atas. Atau kalau nak aplikasi nasihat guru ana pun boleh juga dipertimbangkan. Perbanyakkan guna huruf vokal di dalam menamakan anak. Mudah-mudah ia menjadi sebagaimana yang kita kehendaki. Iaitu ia mengikuti acuan dan memperolehi rahmat daripada Ilahi. Wallahu aklam.

Lazimi bahasa yang betul

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum warahmatuhu wabarakatuh

Mantop! Satu fenomena bahasa hari ini. Bunyi macam seronok untuk didengar tetapi sebenarnya melambangkan kemerosotan mutu bahasa itu sendiri. Selain ia juga sedikit sebanyak menggambarkan tiada jati diri seorang penutur bahasa Melayu. Ingatlah “Bahasa jiwa bangsa”. Apakah berat sangat bibir nak mengucapkan kata “mantap” sebagaimana yang asal?

Apakah bahasa itu wujud sebagai permainan. Boleh main-main kah dengan bahasa? Bukankah pemahaman bahasa itu suatu yang penting, sebagai contoh dalam mahkamah. Bahasa memainkan peranan yang utama. Lafaz atau bahasa juga penting di sisi agama. Dengan melafazkan perkataan nikah, atau cerai sesuatu ikatan boleh dimeterai dan berkecai.

Kalau dalam bidang pendidikan, bahasa itu menentukan jati diri bahkan jatuh bangun sesuatu bangsa. Orang kata sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Maksudnya di sini, sikit-sikit, main-main, lama-lama bahasa kita yang jadi rosak. Maka timbul istilah bahasa rojak, bahasa mee kuah dan macam-macam. Sedang pada suatu masa, bahasa kita pernah dihormati sebagai satu bahasa bernilai tinggi dan dipelajari.

Anak bangsa kita sendiri yang merosakkan bahasa. Sungguh memalukan. Apatah lagi kalau penutur bahasa main-main itu seorang cendikiawan, ahli agama, orang cerdik pandai dan para ilmuan. Sungguh memalukan juga kalau para ibu bapa menurut pelak bahasa anak-anak dan bersikap keanak-anakan. Konon ingin dekat dengan anak-anak dengan menggunakan bahasa mereka, sedang pada masa sama merendahkan pandangan (hormat) anak terhadap kredibiliti dan keibubapaan ibu bapa. Sejak dari kecil lagi ajar anak-anak untuk tidak menghormati ibu bapa, jadi jangan salahkan mereka apabila membesar dalam keadaan macam tu.

Pendidikan anak-anak
Seorang ahli bahasa (linguistik) UKM berpendapat “seorang ibu atau bapa tidak sepatutnya mengikuti pelak anak-anak dalam menutur satu-satu perkataan (every single word). Kalau mereka salah, maka peranan ibu bapa untuk membetulkan mereka, atau hendaklah ibu bapa (sentiasa) melazimi perkara yang betul. Terutama dalam berbahasa”. Sebagai contoh, anak-anak mungkin minta susu dengan perkataan “nak cucu”. Peranan ibu bapa ialah jangan meniru pelak anak-anak ini sebaliknya menggunakan perkataan susu. Contoh “nak, mari ambil susu” bukannya “mari ambil cucu”.

Kita sebagai ibu bapa tidak boleh meniru ketam. Menginginkan anak berjalan betul dengan ajaran cara berjalan yang salah. Di mana lagi anak-anak hendak belajar kerana sekolah pertama mereka adalah kedua ibu bapa. Terutama ibu. Jadi kenapa sengaja tukarkan makan kepada “maman” sayang kepada “cayang” dan sebagainya itu?

Alasan untuk lebih mesra dengan anak-anak, untuk lebih dekat kepada mereka itu tidak berasas sama sekali. Siapa yang lebih tahu cara untuk dekat kepada anak-anak selain ibu bapa mereka. Kalau guna bahasa anak, maksudnya ibu bapa telah mengiktiraf bahawa cara anak adalah cara untuk mereka dekat antara satu sama lain. Kalau macam itu, janganlah salahkan anak-anak yang menghendaki ibu bapa menuruti segala perangai dan keinginan mereka dari kecil sehingga tua.

Anak-anak dilahirkan dalam keadaan tidak tahu apa. Tidak dapat membezakan baik buruk untuk dirinya sendiri pun. Ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Corakkan itu amatlah rumit dan banyak tercabang. Dan cabang yang paling utama adalah corakkan jiwa, jati diri, aliran paradigma dan rohani. Semua ini bermula dengan bahasa yang betul, tepat dan teliti.

Wallahu aklam.

Mengotakan janji

Bismillahirrahmanirrahim

Salamullahi’alaikum warahatuhu wabarakatuhu waridhwanuh

“Bila nak gi KL?” itulah soalan yang selalu anak-anak tanya? Bagi mereka cuti ini terlalu panjang dan menyeksakan kerana terpaksa dihabiskan di kampung sahaja. Melihat kepada saudara-saudara terdekat yang pulang bercuti dan berhari raya menambahkan lagi derita terperap sahaja. Tambahan lagi, sebelum ini selalu mereka di bawa ke hentian bas untuk wada ana ke UKM Bangi. “Abi ke KL, bawalah kami sekali”. “Nantilah, cuti sekolah abi bawa jalan-jalan Putrajaya..” janji terpatri.

Mengotakan janji, hari ini insyaAllah perjalanan kami akan bermula menuju ke Lembah Klang, Bangi, Putrajaya hingga ke Perlis kemudian akan balik semula ke Kelantan melalui jalan Grik-Jeli. Semoga rehlah ini diberkati Allah. Ianya dilakukan sempena menyahut seruan al-Quran agar memperjalankan anak-anak melihat kebesaran Allah di samping juga menyahut pepatah orang-orang tua ‘Jauh perjalanan, luas pengalaman’.

Ramai juga sanak-saudara yang ada dalam list ziarah ana kali ini. Moga diberi kesempatan oleh Allah. Tujuan utama ialah nak ke UKM, jumpa penyelia buat kali pertama selepas proposal tesis ana diluluskan tempohari. Bersemangat besi waja ni.

Program anak sulong tu nak ke Zoo Negara lah, Muzium dan macam-macam tempat yang membawa nama negara lagi. Semoga segala-galanya dipermudahkan. Wallahu aklam.

Warden asrama

Bismillahirrahmanirrahim..

Mungkin ada kebenaran kata-kata bekas Pengetua ana suatu ketika dahulu “ustaz didik budak-budak (asrama) tu hari ini, orang akan didik anak-anak ustaz pada masa hadapan. Bagaimana baik ustaz didik anak orang lain, begitu juga orang akan didik anak ustaz dengan baik”. Perkataan ini terkeluar juga akhirnya daripada mulut beliau kerana acapkali juga ana masuk berjumpa meminta agar permohonan meletak jawatan daripada tugas warden asrama dipertimbangkan.

Hakikatnya, ana masih menjadi warden sehinggalah langkah terakhir ana keluar dari pagar sekolah itu untuk sambung (bertukar) berkhidmat di Institut Pendidikan Guru (IPGM). Cuma kini, jauh di sudut hati ana memanjangkan syukur banyak-banyak atas pengalaman yang tidak ternilai itu. Kini, ada dalam kalangan bekas pelajar sekolah berkenaan yang masih menghubungi ana. Bertanyakan khabar berita malah ada juga yang meminta pendapat termasuk dalam perkara-perkara peribadi seperti soal memilih calon isteri. Yang pelik, antara pelajar yang rapat itu bukanlah pelajar (pendidikan Islam) ana dalam kelas pun, tetapi pelajar secara tak langsung di surau asrama!

Kalau difikirkan, memang tidak menguntungkan (ekonomi) dengan elaun warden sebanyak RM240 sebulan berbanding rakan-rakan (semenanjung) lain yang dapat elaun sewa rumah sebanyak RM600 sebulan. Kalau rakan yang masih bujang, mereka sewa rumah secara berkongsi empat lima orang. Jadi dapat simpan bakinya (duit percuma) di antara RM400-450 sebulan. Kalau setahun dah ada RM4800 sehingga RM5400 juga. Simpanan peribadi tak masuk lagi gaji dan elaun-elaun lain.

Kalau mereka dah balik ke rumah terus tak ingat apa-apa lagi pasal budak-budak. Menangani masalah disiplin pun hanyalah setakat dalam kelas. Iaitu nak pastikan budak-budak ikuti isi pelajaran. Paling tidak, kalau ada mesyuarat sekali sekala maka kena tunggu hingga petang. Selain kena turun seminggu sekali untuk melihat budak-budak berkokurikulum.

Jadi warden pula maksudnya, (walaupun tidak duty) tetapi fikiran masih di asrama bersama budak-budak. Apatah lagi kalau duty. Pagi-pagi kena pastikan (mengesahkan) bekalan makanan basah untuk dimasak di kantin. Selepas waktu sekolah, kena ada di bilik operasi bagi mempastikan keperluan itu dan ini pelajar dipenuhi. Seperti kalau ada yang sakit maknanya kena hantar ke hospital. Paling tidak pun kena sediakan bekalan ubat. Kan dah jadi atendan hospital. Dari ubat panadol, sakit perut, migrain, sengugut dan sebagainya warden kenal dan dapat beza satu-satunya.

Tambahan lagi kalau jadi warden surau asrama. Kena sediakan jadual pengisian antara waktu maghrib isyak. Kalau ada (penceramah) uzur, tak dapat datang, ada hal, maka warden tu juga lah yang kena ambil alih. Kalau ganti sampai tiga empat hari dalam seminggu, maka sudah semestinya pelajar akan dengar ceramah yang kadang-kadang berirama bebelan (kerana ketandusan modal dan kesuntukan masa untuk merujuk). Tambahan lagi, kalau pasal surau, warden lain selain warden jaga surau memang jarang nampak batang hidungnya. Budak nak berlari, mencuri hatta nak membunuh sekalipun, hanya warden surau lah yang peduli.

Bila tiba hari jumaat. Pelajar sudah tahu satu pentas keadilan ada diadakan. Sesiapa yang miss (tertinggal) solat berjemaah walaupun sekali maka rotanlah akibatnya. Solat maghrib dan isyak serta jumaat lah yang paling diambil kira. Kadang-kadang warden pun miss juga untuk ambil kehadiran. Tetapi mana-mana hari yang diambil kehadiran tetapi pelajar tidak hadir, mesti kena rotan tanpa budi bicara. Pelajar paling minat kalau ana yang rotan. Kata mereka “tak sakit”. Walaupun ana mendengar komen sedemikian tetap merasai sakit hati tetapi ana kembali ingat kepada niat “aku rotan kerana Allah, supaya kamu berubah, dan jauh dilubuk hati aku berdoa semoga usaha aku yang sedikit ini dapat menarik rahmat Allah”.

Mula perasan
Apabila ana bertukar ke IPG. Hidup berubah sama sekali. Membina hidup baru dengan menyewa rumah jauh di luar kawasan kerja (pejabat). Balik rumah terus berehat sambil melayan anak-anak. Minda kosong tak fikir apa langsung. Ditambah pula rumah dalam kawasan bandar. Waktu malam selepas solat isyak pun sempat lagi pergi shooping keperluan di supermarket. Cuaca sejuk dan urat saraf pun tidak tertekan. Jauh sekali untuk berada dalam perangkap jam.

Sebulan dua hidup macam ni, hati dah mula rasa tak terisi. Baca buku pun buat apa, sebab nak sampaikan ilmu pada siapa? Kalau dulu, kena baca juga buku sebab ada kuliah di surau asrama. Sekurang-kurangnya seminggu sekali. Untuk mengisi kekosongan, ana cuba-cuba intai peluang menyumbang bakti di masjid sekitar. Dapatlah dua malam di samping sekali sekali turun (pergi) ke kawasan asrama IPR untuk beri pengisian.

Masuk tahun ke dua anak ana yang sulong masuk sekolah tadika. Ana cukup risau sebab anak pertama memang tak ada contoh dan ikutan (dalam pelajaran) di rumah. Kalau ana dahulu, sudah ada kakak yang dah ke sekolah. Paling tidak tahulah serba sedikit tentang alam persekolahan. Ada masa-masa tertentu, akak luangkan juga masa ajar ana tulis baca.

Tahun kedua (di IPG) jadual ana kat pejabat dah mula mencabar. Kena buat observatian (pemantauan dan penilaian) pelajar praktikal. Out station sana sini. Kadang-kadang dalam sebulan tujuh lapan hari duduk hotel. Kursus, hadir seminar, mesyuarat taklimat dan macam-macam lagi. Akhirnya tak sempat nak tengok (mengajar) anak baca al-Quran di rumah. Sesekali ingat juga pesan isteri “jangan sampai satu hari orang kata, anak ustaz tak pun tak reti baca quran!”

Kejutan
Entah bila ana tak pasti. Dalam kesibukan melayan jadual kerja peribadi. Tahu-tahu sahaja anak sulong ana pandai baca al-Quran secara sendiri. Kali pertama ana dengar (perasan) dia dapat baca surah al-Kaafirun sendirian. Sambil terkejut hati ana bertanya “bila budak ni boleh baca al-fatihah? bila dia lancar baca tiga qul?” Hampir menitis air mata seorang ayah, sayu dan terharu dengan nikmat Ilahi. Ana sungguh tak pasti.

Seingat ana, dalam sibuk-sibuk kerja, sesekali adalah ana melayan kalau anak minta nak main laptop. Mereka suka sangat baca (program) iqra digital tu. Mula-mula mereka layan menyanyi, kemudian mereka ikut baca bersama suara kakak-kakak dan abang-abang dalam program itu. Hingga mereka akhirnya pandai mengoperasikan program tersebut secara sendiri-sendiri. Si abang kadang-kadang tunjuk terrer memilih buku iqra mana untuk si adik pula membacanya. Ana hanya biarkan.

Kadang-kadang pada waktu yang sangat terhad, ana ambil juga masa lihat (mengajar) anak baca iqra secara talaqi dan mushafahah. Buku iqra satu memang mudah. Masuk iqra dua anak-anak mula merangkak. Tak sangka pula bila masuk iqra 3, boleh baca muqaddam. Ana memang tak ajar muqaddam sebab ana fokus iqra. Cuma kadang-kadang isteri ajar juga baca muqaddam kot.

Kejutan kedua
Sekarang ini dah masuk 11 bulan kami tinggalkan bumi Sarawak. Bassyar masa tinggal Sarawak hari tu telah baca muqaddam sampai surah al-Takathur (surah ke-13 daripada bawah). Dengan bacaan yang agak lancar (jika nak dibandingkan dengan usianya 5 tahun masa tu). Kini, Bassyar baca surah al-Zalzalah (surah ke-16 daripada bawah). Hanya meningkat 3 surah sahaja? Itu pun mutu bacaan agak menurun. Sebutan sesetengah perkataan yang dahulunya lancar kini tersekat-sekat.

Ana seperti kebiasaan. Mempersoalkan kenapa perkara ini terjadi. Lantas ana teringat kata-kata pengetua tadi “ustaz didik budak-budak (asrama) tu hari ini, orang akan didik anak-anak ustaz pada masa hadapan. Bagaimana baik ustaz didik anak orang lain, begitu juga orang akan didik anak ustaz dengan baik”. Ana terus muhasabah diri. Waktu di Sarawak dulu, ada kuliah di masjid seminggu dua tiga kali. Mendidik dan menyampaikan sedikit pengetahuan kepada masyarakat yang sangat-sangat mengalu-alukan sumbangan ilmu.

Tetapi kini, ana bukan seorang warden asrama yang ada jadual kuliah maghrib isyaknya seminggu sekali. Ana juga tidak ada pelaung di masjid atau surau. Ana hanya ada diri yang tidak dapat memanfaatkan orang lain berbanding dahulu. Dengan sebab itu, maka (mungkin) isyarat daripada Rabbul Jalil bahawa “Kalau kamu tak didik anak orang, tak sampaikan ilmu pada orang, maka begitu jugalah ilmu tak lekat pada hati anak-anakmu.. Walaupun zahirnya kamu nampak selesa, dari jauh nampak macam orang kaya, makan minum mencukupi, hidup dalam jadual sendiri-sendiri, hidup nafsi-nafsi”. Astaghfirullah, Nauzubillah!

Kesimpulan
Kalau hari ini anda adalah seorang guru di sekolah. Didiklah anak-anak murid anda dengan seikhlas hati. Kalau anda seorang warden asrama, jalanilah tugas dengan penuh dedikasi. Kalau anda ada ruang dan peluang memasyarakatkan ilmu di kawasan sekitar, penuhilah tuntutan ceramah, kuliah, forum ataupun diskusi. Biar badan anda penat dalam ilmu. Biar jiwa anda menderita susah menjadi khadam budi. Kerana suatu hari nanti, anda akan dikejutkan oleh Allah, rabbul izati. Kejayaan anak-anak anda memang pasti. Kecemerlangan hidup berkeluarga akan anda kecapi. Kebahagiaan anda adalah hakiki. Bukan sekadar fantasi dan syok sendiri.

Doalah semoga Allah memandu kita semua ke jalan yang Allah redhai.. wallahu aklam!

Keajaiban Air

Bismillahirrahmanirrahim..

Air adalah makhluk kejadian Allah SWT. Air adalah sumber kehidupan. Firman Allah “Dan kami jadikan daripada air segala sesuatu itu hidup” (al-Anbia:30). Air daripada segi saintifiknya mengandungi dua komponen Gas Hidrogen dan satu komponen Gas Oksigen (H2O). Air juga memenuhi 2/3 daripada bumi.

Sifat air
Air sentiasa hidup. Kehidupan air itu pula mudah diperhatikan. Lihat saja kepada air laut yang sentiasa bergelora. Ia lambang bahawa air laut itu hidup. Lihat pula kepada titisan air yang jatuh dari langit singgah di dedaunan kemudian menggelonsor jatuh ke bumi. Di sana air terkumpul lalu mengalir pula ke sungai seterusnya ke laut seterusnya naik semula ke langit membentuk awan kemudian turun hujan lagi.

Air semestinya hidup. Perhatikan pula air di dalam bekas. Pantang digoyangkan walaupun sedikit maka air akan berkocak. Air jika disimpan di dalam bekas berpuluh-puluh tahun pun tidak akan mati. Macam itu juga. Bila diusik pasti akan berkocak. Tetapi suatu hari nanti air pun akan mati juga. Bila dan bagaimana hanya Allah yang Maha Mengetahui. Cuma hari ini orang mengatakan air yang telah direbus itu air mati.

Sifat air yang kedua (sebagimana yang telah diberitahu kepada ana oleh seorang bijak pandai dan banyak pula pengalaman hidup) adalah merakam. Air mampu merakam perkataan manusia dan menyimpannya kemudian boleh dikeluarkan semula (hasil rakaman itu) apabila manusia teresbut memerlukan. (Ayat ini mengandungi sedikit falsafah tetapi jika diperhatikan ia boleh difahami). Air seperti kaset yang dapat merakamkan suara ke dalam pita kaset. Kemudian boleh dipasang untuk dimainkan beberapa kali.

Seorang sahabat Nabi telah diminta untuk mengubati seorang yang sedang sakit. Lalu diminta air dan dibacakan ke atasnya surah al-Fatihah. Apabila diberi minum air tadi maka dengan izin Allah dia sembuh dan sahabat tadi mengambil upah (makanan) di atas usahanya itu. Perkara ini disampaikan kepada Rasulullah SAW maka Nabi mengiayakan perbuatan sahabat berkenaan.

Air dapat merakam bacaan al-Fatihah sahabat tadi lalu menyimpannya. Setelah ia memasuki tubuh pesakit dan dikehendaki agar ia menyembuhkan, maka dengan izin Allah, al-Fatihah yang disimpan di dalamnya tadi berupaya menjadi ubat yang paling mujarab. Semua jenis air boleh merakam dan menjadi ubat tetapi yang lebih utama adalah air mutlak yang tidak bercampur dengan anasir-anasir lain terutama bakteria. Yang tentu sekali ia akan memberi mudharat pula.

Cuma perbezaan di antara set perakam (kaset) dengan air adalah yang satu itu (perakam kaset) zahir dan air bersifat batin. Yang zahir akan terlaksana tanpa melihat kepada siapa pelakunya. Samada orang dewasa atau kanak-kanak, lelaki atau perempuan dan sebagainya. Sekiranya butang “recording” itu ditekan, maka proses rakaman akan berjalan lancar.

Sebaliknya yang batin lebih perlu kepada niat dan keikhlasan pelakunya. Di samping tata tertib dan cara perlaksaan yang betul. Dalam erti kata yang lain, semakin dekat seseorang pelaku itu dengan Allah SWT (pencipta air) maka semakin berkesanlah tindakannya ke atas air itu. Sebab itu tidak hairanlah kita perhatikan dalam masyarakat (dahulu terutamanya) sering mengunjungi orang-orang alim untuk meminta air tawar sebagai ubat. Terutama bagi mengubati penyakit-penyakit batin seperti sifat marah, dendam, malas, di rasuk syaitan dan sebagainya.

Anak dan ibu
Tujuh puluh peratus (70%) diri manusia terdiri daripada air. Maksudnya komponen utama jasmani manusia itu adalah air. Kebergantungan hidup manusia kepada air lebih daripada selainnya. Kita biasa dengar orang mengatakan manusia boleh hidup tanpa makan berhari-hari tetapi tidak boleh hidup tanpa air hanya untuk dua atau tiga hari sahaja.

Oleh kerana sifat air adalah merakam, maka seeloknya seorang ibu (terutamanya) tidak mengatakan sesuatu yang tidak baik kepada anaknya. Kita selalu mendengar perkataan ibu itu samada baik atau tidak adalah doa. Kerana ibu adalah orang yang paling dekat dengan anak. Kerana anak itu dikandung dalam rahimnya selama sembilan bulan sepuluh hari. Masakan perkataan ibu tidak mudah diterima?

Oleh itu, kita selalu perhatikan, seorang ibu yang selalu bercakap baik dengan anak, mendoakan kejayaan anak, berkata dengan perkataan yang baik sahaja kepada anak, memuji tindakan baik anak dan memotivasikan anak yang berkelakuan tidak baik, selalu mengucapkan harapan baik terhadap anak dan sebagainya pasti akan menjadikan anak tersebut orang yang baik sebagaimana perkataan ibunya. Sebaliknya pula sekiranya semua perkataan ibu adalah sumpah-seranah, maki hamun, melahirkan rasa tidak puas hati dan sebagainya itu akan menatijahkan anak yang derhaka pula. Wal iya zu billah..

Hal ini kerana sifat air (yang paling banyak dalam diri anak) itu akan merakam setiap perkataan yang didengarinya. Terutama daripada orang yang paling dekat dengannya. Kemudian, air tadi akan mengulang-ulang perkataan tadi di telinga (hati) anak yang kemudiannya membentuk ia sebagaimana yang diingini oleh hatinya. Samada baik ataupun sebaliknya. Klik di sini untuk membaca pengalaman yang ditulis berkenaan penerimaan air serta perubahannya mengikut apa yang didengarinya.

Kesimpulan
Jika hari ini kita menziarahi orang yang sedang sakit, ambillah segelas air dan bacakanlah apa sahaja yang termampu dengan perasaan penuh keikhlasan dan pengharapan agar penyakitnya itu disembuhkan oleh Allah. Mudah-mudahan penyakitnya akan beransur pulih. Klik di sini bagi membaca rakan yang menulis tentang molekul air yang diucapkan dengan ucapan yang baik.

Jika hari ini kita adalah seorang ibu, ayah ataupun cuma seorang rakan kepada orang lain. Ucapkanlah perkataan yang baik-baik sahaja kepada mereka yang mendengar ucapan kita. Kerana selain ia membentuk kebaikan kepadanya, kita juga akan menerima kebaikan daripada ucapan baik kita itu nanti. Firman Allah “Tidakkah sesuatu yang baik itu akan dibalas dengan yang baik juga?” (surah al-Rahman)

Semoga bermanfaat, wallahu aklam.

Tiga pendekatan

Suatu hari ana menumpang sebuah kerete plet (teksi) untuk ke bandar Kota Bharu. Kebetulan pada masa itu driver kereta plet berkenaan sedang berbual berkenaan dengan topik mendidik anak bersama dengan penumpang-penumpangnya. Ana agak bernasib baik kerana perbualan tersebut baru bermula. Mari kita ikuti perbualan pemandu tersebut (bekas seorang tentera yang mempunyai sembilan orang anak, 5 daripadanya masuk Universiti 4 lagi masih di bangku sekolah) bersama para pemumpangnya..

Driver: Nak bagi anak berjaya ni ada tiga sebab.
Penumpang: Boleh kongsikan dengan kami?

Driver: Pertama al-Quran, Kedua Makanan dan ketiga Disiplin dan perhatian.
Penumpang: Macamana tu?

Driver: Yang pertama kita mesti usaha dan pastikan bahawa anak-anak dapat menguasai bacaan al-Quran sekurang-kurangnya sebelum tamat darjah enam. Lebih awal mereka dapat khatam al-Quran maka lebih baik. Kita ibu bapa perlu berusaha mempastikan perkara itu. Untuk setiap anak. Lelaki maupun perempuan.

Driver: Yang kedua kita kena pastikan segala makanan yang kita bawa untuk mereka makan, ia termasuklah isteri kita, kerana dia mengandungkan anak kita, jadi mesti pastikan makanan atau sumber membeli makanan itu halal. Tidak ambil hak orang. Tidak juga daripada perkara syubhah yang kita tak pasti halal ke haram. Sehingga kalau anda rasa nak makan sangat daripada yang haram, anda makan sorang biar pecah perut anda tetapi jangan bawa balik ke rumah kecuali daripada sumber yang anda pasti betul-betul halal. 100% halal.

Driver: Yang ketiga disiplin dan perhatian. Anak-anak mesti dididik dengan penuh disiplin lebih berhati-hati daripada menatang minyak yang penuh. Bukan sekadar seperti menatang minyak sahaja. Perhatian kita selaku ibu bapa terhadap perkembangan mereka adalah no. 1. Mesti letak keutamaan yang pertama daripada segala kerja yang lain. Kita mesti tahu di mana mereka berada. Jikalau bermain, dimana mereka bermain dan dengan siapa mereka bermain.

Penumpang: Anak-anak sekarang susah nak tahu apa mereka buat, bukan macam kita dulu-dulu, mereka main pun dekat-dekat rumah sahaja.

Driver: Bagi saya, masa dan tempat bukan alasan untuk tidak mengawasi dan memerhatikan anak-anak. Semua terletak pada keutamaan kita. Kalau kita utamakan keselamatan anak-anak, kita mesti memberi perhatian kepada mereka. Biar mereka tahu bahkan rasa bahawa kita betul-betul mementingkan mereka dalam keluarga. Bagi saya, walau di mana anak berada bukan susah. Bila dia balik ke rumah, ambil masa untuk tanya ke mana mereka pergi tadi, dengan siapa, apa mereka buat. Mereka tak tipu ibu bapa yang meletakkan kepercayaan kepada mereka dan selalu pula mengambil berat. Jangan tak tanya tapi syak anak dah pandai nak menipu.

Penumpang: Anak-anak sekarang ni susah.

Driver: Sama juga dengan kita dulu. Kalau ibu bapa syak wasangka, memang kita pun geram. Dah ibu bapa sendiri pun usah nak bertanya khabar, bila diberitahu tak nak percaya pula. Saya didik anak, alhamdulillah yang dah besar dan tamat sekolah semuanya masuk universiti. Cara itu lah saya buat. Selain pastikan mereka pandai mengaji bawa solat pun betul, saya pastikan makanan yang mereka makan itu halal kemudian saya selalu tanya apa mereka buat, di mana dan dengan siapa. Saya dapati mereka tidak pernah menipu saya.

*semuanya diam untuk beberapa ketika kemudian driver terus sambung bicaranya*

Pernah satu hari saya nak pastikan adakah anak lelaki ketiga saya itu bercakap benar atau tidak. Saya pergi sendiri ke rumah rakannya yang dia beritahu pergi study group di sana. Saya dapati rakannya dan keluarga rakannya lebih senang daripada saya. Malu saya kerana mengesyaki orang yang anak saya tumpang belajar. Bermula daripada detik itu, saya tidak pernah lagi nak merisik segala apa yang anak saya bagi jawapan ke mana dan dengan siapa mereka belajar, bermain dan sebagainya.

Anak-anak ini pandai sebenarnya melihat raut wajah kita. Wajah kita yang ikhlas mereka tahu. Wajah kita yang pentingkan kerja daripada melihat mereka berjaya mereka dapat baca. Wajah kita yang inginkan sangat mereka meneruskan perjuangan hidup agar lebih cemeerlang daripada kehidupan yang kita sediakan pun mereka faham. Anak-anak ni mulanya sebesar tapak tangan kita sahaja. Kemudian kita yang banyak berada bersama mereka.

Satu lagi.. dalam mendidik anak ini, hubungan kita dengan Tuhan kena rapat. Jangan kita abaikan segala tanggungjawab kita dengan Tuhan. Berdoalah kalau nampak anak sudah agak tersasar sedikit agar Tuhan memberi hidayah dan kesedaran kepada mereka. Seterusnya buat baik juga dengan orang. InsyaAllah Tuhan akan balas orang lain buat baik pada anak-anak kita kalau tidak kepada kita pun. Jangan lokek bersedekah, pergi kenduri dan meraikan sanak-saudara dan jiran tetangga.

*kemudian ana dah sampai ke destinasi. alangkah rugi kerana tidak sempat dengar perbualan mereka selanjutnya. pada ana bukan hanya tiga resepi didik anak yang dapat dikongsikan tadi, banyak lagi terutama dalam episod-episod terakhir perbualan mereka. tapi yang ketiga itulah yang dia sendiri (driver) tegaskan. semoga perkongsian ini memberi input yang baik pada kita semua*

Manjakan anak

Pepatah mengatakan “sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan”. Umum sememangnya telah sedia maklum akan pengajaran daripada pepatah tersebut. Cuma tahap makluman mungkin belum mencapai tahap mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. Mungkin kerana kurang percaya dengan ketepatannya atau mungkin tiada keberanian.

Pepatah lain menyebut “didik anak biarlah dari rebungnya”. Iaitu membentuk anak-anak mestilah dimulakan dari kecil. Pembentukan anak tersebut pula hendaklah secara menyeluruh. Jasmani, rohani, fizikal, mental, psikologi dan sebagainya. Mengajar anak erti kehidupan yang sebenarnya dan bagaimana ingin hidup di dalam kehidupan di dunia yang menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Nabi SAW pula berpesan “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih secara semulajadi), maka kedua ibubapanya lah yang menjadikannya samada seorang Nasrani ataupun Majusi”. Iaitu melalui pendidikan. Di sini Nabi menyatakan ibubapa yang mendidik anak, bukan guru atau pihak lain. Lebih tepat sekiranya diperkecilkan skop pendidikan rohani dan bagaimana ingin hidup dalam kehidupan yang membawa kebahagiaan.

Masalah
Hari ini ramai pihak menghadapi masalah berhadapan dengan anak sendiri. Di dada-dada akhbar cukup banyak membuktikan bahawa ramai ibubapa kini takutkan anak sendiri lebih daripada orang di luar rumahnya. Sehingga sepatah haram pun tidak ditegur anak sekiranya melakukan perbuatan terlarang. Lebih suka dipilih jalan mendiamkan diri. Dan saban hari juga kita terbaca anak yang mencabuli ibubapa, memukul, mendera bahkan sehingga membunuh ibubapa!

Tidakkah kita terfikir betapa seorang anak yang dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan tidak tahu apa-apa. Sebesar tapak tangan dengan berat kurang daripada dua kilo gula. Membesarlah si anak dan dengan tidak semena-mena menjadi besar lalu pandai pula menderhaka si ibu malah si bapa seterusnya melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak pernah terfikir akan dilakukan olehnya terhadap kedua orang tuanya sendiri. Maka muncul pula perkataan “Kalau aku tahu begini keadaannya nescaya aku picit-picit kamu semasa kecil”.

Masa
Kita sesungguhnya perlu ada masa untuk anak-anak. Masa untuk melihat dan memerhatikan pembesarannya. Mengisi kekosongan di jiwanya. Anak-anak lahir dalam keadaan tidak tahu apa-apa. Perkara duniawi atau ukhrawi. Jangan pula pengisian kita menjadi tidak seimbang. Penekanan hanya di sebelah pihak sahaja. Jadilah si anak membesar dalam keadaan tidak seimbang dan berat sebelah. Takutkan manusia lebih daripada Tuhan yang menciptakannya daripada tidak ada.

Tanya
Anak-anak perlu ditanya itu dan ini. Mereka juga bertanyakan ibu dan bapa itu dan ini. Kerana mereka perlu ilmu pengetahuan. Begitu juga ibu bapa. Perlu bertanyakan anak-anak terutama sekiranya anak sudah mula bersekolah, berkawan dan bermain di luar rumah. Soalan-soalan kita tentang pelajarannya, rakan-rakannya dan permainannya akan menjadikan anak lebih berhati-hati. Selain itu, soalan kita tersebut meyakinkan bahawa segala tindak tanduk mereka sedang diperhati dan diambil berat.

Sekat
Kadang-kadang kita perlu juga mengadakan beberapa sekatan. Polis pun melakukan sekatan jalan raya. Sekatan akan menyakin (keselamatan) suatu pihak dan menyedarkan (kesalahan atau kelalaian) satu pihak yang lain. Cuba bayangkan sekiranya tiada sekatan jalan raya dan kita pula mendengar di kawasan kita kerap berlaku kecurian berbanding sekiranya sekatan jalanraya kerap dilakukan.

Begitu juga anak-anak. Sekiranya selalu dimanjakan, apa sahaja yang diminta selalu sahaja diturutui. Tidak menjadi suatu kesalahan besar sekiranya permintaan mereka disekat sekali sekala. Biasanya balik sekolah berjemput, maka tidak salah sekiranya minta mereka balik jalan kaki (kalau sekolah dekat lebih kurang 2 kilometer) atau naik bas (sekiranya sekolah jauh). Sekiranya setiap kali tiba tarikh lahir akan dibelikan anak-anak dengan hadiah. Tidak menjadi dosa sekiranya tidak dibelikan kerana prestasi pelajaran tidak memuaskan. Begitulah seterusnya.

Ajarkan ‘pengajaran’
Setiap tindakan yang kita ambil terhadap anak-anak (samada denda, sekatan, pertanyaan) hendaklah disusuli pula dengan perbincangan. Ajar anak sejak kecil lagi bercakap dari hati ke hati. Apa yang menyebabkan kita suka dan tidak. Mereka tidak tahu dan tersangat ingin tahu kerana mereka lahir dalam keadaan kosong. Jangan ditunggu masa remaja baru nak bawa berbincang itu dan ini dengan anak-anak.

Hormat
Dengan demikian, kita akan mendapat nilai hormat anak terhadap ibubapa. Bukan perasaan marah jauh sekali perasaan dendam. Kalau mereka takut, apabila di luar rumah atau di luar penglihatan ibubapa maka mereka akan bermaharaja lela. Sebaliknya sekiranya mereka menghormati ibu bapa. Kerana perasaan hormat ini akan kekal bersama-sama mereka walau ke mana dan di mana mereka berada. Perasaan hormat tidak mengenal batasan tempat dan masa.

Kesimpulan
Perkara-perkara di atas kalau boleh disimpulkan sebagai pendekatan kasih sayang ibubapa terhadap anak-anak. Kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW bahawa “Barangsiapa yang tidak menyayangi maka tidak akan disayangi”. Kasih sayang perlu dipupuk dengan menggunakan pendekatan-pendekatan atau resepi tertentu. Ia tidak akan datang secara spontan begitu sahaja. Anak-anak dilahirkan tanpa mengenal apa itu kasih sayang. Ibubapanya lah yang akan mengajarkan si anak tentang kasih sayang tersebut.

Kasih sayang ini pula bukan seperti mengajar anak makan atau minum yang menggunakan fizikal. Kasih sayang diajar menggunakan hati dan perasaan. Semoga ia dapat dicapai dengan perkara-perkara yang telah dibincangkan di atas.

Wallahu aklam.

Didik anak dengan masjid

Kata seorang guru “Sekiranya kita selaku ibu bapa tidak meninggalkan syariat Allah, tidak pula melakukan laranganNya, walau macamanapun anak kita hari ini, Allah tidak akan membiarkannya (tanpa dipandu syariat) begitu sahaja hingga ke akhir, iaitu apabila anak yang orang tuanya dekat dengan Allah ingin melakukan kabair (dosa-dosa besar) maka akan terlintas difikirannya kedua ibubapa yang baik itu, lantas mereka akan segera meninggalkan dosa tersebut” Insya Allah..

Pesan guru lagi “Sekiranya ada dalam ramai-ramai anak itu seorang yang agak lait sedikit perangainya, ketahuilah Allah ingin merasakan kita ini sebenarnya punyai anak. Begitu juga sebaliknya sekiranya anak-anak kita itu kebanyakkannya tidak berapa menjadi sebagaimana yang kita kehendaki, akan ada seorang daripada mereka yang mengikut sebagaimana kehendak kita terhadapnya, ketahahuilah yang demikian itu Allah ingin merasakan kita ada anak”.

Solat berjamaah
Suatu perkara yang ingin dikongsikan hari ini adalah sememangnya kita perlu mendedahkan kepada anak-anak dengan syariat Islam sejak kecil. Jangan kerana kesibukan kita dan kelalaian kepada dunia menyebabkan kita terus leka dan mengemudikan bahtera keluarga dengan membuta tuli, dan tanpa pedoman agama. Lihat sahaja agama kita yang maha suci mengajarkan agar anak-anak diazan dan diiqamahkan sejurus kelahiran. Kemudian dinamakan serta diakikahkan. Semuanya itu bagi mendedahkan mereka kepada peraturan dan sunnatullah yang tersusun kepada perjalanan hidup manusia iaitu sedar akan kehambaan terhadap yang Esa.

Solat berjamaah adalah antara sunnah Rasulullah yang sangat dititik beratkan oleh Baginda terhadap umatnya. Sehingga suatu ketika Rasulullah SAW mengumpul kayu api bagi membakar rumah-rumah yang tidak mengahadiri solat berjamaah ini. Beritik tolak daripada itu, elok sekiranya kita mendidik anak sejak dari kecil dengan amalan solat secara berjamaah ini. Bak kata guru di atas, lambat laun sekiranya sudah menjadi sunnah kita kepada anak-anak solat berjamaah, mereka akan turuti jua jejak langkah yang mulia tersebut.

Kependidikan anak-anak akan menjadi mudah sekiranya mereka selalu mengikut kita bersolat secara berjamaah. Hal ini adalah praktikal. Sememangnya umum mengetahui, pendidikan secara praktikal dan kontekstual akan lebih mujarab berbanding pendidikan ala ‘remote-control’ sahaja. Apabila kita membawa anak solat berjamaah, nescaya tidak perlu lagi kita menggesa mereka untuk melakukan solat kerana memang mereka lakukan bersama kita. Kata orang tua, tak perlu suruh kerana apabila dah bawa mereka ke surau atau masjid, tengok semua orang solat, mereka akan solat.

Bawa keluarga ke masjid secara berkala
Elok sekiranya kita boleh memperuntukkan masa emas kita dengan membawa ahli keluarga untuk bersama-sama mengimarahkan masjid dan surau. Terutama malam-malam yang ada sesi kuliah atau pengisian ilmu. Bolehlah kita peruntukkan semalam antara tujuh malam dalam seminggu yang Allah kurniakan untuk kita sekeluarga. Kalau tidak mampu sangat pun, marilah kita berusaha membawa keluarga kita sekali dalam sebulan mengunjungi rumah Allah itu. Ramadhan (yang dapatpun kita bawa ahli keluarga kita untuk solat tarawih bersama-sama di masjid yang besar-besar dan ramai pula tu) telah mengajar kita, kepentingan membawa ahli keluarga bersama menunaikan solat secara berjamaah. Kepentingannya terhadap perkembangan rohani anak memang tidak disangkal.

Sekiranya kita sebuk seharian, atau selalu sahaja meninggalkan keluarga untuk berjamaah, peruntukkan masa untuk solat secara berjamaah sekali dalam sehari dalam keluarga. Paling kurang lah itu. Biar anak kita tahu wujudnya solat secara berjamaah secara praktikalnya. Paling elok, setelah selesai solat berjamaah bersama keluarga, kita iringi pula dengan bacaan wirid bersama, baca surah-surah pilihan secara bersama kemudian ke meja makan bersama.

Hari ini

Dukacita sekiranya kita hayati keadaan masyarakat hari ini. Sekiranya ibu bapa solat, anak-anak liat solat atau tidak solat langsung atau solat sekiranya digesa dan dihadapan ibu bapa sahaja. Apabila berada ditempat yang berasingan (belajar atau bekerja) mereka tidak solat. Atau sebaliknya, anak-anak solat tapi ibu bapa pula tidak. Atau keluarga yang kecil (ibu bapa dan anak-anak) solat tetapi saudara mara tidak solat.

Ini merupakan realiti. Apakah tanggungjawab kita tidak ada langsung bagi mengubah keadaan yang berlaku di dalam keluarga kita sendiri? masakan kita dengan mudah melangkah ke syurga sedang keluarga entah ke mana? Marilah sama-sama kita mulakan dengan keluarga kita masing-masing. Ya, tanggungjawab sosial adalah penting. Mendidik masyarakat adalah penting. Begitu juga pentingnya kita prihatin terhadap pendidikan keluarga terdekat kita.

Wallahu aklam.

Sijil Pelajaran Malaysia

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Selamat menduduki peperiksaan SPM (yang bermula semalam) kepada semua pelajar tingkatan 5 di seluruh Negara. Semoga tabah menghadapi ujian. Peperiksaan di dunia ini menjadi petunjuk kepada kita bahawa akan ada ibu bagi segala peperiksaan kepada setiap peperiksaan iaitu di akhirat nanti. Apa sangatlah ujian dan penilaian di dunia ini berbanding ujian di hadapan Allah dan sekalian makhlukNya kelak.

Realitinya, apa sahaja jenis peperiksaan, ia akan menjadi mudah bagi mereka yang sentiasa bersedia. Hidup di dunia ini pula adalah persediaan dan bekalan kepada kehidupan di akhirat. Kita dituntut melakukan yang terbaik di dunia (samada melalui peperiksaan rasmi seperti SPM, atau peperiksaan tidak rasmi seperti melalui cabaran kehidupan) agar dengannya kita menyediakan bekalan yang terbaik juga bagi menghadapi peperiksaan sebenar di akhirat kelak.

Di sini, ana cuba gariskan tip2 peperiksaan untuk dimanfaatkan oleh semua.

1. Jaga ibadah umum dan khusus.
Sebagai orang Islam yang beriman lagi bertaqwa, kita hendaklah sentiasa memperbaiki mutu amalan dan ketaqwaan kita melalui ibadah umum dah khusus sehari-hari. Ibadah khusus seperti solat, zikir dan doa manakala ibadah umum seperti sentiasa melakukan kebaikan (pada pandangan syariat) dengan niat kerana Allah.

2. Mohon restu dan doa.
Restu ibubapa terutamanya dan juga guru-guru yang sekian lama mencurahkan bakti dan ilmu buat kita. Kalau boleh, mohonlah pada ibubapa supaya diucapkan kata restunya setiap hari sebelum kita turun untuk ke tempat peperiksaan. Paling dekat jarak di antara sumber ucapan dan pendengaran (terutama ibu) maka paling mujarab untuk kita. Sebagai contoh ibu membisikkan di telinga anaknya “buat yang terbaik ya nak..” dan seumpamanya. Begitu juga guru-guru seperti ucapan di telinga muridnya dengan penuh kasih sayang “all the best, u are my student!” dan sebagainya.

3. Makanan halal dan berzat.
Ibubapa/warden asrama perlu menyediakan makanan yang halal, bersih dan bermutu tinggi (daripada kandungan zat pemakanan) kepada anak-anak/para pelajar. Banyakkan makan kacang dan buah-buahan kerana ia mengandugi serat ciptaan tuhan dan bekalan semula jadi yang serasi dengan semua kejadian tuhan. Elakkan makanan buatan manusia seperti aiskrim, coklat dan makanan segera yang lain terutama yang banyak mengandungi bahan perasa atau perisa.

4. Rehat dan tidur yang cukup.
Sangat perlu kepada rehat yang cukup terutama tidur. Jangan sekali-kali mengharapkan keajaiban minda yang tidak mendapat rehat yang cukup. Katakan pada minda, dah lama kan kita belajar untuk menghadapi peperiksaan ini, jadi rehatlah agar ia boleh membantu dengan kadar yang maksima. Sekiranya terasa beban, penat dan tidak tenang, lihatlah kepada kehijauan ciptaan tuhan. Tidak salah sekiranya ingin melayan fantasi seperti membayangkan bahawa ramai ahli keluarga yang pergi menghantar anda ke lapangan terbang kerana ana berjaya melanjutkan pelajaran ke luar Negara. Hal ini penting bagi menyeimbangkan kepenatan antara otak kanan (HOKA) dan otak kiri (HOKI).

5. Berfikiran positif dan kehadapan.
Sentiasalah berfikiran positif bahawa anda akan berjaya di dalam peperiksaan kerana usaha yang bukannya sedikit telah anda curahkan. Biasanya kita akan merasakan ada sahaja topik atau tajuk yang belum dikuasai. Ketahuilah itu hanya gangguan mental untuk menguji kekuatan sebenarnya. Katakan pada diri sekiranya tajuk tersebut keluar dalam peperiksaan, maka anda pasti dapat menjawabnya kerana anda telah belajar dengan guru, membuat ulangkaji selepas belajar dan sebagainya. Cuma katakan jika tajuk yang anda minati keluar maka itu adalah terbaik tetapi semua tajuk adalah baik dan anda bersedia.

6. Sumber inspirasi dan motivasi diri.
Sebelum tidur, elok sekiranya anda merenung gambar2 orang tersayang seperti ibubapa, hayati harapan dan hasrat mereka yang inginkan anda berjaya sebagai orang yang berguna. Sekiranya anda ada seseorang yang menjadi idola anda dalam mengejar cita-cita, elok juga anda merenung gambarnya dan katakan bahawa suatu hari nanti anda akan menggantikan tempatnya. Akhirnya, sebelum anda melelapkan mata, lihatlah kepada nota-nota dan apa sahaja yang telah anda hasilkan sendiri dan katakan bahawa, jika semua ini telah terhasil, mustahil perkara yang lain tidak dapat ku hasilkan padahal usahaku semakin meningkat dan semangatku semakin kental.

7. Doa dan tawakkal.
Akhir sekali, bangunlah di tengah malam untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah. Kekuatan qiamullail yang dilakukan di malam hari jelas sekali dapat digunakan bagi mengharungi apa sahaja cabaran di siang hari. Ini jelas terbukti berdasarkan sirah Nabi yang telah mewajibkan ke atas diri Baginda bangun mendirikan ibadah khusus pada waktu malam. Hadith “tiga perkara yang menjadi wajib ke atas diriku, dan sunat kepada kamu (umat Nabi); iaitu korban (hari raya aidil adha), solat witir (penutup bagi solat sunnat pada waktu malam) dan dua rakaat solat dhuha.

Setelah semua usaha di atas kita lakukan, maka tibalah masanya untuk kita bertawakkal ke hadrat Allah dan tanamkan di dalam hati dengan penuh keyakinan bahawa Allah tidak pernah menzalimi hambaNya melainkan hamba yang menzalimi diri mereka sendiri. Selain itu, katakan pada diri, sekiranya dedaun yang hendak gugur ke bumi pun Allah tahu, inikan pula seorang hamba yang taat ingin menghadapi saat2 peperiksaan. Sesungguhnya Allah itu memberi apa yang seorang hamba itu percaya Allah akan berikan padanya.

Sekian, semoga bermanfaat.. wallahu aklam.

Terima kasih cikgu

Bismillahirrahmanirrahim

Salamullahi’alaikum warahmatuhu wabarakatuh

Kepulangan ana tengahari semalam disambut seperti kebiasaanya oleh anak perempuan ana yang sentiasa tidak lekang senyuman di bibir kecilnya. Jika selalunya si abang (anak sulong ana) khusyuk mengadap cerita kartun di channel 613 astro dan tidak peduli apa yang berlaku di sekelilingnya (rutin setelah pulang dari sekolah sehingga waktu asar). Cuma hari ini dia pun berlari menuju ana dengan membawa beberapa keping kertas seraya mendesak ana untuk melihatnya. “Merosot sikit” kedengaran suara uminya dari arah dapur. Pun begitu, suaranya bernada syukur juga.

Daripada 7 kertas exam akhirnya, 5 dapat score 100 peratus dan 2 lagi hanya 90 peratus. Memang merosot kerana exam pertengahan tahun baru ni dia score semua 7 kertas 100 peratus. “Kita banyak sangat marah dia kot” Komen ringkas keluar juga dari bibir ana. Memang si abang sejak akhir2 ini suka menyakat adik. Dalam sehari, tidak kurang tujuh lapan kali bergaduh menyebabkan ana kadangkala masuk campur. Ya lah, hanya dua beradik. Suka dan duka, menangis dan ketawa. Jiran ana chinese. Petang2 ada juga ana lihat mereka berdua ni cuba berkawan dengan anak2 jiran. Dengar gelak ketawa mereka buat ana terfikir itu sudah bahasa budak2. Memang jiran ana tak pandai cakap melayu. Dari ibu, bapa dan anak2. Sikit2 boleh lah, terutama si ibu kerana dia sahaja bersekolah kebangsaan.

Melihat perkembangan Bassyar (5 tahun pada 10 oktober 2007) yang sudah mula boleh membaca buku (Jika ke super market, memang kena beli buku la), sudah boleh baca mukaddam sikit2, membuat ana tertanya “bila masa dia pandai baca?” Dengan kesibukan ana akui tidak banyak masa diluangkan untuk pendidikannya. Sehingga suatu hari keluhan si ibu “Ayah seorang ustaz, tak cukup kat tempat kerja ada pula masa ke surau dan masjid mendidik masyarakat, luangkanlah juga masa untuk mendengar anak baca Quran”. Memang ada kebenaran pada kata-kata isteri ana itu. Semoga ada tindakan yang lebih positif selepas ini.

Cuma ana kekadang teringat pesan mak “jika kita didik masyarakat dengan didikan yang betul dan sempurna, insya Allah masyarakat akan didik pula anak kita dengan sempurna” Bersama itu ana juga teringat hadith Rasulullah SAW “Kama tadienu tudan” Iaitu sebagai engkau berbuat pada orang lain, engkau akan diperlakukan yang demikian. Ana juga merujuk surah ar-Rahman yang bermaksud “Tidakkah sesuatu kebaikan itu, akan dibalas dengan kebaikan juga?”. Perkataan-perkataan inilah yang memotivasikan untuk tidak patah semangat memberi apa sahaja input ilmu kepada masyarakat walaupun terkadang telah mengabaikan tanggungjawab terhadap diri dan keluarga sendiri.

Cuma satu perkara lagi yang ingin ana kongsikan di sini ialah, tanpa insan bergelar cikgu, anak ana pasti sukar berada pada tahapnya hari ini. Secara ikhlas ana berterima kasih kepada semua insan bergelar cikgu. Walaupun baru di peringkat tadika, kita selaku ibubapa tetap berasa gembira juga dengan pencapaian anak yang cemerlang. Walaupun ada yang mengatakan, pencapaian anak2 di peringkat tadika sengaja ditinggikan sebagai motivasi untuk anak2 yang baru berada di alam persekolahan. Pun demikian, ana tetap berterima kasih kepada cikgu yang telah berusaha bersungguh-sungguh mendidik dan memotivasikan pelajar walau di peringkat pun mana mereka berada.

Kepada semua insan yang berjuang di bidang pendidikan, ku ucapkan dari lubuk hati yang paling dalam “terima kasih cikgu..” Wallahu aklam.