tinggalkan vs tak boleh
05 Ogo 2011 1 Komen
by ibnrajab in Amalan, Bicara Agama, Ramadhan almubarak, Tazkirah
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..
Sebelum khatib naik mimbar untuk khutbah jumaat hari ni, Imam 1 menyapa ana “minta ustaz memberi tazkirah selepas jumaat, boleh?”. Memandangkan beliau berharap, ana anggukkan juga kepala tanda setuju walaupun satu perkataan yang berbentuk fakta belum dijana dalam minda. Usai jumaat nanti, apa yang Allah ilhamkan insyaAllah itu sahajalah yang akan ana kongsikan bersama-sama ahli jemaah. Mengharap.
Salam Ramadhan 1432H
01 Ogo 2011 Tinggalkan Komen
by ibnrajab in Ramadhan almubarak
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..
Selamat berpuasa Ramadhan 1432H kepada para pengunjung IbnRajab Online sekalian. Semoga Allah SWT menerima amal soleh kita semua. Dan insyaAllah kita mampu menggarap peluang Ramadhan tahun ini untuk menyediakan diri kita dididik oleh Ramadhan seterusnya mendapat pembersihan dosa melalui pengampunan Allah SWT di akhir Ramadhan sebagai bekalan menghadapi cabaran 11 bulan seterusnya.
Di bawah ini, ana sertakan artikel-artikel lalu yang dihasilkan untuk rujukan kita bersama:
Cari Lailatulqadr
02 Sep 2010 1 Komen
by ibnrajab in Amalan, Ramadhan almubarak
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Carilah lailatulqadr wahai diri. Hari ini dah hari ke-23 puasa. Hanya tinggal beberapa malam sahaja lagi peluang mencari lailatulqadr. Hadis tentang lailatulqadr berlaku pada malam 27 itu masih valid. Tiada salah kalau kita nak beramal berdasarkan hadis itu. Mana tahu, ia benar-benar terjadi pada tahun ini. Malam ke 27 itu adalah lailatulqadr.
Istimewa Ramadhan
15 Ogo 2010 2 Komen
by ibnrajab in Kemudahan Awam, Promosi, Ramadhan almubarak, Teks ceramah
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Sempena program Tabung Haji masuk kampung peringkat Negeri Sarawak tahun ini, ana dijemput memberi ceramah dengan tajuk “Istimewa Ramadhan”. Program kali ini diadakan serentak di kampung perpat, bating maro, kabong dan beberapa buah kampung lagi yang mempunyai majoriti penduduk Islam. Acara kemuncaknya diadakan di Surau Darul Ehsan, Kampung Hilir Kabong, tempat ceramah ini disampaikan.
Selamat berpuasa 1431H
11 Ogo 2010 1 Komen
by ibnrajab in Ramadhan almubarak
Bismillahirrahmanirrahim
Salamullahi alaikum warahmatuhu wabarakatuh
Ramadhan Kariem! Selamat berpuasa diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat yang mengunjungi blog IbnRajab Online ini walau di mana anda berada. Semoga cabaran dan dugaan Ramadhan akan menghasilkan nilai taqwa dalam diri sebagaimana yang diprogramkan oleh Allah SWT dalam al-Quran itu. “Diperintah ke atas kamu berpuasa sepertimana diperintah ke atas mereka sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh taqwa”. [al-Baqarah:183]
Persoalan Zakat
18 Sep 2009 6 Komen
by ibnrajab in Bicara Agama, ISU SEMASA, Kemusykilan agama, Ramadhan almubarak
Bismillahirrahmanirrahim
Salamullahi’alaikum warahmatuhu wabarakatuh
Salam Ramadhan, selamat berpuasa dan semoga Allah menerima amalan salih kita. InsyaAllah.
Sejak ana melibatkan diri dalam dunia perniagaan, pelaburan dan pengurusan kewangan ini banyak pula persoalan tentang zakat diajukan dan menjadi persoalan ana sendiri juga. Walaupun kadang-kadang ana terpaksa menjawab dengan ‘wallahu aklam’, tetapi memang benar jawapan tersebut telah membuka ruang bagi ana untuk membuat sedikit rujukan. Benarlah kata ulama “wallahu aklam itu setengah daripada ilmu”.
Mereka bertanya ana tentang zakat pelaburan.
Zakat pelaburan terbahagi kepada dua. Pertamanya modal pelaburan itu sendiri. Modal ini perlu cukup haul (tempoh masa setahun mengikut kalendar hijri). Sekiranya modal sesuatu pelaburan itu telah melepasi nisab zakat (kalau negeri Kelantan RM8422.14) dan tempohnya pula telah cukup setahun hijri, maka modal pelaburan tersebut telah layak/wajib dikeluarkan zakat. Contoh orang yang melakukan pelaburan sebanyak RM10,000 maka wajib dizakatkan modalnya itu sebanyak RM250.00 (2.5% daripada 10,000).
Kalau modal itu adalah duit yang dipinjamkan, contohnya pinjaman bank, maka dia kena kira modal yang telah menjadi hakmiliknya yang sempurna. Contoh dia pinjam RM20,000 sebagai modal pelaburan dan telah membayar bulan-bulan sebanyak RM10,000 (atau mana-mana angka yang melebihi nisab zakat) maka modalnya itu perlu dizakatkan manakala baki 10,000 lagi tidak layak zakat kerana ia bukan menjadi hakmiliknya yang sempurna. Ia masih menjadi milik bank (yang terbeban sebagai hutangnya).
Zakat 1430H/2009
05 Sep 2009 4 Komen
by ibnrajab in Bicara Agama, Ramadhan almubarak, Urus Kewangan
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Sukacita ana memanjangkan makluman yang dikeluarkan oleh pejabat Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bahawa kadar zakat harta bagi tahun ini (1430H/2009) adalah RM8,422.14 (Ringgit Malaysia: Lapan Ribu Empat Ratus Dua puluh dua dan sen empat belas sahaja) bagi seluruh rakyat Negeri Kelantan Darul Naim.
Oleh yang demikian, sesiapa yang mempunyai kadar wang simpanan (kecuali dalam akaun Tabung Haji, Bank Rakyat dan institusi-institusi perbankan atau pelaburan yang telah menyediakan perkhidmatan mengeluarkan zakat bagi pihak pendeposit) melebihi nisab RM8,422.14 itu hendaklah mereka sedar keperluan serta kewajipan (fardhu) mengeluarkan zakat sebagaimana yang diarahkan oleh Allah SWT selaku Pencipta dengar kadar 2.5%.
Selamat menyambut Ramadhan 1430H
21 Ogo 2009 3 Komen
by ibnrajab in ISU SEMASA, Ramadhan almubarak
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Ahlan wa sahlan, marhaban, ahlan wa sahlan ya Ramadhan. Selamat datang bulan kesejahteraan, bulan penuh barakah dan keampunan, bulan rahmat dan bulan kasih sayang Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Bulan Ramadhan; 10 hari pertama adalah Rahmat, 10 hari kedua adalah kemapunan da 10 hari terakhir adalah pembebasan daripada Api Neraka”
Di kesempatan ini, ana mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan selamat berpuasa kepada semua pengunjung laman IbnRajab Online sekalian. Yang sudi bertandang untuk sama-sama berkongsi idea serta pandangan. Yang sudi tulis komentar kepada tulisan-tulisan ana yang tidak sepertinya itu. Semoga Ramadhan kali ini akan memberi ruang dan peluang kepada kita semua untuk menyahut tawaran Allah yang amat hebat ini.
Semoga amal soleh kita semua akan diterima Allah SWT. Taqqabbalallah solih a’malana. InsyaAllah..
Wassalam
Lailatul Qadr
21 Sep 2008 1 Komen
by ibnrajab in ISU SEMASA, Puasa, Ramadhan almubarak
Bismillahirrahmanirrahim
Hari ini adalah hari ke-21 umat Islam berpuasa. Hanya tinggal beberapa hari lagi, tirai bulan mulia ini akan berlabuh. Beruntung sangatlah bagi orang yang mendapat hidayah Allah seterusnya merebut peluang menggandakan pahala amalan mereka di bulan mulia ini. Cuma bagi kita, kalau masih belum memulakan langkah bersungguh-sungguh dalam beribadat (khusus) itu, peluang 10 malam terakhir ini jangan lagi disia-siakan.
Semua sedia maklum bahawa, lailatul qadr adalah satu malam yang terlebih baik nilai amalan padanya dari 1000 bulan (83 tahun 4 bulan). Kalau seseorang berdoa, maka seoalah-olah berdoa selama itu. Kalau solat pun pahalanya seperti solat dalam masa itu. Apa sahaja amalan, akan dihitung dan digandakan dengan pahala amalan seribu bulan.
Namun perlu diingati bahawa, ada sesetengah ulama berpendapat bahawa, pada malam lailatul qadr itu juga, amalan yang tidak baik pun akan digandakan dosanya seperti amalan 1000 bulan. Kerana ayat tentang amalan itu umum. Kalau baik maka baiklah tetapi kalau sebaliknya, maka akan mendapat habuan sebaliknya. Sepatutnya umat Islam yang beriman peka dengan perkara ini. Kalaupun malas sangat untuk mendirikan malam lailatul qadr dengan amalan yang baik seperti solat, zikir, membaca al-quran dan lain-lain, janganlah pula melakukan maksiat pada malam tersebut. Lebih baik tidur daripada melalukan maksiat.
Lebih baik dicatat pahala tidur selama 1000 bulan. Oleh itu, sebelum tidur pada malam-malam terakhir ramadhan ini, eloklah dipasang niat yang ikhlas ingin bangun beribadah. Kalau boleh, ambillah wudhuk dahulu sebelum tidur. Bacalah surah-surah ringkas yang memang dihafaz seperti surah al-ikhlas, qul auzubirabbil falaq dan qul auzubirabbinnas itu. Jangan terlalu malas untuk mengucapkan selawat ke atas Rasulullah juga.
Lailatul qadr sebenarnya tidak diketahui oleh manusia bilakah ia. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Tetapi para ulama bersepakat ianya berlaku pada malam-malam bulan Ramadhan kerana al-Quran itu diturunkan pada bulan ini. Ayat yang menyatakan tentang malam lailatul qadr juga adalah ayat al-quran. Ulama juga bersepakat bahawa ianya berlaku pada malam-malam terakhir (10 malam terakhir) bulan Ramadhan berdasarkan hadith-hadith sahih daripada Rasulullah SAW.
Lailatul qadr ini hanya anugerah Allah kepada umat nabi Muhammad SAW sahaja. Tidak pernah ada pada zaman umat nabi-nabi sebelum Baginda. Inilah antara keistimewaan umat ini yang suatu ketika dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran “Kamu (umat akhir zaman) adalah sebaik-baik umat manusia”.
Suatu ketika Rasulullah bercerita kepada para sahabatnya. Bahawa umur umat-umat terdahulu panjang. Ada yang mencapai ribuan tahun seperti umat nabi Nuh. Tetapi purata umat nabi-nabi terdahulu adalah lebih daripada 80 tahun. Cuma umat akhir zaman ini, umur mereka kurang sedikit. Iaitu sekitar umur Nabi Muhammad antara 60-73 tahun sahaja. Nabi sendiri pun wafat pada umurnya 63 tahun.
Maka dengan itu, kerana Allah ingin sangat memuliakan umat Nabi Muhammad ini, maka dengan izinNya ditetapkan satu malam dalam setahun yang mana pahala amalan padanya adalah terlebih baik dari 1000 bulan. Bayangkanlah wahai saudara, betapa kasih dan sayangnya Allah kepada umat ini. Bayangkanlah sekiranya seseorang dapat menjenguk lailatul qadr setiap tahun dari umurnya 15 tahun (baligh) sehingga dia bertemu Allah (mungkin pada umur 63 tahun). Betapa banyak pahala amalan mereka itu.
Oleh yang demikian. Sangatlah dukacitanya seseorang yang kalaulah mereka tahu kelebihan ini, tetapi sengaja mengabaikannya. Lebih baik kita sedar pada masa sekarang yang masih boleh kita usahakan untuk mendapat lailatul qadr. Daripada kita disedarkan oleh Allah setelah mata kasar kita ini ditutup buat selama-lamanya dan dibukakan mata hakiki yang dapat melihat segala-gala yang dijanjikan Allah. Yang berbentuk pahala, dosa, syurga dan neraka itu.
Marilah kita menjadi yang terbaik daripada kalangan yang baik-baik. Kita boleh berusaha walaupun yang mengira terbaik itu adalah Allah.
Semoga bermanfaaat. Wallahu aklam.
Ajar anak puasa
13 Sep 2008 1 Komen
by ibnrajab in Bicara Agama, MY FAMILY, Puasa, Ramadhan almubarak
Bismillahirrahmanirrahim
Dalam sebulan puasa ini (tak cukup lagi sebulan sebenarnya), isteri ana selalu cakap pada anak lelakinya “Anak ustaz apa, tak malu tak puasa”. Kadang-kadang terpaling juga muka ana ini memandang wajah anak lelaki ana yang sulong itu. Dek ngomelan (ikhlas) ibunya. Kadang-kadang yang lain pula, ana tersoal diri sendiri, pada umur berapa ana dulu mula berpuasa?
Sebenarnya (dia) bukan tak puasa. Tapi orang kata ‘puasa separuh hari’. Adiknya selalu gelar ‘Abang puasa yok-yok’ dalam nada menyakat. Kadang-kadang tergelak juga melihat gelagat anak-anak. Sebab si adik tu sedap-sedap komen si abangnya. Walaupun dia sendiri awal pagi sudah merengek minta susu. Seingat ana dahulu, adiklah yang puasa (cukup) lebih awal dari diri ana sendiri.
Ada orang tanya ana “Ajar anak puasa dari umur kecil-kecil tu ada hadith tak ustaz? Ayat al-Quran ka?” Terpanggil juga ana untuk membelek-belek ayat al-Quran. Tercari-cari dalam tafsir. Kalau ikut ayat (mewajibkan puasa) 183 surah al-Baqarah itu, tuntutan puasa adalah ke atas orang Islam, akil dan baligh. Serta dibincangkan orang-orang (tadi) yang dibenarkan meninggalkan puasa seperti bermusafir, sakit juga hal-hal lain yang berkaitan seperti haid dan nifas.
Bila lihat hadith (yang dapat dicapai oleh ana sahaja) juga tidak ada yang mengaitkan puasa kanak-kanak secara langsung. Kalau ajar solat, hadithnya memang jelas. Sabda Rasulullah SAW “Ajarlah anak-anakmu solat ketika umur mereka tujuh tahun dan rotan mereka (sekiranya enggan solat) pada umur 10 tahun. Dan perbincangan ulama tentang hadith tersebut begitu panjang sehingga melampaui hukum ‘bunuh’ (yang perlu dijalankan oleh pihak berkuasa bukannya individu seperti ibu atau bapa) bagi mereka yang ‘ingkar’ solat setelah diberi peluang bertaubat. Dahsyat, dan anda jangan tidak tahu dan menganggap solat ini perkara remeh temeh.
Cuma apabila belajar ilmu usul fiqh. Di sana ada kaedah, seperti qias (membandingkan sesuatu yang tiada hukumnya (di sini ajar anak) dengan sesuatu yang telah jelas hukumnya). Fikir ana, kaedah ini mungkin digunakan dalam tuntutan mengajar anak berpuasa sejak awal. Seawal usia tujuh tahun. Dan juga merotan anak sekiranya enggan puasa pada umur sepuluh tahun. Sebab apa qias, kerana darjat tuntutan solat dan puasa berada pada tingkat (fardhu) yang sama.
Dan anda seperti ana, wajib mengajar anak-anak berpuasa sedari umur tujuh tahun (atau lebih awal) dengan menggesa mereka bertatih-tatih dalam melakukannya. Tak sempurna macam kita terus pun tak apa. Sekurang-kurangnya anak-anak tahu tuntutan yang sepatutnya dalam berpuasa.
Ajarannya pula bukan sekadar (dan terhenti setakat) meninggalkan makan dan minum sahaja, malah melampaui kepada perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Termasuklah juga mengajar untuk memperolehi puasa berkualiti dengan meninggalkan segala larangan-larangan Allah secara keseluruhannya. Seperti larangan membuka aurat, larangan berbohong dan sebagainya. Wajib ajar.
Paling penting mengajar mereka untuk solat. Kerana mengajar anak-anak berpuasa itu diambil daripada hadith mengajar anak-anak solat. Sudah tentu solat mendapat prioriti pertama kerana ia adalah asal. Jangan sekali-kali seronok ajar anak berpuasa tetapi tidak tegur langsung tentang solat mereka. Bahkan solat itulah asasnya. Tiang agama. Anak-anak yang rajin dan istiqamah solat, senang untuk berpuasa (secara berkualiti) sebenarnya. Tetapi bukan sebaliknya.
Bassyar, setelah diuli, dipujuk, diberi faham dan macam-macam, akhirnya semalam 12 Ramadhan, dia berpuasa penuh. Itulah puasa penuh pertama dalam sejarah hidupnya. Anak sulung ana (kami sebenarnya). Semoga semangat untuk berpuasa tersemadi dalam diri, akhirnya menjadi pemangkin ke arah mentaati segala perintah Allah seawal usia yang mungkin.
Rahsianya semalam kami merancang untuk berbuka puasa di rumah mak mertua ana. Berkumpul adik beradik belah isteri ramai-ramai. Berbuka sama-sama. Perkara ini diberitahu awal kepada Bassyar dan membayangkan kepadanya betapa seronok buka puasa ramai-ramai. Bersama sepupu-sepupu, bapa dan mak saudara serta atuk dan nenek. Alhamdulillah kami semua berbuka puasa semalam termasuklah Bassyar. Dalam mendidik anak ini, kadang-kadang perubahan mood dan suasana itu penting juga.
Semoga kita semua berjaya di dalam mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah. Beramal dan berpegang teguh dengan ajaran Islam sebagai jati diri mereka. Segalanya mesti berperancangan, iaitu bukan sekadar membanding anak-anak kita dengan anak orang lain. Kerana Allah SWT tidak menggunakan perbandingan dalam memberi pahala dan dosa kepada hamba-hambaNya, sebaliknya ilmu, iman, taqwa itulah nilaian di sisi Allah. Jauh sekali takabur dan menunjuk-nunjuk itu adalah ukurannya.
Sekian, wallahu aklam.
Matlamat Puasa Ramadhan 1
07 Sep 2008 3 Komen
by ibnrajab in Bicara Agama, Puasa, Ramadhan almubarak, Teks ceramah
Bismillahirrahmanirrahim
Khairu ma uhayyikum bitahiyyatil Islam. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, wassolatu wassalamu ala rasulillah, wa ala alihi wa atbaihi wa man walah.
Tuan iman, penghulu, muslimin, muslimat, hadirin hadirat yang saya kasihi sekalian. Terima kasih tuan imam dan hadirin sekalian atas peluang yang diberikan ini. Sesungguhnya tujuan saya bercakap pada pagi yang harmoni ini adalah untuk tazkirahkan diri saya sendiri sebenarnya. Kemudian kalau ada yang boleh dikongsikan oleh tuan-tuan, maka sama-samalah kita mengamabil manfaat daripadanya. Oleh itu, sekiranya ada terkasar bahasa, saya terlebih dahulu mohon ampun dan maaf. Sesungguhnya saya inginkan, hanyalah yang baik-baik belaka. InsyaAllah.
Pertamanya marilah kita merafa’kan syukur ke hadrat Allah kerana masih memberi peluang kita berada di sini dan pada Ramadhan kali ini. Maka dengannya dapatlah kita menambah bekalan persiapan menuju hari akhir. Sesungguhnya, kalau kita perhatikan, mungkin ada dalam kalangan kita, yang sebelum ini ada bersama-sama kita, tetapi mereka lebih dahulu dijemput oleh Allah.
Mungkin mereka ibu atau bapa kita, adik beradik kita, rakan karib kita, jiran kita atau siapa sahaja yang dahulunya dapat sama-sama menyambut Ramadhan dan sama-sama beribadah di dalamnya, kini mereka telah tiada. Mungkin akan tiba masanya, kita pula akan dijemput menghadap Ilahi. Tetapi, yang jelasnya, hari ini, diri saya termasuk tuan-tuan yang ada dihadapan saya ini, masih lagi diberi ruang dan peluang oleh Allah, menambah amal ibadah serta persiapan untuk dipersembahkan di hadapan al-Khalik kelak. Dan sebaik-baik persiapan kata Allah, adalah nilai taqwa.
Bersempena bulan Ramadhan yang Allah fardhukan ke atas diri kita berpuasa ini, marilah sama-sama kita semak kembali apakah matlamat daripada puasa ramadhan itu sendiri? Kerana setiap perkara, kita perhatikan ada bersamanya matlamat yang jelas. Apa sahaja yang kita lakukan, mestilah ada matlamat agar kita tahu apa yang hendak dicapai. Dan bagaimana mengusahakannya. Serta untuk motivasi juga.
Sebuah syarikat, ada matlamatnya, begitu juga pejabat kerajaan, pegawai kerajaan dan sesiapa sahaja, mereka semua ada matlamat di dalam melakukan sesuatu. Jika ia sebuah syarikat, maka matlamatnya sudah tentulah agar syarikat mereka maju, berkembang pesat, mendapat untung yang banyak, memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat dan sebagainya. Begitu juga kalau ia seorang guru, seorang pegawai kerajaan, sudah tentu ada matlamat. sebagai contoh untuk berkhidmat kepada masyarakat dan berbakti kepada negara. Agama dan bangsa.
Biasa jika seseorang pergi melapor diri untuk bekerja. Maka majikan akan ingatkan mereka terlebih dahulu, tentang matlamat pekerjaannya itu. Pekerja itu sendiri pun hendaklah sanggup dan bersedia berusaha bersama-sama dengan majikan dan para pekerja lain demi merealisasikan matlamat syarikat mereka. Pengantin baru juga, pada malam pertama, biasanya mereka membentangkan matlamat membina rumahtangga itu. Si suami menyatakan itu dan ini dibantu (lengkapkan) pula oleh si isteri. Agar matlamat menjadi jelas dan mudah diusahakan agar ia menjadi kenyataan.
Begitu juga halnya dengan puasa. Kalau manusia pandai tentukan matlamat yang hendak dicapai, maka Allah juga telah gariskan matlamat untuk mereka. Tak perlu susah-susah mereka fikirkan. Dalam ayat 183 surah al-Baqarrah, telah jelas Allah berfirman (mafhumnya): Wahai orang-orang beriman, telah ditentukan (diwajibkan) ke atas kamu berpuasa sepertimana telah ditentukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu mencapai (nilai) taqwa.
Daripada ayat ini, ada beberapa perkara yang boleh kita perhatikan. Pertamanya, matlamat puasa ramadhan yang jelas iaitu agar manusia berpuasa itu memperolehi nilai ketaqwaan. Taqwa merupakan suatu nilai perlu bagi manusia. Nilai taqwa berupaya menjadikan seseorang taat dan patuh segala suruhan dan larangan Allah. Nilai ini perlu diuar-uarkan kepada manusia sekerap yang mungkin agar mereka tidak lupa. Sehinggakan setiap kali khatib berkhutbah, pesanan kepada taqwa telah menjadi rukunnya. Sekiranya seorang khatib terlupa memesan taqwa ini, maka khutbahnya menjadi tidak sah.
Dan di sini, melalui ayat ini, Allah sebut sekali lagi bahawa, matlamat daripada kamu berpuasa adalah untuk mencapai taqwa. Oleh yang demikian, sepatutnya kita sedar. Kerana sebagai manusia biasa, kita akan mudah ingat dan mudah peka sekiranya sesuatu itu diulang-ulang sentiasa. Setiap hari jumaat diulang-ulanginya, baca ayat seruan puasa pula, telah nyata sekali lagi pesannya. Agar menjadikan matlamat berpuasa itu adalah taqwa.
Apabila seseorang sedar akan kepentingan taqwa, yang Allah SWT ungkapkan sebagai sebaik-baik bekalan ke hari akhirat (pada ayat al-Quran yang lain) itu, maka ia akan bertanya-tanyakan apakah nilai taqwa itu? Bagaimana cara mendapat dan memiliki nilai itu? Apakah ciri-ciri orang yang bertaqwa? dan pelbagai persoalan yang akan menjadikan mereka faham serta menjadikan mereka orang-orang yang praktikal taqwa. Bukan sekadar teori dan matlamat yang hanya menghiasi dinding-dinding pejabat sahaja, malah terpahat teguh di dalam hati serta digilap dan diasah setiap hari agar matlamat tersebut semakin hari semakin jelas, semakin hari semakin mulia dan tinggi nilainya.
Apakah nilai taqwa? Secara ringkasnya sebagaimana yang saya sebutkan tadi, taqwa adalah taat dan patuh segala arahan dan larangan Allah. Ianya boleh diterjemahkan atau boleh ditafsirkan, dihuraikan melalui pelbagai cara. Sebagai contoh, seorang khatib yang berpesan (taqwa) kepada para ahli jemaah apabila memulakan khutbah, selepas itu beliau akan bercakap pula berkenaan dengan kasih sayang, sifat-sifat mulia seperti sabar, menghuraikan tentang pengharaman judi, riba dan sebagainya. Itu merupakan syarah, atau tafsiran, atau pendetailan kepada nilai taqwa itu sendiri. Maka setiap tajuk khutbah dan segala isi-isinya itu adalah penjelasan kepada nilai taqwa yang ingin dicapai itu.
Sebagai contoh yang lain, dalam bulan ramadhan ini, sekiranya seseorang bercakap tentang keihklasan mereka berpuasa. Tingkatan dan darjat puasa yang berbeza-beza. Ada puasa orang awam, ada puasa tingkatan khusus dan ada pula tingkatan khususul khusus. Itu juga merupakan penjelasan terperinci tentang taqwa. Sekiranya anda melihat kepada sifat menahan diri pada bulan puasa, yang bukan sahaja terhad kepada menahan diri daripada makan dan minum sahaja, bahkan jauh daripada itu, menahan diri daripada segala kemahuan nafsu seperti mengata orang, melakukan muamalah riba dengan menyimpan di bank-bank riba, mengambil hiburan yang melalaikan, melihat aurat orang lain, melakukan rasuah, pecah amanah dan sebagainya yang dilarang dalam agama, maka itulah nilai taqwa yang hendak dicapai.
Sebab itulah secara ringkasnya, taqwa ini diertikan sebagai, melakukan setiap suruhan Allah dengan penuh keihklasan, serta meninggalkan larangan Allah dengan ikhlas juga. Diringkaskan lagi dengan ayat: melakukan taat dan meninggalkan maksiat. Maka apa sahaja yang menjurus kepada itu, ia adalah taqwa. Dan perkara ini tidak akan datang bergolek ke pintu rumah kita. Ia perlu dipelajari. Dituntut dan dicari. Sebab itu, kita tidak boleh rasakan bahawa ilmu kita ini telah lengkap. Kita perlu menjadi penuntut ilmu sampai bila-bila, samada secara rasmi (seperti belajar di universiti) atau tidak rasmi seperti di masjid dan surau ini, dan sebagainya. Hari ini, saluran untuk menambah ilmu agama memang luas dan banyak. Terpulang kepada kita untuk mengikutinya.
Jadi sekadar itu dahulu untuk sesi kali ini, insyaAllah panjang umur kita akan sambung bicara lagi. Dengan itu, saya memohon ampun dan maaf sekiranya ada terkasar bahasa sepanjang sesi tazkirah ringkas ini. Sekali lagi terima kasih kepada tuan imam kerana sudi memberi laluan untuk saya pada pagi ini. Aqulu qauli haza, wa astaghfirullaha li wa lakum ajmain, walhamdulillahi rabbil alamin. Wallahu aklam, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Doa tarawih
02 Sep 2008 8 Komen
by ibnrajab in Himpunan Doa, Ramadhan almubarak
Bismillahirrahmanirrahim
Di sini ana tulis semula doa akhir solat tarawih (sila klik pada gambar untuk melihat dan membaca doa tersebut dalam saiznya yang asal). Untuk rujukan dan amalan kita semua. Banyakkanlah berdoa pada bulan Ramadhan yang dijanjikan istijabah (penerimaan) doa padanya itu. Terutama pada malam-malamnya. Doa yang lebih diterima Allah adalah doa yang disusuli selepas solat fardhu ataupun sunat.
Sekiranya anda ingin memiliki doa tersebut dalam format MS Word, sila klik di sini. Semoga setiap amalan kita di bulan yang sangat mulia ini akan diterima oleh Allah SWT.
Selamat berpuasa Ramadhan.. Allahu yataqabbal minna ajmaen
Wassalam.
20 atau 8?
01 Sep 2008 1 Komen
by ibnrajab in Bicara Agama, Ramadhan almubarak
Salamullahi’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..
Pernah suatu ketika, seorang imam bertanya apabila ana datang untuk solat tarawih di masjid. “Apa pendapat ustaz kerana kami buat solat tarawih 20 rakaat. Ada orang kata lebih baik buat 8 sahaja kerana Nabi pun buat 8 rakaat. Cuma sahabat Nabi melakukan sehingga 20″ Kemudian dia menambah “Kami buat macam orang tua-tua dulu buat. Baca surah pendek-pendek je. Kalau ada juga orang nak buat 8, maka dia buatlah. Bagi yang nak cukupkan 20, terpulanglah juga”.
Ana menjawab dengan sebuah cerita yang pernah dinukilkan oleh seorang guru. “Macam pakai baju juga. Ada orang suka warna biru, ada pula suka warna hijau. Kalau tidak masakan habis kain di kedai itu dijual. Asalkan jangan tidak pakai apa-apa sudahlah” Jawapan itu sebenarnya diperhatikan setiap ahli jemaah yang turut tertawa kecil. Malu-malu.
Ana sambung cerita “Biasanya kalau orang pakai baju, dia suka baju baru. Baju yang cantik-cantik. Kalau baju itu kotor, dia basuhkan. Terutama kalau nak pergi ke mana-mana. Orang tak pergi Kota Bharu tu tanpa pakai baju” Sekali lagi kedengaran ketawa kecil para hadirin. Kali ini pak imam pun turut tersenyum.
Tiba-tiba ada ahli jemaah yang mencelah “Nak pergi Kota Bharu ustaz, nak pergi kenduri mesti pakai baju comel-comel”. Diikuti ketawa mereka yang semakin jelas.
“Ada orang kalau duduk rumah, mereka tak pakai baju. Cukup dengan kain pelikat saja. Panas katanya. Sebab kat rumah, mereka tak (ada perasaan) malu pada sapa-sapa. Tapi kalau datang surau tak pakai baju, pergi Kota Bharu tak berbaju, takut orang kata ‘gila’” Sampuk salah seorang ahli jemaah lagi. Kali ini imam dan rakan jemaah yang lain ketawa sama-sama.
“Terutama sekali orang perempuan, mereka ni nak pakai baju lawa-lawa sokmo, hok buruk toksey” Jawab imam dengan nada mengandungi sedikit sindiran kepada ahli jemaah wanita. Turut diikuti ketawa yang sederhana oleh semua orang.
Ana fikir, mereka telah faham bahasa kiasan menerusi cerita yang dipesankan oleh guru ana itu tadi. Kalau boleh, kita perlu mempersembahkan ibadah yang terbaik ikhlas kerana Allah. Tanpa paksaan. Kalau sebelum ini tak pernah solat tarawih, buatlah tahun ini. Kalau dulu asyik buat solat 8 rakaat, cuba-cubalah tambah bilangan rakaat solat tersebut pada tahun ini. Kalau sebelum ini bacaannya adalah yang pendek-pendek sahaja, kali ini bacalah ayat-ayat yang panjang sikit. Secara fitrahnya, semua orang dapat membezakan yang baik daripada yang paling baik. Saje je tanya.
Ana teringat satu lagi pesan guru “Kalau tahun lepas tak pernah solat 20, tahun ini buatlah. Kalau tahun lepas baca ayat lazim, tahun ini baca panjang sikit. Kalau tahun lepas solat sebelah rumah dengan bilangan rakan jemaah yang sedikit, tahun ini carilah tempat yang ramai orang sikit. Baru ada suasana dan terasa meriahnya. Mana tahu, kalau tahun ini adalah yang terakhir berjumpa Ramadhan, jumpa tarawih. Tak malu ke jumpa Allah dengan memakai baju yang sama?”
Apatah lagi orang sekarang ini kadang-kadang ada orang tak sempat nak solat tarawih. Bukan itu sahaja, ada juga yang tak solat fardhu pun. Apalah nasib umat Islam hari ini. Terutama sekali di bandar-bandar. Kalau dalam sebuah taman itu, yang datang ke surau untuk solat berjamaah tak sampai dua saf pun. Padahal kalau diikutkan, kalau datang semua umat Islam yang duduk di situ, memang empat kali besar surau tu pun tak muat. Di manakah mereka? Apakah terlalu sibuk dengan kehidupan dunia yang sementara?
Bangunlah. Semaklah kalau-kalau ia (yang liat untuk solat itu) adalah diri kita. Bertaubatlah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat. Sebab itu Dia masih panjangkan umur kita, untuk memberi kita peluang bertaubat dan kembali ke jalan yang Allah redha. Semak jugalah kalau mereka yang tak solat itu adalah anak-anak kita. Atau sanak saudara terdekat kita. Adik beradik kita. Sepupu kita. Sahabat atau rakan kita. Jiran kita dan sebagainya.
Sesungguhnya kita bukan sahaja bertanggungjawab ke atas diri sendiri sahaja. Kita juga ada tanggungjawab sosial. Islam itu adalah masyarakat. Bukannya nafsi-nafsi. Fikirkanlah untuk melakukan sesuatu. Nescaya kita akan nampak peluang untuk menyumbang ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang mengamalkan Islam secara syumul (keseluruhan). Ianya sudah pasti bermula dengan diri sendiri, keluarga dan seterusnya umat Islam semua sekali.
Meriahkanlah Ramadhan ini dengan berpuasa di siang hari. Kemudian dengan pengisian rohani di malam hari. Ambillah peluang ‘Sale’ yang Allah sediakan setahun sekali ini. Sediakan diri kita untuk masuk ke sekolah Ramadhan seterusnya untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran di dalamnya.
Apatah lagi kerana guru sekolah Ramadhan ini adalah Allah sendiri. Ikutilah segala peraturan apabila anda masuk ke sekolah ini. Walaupun anda terpaksa memaksa diri pada permulaannya, nescaya lambat laun anda akan dapati keikhlasan pula yang datang. Sabar dan menahan diri itu adalah sebahagian daripada nilai puasa. Banyak-banyaklah bersabar dalam belajar. InsyaAllah anda akan beroleh kejayaan yang cemerlang. Buat bekalan menghadapi 11 bulan lagi.
Sekian, wallahu aklam.






Komen Terbaru