Tempat persinggahan

Dunia adalah satu perkataan yang berasal daripada bahasa Arab. Bermaksud rendah atau kurang. Dunia ini penuh dengan kekurangan dan ketidaksempurnaan. Segala apa yang ada di dunia bermula dengan sistem galaksinya sehinggalah kehidupan manusia, semuanya penuh dengan segala kekurangan. Semuanya juga menuju ke arah kemusnahan. Tidak ada apa yang perlu manusia banggakan dengan kehidupan mereka di dunia. Walau apa jua pencapaian manusia di dunia, ia tetap kurang dan menuju kemusnahan. Kerana semua yang terkandung dalam alam dunia adalah rendah dan kurang serta menuju pula kepada kemusnahan.

Kebanyakan manusia telah lupa hakikat ini kerana terlalu leka dengan keasyikan dan tipu daya kehidupan di dunia. Nafsu mereka telah menipu mereka. Hanya nafsu dan perjalan kehidupan yang mereka pilih telah menyesatkan. Manakala dunia dengan segala isinya telah dijadikan Allah sebagai alat bagi memenuhi keperluan hidup manusia semata-mata. Sekiranya digunakan ke arah kebaikan maka ia akan bermanfaat untuk manusia di dunia dan berterusan ke akhirat. Namun sekiranya digunakan ke arah sebaliknya, mungkin nampak berjaya juga di dunia, tetapi yang pasti adalah kehinaan di akhirat. Contohnya besi yang menghasilkan pisau.

Kesedaran 
Bagi manusia yang sedar, mereka akan mengambil dunia hanya sebagai tempat persinggahan selama mereka mencari bekalan kehidupan yang berkekalan di akhirat. Ibarat seorang petani yang keluar dari rumahnya pada awal pagi menuju ke sawah bendang untuk bertani. Mereka membuat sebuah pondok di tengah-tengah sawah untuk berehat seketika. Makan dan minun pun bekalan dari rumah yang disediakan ala kadar. Begitulah kerja mereka sementara menunggu hari menuai. Setelah itu, segala hasil tanaman akan dibawa pulang ke rumah.

Mustahil seorang petani akan membuat sebuah pondok di tengah sawah yang mengalahkan rumahnya sendiri. Daripada segi besar dan mewahnya. Takanlah di rumahnya yang tidak ada elektrik akan dimasukkan elektrik di pondok. Dihiasi pula dengan lampu yang bergemerlipan. Di pasangkan jubin daripada marmar atau intan berlian dan dihiasi pula dengan perhiasan import yang mengalahkan rumahnya sendiri. Kerana tempat kembalinya seorang petani adalah ke rumahnya. Kehidupan di pondok tengah sawah itu hanya sementara menunggu tibanya musim menuai.

Begitulah juga kehidupan manusia di dunia. Apakah patut kita mengadakan kemewahan hidup yang melampau-lampau? Rumah besar, kereta besar dan segalanya yang besar dan mewah. Apakah tujuan hidup kita hanyalah di dunia yang penuh dengan kekurangan ini? Tidakkah kita dijadikan oleh Allah sebagai makhluk yang paling sempurna. Takanlah kita paling sempurna jikalau hidup kita tidak mampu diukur langsung dengan umur matahari? Jikalau hendak diukur umur kita dengan mana-mana bintang pula berapakah nisbahnya? Kalau dibandingkan kemampuan deria kita dengan haiwan, manakah lebih baik? Masakah kita adalah makhluk yang sempurna kalau tidak ada alam selepas dunia ini yang padanya kita akan dikembalikan dan di sanalah kesempurnaan manusia itu dapat dicapai.

Cabaran 
Orang kata umat Islam mestilah berdiri sama tinggi dengan umat lain. Mesti jadi contoh. Apakah mekanisme contoh itu? Adakah nafsu atau ajaran Islam? Perlukah sekiranya orang bukan Islam buat rumah mewah maka orang Islam juga perlu sedemikian? Kalau begitulah maka rumah Ibnu Sina pun besar. Rumah Imam Syafie pun besar. Malah rumah nabi? Adakah ia besar dan mewah? Jadi apakah mekanisma kita selaku umat Islam?

Kalau kita beli rumah besar, hutang kita juga besar. Faedah bank ke atas gaji kita turut besar. Bayangkan sekiranya rumah harga RM300,000.00 maka kita terpaksa membayar gaji pekerja bank (sebab dengan faedah pinjaman kita itulah antara sebab bank dapat beroperasi dan mampu bayar gaji pekerjanya) sebanyak Rm100,000.00 lebih. Berapa orang sudah boleh kita taja untuk menunaikan fardhu haji dengan duit sebanyak itu? Kalau beli rumah kecil, selain kita sendiri dapat naik haji ia juga mengajar anak dan generasi kita erti susah di dunia, kita juga kurang tersempit dengan masalah kewangan. Yang turut besar bersama rumah besar hanyalah nafsu. Sebalinya rumah yang kecil, akan besarlah jiwa. Nabi hanya meninggalkan wang cukup beli kain kafannya sahaja. Tetapi meninggalkan akhlak al-Quran. Meninggalkan generasi yang baik. Sehingga ke hari ini dan sampai kiamat, jasa Baginda akan dikenang orang. Jasa kita sampai mana?

Umat Islam sepatutnya memiliki hati dan budi yang besar. Nilai murni yang terhasil daripada Akidah Islam dan Syariat Islam yang diamalkan sehari-hari. Kekayaan Muslim itu bukan terletak nilainya pada kemewahan fizikal, tapi kemewahan atau kayanya jiwa dan jatidiri. Kayanya akhlak Nabi sehingga diistilahkan oleh isterinya sebagai al-Quran. Kayanya kita apabila isteri kita megah dengan rumah (kehidupan dunia) yang mewah? Sebenarnya kaya dan mewah pada mata tapi miskin dan hina pada hati. Jauhnya kita telah ditipu oleh dunia.

Kesimpulan
Kita telah lama sesat dengan tipu daya kehidupan orang lain yang menjadikan kehidupan di dunia adalah segala-galanya. Kita ditipu oleh ego dan nafsu sendiri yang tidak boleh bersabar atas kelebihan orang lain yang nampak pada mata kasar di dunia. Sebaliknya sekiranya kita tahu, masakan kita terlalu mengejar dunia dengan segala kemewahannya sehingga melupakan kita akan tempat sepatutnya yang akan kita kembali. Lupa rumah sebenar kita. Lupa asal usul dan matlamat kejadian kita. Sebagai hamba untuk mengabdikan diri kepada Allah. Di samping melakukan persiapan bagi kehidupan akhirat berlandaskan panduan yang telah ditetapkan oleh Allah jua.

Wallahu aklam.

p/s: Tidak dikira kaya orang yang banyak harta dunia, tapi kaya sebenar adalah kayanya jiwa.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: