Ajar anak puasa

Bismillahirrahmanirrahim

Dalam sebulan puasa ini (tak cukup lagi sebulan sebenarnya), isteri ana selalu cakap pada anak lelakinya “Anak ustaz apa, tak malu tak puasa”. Kadang-kadang terpaling juga muka ana ini memandang wajah anak lelaki ana yang sulong itu. Dek ngomelan (ikhlas) ibunya. Kadang-kadang yang lain pula, ana tersoal diri sendiri, pada umur berapa ana dulu mula berpuasa?

Sebenarnya (dia) bukan tak puasa. Tapi orang kata ‘puasa separuh hari’. Adiknya selalu gelar ‘Abang puasa yok-yok’ dalam nada menyakat. Kadang-kadang tergelak juga melihat gelagat anak-anak. Sebab si adik tu sedap-sedap komen si abangnya. Walaupun dia sendiri awal pagi sudah merengek minta susu. Seingat ana dahulu, adiklah yang puasa (cukup) lebih awal dari diri ana sendiri.

Ada orang tanya ana “Ajar anak puasa dari umur kecil-kecil tu ada hadith tak ustaz? Ayat al-Quran ka?” Terpanggil juga ana untuk membelek-belek ayat al-Quran. Tercari-cari dalam tafsir. Kalau ikut ayat (mewajibkan puasa) 183 surah al-Baqarah itu, tuntutan puasa adalah ke atas orang Islam, akil dan baligh. Serta dibincangkan orang-orang (tadi) yang dibenarkan meninggalkan puasa seperti bermusafir, sakit juga hal-hal lain yang berkaitan seperti haid dan nifas.

Bila lihat hadith (yang dapat dicapai oleh ana sahaja) juga tidak ada yang mengaitkan puasa kanak-kanak secara langsung. Kalau ajar solat, hadithnya memang jelas. Sabda Rasulullah SAW “Ajarlah anak-anakmu solat ketika umur mereka tujuh tahun dan rotan mereka (sekiranya enggan solat) pada umur 10 tahun. Dan perbincangan ulama tentang hadith tersebut begitu panjang sehingga melampaui hukum ‘bunuh’ (yang perlu dijalankan oleh pihak berkuasa bukannya individu seperti ibu atau bapa) bagi mereka yang ‘ingkar’ solat setelah diberi peluang bertaubat. Dahsyat, dan anda jangan tidak tahu dan menganggap solat ini perkara remeh temeh.

Cuma apabila belajar ilmu usul fiqh. Di sana ada kaedah, seperti qias (membandingkan sesuatu yang tiada hukumnya (di sini ajar anak) dengan sesuatu yang telah jelas hukumnya). Fikir ana, kaedah ini mungkin digunakan dalam tuntutan mengajar anak berpuasa sejak awal. Seawal usia tujuh tahun. Dan juga merotan anak sekiranya enggan puasa pada umur sepuluh tahun. Sebab apa qias, kerana darjat tuntutan solat dan puasa berada pada tingkat (fardhu) yang sama.

Dan anda seperti ana, wajib mengajar anak-anak berpuasa sedari umur tujuh tahun (atau lebih awal) dengan menggesa mereka bertatih-tatih dalam melakukannya. Tak sempurna macam kita terus pun tak apa. Sekurang-kurangnya anak-anak tahu tuntutan yang sepatutnya dalam berpuasa.

Ajarannya pula bukan sekadar (dan terhenti setakat) meninggalkan makan dan minum sahaja, malah melampaui kepada perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Termasuklah juga mengajar untuk memperolehi puasa berkualiti dengan meninggalkan segala larangan-larangan Allah secara keseluruhannya. Seperti larangan membuka aurat, larangan berbohong dan sebagainya. Wajib ajar.

Paling penting mengajar mereka untuk solat. Kerana mengajar anak-anak berpuasa itu diambil daripada hadith mengajar anak-anak solat. Sudah tentu solat mendapat prioriti pertama kerana ia adalah asal. Jangan sekali-kali seronok ajar anak berpuasa tetapi tidak tegur langsung tentang solat mereka. Bahkan solat itulah asasnya. Tiang agama. Anak-anak yang rajin dan istiqamah solat, senang untuk berpuasa (secara berkualiti) sebenarnya. Tetapi bukan sebaliknya.

Bassyar, setelah diuli, dipujuk, diberi faham dan macam-macam, akhirnya semalam 12 Ramadhan, dia berpuasa penuh. Itulah puasa penuh pertama dalam sejarah hidupnya. Anak sulung ana (kami sebenarnya). Semoga semangat untuk berpuasa tersemadi dalam diri, akhirnya menjadi pemangkin ke arah mentaati segala perintah Allah seawal usia yang mungkin.

Rahsianya semalam kami merancang untuk berbuka puasa di rumah mak mertua ana. Berkumpul adik beradik belah isteri ramai-ramai. Berbuka sama-sama. Perkara ini diberitahu awal kepada Bassyar dan membayangkan kepadanya betapa seronok buka puasa ramai-ramai. Bersama sepupu-sepupu, bapa dan mak saudara serta atuk dan nenek. Alhamdulillah kami semua berbuka puasa semalam termasuklah Bassyar. Dalam mendidik anak ini, kadang-kadang perubahan mood dan suasana itu penting juga.

Semoga kita semua berjaya di dalam mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah. Beramal dan berpegang teguh dengan ajaran Islam sebagai jati diri mereka. Segalanya mesti berperancangan, iaitu bukan sekadar membanding anak-anak kita dengan anak orang lain. Kerana Allah SWT tidak menggunakan perbandingan dalam memberi pahala dan dosa kepada hamba-hambaNya, sebaliknya ilmu, iman, taqwa itulah nilaian di sisi Allah. Jauh sekali takabur dan menunjuk-nunjuk itu adalah ukurannya.

Sekian, wallahu aklam.

Advertisements

1 Komen (+add yours?)

  1. Trackback: Salam Ramadhan 1432H « IbnRajab Online

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: