Tafsir al-Baqarah ayat 24

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Pada ayat 23 yang lepas, Allah SWT telah menerangkan bahawa, orang-orang yang tidak mahu menerima hakikat kebenaran al-Quran, iaitu mereka yang kekal kafir (tidak tunduk dan patuh kepada Allah) selepas mendengar keterangan-keterangan Allah melalui al-Quran yang tidak ada keraguan padanya itu, mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka pada hari akhirat kelak. Pada hari itu, mereka sudah tiada pilihan lagi selain apa yang Allah putuskan buat mereka, berbanding di dunia ini, mereka tidak dipaksa tetapi memilih untuk tidak mempercayai kebenaran al-Quran.

Lagi

Tafsir al-Baqarah ayat 2

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Beberapa kesimpulan daripada tafsir ayat kedua dari surah al-baqarah sebagaimana yang ana kongsikan malam ini di Masjid al-Muttaqim Sarikei untuk tatapan dan renungan kita bersama di alam maya ini.

Pertama, Allah SWT menamakan al-Quran dalam ayat ini sebagai al-Kitab. Allah berfirman yang bermaksud “al-Kitab itu yang tidak ada di dalamnya sebarang keraguan, ia juga bersifat sebagai¬†pentujuk kepada orang-orang yang bertaqwa”. Allah gantikan al-Quran dengan sifat al-Quran iaitu al-Kitab.

Lagi

Tafsir ayat 1 surah al-Baqarah

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memungkinkan perjumpaan kita pada malam ini. Dalam sebuah majlis ilmu yang insyaAllah diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT. Sebenarnya, masjid ini tidak asing bagi saya kerana pernah diberi peluang seumpama ini pada tahun 2006 dan 2007 sebelum saya pulang ke semenanjung untuk melanjutkan pelajaran pada tahun 2008 dan 2009.

Alhamdulillah, Allah telah mentaqdirkan saya berada sekali lagi bersama tuan-tuan dan puan-puan. Di masjid ini. Mudah-mudahan perkongsian ilmu tafsir al-Quran yang cuba saya ketengahkan ini akan mendatangkan manfaat untuk kita bersama. Sebagai renungan, panduan dan pedoman hidup kita melalui cabaran dunia hari ini. Semoga dengan usaha kita yang sedikit ini, akan ditulis sebagai amal soleh di sisiNya. InsyaAllah.

Lagi

Bayar zakat anda

Bismillahirrahmanirrahim..

Zakat adalah suatu icon yang diperkenalkan oleh Allah SWT di dalam sekumpulan syariatNya yang diturunkan sebagai panduan dan rahmat bagi manusia menjalani kehidupan di dunia. Bagaimana anda faham dan menerima konsep zakat, begitulah kehidupan anda akan dibentuk. Zakat sepatutnya menjadi sumber inspirasi untuk seseorang melakukan kerja secara bersungguh-sungguh, bekerja sehingga mampu membayar zakat yang banyak. Nikmat membayar zakat dan juga mengeluarkan sedekah bagi membantu orang yang dalam keadaan kurang kemampuan telah dirasai oleh mereka yang benar-benar beriman. Kebahagiaan menjiwai ketaatan mengamal ajaran agama yang ini, dan yang lain-lain akhirnya mencetuskan rasa manisnya iman. Seperti manisnya rasa seorang ibu yang baru sebentar tadi merasai keperitan melahirkan seorang anak, menyusukan anaknya itu buat kali yang pertama. Suatu sejarah yang sangat nikmat! Walaupun kalau ikut hati tidak ingin diulangi, tetapi jikalau diulangi, nikmat jua yang dirasai.

Ana sempat berbincang dengan beberapa orang rakan berkenaan cara membayar zakat. Ada di antara mereka yang suka bayar zakat kepada pejabat pungutan zakat, ada yang pilih bayar zakat kepada kerajaan negerinya sendiri sahaja, ada juga yang memilih membayar zakat secara online dan ada segelintir berpendapat membayar zakat secara terus kepada golongan yang layak menerima zakat. Samada dalam kalangan saudara terdekat, jiran-jiran, para pelajar dan lain-lain.

“Bayar zakat kalau ikut mazhab Syafie mesti ada ijab dan qabulnya” kata seorang rakan. “Masa duk Jordan dulu, bayar zakat (fitrah) cukup mudah, di masjid-masjid telah disediakan tabung zakat” kata seorang rakan yang lain. Ada yang menyahut “Zakat ni melibatkan hak kita, ia lain dari jual beli yang melibatkan hak kedua-dua pihak maka memerlukan (lafaz) ijab dan qabul, zakat itu hak kita dan memadai kita sahaja yang berniat dan tak perlulah lafaz kalau nak keluarkan sendiri kepada penerima yang layak”

Melafazkan niat keluar zakat kadang-kadang boleh mendatangkan rasa bangga diri yang sedikit sebanyak mengurangkan pahala zakat. Begitu juga kalau penerima zakat (bukan amil) melafazkan niat terima zakat, sedikit sebanyak mendatang rasa malu atau rendah diri terhadap manusia yang lain (pemberi zakat).

Secebis kenangan
Pulangnya ana dari solat asar (suatu ketika dahulu) telah disapa oleh seorang jiran yang sangat mulia. Ana telah diajak ke hadapannya di muka pintu utama rumahnya. “Macamana sekolah?” tanyanya. “al-hamdulillah” jawab ana ringkas sambil mata memerhati sekeliling. Seperti selalu-selalu (tahun sebelumnya) ada suatu rasa seolah-olah muncul tanpa disangka-sangka. “Belajar rajin-rajin, nanti bila berjaya boleh bantu keluarga” sambungnya berbicara. Suatu harapan yang sememangnya memberikan motivasi. “Insya-Allah” jawab ana. Tunduk. Rasa tadi semakin tinggi peratusannya. “Ni, makcik ada sedikit wang zakat, RM30.00, terimalah ya”. Tepat. Peristiwa ini berulang lagi. “Saya terima wang zakatnya makcik”. Ana mengucapkannya (dalam keadaan malu-malu) kemudian disusuli ucapan terima kasih seraya memulakan langkah pulang sebelum mata ana terpandang juga salah seorang anak perempuan makcik yang sebaya dan yang sekolah sama dengan ana. Satu tingkatan tetapi kelas lain-lain.

Sekarang ini kalau ana ingat kisah itu (yang berlaku saban tahun dari ana tingkatan 2 hingga ana dapat biasiswa sambung belajar ke Jordan) maka ana bersyukur kerana pernah memiliki seorang jiran yang sangat prihatin. Di samping itu juga, tidak dinafikan, ana teringat rasa malu yang agak menyakitkan telah datang bertandang ke dalam hati. Namun ana terus bersyukur kerana rasa malu itu jugalah yang telah menjadikan diri ana hari ini. Yang sudah wajib membayar zakat walaupun dalam jumlah yang agak sedikit. Ana berazam dan akan terus berusaha mencari ruang dan peluang meningkatkan pendapatan sehingga mampu mengeluarkan zakat yang banyak. Ana lebih suka bayar zakat di pejabat pungutan zakat di negeri tempat ana bertugas dan kalau ana nak bayar zakat secara terus kepada individu pun insyaAllah ana tidak akan ucapkan lafaz ijab zakat itu. Semoga Allah menerima setiap amalan baik kita yang ikhlas.

Ahirnya. Bayarlah zakat anda. Bekerjalah sehingga anda layak mengeluarkan zakat. Terpulanglah kepada anda untuk membayar zakat samada kepada pihak yang berwajib atau secara terus kepada penerimanya yang layak. Bayarlah zakat anda dengan cara yang sangat hikmah. Semoga nikmat manisnya iman, dapat anda rasakan dan anda nikmati di dunia ini lagi. Guru ana (suatu masa dahulu) ketika mensyarahkan kitab Hikam menyatakan “Sesiapa yang pernah masuk (merasa nikmat) syurga di dunia ini, maka ia juga akan masuk syurga di akhirat nanti”. Renung-renungkan.

Wallahu aklam.

Sifat kesian

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia serta nikmat-nikmatNya yang tidak terhingga. Mudah-mudahan kita semua sentiasa dipayungi rahmat dan kasih sayang Allah sehingga ke hari perhitungan di padang mahsyar kelak. Hari yang tidak ada manfaat padanya oleh harta benda dan anak pinak melainkan mereka yang berhati sejahtera, yang mengharapkan hanya kepada rahmat Allah yang Maha Esa lagi Maha Kaya.

Kesian atau perasaan belas kasihan merupakan salah satu sifat yang terbit daripada sifat-sifat Allah yang Maha Agung. Iaitu sifat al-Halim. Allah kasihan kepada hamba-hambaNya lalu diutuskan Rasul selepas Rasul bagi memandu manusia. Tidak cukup dengan itu, Allah sediakan pula panduan iaitu kitab-kitab. Allah kasihan kepada hamba-hambaNya lalu Dia menyembunyi segala perbuatan buruk seseorang, tidak ada yang tahu melainkan dirinya dan Allah SWT sahaja. Allah juga sayang kepada hamba-hambanya yang beriman, taat dan patuh kepada segala peraturanNya di dunia ini. Dengan itu mereka akan disayangi oleh Allah, di dunia ini dengan dianugerahkan hidayah taufiq (pedoman ke arah kebaikan; yang pertama sekali adalah agama Islam itu sendiri, yang keduanya adalah Iman) dan juga di akhirat iaitu Allah akan menempatkan mereka ke dalam syurga yang dipenuhi dengan nikmat-nikmat.

Isu
Apabila manusia hilang sifat kesian atau belas kasihan samada sesama manusia atau makhluk yang lain, maka Allah juga tidak akan kasihan padanya. Hal ini jelas sebagaimana maksud Hadith “Sesiapa yang tidak mengasihi maka tidak akan dikasihi”. “Sesiapa yang tidak mengasihi ahli (isi) di bumi, maka dia tidak akan dikasihi oleh ahli di langit (Allah dan para malaikatNya)”.

Sebagai contoh, seorang pencuri yang memang sudah tidak ada sifat kasihan kepada orang yang dicurinya itu. Jikalau mereka kasihan tentu mereka tidak mencuri. Tidak mencuri motorsikal orang kerana mereka kasihan kepada tuannya yang nak guna motor itu untuk mencari nafkah, untuk ke masjid, untuk meneruskan hidup. Tidak mencuri kasut atau selipar orang yang datang ke masjid kerana kasihan kepada tuannya yang akan pulang berkaki ayam, terpaksa beli kasut baru, selipar baru.

Begitulah seterusnya apa sahaja post kita. Seorang ketua yang tidak ada sifat kasihan kepada orang bawahannya akan memperlakukan mereka sesuka hati. Tidak adil dalam pengagihan tugas dan memberi penilaian. Amalan fitnah memfitnah, mencela, mencaci, memaki hamun, mengampu, budaya kronisme dan pelbagai sifat buruk akan bermaharajalela dalam sesebuah organisasi. Hal ini bermula daripada sifat tidak kasihan. Tidak kasihan melakukan ketidakadilan kepada orang lain. Menyekat pangkat atau gaji seseorang pemalas adalah patut kerana kasihan apabila mereka mendapat pangkat lebih tinggi akan merosakkan nama dan maruahnya dek kerana kurang kepakaran. Kasihan kalau mendapat gaji yang tinggi dengan cara yang tidak adil akan menular budaya nafkah tidak sihat kepada sesebuah keluarga lantas melahirkan masalah sosial yang knonik. Kasihan akan hilangnya berkat dan rahmat daripada diri semua pihak.

Impak
Apabila Allah (dan ahli langit) tidak kasihan kepada seseorang, maka impaknya sudah pasti akan dirasai di dunia ini lagi. Allah akan menarik sifat kasihanNya. Allah akan menarik sifat kasihan manusia serta seluruh makhlukNya daripada mengasihani orang itu. Seorang pencuri yang dapat ditangkap oleh orang ramai sudah pasti akan dipukul tanpa sedikit rasa belas kasihan sebagaimana yang terpapar di dada akhbar pada suatu hari.

Seekor kucing jantan yang tidak diendahkan makan minumnya, tidak kisah langsung untuk membuang air kecilnya di dinding-dinding rumah, kereta atau perhiasan ruang tamu milik tuannya. Sedangkan orang lain juga ada membela kucing jantan yang tahu menggunakan tandas atau paling tidak akan qadha hajatnya di laur rumah. Kita mungkin pernah terdengar petua orang tua-tua “kalau memukul binatang berbisa biar sampai mati, jika tidak ia pasti datang kembali (untuk membalas dendam)”. Sifat kasihan kepada binatang berbisa yang mengganggu di rumah kita adalah dengan cara memukul dengan sekali mati. Dalam ilmu perubatan Islam, jika ada binatang bisa datang ke rumah, halau tiga kali dan jika degil, pukul sekali mati.

Didik
Bagaimana untuk kita mendidik diri agar sentiasa berasa belas kasihan sesama makhluk? Pertama dengan cara melihat kebesaran Allah kemudian mengabdikan diri kepadaNya secara mutlak. Iaitu ikhlas untuk tunduk dan patuh serta taat kepada Allah tanpa sebab lain, melainkan kerana Allah itu adalah Tuhan yang layak disembah dan ditaati. Dengan (amalan yang didasari ikhlas) itu, kita akan mendapat nikmat Iman yang jitu dan dapat pula memandu kita ke arah yang betul.

Kedua (ini mungkin ilmu kebanyakan orang Kelantan, dan di tempat yang lain mungkin menggunakan istilah yang berbeza iaitu) dengan menggunakan ‘Ilmu Taksir’. Orang Kelantan (terutama yang tua-tua, yang muda dah tak banyak amalkan ilmu ini, atau sudah tidak tahu kot) apabila mereka nak buat atau bincang sesuatu perkara yang ada kaitan dengan orang lain (meyakiti, menzalimi, menganiaya orang lain dsb) mereka akan kata “Kalu taksir pada diri kita, lagu mana?” maksudnya kalau perkara itu ditakdirkan orang buat pada diri kita, apa yang akan kita rasa? Contohnya membuang sampah dalam pagar rumah orang. Kalau orang buang sampah dalam pagar rumah kita, apa kita rasa?

Kalau orang curi motor kita apa kita rasa? Kalau orang tipu kita apa kita rasa? Kalau orang khianati kita apa kita rasa? dan segala macam tindak tanduk yang tidak memuaskan hati orang akan terlebih dahulu ditaksir kepada diri sendiri sebelum bertindak. Ilmu taksir ini juga sangat digalakkan sekiranya seseorang nak buat baik. Kalau tolong orang, suatu hari nanti orang tolong kita apa kita rasa? Sudah pasti kita akan merasa selesa. Oleh itu baik kita tolong orang, baik kita jaga amanah orang, baik kita buat baik kepada sekalian makhluk Tuhan. Itu ialah Ilmu Taksir.

Kesimpulan
Apa sahaja pendekatan yang digunakan, yang pentingnya sifat belas kasihan ini amat berguna dalam kehidupan seseorang manusia. Dengan memupuk sifat ini (bermula) ke dalam diri, seterusnya anak-anak dan seluruh keluarga, akan melahirkan sebuah masyarakat yang bukan sahaja prihatin terhadap orang lain, malah dapat mengelakkan mereka terjebak dengan gejala penyakit sosial yang semakin meruncing dalam negara kita hari ini. Setiap daripada kita adalah bertanggungjawab mempastikan sifat ini dimiliki oleh setiap orang di bawah pimpinan kita bermula diri kita sendiri, anak-anak, rakan sekerja, dan pemimpin serta ketua negara.

Ini adalah sifat Allah. Bagaimana kita mengharapkan Allah kasihan kepada kita lalu sentiasa memberi petunjuk dan hidayah ke jalan yang bahagia di dunia, dan memasukkan kita dalam kalangan orang-orang yang berjaya di akhirat, kalau kita tidak ingin tiru sifat Allah yang mulia ini dan kita amalkannya dalam kehidupan kita di dunia. Mudah-mudahan dengan niat dan amalan kita yang baik-baik dan dipandu pula oleh Allah, kita akan mendapat kesejahteraan di dunia dan berterusan sehingga kehidupan di akhirat. InsyaAllahu Taala.

Wallahu aklam

Tingkatan Nafsu

Nafsu adalah makhluk Allah yang ada dalam diri manusia. Nafsu ini akan berkembang mengikut perkembangan manusia itu sendiri. Semakin membesar dan matang seseorang itu semakin besar dan bijak jugalah nafsunya. Pada kebiasaannya nafsu ini mempengaruhi dan mendorong tuannya melakukan perkara yang hanya nampak baik pada zahir sahaja. Sebaliknya, sekiranya nafsu ini dapat dididik dengan acuan penciptanya iaitu Allah taala, nescaya ia dapat mengikut tuannya pula tanpa ada daya membantah. Adapun nafsu manusia ini terbahagi kepada tiga; Nafsu Ammarah, Nafsu Lawwamah dan Nafsu Mutmainnah.

Nafsu Ammarah
Iaitu nafsu yang dapat mengawal segala tingkah laku seseorang manusia (tuannya). Sekiranya A yang dikatakan oleh nafsunya nescaya dia akan melakukan perbuatan A. Begitulah seterusnya. Sebagai contoh solat. Biasanya nafsu akan mengajak tuannya agar tidak melakukan solat, maka jiwa yang bernafsu Ammarah ini hanya akur sahaja kepada kehendak nafsunya tanpa disedari. Manusia seperti ini sangat-sangat memerlukan peringatan (tazkirah) agar kembali ingat kepada Allah. Suruhan dan laranganNya. Dosa dan Pahala. Syurga dan Neraka. Dan sebagainya yang terkandung dalam syariat (panduan hidup di dunia). Simpton manusia yang memiliki nafsu begini adalah tidak sedar akan saat kematian. Di dalam hatinya sentiasa ada esok.

Nafsu Lawwamah
Iaitu nafsu yang hanya dapat mengawal tingkah laku tuannya sekali sekala. Kebiasaannya setelah tuannya itu mengikut kata nafsunya, maka dia akan mengutuk diri sendiri dengan mengatakan bahawa sepatutnya dia tidak mengikut kata nafsu. Sebagai contoh, kerana ingin melihat rancangan TV yang menarik maka seseorang telah menangguhkan solatnya sehinggalah habis waktu. Setelah itu, maka terdetik di dalam hati (setelah habis cerita dan waktu solat pun tamat) mengatakan betapa bodohnya diri yang sanggup meninggalkan solat kerana mengikuti filem atau rancangan tersebut. Padahal kemungkinan esok lusa pasti rancangan berkenaan akan diulang tayangannya. Manakala solat apabila sudah luput waktunya maka tidak akan datang lagi. Simpton manusia yang memiliki nafsu sebegini adalah sangat takut akan kematian. Kerana dirinya sangat mengetahui tahap persediaannya untuk menghadapi mati dan Allah swt. Lalu, sepanjang hidupnya selalu mengutuk diri sendiri yang tidak dapat mengawal nafsu.

Nafsu Mutmainnah
Iaitu nafsu yang tenang. Sentiasa akur dan taat kepada tuannya di dalam semua perkara atau pekerjaan. Tuannya pula sering merujuk panduan (syariat Islam yang Allah telah sediakan) di dalam memandu kehidupannya sehari-hari sementara menunggu saat dijemput kembali mengadap yang Maha Pencipta (dirinya dan nafsunya). Orang yang memiliki nafsu sebegini pula tidak takut untuk menghadapi mati malah sentiasa memikirkannya dan rindu untuk segera bertemu Allah sebagai kekasihnya.

Pengarang kitab Hikam mengatakan “orang yang memiliki nafsu mutamainnah ini sentiasa dalam keadaan tenang, mati dalam keadaan tenang, menghadapi alam barzakh dalam keadaan tenang dan akhirnya memasuki syurga Allah yang bersifat tenang”. Pada ketika yang lain pula mengukapkan “Barangsiapa yang tidak pernah masuk syurga Allah di dunia ini, tidak akan pula memasuki syurga Allah di akhirat!”. (Syurga di dunia maksudnya tempat (hati/nafsu)¬†yang tenang).

Wallahu aklam.