Info kesihatan

Tulisan ini ana sunting daripada satu kertas kerja yang dibentangkan oleh Faridah Abdul Rashid, Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM Kubang Kerian Kelantan. Anda boleh mengikuti bicara akademik beliau di blognya (http://theearlymalaydoctors.blogspot.com/). Selamat mencari yang baik dan bermanfaat.

Bismillahirrahmanirrahim

Lipid
Lipid berupa minyak dan lemak. Untuk menentukan sama ada sesuatu bahan makanan itu lipid atau sebaliknya, anda boleh lesekkan sedikit makan berkenaan pada kertas dan lihat kesannya. Jika makanan berkenaan meninggalkan kesan berupa minyak pada kertas, maka ia adalah ‘lipid’. Karbohidrat dan protein tidak meninggalkan kesan minyak pada kertas.

Umumnya terdapat sembilan (9) jenis ‘lipid’ dalam alam semesta ini – ada di antaranya boleh dimakan dan ada juga yang boleh memudaratkan jika dimakan terlalu banyak. Umumnya, hampir semua makanan yang boleh dimakan manusia mengandungi sedikit lipid sama ada secara semula jadi atau ditambah.

Segala makanan (kecuali air) yang kita makan mempengaruh jumlah lipid dalam darah kita. Agak sukar bagi umum mengetahui kandungan setiap makanan yang mereka makan atau ingin makan. Namun satu cara berkesan untuk mengatasi masalah ini ialah membaca label yang tertera pada setiap barangan makanan ketika membeli.

Lemak Makanan
‘Lemak’ ialah istilah umum untuk semua bentuk minyak yang kelihatan pejal di suhu bilik. Istilah saintifik bagi lemak ialah trigliserida (istilah dalam bidang perubatan) atau triasilgliserol (istilah saintifik kimia). ‘Lelemak’ pula ialah lemak yang dihasilkan setelah lemak asal diproses.

Makanan yang mendorong kepada tubuh sihat kurang mengandungi lemak. Sebaliknya, makanan yang mampu dan sering memudaratkan kesihatan kita mengandungi banyak lemak. Antara makanan kurang lemak ialah daging lembu atau kambing yang dibuang ketulan lemaknya, daging arnab, daging burung unta, ikan air tawar dan ikan laut. Antara makanan yang banyak lemak ialah daging lembu atau kambing berlemak.

Kolesterol Makanan
Tubuh kita memerlukan sejumlah kolesterol kerana kolesterol ialah bahan asas untuk tubuh kita membina hormon steroid. Kita perlu makan makanan mengandungi kolesterol. Kita perlu sedikit sebanyak mengambil tahu tentang kolesterol dan perlu mampu mengawal pengambilan kolesterol dalam makanan seharian. Jumlah kolesterol yang dimakan perlu dikawal sebaik mungkin jika kita mahu mengelakkan pelbagai penyakit masa kini.

Kolesterol hanya terdapat dalam makanan yang diperoleh daripada sumber haiwan. Kolesterol tidak terdapat sama sekali dalam makanan daripada sumber tumbuhan. Sebaliknya, tumbuhan mengandungi sitosterol sebagai ganti kolesterol. Sitosterol berbeza dengan kolesterol. Sitosterol bersifat berlawanan dengan kolesterol.

Makanan boleh mengandungi rendah kolesterol atau banyak kolesterol. Antara makanan yang mengandungi banyak kolesterol ialah makanan daripada sumber haiwan termasuk: daging merah berlemak seperti daging lembu dan kambing, daging organ, keju keras, susu penuh krim, yogurt, krim, telur, makanan laut seperti kerang-kerangan, ketam, udang, udang galah, dan sotong, coklat, mentega, lemak babi, minyak kelapa dan marjerin keras.

Manakala makanan yang mengandungi sederhana kolesterol termasuklah: daging merah tanpa lemak seperti daging lembu dan kambing, keju lembut, ais krim, kek, pastry, petis, dan mee telur. Antara makanan yang mengandungi rendah kolesterol termasuklah daging putih tanpa lemak seperti daging arnab, daging rusa, daging ayam, keju kotej, susu soya, susu cair, yogurt kurang lemak, ikan, kekacang, buah-buahan segar, sayur-sayuran, nasi dan bijirin lain, roti, minyak sayuran, minyak zaitun, minyak jagung, dan marjerin lembut. 

Kita boleh ambil langkah mencegah kolesterol dari naik mendadak dalam darah. Jika pada masa ini kita minat makanan tinggi kolesterol, kita hanya perlu ubah dan memilih makanan rendah kolesterol sebagai langkah bijak bagi menyelamatkan keadaan saluran darah dan jantung kita tersumbat dengan ledakan kolesterol. Inilah langkah terbaik jika kita inginkan saluran darah yang bersih dan menjamin kesihatan buat masa terdekat mahupun masa depan. Andainya kita mengabaikan langkah permulaan ini, maka kita sendiri menempah dan menjemput penyakit datang menimpa diri kita, tidak sekarang, lambat-laun penyakit akan tetap melawat kita.

Kolesterol Darah
Kolesterol ialah lipid daripada kumpulan sterol. Kolesterol darah disumbangkan oleh dua punca iaitu hepar (hati) dan menerusi pemakanan (makanan yang dimakan atau diet). Sebahagian besar kolesterol darah (70%) disumbangkan oleh hepar manakala pemakanan menyumbang sebahagian kecil sahaja (30%). Jumlah sebenar kolesterol yang dibekalkan oleh hepar ke dalam darah ditentukan oleh baka kita. Jumlah kolesterol darah juga ditentukan oleh baka kita.

Oleh demikian, terdapat banyak gen yang mempengaruh jumlah kolesterol yang akhirnya berada dalam darah. Walau pun demikian, ini tidak bermakna kita tidak ada jalan keluar untuk mengawal aras kolesterol darah kita. Sebaliknya, kita ada banyak pilihan jika kita mengetahui!

Umum perlu mengetahui bahawa kolesterol boleh hadir dalam dua bentuk dalam tubuh kita, iaitu bentuk ‘kolesterol bebas’ dan ‘kolesterol ester’. Bentuk kolesterol yang aktif dalam tubuh kita ialah kolesterol bebas. Manakala kolesterol ester ialah bentuk simpanan kolesterol dalam tubuh kita. Kolesterol bebas yang banyak dalam darah memudaratkan kerana mampu dimendakkan dalam saluran darah dan juga dalam jantung.

Sakit Dada/Jantung
Arteri koronar membekalkan darah kepada jantung. Jika arteri koronar tersumbat, kita boleh dapat ‘sakit dada’ atau pun ‘sakit jantung’.

Sakit dada berlaku secara tiba-tiba. Sakit dada boleh jadi sementara dan kadang-kala hilang begitu sahaja tanpa apa-apa kesan sampingan dalam masa terdekat. Namun sakit dada boleh berulang dalam masa terdekat atau lama kemudian. Sakit dada ialah petanda awal bahawa sakit jantung mungkin akan berlaku berikutnya.

Sakit jantung juga berlaku secara tiba-tiba. Sakit jantung boleh berlaku pada lelaki dan juga perempuan dewasa. Sakit jantung kali pertama sering membawa maut bagi kaum lelaki dewasa. Ramai perempuan mampu terus hidup selepas sakit jantung pertama. Namun, ramai perempuan tidak mampu hidup selepas sakit jantung kali kedua. Sakit jantung kali kedua sering membawa maut bagi kaum perempuan dewasa.

Strok
Terdapat dua jenis strok. Satu jenis strok disebabkan oleh saluran darah ke otak tersumbat oleh ledakan kolesterol dan dikenali sebagai ‘strok sumbatan’ (strok iskemia). Satu lagi jenis strok disebabkan oleh saluran darah dalam otak terpecah dan dikenali sebagai ‘strok berdarah’ (strok hemoraj). Umum perlu mengetahui bahawa, walau apa pun jenis strok yang berlaku, semua pesakit strok perlu segera dibawa ke hospital (bahagian kecemasan). Strok boleh dirawat dengan ubat-ubat khas dengan syarat pesakit dibawa ke hospital dalam masa 6 jam berlakunya strok. Selepas tempoh 6 jam, kebanyakan kerosakan tetap telah pun berlaku pada otak dan sukar untuk mana-mana pakar bedah neuro menyelamatkan keadaan sengsara pesakit. Oleh demikian, orang yang sedar akan mana-mana pesakit yang baru terkena strok perlu tangkas bertindak kerana secara tak langsung ia boleh mempengaruh nasib pesakit strok berkenaan.

Strok berdarah (haemorrhaghic stroke) boleh dirawat dengan membekalkan darah dari penderma darah yang mempunyai genotip apolipoprotein E jenis E3 atau E4.

Pengesanan Peringkat Awal Gangguan Glukosa
Peringkat awal gangguan glukosa (sebelum mendapat diabetes) boleh dikesan dengan menjalankan dua ujian mudah iaitu glukosa darah semasa berpuasa (FBG) dan ujian tolerans glukosa (OGTT). Kedua-dua ujian glukosa ini memerlukan kita berpuasa sepenuhnya (dikenali sebagai ‘puasa pembedahan’ – tanpa minum dan makan) selama sekurang-kurangnya 12 jam sebelum kita boleh menjalani kedua-dua ujian ini dengan sempurna.

Setelah berpuasa 12 jam, kita menjalani ujian FBG. Aras glukosa darah berpuasa perlu berada dalam lingkungan julat tertentu. Nilai glukosa darah FBG yang berada diluar julat ini tergolong sebagai ‘glukosa berpuasa terganggu’. Setelah ditentukan status FBG, kita boleh menjalani ujian OGTT.

Dalam ujian OGGT, setelah menjalani FBG, kita diberikan minuman larutan glukosa mengandungi 75 gram glukosa dalam segelas air (hampir 200-250 ml). Kemudian, darah akan diambil 2 jam selepas minum larutan glukosa ini. Aras glukosa darah 2 jam selepas minum larutan glukosa (2HPP) perlu berada dalam lingkungan julat tertentu. Nilai glukosa darah 2HPP yang berada diluar julat ini tergolong sebagai ‘tolerans glukosa terganggu’.

Kencing Manis (Diabetes Jenis 2)
Istilah saintifik bagi kencing manis ialah diabetes mellitus, atau diabetes sahaja. Diabetes tidak terjadi secara tiba-tiba. Diabetes tergolong sebagai ‘penyakit kronik’ iaitu memakan masa yang agak lama sebelum ia menjadi nyata. Sebenarnya, kita menghadapi perubahan di peringkat awal sebelum kita mencapai peringkat diabetes (peringkat akhir). Peringkat awal ini boleh dikesan dengan menjalankan ujian glukosa darah. Kehadiran glukosa yang dikesan dalam air kencing tidak semestinya bermakna kita menghidap kencing manis.

Antara punca utama kita boleh dapat penyakit kencing manis ialah gemuk akibat berlebihan memakan makanan jenis karbohidrat dan makanan terlalu manis, bagi tempoh yang lama. Ini bermakna kita sendiri telah memilih untuk mendapat diabetes, mungkin sebab sikap acuh tak acuh (tak kisah) kita sendiri.

Doktor hanya mampu merawat diabetes. Dunia perubatan masa kini tetap tidak ada ubat khas untuk menyembuhkan diabetes. Apakah nasib kita? Apakan daya? Nasi telah menjadi bubur! Kita sebenarnya tidak ada pilihan setelah didiagnos menghidapi diabetes kerana diabetes ialah peringkat akhir, penghujung jalan (kekalahan), setelah tubuh kita puas menggembling kekuatan bertahun-tahun untuk cuba mengatasi gangguan glukosa yang berlaku dalam tubuh kita (hanya kita tidak sedar akan hal ini). Memang benar, pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Sesal awal bermakna, sesal kemudian tidak bererti. Jangan kita sekali-kali abaikan risiko diabetes!

Kita tidak perlu tunggu hingga sakit baru datang ke klinik atau hospital. Kita boleh mengambil tindakan lebih proaktif dan pilih untuk melibatkan diri dalam kajian penyelidikan atau pun datang terus ke klinik atau hospital dan mendapatkan pemeriksaan darah pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai. Kita boleh minta doktor menjalankan pemeriksaan perubatan ke atas diri dan darah kita jika kita inginkan doktor mengesan sebarang perubahan kesihatan di peringkat awal. Kita juga boleh memaklumkan kepada doktor bahawa kita ingin mengetahui sama ada kita menghidapi hiperlipidemia, glisemia, hipertensi atau pun tidak. Kita juga boleh minta nasihat untuk pencegahan ketiga-tiga keadaan bahaya ini.

Wallahu aklam.. semoga bermanfaat.

p/s: sakit adalah ujian (tentera Allah). Kalau sakit telah datang, berusahalah mencari ubatnya. Banyak beristighfar, syukur, sabar dan serah diri pada Allah. Kata hukama’ penyakit hati, itulah yang lebih utama untuk dirawati.

Advertisements

2 Komen (+add yours?)

  1. Prof Faridah Abdul Rashid
    Jun 18, 2010 @ 19:23:36

    TQ untuk menyiarkan bahan tulisan saya.

    Balas

    • ibnrajab
      Jun 18, 2010 @ 20:47:55

      Terima kasih Prof atas kunjungannya. Moga komen Dr Prof ini menandakan restu dan izin tulisannya di terbitkan di sini untuk rujukan ana dan manfaat para pengungjung insyaAllah..

      Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: