Selawat dan salam buat Baginda Al-Rasul

Lagi

Selamat hari raya aidiladha

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Rasanya tidak terlalu lewat mengucapkan selamat hari raya Aidil Adha kepada seluruh muslimin dan muslimat walau di mana anda berada terutama rakan pengunjung blog IbnRajab Online yang dihormati. Kesibukan dua tiga hari sebelum menjelang aidil adha dan berterusan sehingga ke hari semalam, maka baru hari ini berkesempatan updated blog. Sebenarnya, hari ini pun kita masih beraya walaupun ramai antara kita yang telah balik bekerja, anak-anak telah kembali ke sekolah dan sebagainya. Namun, hakikatnya hari raya aidil adha ini adalah hari raya besar orang Islam.

Lagi

Ambang 10 zulhijjah 1432H

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Bertemu kembali dengan bulan mulia, bulan haram (peperangan) di sisi Islam iaitu bulan Zulhijjah. Alhamdulillah syukur yang tidak terhingga kerana masih diberikan izin ruang dan peluang. Untuk terus berusaha mencari bekalan yang terbaik. Bekalan taqwa. Hari ini dah 7 Zulhijjah. Bukan baru perasan, cuma baru ada kesempatan untuk menitipkan sesuatu buat tatapan rakan-rakan pengunjung setia IbnRajab Online.

Lagi

Salam Eidul Fitri al-Mubarak

Lagi

Teka teki berkaitan al-Quran

Salamullahi ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Siapa-siapa dalam kalangan rakan-rakan yang ada maklumat, atau info yang jarang-jarang diketahui, diperasani oleh kita tentang al-Quran, boleh sama-sama mencatatnya di sini. Semoga amalan ini dicatat sebagai soleh di sisi Allah SWT. Untuk memulakannya: Apakah surah dalam al-Quran yang tidak ada padanya huruf (Fa’)?

Bersama menghayati keindahan al-Quran.. mencintai al-Quran dan dicintai oleh al-Quran, seterusnya mendapat rahmat dan kasih sayang Allah, tuhan yang menurunkan al-Quran.

Semak arah kiblat hari ini

Assalamu’alaikum warahamtullahi wabarakatuh

Saja, post semula isi artikel yang ditulis setahun yang lalu. Pada hari yang sama, hari ini. Untuk sama-sama memperingati agar kita menyemak arah kiblat di tempat kita bagi mempastikan kesasihan arah kiblat tempat kita hadapkan wajah semasa solat dan lain-lain ibadah yang berkaitan dengan kiblat seperti sembelihan, mengebumikan jenazah dan sebagainya.

Rujuk artikel ana di sini. Wallahu aklam.

Tanggungjawab Muslim

Bismillahiirahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sebagai seorang muslim, tanggungjawab mereka tidak terhenti setakat menunaikan segala rukun Islam dengan baik sahaja, malah lebih daripada itu. Tuntutan agama kepada seseorang individu muslim adalah sepertimana yang diterjemahkan melalui sirah Rasulullah SAW. “Dan sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu adalah suri teladan yang baik” (al-Quran surah al-ahzab:21)

Lagi

Imam itu untuk diikuti

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Ana teringat mafhum sebuah hadis Rasulullah SAW “Adapun seorang Imam itu, dijadikan Imam untuk diikuti” Au kama qala al-Nabi. Jadi dalam konteks solat berjamaah, seorang makmum perlu mengikut segala perbuatan imam yang dihadapannya itu, sekiranya Imam tersebut melakukan perkara-perkara yang tidak membatalkan solatnya. Tetapi, sekiranya solat imam itu terbatal (walaupun dia tidak sengaja atau terlupa), maka ia tidak sepatutnya diikuti lagi oleh para makmum. Kalau ikut juga, kedua-dua solat imam dan makmum, tidak sah.

Lagi

Cek kiblat anda hari ini

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Jangan lupa untuk menyemak arah Kiblat tempat anda hari ini. Sebenarnya kita di Malaysia boleh menyemak ketepatan arah Kiblat (untuk kepastian bagi mereka yang baru menetap di suatu tempat baru contohnya) dua hari dalam setahun; iaitu pada hari ini 28 Mei pada jam 5.16 pm (1716) atau pada 16 Julai jam 5.28 pm (1728). Hal ini kerana, pada kedua-dua hari tersebut dan pada masa berkenaan, keadaan matahari berada tepat di atas Ka’bah di Makkah al-Mukarramah (seperti yang ditunjukkan dalam ilustrasi di atas). Oleh yang demikian, di mana-mana tempat yang menerima bayang matahari pada tempoh hari dan masa yang berkenaan akan dapat menentukan arah Kiblat mereka dengan tepat. Cara menentukan arah Kiblat menggunakan kaedah ini telah digunapakai oleh banyak negara dan badan-badan rasmi yang bertanggungjawab terhadap agama Islam setempat.

Lagi

Salam kepada bukan Islam

Salam Kepada Bukan Islam 
Oleh: M Jusoff Taib

DI TENGAH kalut kalangan umat Islam yang menonjolkan perjuangan Islam di sebalik isu ‘nama Allah’, yang pada saya ramai yang masih mengenepi kedaulatan Allah dari hati nurani, Tok Guru Nik Aziz memunculkan isu ‘boleh beri salam kepada bukan Islam.’

Lagi

Agama Allah hanyalah Islam

Bismillahirrahmanirrahim

Tulisan ana hari ini adalah berkaitan dengan program di Tv9 siaran segmen al-Risalah 25 Sept 2008. Ia berkenaan dengan kisah nabi Allah Sulaiman As dan kisah semut dalam surah al-Naml. Pada program itu, mereka (suara latar) mengatakan bahawa “Raja Balqis telah tertarik hati lalu memeluk agama Yahudi bersama dengan Nabi Allah Sulaiman As”.

Adakah Nabi Sulaiman seorang penganut agama Yahudi? Adakah benar raja balqis peluk agama Yahudi setelah sekian lama menjadi penyembah matahari? Tahukah anda bila sebenarnya agama Yahudi ini muncul. Bila ia diberinama agama Yahudi? Secara kesimpulannya ana berpendapat bahawa, ini merupakan sesuatu isu yang timbul sekiranya sesuatu perkara agama itu hendak disampaikan oleh orang yang tidak ingin membuat rujukan yang cukup. Rujukan yang utama itu pula adalah al-Quran al-Karim itu sendiri.

Al-Quran adalah Kalam Allah yang dijamin oleh Allah akan kekal menjadi panduan orang Islam sehingga hari kiamat. Tidak akan ada seorang manusia atau apa sahaja termasuk mesin (mechine, komputer dll) yang boleh merosakkan ketulinan al-Quran. Sebagai logiknya, cubalah anda carikan suatu sumber samada bertulis apatah lagi sumber tuturan yang boleh bertahan seperti al-Quran. Al-Quran sehingga hari ini telah bertahan lebih dari 1429 tahun. Semua ayat-ayat yang dibaca oleh umat Islam hari ini adalah ayat-ayat yang sama dibaca oleh Rasulullah dan para sahabatnya suatu masa dahulu. 100% sama dan original.

Dalam al-Quran, Allah membawa kisah Balqis itu. Allah berfirman (surah al-Naml ayat 44, maksudnya) “Kemudian dikatakan kepada (raja itu) masuklah ke ruang istana (nabi Sulaiman). Tatkala dilihatnya (lantai) ruang itu disangkanya penuh dengan air lalu disingsingkan (kainnya) dari betis (supaya jangan basah). Berkata (nabi Sulaiman, ini bukan air) ini ruang dilicinkan (diperbuat) daripada kaca. Ratu berkata Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah aniaya diriku dan aku (dengan ini memeluk) Islam bersama Sulaiman kepada tuhan semesta alam”.

Dalam ayat itu jelas, terang lagi nyata Allah gunakan perkataan ‘Islam’ bagi melambangkan agama nabi Sulaiman dan agama (Allah) yang diserunya ketika itu. Kenapa tiba-tiba dengan penuh kedangkalan mereka (semua mereka yang terlibat dengan rancangan siaran itu) secara sewenang-wenangnya menamakan agama nabi Sulaiman adalah agama Yahudi?

Lihat pula ayat-ayat lain yang menceritakan agama nabi-nabi sebelum nabi Muhammad. Firman Allah menceritakan kisah nabi Ibrahim (surah al-An’am ayat 163, maksudnya) “Allah itu tidak ada sekutu bagiNya, dengan itulah aku disuruh (beriman) dan aku adalah (antara) orang-orang pertama (yang tergolong) dalam kalangan muslimin (orang-orang Islam)”.

Ayat yang lain adalah secara langsung berkaitan dengan bani Israil sendiri (bangsa asal mereka yang menganut agama Yahudi hari ini), firman Allah menceritakan tentang kisah firaun yang sedang ditenggelami air laut merah, kononnya ingin bertaubat kepada Allah dan memeluk agama Islam (surah Yunus ayat 90, maksudnya) “Telah Kami selamatkan Bani Israil menyeberangi laut, lalu Firaun serta bala tenteranya mengikuti mereka kerana aniaya dan melanggar batas. Sehingga apabila ia (Firaun) akan tenggelam lalu berkata; Aku percaya bahawa tiada tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil (Allah) dan (dengan ini) saya (ingin dan akan) termasuk orang-orang muslimin (Islam).

Betapa banyak ayat-ayat al-Quran menjelaskan tentang itu. Bahawa hanya sanya agama yang diseru serta dianuti oleh nabi-nabi serta umat mereka pada masa itu adalah agama Islam. Dari dahulu sehingga kini, Agama Islam satu-satunya agama Allah. Agama Kristian, Yahudi dan lain-lain itu adalah agama ciptaan manusia. Mereka (walaupun pada asalnya penganut Islam umat terdahulu) telah menciptakan agama mengikut kehendak hati dan nafsu mereka sendiri.

Sebagai contoh, kata Dr Bahjat al-Habasyinah (Pensyarah Subjek Perbandingan Agama, Universiti al al-Bayt, Jordan. 1996) “Agama yahudi itu diasaskan oleh seorang (yang asalnya menganut agama nabi Musa (Islam) yang bernama yahuza. Kemudian beliau berasa ada kekurangan dalam agama Allah itu yang berlawanan dengan hasrat dan hawa nafsunya, lalu beliau menokok tambah apa-apa dalam ajaran kitab taurat mengikut kedangkalan akal dan nafsu. Lama kelamaan, mazhab beliau ini menjadi suatu agama yang dinasabkan (dinisbahkan) kepada dirinya. Sehingga hari ini mazhab tersebut telah dinamakan agama Yahudi”.

Kesimpulan
Walaupun hari ini kita ingin mengetengahkan (samada mendapat pekerjaan atau mata pencarian melalui) produk berjenama Islam, dan sangat teruja mengetengahkan nilai-nilai murni, tetapi jangan sekali-kali kita tergesa-gesa. Sehingga kita mengatakan sesuatu yang tidak kita ketahui. Ia sama sekali akan merosakkan Islam itu sendiri. Kerana apa yang orang akan fikir apabila ada dalam kalangan orang Islam mengatakan nabi mereka adalah penganut agama Yahudi? ini suatu fitnah!

Sekali lagi ditegaskan bahawa, satu-satunya agama yang diterima Allah itu adalah Islam (surah ali-Imran ayat 19). Semua nabi menyeru agama Islam. Semua ayat al-Quran menegaskan tentang hal ini. Masakan sanggup si kerdil itu menamakan agama nabi Sulaiman dan agama yang dianuti oleh umat nabi Sulaiman dan agama yang menarik hati raja Balqis, adalah agama Yahudi laknatullah! Maha Suci Allah dan agama Allah (Islam) daripada segala bentuk fitnah, terutama dengan menggunakan lidah orang-orang yang mengaku beragama Islam itu sendiri.

Sebagai rakyat Malaysia, yang telah merdeka lebih 51 tahun, apatah lagi sebagai seorang Islam, ana amat kecewa dengan program tv9 semalam. konon atas nama al-Risalah. Apa pendapat anda? Merdekakah jiwa dan fikiran anda?

Wallahu aklam.

Rujukan: Tafsir Quran Karim. Prof Dr H. Mahmud Yunus. Nota Kuliah Perbandingan Agama. Universiti al al-Bayt, Jordan 1996.

Maksud Islam

Islam adalah agama Allah yang diturunkan sebagai panduan hidup manusia sejak zaman berzaman. Bermula dengan zaman Nabi Adam sehingga manusia terakhir dilahirkan. Islam sahaja suatu cara hidup yang sempurna dan sepatutnya menjadi pegangan setiap manusia. Agar mereka selamat di dunia dan sejahtera di akhirat yang berkekalan. Kehidupan di dunia ini (dengan segala isinya) hanyalah semata-mata menjadi tanda kewujudan kehidupan di akhirat.

Sekiranya diperhatikan di dunia ini, tidak suatu perkara pun yang diciptakan tanpa faedah. Sekiranya hasil ciptaan manusia pun ada faedah, masakan ciptaan manusia oleh Allah SWT adalah sia-sia sahaja? Adakah dikira berfaedah sekiranya ciptaan manusia hanya untuk menikmati kehidupan selama 50 sehingga 100 tahun sahaja? Dengan pelbagai halangan dan kesusahan, sakit dan kesakitan? Sedangkan kadar kesusahan manusia sekiranya hendak dibandingkan dengan kesusahan makhluk-makhluk lain adalah berlipat-lipat kali ganda. Susah yang manusia hadapi lagi banyak. Apakah ia sesuai dengan kejadian manusia? Apakah cukup faedah atau manfaat daripada ciptaan manusia?

Persoalan tersebut menjadikan kita faham kebenaran tentang wujudnya alam lain selain alam dunia. Dunia itu sendiri berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud “kurang” atau “rendah”. Orang Arab menyatakan “Ad-Danwu minal Ardh” maksudnya “muka bumi yang bertanah rendah”. Alam lain yang dimaksudkan ialah suatu alam yang tiada penghujungnya dan penuh dengan nikmat-nikmat sesuai dengan manfaat kejadian manusia.

 Sebagai contoh manusia ingin melihat lebih daripada 2 kilometer. Di dunia perkara tersebut tidak tercapai. Sekiranya kita berada di suatu negeri, mustahil mata kita dapat melihat keadaan (atau keindahan) yang ada dan berlaku di negeri yang lain. Kalau penglihatan pada waktu malam pula, maka ia lebih terbatas kepada jarak mungkin 200 meter sahaja. Ada juga manusia terpaksa menggunakan cermin mata hanya untuk membolehkannya membaca atau melihat objek sejauh 100 cm sahaja daripada dirinya. Malah lebih dekat.

Dengan wujudnya teknologi seperti internet dan satelit, tv dan video dan seumpamanya maka kita dapat juga hari ini melihat negeri luar walaupun pada masa tersebut kita berada di negeri kita sendiri. Kemampuan manusia hari ini mencipta alat (dengan izin dan idea juga daripada Allah) juga merupakan bantuan Allah agar umat kini lebih faham erti wujudnya alam akhirat yang mana penglihatan padanya tidak terbatas. Sehingga mata kita ini mampu melihat zat Allah juga. Yang ianya telah menjadikan gunung itu hancur setelah Nabi Ibrahim meminta agar Allah menjelma. Usahkan mata manusia di dunia. Gunung itu pun hancur berkecai. Itulah kelemahan dunia yang Allah akan cukupkan (gantikan) dengan kesempurnaan di akhirat.

Manakala Islam, ia adalah suatu tatacara, dustur, atau panduan hidup yang sempurna bagi manusia di dunia. Hal ini ditegaskan sendiri oleh Allah dalam al-Quran. Islam adalah agama dan cara hidup yang sempurna di dunia dan dengannya sahaja manusia akan menikmati kesempurnaan di akhirat.

Islam maksudnya “Istislam” iaitu menyerah diri kepada ketentuan Allah. Apa sahaja yang diperintahkan Allah daripada sekecil-kecilnya seperti menyucikan diri daripada najis (bab taharah) sehingga peraturan mewujudkan negara yang taat dan patuh kepada Allah dan syariatNya. Masakan kita dikira muslim (orang Islam) kalau kita masih boleh mengatakan ada perkara-perkara yang telah ditentukan oleh Allah itu sebagai perkara yang remeh temeh? berhak kah kita untuk itu. Adakah kita dengan perbuatan (kita hari ini) telah benar-benar menyerah diri kepada ketentuan Allah?

Janganlah kita jadi seperti kaum yahudi yang mana suatu ketika mereka meminta Allah menentukan suatu perkara kepada mereka. Setelah ketentuan Allah itu tiba maka mereka tanpa segan silu telah memungkirinya.

Marilah sama-sama kita semak semula iman kita, Islam kita dan tempat kita di sisi Allah SWT.. wallahu aklam.