Tahun 2012 Miladi

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Pagi ini, sempat berbual-bual dengan seorang ‘orang tua’ di kampung. Bertanya khabar dan bertukar-tukar pandangan dan mengambil nasihat serta pengajaran daripada kata-katanya.

Sambil mengeluh, beliau menyatakan “ermm.. lepas setahun, setahun masa berlalu begitu sahaja”.

“Berlalu begitu sahaja ke pakcik?” ana menyampuk.

Lagi

Imam itu untuk diikuti

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Ana teringat mafhum sebuah hadis Rasulullah SAW “Adapun seorang Imam itu, dijadikan Imam untuk diikuti” Au kama qala al-Nabi. Jadi dalam konteks solat berjamaah, seorang makmum perlu mengikut segala perbuatan imam yang dihadapannya itu, sekiranya Imam tersebut melakukan perkara-perkara yang tidak membatalkan solatnya. Tetapi, sekiranya solat imam itu terbatal (walaupun dia tidak sengaja atau terlupa), maka ia tidak sepatutnya diikuti lagi oleh para makmum. Kalau ikut juga, kedua-dua solat imam dan makmum, tidak sah.

Lagi

Baca al-Quran di perkuburan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Beberapa hari lepas ana menerima persoalan dalam ruangan soal jawab di blog ini, berkenaan hukum atau letaknya asas amalan membaca al-Quran di perkuburan, adab ziarah kubur sebagaimana yang dianjurkan oleh Baginda SAW, amalan membaca al-Fatihah untuk si mati dan sebagainya yang berkaitan.

Kebetulan ana terjumpa artikel ini, maka ana fikirkan ianya juga sesuai dipanjangkan di sini agar para pengunjung atau mereka yang mengajukan pertanyaan berkenaan dapat sedikit info dan maklumat. Selamat membaca semoga ia menjadi titik tolak kepada perkembangan ilmu kita semua ke arah kematangan fikiran dalam beribadat kepada Allah dengan sebaik-baiknya.

MEMBACA AL-QURAN DI KUBUR TIDAK BID’AH
Oleh MUHAMMAD RAMZI OMAR

Dewasa ini umat Islam berada dalam persimpangan dan kekeliruan ekoran timbulnya dakwaan bahawa beberapa amalan yang mereka lakukan adalah satu kesalahan dan bidaah yang menyesatkan. Timbulnya dakwaan oleh pihak tertentu yang mengemukakan hujah dan bukti melalui kajian ilmiah dan akademik (seperti yang didakwakan) boleh menyebabkan kesan negatif di kalangan sesetengah masyarakat awam, iaitu merasa bersalah atas amalan yang selama ini dianggap baik, rupa-rupanya ia adalah sesat seperti yang didakwakan.

Lagi

Persoalan Zakat

Bismillahirrahmanirrahim
Salamullahi’alaikum warahmatuhu wabarakatuh

Salam Ramadhan, selamat berpuasa dan semoga Allah menerima amalan salih kita. InsyaAllah.

Sejak ana melibatkan diri dalam dunia perniagaan, pelaburan dan pengurusan kewangan ini banyak pula persoalan tentang zakat diajukan dan menjadi persoalan ana sendiri juga. Walaupun kadang-kadang ana terpaksa menjawab dengan ‘wallahu aklam’, tetapi memang benar jawapan tersebut telah membuka ruang bagi ana untuk membuat sedikit rujukan. Benarlah kata ulama “wallahu aklam itu setengah daripada ilmu”.

Mereka bertanya ana tentang zakat pelaburan.
Zakat pelaburan terbahagi kepada dua. Pertamanya modal pelaburan itu sendiri. Modal ini perlu cukup haul (tempoh masa setahun mengikut kalendar hijri). Sekiranya modal sesuatu pelaburan itu telah melepasi nisab zakat (kalau negeri Kelantan RM8422.14) dan tempohnya pula telah cukup setahun hijri, maka modal pelaburan tersebut telah layak/wajib dikeluarkan zakat. Contoh orang yang melakukan pelaburan sebanyak RM10,000 maka wajib dizakatkan modalnya itu sebanyak RM250.00 (2.5% daripada 10,000).

Kalau modal itu adalah duit yang dipinjamkan, contohnya pinjaman bank, maka dia kena kira modal yang telah menjadi hakmiliknya yang sempurna. Contoh dia pinjam RM20,000 sebagai modal pelaburan dan telah membayar bulan-bulan sebanyak RM10,000 (atau mana-mana angka yang melebihi nisab zakat) maka modalnya itu perlu dizakatkan manakala baki 10,000 lagi tidak layak zakat kerana ia bukan menjadi hakmiliknya yang sempurna. Ia masih menjadi milik bank (yang terbeban sebagai hutangnya).

Lagi

Sifat Nabi terpuji: Ummiyy

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu ala manittaba’a al-huda

Ana agak terkejut mendengar satu sesi tazkirah Ramadhan yang diterbitkan dalam salah sebuah radio tempatan. Pentazkirah berkenaan melahirkan rasa terkilan kerana ada golongan para ahli agama (Islam) di negara ini yang menasabkan sifat ummiyy kepada Nabi Muhammad SAW dan diterjemahkan sebagai Nabi itu tidak tahu menulis dan tidak tahu membaca. Katanya tuduhan itu adalah melampau dan tidak realistik kepada seorang yang sangat sempurna kejadiaanya samentelah dia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Rasulullah!

Bagi ana, kenyataan si pentazkirah ini telah menunjukkan sifatnya yang tidak suka mengkaji, sebaliknya hanya suka membuat tafsiran perkara agama mengikut logik akal fikirannya sendiri tanpa merujuk kepada fakta-fakta atau huraian yang dilakukan oleh para ulama muktabar. Sayanglah kalau kita tidak merujuk fakta sahih kerana ia berkemungkinan menyerlahkan penguasaan ilmu agama kita yang sangat tohor.

Lagi

Cerai Taklik

Bismillahirrahmanirrahim, wa bihi nastaien

Dua perkataan yang betul-betul pun jadi, main-main pun jadi. Iaitu perkataan ‘nikah’ dan seerti dengannya dan ‘talak’ dan perkataan yang seumpamanya. Kalau belajar kitab fikah bab ini, tuan guru akan beria-ia memesan agar dua perkataan ini (jika) perlu dilafazkan dengan penuh hati-hati. Katanya inilah dua perkataan yang diucapkan secara sungguh-sungguh pun jadi, main-main punjadi. Maksudnya, ia akan terjadi sepertimana yang dilafazkan.

Dua perkataan itu adalah berkaitan ikatan mutlak antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Sama ada termeterai atau tercerai. Ia termasuk dalam hukum Allah yang bukannya diletakkan untuk main-main. Perkara ini melambangkan bahawa hukum Allah itu suatu yang serius, penting, bermatlamat dan sesekali tidak berhak untuk dimain-mainkan oleh mereka yang waras akal fikirannya. Sebenarnya bukan dua perkataan itu sahaja hukum Allah yang tidak boleh dimain-main, tidak boleh dibuat selamba dan sambil lewa tetapi baki keseluruhan ketetapan Allah. Cuma “kuasa” dua perkataan ini terletak dihujung bibir ramai orang (iaitu wali dan suami).

Maksud
Cerai taklik bermaksud perceraian yang berlaku kerana suami telah bertaklik. Taklik ialah perkataan Arab yang memberi maksud (dalam bahasa Melayu) bergantung, tergantung atau bergantungan. Biasanya diterjemahkan sebagai cerai bersyarat. Manakala daripada segi Istilahnya, ialah perceraian yang berlaku kerana suami telah melafazkan talak atau cerai ke atas isteri dengan syarat-syarat atau peristiwa yang tertentu. Seperti kata suami “apabila saya meninggalkan isteri selama empat bulan tanpa nafkah, dan isteri telah mengadu kepada hakim syarie serta telah membuat bayaran RM1 bagi pihak diri saya, maka jika sabit kesalahan, pada masa itu jatuhlah satu talak khalie”.

Persoalan 1
Satu hari ana terima panggilan daripada seorang kawan lama. Kawan yang sudah sangat lama tidak berjumpa. Pelik juga kerana dia dapat nombor telifon ana. “Kalau nak, seribu daya kan?” jawabnya apabila ana tanya “mana dapat no ni?”. Tujuan dia hubungi ana kerana ingin meminta pendapat berkenaan situasi dalam rumahtangganya. Katanya dia telah lafazkan kepada isterinya “Kalau awak sms lagi lelaki ni, maka jatuh talak”.

Dengan tidak semena-mena isterinya itu menghantar sms “dah lah, suami saya tak nak saya sms awak lagi. tq” Tujuannya hanyalah untuk memberitahu itulah sms terakhirnya kepada lelaki berkenaan. Apakah situasi mereka? Adakah ikatan yang telah lama terjalin itu telah terpisah? Macamana?

“Perkara ni serius” Kata ana. “Aku tahu, tapi masalahnya adakah ia jadi (jatuh talak) sebab dia sms pun untuk bagitahu itu adalah sms terakhirnya”. Balas rakan ana. Maka ana minta sedikit masa bagi membuat rujukan. Kemudian bila dapat jawapan, ana call dia balik. Ternyata walaupun itu adalah sms terakhir tetapi peristiwa sebagaimana yang dilafazkan (taklik) itu telahpun berlaku. Iaitu si isteri telah menghantar sms kepada si lelaki yang dimaksudkan.

Walaupun ia adalah sms terakhir dan tidak ada tujuan lain selain memberitahu agar tidak lagi akan menghantar sms kerana suaminya tidak suka dan sangat serius dalam perkara itu (hantar sms). Maka pada saat si isteri menghantar sms terakhir itu, jatuh lah talak satu (kerana si suami tidak menyebut bilangan talak dalam lafaznya).

Agar peristiwa seperti dalam lafaz suami tidak berlaku, si isteri boleh meminta suaminya sendiri mengantar sms (terakhir itu). Atau, si isteri call sahaja (buat panggilan) kepada lelaki terbabit bagi memberitahu hasratnya. Atau, si isteri meminta rakannya yang lain memberi tahu (sama ada dengan sms atau apa sahaja cara) hasratnya kepada lelaki itu dan sebagainya lagi betuk peristiwa yang tidak memungkinkan perkara (seperti dalam lafaz taklik) itu terjadi.

Persoalan 2
Seorang mak saudara ana bertanya perihal rakannya yang telah ditaklik oleh suami. Kata suaminya “kalau lelaki ni datang lagi ke rumah ni, jatuh talak awak”.

Kebetulan satu hari si lelaki yang dimaksudkan oleh suaminya itu datang ke rumah mereka. Maka apakah talak telah jatuh? Kerana kedatangan si lelaki itu adalah di luar kemampuan si isteri. “Orang nak datang, dia tak bagitau nak datang, dan kita mana boleh nak tahan orang yang bernyawa nak ke sana ke mari, dan datang ke rumah kita” kata si isteri berkenaan.

Setelah membuat rujukan, ternyata talaknya juga telahpun terjadi. Kerana ia betul-betul terjadi seperti yang dilafazkan oleh si suami. Kalaulah si suami berkata “kalau awak tak larang lelaki tu datang, maka jatuh talak” barulah talak tersebut tidak jatuh hanya dengan kedatangan lelaki yang tak diundang itu. Kerana disebutkan syarat ‘tidak halang’.

Setelah perkara seperti ini berlaku, kedua-dua pihak suami dan isteri udah tidak boleh tidur bersama. Mereka perlu segera merujuk kepada Mahkamah syariah dan menjalani prosidur tertentu. Pun begitu, mereka masih boleh duduk serumah. Kalau sabit kesalahan (cerai) oleh mahkamah, lepas ni mereka boleh rujuk perkahwinan mereka itu semula. Dan menjadikan persitiwa ini sebagai panduan agar tidak melafazkan talak lagi pada masa hadapan.

Kesimpulan
Berdasarkan perbualan ana bersama mereka yang mengajukan persoalan di atas. Kedua-dua pasangan seakan tidak inginkan perceraian berlaku. Mereka tidak menyangka bahawa peristiwa sebagaimana yang dilafazkan itu akan berlaku. Mereka ingin menyatakan bahawa mereka benar-benar serius. Dan berharap (di dalam hati) agar isteri tidak lagi melakukan peristiwa itu (kes 1). Atau membiarkan peristiwa itu terus berlaku (kes 2).

Kedua-dua kejadian tersebut telah memberi impak yang baik kepada semua yang terlibat. Mereka akhirnya faham akan kepentingan lafaz taklik yang (jika) perlu dilafazkan adalah dengan ilmu. Banyak yang mereka pelajari daripada peristiwa tersebut dan mendoakan agar hubungan mereka suami isteri selepas ini akan bertambah baik. Sesungguhnya ilmu yang satu ini, sangat mahal harganya (sehingga dapat -dan telah- meruntuhkan sebuah rumahtangga) dan mereka akan lebih menghargainya lagi (buat panduan di hari kemudian).

Ala kulli hal, kedua suami dan isteri perlu kepada ilmu pengetahuan agama yang tinggi di dalam usaha mereka menjalani kehidupan rumahtangga yang baik, cemerlang, sempurna dan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Satu-satunya usaha yang perlu adalah menimba ilmu dan sesekali tidak merasakan ilmu telah penuh di dada.

Wallahu aklam.

p/s: Matlamat ana ‘public’kan masalah ini adalah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan ia tidak melibatkan nama mana-mana pihak secara khusus, sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia. Pun begitu, ana tidak nafikan bahawa kedua-dua kisah ini adalah kisah benar berdasarkan pengalaman peribadi ana di dalam (asbab) menimba ilmu Allah. Sama-sama kita ambil pengajaran daripada dua kisah realiti ini dan jadikannya sebagai panduan.

Namun, pelawat, pengunjung dan sesiapa sahaja yang berkenaan, adalah bertanggungjawab terhadap apa sahaja yang mereka utarakan dalam ruangan ini. Pemilik blog iaitu ana tidak boleh dipersalahkan sekiranya mana-mana pihak terdedah dengan kerugian akibat maklumat yang ada pada mana-mana bahagian dalam ruangan ini (sama ada soalan pelawat atau respon ana).

Sekali lagi ditegaskan bahawa ruangan ini hanyalah bertujuan memeriahkan input ilmu dan pengalaman. Mana-mana bahagiannya tidak boleh diambil sebagai hujjah yang terpakai dalam mana-mana perundangan yang sedang berkuatkuasa di mana-mana negara dan negeri. Pengunjung adalah dinasihati merujuk pihak-pihak yang lebih berotoriti untuk kes-kes peribadi yang tersendiri.

Lelaki: Gelang untuk tujuan perubatan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sebenarnya perkara ini telah lama dibincangkan oleh banyak pihak. Bermula daripada golongan ahli akademik, ulama sehinggalah budak-budak sekolah. Persoalan ini pula selalu bermain di fikiran ana. Maka hari ini ana akan mencuba untuk menulis tentang tajuk ataupun isu tersebut. Pada ana, ia bukanlah suatu fatwa, atau hukuman atau apa sahaja yang sama erti dengannya. Cuma sekadar suatu pandangan hasil pengamatan daripada ilmu yang sedikit berbanding dengan para ilmuan yang lain.

Pada ana, gelang adalah suatu pakaian yang direka khas untuk kaum wanita. Oleh yang demikian, lelaki yang memakai gelang dianggap sebagai mengenakan pakaian (khusus) yang menyerupai kaum wanita dan ini adalah dilarang dalam syariat Islam. Begitu juga sebaliknya jika wanita memakai pakaian khusus untuk kaum lelaki. Sekiranya untuk tujuan perubatan (dharurat) maka ia menjadi titik perselisihan ulama. Cuma kita sedia maklum bahawa orang-orang yang warak akan keluar daripada segala isu yang melibatkan (khilaf) perselisihan tersebut.

Ana tidak menyokong langsung lelaki memakai gelang walaupun untuk tujuan perubatan. Rasionalnya adalah seperti berikut:

1. Ubat dan maslahah ada kadar
Apa sahaja yang dikatakan ubat, yang diamalkan oleh pengamal perubatan, ia mesti digunakan mengikut kadarnya yang tertentu. Allah juga telah menegaskan tentang sesuatu itu ada kadarnya melalui firmannya dalam ayat yang dikenali sebagai ayat seribu dinar. Contohnya ubat panadol diambil mengikut kadar tertentu. Orang dewasa perlu dua biji diambil tiga kali sehari. Mana boleh diambil 20 hingga 30 biji sekali? Ataupun diambil setiap setengah jam dan secara berterusan? Sekiranya penyakit telah sembuh tidak perlu ambil lagi. Ana ambil panadol cuma satu biji sahaja. Setakat ini sakit kepala hilang tanpa perlu mengambil biji yang kedua.

Ana juga ada pengalaman berkenaan dengan madu lebah. Ana terpengaruh dengan suatu produk MLM yang menggesa minum madu sebanyak 2 hingga 3 sudu setiap pagi dan petang. Akhirnya ana kena ulser perut. Apabila ana merujuk pakar kesihatan Islam yang sebenar, beliau mengatakan madu memang ubat yang disebut dalam al-Quran. Tetapi ia masih ada cara yang tepat untuk mengambilnya kerana setiap perkara itu Allah sudah tetapkan kadarnya. Ubat macamanapun sekiranya diambil secara tidak tepat kadarnya, ia akan menjadi mudharat atau racun. Yang sebenarnya, madu dalam perubatan Islam perlu diambil 2 hingga 3 titik sahaja.

Jadi, jika gelang untuk tujuan perubatan itu dipakai sehari-hari, sepanjang minggu, bulan dan tahun, apakah ia sebenarnya ubat?

Begitu juga sekiranya anda berpendapat memakai gelang kerana ingin mencegah penyakit sebenarnya. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati? Maknanya, memakai gelang merupakan maslahah kepada manusia iaitu bagi melancarkan perjalanan darah seterusnya mengelak daripada terkena penyakit.

Pun begitu, kaedah fiqhiyah ada menyebut bahawa “maslahah tuqaddar biqadariha”. Iaitu walaupun penggunaannya dianggap maslahah, tetapi syariat masih menetapkan kadarnya. Kadar bagi setiap maslahah itu. Sekiranya gelang tadi dipakai sepanjang-panjang hari, minggu, bulan bahkan tahun, mana lagi kadarnya?

Tahukah anda bahawa maslahah dalam ilmu usul fiqh juga hampir-hampir tidak diterima oleh ramai ulama untuk dijadikan dalil bagi menentukan sesuatu hukum syarie. Oleh itu, sekiranya kita rujuk kepada kitab-kitab karangan ulama silam, (sila rujuk matan alwaraqat) tidak ada langsung bab yang membincangkan tentang maslahah ini. Namun sekiranya kita merujuk kepada kitab-kitab tulisan ulama kini, nescaya ada perbincangan di dalamnya.

2. Kenapa khusus di pergelangan tangan?
Kalau ia ubat, masakan tidak boleh dipakai di kaki? Lengan? Paha? dan tempat-tempat lain pada badan yang akan menghilangkan terus kemungkinan ia menjadi fitnah iaitu menyerupai pakaian kaum wanita. Sekiranya diamati, pergelangan tangan ini bukan merupakan pusat bagi perubatan di sistem badan, tetapi perut. Bukankah apabila sakit perut kita makan ubat yang masuk ke dalam perut, sakit kepala, sakit sendi dan sebagainya. Maksudnya, pergelangan tangan bukanlah pusat perubatan dalam sistem badan manusia.

Begitu juga, adakah sesuatu ubat akan berkesan sekiranya dipakaikan di satu sahaja pergelangan tangan? Sebelah satu lagi tidak pula. Sekiranya orang putus tangan, maka tidak boleh lagi berubat dengan kaedah ini? Apa pula?

Kalaupun perlu sangat dipakai di pergelangan tangan, kenapa tidak dijadikan tali jam? Tidakkah pemakaian jam tersebut sudah tidak mendatangkan apa-apa fitnah lagi kerana kepentingan manusia terhadap masa? Tetapi tidak pula syarikat-syarikat yang mengeluarkan gelang perubatan ini melakukannya sebagai tali jam alternatif yang bersifat perubatan.

3. Agenda tersembunyi musuh Islam.
Mungkin ini juga termasuk dalam agenda tersembunyi musuh Islam yang sengaja ingin menjauhkan umat Islam daripada ajarannya. Ia seperti Fun, Fesyen, Food dan sebagainya. Sekiranya ada dikalangan umat Islam yang memakai gelang ini, ia menjadi petunjuk kepada mereka bahawa umat Islam telah berada pada tahap yang terlalu jauh daripada syariat mereka sendiri. Sekiranya demikian, strategi mereka telah menjadi dan mereka akan menggerakkan strategi yang pelbagai lagi. (ana tidak bermaksud untuk menghuraikan bab ini pada masa ini)

4. Mukmin sejati
Sebagai seorang Islam yang tidak sesekali melakukan sesuatu tanpa usul periksa, maka elok sekiranya kita memilih untuk menjadi seorang yang warak. Iaitu mereka yang meninggalkan perkara-perkara syubhah dan khilaf (perbezaan pendapat) di kalangan ulama.

5. Menyerupai tangkal
Ulama telah bersepakat bahawa tangkal adalah suatu unsur syrik yang nyata. Untuk lebih memahamkan masyarakat maka KPM telah memasukkan subjek ini di dalam kurikulumnya (syirik jali – rujuk sukatan pelajaran pendidikan Islam tingkatan 4, Kementerian Pelajaran Malaysia). Pemakaian tangkal juga dikatakan untuk tujuan perubatan. Ia adalah haram dan syirik kepada Allah. Tidak boleh diamalkan.

Kesimpulannya, ana berpendapat bahawa pemakain gelang bagi tujuan perubatan adalah omong-omong kosong sahaja. Ana selalu berdoa agar tidak termasuk di dalam golongan yang mengeluarkan pendapat ambil mudah kerana katanya agama itu mudah. Bagi ana, agama memang mudah tetapi jangan kita ambil mudah perkara-perkara agama. Agama mudah bagi orang yang mudah menerimanya. Tetapi amat payah bagi orang yang tidak mahu menerimanya. (mudah yang bukannya ditafsirkan oleh orang yang biasa mengatakan sesuatu itu mudah)

Kata orang, kerana cinta lautan api itu mudah direnangi. Marilah kita mencintai Allah dan syariatNya, agar kita meraskan yang berlawanan dengan nafsu kita pun sebagai mudah sahaja bagi kita mentaatinya.

Wallahu aklam. Sekadar pandangan peribadi. Wassalam…