Kalau sudah rezeki

Hari ini ana teringat kisah seorang bilal kampung ana dahulu. Sebenarnya kampung tempat tumpah darah. Tapi kini ana berkampungkan tempat baru. Nama pun kampung baru. Kampung lama dulu keluarga ana hanya tinggal di atas tanah milik orang. Lama kelamaan terpaksa juga kami pindah. Ke kampung sekarang ini. Tetapi ana tak nak ingatkan kisah pindah randah cuma ana nak kongsikan ingatan ana ini kepada Allahyarham bilal kampung tersebut. Kisah ni dah lama. Tapi pengajarannya ana simpan sampai bila-bila dan akan ana warisi turun temurun.

Ia tentang seorang bilal. Kerjanya membajak tanah untuk para petani. Beliau (pada masa itu) menggunakan jentera pembajak tanah yang ana panggil “kete gala”. Sekarang ni pun jika ana terserempak dengan ‘kete gala’ seumpamanya ana pasti teringatkan kisah berkenaan. Allahyarham bilal itu selalu mengadakan ceramah maghrib (atau lebih tepat ana namakan sebagai sesi bercerita dan mengambil teladan) tentang kisah-kisah para Nabi. Kadang-kadang beliau menceritakan kisah hidupnya untuk dikongsi dan dimanfaatkan pengajarannya secara bersama oleh para hadirin yang datang bersolat jemaah maghrib dan isyak. Sementara menunggu masuk waktu isyak.

Kisahnya pada suatu hari, beliau membajak tanah sehingga hampir masuk waktu maghrib. Tidak sedar bahawa beliau telah pergi terlalu jauh dan susah pula hendak pulang ke rumah (ya lah, naik ‘kete gala’ bukan selaju dan boleh pecut macam kete wira). Esok pun beliau akan meneruskan kerja membajaknya juga. Jadi beliau mengambil keputusan ingin bermalam sahaja di sebuah surau yang ada di kampung berkenaan. Keluarganya di rumah pasti sahaja sedia maklum kerana sebelum ini pun beliau pernah asyik membajak dan terpaksa bermalam di tempat kerja (surau kampung).

Setelah sampai di surau tempatnya akan menghabiskan sepanjang malam itu, beliau terus sahaja menyiapkan diri kerana waktu maghrib pun sudah sangat hampir. Kaum muslimin dan muslimat sudah mula datang ke surau bagi menunaikan solat secara berjamaah. Kebanyakkan orang kampung berkenaan juga mengenali beliau. Mereka malah mengalu-alukan beliau untuk menginap di surau kampung mereka. Kebetulan, Allahyarham bilal ini warak dan alim juga orangnya. Berkhidmat kepada orang alim merupakan kebanggaan kepada setiap orang muslim (pada ketika itu).

Selepas sahaja solat isyak (kebiasaanya beliau akan pulang ke rumah dan menikmati makan malam bersama keluarga) terus beliau teringat yang beliau belum menjamah makanan (nasi) semenjak tengahari. Sepanjang kerja hanya meminum air kosong dan sedikit bekalan kuih muih daripada isterinya. Itupun awal pagi tadi. Perut pula mula mengeluarkan bunyi tanda minta diisi. (mengikut fakta ceramah kesihatan yang sempat ana hadiri, sekiranya tiba waktu makan, mengikut jadual makan kita, perut akan mula mengeluarkan enzim dan asid perlu untuk aktiviti penghadaman, dan persediaan2 tersebut kadang2 akan mengeluarkan bunyi yang kita selalu namakan sebagai isyarat untuk makan). Kebetulan malam itu pula tidak ada tanda-tanda ada orang mengadakan jamuan (biasanya orang Kelantan akan menjemput para jemaah surau atau masjid sekiranya mereka melakukan kenduri atau apa sahaja jamuan makan)

Oleh kerana tidak nampak kedai yang menjual makanan di sekitar surau itu, beliau mengambil keputusan untuk tidur tanpa makan malam. Beliau memujuk diri mengatakan ‘esok sahajalah kita ambil sarapan’ (biasa orang kampung di Kelantan tidak jual makanan pada waktu malam kecuali jika di kedai makan khas, tetapi jika waktu pagi, ada sahaja gerai yang dibuka untuk menjual kuih muih, nasi dagang, nasi lemak, nasi kerabu dan pelbagai juadah sarapan pagi, kat kedai makan pula ada roti canai dan segala jenis minuman).

Cuma sebelum melelapkan matanya, secara tidak sengaja beliau bermunajat di dalam hati kepada Allah “Tuhan, hambamu hari ni sedang lapar ni, izinkanlah matanya agar mudah lelap”. Memanglah kebiasaannya jika lapar susah sikit hendak tidur. Maka beliau mencari ruang yang sesuai untuk beristirehat. Seperti biasa beliau menghabiskan wirid-wirid rutinnya sebelum merebahkan badan.

Sebentar kemudian, terdengar ada orang memberi salam. “Ayah jemput tuan untuk makan malam di rumah kami” Katanya setelah salam dijawab.

Sekian, wallahu aklam.

p/s: Sebagai seorang hamba, jangan kita fikir rezeki yang datang kepada kita semuanya hasil usaha kita. Sebenarnya Allah lah yang memberi rezeki. Cuma kebanyakkan rezeki datang kepada kita melalui hasil usaha kita. Jangan ingat apabila kita berbuat baik maka kerana kita yang sukakan kebaikan dan kerana kita sihat, ada kemudahan dan kelapangan untuk berbuat baik. Sebenarnya Allah yang dengan kasih sayangnya memilih kita dan menguatkan kita untuk melakukan kebaikan. Jika kita sedar dan bersyukur, nikmat-nikmat tersebut akan ditambah dan sekiranya kita lalai dan syok sendiri, maka azab Allah bakal menanti. Berdoalah selalu agar kita sentiasa disayangi Allah.. doa, itu sahajalah hak kita, dan yang lain-lainnya adalah hak Allah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: