Selamat Hari Guru!

“Gayu guru gerai nyamai” adalah ucapan dalam bahasa Iban (Sarawak) yang bermaksud Selamat Hari Gawai sebenarnya. Itulah tahun pertama jadi guru dan kali pertama melihat kain rentang tersebut ana ingatkan ianya ucapan Hari Guru. “Wow, meriahnya sambutan hari guru di Sarawak, sehinggakan di merata tempat orang gantung ucapan” kata ana yang disambut gelak ketawa oleh rakan-rakan. Lalu mereka mencelah “Itu bukan ucapan untuk hari guru ustaz, itu ucapan hari gawai”. Kebetulan perayaan gawai dayak disambut pada 1 dan 2 jun setiap tahun. Jadi ucapan-ucapan berkenaan dengannya mula digantung pada pertengahan atau awal bulan Mei lagi. Yang menjadikan ana keliru sebab ada perkataan ‘Guru’ itu lah.

Hari ini 16 Mei kita meraikan hari guru (bukan merayakan sebab perayaan dalam Islam ada dua sahaja iaitu raya puasa dan raya haji). Sebenarnya setiap hari kita jumpa guru dan kita ucapkan terima kasih pada guru, tetapi kita peruntukkan hari ini khusus untuk kita meraikan para guru yang banyak berjasa kepada kita, negara dan agama. Seperti juga satu hari kita khususkan untuk mengingati dan meraikan saudara-saudara kita (hari lahir), atau ibu kita, ayah, pekerja, tentera, polis dan sebagainya.

Sambutan hari-hari istimewa seperti ini tidak terdapat dalam sejarah dan tamadun Islam. Zaman Rasulullah, tidak ada sambutan dilakukan kecuali sambutan hari raya aidil fitri dan aidil adhha. Begitulah juga pada zaman sahabat dan tebien (ketiga-tiga kurun yang terbaik). Hal ini kerana Islam lebih mementingkan ‘umum’. Maka jika sambutan hari raya, semua orang merayakannya samada guru, tentera, pekerja dan sebagainya. Sambutan hari-hari istimewa seperti ini (hari guru) disaring daripada adat sebenarnya. Sekiranya sesuatu adat itu tidak bertentangan dengan syarak maka kita dibenarkan untuk meraikannya.

Jasa Guru
Guru adalah orang kedua yang mendidik kita selepas ibubapa. Mereka menjadikan kita orang yang berilmu. Dengan ilmu itu kita menjadi orang yang paling takut kepada Allah lalu kita menjadi orang yang dekat dan diredhai Allah. Dalam al-Quran ditegaskan “Adalah orang yang berilmu itu yang paling takut kepada Allah”. Dengan perkataan lain, gurulah yang mendidik kita menjadi orang yang mengenali Allah, taat, tunduk dan patuh kepada ajaran-ajaranNya.

Pada ana, guru al-Quranlah sebenar guru. Kerana ia mengajar kita mengenali alif ba ta yang menjadi asas bacaan dalam solat bahkan menjadi asas memahami al-Quran (sumber primier syariat Islam). Lalu dengan Islam kita selamat dan sejahtera bukan sahaja kehidupan di dunia, bahkan sehingga kehidupan selepas kematian.

Guru-guru yang lain juga tidak kurang sumbangannya terhadap kita. Guru matematik mengajar otak kita agar berfungsi sebagaimana sepatutnya. Guru sejarah pula mengajar mengenali asal usul dan jati diri kita. Guru sains mengajar bagaimana menggunakan sumber-sumber yang ada di sekeliling bagi manfaat kehidupan dan begitulah seterusnya sumbangan-sumbangan guru bagi menjadikan kita seorang manusia yang tahu bagaimana menjalani dan berjaya dalam kehidupan di sini, dan di sana.

Penghargaan
Kita boleh sahaja (sekiranya nak) melahirkan penghargaan kepada guru. Samada kepada diri guru itu sendiri (kerana usahanya) atau kepada ilmu yang ada padanya. Menghargai ilmu itu akan menjadikan kita lebih dekat kepada Allah. Bahkan menjadikan kita orang yang paling taat kepadaNya. Ianya bermula dengan ucapan ‘terima kasih cikgu’ sekiranya diucapkan dengan seikhlas hati. Memberikan senyuman apabila berjumpa guru. Bertegur sapa dengan guru di mana sahaja kita menemui mereka. Bersalaman dengan guru (sama jantina sahaja). Menziarahi guru (terutama ketika mereka ditimpa musibah seperti sakit, kehilangan orang yang disayangi ataupun pada hari-hari istimewa seperti hari raya dan sebagainya).

Kita boleh juga meraikan guru seperti hari ini yang dikhususkan bagi mengingati segala jasa guru. Kita boleh mengarang sebuah sajak untuk guru, sebuah syair, puisi, cerpen dan pelbagai bentuk sastera yang bersifat seni. Sesungguhnya perkara-perkara seperti ini (terutama seni) perlu dibentuk, dan diajar kepada para pelajar. Tidak salah kalau seorang guru itu mengajar bagaimana palajarnya menghargai dirinya sebagai guru. Kerana memang tugas guru itu memimpin, mengajar dan memberi ilmu kepada muridnya.

Pengalaman ana selama lima tahun menjadi guru di sebuah sekolah. Memang ada diajar kepada murid bagaimana menghargai guru. Mereka dipimpin bagaimana mengelolakan sambutan hari guru di sekolah. Mereka diasuh mengatakan ucapan ‘terima kasih cikgu’ selepas setiap sesi pembelajaran. Mereka dididik juga agar sentiasa mengucapkan salam kepada guru. Tetapi ini terlalu sedikit berbanding dengan pengalaman ana di tempat-tempat lain (jika dilihat daripada sudut membentuk pelajar menghargai guru).

Kalau ana ingat balik. Semasa di sekolah menengah (SMA Yaakubiah). Setiap kali ada guru nak pindah, akan diadakan majlis perpisahan rasmi (Dalam waktu persekolahan). Begitulah juga jika ada guru yang nak pencen (Pengalaman di Maktab). Ana masih ingat, bila sahaja ada guru yang nak pindah samada terus pindah atau sambung belajar (masa tu untuk ambil kursus perguruan seperti KPLI bagi guru sandaran) atau guru praktikal yang dah tamat tempoh latihannya, maka kelas ana akan dirombak (bersama tiga empat kelas yang lain) untuk dijadikan dewan. Masa tu sibuklah para pelajar menyusun kerusi meja, ada juga yang menghiasi mana-mana sudut berkaitan, terutama yang membuat back drop dekat papan hitam menggunakan kapur. Suasana terkawal juga. Tidaklah mengambil masa yang lama pun. Bahkan tidak sedikit mengganggu proses pembelajaran kerana waktu belajar telah dipendekkan tadi bagi memberi ruang (masa) perhimpunan tersebut di akhir waktu persekolahan.

Pengalaman yang lain pula adalah melakukan solat hajat kepada guru (di Jordan bersama seorang pensyarah yang mengajar di kuliah dan juga talaqi) zikir dan tahlil (di Maktab ketika guru (pensyarah) ditimpa sakit, atau kehilangan ahli keluarga) dan sebagainya. Perkara-perkara seperti ini dilakukan semata-mata kerana seorang guru, kerana menghargai guru dan sebagai mengenang jasa mereka.

Perkara yang sama tidak pernah berlaku selama lima tahun ana mengajar. Sebuah perhimpunan khas  bagi meraikan guru dalam waktu persekolahan. Sebenarnya ia mendidik pelajar bagaimana menghargai guru dengan mengorbankan sedikit masa pembelajaran mereka (yang sangat berharga itu). Kerana ilmu dalam diri guru itu juga sama tinggi nilainya dengan masa yang mereka ada itu. Bahkan mungkin lebih bernilai kalau ia adalah ilmu agama. Kalau ia adalah ilmu tentang al-Quran dan sebagainya.

Yang lebih sedih lagi, kalau guru itu bukan seorang warden asrama, memang pelajar tidak tahu menahu langsung tentang perpindahan guru, pertukaran, sambung belajar dan sebagainya. Kerana jika warden, atau penyelia asrama pun (bukan guru), jika pindah akan diajar kepada pelajar asrama mengadakan sebuah sambutan bagi meraikannya, bagi menghargai jasa-jasanya.

Mungkin hari ini kita menyaksikan pelajar tidak nampak jasa guru melainkan pada hari guru seperti ini. Tidak pandai melahirkan perasaan menghargai guru dan menyelami perasaan guru pada setiap masa, pada kesempatan dan peristiwa-peristiwa yang mendatang kepada guru. Walau guru sakit, guru gembira atau apa sahaja, pasti pelajar tidak bersama mereka untuk bersama-sama berkongsi rasa kecuali pada hari guru. Yang sangat terhad itu.

Padahal hubungan guru-murid ini perlu lebih hebat. Kerana hubungan yang hebat sahaja akan mendatangkan kebaikan yang hebat juga. Bahkan maksima. Guru merasai keikhlasan mereka mengajar dan keikhlasan pelajar untuk belajar. Hanya perkara yang ikhlas akan melahirkan natijah yang hebat. Bukan sekadar guru mengajar pelajar hanya kerana sudah memang kerjanya mengajar manakala pelajar belajar hanya kerana tugasnya belajar.

Ana masih ingat, bagaimana ana dididik mengambilkan wudhuk guru. Bermula dengan membasuh tangannya (guru al-Quran lelaki), menyuap air ke mulutnya untuk berkumur, membasuh muka seterusnya hingga membasuh dan membelai jari jemari kakinya (rukun terakhir wudhuk). Suatu pengajaran yang mengandungi seribu satu falsafah.

Hari ini kita mencari keberkatan dalam perhubungan guru-murid. Kerana keberkatan itulah sebuah permata yang telah lama hilang. Semoga dengan sambutan hari guru ini mengajar kita bagaimana caranya untuk kembali mencari permata tersebut.

Selamat
Seterusnya ana mengambil peluang ini mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru yang telah (dan boleh dikatakan telah berjaya setakat ini) mendidik ana menjadi manusia. Kalaupun belum berguna kepada ramai orang tapi sekurang-kurangnya berguna untuk diri sendiri. Maka hari ini ana tahu serba sedikit tentang al-Quran, pandai solat dan mengerjakan ibadah, boleh berdikari untuk membina kehidupan yang sederhana dan sebagainya. semuanya bermula dari jasa guru-guru yang mendidik diri ini dengan ikhlas. Dari lubuk hati yang paling dalam ku ucapkan ‘jazakumullahi khairan kahtiran’. Dan juga doaku yang tidak putus-putus semoga kehidupan guru semua sentiasa dalam barakah dan rahmat Allah di dunia ini lebih-lebih lagi pada kehidupan di sana nanti.

Kepada semua guru yang ada pada hari ini, samada yang baru tahun ini merayakan hari guru, yang sama-sama berjuang sebagai guru di SM Teknik Matang dulu, rakan guru di Kuching (dan Gedong), rakan-rakan guru (pensyarah) di Institut Perguruan Rajang, rakan guru di semua sekolah, semua IPG, rakan guru yang sama-sama sambung belajar, juga adik beradik ana dan saudara mara yang jadi guru, Isteri ana yang juga seorang guru kepada anak-anak kita (dan juga guru KAFA), ku ucapkan Selamat Hari Guru! Semoga pengorbanan kalian mendapat balasan yang terbaik daripada Allah. Keikhlasan dirimu hanya Allah yang maha mengetahui. Wa kafa billahi syahiida..

Kepada rakan guru yang telah dipanggil menghadap Ilahi, marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada roh mereka. Semoga dicucuri rahmat yang berkekalan. Dan semoga Allah memberi kekuatan kepada ahli keluarga mereka yang ditinggalkan terutama isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sesunggunya peliharaan Allah itu jauh lebih baik daripada manusia.

Kepada semua… Selamat Hari Guru.. hayatilah guru, dan bekerjalah kerana nilai seorang guru! Wallahu aklam.

Advertisements

2 Komen (+add yours?)

  1. Amirah
    Mei 15, 2009 @ 19:08:07

    Selamat Hari Guru.

    IbnRajab: terima kasih amirah.. 🙂

    Balas

  2. Trackback: Selamat Hari Guru! « IbnRajab Online

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: