Masjid yang diperkasakan

Bismillahirrahmanirrahim, wa bihi nastaien

Masjid pada pemikiran orang biasa adalah tempat orang-orang Islam menunaikan ibadah. Pemikiran sebegini sebenarnya telah mengecilkan peranan masjid dan lebih bahaya lagi telah mengecilkan skop ibadah itu sendiri. Masjid memang berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud tempat sujud. Sujud itu pula adalah salah satu daripada rukun solat. Solat itu pula adalah di antara ibadah khusus orang-orang Islam. Oleh yang demikian, sebagai tafsiran yang mudah, mereka mengatakan masjid itu tempat orang Islam melakukan ibadah.

Maksud di sebalik tafsiran tersebut seolah-olah menjadikan masjid adalah satu-satunya tempat orang Islam beribadah. Tanggapan seperti itu sama sekali adalah salah. Kerana konsep ibadah dalam Islam terlalu luas sehingga semua perkara yang diniatkan kerana Allah adalah ibadah. Dalam Islam ibadah terbahagi kepada dua; ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus merangkumi semua perbuatan mendekatkan diri dan menyatakan ketaatan secara khusus kepada Allah seperti ibadah solat, puasa, zakat dan haji. Setiap ibadah tersebut perlu diniatkan kepada Allah kerana niat berkenaan menentukan samada ibadah sah atau tidak.

Manakala ibadah umum pula setiap perbuatan manusia yang boleh mendatang kebaikan kepada diri, keluarga, masyarakat dan alam sekitar seperti makan, minum, tolong menolong, menjalankan amanah, bekerja dan sebagainya. Segala perbuatan tersebut sekiranya dilakukan dengan niat kerana Allah, iaitu bekerja kerana Allah, untuk mencari rezeki yang halal di sisi Agama Allah, makan minum kerana Allah, agar badan cergas dan sihat untuk meneruskan kehidupan beribadah kepada Allah dan sebagainya maka ia dikira sebagai ibadah. Oleh yang demikian, seluruh kehidupan orang Islam, samada sewaktu sedar atau tidur, sihat atau sakit, senang atau susah, siang atau malam, mana-mana keadaan pun, ia boleh menjadi ibadah dan diganjarkan pahala oleh Allah SWT.

Peranan Masjid
Islam menyeru umat Islam melakukan sesuatu secara berjamaah (berkumpulan). Organisasi itu adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Kerana organisasi hanya dibentuk oleh orang yang ramai bilangannya. Oleh kerana Islam sangat mementingkan jamaah, maka datanglah peranan masjid yang utama adalah sebagai tempat manusia berkumpul. Dan sebaik-baik kumpulan manusia adalah apabila mereka berkumpul untuk beribadah. Dengan yang demikian, Islam mengajar umatnya (bahkan menuntut) agar melakukan solat secara berjamaah. Sehingga dijanjikan ganjaran sebanyak 27 darjat (pahala) sekiranya solat dilakukan secara berjamaah berbading satu darjat (ganjaran pahala) sahaja bagi mereka yang mendirikannya secara berseorangan.

Seterusnya peranan masjid adalah tempat merapatkan silaturrahim antara umat Islam. Hal ini berlaku apabila mereka saling bertegur sapa dan bersalam-salaman selepas masing-masing selesai solat. Apabila mereka menyedari salah seorang daripada ahli jamaah tidak datang bersolat maka amalan ziarah pula akan diadakan, dan jika mereka mendapati ahli jemaah itu sakit maka akan diadakan pula majlis doa selamat. Begitu juga apabila berlaku kematian dalam kalangan keluarga ahli jamaah, maka akan diadakan majlis tahlil dan sebagainya. Perkara-perkara sebegini menjadikan masjid sebagai pusat memupuk dan merapatkan silaturrahim.

Seterusnya masjid berperanan sebagai tempat menyampaikan ilmu dan maklumat. Kuliah-kuliah agama diadakan pada waktu malam seperti di antara waktu maghrib dan isyak, selepas waktu subuh, sebelum solat jumaah dan sebagainya. Bahkan ada juga penyampaian ilmu, pesanan dan nasihat yang wajib dilakukan di masjid iaitu pada khutbah jumaat. Hal ini cukup membuktikan Islam suatu agama yang mementingkan ilmu dan pengetahuan seterusnya mendidik umat Islam mengaplikasikan pembelajaran sepanjang hayat sebagaimana yang baru rancak diperkatakan hari ini.

Masjid berkebajikan
Di antara peranan masjid yang semakin (atau telah) dijahilkan umat Islam adalah sebagai pusat kebajikan. Masjid sebenarnya mampu berdiri sama tinggi dengan institusi-institusi kebajikan yang lain bahkan masjid boleh (dan sepatutnya) menjadi pusat kebajikan yang paling utama. Sebagai contoh, sepanjang zaman kita melihat dalam lipatan sejarah bahawa masjid adalah tempat orang Islam belajar segala ilmu pengetahuan secara percuma. Sehingga di Masjidil haram pada suatu ketika mencatatkan sebanyak lebih 40 kuliah ilmu dijalankan pada satu-satu masa. Begitu juga berlaku di Masjid al-Nabawi di Madinah al-Munawwarah. Tetapi sebaliknya hari ini kita melihat ada kelas-kelas (agama) di masjid yang dikenakan bayaran contohnya kelas al-Quran (biasanya untuk kanak-kanak dan ada juga untuk orang-orang tua juga telah dikenakan bayaran).

Sebenarnya institusi masjid boleh menjana dan membangunkan ekonomi umat Islam seterusnya dapat berdiri dengan sendirinya sebagai pusat kebajikan masyarakat. Kerana masjid adalah suatu institusi yang berperanan menerima sumbangan orang-orang yang perlu dan ingin melakukan sumbangan seperti sedekah dan wakaf. Sedekah-sedekah ini sudah pasti akan menjadi suatu dana yang besar sehinggakan pernah suatu ketika ana melihat akaun sebuah masjid yang telah mencecah ratusan ribu ringgit. Masjid di kampung ana ini pun kini memiliki tabungan lebih 20 ribu ringgit. Dan jumlah tersebut meningkat dari semasa ke semasa. Begitu juga ada dalam kalangan masyarakat yang sedia mewakafkan tanah, peralatan dapur, peralatan elektrik dan sebagainya kepada masjid.

Perkara-perkara tersebut (wang ringgit, tanah, perlatan dan sebagainya) boleh dijadikan modal oleh institusi masjid bagi menyediakan bantuan kebajikan kepada masyarakat sekiranya diuruskan dengan baik, terancang dan berkesan. Sebagai contoh apabila kita mengatakan bantuan kepada fakir miskin, umat Islam tidak boleh melihat memberi wang ringgit itu sebagai membantu. Bahkan memberi wang ringgit itu boleh ditafsirkan sebagai mematikan jati diri pula. Kerana apabila manusia menerima wang, maka minda mereka telah puas dan tidak perlu berfikir lagi. Mereka hanya perlu menggunakan sahaja wang tersebut tanpa sedikit pun membayangkan kesusahan mendapatkannya.

Sebaliknya institusi masjid boleh menyalurkan bantuan kepada orang miskin seperti menyediakan modal atau membina bangunan kedai untuk mereka berusaha melakukan perniagaan dengan tidak perlu membayar sewa. Sekiranya ada dalam kalangan mereka yang hanya memerlukan peralatan, institusi masjid boleh membelikan mereka peralatan tersebut seterusnya membatu mereka membina kehidupan. Hal ini boleh membangunkan ekonomi umat Islam. Kerana hanya dengan berusaha sahaja orang yang miskin akan mampu menjadi kaya. Kemudian mereka yang telah kaya itu pula akan meneruskan tradisi menyumbang kepada institusi masjid yang akan menjadikan institusi itu bertambah kuat dan dipandang sangat mulia dalam masyarakat.

Apalah gunanya wang tunai berpuluh-puluh ribu itu hanya disimpan dalam bank yang dapat memberi keuntungan 2 hingga 3 peratus setahun berbanding jika ia dijadikan modal untuk dibangunkan oleh orang Islam yang memerlukan. Institusi masjid boleh berperanan memberi qard al-hassan iaitu memberi pinjaman tanpa faedah atau tanpa tekanan sama sekali. Qard al-Hassan bererti sekiranya seseorang itu (setelah berusaha sedaya upaya) tetapi masih tidak mampu untuk membayarnya, maka akan dilepaskan daripada bebanan tersebut. Tetapi percayalah, sistem anjuran Islam yang diaplikasikan pula dengan penuh keikhlasan yang keyakinan akan membawa keberkatan dan kejayaan.

Kesimpulannya, institusi masjid sebenarnya mendapat wang secara percuma daripada masyarakat. Apalah salahnya sekiranya institusi itu bangun semula membantu meneguhkan ekonomi ahli masyarakat Islam yang semakin hari semakin tersepit ini. Hal ini akan berlaku sekiranya masjid diuruskan sebagai sebuah tempat yang bukan sahaja pusat ibadah tetapi pusat untuk kebajikan juga.

Wallahu aklam..

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: