Minda terikat

Pengurusan kewangan efektif adalah suatu kemahiran perlu bagi setiap individu. Dalam Islam, pengurusan kewangan merupakan ajaran yang sangat dititikberatkan. Penerimaan individu muslim terhadap ketetapan agama di dalam menguruskan kewangan mereka akan melahirkan seorang yang bukan sahaja kaya pada mata fizikal, malah kaya daripada segi jiwanya sebagai seorang hamba. Dalam erti kata yang lain merasai nikmat kekayaan tersebut dan boleh pula dijadikan pemangkin kepada kebahagiaan jiwa. Semakin usia meningkat semakin tenang perjalanan kehidupannya.

Islam mewajibkan umatnya bekerja keras dan bersungguh-sungguh sehingga mampu mengeluarkan zakat. Zakat harta dikeluarkan sekiranya harta yang dimiliki telah cukup nisab dan haulnya pada kadar 2.5 peratus. Dalam Islam, zakat yang dikeluarkan ini sama sekali tidak akan mengurangkan harta yang dimiliki seseorang malah sebaliknya akan menyuburkan lagi harta tersebut. Walaupun pada zahir ianya nampak telah ditolak sebanyak 2.5 peratus tetapi Islam mendidik umatnya percaya kepada perkara batin juga. Pada hakikatnya, zakat bermaksud suci dan subur. Sekiranya individu mengeluarkan zakat, maka hartanya akan menjadi suci (nikmat kewujudan harta akan dirasai) dan subur (rezekinya yang berbentuk ghaib -tidak nampak oleh mata kasar- akan menjadi bertambah).

Sebab umat lemah
Kelemahan umat Islam hari ini diperhatikan kerana lemahnya pengurusan kewangan mereka sendiri. Ianya bermula daripada niat lagi. Jarang umat Islam menanam niat bekerja bersungguh-sungguh hingga sampai boleh mengeluarkan zakat. Apa sahaja pekerjaan yang dilakukan niatnya hanya cukup menyara hidup keluarga. Ana sedikit terkejut kerana nisab harta yang layak dikeluarkan zakat hari ini mencecah RM6,850 (rujukan Jabatan Agama Islam Sarawak, hujung Ramadhan 2007) iaitu sama dengan 85 gram emas. Ini menunjukkan seseorang perlu bekerja lebih keras agar pendapatannya mencecah angka tersebut sehingga memungkin mereka mengeluarkan zakat.

Perkara kedua yang diperhatikan melemahkan umat Islam ialah mereka hanya nampak pada zahir harta fizikal (wang ringgit) sahaja. Untuk mendapatkan harta fizikal itu pula mereka hanya nampak usaha daripada tulang empat kerat mereka sahaja. Sebagai contoh guru hanya nampak air liurnya sahaja dapat menghasilkan pendapatan. Seorang petani pula, hanya nampak usahanya mengerjakan sawah itulah yang menghasilkan pendapatan. Begitulah seterusnya. Paling bahaya sekiranya mereka semua ini langsung tidak nampak Allah yang memberikan rezeki.

Hasil daripada itu, apabila mereka dapat (wang ringgit) maka sebolehnya akan dibelanjakan sehingga habis. Kadang-kadang mereka berbelanja dahulu (samada menggunakan kad kredit, hutang peribadi dan sebagainya) dengan jangkaan gaji yang mereka dapat hujung bulan atau hasil jualan pertanian dan seterusnya. Lebih teruk lagi kalau mereka berbelanja dahulu itu melebihi hasil bulanan kerana ura-ura akan dinaikkan gaji atau harga hasil pertanian akan naik. Mereka tidak sabar untuk tunggu melihat duit itu sebelum berani berbelanja. Akhirnya kerja mereka diniatkan untuk bayar hutang (yang sepatutnya diniatkan untuk mengeluarkan zakat)

Ajaran Islam
Nabi menyarankan agar umat Islam merancang pendapatan mereka. Hanya 1/3 sahaja untuk dibelanjakan bagi menyara diri dan keluarga. 1/3 lagi untuk dibelanjakan ke jalan Allah manakala 1/3 lagi untuk simpanan (samada untuk tujuan hari susah atau untuk dilaburkan). Nabi juga menyarankan umatnya berniaga (secara saintifiknya perniagaan memerlukan tenaga atau modal atau kedua-duanya sekali yang bekerja).

Umat Islam juga disarankan agar tidak mudah mengikut hawa nafsu yang suka menunjuk-nunjuk. Sebaliknya, perangai mereka hari ini apabila mula sahaja bekerja sudah pandai memiliki kereta mewah, rumah mewah dan sebagainya yang mewah-mewah. Tidak lain dan tidak bukan hanya mengikut kehendak nafsu sendiri yang tidak betah mengalah kepada orang lain (walaupun orang lain yang menjadi persaingannya telah bekerja selama berpuluh tahun, cuma jawatan sahaja yang sama contoh guru)

Sepatutnya, kalau pendapatannya dibahagi sebagaimana saranan Nabi, 10 tahun bekerja duit 1/3 yang disimpan itu tadi sudah dapat berdiri sendiri dan boleh menjanakan pendapatan kepada tuannya. Samada melalui pelaburan atau perniagaan yang lain. Sebagai contoh, sekiranya duit tersebut digunakan untuk membuat rumah kedai, rumah sewa dan sebagainya, tidakkah selain kita akan dapat gaji sebagaimana biasa (hasil tulang empat kerat) dan juga sebagai tambahan duit sewa (hasil kerja wang simpanan kita). Tidak mustahil setelah hampir umur 40 tahun, kita sudah boleh pencen daripada kerja menggunakan tulang empat kerat sebaliknya kehidupan kita sudah dapat dibiayai oleh hasil kerja wang ringgit atau harta kita (yang subur kerana dizakatkan).

Dengan demikian, barulah hasrat orang Islam untuk berehat di kala pencen akan tercapai. Bukan semakin pencen semakin penat membanting tulang empat keratnya. Perkara yang perlu diingati, tenaga kita semakin hari semakin berkurangnya kudratnya, manakala harta kita sekiranya ia bekerja untuk kita, semakin hari semakin kuat kuasanya.

Cerdik pandai menyatakan, tidak dikira kaya seseorang yang bekerja untuk harta, tetapi kaya sebenar adalah apabila harta yang bekerja untuk tuannya. Fikir-fikirkan untuk mula menabung dan melakukan perniagaan.

Wallahu aklam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: