Warden asrama

Bismillahirrahmanirrahim..

Mungkin ada kebenaran kata-kata bekas Pengetua ana suatu ketika dahulu “ustaz didik budak-budak (asrama) tu hari ini, orang akan didik anak-anak ustaz pada masa hadapan. Bagaimana baik ustaz didik anak orang lain, begitu juga orang akan didik anak ustaz dengan baik”. Perkataan ini terkeluar juga akhirnya daripada mulut beliau kerana acapkali juga ana masuk berjumpa meminta agar permohonan meletak jawatan daripada tugas warden asrama dipertimbangkan.

Hakikatnya, ana masih menjadi warden sehinggalah langkah terakhir ana keluar dari pagar sekolah itu untuk sambung (bertukar) berkhidmat di Institut Pendidikan Guru (IPGM). Cuma kini, jauh di sudut hati ana memanjangkan syukur banyak-banyak atas pengalaman yang tidak ternilai itu. Kini, ada dalam kalangan bekas pelajar sekolah berkenaan yang masih menghubungi ana. Bertanyakan khabar berita malah ada juga yang meminta pendapat termasuk dalam perkara-perkara peribadi seperti soal memilih calon isteri. Yang pelik, antara pelajar yang rapat itu bukanlah pelajar (pendidikan Islam) ana dalam kelas pun, tetapi pelajar secara tak langsung di surau asrama!

Kalau difikirkan, memang tidak menguntungkan (ekonomi) dengan elaun warden sebanyak RM240 sebulan berbanding rakan-rakan (semenanjung) lain yang dapat elaun sewa rumah sebanyak RM600 sebulan. Kalau rakan yang masih bujang, mereka sewa rumah secara berkongsi empat lima orang. Jadi dapat simpan bakinya (duit percuma) di antara RM400-450 sebulan. Kalau setahun dah ada RM4800 sehingga RM5400 juga. Simpanan peribadi tak masuk lagi gaji dan elaun-elaun lain.

Kalau mereka dah balik ke rumah terus tak ingat apa-apa lagi pasal budak-budak. Menangani masalah disiplin pun hanyalah setakat dalam kelas. Iaitu nak pastikan budak-budak ikuti isi pelajaran. Paling tidak, kalau ada mesyuarat sekali sekala maka kena tunggu hingga petang. Selain kena turun seminggu sekali untuk melihat budak-budak berkokurikulum.

Jadi warden pula maksudnya, (walaupun tidak duty) tetapi fikiran masih di asrama bersama budak-budak. Apatah lagi kalau duty. Pagi-pagi kena pastikan (mengesahkan) bekalan makanan basah untuk dimasak di kantin. Selepas waktu sekolah, kena ada di bilik operasi bagi mempastikan keperluan itu dan ini pelajar dipenuhi. Seperti kalau ada yang sakit maknanya kena hantar ke hospital. Paling tidak pun kena sediakan bekalan ubat. Kan dah jadi atendan hospital. Dari ubat panadol, sakit perut, migrain, sengugut dan sebagainya warden kenal dan dapat beza satu-satunya.

Tambahan lagi kalau jadi warden surau asrama. Kena sediakan jadual pengisian antara waktu maghrib isyak. Kalau ada (penceramah) uzur, tak dapat datang, ada hal, maka warden tu juga lah yang kena ambil alih. Kalau ganti sampai tiga empat hari dalam seminggu, maka sudah semestinya pelajar akan dengar ceramah yang kadang-kadang berirama bebelan (kerana ketandusan modal dan kesuntukan masa untuk merujuk). Tambahan lagi, kalau pasal surau, warden lain selain warden jaga surau memang jarang nampak batang hidungnya. Budak nak berlari, mencuri hatta nak membunuh sekalipun, hanya warden surau lah yang peduli.

Bila tiba hari jumaat. Pelajar sudah tahu satu pentas keadilan ada diadakan. Sesiapa yang miss (tertinggal) solat berjemaah walaupun sekali maka rotanlah akibatnya. Solat maghrib dan isyak serta jumaat lah yang paling diambil kira. Kadang-kadang warden pun miss juga untuk ambil kehadiran. Tetapi mana-mana hari yang diambil kehadiran tetapi pelajar tidak hadir, mesti kena rotan tanpa budi bicara. Pelajar paling minat kalau ana yang rotan. Kata mereka “tak sakit”. Walaupun ana mendengar komen sedemikian tetap merasai sakit hati tetapi ana kembali ingat kepada niat “aku rotan kerana Allah, supaya kamu berubah, dan jauh dilubuk hati aku berdoa semoga usaha aku yang sedikit ini dapat menarik rahmat Allah”.

Mula perasan
Apabila ana bertukar ke IPG. Hidup berubah sama sekali. Membina hidup baru dengan menyewa rumah jauh di luar kawasan kerja (pejabat). Balik rumah terus berehat sambil melayan anak-anak. Minda kosong tak fikir apa langsung. Ditambah pula rumah dalam kawasan bandar. Waktu malam selepas solat isyak pun sempat lagi pergi shooping keperluan di supermarket. Cuaca sejuk dan urat saraf pun tidak tertekan. Jauh sekali untuk berada dalam perangkap jam.

Sebulan dua hidup macam ni, hati dah mula rasa tak terisi. Baca buku pun buat apa, sebab nak sampaikan ilmu pada siapa? Kalau dulu, kena baca juga buku sebab ada kuliah di surau asrama. Sekurang-kurangnya seminggu sekali. Untuk mengisi kekosongan, ana cuba-cuba intai peluang menyumbang bakti di masjid sekitar. Dapatlah dua malam di samping sekali sekali turun (pergi) ke kawasan asrama IPR untuk beri pengisian.

Masuk tahun ke dua anak ana yang sulong masuk sekolah tadika. Ana cukup risau sebab anak pertama memang tak ada contoh dan ikutan (dalam pelajaran) di rumah. Kalau ana dahulu, sudah ada kakak yang dah ke sekolah. Paling tidak tahulah serba sedikit tentang alam persekolahan. Ada masa-masa tertentu, akak luangkan juga masa ajar ana tulis baca.

Tahun kedua (di IPG) jadual ana kat pejabat dah mula mencabar. Kena buat observatian (pemantauan dan penilaian) pelajar praktikal. Out station sana sini. Kadang-kadang dalam sebulan tujuh lapan hari duduk hotel. Kursus, hadir seminar, mesyuarat taklimat dan macam-macam lagi. Akhirnya tak sempat nak tengok (mengajar) anak baca al-Quran di rumah. Sesekali ingat juga pesan isteri “jangan sampai satu hari orang kata, anak ustaz tak pun tak reti baca quran!”

Kejutan
Entah bila ana tak pasti. Dalam kesibukan melayan jadual kerja peribadi. Tahu-tahu sahaja anak sulong ana pandai baca al-Quran secara sendiri. Kali pertama ana dengar (perasan) dia dapat baca surah al-Kaafirun sendirian. Sambil terkejut hati ana bertanya “bila budak ni boleh baca al-fatihah? bila dia lancar baca tiga qul?” Hampir menitis air mata seorang ayah, sayu dan terharu dengan nikmat Ilahi. Ana sungguh tak pasti.

Seingat ana, dalam sibuk-sibuk kerja, sesekali adalah ana melayan kalau anak minta nak main laptop. Mereka suka sangat baca (program) iqra digital tu. Mula-mula mereka layan menyanyi, kemudian mereka ikut baca bersama suara kakak-kakak dan abang-abang dalam program itu. Hingga mereka akhirnya pandai mengoperasikan program tersebut secara sendiri-sendiri. Si abang kadang-kadang tunjuk terrer memilih buku iqra mana untuk si adik pula membacanya. Ana hanya biarkan.

Kadang-kadang pada waktu yang sangat terhad, ana ambil juga masa lihat (mengajar) anak baca iqra secara talaqi dan mushafahah. Buku iqra satu memang mudah. Masuk iqra dua anak-anak mula merangkak. Tak sangka pula bila masuk iqra 3, boleh baca muqaddam. Ana memang tak ajar muqaddam sebab ana fokus iqra. Cuma kadang-kadang isteri ajar juga baca muqaddam kot.

Kejutan kedua
Sekarang ini dah masuk 11 bulan kami tinggalkan bumi Sarawak. Bassyar masa tinggal Sarawak hari tu telah baca muqaddam sampai surah al-Takathur (surah ke-13 daripada bawah). Dengan bacaan yang agak lancar (jika nak dibandingkan dengan usianya 5 tahun masa tu). Kini, Bassyar baca surah al-Zalzalah (surah ke-16 daripada bawah). Hanya meningkat 3 surah sahaja? Itu pun mutu bacaan agak menurun. Sebutan sesetengah perkataan yang dahulunya lancar kini tersekat-sekat.

Ana seperti kebiasaan. Mempersoalkan kenapa perkara ini terjadi. Lantas ana teringat kata-kata pengetua tadi “ustaz didik budak-budak (asrama) tu hari ini, orang akan didik anak-anak ustaz pada masa hadapan. Bagaimana baik ustaz didik anak orang lain, begitu juga orang akan didik anak ustaz dengan baik”. Ana terus muhasabah diri. Waktu di Sarawak dulu, ada kuliah di masjid seminggu dua tiga kali. Mendidik dan menyampaikan sedikit pengetahuan kepada masyarakat yang sangat-sangat mengalu-alukan sumbangan ilmu.

Tetapi kini, ana bukan seorang warden asrama yang ada jadual kuliah maghrib isyaknya seminggu sekali. Ana juga tidak ada pelaung di masjid atau surau. Ana hanya ada diri yang tidak dapat memanfaatkan orang lain berbanding dahulu. Dengan sebab itu, maka (mungkin) isyarat daripada Rabbul Jalil bahawa “Kalau kamu tak didik anak orang, tak sampaikan ilmu pada orang, maka begitu jugalah ilmu tak lekat pada hati anak-anakmu.. Walaupun zahirnya kamu nampak selesa, dari jauh nampak macam orang kaya, makan minum mencukupi, hidup dalam jadual sendiri-sendiri, hidup nafsi-nafsi”. Astaghfirullah, Nauzubillah!

Kesimpulan
Kalau hari ini anda adalah seorang guru di sekolah. Didiklah anak-anak murid anda dengan seikhlas hati. Kalau anda seorang warden asrama, jalanilah tugas dengan penuh dedikasi. Kalau anda ada ruang dan peluang memasyarakatkan ilmu di kawasan sekitar, penuhilah tuntutan ceramah, kuliah, forum ataupun diskusi. Biar badan anda penat dalam ilmu. Biar jiwa anda menderita susah menjadi khadam budi. Kerana suatu hari nanti, anda akan dikejutkan oleh Allah, rabbul izati. Kejayaan anak-anak anda memang pasti. Kecemerlangan hidup berkeluarga akan anda kecapi. Kebahagiaan anda adalah hakiki. Bukan sekadar fantasi dan syok sendiri.

Doalah semoga Allah memandu kita semua ke jalan yang Allah redhai.. wallahu aklam!

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: