Pantai Irama, Bachok

Welcome to Pantai Irama


Ngauman ombak laut yang telah kedengaran sejauh 7 kilometer terlalu menggamit perasaan untuk menjenguk tepian pantai pada musim tengkujuh ini. Melihat sendiri keadaan laut yang bergelora sedikit sebanyak memberikan keinsafan betapa kerdilnya umat manusia berbanding Yang Maha Pencipta. Firman Allah yang bermaksud; “sekiranya dijadikan lautan sebagai tinta sekalipun tidak dapat lagi jika hendak ditulis segala nikmat Allah”.

Sederhana
Pantai Irama tidaklah secantik pantai-pantai atau tempat peranginan yang biasa pernah kita kunjungi. Ia memiliki daya tarikan yang sangat tersendiri dan unik. Sekiranya hendak diukur daripada segi kemudahan infrastruktur, banyak juga perkara atau penambahbaikan yang perlu dilakukan. Cuma melalui pemerhatian ana, pantai ini unik kerana 100% pengunjungnya adalah orang kita. Juga kedai-kedai atau peniaga pun adalah orang kita. Jumlah pengunjungnya pula tersangat ramai dan meriah. Bermula daripada anak-anak kecil sehinggalah warga emas. Bawa keluarga beristirehat tanpa memilih dan mengenal usia. Warna warni beginilah yang menjadikan pantai ini unik.

 Bassyar dan Iffa

Angin dan ombak
Musim begini angin lautnya memang kuat. Ombaknya juga tinggi dan deras pula. Kelihatan anak-anak kecil agak sukar membuka mata apabila sesekali dibawa menghadap muka ke pantai. Kadang-kadang menjadikan mata mereka sedikit berair. Ada juga sebahagian pengunjung yang sekadar duduk dalam kereta kerana tidak tahan dengan tiupan angin yang sangat menyejukkan badan. Sebaliknya, perkara sebegini menjadi kesukaan pula kepada anak-anak muda yang kelihatan leka bermain dan berlari kejar mengejar sesama sendiri. Kebahagian jelas terpancar di wajah orang tua yang sedang menyaksikan mereka membesar. Seterusnya menjadi dewasa.

Pengorbanan dan perjuangan
Ombak yang sebesar ini juga mengingatkan ana betapa seorang ayah sanggup menggadaikan nyawanya demi memelihara dan membesarkan anak-anak dan membahagiakan rumahtangga tercinta. Ketika musim tengkujuh beginilah harga ikan pula melambung tinggi. Udang dan ketam juga seakan-akan memanggil para nelayan untuk turun ke laut mengimpikan keuntungan berbanding baki musim-musim yang lain. Walaupun susah mengendalikan sampan yang kecil, walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko pukat terkoyak dek arus yang deras, namun demi mencari sesuap nasi dan rezeki bagi membeli kelengkapan sekolah anak-anak, para nelayan kecil tersebut melupakan seketika maut yang diibaratkan sebagai telur di hujung tanduk itu.

Teringat lagi ana kepada suatu peristiwa yang sangat dahsyat menimpa ayah di musim tengkujuh mungkin berbelas tahun yang lalu. Ketika itu, kami semua menanti kepulangan ayah di tepian pantai. Melihat kepada ombak yang begitu garang serta suaranya ibarat singa lapar sudah cukup menggerunkan semua yang hadir. Manakala ayah dan rakan-rakannya (awak-awak kapal) mencari-cari arus yang sesuai bagi mendaratkan hasil tangkapan mereka pada hari itu. Orang kata “eh, ayahmu orang hebat mengemudikan perahu dalam keadaan macam ni”

Malang tidak berbau.
Setelah lama menunggu, mereka menetapkan di antara ombak yang hendak dirempuh. Seperti biasa ayah membelokkan perahunya yang dipandu menggunakan enjin kuasa 20 kuda itu menuju ke pantai. Dengan tidak semena-mena, datang satu lagi ombak yang sangat besar di belakang perahu mereka seterusnya mengangkat bahagian belakang perahu maka terjunamlah bahagian hadapannya. Dahsyat peristiwa itu.

Dalam masa yang sangat pantas maka tenggelamlah perahu ayah bersama dengan segala peralatan memukatnya dan juga hasil tangkapan mereka hari itu. Alhamdulillah, umur mereka semua panjang maka sempat mereka berenang ke tepian manakala rezeki ayah juga tidaklah begitu kurang sehingga perahunya tidak pecah dan dapat diselamatkan kerana tindakan menyelamat yang cepat dilakukan olehnya bersama rakan-rakan nelayan dan orang-orang kampung. Hamdan Lillah

Kata orang
Hujan emas di tempat orang, hujan batu di negeri sendiri lebih suka tempat sendiri. Kebahagiaan yang sebenar kadang-kadang bukan terletak pada kemewahan fizikal semata-mata. Ia pada hakikatnya merujuk kepada hati. Kesejahteraan hati, itulah yang utama.

** Selamat datang ke Pantai Irama, Bachok Kelantan.

Wassalam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: