Manjakan anak

Pepatah mengatakan “sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan”. Umum sememangnya telah sedia maklum akan pengajaran daripada pepatah tersebut. Cuma tahap makluman mungkin belum mencapai tahap mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. Mungkin kerana kurang percaya dengan ketepatannya atau mungkin tiada keberanian.

Pepatah lain menyebut “didik anak biarlah dari rebungnya”. Iaitu membentuk anak-anak mestilah dimulakan dari kecil. Pembentukan anak tersebut pula hendaklah secara menyeluruh. Jasmani, rohani, fizikal, mental, psikologi dan sebagainya. Mengajar anak erti kehidupan yang sebenarnya dan bagaimana ingin hidup di dalam kehidupan di dunia yang menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Nabi SAW pula berpesan “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih secara semulajadi), maka kedua ibubapanya lah yang menjadikannya samada seorang Nasrani ataupun Majusi”. Iaitu melalui pendidikan. Di sini Nabi menyatakan ibubapa yang mendidik anak, bukan guru atau pihak lain. Lebih tepat sekiranya diperkecilkan skop pendidikan rohani dan bagaimana ingin hidup dalam kehidupan yang membawa kebahagiaan.

Masalah
Hari ini ramai pihak menghadapi masalah berhadapan dengan anak sendiri. Di dada-dada akhbar cukup banyak membuktikan bahawa ramai ibubapa kini takutkan anak sendiri lebih daripada orang di luar rumahnya. Sehingga sepatah haram pun tidak ditegur anak sekiranya melakukan perbuatan terlarang. Lebih suka dipilih jalan mendiamkan diri. Dan saban hari juga kita terbaca anak yang mencabuli ibubapa, memukul, mendera bahkan sehingga membunuh ibubapa!

Tidakkah kita terfikir betapa seorang anak yang dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan tidak tahu apa-apa. Sebesar tapak tangan dengan berat kurang daripada dua kilo gula. Membesarlah si anak dan dengan tidak semena-mena menjadi besar lalu pandai pula menderhaka si ibu malah si bapa seterusnya melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak pernah terfikir akan dilakukan olehnya terhadap kedua orang tuanya sendiri. Maka muncul pula perkataan “Kalau aku tahu begini keadaannya nescaya aku picit-picit kamu semasa kecil”.

Masa
Kita sesungguhnya perlu ada masa untuk anak-anak. Masa untuk melihat dan memerhatikan pembesarannya. Mengisi kekosongan di jiwanya. Anak-anak lahir dalam keadaan tidak tahu apa-apa. Perkara duniawi atau ukhrawi. Jangan pula pengisian kita menjadi tidak seimbang. Penekanan hanya di sebelah pihak sahaja. Jadilah si anak membesar dalam keadaan tidak seimbang dan berat sebelah. Takutkan manusia lebih daripada Tuhan yang menciptakannya daripada tidak ada.

Tanya
Anak-anak perlu ditanya itu dan ini. Mereka juga bertanyakan ibu dan bapa itu dan ini. Kerana mereka perlu ilmu pengetahuan. Begitu juga ibu bapa. Perlu bertanyakan anak-anak terutama sekiranya anak sudah mula bersekolah, berkawan dan bermain di luar rumah. Soalan-soalan kita tentang pelajarannya, rakan-rakannya dan permainannya akan menjadikan anak lebih berhati-hati. Selain itu, soalan kita tersebut meyakinkan bahawa segala tindak tanduk mereka sedang diperhati dan diambil berat.

Sekat
Kadang-kadang kita perlu juga mengadakan beberapa sekatan. Polis pun melakukan sekatan jalan raya. Sekatan akan menyakin (keselamatan) suatu pihak dan menyedarkan (kesalahan atau kelalaian) satu pihak yang lain. Cuba bayangkan sekiranya tiada sekatan jalan raya dan kita pula mendengar di kawasan kita kerap berlaku kecurian berbanding sekiranya sekatan jalanraya kerap dilakukan.

Begitu juga anak-anak. Sekiranya selalu dimanjakan, apa sahaja yang diminta selalu sahaja diturutui. Tidak menjadi suatu kesalahan besar sekiranya permintaan mereka disekat sekali sekala. Biasanya balik sekolah berjemput, maka tidak salah sekiranya minta mereka balik jalan kaki (kalau sekolah dekat lebih kurang 2 kilometer) atau naik bas (sekiranya sekolah jauh). Sekiranya setiap kali tiba tarikh lahir akan dibelikan anak-anak dengan hadiah. Tidak menjadi dosa sekiranya tidak dibelikan kerana prestasi pelajaran tidak memuaskan. Begitulah seterusnya.

Ajarkan ‘pengajaran’
Setiap tindakan yang kita ambil terhadap anak-anak (samada denda, sekatan, pertanyaan) hendaklah disusuli pula dengan perbincangan. Ajar anak sejak kecil lagi bercakap dari hati ke hati. Apa yang menyebabkan kita suka dan tidak. Mereka tidak tahu dan tersangat ingin tahu kerana mereka lahir dalam keadaan kosong. Jangan ditunggu masa remaja baru nak bawa berbincang itu dan ini dengan anak-anak.

Hormat
Dengan demikian, kita akan mendapat nilai hormat anak terhadap ibubapa. Bukan perasaan marah jauh sekali perasaan dendam. Kalau mereka takut, apabila di luar rumah atau di luar penglihatan ibubapa maka mereka akan bermaharaja lela. Sebaliknya sekiranya mereka menghormati ibu bapa. Kerana perasaan hormat ini akan kekal bersama-sama mereka walau ke mana dan di mana mereka berada. Perasaan hormat tidak mengenal batasan tempat dan masa.

Kesimpulan
Perkara-perkara di atas kalau boleh disimpulkan sebagai pendekatan kasih sayang ibubapa terhadap anak-anak. Kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW bahawa “Barangsiapa yang tidak menyayangi maka tidak akan disayangi”. Kasih sayang perlu dipupuk dengan menggunakan pendekatan-pendekatan atau resepi tertentu. Ia tidak akan datang secara spontan begitu sahaja. Anak-anak dilahirkan tanpa mengenal apa itu kasih sayang. Ibubapanya lah yang akan mengajarkan si anak tentang kasih sayang tersebut.

Kasih sayang ini pula bukan seperti mengajar anak makan atau minum yang menggunakan fizikal. Kasih sayang diajar menggunakan hati dan perasaan. Semoga ia dapat dicapai dengan perkara-perkara yang telah dibincangkan di atas.

Wallahu aklam.

Advertisements

2 Komen (+add yours?)

  1. s
    Mac 05, 2008 @ 21:49:22

    isi semuanya lengkap… bagus!!!!success….

    Balas

  2. ibnrajab
    Mac 06, 2008 @ 21:57:22

    terima kasih.. semoga bermanfaat

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: