20 atau 8?

Salamullahi’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Pernah suatu ketika, seorang imam bertanya apabila ana datang untuk solat tarawih di masjid. “Apa pendapat ustaz kerana kami buat solat tarawih 20 rakaat. Ada orang kata lebih baik buat 8 sahaja kerana Nabi pun buat 8 rakaat. Cuma sahabat Nabi melakukan sehingga 20” Kemudian dia menambah “Kami buat macam orang tua-tua dulu buat. Baca surah pendek-pendek je. Kalau ada juga orang nak buat 8, maka dia buatlah. Bagi yang nak cukupkan 20, terpulanglah juga”.

Ana menjawab dengan sebuah cerita yang pernah dinukilkan oleh seorang guru. “Macam pakai baju juga. Ada orang suka warna biru, ada pula suka warna hijau. Kalau tidak masakan habis kain di kedai itu dijual. Asalkan jangan tidak pakai apa-apa sudahlah” Jawapan itu sebenarnya diperhatikan setiap ahli jemaah yang turut tertawa kecil. Malu-malu.

Ana sambung cerita “Biasanya kalau orang pakai baju, dia suka baju baru. Baju yang cantik-cantik. Kalau baju itu kotor, dia basuhkan. Terutama kalau nak pergi ke mana-mana. Orang tak pergi Kota Bharu tu tanpa pakai baju” Sekali lagi kedengaran ketawa kecil para hadirin. Kali ini pak imam pun turut tersenyum.

Tiba-tiba ada ahli jemaah yang mencelah “Nak pergi Kota Bharu ustaz, nak pergi kenduri mesti pakai baju comel-comel”. Diikuti ketawa mereka yang semakin jelas.

“Ada orang kalau duduk rumah, mereka tak pakai baju. Cukup dengan kain pelikat saja. Panas katanya. Sebab kat rumah, mereka tak (ada perasaan) malu pada sapa-sapa. Tapi kalau datang surau tak pakai baju, pergi Kota Bharu tak berbaju, takut orang kata ‘gila'” Sampuk salah seorang ahli jemaah lagi. Kali ini imam dan rakan jemaah yang lain ketawa sama-sama.

“Terutama sekali orang perempuan, mereka ni nak pakai baju lawa-lawa sokmo, hok buruk toksey” Jawab imam dengan nada mengandungi sedikit sindiran kepada ahli jemaah wanita. Turut diikuti ketawa yang sederhana oleh semua orang.

Ana fikir, mereka telah faham bahasa kiasan menerusi cerita yang dipesankan oleh guru ana itu tadi. Kalau boleh, kita perlu mempersembahkan ibadah yang terbaik ikhlas kerana Allah. Tanpa paksaan. Kalau sebelum ini tak pernah solat tarawih, buatlah tahun ini. Kalau dulu asyik buat solat 8 rakaat, cuba-cubalah tambah bilangan rakaat solat tersebut pada tahun ini. Kalau sebelum ini bacaannya adalah yang pendek-pendek sahaja, kali ini bacalah ayat-ayat yang panjang sikit. Secara fitrahnya, semua orang dapat membezakan yang baik daripada yang paling baik. Saje je tanya.

Ana teringat satu lagi pesan guru “Kalau tahun lepas tak pernah solat 20, tahun ini buatlah. Kalau tahun lepas baca ayat lazim, tahun ini baca panjang sikit. Kalau tahun lepas solat sebelah rumah dengan bilangan rakan jemaah yang sedikit, tahun ini carilah tempat yang ramai orang sikit. Baru ada suasana dan terasa meriahnya. Mana tahu, kalau tahun ini adalah yang terakhir berjumpa Ramadhan, jumpa tarawih. Tak malu ke jumpa Allah dengan memakai baju yang sama?”

Apatah lagi orang sekarang ini kadang-kadang ada orang tak sempat nak solat tarawih. Bukan itu sahaja, ada juga yang tak solat fardhu pun. Apalah nasib umat Islam hari ini. Terutama sekali di bandar-bandar. Kalau dalam sebuah taman itu, yang datang ke surau untuk solat berjamaah tak sampai dua saf pun. Padahal kalau diikutkan, kalau datang semua umat Islam yang duduk di situ, memang empat kali besar surau tu pun tak muat. Di manakah mereka? Apakah terlalu sibuk dengan kehidupan dunia yang sementara?

Bangunlah. Semaklah kalau-kalau ia (yang liat untuk solat itu) adalah diri kita. Bertaubatlah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat. Sebab itu Dia masih panjangkan umur kita, untuk memberi kita peluang bertaubat dan kembali ke jalan yang Allah redha. Semak jugalah kalau mereka yang tak solat itu adalah anak-anak kita. Atau sanak saudara terdekat kita. Adik beradik kita. Sepupu kita. Sahabat atau rakan kita. Jiran kita dan sebagainya.

Sesungguhnya kita bukan sahaja bertanggungjawab ke atas diri sendiri sahaja. Kita juga ada tanggungjawab sosial. Islam itu adalah masyarakat. Bukannya nafsi-nafsi. Fikirkanlah untuk melakukan sesuatu. Nescaya kita akan nampak peluang untuk menyumbang ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang mengamalkan Islam secara syumul (keseluruhan). Ianya sudah pasti bermula dengan diri sendiri, keluarga dan seterusnya umat Islam semua sekali.

Meriahkanlah Ramadhan ini dengan berpuasa di siang hari. Kemudian dengan pengisian rohani di malam hari. Ambillah peluang ‘Sale’ yang Allah sediakan setahun sekali ini. Sediakan diri kita untuk masuk ke sekolah Ramadhan seterusnya untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran di dalamnya.

Apatah lagi kerana guru sekolah Ramadhan ini adalah Allah sendiri. Ikutilah segala peraturan apabila anda masuk ke sekolah ini. Walaupun anda terpaksa memaksa diri pada permulaannya, nescaya lambat laun anda akan dapati keikhlasan pula yang datang. Sabar dan menahan diri itu adalah sebahagian daripada nilai puasa. Banyak-banyaklah bersabar dalam belajar. InsyaAllah anda akan beroleh kejayaan yang cemerlang. Buat bekalan menghadapi 11 bulan lagi.

Sekian, wallahu aklam.

Advertisements

1 Komen (+add yours?)

  1. Trackback: Salam Ramadhan 1432H « IbnRajab Online

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: