Akhlak hati

Salamullahi’alaikum warahmatuhu wabarakatuh..

Ada orang sebut akhlak hati. Orang lain pula namakannya akal budi. Ada lagi satu golongan mengungkapkan sebagai hati budi. Manakala ada dalam kalangan kumpulan kecil yang mengitlakkan ia sebagai mata hati. Ana pun tidak pasti yang mana satukah istilah yang paling tepat bagi menggambarkan kebaikan, kejujuran dan peribadi mulia seseorang. Cuma melalui hadith Rasulullah SAW, baginda berpesan bahawa dalam diri manusia ada seketul darah yang mana jika ia baik maka seluruh jasad akan turut baik, dan sekiranya ia rosak maka seluruh jasad akan turut sama rosak. Seketul darah itu adalah hati.

Sekiranya kita rujuk pula dalam kitab-kitab akhlak, nescaya kita dapati dua perkara iaitu sifat-sifat terpuji (mahmudah) dan sifat-sifat tercela (mazmumah). Kedua-duanya (sifat-sifat tersebut) terbit daripada hati. Ada juga buku yang menggungkapkap sifat mazmumah itu sebagai maradh al-qalbi (penyakit hati). Antara penyakit-penyakit hati termasuklah sifat dendam, marah, tamak, hasad dengki, bangga diri, ujub (rasa diri itu baik) dan sebagainya yang ada kaitan dengan roh seseorang. Iaitu perasaan mereka.

Sekiranya kita rujuk pula dalam kamus dewan (Edisi baru 1992), perkataan hati itu diertikan sebagai 1. organ dalam badan yang berwarna perang kemerah-merahan terletak dalam perut di bahagian kanan (tugasnya mengeluarkan hempedu, mengawal kandungan gula dalam darah… dll) 3. batin (tempat perasaan, pengertian dll). Maksudnya, samada dalam bahasa Arab (Qalb) ataupun Melayu (Hati) ianya diertikan secara zahir (organ dalam badan) dan juga batin (yang berkaitan dengan perasaan) ataupun lebih tepat rohani (roh) manusia itu sendiri.

Nabi Muhammad SAW pernah ditanya oleh seorang Yahudi tentang roh. Maka Allah telah mewahyukan jawapannya “Katakanlah -wahai Muhammad- Ruh itu adalah urusan tuhanku” (surah al-Isra’:85). Ia bermaksud nabi sendiri tidak dapat mentafsirkan rohani manusia itu bagaimana kecuali dengan wahyu Allah. Maka dengan berdasarkan wahyu dan ilham rabbani itulah nabi Muhammad dapat menceritakan sedikit sebanyak perkara-perkara yang ada kaitan dengan ruh. Itu termasuklah perkhabaran tentang sifat-sifat hati, yang boleh mempengaruhi seluruh jasad manusia seperti hadith di atas. Dengan itu, Yahudi berkenaan telah masuk Islam kerana beliau adalah seorang yang beramal dengan ajaran Nabi Musa dan tahu bahawa tidak ada manusia yang mampu menceritakan secara terperinci hal ehwal roh manusia. Melainkan dengan bantuan Allah. (Ia adalah urusan tuhanku..)

Akhlak hati adalah hasil ataupun natijah yang terbit daripada hati yang bersih. “Pandangan hati itulah yang hakiki” (Nasyid Hijaz). Orang yang memiliki akhlak hati, tidak sahaja memandang kehidupan dunia ini dengan mata kasarnya sahaja tetapi diikuti dengan pandangan mata hati. Pandangan mata kasar boleh diertikan sebagai kehidupan syar’iy manakala pandangan mata hati adalah kehidupan qalbiy.

Sebagai contoh, seseorang yang sedang menunggu di hadapan lampu trafik. Apabila lampu trafik itu bertukar sahaja warnanya kepada hijau, dia mungkin boleh terus memecutkan kenderaannya kerana mengikut undang-undang dunia (pandangan syar’iy) memang dia berada di pihak yang berhak. Have the right. Tetapi secara tiba-tiba, sebuah kenderaan dari arah yang lain terus sahaja datang menerpa dan mengambil laluannya secara begitu sahaja. Hajatnya ingin memecut kenderaan itu tadi telah terhalang. Malah mungkin mengambil langkah untuk menekan brek dan menyebabkan kepentingan dirinya sendiri tidak tertunai.

Orang yang memiliki akhlak hati akan terus merasa redha dengan apa yang dilaluinya sebentar tadi. Malah dalam fikirannya terlintas sekiranya orang tadi mungkin ada urusan lain yang lebih penting. Seperti panggilan kecemasan, sakit perut dan sebagainya. Tidak cukup dengan itu, dia mendoakan pula (samada dengan hati atau lidah) agar Allah memberi keselamatan kepada pengguna jalan raya itu tadi.

Sebaliknya orang yang tidak memiliki ahklak hati, sudah pasti beberapa perkataan yang berunsur sumpah seranah, maki hamun akan terus sahaja terpancul keluar dari kedua bibirnya yang turut ditarik masam mencuka. Tidak pernah dikira samada perkataannya itu didengari oleh hanya dua telinganya sahaja malah lebih teruk sekiranya didengari oleh anak-anak yang sedang berkira-kira untuk belajar tentang kehidupan.

Sedang dalam Islam. Peristiwa nabi Muhammad menangguhkan hukuman zina ke atas seorang perempuan yang datang mengadu telah melakukan zina cukup penting untuk kita perhatikan. Bagaimana seorang nabi yang memiliki aras akhlak hati yang tertinggi itu melaksanakan tuntutan syariat (pandangan syar’iy). Sehinggakan dua tiga kali kedatangan perempuan itu berakhir dengan suruhan nabi agar ia kembali ke rumah. Pertama “tunggulah sehingga kamu melahirkan” kedua “susuilah anakmu ini hingga besar sedikit” sehingga apabila ia datang buat kali ketiga barulah dijalankan hukuman berkenaan.

Realiti
Kalau kita perhatikan manusia dalam kehidupan hari ini. Sekiranya mereka ada memiliki kuasa sedikit sahaja maka akan ditonjolkan semahu-mahunya. Mereka suka sangat berbangga dengan “You are wrong!” Sebagai contoh, “awak tak datang kerja, awak tak kemukakan surat cuti, awak ingat siapa awak ni?” “Satu lagi, awak tak bagitau saya pun!”. Pada suatu ketika yang lain pula mereka sanggup kata “prestasi yang saya bagi itu adalah terjemahan kepada mutu kerja awak yang sebenarnya, saya ada bukti”. Satu fakta di jalanraya lagi “awak berada di belakang kereta saya, whatever lah, ikut undang-undang, you salah!”

Mereka semua tidak pernah terfikir bahawa semua urusan mereka sedang diperhatikan. Ada lagi pihak yang lebih adil daripada dirinya sedang memerhatikan keangkuhan dan kesombongan tindakannya itu. Sehingga ada pihak (walaupun memang bersalah daripada segi fakta dan undang-undang dunia) yang akan berkata dalam hati mereka “hmmm.. tak berhati perut langsung!” Sebaliknya kita melihat kes wanita penzina di zaman Rasulullah itu tadi, adakah hati beliau akan terdetik seperti itu? Semestinya tidak, hanya kerana Rasulullah ada memiliki akhlak hati.

Persoalan
Ana tanyakan guru ana “apakah, kalau kita dapati orang tu memang bersalah, kita dibenarkan untuk pandai-pandai memaafkannya? atau tidakkah perbuatan kita itu nanti akan menjadikan mereka boleh pijak kepala? Atau, bukankah kita ini hanya menjalankan tugas. Sifat amanah dengan tugas itukan penting juga…..”

Dengan tenang guru ana menjawab “kalau kita tak boleh sampai kepada darjat nabi pun, kita tirulah. Allah ajar kita menerusi al-Quran, kita belajarlah. Dalam al-Quran Allah banyak mengajar kita bersabar. Allah menyatakan Dia Maha Pengampun. Dengan sifat sabar yang ada pada nabi maka ia menangguhkan hukuman ke atas penzina itu. Kalau Allah ingin mematikan wanita itu tentu boleh sahaja. Tetapi tidak berlaku kerana melalui peristiwa yang penting itu kita dapat mengambil pengajaran yang sangat hebat. Dengan kelembutan hati Rasulullah itu telah menjadikan wanita tersebut seorang yang lebih baik. Keimanannya dan ketaqwaannya sehingga dijamin syurga sebelum mati oleh Rasulullah SAW. “Kamu ingin minum air… minum dalam syurga. Kemudian wanita itu meminta berjumpa dengan ibunya.. jumpa dalam syurga” Nabi bukan sahaja memberitahu berita bahawa dia masuk syurga tetapi ibunya juga turut dikhabarkan masuk syurga walaupun telah menjalani kehidupan yang sukar kerana memiliki anak (sahabiat nabi) penzina.”

Belajarlah urusan dunia ini daripada nabi. Pelajarinya daripada kitab-kitab tafsir yang menafsirkan ayat-ayat al-Quran. Secara jujurnya ia ditulis oleh ulama Islam tanpa copyright. Tanpa menginginkan royalti dunia yang sedikit itu. Bahkan ada sesetengah mereka yang menguji keihklasan dengan mencampakkan hasil tulisan ke dalam sungai. Tetapi tulisan tersebut tetap kembali malah sangat mampu menyumbangkan didikan rohani manusia.

Tidak timbul soal pijak kepala. Kalau kita disarankan menangguh dalam menjatuhkan hukuman ke atas sesuatu kesalahan dengan kesabaran, seharusnya kita tidak dibenarkan menjatuhkan hukuman secara khayalan. Zalim lah kalau kita terus menghukum seseorang itu akan pijak kepala kita, akan perlekehkan kita dan seumpamanya sedangkan ianya belum berlaku. Itu semua sangkaan buruk. Itu juga adalah dosa. Semua itu telah dinyatakan dengan jelas dalam pengajaran al-Quran.

Guru ana sambung bicara. Ada seorang ketua yang baru mengambil alih (reposting ke) pejabat yang ada orang bawahan yang liat dan suka ponteng kerja. Pelbagai tohmahan yang dilontarkan kepada si pekerja tersebut oleh rakan sepejabatnya (yang mungkin kaki ampu). Dahulu, gaji pekerja tidak dibank-in seperti hari ini. So, setiap bulan, beliau call pekerja itu datang untuk ambil gaji. Tak sampai tiga bulan, si pekerja tadi sudah ubah perangai. Rajin datang bekerja malah menjadi orang yang dedikasi.

Apabila ditanya kepada pekerja itu apa yang menyebabkannya berubah “aku malu pada bos, bila dia lihat aku kerja di bawah panas matahari (belum tiba waktu rehat) dia kata, dah lah tu, bawa berehat, sambung nanti petang, mari minum dahulu”. Pada waktu yang lain bila aku minta keluar pada waktu kerja, katanya “ok, pergi dahulu selesaikan masalah, bila sudah datang kerja, kalau tak dapat nanti bagitau kot saya boleh bantu..” tanpa mengira aku ada hal kecemasan ataupun tidak. Sekarang ni, aku sanggup datang kerja walaupun rasa demam sikit-sikit. Aku dah mula hormat atau mungkin sayang pada bos kita. Hatinya baik. Aku tak sampai hati nak mengkhianati kepercayaannya.

Pesan
Guru ana pesan. Kita ini orang Islam. Amalan kita sebenarnya mampu mendidik hati kita. Kalau hati masih busuk, cek lah semula amalan. jangan sekali-kali impikan sebuah hati yang suci tanpa berusaha beramal dengan Islam. Itu mustahil tercapai. Kerana akhlak hati adalah hikmah. Apabila seseorang diberikan hikmah, sesungguhnya ia telah dikurniakan dengan kurniaan yang banyak.

Kesimpulan
Akhlak hati ialah apabila kita dapat menilai sesuatu itu secara bertentangan dengan akal. Seperti kita bertindak dengan sangkaan baik. Hatta apabila seseorang itu nyata melakukan kesalahan tetapi kita masih mengandaikan beberapa perkara yang boleh membawa kepada tindakannya yang salah itu. Seperti mungkin mereka berada dalam situasi ujian Allah. Kecemasan. Terlupa dan sebagainya.

Pekara utama dalam mendidik akhlak hati adalah sifat sabar. Kita sabar dahulu sebelum menjatuhkan sebarang hukuman, intepretasi, tindakan, andaian dan seumpamanya. Di samping berdoa agar bantuan Allah itu hadir dalam situasi orang yang berurusan dengan kita itu. Kita mesti maklum bahawa, setiap urusan kita dengan manusia adalah juga urusan kita dengan Allah. Akhirnya, hayatilah pesan nabi “Berbuat baiklah kepada orang yang menyakiti (berbuat jahat) kepadmu…”

Wallahu aklam. Sekadar berkongsi suatu perbualan.

Advertisements

2 Komen (+add yours?)

  1. musafir sufi
    Ogo 10, 2008 @ 07:25:18

    hati ana rasa sayu bila baca kisah majikan ngan pekerjanya. Susah nak cari majikan macam tu. memahami perasaan org lain. itulah hebatnya memiliki hati yang baik

    Balas

  2. aziah
    Mac 14, 2010 @ 18:42:41

    salam…tahniah, perbanyakkanlah artikel sebegini. Saya tertarik dengan “akhlak hati ialah menilai sesuatu dengan bertentangan dengan akal”…kadang-kadang sesuatu yang berlaku benar-benar tidak masuk akal bahkan kita tahu perkara tersebut nyata salah (tidak bertentangan dengan syar’i), yang mana rahsia dan sebab pelaku yang sebenar tak dapat kita ketahui melainkan Allah sahaja…kita boleh menghukum tapi kita tidak seadil Allah kerana kita tidak melihat sepertimana Allah melihat

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: