Wajarkan saya terus memiliki kad kredit?

Walaupun Bajet 2010 telah diumumkan tahun lepas, pelaksanaan cukai perkhidmatan kad kredit sebanyak RM50 terus menjadi perbincangan hangat di kalangan rakyat Malaysia. Soalan yang kerap kali diajukan ialah: “Wajarkah saya terus memiliki kad kredit dan membayar RM50 cukai perkhidmatan atau patutkah saya batalkan sahaja kad kredit tersebut?”

Dalam artikel ini, kita akan membincangkan perkara-perkara yang harus diketahui semasa mempertimbangkan sama ada untuk membatalkan atau terus memiliki kad kredit. Setelah membaca artikel ini, anda bolehlah mempertimbangkan kelebihan dan kekurangan yang ada pada kad kredit dan kemudiannya membuat keputusan sendiri sama ada untuk terus memiliki atau membatalkan kad kredit yang dimiliki.

Lagi

Caj IBG telah selaras

Berkuatkuasa 8 Februari 2010, caj IBG (Internet Banking Giro) bank Islam telah diselaraskan kepada RM2.00 untuk setiap transaksi sama seperti caj IBG yang dikenakan oleh bank-bank lain di Malaysia. Kalau sebelum ini, bank Islam inilah antara yang mengenakan caj IBG terendah iaitu RM0.50 setiap transaksi (sehingga 2 transaksi pertama dalam sebulan).

Kebetulan hari tersebut (8 Februari 2010) ana melakukan transaksi untuk membayar bil kad kredit. Sebenarnya terkejut juga kerana biasanya dipotong caj sebanyak RM0.50 sahaja tetapi hari itu dipotong RM2.00 pula. Apabila menyemak laman web bank Islam, caj lama masih terpapar di sana, iaitu RM.050 untuk dua transaksi pertama. Untuk kepastian, satu email dihantar kepada pihak bank.

Lagi

Caj kad kredit 2

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullah dan salam sejahtera

Tulisan ana ini ada kaitan dengan entry yang lalu. Klik untuk membaca.

Semalam ana menerima satu email daripada pihak bank pengeluar kad kredit yang sedang digunakan. Pihak bank memaklumkan bahawa caj kad kredit sebagaimana yang telah ditetapkan oleh kerajaan melalui bajet tempohari akan berkuatkuasa pada bulan Januari 2010 atau pada bulan sepatutnya kad kredit itu tamat. Contohnya, jika kad kredit anda tamat pada bulan April 2012, maka bermula April 2010 caj tersebut akan mula dikenakan. Bagi mereka yang tamat pada bulan Januari, maka akan membayarnya lebih awal sedikit lah.

Lagi

Jadual gaji kakitangan awam 2010


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam perpaduan

Melihat kepada statistik kunjungan pelawat IbnRajab Online ini, didapati masih ramai dalam kalangan pengunjung yang berminat melihat (view) entry Jadual Pembayaran Gaji Kakitangan Awam. Maka sekali lagi, dan mungkin tahun ini lebih awal ana panjangkan jadual pembayaran gaji kepada kakitangan awam untuk tahun 2010 sebagai rujukan dan panduan semua pengunjung. Rancanglah kewangan dengan bijaksana semoga setiap yang kita dapat akan bermanfaat.

Lagi

Caj Kad Kredit

Bismillahirrahmanirrahim
Salamullahi alaikum warahmatuhu wabarakatuh dan salam sejahtera,

Kerajaan melalui pembentangan bajet 2010, telah mencadangkan dan berhasrat mengenakan caj tahunan sebanyak RM50 kepada setiap pemegang kad kredit utama dan RM25 kepada setiap pemegang kad kredit tambahan. Caj tersebut akan tetap dikenakan walaupun kepada pemilik kad-kad kredit yang telah diiktiraf oleh pihak bank pengeluar sebagai ‘percuma seumur hidup’.

Sesungguhnya keputusan kerajaan tersebut telah sedikit sebanyak mengejutkan para pemegang kad kredit di seluruh negara. Sama ada kepada pemegang kad kredit yang sedang menanggung beban hutang kad kredit, ataupun mereka yang tidak langsung terlibat dengan hutang berkenaan. Sama ada mereka yang memiliki satu sahaja kad kredit kerana keperluan atau mempunyai berbilang kad. Tidak dinafikan ana secara peribadi juga turut terkejut dengan tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan berkenaan. Apa tidaknya kerana ana adalah salah seorang daripada sejumlah 11 juta rakyat yang memiliki dan menggunakan kad kredit di negara ini.

Lagi

Zakat 1430H/2009

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sukacita ana memanjangkan makluman yang dikeluarkan oleh pejabat Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bahawa kadar zakat harta bagi tahun ini (1430H/2009) adalah RM8,422.14 (Ringgit Malaysia: Lapan Ribu Empat Ratus Dua puluh dua dan sen empat belas sahaja) bagi seluruh rakyat Negeri Kelantan Darul Naim.

Oleh yang demikian, sesiapa yang mempunyai kadar wang simpanan (kecuali dalam akaun Tabung Haji, Bank Rakyat dan institusi-institusi perbankan atau pelaburan yang telah menyediakan perkhidmatan mengeluarkan zakat bagi pihak pendeposit) melebihi nisab RM8,422.14 itu hendaklah mereka sedar keperluan serta kewajipan (fardhu) mengeluarkan zakat sebagaimana yang diarahkan oleh Allah SWT selaku Pencipta dengar kadar 2.5%.

Lagi

Rayuan Tabung Haji

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang rayuan mengerjakan ibadah haji yang boleh diajukan kepada pihak pengurusan Tabung Haji. Mengikut pengalaman ana sendiri, memang pihak Tabung Haji tidak menyediakan apa-apa borang atau format berkaitan rayuan tersebut. “Kalau adapun rayuan yang berbentuk surat rayuan, yang dihantar oleh pihak pendeposit kepada Tabung Haji, kami memang terima surat itu tetapi tidak menjamin bahawa kami mampu menyediakan tempat bagi mereka mengerjakan haji pada tahun berkenaan” komen salah seorang pegawai Tabung Haji yang menjawab pertanyaan ana.

Mengikut pegawai tersebut, memang pihak pendeposit Tabung Haji ada niat mengerjakan haji, kalau tidak masakan mereka menyimpan atau menabung di Tabung Haji. Sekurang-kurangnya tindakan mereka berurusan dengan pihak Tabung Haji itu telah menunjukkan suatu reaksi positif terhadap apa yang mereka niatkan. Iaitu mengerjakan ibadah haji. Selain itu ia menyenangkan mereka melakukan simpanan sedikit demi sedikit sehingga mampu mengerjakan ibadah rukun Islam yang kelima itu.

Mengikut had kouta sekarang, kalau seseorang itu mendaftar haji pada tahun ini, kemungkinan beliau dapat menerima tawaran atau giliran melakukan haji pada tahun 2020. Atau dengan perkataan lain terpaksa menunggu lebih dari 12 tahun. Oleh itu, tindakan awal pendeposit mendaftar haji adalah wajar. “Kalau dah niat, daftarlah segera..” sambung pagawai tadi.

Cuma, sekiranya pihak pendeposit ditimpa musibah yang menjejaskan tahap kesihatannya, maka pihak Tabung Haji sebenarnya membuka ruang sekiranya mereka ingin membuat rayuan agar dipercepatkan gilirannya menunaikan ibadah haji. Seperti mereka yang telah sembuh dan telah mendapat perakuan Dr. pakar berkenaan kemampuannya menunaikan ibadah haji. Sekiranya mereka tunggu kemungkinan tahap kesihatan mereka menjadi bertambah buruk. Sebagai contoh, pengidap strok yang telah sembuh mereka amat terdedah kepada risiko serangan kali kedua atau berikutnya.

Setelah pihak Tabung Haji menerima surat rayuan daripada pihak pendeposit, mereka biasanya (mengikut pengalaman beberapa jiran dan relatif) akan hantar satu surat menolak rayuan tersebut. Alasan yang diberikan biasanya kerana kuota telah penuh.

Tetapi pada pandangan peribadi ana, pihak Tabung Haji sebenarnya tidaklah menolak 100% rayuan tersebut. Mereka masih memproses rayuan berkenaan berdasarkan no. rujukan surat balasan berkenaan. Sekiranya ada peluang, nama pendeposit yang merayu itu tadi akan mendapat pertimbangan. Betullah kata pegawai tabung haji itu “Pakcik ada hak merayu..”

Kronologi proses rayuan salah seorang pendeposit TH
20.06.2006
- Sepasang suami dan isteri mendaftar untuk menunaikan ibadah haji di Pejabat Tabung Haji. Tarikh giliran menunaikan haji yang tertera pada slip itu adalah pada tahun 2014.

17.02.2008 – Si suami diserang angin ahmar (strok)

02.03.2009 – Si suami diakui 99% telah sihat dan diperakukan (oleh Dr. pakar) boleh melaksanakan ibadah haji. Sehubungan itu,  satu surat rayuan telah dihantar ke Pejabat Tabung Haji dengan disertakan surat akuan Dr pakar tadi untuk membolehkan si suami dan ditemani oleh si isteri termasuk dalam senarai peserta jemaah haji tahun 2009. Mengikut pendapat Dr. yang disampaikan secara lisan kepada si isteri, penyakit si suami boleh menyerang lagi dan serangan berikutnya adalah lebih teruk.

13.04.2009 – Surat dari Tabung Haji menolak rayuan mereka suami isteri menunai haji pada tahun ini.

16.08.2009 – Pegawai Tabung Haji datang sendiri ke rumah sepasang suami isteri tersebut membawakan perkhabaran gembira, mereka telah terpilih untuk menunaikah haji tahun ini. Segala persiapan perlulah dilakukan segera kerana jemaah haji pilihan biasa telah melakukan semua itu sejak sebulan yang lalu.

Kesimpulan
Kalau anda telah berniat untuk melaksanakan ibadah haji (anda memang perlu bahkan wajib meniatkannya), maka segeralah menabung dan mendaftar haji di Pejabat Tabung Haji serta lakukanlah potongan bulanan ke atas tabungan tersebut. Kalaupun jangkamasa yang perlu anda tunggu itu terlalu lama, tetapi sekiranya anda berdepan dengan  keadaan-keadaan rumit yang mewajarkan anda dipertimbangkan, agar giliran anda itu dipercepatkan, maka buatlah rayuan. Kalaupun ia ditolak, jangan berputus asa. Berdoa dan bertawakkallah! InsyaAllah, Dia Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani..

Wallahu aklam.

p/s: Untuk membuat rayuan menunaikan haji, pendeposit tidak perlu memastikan jumlah keseluruhan kos mengerjakan haji telah mencukupi dalam akaun mereka terlebih dahulu. Asalkan mereka mempunyai sebab yang munasabah spt tahap kesihatan, terus sahaja buat rayuan. Sekiranya terpilih, barulah berusaha memenuhi jumlah yang sepatutnya ada bagi menampung kos saraan haji pada tahun tersebut. InsyaAllah, bantuan Allah itu amat luas kepada hamba-hambaNya yang bertaqwa dan berserah diri kepadaNya..

p/s 2: Tahniah buat mak dan ayah ana yang pada saat-saat akhir telah terpilih (hari ini) bagi mengerjakan haji pada tahun 2009.. Laqad taqabbalallahu niyyatakum! Semoga Allah mempermudah segala urusan. Amienn..

Sumbangan ibubapa

Bismillahirrahmanirrahim

Allah SWT melalui firmannya (Isra:23) sengaja menyuruh hamba-hambaNya yang beriman agar sentiasa berbuat baik kepada kedua ibubapa. Manakala dalam surah Luqman, Allah mewasiatkan hamba-hambaNya agar kekal bersahabat yakni berbuat kebaikan kepada ibubapa walaupun mereka masih kekal di dalam agama asal (tidak beriman kepada Allah) Firman Allah bermaksud: “Dan jika keduanya memaksamu agar mempersekutukan Aku (melakukan syirik) dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, Maka janganlah kamu mengikuti keduanya, sebaliknya bergaullah dengan kedua mereka di dunia dengan baik (Luqman:15)

Melalui hadith yang disandarkan kepada Rasulullah SAW pula, banyak sekali terdapat pesan Baginda mengenai berbuat kebaikan kepada orang tua. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW diriwayatkan sebagai menjawab soalan seorang sahabat berkenaan dengan siapakah yang paling layak untuk menerima kebaikannya lalu Rasulullah menjawab “ibumu” sebanyak tiga kali kemudian “bapamu” pada kali yang keempat. Di dalam hadith yang lain Rasulullah SAW diriwayatkan menyuruh sabahat-sahabatnya mengumpul kayu api untuk membakar seorang anak yang terlalu sukar melafazkan kalimah syahadah semasa nazaknya kerana dosa-dosa terhadap ibu, sehingga akhirnya si ibu berkenaan mengampunkan dosa si anak tersebut, maka dengan mudah beliau melafazkan kalimah suci itu untuk kembali ke rahmatullah.

Ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith tersebut memberi pengajaran betapa peri pentingnya berbuat kebaikan kepada kedua ibupada selain ada dosa yang dikenakan sekiranya si anak menyakiti kedua orang tuanya. Beratnya dosa sehingga sukar melafazkan dua kalimah syahadah ketika hendak meninggal dunia. Berbahagialah dan sejahteralah anak-anak yang telah dan selalu melakukan kebaikan kepada kedua orang tua mereka.

Tanggungjawab wajib
Tanggungjawab berbuat kebajikan kepada ibubapa haruslah dipikul bersama, sama ada oleh anak lelaki atau anak perempuan. Walaupun dalam ayat al-Quran dan hadith di atas, khitabnya (sasaran) secara langsung kepada anak lelaki, tetapi ia juga termasuk anak perempuan mengikut kaedah ‘al-ibrah bi umum al-lafz la bi khusus al-sabab’. Tetapi tanggungjawab anak lelaki lebih utama dan mengikut kefahaman ana ia adalah fardhu (wajib). Oleh kerana itulah, mungkin (pada pandangan peribadi ana juga) hikmah Allah menetapkan 2 bahagian harta pusaka orang tua kepada anak lelaki berbanding 1 bahagian jatuh kepada anak perempuan, kerana tanggungjawab anak lelaki adalah lebih besar berbanding anak perempuan. Anak lelaki bertanggungjawab (wajib) kepada kedua orang tua, saudara-saudara perempuannya yang masih belum berumahtangga dan tanggungjawab juga kepada keluarganya sendiri (iteri dan anak-anak) manakala anak perempuan hanya bertanggungjawab ke atas dirinya sahaja di samping kebergantungan mereka pula kepada lelaki sama ada ayah atau saudara lelakinya (sebelum kahwin) ataupun suaminya (setelah berkahwin).

Terdapat pelbagai cara dan bentuk melakukan kebaikan yang boleh dilakukan kepada orang tua sekiranya mereka masih ada. Kebaikan tersebut pula perlulah memenuhi kehendak fizikal (luaran), perasaan (dalaman) malah sehingga keperluan spritual.  Kehendak fizikal itu seperti memenuhi keperluan makan, minum, pakaian, kewangan, tempat tinggal yang selesa dan sebagainya. Kehendak perasaan pula seperti keperluan bertanya khabar dan keinginan mereka, pulang menziarahi mereka, meluangkan masa bersama mereka, merawati kesakitan mereka dan sebagainya bagi mempastikan mereka berada di dalam keadaan kesihatan dan ketenangan fikiran yang baik. Manakala kehendak spritual pula seperti membantu memudahkan atau kalau mampu memandu mereka pada melakukan lebih ketaatan kepada Allah dengan bersolat jemaah bersama, berpuasa dan berbuka bersama, melakukan haji atau umrah bersama dan sebagainya.

Bantuan kewangan
Kebanyakan orang tua yang bekerja pada masa muda, mereka akan menikmati wang pencen selepas bersara. Perkara ini dapatlah sedikit sebanyak meringankan beban kewangan, kerana kini mereka sudah kurang mampu melakukan pekerjaan bagi mendapatkan sumber kewangan tersebut. Wang ganjaran pencen ataupun kwsp yang diterima secara lumsum pula (sekiranya tidak diusik oleh anak-anak) boleh dilaburkan dalam mana-mana institusi pelaburan yang memberikan pulangan lumayan. Bonus pelaburan yang diterima saban tahun itu pula adalah sebagai sumber tambahan yang dapat memenuhi keperluan bagi membiayai mereka untuk melakukan umrah setahun sekali, membuat persiapan menyambut hariraya atau dikeluarkan bulan-bulan sebagai amaun tambahan kepada pencen bulanan sedia ada.

Namun bagi sesetengah orang tua yang kurang bernasib baik, yang bergantung hidup kepada ‘kais pagi makan pagi’ pada masa mudanya, dan banyak mengeluarkan belanja untuk membesarkan anak-anak sehingga kesenangan hidup mereka di masa tua turut digadaikan. Mereka ini tidak ada pencen bulanan, tulang empat kerat pun sudah tidak seteguh dulu, manakala tahap kesihatan pula kurang memuaskan bagi membantu mereka meneruskan pekerjaan yang dapat memberikan pendapatan. Sekadar bercucuk tanam di halaman rumah untuk mementenkan kesihatan itu, cukup untuk itu sahaja. Nak berjual seperti waktu muda, mereka memang sudah tidak mampu lagi. “Dulu makcik jual hasil tanaman, dapat RM10 pun dapat beli itu dan beli ini, kini hanya mampu ditukarkan dengan ikan, itupun kadang-kadang tak cukup sekilo” antara ungkapan yang selalu ana dengar. Maksudnya, hasil tenaga sudah tidak dapat menampung hatta keperluannya sendiri pun.

Sebab itulah bantuan anak-anak berbentuk sumbangan kewangan kepada orang tua sangat-sangat mereka perlukan. Di zaman mereka dulu, tak perlu bayar bil-bil, dan kalau bayar pun jarang sangat yang melebihi RM5. Tetapi di zaman ini sewaktu tenaga sudah tidak mampu dijanakan lagi, komitmen bil-bil pun boleh mendatangkan penyakit darah tinggi. Kadang-kadang untuk membeli makanan pun tidak mampu juga dan terpaksa berhutang. Nak mengadu kepada anak-anak, mereka pun kata “kami pun hutang mak…”

Memang agak sukar menguruskan kewangan pada zaman ini. Kerana keperluan manusia sentiasa dirancang melebihi kemampuan pendapatan mereka dan paling kritikal kerana bajet kebanyakan seseorang tidak mengambil kira saat-saat ujian Allah yang melibatkan kewangan seperti sakit, kematian, hatta bocor tayar kereta sekalipun. Kebanyakan mereka melakukan bajet seperti akan sihat sepanjang hayat, tidak terlibat dengan kes-kes kecemasan, tidak perlu peruntukkan kewangan untuk perkara-perkara yang tidak diduga. Banyak antara mereka suka perhabiskan semua yang dapat, hatta yang belum dapat pun (seperti bonus) dah ada perancangan ke mana hendak dipergunakannya.

Sepatutnya manusia hari ini mengaplikasi saranan Rasulullah SAW dalam berbelanja, iaitu hanya merancang dan mengurus kehidupan berdasarkan 1/3 nilai pendapatannya sahaja. Baki 2/3 lagi adalah untuk simpanan dan dibelanjakan ke jalan Allah termasuklah kebajikan kepada ibubapa. Sebagai contoh, sekiranya pendapatan mereka RM2100 maka mereka merancang dan mengurus kehidupan dalam kadar RM700 sahaja (1/3×2100) dan perlu mereka memberitahu kepada diri sendiri bahawa nilai 700 itulah pendapatan bulanan mereka. Jalanilah kehidupan berdasarkan nilai 700 itu. Berumah, berkereta, makan dan minum dalam lingkungan RM700 sebulan. Mereka perlu fahamkan diri kalau semuanya hendak yang besar-besar, hati pula ingin menandingi orang lain maka akhirnya tertinggallah kewajipan kepada orang tua yang semasa sihat dan muda mereka bersusah payah membersarkan dan menyekolahkan anak-anak. Bukan dengan nilai 1/3 daripada kehidupan mereka laburkan, seluruh harta benda mereka keluarkan kerana pada anggapan mereka, anak-anak adalah aset mereka dan kekayaan mereka kelak.

Tetapi apa jawab anak-anak kepada orang tua mereka? “saya pun hutang mak..”

Apa yang lebih teruk lagi ialah apabila anak dah besar-besar hatta yang dah beranak pinak pun masih bergantung dan berharap kepada ihsan kedua orang tuanya. Lalu berkelahilah anak-anak di hadapan orang tua yang masih sakit atau sedang sakit atau mula menunjukkan tanda-tanda hendak pergi selama-lamanya, seperti yang diketengahkan dalam filem ‘Tiga Abdul’ ilham P.Ramlee itu. Kerana nak sangat ikut nafsu dan lupa pula pada saranan nabi, maka mereka lupa juga bahawa mereka adalah berasal daripada keluarga ‘kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang dan malam’.

Kalau dulu dengan rezeki ‘kais pagi makan pagi’ itulah mak dan ayah dapat besarkan mereka dengan pelajaran, tetapi hari ini gaya kehidupan ibubapa sudah ditinggalkan jauh seperti jauhnya timur dari barat atau lebih jauh daripada tingginya langit dengan bumi. Tanpa segan mereka berkata “saya pun hutang mak..” sedangkan mak berhutang untuk meneruskan kehidupan tetapi mereka berhutang untuk bermewah-mewahan.

Jalan keluar
Memang sukar kalau seseorang hendak memberi wang sebanyak RM500 sekaligus kepada orang tuanya berbanding not RM50. Apatah lagi kalau RM5000 lagilah berfikir panjang. Tetapi kalau anak-anak buat terus buat potongan daripada gajinya secara bulan-bulan, mungkin tak terrasa sangat. Katakanlah kalau buat potongan RM250 sebulan (10% daripada gaji anak RM2500) ia telah mencapai RM3000 (tiga ribu ringgit) untuk tempoh setahun. Tidakkan terlalu sukar seorang anak nak hulurkan not 3000 pada satu-satu masa kepada mak, sedang ia dapat buat banyak benda dengan jumlah itu? Tetapi mungkin bukan terlalu sukar kalau ia RM250 yang dipotong bulan-bulan.

Kelebihan membuat potongan bulanan kepada orang tua, selain ia tidak memberikan ‘rasa’ sangat kepada anak, ia membantu anak menguruskan kehidupan mereka dengan lebih baik. Kerana orang biasanya akan melihat kepada jumlah gaji bersih mereka tiap bulan untuk buat bajet keluarga. Itulah rasionalnya mereka yang buat pinjaman kereta dengan gov loan, pinjaman perumahan dengan gov loan, kerajaan akan tolak terus daripada gajinya. Sebab itulah juga kalau diselidiki data orang yang tidak mampu menguruskan kewangan dengan baik adalah mereka yang bayar loan kereta, loan rumah dengan ‘cash’ di bank. Dan kerana mereka masih berfikiran bahawa jumlah gaji mereka adalah terlalu besar tanpa memikirkan hak-hak yang dituntut daripada gaji tersebut.

Macam itulah juga kisahnya bagi anak-anak yang tidak membuat potongan bulanan ke akaun ibubapanya. Mereka tidak ada rasa bahawa dalam jumlah pendapatan mereka itu sebenarnya ada hak yang perlu diberikan kepada kedua orang tua. Tiada rasa tanggungjawab (wajib) itu. Kalau ada rasapun, bila mereka nak berikan dalam jumlah yang agak besar, mereka pasti terfikir dua tiga kali. Akhirnya tak jadi.

Opsyen potongan gaji bulanan untuk saraan ibubapa disediakan oleh Tabung Haji. Apa yang anak perlukan adalah, apabila dapat sahaja pekerjaan, dan dah ada slip gaji, silalah ke pejabat tabung haji untuk isi satu borang potongan gaji secara bulanan. Ia mengizinkan anak mengagihkan potongan berkenaan dimasukkan ke akaun ibubapanya. Isikan amaun tertentu dengan niat menjalankan tanggungjawab kerana Allah dan kemudian ‘lupakannya’. Tiada caj dikenakan oleh tabung haji untuk perkhidmtan ini.

Selain itu, anak-anak boleh buat arahan tetap melalui bank di mana gaji mereka dibayar. Arahan yang dikenali sebagai DDI (Direct Debit Instruction) ini memberi izin kepada pihak bank secara tetap bulan-bulan, untuk memotong jumlah yang ditetapkan dan dimasukkan ke akaun tertentu (cth akaun ibubapa). Perkhidmatan ini dikenakan caj yang berbeza-beza mengikut peraturan bank yang berlainan dari satu bank dengan yang lain.

Keberkatan
Seorang ibu pernah bercerita kisah dan pengalaman seorang anaknya yang memasukkan (cash) ke akaun ibunya sebulan sebanyak RM400 (awal kerja). Setelah dua tahun (berkahwin) dan pada satu bulan tertentu, si anak tidak memasukkan wang tersebut ke akaun ibunya sebagaimana selalu kerana kemungkinan ia perlukan duit tu.

Selang dua tiga hari kemudian si anak menelifon ibunya memberitahu cermin kerete hadapannya pecah hanya kerana terkena percikan kecil daripada batu di tempat parkir kereta dan kos menggantikannya adalah RM400. Dalam pada si ibu menyuruhnya bersabar si anak melahirkan kata-kata “tidak mak, saya yakin itu duit mak sebenarnya, yang saya tidak bank-in kepada mak bulan ni. Allah keluarkan juga jumlah tu daripada saya”.

Selepas peristiwa itu, si anak telah melakukan potongan bulanan daripada gajinya dengan jumlah yang kurang sedikit dan ia kekal sehingga ke hari ini.

Memang tidak dinafikan, berbuat kebaikan akan diberikan ganjaran kebaikan juga oleh Allah SWT. Dalam surah al-Rahman:60, Maksud firman Allah, “tidakkah balasan kepada kebaikan itu adalah kebaikan juga?”. Inikan pula berbuat kebaikan kepada kedua orang tua yang menjadi asbab kewujudan anak itu sendiri. Sudah tentu keberkatan hidup akan mencurah-curah ke atas si anak.

Hal ini kerana, memang tidak dapat dinafikan, dalam hati kecil mana-mana manusia akan berasa senang terhadap kebaikan yang dilakukan oleh orang lain kepadanya. Tidak dinafikan juga. mereka akan berterima kasih dan berdoa kebaikan pula kepada yang memberi. Maka ketahuilah bahawa, doa orang tua kepada anak-anaknya itu sudah tentu memberi keberkatan hidup yang berlipat kali ganda kepada anak-anak itu sendiri.

Doa orang tua
Doa manusia sesama manusia yang ikhlas telah dijanjikan perkenan oleh Allah SWT. Dan tidak ada doa seseorang manusia kepada manusia yang lain terlebih ikhlas daripada doa seorang ibu kepada anaknya. Dalam surah al-Bayyinah:5, Maksud firman Allah, tidaklah kamu disuruh, melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas. Doa itu sendiri merupakan bentuk ibadah manusia kepada Allah. Manakala dalam ayat yang lain surah Ghafir:60, Maksud firman Allah, dan berdoalah kamu nescaya Aku perkenankan bagimu. Ayat-ayat al-Quran ini menunjukkan bahawa Allah memperkenan doa (ibadah hamba) yang dilakukan dengan ikhlas.

Sumbangan kepada orang tua yang telah tiada
Anak-anak yang soleh akan sentiasa memberikan manfaat untuk kedua orang tua walaupun jasad mereka telah lama atau sedang dimakan bumi. Perkara ini jelas berdasarkan sebuah hadith sahih, Rasulullah berpesan “tiga perkara yang tidak akan putus kebaikannya kepada seseorang anak Adam; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh”

Anak yang soleh, apa sahaja jenis kebaikan yang dilakukannya, pahala kelakuannya itu akan mengalir ke dalam kubur ibubapanya yang mendidiknya menjadi anak yang soleh. Berdasarkan sebuah hadith, bahawa Rasulullah SAW pernah melakukan sedekah bagi pihak Khadijah iaitu isterinya yang sudah meninggal dunia, sebagai tanda kasih sayang dan atas segala kenangan manis Baginda bersama isterinya itu. Berdasarkan nas ini, sebagai anak soleh, sekiranya ibubapa telah meninggal mereka masih boleh memberikan sumbang bulanan kepada ibubapa dengan menyedekahkan amaun tertentu secara tetap kepada mana-mana badan atau rumah anak yatim dan sebagainya atas nama ibubapa mereka.

Sayugialah diingatkan bahawa, pahala sedekah itu tadi tidaklah hanya dimasukkan kepada catatan ibubapanya sahaja, sebaliknya anak-anak yang mengeluarkan infaq tersebut turut mendapat pahala juga bahkan dua kali ganda; pertama pahala melakukan kebaikan kepada orang tua, dan kedua pahala melakukan infaq ke jalan Allah. Dan hanya Allah lah yang berhak melipatgandakan pahala hamba-hambaNya yang ikhlas.

Semoga kita semua berusaha menjadi anak-anak yang soleh, yang membahagiakan orang tuanya bukan sahaja pada kehidupan di dunia bahkan berterusan sehingga alam barzakh seterusnya ke alam baqa. Wallahu aklam

Wassalam.

p/s: catatan ini hanyalah sebagai peringatan kepada diri sendiri, moga suatu nanti sekiranya diri ini lalai (wal iya zubillah), maka catatan inilah sebagai rujukan bahawa “aku pernah menulis tentang ini, mengapa diriku kini adalah seorang yang gagal melakukan kebaikan kepada kedua orang tuaku?” semoga peristiwa tersebut tidak akan berlaku ke atas diri ana, dan diri anda sekalian.

ERL: Nilai 30 minit

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Sengaja ana nak kongsikan maklumat yang baru diperolehi berkenaan nilai masa 30 minit sekiranya anda menggunakan perkhidmatan KLIA Transit. Kalau anda dari KL Sentral, maka nilai masa 30 minit itu adalah RM19.30 manakala kalau anda dari Bandar Tasik Selatan, nilainya adalah RM15.00. Bagaimana cerita atau tricknya (atau boleh saja anda menganggap ia adalah sebagai tips berjimat).

Kenapa 30 minit?
Kerana kalau anda memilih untuk menaiki KLIA Express atau KLIA Transit dari KL Central ke KLIA, anda akan bayar RM35.00. Tetapi kalau anda memilih KLIA Transit dan anda transit dulu di mana-mana stesen transit selain stesen Bandar Tasik Selatan, sebagai contoh stesen putrajaya, maka anda jimat RM19.30 tetapi anda terpaksa tunggu train berikutnya yang akan tiba di putrajaya dalam masa 30 minit selepas ketibaan anda tadi.

Begitu juga kalau anda menaiki KLIA Transit dari Bandar Tasik Selatan terus ke KLIA, bayaran yang dikenakan adalah RM26.50. Tetapi kalau anda transit dulu di mana-mana stesen transit sebagai contoh putrajaya, anda akan jimat RM15.00. Kaedah ini dinamakan perjalanan dengan dua transit dengan mengorbankan masa selama 30 minit, tetapi ianya berbaloi daripada segi nilai wang anda yang tidak terlalu mengejar masa.

Ilustrasinya
KL Central -> KLIA : RM35.00 (28 minit)
KL Central -> Putrajaya (+30 minit) -> KLIA : RM15.70 (Jimat RM19.30)
KL Central -> Salak tinggi (+30 minit) -> KLIA : RM15.70 (Jimat RM19.30)

Bandar Tasik Selatan -> KLIA : RM26.50 (28 minit)
Bandar Tasik Selatan -> Putrajaya (+30 minit) -> KLIA : RM11.50 (Jimat RM15.00)
Bandar Tasik Selatan -> Salak tinggi (+30 minit) -> KLIA : RM11.50 (Jimat RM15.00)

Tapi kalau anda nak lagi jimat dan ditambah pula anda tidaklah terlalu mengejar masa, dari Bandar Tasik Selatan itu anda boleh guna perkhidmatan KTM Komuter. Turun di stesen Nilai (RM4.30) kemudian ambil pula bas ke KLIA (RM2.50), maka anda hanya perlu RM6.80 sahaja berbanding RM11.50 menaiki KLIA Transit dengan kaedah dua transit. Beza masanya ialah, Komuter + Bas lebih kurang 1 jam 30 minit, KLIA Transit dengan dua transit dalam masa 58 minit manakala KLIA Transit tanpa transit hanya dalam masa 28 minit sahaja.

Pilihlah ikut kesesuaian dan keselesaan anda.

Sekian, wassalam.

p/s: Anda yang dimaksudkan dalam artikel ini adalah mereka yang berumur lebih dari 12 tahun. Melalui kaedah KLIA Transit dengan dua transit yang dimaksudkan adalah, anda perlu turun dari train pertama, keluar dari terminal stesen, beli tiket perjalanan anda yang kedua pula untuk meneruskan perjalanan. Bukannya sekaligus anda beli di satu kaunter. Petugas kaunter mungkin tidak maklum dan tidak tahu menahupun dengan ilustrasi seperti yang ditunjukkan dalam blog ini. Walaubagaimanapun, catatan di blog ini adalah suatu penemuan yang tidak boleh dianggap sebagai fakta yang sah dan ia tidak boleh digunakan dalam mana-mana tuntutan yang melibatkan mana-mana perundangan.

Awasi jerat ‘easy payment’

Bismillahirrahmanirrahim

Easy payment atau plan pembayaran mudah merupakan satu kemudahan yang disediakan oleh penyedia kad kredit. Yakni bank pengeluar kad kredit yang diuruskan sama ada oleh pihak MasterCard atau Visa. Ia juga dikenali sebagai bayaran ansuran tanpa faedah atau ‘zero interest’. Melalui kemudahan ini, para pemegang kad kredit boleh menikmati penggunaan barangan yang dibeli secara ansuran dengan tidak dikenakan sebarang faedah. Maksudnya, sama sahaja sama ada bayar secara tunai sekaligus atau dengan kad kredit secara bulan-bulan, tak ada pertambahan harga dan tidak dikenakan interest tetapi masih boleh memiliki dan membeli barangan yang tinggi harga sekalipun.

Melalui kaedah pembayaran seperti ini, pemegang kad biasanya diberi pilihan sama ada ingin membayar ansuran selama 6 bulan, 12, 24 atau sehingga 36 bulan (3 tahun). Contoh, barang yang berharga RM1800 boleh dimiliki dengan membayar secara bulan-bulan sebanyak RM100 sebulan untuk tempoh 18 bulan yakni setahun setengah. Siapa yang tidak mampu milik barang itu bukan? Kalau setakat bayar RM100 sebulan.

Pengalaman ana, sudah dua barang ana beli guna kemudahan seperti ini. Pada tahun 2005 ana beli sebuah komputer notebook. Bayar bulan-bulan selama 12 bulan dengan harga tidak sampai RM200. Kemudian pada tahun lepas beli handset dengan bayaran RM88.++ selama setahun. Terima kasih kepada pihak bank yang menyediakan kemudahan ini yang boleh dianggap sebagai menguntungkan pihak para pelanggan.

Rasional
Apa yang ana fikirkan sendiri. Kenapa pihak bank sanggup bersusah payah menanggung beban membayar kepada pihak peniaga dengan harga yang tinggi sekali gus kemudian ambil balik daripada pelanggan mereka sedikit-sedikit pada setiap bulan? Ana ada beberapa rasional mengikut pendapat peribadi ana sendiri sahaja.

1. Pihak bank menjangka akan mendapat pulangan sekiranya pihak pelanggan tidak dapat menyelesaikan bayaran bulanan mereka tepat pada masanya. Maksudnya, kalau mereka hanya mampu bayar jumlah minima bil kad kredit, maka mereka sebenarnya akan dikenakan faedah ke atas penggunaan bulan tersebut. Perkara ini akan bertambah dari bulan ke bulan. Ataupun lagi teruk “lagi untung” sekiranya pelanggan tak mampu bayar langsung bil mereka pada akhir setiap bulan. Lagi banyak caj boleh dikenakan!

2. Pihak bank ingin pastikan pelanggan mereka tidak memberhentikan penggunaan kad kredit sehingga jumlah easy payment itu dibilkan sepenuhnya. Dengan itu, pihak bank akan dapat yuran tahunan selama tempoh masa yang tertentu. Perkara ini akan lebih lagi menguntungkan pihak bank sekiranya pelanggan menambah penggunaan kemudahan easy payment mereka dengan membeli barang-barang setiap bulan atau paling kurang setahun sekali. Kesetiaan (keterikatan) mereka dengan bank akan bertambah panjang.

3. Pihak bank ingin menggalakkan para pelanggannya berbelanja kerana dengan easy payment mereka sudah merasakan mereka mampu berbelanja dengan bayaran balik yang sedikit pada setiap bulan. Harga beribu telah bertukar menjadi puluhan atau ratusan ringgit sahaja. Siapa pun mampu berbelanja!

Pun begitu, bagi pengguna kad kredit yang cerdik dan pintar pengurusan kewangan, mereka masih dapat gunakan kemudahan easy payment ini tanpa terkena jerat atau perangkap sebagaimana yang ana fikir dan senaraikan di atas. Iaitu mereka bayar bil kad kredit secara keseluruhannya pada akhir setiap bulan, maka mereka tidak dikenakan apa-apa caj. Lepas tu pula mereka hanya memilih kad kredit yang dikeluarkan secara percuma oleh bank-bank tertentu (semestinya dengan syarat-syarat yang mampu mereka patuhi). Akhir sekali mereka tidak berbelanja ikut nafsu tetapi ikut kemampuan dan perancangan perbelanjaan yang berhemat.

Peristiwa terkini
Ana teringin sekali lagi pada tahun ini untuk berbelanja dengan kemudahan easy payment. Pada ana, bil terakhir handset ana ni adalah bulan depan. Kalau ikutkan, bermula bulan depan akan ada sejumlah wang lebihan daripada perlepasan kredit berkenaan yang boleh ana gunakan bagi memenuhi keperluan perbelanjaan yang lain pula. Tidak ada masalah dan ana boleh mulakan servey (harga).

Ana masuk sebuah kedai elektronik yang namanya memang terkenal di seluruh negara. Kedai besar dan mewah dipenuhi barangan-barangan elektronik dan dipenuhi juga banner-banner yang memberikan tawaran itu ini. Memang syok kerana sebaik sahaja menjengah masuk sudah datang salesman yang manis muka, mesra dan ceria pula layanannya. Waa sejuknya mata.

Disamping bertanyakan itu dan ini, ana memberitahu hasrat menggunakan kemudahan easy payment. Katanya “kalau nak buat easy payment, mesti jumlah bilnya lebih RM1000 (satu ribu)”. “hmm tak ada masalah kerana kita memang nak cari banyak barang kali ni” bisik ana kepada isteri. Memang pun kerana tahun ini kami diberikan rezeki oleh Allah untuk duduk di rumah sendiri yang baru siap (tapi sehingga hari ini, kuncinya belum diserahkan lagi pun, hehe).

“Tak ada apa-apa caj tambahan ke ni ncik?” tanya ana kepada si (salesman) berpekerti mulia itu. “Tak ada, dah namanya easy payment encik.. zero interest” sahutnya sambil tergelak-gelak. Terusik juga hati ana. Yalah rasa macam diperbodohkan pula dengan soalan itu tadi.

“Atau saya perlu sertai apa-apa skim macam kena daftar kad ahli kedai ni ke dulu?” tanya ana lagi. Biar nampak bodoh tapi tidak ditipu oleh maklumat yang terselindung.

“Hmmm, untuk dapat kemudahan easy payment yang u kata tu..” belum habis pun ayat ana. “Tak ada ncik”. jawabnya pantas. “Apa-apa bayaran pun tak ada? swipe sekali tapi bayar sampai 18 bulan?” ana teruskan provokasi cara tersendiri.

“Adalah, encik perlulah bayar yuran proses, sekali saja” celahnya dengan suara yang agak perlahan dan tidak disertai dengan gelak-gelak lagi. “La riba apa pula tu?” getus ana. “Bukan riba la encik, memang semua orang kena bayar, bank dah tetapkan macam tu, sekali sahaja dan amaunnya tetap walaupun berapa jumlah easy payment yang encik buat” sambungnya macam bersyarah. “Berapa amaunnya itu?” tanya ana.

Setelah ana memberitahu bank pengeluar kad kredit ana dia pun jawab “kalau kad encik ni, berapa amaun yang encik beli pun bayaran prosesnya tetap RM85, tak kiralah seribu ka, dua ribu hatta 50 ribu pun” jelasnya. “Wah, kalau bank lain?” “ada yang hanya RM25 encik, paling murah yuran proses adalah RM25″.

“Memang riba lah ni” luah ana macam tak puas hati. “Tak encik” sangkalnya. “Riba apa pulanya, dah bank tetap macam tu, lagipun encik bukan bayar yuran proses ni tiap-tiap bulan, sekali ni saja” sambungnya berceramah pula. “Ini namanya riba al-Fadl, iaitu pertambahan harga ke atas harga asal yang dibayar semasa akad, saya tahu” ana cuba beri sedikit ilmu kepadanya. Seterusnya kami berdua diam sambil ana memulakan langkah keluar. Kecewa pun ada sebenarnya.

“Kat mana-mana kedai pun sama lah encik, kalau nak guna easy payment memang kena bayar yuran proses, kalau tak mana pihak bank nak untung?” akhirnya salesman tadi cuba melepaskan geramnya pula. Sambil berpaling dengan langkah tetap diteruskan, ana berkata “saya dah dua kali guna easy payment ni, tak ada pun, sekali beli komputer dan terbaru beli handphone”. “oo itu masa promosi encik, masa tu kami pun tak kenakan caj ni, sebab bank tengah promote penggunaan easy payment ni” sambungnya memberi info tambahan.

Disebalik easy payment
Ana ambil peluang untuk bertanyakan perkara berhubung yuran proses ini kepada pengeluar kad kredit melalui email dalaman atas talian (perbankan internet). Dalam masa tak sampai 24 jam, pihak bank memberitahu mereka tidak pernah menetapkan kepada mana-mana peniaga untuk mengenakan apa-apa yuran proses ke atas pihak pelanggan. Sebaliknya, sekiranya pelanggan memilih untuk menggunakan kemudahan itu dibeberapa kedai tertentu, pihak peniaga yang akan membayar yuran proses berkenaan kepada pihak bank.

Perkara seperti ini dikenakan kerana pihak peniaga telah dapat menarik minat pelanggan untuk berbelanja di kedai mereka melalui kemudahan easy payment yang diperkenalkan oleh pihak bank. Kerana tanpa kemudahan ini mungkin pelanggan itu tadi tidak akan melakukan perbelanjaan. Oleh itu, wajarlah pihak bank mengenakan caj ini terhadap peniaga.

Seperti juga pembelian runcit biasa, peniaga tetap dikenakan amaun tertentu sekiranya pelanggan memilih untuk membayar menggunakan kad kredit. Rasional yang sama kerana peniaga dengan pakej kad kredit berjaya menarik minat pengguna untuk berbelanja.Yuran-yuran atau caj-caj berkenaan adalah berbeza dari sebuah kedai ke kedai yang lain. Ianya mengikut jumlah jualan yang dapat dilakukan oleh peniaga berkenaan menggunakan kad kredit atau easy payment. Semakin tinggi claim (tuntutan) yang dibuat oleh peniaga, maka semakin kecil peratusan yang perlu mereka jelaskan berdasarkan kepada jumlah jualan mereka.

Begitulah penjelasan yang diberikan oleh pihak pengeluar kad kredit ana yang setakat ini tidak pernah mengecewakan pertanyaan-pertanyaan yang dikemukakan.

Kesimpulan
Easy payment ini memang bagus sekiranya kita bijak menggunakan dan mengguruskannya. Ia membantu kita mengurus keperluan hidup dengan pengurusan kewangan yang bijak. Dengan syarat kita perlu prihatin sebelum, semasa dan selepas penggunaan easy payment. Ditakuti terjebak dengan bayaran-bayaran yang tidak sepatutnya kita bayar. Itu jelas membebankan dan lebih teruk kalau ia tergolong dalam kumpulan riba yang diharamkan oleh agama. Terlibat dengan riba adalah bermaksud berperang dengan Allah dan RasulNya yang menjanjikan (kekalahan) iaitu kehidupan tidak berkat dan sengsara di dunia ini lagi sebelum di akhirat sana nanti.

Wallahu aklam.

Ekonomi semakin pulih

Salamullahi’alaikum wbt

Seronok perhatikan ekonomi negara kita sekarang ini yang semakin memberangsangkan. Ok la tuh. Orang yang bijak mengambil peluang dalam pelaburan semasa ekonomi merudum baru ni kini sedang menikmati ganjaran daripadanya. Ana perhatikan dana-dana dalam public mutual sejak seminggu terakhir ini sedang rancak menaik. InsyaAllah, jika keadaan ini berterusan, maka ia akan memberi pulangan kepada para pelabur yang berani dan bijak mengambil peluang.

Dalam merancang ekonomi keluarga, kita sebenarnya perlu bijak menguruskan hasil pendapatan. Jangan sesekali berfikir dan merancang untuk menghabiskan semua sekali duit gaji atau apa-apa pendapatan yang masuk ke akaun. Lebih buruk lagi kalau duit tak ada pun, kita masih boleh berfikir untuk memuaskan nafsu beli dan bergaya dengan berhutang. Perkara hutang ini akan memulakan sesuatu kegagalan dalam urusan kewangan keluarga kita kelak. Kata orang “pergi kerja pagi balik petang, dapat gaji bayar hutang”.

Kita sebagai orang Islam juga telah diajar oleh Baginda Rasulullah SAW agar berdoa bagi menjauhkan diri daripada belenggu hutang. Sebaliknya, kita diajar berdoa agar dimurahkan rezeki dan diajar juga oleh Baginda al-Rasul agar melakukan simpanan sebahagian daripada pendapatan selain untuk diinfaqkan dan disedekahkan ke jalan Allah. Trend hari ini (penggunaan kad kredit, skim bayaran mudah, kemudahan pinjaman peribadi, persaingan hidup untuk nampak lebih bergaya, tamak dunia dan tidak zuhud) yang sangat membuka jalan bagi masyarakat untuk terjebak dengan hutang perlu disedari dan dihayati untuk dijauhi.

Apabila dah ada simpanan, jangan biarkan ia kekal sebagai simpanan beku atau simpanan yang menyusutkan nilai. Sebaliknya lakukanlah pilihan pelaburan dalam institusi yang sah, lebih pragmatik, dinamik dan berpotensi di dalam mengembalikan atau lebih menambah nilai kuasa simpanan tersebut. Dalam erti kata lain, cari ruang dan peluang agar simpanan anda bekerja untuk anda di samping tulang empat kerat anda.

Ingatlah bahawa, bukan tulang empat kerat dan kemahiran anda itu sahaja rezeki atau kekuatan yang Allah beri dan bekalkan kepada anda untuk mencari kehidupan yang baik, tetapi duit anda itu juga berperanan. Sebaliknya, kalau anda tidak uruskan sumber kewangan yang Allah amanahkan itu dengan baik, ia akan menjadi fitnah yang menjanjikan dosa kepada anda. Kerana ana tidak amanah atau dengan kata lain, boros. Orang yang tak pandai urus kewangan juga tidak layak jadi ketua dalam sistem Islam. Maksudnya, mungkin, tak layak jadi suami pada peringkat kepimpinan rumahtangga.

Kalau kedudukan kewangan anda kuat, maka kuatlah anda. Orang Kelantan kata orang itu ”Gedebe!”

Wallahu aklam

p/s: gedebe dalam bahasa Kelantan bukannya bermaksud samseng, sebaliknya orang yang digeruni kerana kekuatannya, terutama daripada segi kedudukan kewangan.

Public Mutual online

Bismillahirrahmanirrahim

Ana saja ambil peluang nak kongsikan pengalaman menggunakan kemudahan menguruskan pelaburan secara atas talian (online). Kemudahan ini disediakan oleh syarikat unit amanah yang kini memegang ‘ranking’ no. 1 di Malaysia iaitu Public Mutual. Mereka mengorak satu langkah ke hadapan apabila menyediakan kemudahan pengurusan pelaburan (investment) secara online ini bermula awal tahun 2009 ini.

Untuk tujuan itu, anda sendiri yang telah menjadi pelabur Public Mutual perlu ke pejabat Public Mutual berdekatan. Wakil atau ejen anda (yang memperkenalkan dan menguruskan pelaburan ini bagi pihak anda sebelum ini) tidak boleh mewakili anda di dalam melakukan permohonan untuk akses kemudahan tersebut. Anda diminta mengemukakan kad pengenalan dan menandatangani satu borang. Setelah itu, anda perlu tunggu selama beberapa hari (pengalaman ana selepas dua minggu) untuk menerima ID dan Password sementara yang dihantar melalui pos.

Kemudian, anda ikuti segala langkah yang dinyatakan dalam surat berkenaan. Setelah anda berjaya log in ke akaun pelaburan anda di Public Mutual secara online, pada masa itu anda bolehlah mula melakukan beberapa pengurusan pelaburan secara atas talian. Anda kini tidak perlu mengisi borang atau pergi ke bank yang masa urusannya adalah mengikut waktu pejabat. Kini pengurusan pelaburan anda hanya terletak dihujung jari.

Antara perkhidmatan yang dibenarkan dilakukan secara online seperti mengemaskini alamat, nombor telifon, menetapkan semula sama ada anda ingin mengeluarkan bonus dari pelaburan atau terus menjadikan ia sebagai pelaburan tambahan, melakukan pelaburan tambahan (kepada dana sedia ada) menggunakan akaun Public Bank atau mana-mana bank yang menyediakan kemudahan perbankan internet, atau anda ingin membuat pelaburan baru (dana-dana lain yang menarik perhatian anda) dan sebagainya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut atau log in ke akaun anda sedia ada sila klik di sini.

Selamat mencuba. Wallahu aklam. Wassalam

Bonus Tabung Haji 2008

Bismillahirrahmanirrahim

Bonus Tabung Haji dah masuk! Siapa yang menyimpan di Tabung Haji, bolehlah berkunjung ke pejabat Tabung Haji berdekatan sama ada bagi menyemak atau mengeluarkan bonus yang dikreditkan pada 28 Februari 2009 (semalam). Bonus untuk tahun 2008 diisytiharkan sebanyak 5% sama seperti bonus tahun 2007. Cuma bezanya, tahun lepas Tabung Haji menyediakan bonus khas sebanyak 2% lagi sebagai tambahan.

Ana tak la banyak sangat simpan dalam Tabung Haji. Adalah sikit-sikit duit anak-anak. Hari ni ana pergi juga kemaskini akaun. Memang bonus telah pun dikreditkan. Bukan nak ambil pun bonus tu, cuma feeling dapat duit percuma tu kadang-kadang berharga dan menjadi motivasi untuk bersyukur. Sekurang-kurangnya, lebih sikit ucapan alhamdulillah ana hari ini.

Allah SWT berfirman “Sekiranya kamu bersyukur, nescaya aku akan tambah nikmat-nikmat ke atas mu dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azabKu amatlah pedih”. Untuk lebih maklumat tentang syukur, boleh rujuk artikel ana di sini. Sekadar perkongsian ilmu.

Ana ada seorang sepupu yang simpanannya di Tabung Haji agak banyak. Dia baru saja buat rumah setelah berbelas tahun bekerja. Katanya “buat rumah ni separuh kosnya ditanggung oleh Tabung Haji”. “Macamana tu?” ana tanya minta penjelasan. “Setahun dapat bonus dalam 5 hingga 6 ribu, sepuluh tahun dah 60 ribu. Bonus tu yang membiayai separuh kos rumah ni” sambungnya.

Ada orang pinjam duit beratus ribu untuk buat rumah besar. Tak sampai sebulan kerja dah apply loan. Mula-mula untuk beli kereta besar, berbini dengan kos kenduri besar, akhir sekali beli rumah pula besar. Kemudian hiduplah ia dalam kesempitan kerana lebih separuh daripada gaji buat bayar loan. Kerana nak sangat ikut nafsu besar. Berbanding orang yang menyimpan dan membuat pelaburan. Semakin tahun duit semakin bertambah. Bertambah kerana simpanan dari gaji dan bertambah kerana bonus akhir tahun.

“Simpan duit ni, dalam sepuluh tahun pertama memang tak suka, tapi selepas 10 tahun, dapat la rasa duit tu bekerja untuk kita. Sebab duit bonus itu sendiri (RM6000) lebih besar daripada jumlah potongan simpanan tahunan kita (300 sebulan x 12 bulan = RM3600)”. Katanya lagi, sedikit memberi pendidikan mengurus kewangan.

Itu kalau simpan di Tabung Haji. Apa halnya mereka yang buat pelaburan di institusi kewangan yang memberi pulangan lebih dari 5% setahun? Sebab itu tak mustahil kalau salah seorang rakan ana (bukan bangsa Melayu) berkata “saya beli kereta ni ustaz, bukan bayar dengan duit gaji saya, tapi ada bank tolong bayarkan”. Ana mulanya tak faham, tapi akhir-akhir ini agak faham. Bukan sebarang bank senang-senang nak tolong bayarkan, tetapi bonus daripada simpanan dan pelaburan di bank. Itulah ayat yang sebenarnya.

Betullah orang kata “tak akan senang orang yang ikut nafsu, rasa tak ingin kalah dengan orang lain, orang lain berumah besar kerana cerdik, tetapi kita berumah besar, bertahun kerja hanya kerana nak bayar hutang! semakin lama bekerja semakin bosan dan rasa tak senang”.

Buatlah simpanan, jauhi berhutang, nescaya anda akan lalui kehidupan yang senang. Kata pepatah “antara orang yang tidak lena tidur malamnya, iaitu orang yang banyak berhutang”. Pada ana, orang yang bernafsu besar (sebenarnya).

Ana pun baru nak belajar. Semoga Allah beri kekuatan untuk melawan nafsu besar. Amien.

Wallahu aklam.

Khairat kematian ASB

Salamullahi’alaikum warahmatuhu wabarakatuh

Ana tak tahu pun, bahawa setiap pendeposit ASB/ASN dan apa sahaja saham terbitan PNB ada khairat kematian. Sebab ana memang tak melabur dalam ASB. Tak ada niat dan mungkin tak akan ada niat nak buka akaun ASB. Insya Allah. Cuma hari ini (apabila ada urusan di pejabat ASB bagi pihak orang lain) ana diberitahu;

1. Bagi simpanan RM10 hingga RM4999.00 : khairat kematian sebanyak RM200.00
2. Simpanan RM5000 (5k) hingga 10k : khairat kematian sebanyak RM1000.00 (seribu)
3. Simpanan RM10k (ribu) ke atas (maxima 100k setiap individu) : khairat kematian sebanyak RM2000.00 (dua ribu)

Waris boleh lah menuntut wang khairat kematian ini dalam masa enam (6) bulan selepas kematian pemegang akaun. Kalau tak tuntut, wang tersebut dikira hangus. Dan sekiranya si mati meninggalkan simpanan berjumlah kurang RM5000.00 (lima ribu ringgit) waris boleh membuat pengeluaran tanpa perlu dirujuk kepada Amanah Raya Berhad. Sebaliknya, (simpanan RM5k ke atas) maka wang simpanan si mati akan dirujuk ke Amanah Raya Berhad dan akan melibatkan tuntutan harta pesaka mengikut wasiat (kalau ada) dan pembahagian faraid (yang akan ditentukan oleh Mahkamah Syariah).

Tuntutan harta si mati lebih dari 5k
Prosesnya, ambil borang di Amanah Raya Berhad (ARB), kemudian pergi dapatkan sijil faraid daripada Mahkamah Syariah (dengan mengisi borang dan sertakan salinan kad pengenalan waris/waris-waris), kemudian kembalikannya bersama borang tadi ke pejabat ARB semula. Tunggu panggilan daripada ARB. Satu sijil kuasa pembahagian harta si mati (ASB)nya akan dikeluarkan. Bawa sijil ini ke pejabat (cawangan ASB) negeri. Pejabat pos tak dapat buat. Isi borang. Sahkan borang ini di hadapan suruhanjaya sumpah dan matikan setem hasil. Kemukakan kepada pejabat ASB semula dan tunggu proses transfer duit kepada akaun atau akaun-akaun waris. Ia memakan masa dari 3 minggu sehingga sebulan setengah.

Sekian, semoga berinfomasi dan membatu. Wallahu aklam.

Jadual Gaji Kakitangan Awam 2009

Jadual Gaji 2009

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam perpaduan

Melihat kepada statistik kunjungan pelawat Kalam IbnRajab, didapati ramai sekali (top 5) yang berminat melihat (view) entry Jadual Pembayaran Gaji Kakitangan Awam 2008. Maka sekali lagi ana sertakan jadual bayaran gaji kakitangan awam untuk tahun 2009 sebagai rujukan dan panduan semua pengunjung. Rancanglah kewangan dengan bijaksana.

Sebenarnya jadual ini atau lebih tepat pekeliling berkenaan boleh didapati di laman Jabatan Akauntan Negara. Sesiapa yang berminat menyimpan pekeliling tersebut bolehlah download di sini.

Wassalam.

Teruja jadi kaya

Bismillahirrahmanirrahim..

Tidak dikira kaya orang yang banyak harta, tapi kaya sebenar adalah kaya jiwa. Sabda Nabi SAW “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selepas ku selama-lamanya) selagi kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya; iaitu Kitab Allah (Al-Quran al-Karim) dan Sunnah Rasulullah SAW”.

Fitrah manusia ingin jadi kaya. Kaya pada pandangan arus perdana ialah memiliki banyak harta fizikal; seperti hartanah, rumah dan kereta yang mewah, barang kemas dan pakaian yang berjenama gah dan juga wang yang datang daripada pelbagai sumber yang melimpah ruah. Justeru tahap kekayaan seseorang juga akan diukur pada paras dan kepemilikan wang di sisi mereka.

Pandangan mereka menyatakan bahawa “Wang adalah perantaraan kejayaan di dunia. Wang boleh memberikan sepenuh kenikmatan. Wang adalah segala-galanya” (Clason, 1997:viii-ix).

Islam tidak menghalang pengikutnya mencari kekayaan. Samada kekayaan fizikal lebih-lebih lagi kekayaan rohani. Cuma kadang-kadang mereka terlupa bahagian yang kedua itu dan hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada bahagian yang pertama sahaja. Al-Quran memang menyeru orang-orang yang beriman agar mencari “fadl Allah” iaitu kurnian-kurniaan Allah seperti sumber-sumber makanan, keperluan hidup termasuk mencari harta benda (kekayaan). Di samping itu, Allah mengingatkan manusia agar tidak terlalu leka dan terpedaya, dengan sentiasa mengingati Allah (pemberi dan penyedia fadl tersebut). Surah al-Jumu’ah ayat 10.

Dewasa ini, fenomena mencari kekayaan kadang-kadang menjadikan manusia terlalu teruja. Wujudnya peluang-peluang mudah untuk kaya menjadikan fenomena tersebut semakin rancak. Akhirnya ada yang dianiaya dengan skim-skim cepat kaya, pelaburan internet dan pelbagai kaedah mencari kekayaan dalam bentuk yang tidak direstui agama. Oleh kerana manusia suka kalau jadi kaya. Hidup lebih selesa dan bergaya.

Cuma sekarang ini orang lebih berhati-hati. Mereka sudah mula peka kalau-kalau terjebak dengan skim cepat kaya itu. Tetapi nafsu untuk kaya masih juga tebal. Samentelah lagi ia tidak dihalang dalam mana-mana agama. Nak buat apa-apa pelaburan pun perlu ada agreement (surat perjanjian yang dimatikan setem hasil RM10nya, mesti mengenali latar belakang syarikat, kedudukan dan reputasinya juga telah diselidiki). Tetapi nafsu untuk mudah jadi kaya menjadikan mereka agak teruja juga.

Proses nak jadi kaya masih tetap sama. Jual dahulu apa yang ada. Pinjaman bank. Dan macam-macam sumber diusaha. Mula-mula masuk 10 ribu, 20 ribu seterusnya apabila keuntungan sudah nampak dilihat oleh mata kasar, pertimbangan juga mula turut tersasar. Pinjaman diteruskan sehingga beratus-ratus ribu pula. Bahkan keuntungan yang lama disuntik semula menjadil modal. Kerana pada mereka (yang telah teruja jadi kaya) “modal besar, untung lagi besar”. Samentelah lah kerana bisnes ini sah di sisi undang-undang (sebab ada aggrement dan sebagaianya tadi). Tak apa nanti pakai kereta mewah orang bayar, duduk rumah besar orang bayar dan buat apa susah-susah, sebab semuanya orang bayar (melalui keuntungan yang diperolehi apabila wang atau modal bekerja untuk tuannya). Tanpa disedari, sifat tamak sudah mula menguasai.

Sebenarnya, banyak perkara yang perlu kita insaf dalam keadaan kita teruja untuk kaya. Walaupun tapisan pertama tadi iaitu “sah di sisi undang-undang” berjaya dilepasi, tetapi mungkin di sana ada beberapa perkara lagi yang perlu dimasukkan ke dalam ramuan dan resepi pertimbangan kita. Sudah tentu ayat 10 surah al-Jumu’ah tadi yang menyeru dan menasihatkan kita agar tidak terlalu leka, hingga membawa kepada kelalaian daripada mengingati Allah selaku pemberi dan penyedia sumber-sumber rezeki dan kekayaan (sementara di dunia). Janganlah sampai terlalu sibuk sehingga lupa nak tunai tanggungjawab; khusus (agama spt solat, zakat dll) dan umum (masyarakat spt tanggungjawab sosial berbentuk kerja-kerja kebajikan, menziarahi sanak saudara terutama ibu bapa dll)

Pegawai Kerajaan
Di Malaysia, sekiranya anda adalah pegawai kerajaan, anda sebenarnya terikat dengan amanah dan tanggungjawab serta etika selaku pegawai yang menjawat jawatan awam. Anda perlu peka kepada pekeliling-pekeliling yang sedang berkuatkuasa dan yang selalu dikemasikinikan dari semasa ke semasa. Mengikut pekeliling perkhidmatan bil. 3 tahun 2002, bertujuan memberi penjelasan dan panduan mengenai pemilikan dan perisytiharan harta di bawah peraturan 10, peraturan-peraturan pegawai awam (kelakuan dan Tatatertib) 1993, menyatakan bahawa seseorang pegawai :

1. tidak dibenarkan memiliki lesen kenderaan perniagaan, kenderaan perkhidmatan awam, perniagaan hiburan;
2. memohon dan memiliki tanah Kerajaan untuk tujuan pembalakan dan perlombongan;
3. membeli saham tidak melebihi 5% daripada modal dibayar atau RM100,000 pada nilai semasa, yang mana lebih rendah dalam tiap-tiap satu syarikat yang diperbadankan di Malaysia;
4. membeli tidak melebihi 5% daripada modal dibayar dalam tiap-tiap syarikat permodalan dan perusahaan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan;
5. tidak boleh memiliki lebih had yang ditetapkan oleh Kerajaan bagi tiap-tiap satu dalam unit amanah anjuran Kerajaan;
dan lain-lain peraturan (Maklumat lanjut sila rujuk pekeliling penuh di sini atau berhubung terus dengan mereka yang bertanggungjawab)

Pelaburan berjadual
Kini telah muncul satu jenis usahasama dalam menjalankan perniagaan yang mana sesebuah syarikat akan mengeluarkan unit-unit saham atau pegangan dengan jaminan pulangan (untung) secara bulanan dan berjadual. Sebagai contoh (klik di sini) anda dikehendaki mengeluarkan sesuatu modal dalam lingkungan RM4000 hingga RM5000 dan akan dibayar keuntungan secara bulanan (contoh RM300 sebulan) selama 5 tahun. Maka daripada modal tersebut anda akan mendapat pulangan sebanyak RM18,000 (lapan belas ribu ringgit Malaysia) dalam masa 5 tahun berkenaan.

Di sisi Islam pelaburan seperti ini adalah harus (bergantung kepada akad atau perjanjian contoh sewaan). Ia bukan riba (walaupun bayaran pulangan telah ditetapkan seperti sekiranya anda sewakan rumah, memang penyewa akan bayar secara tetap bulan-bulan). Kembali kepada syarikat tadi, mungkin mereka telah ada ikatan kontrak sewaan daripada pihak ketiga, dan oleh kerana kekurangan modal (seperti modal untuk membina rumah sewa) maka mereka pinjam dari anda dan menjanjikan pulangan hasil bayaran sewa rumah itu tadi. Ia sesuatu yang jelas dan tidak pula mengandungi unsur gharar.

Kesimpulan
Memang tidak ada halangan untuk melakukan perniagaan, pelaburan yang sihat asalkan ianya dibenarkan dan memenuhi kehendak syarak. Cuma perlu ada perasaan berhati-hati dan berwaspada. Tidak terlalu asyik hingga lupa kepada Allah (tanggungjawab agama dan sosial). Tidak juga melanggari had dan peraturan yang telah ditetapkan dan dipersetujui terlebih dahulu (sebagai contoh peraturan pegawai awam dll). Janganlah disebabkan terlalu teruja untuk jadi kaya fizikal yang lebih berbentuk material, kita terlupa bahawa menjadi kewajipan juga untuk mencari dan memiliki kekayaan jiwa (ilmu, intelek, rohani dll). Bahkan kekayaan jiwa itulah yang lebih utama.

Wallahu aklam.

Bas Budaya

Salamullahi’alaikum wbt..

**Tulisan ini bukan bertujuan mempromosi dan penulis tidak dibayar sama sekali untuk entri ini. Ia hanya sekadar suatu perkongsian idea bagi memperolehi manfaat secara bersama (daripada segi pengurusan kewangan yang boleh dikira baik)**
 
Berita baik bagi orang perseorangan, pekerja ataupun para pelajar yang berulang alik dari Lembah Kelang ke Kota Bharu. Kini syarikat bas ekspress e-Budaya telah memperkenalkan (kalau tak silap mulai bulan Jun 2008 baru-baru ini) kad keluarga yang diberi nama ‘Kad Family e-Budaya’ yang membolehkan pelanggan mereka memperolehi potongan 10% daripada harga tiket biasa. (tanpa had belian tiket)

Maksudnya, jika anda membeli 10 tiket untuk keluarga anda dari KB ke KL (tiket biasa RM30.80) maka anda hanya perlu bayar RM277.00 (anda jimat 10% iaitu RM31). Ambil sahaja tunai atau dapatkan satu tiket secara percuma.

Kad ini dijual kepada para pelanggan (sekali dan seorang sahaja dalam satu keluarga) dengan harga RM1 dan boleh diguna segera apabila membeli tiket. Maksudnya, anda nak beli tiket dengan harga RM30.80, tetapi memilih untuk memiliki kad e-Budaya terlebih dahulu, maka anda hanya bayar RM28.70 (RM1 untuk kad dan RM27.70 untuk harga tiket selepas diskaun 10%). Semudah anda hanya memberitahu jurujual tiket berkenaan.

Jika anda student dan ingin menyediakan perkhimatan kepada rakan-rakan (tolong belikan tiket untuk mereka) tanyakan pada pihak syarikat samada anda boleh gunakan kad tersebut bagi tujuan itu? sekiranya boleh, maka dengan menjual 10 tiket kepada rakan-rakan, anda sudah dapat 1 tiket percuma untuk balik ke kampung halaman di Kota Bharu.

Keselesaan
Pengalaman (baru) dua kali naik bas e-Budaya, tempat duduk memang sangat selesa. 2 + 1 seat. Memang selalu pilih single seat la. Tak kacau dan mengacau orang. Memang selesa. Dan kalau lambat anda tak boleh nak harap dapat single seat walaupun seat paling belakang.

Tetapi ana pilih bas Mutiara untuk ke Lembah Kelang sebab tiada perkhidmatan bas e-Budaya terus dari Bachok. Sebab kalau dengan RM3 (rebate dari harga tiket e-Budaya) memang tak berbaloi dengan masa nak ke Hentian bas Jalan Hamzah. Ke turun jam 3 petang untuk naik bas jam 9.00 malam. Orang kata, “aku tanah banyak (harta) tapi masa tarak!” Harap bas Mutiara pun akan ubah seat 2 + 1 juga lah. Lagi bagus kalau wujudkan kad diskaun juga.

Sekian, semoga anda dapat memaksimakan nilai wang anda seterusnya menjadikan anda seorang pengguna bijak. Pengguna bijak, manfaatnya banyak!

Wallahu aklam.

p/s: Entri ini ada kaitan.

Kaedah Fiqhiyyah al-adatu muhakkamah dalam muamalat Islam

PENGENALAN
Al-Adatu Muhakkamah merupakan kaedah yang kelima daripada kaedah-kaedah fiqhiyyah yang utama. Di dalamnya terkandung pula beberapa kaedah furu’ yang lain. Di dalam tulisan ini, tumpuan perbincangan diperkecilkan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan muamalat sahaja.

Perbincangan berkenaan penggunaan adat atau ‘urf sebagai penentu hukum dalam muamalat ini telah disentuh oleh ulama al-mutaqaddimin (terdahulu) yang terkemuka seperti al-Imam Al-Suyutiy (911H) yang telah membincangkan masalah jual beli al-mu’atah , iaitu seorang membeli barang daripada penjual yang hanya menerima harga tanpa menyatakan ijab dan qabul, yang pada dasar hukumnya dalam mazhab al-Imam al-Syafi’iy adalah tidak sah . Tetapi oleh kerana kebiasaan atau al-adah itu diambil kira maka jual beli tersebut menjadi sah. Keyataan ini juga mendapat sokongan daripada al-Imam al-Nawawi . Kedua-dua imam al-Suyutiy dan al-Nawawi adalah daripada mazhab al-Syafi’iy.

Perbincangan mengenainya diteruskan oleh ulama al-mu’asirah (kini) seperti Muhammad al-Zuhayliy (1999) yang menyatakan “sekiranya berlaku jual beli yang tidak dinyatakan dalam akad sama ada bayaran secara tunai atau tangguh, dan diketahui di antara mereka secara kebiasaannya bayaran dijelaskan selepas seminggu atau sebagainya, maka pembeli tersebut pada masa itu tidak perlu (diwajibkan) menjelaskan bayaran barang tersebut serta merta, dan meninggalkan amalan biasa (dalam mazhab al-Syafi’iy). Dalam keadaan ini, adat atau kebiasaan mereka berada pada kedudukan yang disepakati secara jelas”.

Penulis Melayu (Ab. Latif Muda & Rosmawati Ali, 2000) juga ada memperkatakan tentang masalah pengambilan al-adah di dalam menentukan sesuatu hukum dalam muamalat. Mereka menyatakan “seorang membeli barang dengan membayar deposit atau pendahuluan sahaja. Namun sebelum ia mengambilnya, harga barang telah naik. Penjual tidak boleh membatalkan jual beli tersebut atau menjualnya kepada orang lain dengan alasan jual beli belum terlaksana sepenuhnya, kerana adat kebiasaan masyarakat setelah dibayar sebahagian daripada jumlah harga barang, dianggap telah berlaku akad. Dalam keadaan ini, adat dikira sebagai perujuk.”

FAHAM AL-’ADAH ATAU AL-’URF DALAM MU’AMALAT
Perbincangan berkenaan dengan definisi al-’adah atau al-’urf telah mendapat sambutan yang agak hangat dalam kalangan para ulama. Ada di antara mereka yang tidak membezakan keduanya dan ada yang membezakannya. Namun sekiranya kedua-dua al-’adah dan al-’urf dilihat dari sudut mu’amalat maka akan terlihatlah perbezaannya yang amat ketara.

Sekiranya di dalam bidang ibadah, penggunaan gantang untuk membayar zakat dan cupak untuk membayar fidyah tetap tidak berubah mengikut perubahan zaman. Tetapi di dalam bidang muamalat seperti jual beli, maka penggunaan cupak dan gantang bukan sahaja tidak digunakan bahkan tidak dikenali oleh generasi hari ini.

Definisi al-’adah
Sekiranya dilihat di dalam kamus-kamus bahasa Arab, al-’adatu bermaksud sesuatu yang berulang-ulang . Ia sesuai diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai kebiasaan. Ab Latif Muda mentakrifkan adat sebagaimana yang difahami daripada perkataan Arab itu “sesuatu perbuatan atau perkataan yang terus menerus dilakukan oleh manusia. Apa yang penting ia dapat diterima oleh akal manusia dan ia dilakukan secara berulang-ulang” .

Definisi al-’urf
Kamus-kamus Arab menyatakan maksud ‘urf sebagai seerti dengan ma’ruf iaitu sesuatu yang diketahui manusia daripada segala kebaikan dan mereka menerimanya dengan itmi’nan . Manakala di dalam bahasa Melayu, ia sesuai diterjemahkan sebagai sesuatu yang difahami sebagai adat seperti adat resam, adat pepatih, adat Melayu dan sebagainya. Kerana adat-adat tersebut dikenali dalam kalangan orang-orang Melayu, Minangkabau dan lain-lain.

Definisi Mu’amalat
Mu’amalat bermaksud urusan yang melibatkan kewangan (المالية) di antara dua orang atau lebih seperti al-Salam, al-Rahn dan sebagainya . Ada dalam kalangan penulis yang menterjemahkannya sebagai “harta dan konsepnya seperti yang dinyatakan dalam Islam” .

Kesimpulan
Dalam bidang muamalat, al-’adah atau kebiasaan yang diamalkan oleh manusia boleh berubah dari masa ke masa dan dari generasi ke generasi malah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Contohnya dalam bidang jual beli seperti yang disebutkan, kebiasaan yang diamalkan oleh generasi hari ini menggunakan alat sukatan dan timbangan dalam kilogram telah berbeza daripada generasi dahulu.

Begitu juga kebiasaan (al-’adah) pada suatu masa mereka berjual beli dengan menyatakan ijab dan qabul, kemudian berubah kepada bay’ al-mu’atah (bertukar tangan) sahaja. Kebiasaan kini orang membayar dengan tunai dan kad kredit atau kad debit tetapi tidak mustahil datang suatu masa orang tidak lagi menggunakan tunai langsung. Itulah kebiasaan (al-’adah) yang akan berubah-ubah mengikut keadaan suatu generasi.

Tetapi ‘urf atau adat resam sesuatu bangsa atau kumpulan manusia itu diwarisi turun temurun dan mustahil akan berubah. Pepatah “biar mati anak asal jangan mati adat” jelas menggambarkan pegangan mereka kepada adat adalah amat kuat.

Oleh yang demikian, persoalan mengapa pilihan para ulama menggunakan kaedah al-’adah muhakkamah berbanding al-’urf muhakkam nampak jelas sekiranya dilihat daripada segi bidang muamalat.

KELAYAKAN ‘URF SEBAGAI HUJJAH DALAM MUAMALAT.
Sebelum perbincangan dilanjutkan terlebih dahulu dinyatakan beberapa signifikan yang menjadikan adat (kebiasaan) atau ‘urf sebagai hujjah bagi menentu hukum dalam muamalat. Dr. Abd al-Karim Zaydan (1994) telah menggariskan tiga perkara seperti berikut  :

i. Adat atau urf yang baik.
Syariat Islam tidak pernah mengetepikan adat atau ‘urf yang baik yang mendatangkan kebaikan pula kepada masyarakat seperti bai’ al-Salam. Walaupun ia tidak thabit melalui nas sorih, namun amalan ahli Madinah yang baik itu diteruskan. Sebaliknya jual beli tamar dengan tamar walaupun ia juga merupakan ‘urf mereka, ia tidak dibenarkan kerana berlawanan dengan nas syarak yang mengharamkan riba.

ii. Adat atau urf yang telah diamalkan secara menyeluruh menjadi suatu ijma’ .
‘Urf merupakan suatu perkara yang kadang-kadang mempunyai kuasa tersendiri ke atas perilaku masyarakat, oleh yang demikian meraikannya adalah lebih mudah disamping ia meringankan kesakitan (beban) . Begitu juga sekiranya ‘urf itu diamalkan secara berterusan oleh kebanyakan ahli masyarakat ia boleh dianggap seoalah-olah suatu ijma’ dalam kalangan mereka. Ijma’ pula merupakan suatu yang dianggap dalil bagi melayakkan sesuatu menjadi hujjah.

iii. Adat atau ‘urf boleh dianggap sebagai ijma’ al-sukuti.
Urf telah mendapat perhatian para fuqaha dalam amalan ijtihad mereka sepanjang zaman dan amalan tersebut tidak pula mendapat bantahan daripada fuqaha yang lain membuktikan bahawa ia merupakan sesuatu yang layak dijadikan hujjah.

SYARAT PENGGUNAAN KAEDAH “العادة محكمة” DALAM MUAMALAT
Dr. Abd al-Karim Zaydan juga telah menggariskan empat perkara yang menjadi syarat  bagi sesuatu ‘urf itu boleh dijadikan hujjah dalam sesuatu urusan mu’amalat.

1. Urf yang tidak berlawanan dengan nas syarak.
Iaitu sesuatu ‘urf atau mana-mana bahagiannya hendaklah tidak berlawanan dengan nas syarak. Contohnya mengembalikan barang yang disimpan (الوديعة) kepada isteri atau anak orang yang membuat simpanan. Urf ini tidak berlawanan dengan syarak kerana ia tidak pernah menetapkan hanya penyimpan sahaja yang boleh mengambil barang simpanannya. Sebaliknya jual beli pakaian yang mendedahkan aurat, walaupun ia merupakan adat sesuatu tempat tetapi sebahagian hasil daripada jual beli itu melanggar syariat iaitu membuka aurat, maka ia tidak dibenarkan.

2. Urf yang paling biasa.
Iaitu suatu urf yang diamalkan oleh kebanyakan ahli sesuatu masyarakat. Kecuali sedikit sahaja yang tidak mengamalkannya. Hal ini kerana sesuatu yang menjadi pilihan ramai tidak mungkin akan hilang dengan mudah.

3. Urf yang masih diamalkan.
Iaitu urf berkenaan masih berjalan dalam masyarakat pada masa akad. Bukannya urf yang pernah diamalkan dahulu dan kini sudah tidak diamalkan lagi, maka ia tidaklah dibenarkan.

4. Urf yang sunyi daripada perkataan atau perbuatan yang bersalahan.
Iaitu kebiasaan sesebuah perniagaan itu mengamalkan jualan secara ansuran tetapi kedua-dua penjual dan pembeli bersetuju untuk membeli dalam keadaan tunai. Pada masa kini ianya seperti syarikat “singer” atau “courth mammoth” yang membenarkan juga pembeli membuat bayaran tunai, maka pada masa itu akad tidak perlu ditetapkan hanya kepada ansuran sahaja.

KAEDAH-KAEDAH PECAHAN DALAM MUAMALAT.
Berikut disenaraikan kaedah-kaedah pecahan  daripada kaedah “العادة محكمة” yang mendapat perbincangan ulama dalam bidang muamalat. Antaranya:

1. الممتنعُ عادةً كالممتنعِ حقيقةً
Sesuatu yang ditegah secara kebiasaannya adalah suatu yang dapat diterima pada hakikatnya. Contohnya seseorang mendakwa barang yang dibeli oleh seorang yang lain itu adalah miliknya, maka sudah tentu dakwaan tersebut tidak dapat diterima kerana ia suatu yang tidak berlaku (ditegah) daripada sudut hakikatnya.

2. استعمالُ الناسِ حجةٌ يجبُ العملُ بها
Sesuatu yang menjadi amalan kebiasaan masyarakat adalah dianggap hujjah dan wajib beramal dengannya. Sudah tentulah selama mana ia tidak bertentangan dengan nas syarak. Sebagai contoh kebiasaan amalan dalam masyarakat yang membeli almari atau perabot, kos penghantarannya adalah ditanggung oleh penjual dan barang tersebut (jual belinya akan sempurna apabila ia) diterima di rumah.

3. الحقيقةُ تُترَكُ بِدَلالةِ الْعَادَةِ
Ulama telah bersepakat bahawa sekiranya pertembungan berlaku di antara hakikat dan majaz hendaklah ditarjihkan hakikat. Manakala sekiranya bertembung antara hakikat dan adat maka hendaklah ditarjihkan adat yang mempunyai petunjuk atau penjelasan dalil. Hakikat yang diketepikan itu pula adalah apabila ia ada sekatan atau halangan. Namun sekiranya hakikat tidak mempunyai halangan atau sekatan maka pada masa itu hakikatlah yang diamalkan.

Contohnya seseorang telah menulis di atas kertas dengan tulisannya sendiri bahawa ia telah melepaskan si fulan daripada hutangnya, maka hutang tersebut dianggap telah terhapus kerana adat menjelaskan iqrar dengan penulisan diterima sebagai iqrar dengan percakapan .

4. التعيِينُ بِالعُرفِ كَالتَّعيِينِ بِالنَّصِ
Sesuatu penetapan hukum berdasarkan ‘urf adalah sama kedudukannya dengan penetapan hukum yang didasarkan oleh nas. Contohnya seorang yang menyewa sebuah kedai di kawasan bazar jualan kain, tidak boleh menjalankan perniagaan menukang besi atau membuat roti, atau sebarang pekerjaan yang boleh mendatangkan kesusahan kepada jiran-jirannya .

5. المعروفُ عُرفًا كَالْمَشروطِ شَرطًا
Sesuatu yang telah diketahui umum dan telah menjadi ‘urf hendaklah dilaksanakan secara nyata tanpa meletakkan syarat. Ia hendaklah diraikan sebagaimana yang diketahui umum secara jelas. Contohnya seorang membeli komputer desktop tidak perlu disyaratkan membeli keyboard, mouse, moniter, cpu dan sebagainya. Kaedah ini juga disebut pada tempat yang lain sebagai المعروفُ بَين التجارِ كالمشروطِ بينَهم

BIDANG MU’AMALAT
Kaedah “العادة محكمة” dalam bidang mu’amalat yang paling banyak mendapat perhatian para ulama untuk membincangkannya adalah yang bekaitan dengan urusan jual beli. Fenomena ini (jika boleh dikatakan) berlaku kerana ia (jual beli) merupakan bidang mu’amalat yang sering diamalkan dalam sesebuah masyarakat tanpa mengira jantina, tahap pendidikan, tahap ekonomi malah umur seseorang individu itu sendiri.

Manakala bidang-bidang lain seperti sewaan hanya diamalkan oleh orang yang perlu menyewa, begitu juga pinjaman, gadaian, syirkah dan sebagainya. Maka sudah tentu ia tidak mendapat begitu banyak perhatian dan perbincangan dalam kalangan fuqaha sama ada golongan al-mutaqaddimin atau al-mu’asirin.

MUAMALAT YANG DIASASKAN DARIPADA KAEDAH “العادة محكمة”
1. Bai Al-Salam (السلم)
Iaitu jual beli melalui tempahan seperti menempah pakaian, makanan dan sebagainya dengan didahulukan bayaran manakala barang akan diserahkan kemudian setelah tempahan tersebut selesai. Ia adalah satu-satunya bidang mu’amalat yang diasaskan oleh amal ahli Madinah (urf) berbanding jual beli (البيع), hutang, sewaan, qard al-hasan dan lain-lain yang diasaskan oleh nas syarak samada al-Quran ataupun al-Hadith.

Dr Mustafa al-Bugha telah menyatakan bahawa bai al-salam ini berasal daripada jual beli barang yang tidak ada (بيع المعدوم) namun oleh kerana keperluan masyarakat maka ia dikecualikan daripada kategori tersebut . Beliau juga menegaskan bahawa hadith Abd al-Rahman yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhariy dan sebuah lagi hadith Ibnu ‘Abbas yang diriwatkan oleh kedua-dua imam al-Bukhariy dan Muslim, serta ayat ke-282 surah al-Baqarah semuanya berkaitan dengan hutang. Maka oleh kerana hutang telah diharuskan oleh syarak maka jual beli secara tempahan (bay’ al-salam) juga adalah harus .

2. Jual beli (البيع)
Pensyariatan jual beli adalah berdasarkan ayat al-Quran (surah al-Baqarah: 275). Manakala dalam bidang jual beli ini, kaedah “العادة محكمة” diguna pakai untuk mengharuskan perkara-perkara seperti berikut:

2.1 Bai al-Mu’atah (pertukaran tangan).
2.2 Jual beli dengan bayaran deposit .
2.3 Menentukan alat untuk sukatan atau timbangan dalam jual beli.
Ahli Baghdad menggunakan cupak yang dikenali sebagai cupak Baghdad.
2.4 Penggunaan mata wang bagi tujuan pembayaran.
Setiap tempat menggunakan mata wang yang tersendiri.

3. Sewaan atau upah (الإجارة)
Pensyariatan sewaan atau upah adalah berdasarkan ayat al-Quran (surah al-Talaq: 6) dan sebahagian ulama seperti Dr. Mustafa al-Bugha menjadikan ayat 26 surah al-Qashash yang mengisahkan Nabi Musa diupah oleh Nabi Syuaib dengan dikahwinkan anak perempuannya .

Manakala dalam bidang sewaan atau upah ini, kaedah “العادة محكمة” diguna pakai untuk mengharuskan perkara-perkara seperti berikut:

3.1 Perihal barang keperluan akibat daripada alat yang disewa.
Seorang yang menyewa mesin jahit maka ia tidak memasukkan pembiayaan benang di dalam akad sewaan tersebut . Begitu juga orang yang menyewa kereta tidak boleh menuntut harga petrol daripada tuan punya kenderaan.
3.2 Kewajipan membayar upah.
Seorang yang menyerahkan kain kepada tukang jahit tidak perlu mensyaratkan upah bagi pekerjaan tersebut kerana kebiasaan setiap pekerjaan dibayar upah. Maksudnya syarat untuk membayar upah tidak diperlukan dalam akad .

4. Pawah
Pawah adalah bentuk upah memelihara binatang yang diamalkan oleh sebahagian penduduk di beberapa kawasan di Malaysia dan menjadi adat atau curf sehingga kini. Sekiranya mereka memawah lembu betina untuk dipelihara oleh seseorang, anak pertama dan kedua akan dikembalikan kepada hak milik tuannya yang asal manakala anak ketiga akan menjadi milik orang yang memelihara (sebagai upah). Seterusnya anak keempat dan kelima akan kembali kepada tuannya dan anak keenam menjadi hak milik orang yang memelihara dan begitulah seterusnya.

Imam al-Qurtubi (671H) di dalam menghuraikan ayat 26 surah al-Qashash beliau berpendapat “tidak harus akad al-Ijarah yang difahami sebagai pawah. Iaitu menetapkan upah memelihara binatang dengan anak yang bakal dilahirkan oleh binatang berkenaan. Kerana sesuatu yang belum terjadi itu merupakan sesuatu yang belum pasti.”

Sekiranya dirujuk kepada tafsiran ini, maka ‘urf sebegini tidak boleh diamalkan sebagai sebahagian dari al-Ijarah. Namun sekiranya ‘urf sebegini diambil kira sebagai asas bagi menentukan keharusan akad pawah maka ia dibolehkan kerana selama ini ia berjalan dalam masyarakat tanpa menimbulkan sebarang persengketaan.

ISU SEMASA MUCAMALAT BERKAITAN DENGAN ‘URF/ADAT
1. Jual beli menggunakan kad kredit
Penggunaan kad kredit kini terutama di dalam urusan jual beli sudah dianggap sebagai adat atau ‘urf. Sehingga setiap individu yang bekerja ada memiliki sekurang-kurangnya satu kad kredit. Kebanyakan kedai-kedai terutama gedung yang besar kini menawarkan perkhidmatan bayaran menggunakan kad kredit.

Walaupun di pihak pembeli, penggunaan kredit kad adalah bayangan kepada akad hutang tetapi di pihak penjual, penggunaan kredit kad diterima kerana mereka akan mendapatkan tunai apabila bil kredit kad tersebut dikemukan kepada pihak bank. Penerimaan kad kredit sebagai bayaran pada mereka adalah sama seperti bayaran tunai.

2. Jual beli menggunakan kad debit.
Kad debit bermaksud kad tunai yang digunakan oleh pelanggan sebuah bank untuk urusan pembayaran di kedai-kedai yang menawarkan perkhidmatan tersebut. Melalui penggunaan kad debit, para pelanggan tidak perlu membayar tunai sebaliknya jumlah yang akan dikenakan itu ditolak secara langsung dari akaunnya di bank. Ia berbeza daripada kad kredit kerana penggunaannya akan terhenti sekiranya tiada baki dalam akaunnya di bank.

3. Transaksi menggunakan internet
Kecanggihan teknologi hari ini memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk melakukan urusan seharian secara atas talian. Perkara ini seakan-akan telah menjadi adat masyarakat kini dan ia diharuskan kerana memudahkan urusan. Di antara urusan yang dapat dilakukan menerusi internet adalah seperti:

a. Jual beli
b. Hutang
c. Sewa
d. Perbankan
e. Zakat
f. Sedekah

4. Transaksi menggunakan telifon bimbit
Ia berbeza daripada internet sekiranya dilihat daripada segi kepunyaan. Kemudahan intenet dapat dicapai di mana-mana sahaja (samada mereka memiliki komputer atau tidak) manakala kemudahan telifon bimbit hanya dapat dicapai oleh mereka yang memiliki telifon mudah alih. Kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi ini juga terhad. Antara urusan yang dapat dibuat adalah seperti:

a. Jual beli (seperti tiket kapal terbang AirAsia)
b. Perbankan

Sekadar perkongsian.. wallahu aklam.

p/s: Ini merupakan sebahagian daripada isi kertas kerja yang dibentangkan dalam kuliah usul fiqah, UKM 2008 (Subjek MA). Anda dibenarkan untuk mengulangcetak atau mengulangletak artikel ini dan anda digalakkan menyertakan bersama ’link’ ke artikel ini sebagai rujukan akademik yang sah (amanah ilmu) agar sekiranya terdapat komen, kritikan dsb maka pihak2 yang berkenaan itu dapat mengakses kepada penulisnya yang asal.

WANG : Pengembangan dan Penguncupannya Dalam Sistem Perbankan Islam

Wang merupakan alat pertukaran yg mempunyai harga atau nilai tertentu dan diakui sah, dikenali juga sebagai duit. (Kamus Dewan Edisi Tiga). Sebagai contoh wang kertas di Malaysia dikenali sebagai Ringgit dan nilai yang tercetak di atasnya telah diperakukan oleh Bank Negara Malaysia.

Wang pada pandangan Imam Al-Ghazali ialah “pengadil bagi segala aset kerana ia dapat menentukan nilai aset tersebut… bahkan kedua-dua Dinar dan Dirham itu menjadi pengadil di antara aset-aset seadilnya. Hikmat lain dijadikan wang ialah sebagai pengantara kepada benda-benda lain” (Ihya 4/114).

Ab. Mumin Ab. Ghani (1999, 11) menyatakan wang didefinisikan sebagai barangan atau apa-apa benda yang diterima umum dengan meluas dalam pertukaran barangan dan perkhidmatan dan untuk membayar hutang.

Maka, daripada pendapat-pendapat di atas dapatlah disimpulkan bahawa wang adalah alat pertukaran yang mempunyai nilai yang bertukar daripada seorang dengan seorang yang lain mengikut kesepakatan mereka di dalam sesuatu urusan. Sebagai contoh wang ialah nilai Ringgit yang digunakan oleh seseorang bagi mendapatkan sesuatu barangan yang sama dengan nilainya.

Pengembangan
Iaitu perihal mengembang iaitu menjadikan sesuatu lebih besar, panjang, terbentang, dan sebagainya. (Kamus Dewan Edisi Tiga).

Penguncupan
Iaitu perihal yang berlawanan dengan mengembangkan sesuatu. Ia diterjemahkan sebagai ‘contraction’ di dalam bahasa Inggeris. (Dewan Bahasa dan Pustaka).

Menurut Islam, sesuatu perkara jika dilakukan mengikut peraturannya pasti akan menghasilkan kebaikan. Di sini kebaikan yang diperoleh daripada wang adalah melalui proses pengembangannya. Oleh yang demikian, sekiranya wang diperlakukan sebagaimana yang disyariatkan Islam nescaya tidak mustahil proses pengembangannya akan berjalan dengan baik sekali. Tidak ada sesuatu yang mustahil sekiranya dilakukan dengan cara yang menepati kehendak dan syarat-syaratnya.

Perbankan Islam merupakan cara atau pendekatan bagi menegakkan syariat Islam itu sendiri. Maka sepatutnya ia akan membawa sesuatu yang bekembang kerana prinsip Islam itu sendiri berkembang maju di dalam hal yang berkaitan dengan kehidupan dan cara menguruskan kehidupan, iaitu sebagai khalifah Allah.

Pendekatan Islam Bagi Mengembangkan Wang

1) Wang dianggap sebagai modal
Di dalam Islam, wang tidak digunakan untuk mencipta wang, tetapi ia digunakan sebagai modal (Prof. Dr Abg Ghafar Ismail, UKM 2008). Jelasnya apabila wang digunakan bagi menciptakan wang, maka ia telah terkeluar daripada ruang lingkup syariat Islam kerana wang tidak boleh bekerja.

Daripada perbincangan di atas kita telah faham bahawa wang hanya merupakan alat yang digunakan oleh manusia untuk aktiviti pertukaran barang. Wang tidak ada fungsi atau kuasa untuk bekerja. Sekiranya wang dianggap boleh mencipta wang maka dari situlah akan timbulnya riba. Kerana pertukaran emas dan perak (yang suatu ketika dahulu berfungsi sebagai wang) hendaklah dengan nilai yang sama, sekiranya ada pertambahan maka ia dikira sebagai riba.

Oleh yang demikian, wang hendaklah dianggap sebagai modal. Sebagaimana diri manusia juga adalah modal. Harta benda juga modal. Keluarga juga adalah modal dan sebagainya.

Nota: Keluarga merupakan modal bagi seseorang untuk menjadikan dirinya lebih bersemangat melakukan sesuatu dengan sungguh-sungguh dan bermotivasi.

Apabila wang telah dianggap sebagai modal, maka sudah tentu ia dapat dikembangkan mengikut cara dan acuan yang dibenarkan di dalam syariat Islam.

2) Cara wang dikembangkan
Islam telah memperkenalkan banyak sekali produk sebagai pilihan. Kepelbagaian ini bersesuaian dengan pelbagai minat dan kecenderungan manusia itu sendiri. Ia juga meraikan kepelbagaian kemampuan manusia menguruskan wang mereka. Dengan itu Islam memperkenal produk-produk seperti al-bai, al-ijarah, ad-dain, al-musyarakah, al-mudharabah dan sebagainya.

Mengikut prinsip perbankan Islam, manusia tidak dipaksa melakukan sesuatu yang ia tidak berupaya atau tidak faham dengannya. Sekiranya seseorang tidak mampu mengeluarkan modal tetapi mampu mengusahakan suatu perusahaan maka Islam datang kepada mereka dengan produk al-Mudharabah.

Sebaliknya orang yang mempunyai wang, tetapi tidak mempunyai kemampuan samada daripada segi kekuatan fizikal atau kekangan masa, maka wang dapat digunakan sebagai modal bagi membiayai perusahaan tadi dengan menggunakan akad atau prinsip yang sama. Dengan yang demikian, wang tentu dapat dikembangkan.

3) Syarat pengembangan wang

Islam menggariskan dua syarat bagi membolehkan wang dikembangkan iaitu :
1. hendaklah ia bebas daripada riba
Kerana riba merupakan sesuatu yang menekan satu pihak walaupun nampak menguntungkan satu pihak yang lain. Hal ini kerana suatu perusahaan itu (masa depan) tidak dapat diketahui oleh manusia. Jauh sekali manusia mengetahui untung atau ruginya sesuatu perusahaan. Memberi jaminan pulangan (faedah atau riba) akan meletakkan satu pihak itu di dalam kesulitan dan tekanan. Dengan yang demikian wang sudah tentu tidak berupaya dikembangkan oleh institusi yang mengamalkan riba.

2. hendaklah ia bebas daripada gharar
Begitu juga dengan gharar iaitu unsur ketidak jelasan sesuatu urusan. Ia juga mendatangkan kerungsingan kepada satu pihak kerana unsur tidak jelas tersebut. Kerana fitrah manusia takutkan kepada sesuatu yang tidak diketahuinya. Oleh yang demikian, wang juga tidak akan berkembang sekiranya sesuatu institusi tersebut mengamalkan unsur gharar.

4) Wang boleh disucikan
Islam juga telah menyediakan cara bagi menyucikan wang. Iaitu dengan zakat. Ia bersesuaian dengan maksud zakat itu sendiri yang membawa erti subur lagi suci. Di dalam menyucikan sesuatu perkara, Islam juga menjamin kesuburannya.

Di dalam perbincangan di atas, telah diketengahkan cara dan syarat wang itu dikembangkan. Ia juga merupakan usaha yang boleh dilihat kesannya oleh manusia. Sebaliknya kesan zakat itu tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Ia hanya diperolehi dengan keyakinan yang akhirnya akan membawa seribu ketenangan dan keajaiban terhadap kehidupan mereka sendiri.

Sekiranya wang yang digunakan sebagai modal dizakatkan, ia semestinya akan menjadi lebih subur lagi suci. Aura kesuciannya hanya dapat dilihat oleh keyakinan hati manusia dan dapat dirasai setelah lama masa berlalu. Mereka yang mengeluarkan zakat akan memperolehi nikmat ketengan dan kejayaan yang bertambah baik.

5) Prinsip mencari keberkatan
Teras keimanan dan ketaqwaan telah digariskan sebagai panduan manusia mencari kekuatan di dalam apa sahaja yang mereka lakukan. Keimanan iaitu kepercayaan yang sesungguhnya kepada kuasa Allah yang menentu dan mengaturkan sesuatu. Manakala ketaqwaan iaitu sentiasa berhati-hati melakukan sesuatu, kerana ditakuti ia telah melanggar hak-hak orang lain yang telah ditentukan oleh Allah.

Apabila wang dikembangkan dengan cara yang ditentukan oleh Allah, dengan sifat yakin dan percaya kepada kuasa Allah yang menentukan, meyakini juga usaha yang dilakukan dan ditambah dengan kemahiran yang tinggi berserta kesungguhan, maka nanti akan menjanjikan keberkatan.
 

Kejayaan Sistem Islam
Seorang penulis Yahudi ISRAEL SHAMIR didalam tulisannya yang bertajuk (Dinar Emas Mampu Mengubah Palestin) dipetik sebagai berkata “Saya suka dengan idea Dr. Mahathir. Dinar emas akan memimpin kita ke satu dunia baru, dunia sifar kadar faedah, dunia tanpa riba yang akan membantu penyusunan semula masyarakat” (Utusan Malaysia, 5 Mac 2002).

Penulis suka memetik pendapat seorang Yahudi tersebut kerana ia yakin bahawa aplikasi Islam dalam kehidupan manusia di mana sahaja mereka berada sudah tentu dapat memberi keselamatan dan kesejahteraan. Apatah lagi sekiranya aktiviti ekonomi seluruhnya mendapat sentuhan ajaran syariat Islam maka akan turunlah rahmat Allah ke atas semua manusia dalam hal urusan ekonomi mereka.

Penutup
Melalui kajian yang sedikit ini, penulis mendapati perkara-perkara berikut sebagai kesimpulan:

1. Wang di dalam sistem perbankan Islam sangat boleh dikembangkan sekiranya ia dianggap sebagai modal.
2. Sesuatu yang mustahil sekiranya aplikasi Islam dilakukan terhadap wang yang tidak mendatangkan kebaikan.
3. Pengembangan wang berdasarkan kaedah Islam hendaklah akur kepada cara dan syarat-syarat yang telah digariskan.
4. Pengembangan wang mengikut prinsip Islam akan mendatangkan kesucian, kesuburan dan keberkatan kepada wang itu sendiri.
5. Mengembalikan urusan ekonomi selaras dengan kehendak Islam akan menjurus kepada mendaulatkan syariat Islam secara keseluruhannya.

Pendapat Imam Al-Ghazali Tentang Wang / Harta

Sekiranya dirujuk di dalam kitab karangan Imam Al-Ghazali (Ihya Ulum Al-Din) jilid 3, maka didapati pendapat beliau tentang wang atau harta (مال) ini terbahagi kepada perbincangan-perbincangan berikut:

1. Perkara yang ditegah berlaku di pasar (3/45)
a. Penipuan dalam akad murabahah
Seperti menyatakan “saya membeli (pada harga modal) dengan RM10.00 dan saya untung RM5.00 padahal dia berbohong maka ia tergolong dalam kalangan orang fasik”.
b. Menyembunyikan aib (ketidak sempurnaan atau kerosakan) barang
Samada penjual itu sendiri menyembunyikan aib atau seseorang yang mengetahui aib seseuatu barang yang sedang dalam proses jual beli tetapi tidak memberi tahu tentang aib tersebut kepada saudaranya (seagama) maka ia telah berdosa kerana telah membiarkan saudaranya (penjual) itu terlibat dengan perkara haram kerana telah menyakiti atau menzalimi seorang saudaranya yang lain.
c. Tidak melakukan ijab dan qabul sebaliknya memadai dengan pertukaran barang.
Namun ianya tidak dianggap suatu perkara mungkar sekiranya ia mengikuti pendapat (mazhab) yang tidak mengatakan wajib ijab dan qabul.
d. Urusniaga menjual perkara “malahi” (الملاهي)
e. Urusniaga menjual peralatan makan minum berasaskan emas ataupun perak.
f. Urusniaga menjual pakaian lelaki yang diperbuat daripada sutera ataupun pakaian perempuan yang  nipis dan singkat.
Hal ini kerana ia mendatangkan perbuatan haram kepada pemakainya kelak. Oleh yang demikian perbuatan yang akan menjuruskan kepada suatu perbuatan yang haram juga adalah haram.
g. Semua akad yang menjurus kepada persengketaan (التلبيسات)

2. Tujuan mengumpul harta (3/62)
Imam al-Ghazali meriwayatkan seorang ulama pada zaman pemerintahan al-Mansor (pada menjawab pertanyaannya) berpendapat bahawa seseorang manusia tidak akan mengumpul harta melainkan untuk tiga tujuan berikut iaitu :
a. Simpanan untuk anak-anak
Hakikatnya bukan ibubapa yang memberikan rezeki tetapi Allah adalah pemberi rezeki.
b. Mengekalkan pemerintahan atau kuasa
Hakikatnya bukan pemerintah yang menentukan duduk perkara tetapi Allah adalah penentu segala sesuatu.
c. Mendapatkan tempat (kuasa) yang lebih tinggi
Hakikatnya tempat yang lebih tinggi daripada pemerintah atau pemimpin (khalifah) adalah darjat yang diperolehi dengan melakukan amalan solih.

3. Tanda orang mukmin dan munafiq (3/198)
Di dalam membezakan tanda-tanda seorang mukmin berbanding orang munafiq di dalam perkara yang berkaitan dengan harta, Imam al-Ghazali membawa perbincangan oleh Hatim al-Asham. Beliau berpendapat di antara perbezaan yang dapat dilihat ialah orang mukmin mengorbankan hartanya demi agama manakala orang munafiq pula sanggup mengorbankan agama demi memperolehi harta.

4. Penghalang daripada kebenaran (3/205)
Imam al-Ghazali menggariskan empat perkara yang menjadi penghalang seseorang daripada melihat atau menerima kebenaran. Salah satu daripadanya adalah harta. Orang yang dapat membebaskan dirinya daripada kekangan harta sehingga yang tinggal hanyalah sekadar keperluannya sahaja, merupakan orang yang berupaya memandu diri ke arah kebaikan. Beliau menegaskan bahawa sekiranya seseorang memiliki harta walaupun satu dirham tetapi harta tersebut dapat mengawal dirinya maka semakin jauhlah dirinya daripada Allah SWT. Iaitu semakin jauh dirinya daripada kebenaran.
 

5. Modal masa (3/254)
Di dalam membincangkan persoalan yang membawa keuntungan dan kerugian bagi seseorang manusia, Imam al-Ghazali berpendapat bahawa masa adalah modal utama yang boleh menentukan untung atau ruginya seseorang. Sekiranya masa tidak digunakan bagi mendapat ganjaran yang baik (pahala) di akhirat maka seseorang itu sebenarnya telah rugi.
 Beliau menegaskan seseorang yang menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang tidak membawa erti bagi dirinya juga seorang yang rugi. Orang yang bercakap atau bertanyakan sesuatu perkara yang tidak memanfaatkan akhiratnya juga rugi. Kerana dengan yang demikian akan merugikan masanya dan masa orang yang akan menjawab soalannya.
 

6. Wang atau harta (مال) sesuatu yang berjisim dan nampak pada zahir (3/356)
Di dalam menjelaskan punca perbalahan dan persengketaan di antara manusia, Imam al-Ghazali membincangkan perbezaan di antara ilmu dan mal. Mal (مال) di sini boleh diterjemahkan sebagai wang ataupun harta itu sendiri( ). Beliau juga berpendapat bahawa sekiranya ilmu itu diperolehi kerana ingin mendapat Mal maka ia dengan sendirinya akan membuka ruang pertelingkahan seseorang alim tersebut.
Hal ini kerana pada pandangan beliau, wang itu mempunyai jisim. Ia juga nampak pada mata kasar manusia. Oleh yang demikian, apabila wang berada di tangan kanan, ia tidak lagi berada di tangan kiri. Begitulah sebaliknya apabila wang tadi berpindah daripada tangan kanan ke tangan kiri. Maka tangan kanan akan kekosongan. Hal ini memungkinkan manusia yang berebut wang atau harta akan mengundang persengketaan sesama mereka.
 Sebaliknya ilmu yang dimiliki oleh seseorang tidak mempunyai jisim dan tidak pula dapat dilihat oleh mata kasar. Namun kehadirannya dirasai. Sebagai contoh ilmu tentang kebesaran Allah. Apabila ia menyampaikannya kepada orang lain maka dengan ilmunya itu ramai yang mengesakan Allah dan taat kepadaNya, ia akan beroleh kepuasan. Ilmu dan keyakinannya juga akan bertambah-tambah dan perasaannya juga menjadi semakin tenang yang akhirnya diterjemahkan sebagai kebahagiaan seorang alim.

7. Mata wang dan peluang pekerjaan (3/396-397)
Imam al-Ghazali menyebut bahawa manusia itu perlu kepada mata wang bagi mudahkan urusan mereka. Sebagai contoh orang yang ingin membeli makanan sedang mereka memiliki pakaian, maka menjadi sesuatu yang sukar untuk menilai kadar makanan yang bagaimana sesuai bagi sehelai atau sepasang pakaian.
 Seterusnya keperluan manusia yang pelbagai dan hajat mereka kepada mata wang itu sendiri dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan bagi manusia yang lain. Kerana apabila adanya mata wang, maka perlu diwujudkan suatu pusat bagi menguruskan mata wang tersebut. Begitu juga perlu diwujudkan pusat-pusat tukaran mata wang.

Wallahu aklam…

Urus ekonomi : Surah Yusuf

Bismillahirrahmanirrahim..

Hari ini mari kita sama-sama merujuk ayat 46 hingga 49 surah Yusuf yang membincang tentang tafsir Nabi Yusuf terhadap mimpi seorang Raja di zamannya. Mafhumnya:

“Yusuf, Hai orang yang amat dipercaya, Terangkanlah kepada kami tentang tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus dan tujuh tangkai (gandum) yang hijau manakala (tujuh tangkai) yang lainnya kering, agar Aku kembali (menasihati) kepada orang-orang itu (rakyat), agar mereka mengetahuinya.” Yusuf berkata: “Supaya kamu menananam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; Maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan ditangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian setelah itu akan datang tujuh tahun (berikutnya) amat sulit, yang mana akan menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit itu), kecuali sedikit sahaja yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun (berikutnya pula) yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu (tanah mereka subur dan kehidupan mereka menjadi mewah sehingga) mereka dapat memetik anggur.”

Pengajaran
Ayat ini menceritakan kepada kita tentang sunnatullah (perjalanan kehidupan ini sebagaimana yang dikehendaki Allah). Hanya Allah yang mengetahui dan sedikit sahaja yang diberikan pengetahuannya kepada manusia. Antara yang diberikan kepada manusia adalah kisah tafsir mimpi yang dilakukan oleh Nabi Yusuf ini. Daripada kisah ini dapatlah kita ambil pengajaran bahawa keadaan (susah senangnya) hidup di dunia ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Ada masanya kita sihat, ada masa pula kita sakit. Ada masa kita senang dan kaya manakala pada masa yang lain kita berada dalam keadaan terdesak dan memerlukan (fakir). Namun yang pasti dalam apa jua keadaan (miskin atau kaya) kita senantiasa fakir kepada bantuan Allah.

Melalui kisah ini, Allah SWT mengajar manusia agar menyimpan hasil atau pendapatan mereka bagi menampung keperluan hari susahnya. Dalam kisah ini Allah telah memberitahu kepada Nabi Yusuf berita kemiskinan dan kemarau panjang (selama tujuh tahun) yang akan menimpa umat baginda. Dengan perkhabaran itu manusia semua dapat berjaga-jaga dan selamat menjalani ujian Allah tersebut.

Tetapi dalam keadaan kita hari ini, tidak ada pemberitahuan daripada Allah tentang tahun mana-mana kita akan menghadapi ujian yang perit lagi menyusahkan. Namun kita tidak boleh sama sekali merasa bahawa ujian seperti itu tidak akan menimpa diri kita. Kerana kita sihat kemudian kita akan sakit, anak kita sihat dan anak kita sakit, kadang-kadang kita ditimpa kemalangan atau kecelakaan yang sama sekali tidak kita dugai.

Itu merupakan ujian Allah untuk melihat sejauh mana kita sabar dan pandai menyusun dan menguruskan nikmat yang Allah kurniakan. Perjalanan kehidupan ini telah jelas pada kita sebelum kita laluinya lagi. Iaitu ada pasang surutnya seperti air di lautan. (sebagaimana yang dijelaskan juga melalui surah yusuf ini). Nikmat yang Allah kurniakan kepada kita juga sangat jelas. Cuma yang tidak jelasnya adalah cara kita menguruskan sumber atau nikmat berkenaan.

Ekonomi.
Ekonomi adalah ilmu kita mengurus sumber. Samada sumber diri kita sendiri (modal insan) seterusnya apa sahaja nikmat yang Allah SWT kuniakan kepada kita seperti wang. Kerana itulah akan menjadi kesalahan sekiranya apabila kita dapat wang, maka kita belanjakan seluruhnya tanpa ada perancangan untuk waktu sukar (yang sudah tentu akan datang kepada kita). Simpanan kita pula perlu pelbagai seperti simpanan berbentuk tunai di bank, bentuk pelaburan, bentuk insuran, bentuk modal saham dan sebagainya.

Selain kemahiran kita menyimpan itu pula Allah SWT pandukan kita agar tidak terjebak dengan muamalat haram seperti riba, judi dan sebagainya. Sebagai contoh kita perlu membayar zakat apabila cukup haul dan nisabnya. Penentuan wajib berzakat sebenarnya adalah untuk memotivasikan diri agar bekerja semampu yang dapat agar mencapai nisab berzakat. Bukan sepertimana fahaman mereka yang lemah untuk mengelak diri daripada membayar zakat.

Jika mengikut kaedah “ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب” Apa yang tidak tercapai wajib kecuali dengannya maka ia juga wajib boleh diterjemahkan sebagai setiap kita wajib bekerja keras sehingga dapat membayar zakat. Maka pekerjaan kita adalah wajib dan kesungguhan kita juga adalah wajib. Maksud yang lain adalah, haram jika tidak bekerja dan haram juga jika bekerja sambil lewa. Sebab itulah Islam memandang rendah pihak yang mampu bekerja tetapi memilih untuk meminta-minta.

Kesimpulan
Setelah kita bekerja dan mendapat hasilnya, maka ia perlu diurus mengikut apa yang Islam anjurkan. Sekiranya mencapai nisab (tahap yang mewajibkan) berzakat maka wajib dikeluarkan zakat. Begitu juga tuntutan agar kita menyimpan sedikit daripada pendapatan untuk digunakan waktu kecemasan.

Selain itu, mengikut pendapat Ibnu A’syur: Selain kita perlu menyimpan, kita juga perlu memastikan simpanan kita itu berkembang. Maksud jagaan (hifz) adalah simpanan yang berkembang. Dengan sebab itu perlunya kita melakukan sedikit pelaburan agar kuasa wang kita itu turut berkembang mengikut perkembangan masa.

Sebagai contoh kuasa wang ialah, sekiranya kita simpan RM1 pada hari ini (yang pada masa yang sama kita dapat beli sebiji roti canai) mungkin kuasanya sudah tidak sama pada bulan hadapan (kerana pada masa itu roti canai sudah naik kepada harga RM1.10 sebiji). Oleh yang demikian perlunya kita melabur dan dibayar faedah pelaburannya mengikut prinsip mualamat yang dianjurkan oleh Islam.

Maka, betapa perlunya kitab terdedah dengan ilmu-ilmu mengurus ekonomi.. wallahu aklam.

Pengurusan kewangan diri

Tragedi suatu pagi isnin menggamit memori. Apabila sebuah bas (RapidKL) membelok ke kanan kebetulan datang sebuah kereta wira (orang awam) dari belakang serentak dengan bunyi hon yang sangat kuat, dan juga panjang. Terdetik di hati memang driver bas ini akan menjadi mangsa. Kami kalau boleh dikira bernasib baik kerana tidak terlibat dalam kecelakaan jalanraya pagi itu. Syukur sangat. Pun begitu, oleh kerana rasa tidak puas hati yang sangat membuak-buak di pihak pemandu wira maka dikejarnya pemandu bas.

Tekanan hidup
Kebetulan pintu bas masih terbuka (pemandu ni sempat lagi menyapa kawannya yang memandu bas ke arah bertentangan sebelum membelok ke kanan tadi). Sebentar kemudian, sampailah si pemandu wira tepat, separa dan setara dengan pintu bas. Lalu dibuka pintu wiranya (bukan sekadar turunkan cermin sahaja) dan disumpah seranah si pemandu bas. Tiga empat jenis sumpahan dan perkataan maki hamun terkeluar dari mulut celupar si pemandu wira yang sudah tidak berdaya melawan nafsu ammarahnya itu. Di pagi hari. Di kala burung-burung dan makhluk Allah yang lain juga sedang memulakan langkah mencari rezeki masing-masing.

Keadaan orang dalam bas senyap sunyi. Semuanya termasuk pemandu bas yang memang tak buat salah itu pun tidak berkata sepatah. (kerana walaupun dia membelok ke kanan tetapi jalan ada dua lorong, kalau pemandu wira lebih berhati-hati nescaya dia tak perlu membrek dan meng’hon’kan kereta). Jauh sekali membalas segala macam bentuk hinaan dan cemuhan malah kutukan. Sungguh sabar si pemandu bas.

Ketenangan hidup
Mungkin perkara tersebut tidak berlaku sekiranya si pemandu wira memiliki nafsu yang tenang (nafsu mutmainnah). Dia semestinya faham malah bersyukur kerana tidak terlibat dalam kemalangan jalanraya yang sekiranya berlaku tentu tak sampai ke tempat kerja dia pagi itu. Atau paling kurang akan meresahkannya, keluarganya dan banyak pihak kena tambah kerja termasuk pegawai polis yang mungkin akan tulis laporan.

Dia semestinya juga faham bahawa setiap yang berlaku itu pasti akan berlaku. Ia adalah ketentuan Allah untuk menguji iman kita. Dia semestinya juga faham bahawa segala perkara buruk yang datang adalah kerana kesilapan diri sendiri. Kedatangannya sengaja Allah ingin melepaskan dirinya daripada dosa ataupun memberikannya pahala supaya kesilapannya yang lalu (yang mungkin disengaja atau tidak itu) ditebus.

Kurang semangat ke tempat kerja
Mungkin perkara tersebut tidak berlaku sekiranya si pemandu wira mempunyai semangat dan motivasi diri yang tinggi untuk menyambung kerja di tempat kerjanya. Tetapi sebaliknya apabila seseorang pergi kerja hanya kerana rutin hariannya sahaja. Tidak ada apa-apa pun yang berubah pada pandangannya. Gajinya macam itu sahaja. Hutangnya macam itu juga. Dapat gaji bayar hutang. Kalau ada bonus di hujung tahun pun untuk bayar hutang dan faedah bank. Tidak ada apa yang isteimewa untuk dinikmati daripada kerjanya. Jadi, kerja pun sudah tidak ada erti lagi buat dirinya.

Pentingnya kesedaran ekonomi
Untuk membebaskan diri daripada mempunyai perasaan tidak berdaya untuk bekerja, tidak bermotivasi bekerja atau putus harapan dengan pekerjaan adalah dengan merancang ekonomi. Perlu sedar akan kekuatan ekonomi sebelum apa-apa keputusan untuk berbelanja dibuat. Falsafah bekerja adalah untuk berbelanja. Untuk dibuat belanja membeli makanan, minuman, tempat berteduh, kesihatan dan sebagainya. Sekiranya perkara asas begini tidak terlaksana, maka nikmat bekerja akan menjadi pudar. Walaupun angka pendapatan bulanan nampak pada ‘pay-slip’nya berkoyan-koyan.

Apabila kita bekerja dengan pendapatan permulaan RM2000. Sepatutnya kita tidak mengagihkan kesemuanya tanpa ada sedikit untuk simpanan, pelaburan dan insuran (takaful). Kerana Islam mengajar kita melalui surah Yusuf (kisah Nabi Yusuf mentafsir mimpi) bahawa ekonomi dan kehidupan manusia ini ada naik turunnya. Zaman Nabi Yusuf pada masa itu digambarkan dalam mimpi Raja sebagai 7 tahun subur dan 7 tahun selepasnya kemarau.

Pengajaran yang dapat diambil daripada kisah yang Allah rakamkan itu ialah, tidak selamanya kita ini sihat, berupaya dan kuat. Ada kala kita akan sakit, tidak beruapa atau terlibat dengan ujian Allah (spt kemalangan, anak sakit dan sebagainya). Sekiranya kita tiada simpanan, tabungan atau takaful, nescaya hidup kita akan menjadi sempit. Dah banyak sangat kesempitan (termasuk hutang piutang dll) maka hidup kita tidak akan memberikan motivasi lagi. Implikasinya, cepat marah, tidak puas hati, sakit jiwa dan sebagainya.

Sebagai contoh: Orang kita hari ini lebih seronok membeli kereta baru (lebih tepat lagi tukar-tukar kereta) daripada menyimpan. Beli rumah besar-besar. Menjadikan gajinya walau sebesar mana angkanya hanya cukup-cukup makan sahaja. Kalau anak tersakit, maka terpaksa ikat sedikit perut. Lebih teruk lagi kalau sampai berhutang. Paling mudah hutang dengan kad kredit.

Kalau difikir-fikirkan, kenapa perlu sentiasa tukar kereta? Kenapa beli rumah besar? Kerana nafsu. Tabiat semulajadi yang pantang dikalahkan. Mana hati rasa suka jika ada orang lain berada lebih atas sedikit daripada kita (walau pada zahirnya sahaja pun). Kalau tukar kereta, sepatutnya gaji bulanan sudah melebihi kadar biasa dan dapat simpan lagi, tetapi oleh kerana kita beli kereta baru, kena bayar load lagi. Tidak ada simpanan. Kalau pendapatan RM2000 tapi awal-awal sudah beli rumah besar (potongan bulanannya sampai RM1000) kuasa beli dan kuasa simpanan apatah lagi pelaburan akan hilang.

Kuasa simpanan
Jika disimpan daripada pendapatan kita semasa sihat ini walaupun sedikit. Orang kata, sedikit-sedikit lama kelamaan jadi bukit. Kalau terjadi apa-apa, hati kita lebih tenang kerana sudah ada wang simapanan. Tidak perlu berkejar ke sana ke mari meminta tolong. Apatah lagi meminta daripada Along!

Kuasa Pelaburan
Kita semestinya sudah lali dengan pepatah yang mengatakan: “Bila kita terasa penat bekerja, kan lebih elok kalau ada orang lain bekerja untuk kita”. Ada lagi: “Orang yang kaya adalah mereka yang tidak bekerja untuk wang tetapi wang yang bekerja untuk mereka”.

Contoh pelaburan ringkas yang memberikan pendapatan 15% setahun. Sekiranya modal RM25 ribu akan memberikan pulangan RM3750 setahun. Dibahagikan kepada bulan akan dapat RM312.50. Apa yang sudah dapat wang pelaburan kita belikan atau biayakan untuk kita dengan RM312.50 itu? Sebuah kereta kacil dengan ansuran selama 9 tahun. Itulah maksudnya. Kalau wang pelaburan berjumlah RM100 ribu? Apa yang dapat ia biayai untuk kita?

Memanglah sukar mendapat modal pelaburan RM100 ribu pun. Siapa kata mudah. Tetapi kalau tidak mulakan dengan RM1 masakan akan sampai niat melabur RM1 juta pun. Pepatah mengatakan: “Perjalanan beribu batu dimulakan dengan langkah yang pertama”.

Kuasa insuran
Ini mungkin telah difahami oleh kebanyakan kita. Namun fakta mengatakan hampir 75% rakyat melayu tidak meneruskan insuran mereka (walaupun bersemangat waja ketika memulakannya). Falsafah takaful ini adalah masing-masing menyimpan dan apabila ada rakan yang turut sama dalam plan tersebut ditimpa musibah, wang simpanan kita ramai-ramai itulah buat penawarnya. Bila tiba giliran kita pun, mereka akan menolong.

Beza simpanan dengan takaful (insuran) ialah: Pada bulan pertama kita menyimpan dalam bank RM50. Bila ditimpa musibah (kecelakaan) kita boleh keluarkan sebanyak itu sahajalah kerana memang itu sahaja kita simpan (RM50). Tetapi kalau takaful yang kita ambil untuk apa-apa musibah RM80 ribu dengan sumbangan bulanan (simpanan lah tu) sebanyak RM50. Bila sahaja kena musibah tersebut (walaupun dalam bulan pertama yang kita hanya baru sumbang RM50) kita akan dapat RM80 ribu juga.

Kesimpulan
Marilah sama-sama kita manfaatkan kekuatan kita ketika ada ini. Jangan sampai waktu kita sudah tidak kuat, baru kita akan menyesal. Ketika kuat ini jangan dituruti sangat hawa nafsu yang pantang melihat orang lain lebih daripada kita. Tetapi dalam jangka masa yang panjang, semua itu tidak memberi nilai pun pada kita.

Ingatlah pesan Nabi SAW: Hampir-hampir kefakiran itu membawa kepada kekufuran. Kefakiran sekarang mungkin dapat menyedarkan siapa kita. Tetapi kefakiran setelah kekayaan mungkin membawa padah. Oleh itu, beringatlah.

Akhirnya, kita mungkin tidak akan tertekan walaupun sudah ditimpa kecelakaan (kerana itu semua dah takdir Allah) dan kita ada back-up. Hidup mesti tenang-tenang, jangan marah-marah. Tetapi, kita pasti akan tertekan walaupun belum sempat ditimpa kecelakaan. Kerana….. (ulang baca semula petikan ini)

Sekian. Wallahu min warail Qasd.

Jangan takutkan Kredit kad

Penggunaan kad kredit merupakan perkara yang sangat biasa dewasa ini. Kalau ada individu yang tidak memiliki sekurang-kurangnya satu kad kredit mungkin kelihatan agak ketinggalan zaman. Memiliki kad kredit bukan suatu yang boleh dibanggakan. Jauh sekali untuk menunjukkan status kekayaan seseorang. Setiap warga negara Malaysia yang bekerja pasti boleh sahaja memiliki kad kredit. Tambahan pula dengan tawaran dan promosi yang sentiasa diketengahkan dengan cara yang sangat kreatif oleh pihak bank-bank yang menawarkan perkhidmatan ini.

Kad kredit merupakan suatu cara untuk sesebuah kedai atau penjual menarik pelanggannya. Maklumlah sebab pelanggan tidak perlu bawa banyak wang tunai terutama untuk membeli barang-barang yang bernilai tinggi. Begitu juga pihak bank yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Mereka berharap agar pelanggannya berhutang maka pihak bank dapat mengenakan caj perkhidmatan ke atas hutang yang tidak dapat dibayar.

Di samping itu sebenarnya, setiap kali pengguna menggunakan kad kredit, secara tidak langsung bank telah mendapat untung (komisen) daripada kedai yang mengizinkan pelanggan membuat bayaran menggunakan kad kredit. Sebab itu biasanya kedai-kedai kecil akan mengenakan caj ini (di antara 1.5% sehingga 3%) kepada pelanggan untuk mengelakkan mereka membayar caj perkhidmatan ini kepada bank.

Pemulaan
Ana mula berjinak dengan kad kredit ini mulai tahun 2002. Setelah genap setahun dan disahkan jawatan pada masa itu (kebetulan ada pula promoter bank yang datang bawa hadiah). Sehingga kini ana masih lagi aktif menggunakannya. Alhamdulillah, syukur banyak-banyak kepada Allah kerana setakat ini ana bebas daripada terlibat dengan hutang kad kredit. Kerana sepanjang tempoh 5 tahun ini ana bayar kesemua jumlah yang dibilkan dalam penyata kad kredit. Selain itu, ana sentiasa memantau akaun kad kredit melalui internet.

Tahun pertama ana guna kad bank Islam. Tiada caj perkhidmatan untuk tahun tersebut (Biasalah bank buat promosi). Setelah masuk tahun kedua, ana kena caj RM60.00 pada awal tahun 2003. Rupa-rupanya bank kenakan caj (yuran tahunan) ini diawal tahun lagi. Pada masa itu terdetik dihati rasa tidak puas hati (kepada bank Islam). Sebelum tamat tempoh penggunaan tahun yang kedua itu (dalam bulan 11, atau awal bulan 12) ana call bank untuk batalkan kadnya.

Tahun 2004 sehingga kini ana guna kad kredit CitiBank. Setelah 3 tahun had yang dibenarkan pula mencapai RM16,500.00. Alhamdulillah setakat ini ana tidak pernah mengeluarkan walau satu sen untuk dibayar kepada CitiBank. Tahun pertama memang tidak dikenakan yuran tahunan, kemudian untuk tahun yang kedua sehingga kini ana tukar pula kepada plan ‘free for life’. Syaratnya hanya mudah iaitu belanja sekurang-kurangnya dua kali setiap bulan. Setakat ini, ana tidak pernah lagi guna kad kredit kurang daripada 10 kali sebulan. Minyak kereta sahaja dah 4 hingga 6 kali.

Kemudahan
Kelebihan menggunakan kad kredit selain tidak perlu bawa banyak tunai dalam bag duit terutama apabila kita ‘outstation’ ia boleh membantu kita mengetahui sebanyak mana perbelanjaan bulanan. Jadikan kad kredit cara pembayaran pilihan terutama apabila anda ingin membayar bil-bil. Begitu juga membeli belah. Anda sepatutnya mencari kedai-kedai besar seperti supemarket, hypermarket dan kedai-kedai borong yang menyediakan kemudahan bayaran kad kredit.

Kalau boleh, beli sekali untuk bekalan sebulan atau paling minima untuk bekalan setengah bulan. Perkara-perkara seperti beras, susu anak, bahan-bahan kering seperti bawang dan sebagainya yang semestinya kita akan beli dan guna. Wang tunai seboleh-bolehnya tidak digunakan melainkan pada waktu kecemasan. Rancanglah kewangan keluarga anda berbantukan kad kredit.

Sekiranya anda ingin membeli barang yang bernilai tinggi, contohnya komputer, peti sejuk dan sebagainya (terutama alat-alat elektronik dan perabot) maka pilihlah cara menggunakan kad kredit tanpa faedah. Dengan cara ini anda bukan sahaja cepat menikmati barangan tersebut malah beban kewangan juga berkurangan. Sama sahaja amaunnya dengan bayar tunai. Namun, perlu anda ingat untuk membayar bil kad kredit sepenuhnya. Jika tidak anda akan dikenakan caj oleh bank pula. Lama kelamaan anda berhutang.

Hutang
Pada ana, masalah hutang kad kredit tidak timbul sekiranya kita tahu menggunakan kad kredit dengan baik. Iaitu niat menggukan kad kredit bukan untuk berhutang sebaliknya untuk memusatkan perbelanjaan sahaja. Selain itu untuk memudahkan kita melakukan pembelian. Bayaran pun kepada hanya satu sahaja iaitu ke bank yang mengeluarkan kad tersebut.

Jangan gunakan tunai sekiranya anda boleh guna kad kredit dan jangan mula menggunakan kad kredit sekiranya anda hanya tahu menghabiskan wang tunai. Jangan sesekali anda menggunakan kedua-duanya sekali untuk memuaskan hawa nafsu yang sememangnya tidak pernah kenal erti puas! Pilih salah satu cara pembayaran sahaja untuk setiap belian anda. Samada tunai, atau kad kredit yang anda bayar semua bilnya nanti.

Sekian, wassalam.

Minda terikat

Pengurusan kewangan efektif adalah suatu kemahiran perlu bagi setiap individu. Dalam Islam, pengurusan kewangan merupakan ajaran yang sangat dititikberatkan. Penerimaan individu muslim terhadap ketetapan agama di dalam menguruskan kewangan mereka akan melahirkan seorang yang bukan sahaja kaya pada mata fizikal, malah kaya daripada segi jiwanya sebagai seorang hamba. Dalam erti kata yang lain merasai nikmat kekayaan tersebut dan boleh pula dijadikan pemangkin kepada kebahagiaan jiwa. Semakin usia meningkat semakin tenang perjalanan kehidupannya.

Islam mewajibkan umatnya bekerja keras dan bersungguh-sungguh sehingga mampu mengeluarkan zakat. Zakat harta dikeluarkan sekiranya harta yang dimiliki telah cukup nisab dan haulnya pada kadar 2.5 peratus. Dalam Islam, zakat yang dikeluarkan ini sama sekali tidak akan mengurangkan harta yang dimiliki seseorang malah sebaliknya akan menyuburkan lagi harta tersebut. Walaupun pada zahir ianya nampak telah ditolak sebanyak 2.5 peratus tetapi Islam mendidik umatnya percaya kepada perkara batin juga. Pada hakikatnya, zakat bermaksud suci dan subur. Sekiranya individu mengeluarkan zakat, maka hartanya akan menjadi suci (nikmat kewujudan harta akan dirasai) dan subur (rezekinya yang berbentuk ghaib -tidak nampak oleh mata kasar- akan menjadi bertambah).

Sebab umat lemah
Kelemahan umat Islam hari ini diperhatikan kerana lemahnya pengurusan kewangan mereka sendiri. Ianya bermula daripada niat lagi. Jarang umat Islam menanam niat bekerja bersungguh-sungguh hingga sampai boleh mengeluarkan zakat. Apa sahaja pekerjaan yang dilakukan niatnya hanya cukup menyara hidup keluarga. Ana sedikit terkejut kerana nisab harta yang layak dikeluarkan zakat hari ini mencecah RM6,850 (rujukan Jabatan Agama Islam Sarawak, hujung Ramadhan 2007) iaitu sama dengan 85 gram emas. Ini menunjukkan seseorang perlu bekerja lebih keras agar pendapatannya mencecah angka tersebut sehingga memungkin mereka mengeluarkan zakat.

Perkara kedua yang diperhatikan melemahkan umat Islam ialah mereka hanya nampak pada zahir harta fizikal (wang ringgit) sahaja. Untuk mendapatkan harta fizikal itu pula mereka hanya nampak usaha daripada tulang empat kerat mereka sahaja. Sebagai contoh guru hanya nampak air liurnya sahaja dapat menghasilkan pendapatan. Seorang petani pula, hanya nampak usahanya mengerjakan sawah itulah yang menghasilkan pendapatan. Begitulah seterusnya. Paling bahaya sekiranya mereka semua ini langsung tidak nampak Allah yang memberikan rezeki.

Hasil daripada itu, apabila mereka dapat (wang ringgit) maka sebolehnya akan dibelanjakan sehingga habis. Kadang-kadang mereka berbelanja dahulu (samada menggunakan kad kredit, hutang peribadi dan sebagainya) dengan jangkaan gaji yang mereka dapat hujung bulan atau hasil jualan pertanian dan seterusnya. Lebih teruk lagi kalau mereka berbelanja dahulu itu melebihi hasil bulanan kerana ura-ura akan dinaikkan gaji atau harga hasil pertanian akan naik. Mereka tidak sabar untuk tunggu melihat duit itu sebelum berani berbelanja. Akhirnya kerja mereka diniatkan untuk bayar hutang (yang sepatutnya diniatkan untuk mengeluarkan zakat)

Ajaran Islam
Nabi menyarankan agar umat Islam merancang pendapatan mereka. Hanya 1/3 sahaja untuk dibelanjakan bagi menyara diri dan keluarga. 1/3 lagi untuk dibelanjakan ke jalan Allah manakala 1/3 lagi untuk simpanan (samada untuk tujuan hari susah atau untuk dilaburkan). Nabi juga menyarankan umatnya berniaga (secara saintifiknya perniagaan memerlukan tenaga atau modal atau kedua-duanya sekali yang bekerja).

Umat Islam juga disarankan agar tidak mudah mengikut hawa nafsu yang suka menunjuk-nunjuk. Sebaliknya, perangai mereka hari ini apabila mula sahaja bekerja sudah pandai memiliki kereta mewah, rumah mewah dan sebagainya yang mewah-mewah. Tidak lain dan tidak bukan hanya mengikut kehendak nafsu sendiri yang tidak betah mengalah kepada orang lain (walaupun orang lain yang menjadi persaingannya telah bekerja selama berpuluh tahun, cuma jawatan sahaja yang sama contoh guru)

Sepatutnya, kalau pendapatannya dibahagi sebagaimana saranan Nabi, 10 tahun bekerja duit 1/3 yang disimpan itu tadi sudah dapat berdiri sendiri dan boleh menjanakan pendapatan kepada tuannya. Samada melalui pelaburan atau perniagaan yang lain. Sebagai contoh, sekiranya duit tersebut digunakan untuk membuat rumah kedai, rumah sewa dan sebagainya, tidakkah selain kita akan dapat gaji sebagaimana biasa (hasil tulang empat kerat) dan juga sebagai tambahan duit sewa (hasil kerja wang simpanan kita). Tidak mustahil setelah hampir umur 40 tahun, kita sudah boleh pencen daripada kerja menggunakan tulang empat kerat sebaliknya kehidupan kita sudah dapat dibiayai oleh hasil kerja wang ringgit atau harta kita (yang subur kerana dizakatkan).

Dengan demikian, barulah hasrat orang Islam untuk berehat di kala pencen akan tercapai. Bukan semakin pencen semakin penat membanting tulang empat keratnya. Perkara yang perlu diingati, tenaga kita semakin hari semakin berkurangnya kudratnya, manakala harta kita sekiranya ia bekerja untuk kita, semakin hari semakin kuat kuasanya.

Cerdik pandai menyatakan, tidak dikira kaya seseorang yang bekerja untuk harta, tetapi kaya sebenar adalah apabila harta yang bekerja untuk tuannya. Fikir-fikirkan untuk mula menabung dan melakukan perniagaan.

Wallahu aklam.