Tingkatan syukur

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Bismillahirrahmanirrahim

Syukur adalah perkataan Arab bermaksud terima kasih. Orang Arab kata “syukran” sekiranya mereka ingin berterima kasih. Kadang-kadang orang Melayu yang mengaji Arab pun cakap macam tu juga. Kalau ikut perbincangan Syeikh Islam Ibn Taimiyyah, Syukur ini berbeza daripada Pujian (Hamd). Syukur layak sesama manusia sebaliknya pujian hanyalah milik Allah.

Beza syukur dengan pujian, antara lainya; syukur adalah kerana nikmat atau kebaikan yang diperolehi. Contoh, seorang anak berterima kasih atas pemberian wang oleh ibunya apabila ke sekolah. Anak orang Arab akan ucap “syukran ya ummi”. Sebaliknya pujian kepada Allah samada kerana nikmat yang diperolehi contoh nikmat sihat, kaya dan lain-lain, atau kerana ujian yang menimpa contoh sakit atau miskin. Kedua-dua keadaan ini menuntut seorang hamba itu memuji Allah. Oleh itu, kesemua jenis syukur masuk dalam istilah pujian (hamd) dan tidak sebaliknya.

Kata Ibn Taimiyyah lagi, syukur ini ada tiga tingkat. Dengan lidah (yang paling mudah), dengan anggota seterusnya dengan hati (martabat paling tinggi). Pada kesempatan ini ana hanya nak bincangkan tingkatan syukur kepada Allah sahaja. Manakala syukur atau terima kasih kepada sesama manusia itu berpada dengan ucapan yang ikhlas (dengan lidah) terbit dari hati.

Syukur ini sebenarnya ibadah juga. Kalau dilakukan dengan ikhlas, ia akan mendapat pahala. Kalau saja-saja kata terima kasih sesama manusia, tanpa ikhlas maka tak dapat lah apa-apa. Sebaliknya mungkin akan datang perasaan sombong. Atau tidak pandai menghargai pemberian dan sumbangan orang lain.

Mari kita berbalik kepada persoalan syukur kepada Allah.

Syukur dengan lidah
Ia digambarkan dengan ucapan alhamdulillah. Walau apa jua keadaan (susah atau senang, nikmat atai ujian), lidah kita perlu dibasahi dengan alhamdulillah. Atau al-syukrulillah. Baik ucap alhamdulillah aje lah. Ia dah biasa digunakan dan lafaz alhamdulillah itu juga lebih umum daripada al-syukru sebagaimana yang telah dijelaskan.

Tingkatan syukur yang ini mungkin dapat diamalkan oleh banyak orang (Islam). Kadang-kadang, mulut dah terbiasa lalu dengan mudah (atau terlatah) menyebut alhamdulillah. Terutama bila dapat nikmat. Tetapi ia mungkin agak (atau sedikit) sukar diucapkan (atau diamalkan) sekiranya dapat ujian. Yang biasa diamalkan adalah (mungkin) mengeluh.

Syukur dengan anggota
Iaitu melahirkan rasa terima kasih kepada Allah dengan menggunakan anggota (kesemua sekali) ke arah kebaikan; iaitu buat apa yang Allah suruh dan pada masa sama tinggal apa yang Allah larang. Dengan kata lain, melakukan dengan anggota segala taat dan menghindari segala maksiat.

Dalam memperkatakan hal ini, Ibn Taimiyyah berpendapat, syukur dengan mulut tidak diterima dan tidak sah sekiranya anggota buat maksiat. Oleh itu, tidak ada erti syukur alamdulillah ketika sedang melakukan maksiat. Contoh: “Syukur, kerana terlepas daripada dicekup oleh pencegah maksiat”, “syukur kerana terlepas dan tidak dihukum dengan hukuman Islam atas dosa-dosa saya atas dunia ini” atau, “Syukur alhamdulillah saya telah berjaya menerbitkan album rock kapak yang keseratus” atau lain-lain yang seumpamanya.

Syukur dengan hati
Tahap ini yang paling susah untuk dicapai kecuali dengan cara belajar dan mendalami ilmu (pengetahuan agama dan iman). Iaitu hati sentiasa ingat kepada Allah dan merasakan bahawa segala taat yang dilakukan ini adalah semata-mata kerana Allah memilih mereka untuk melakukan taat itu. Contoh orang yang dapat datang ke masjid atau surau bagi solat berjemaah. Mereka langsung tidak merasakan bahawa kerana mereka sihat, maka mereka hadir, atau kerana mereka ada kemudahan seperti kereta, motorsikal maka mereka datang, atau kerana pada masa ini mereka senang maka mereka datang. Sebaliknya mereka merasakan dengan hati, kedatangan mereka ini kerana Allah yang memilih mereka untuk menjalani ketaatan (hadir solat berjemaah itu). Maka mereka syukur kepada Allah dan berharap agar pada waktu (solat) yang lain pun, Allah masih menunjukkan hidayahNya agar dapat dilakukan taat yang lebih baik.

Inilah terjemahan kepada ayat 5 surah al-Fatihah apabila seorang hamba memohon hidayah kepada Allah. “Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”. Imam al-Tabariy menafsirkan ayat ini dengan persoalan “kenapakan orang Islam masih memohon petunjuk yang lurus (benar) sedangkan mereka sudah dalam solat. Apakah ada lagi jalan yang lurus selain darinya?”.

Setelah dibawa pendapat para ahli tafsir, maka imam al-Tabariy membuat kesimpulan bahawa: “Sebenarnya permintaan orang yang sedang solat itu adalah bagi menyatakan syukur yang amat tinggi (dengan hati) iaitu mereka telah berada di jalan yang benar hari ini atas kehendak Allah, lalu dengan perasaan yang insaf, mereka memohon agar dipilih lagi berada dijalan yang benar pada baki umur mereka sehigga mereka datang berjumpa Allah pada hari akhirat.

Kesimpulan
Hari ini, ramai orang yang melahirkan rasa syukur hanya ketika mendapat nikmat daripada Allah. Sepatutnya kita melahirkan rasa syukur kepada Allah pada setiap masa; samada sedang dalam nikmat atau ditimpa ujian.

Hari ini, ramai orang yang melatah ucapan alhamdulillah tanpa rasa ikhlas. Dah jadi macam adat pula. Seperti ramai pelajar yang mengucapkan ucapan terima kasih di akhir sesi pengajaran gurunya kerana rutin dan kebiasaan. Jarang antara mereka yang ikhlas mengucapkannya (setiap hari sembilan atau dua belas kali itu). Oleh itu, ucapkanlah alhamdulillah ikhlas dari hati dan secara sedar ingin mengucapkannya.

Hari ini, orang yang sedang buat maksiat pun ucap alhamdulillah. Tak malu dengan diri sendiri. Dan tidak sedar diri itu jahil murakkab dan perlu berubah. Mereka ingat dengan mengucapkan alhamdulillah itu telah menjadikan mereka muslim sejati. Sedangkan pada masa sama tak tutup aurat, menjual maruah diri dan mencemarkan nilai agama. Semoga kita semua sedar akan apa yang kita lakukan dan mengucapkan alhamdulillah sekiranya kita layak berbuat demikian. Jangan nanti kalimah itu akan mendakwa kita di hadapan Allah pada hari kiamat kelak.

Hari ini ramai orang yang melakukan amal taat kepada Allah dengan perasaan kerana mereka mampu, kerana mereka sihat, kerana mereka ada ilmu. Tak terlintas langsung di fikiran itu semua adalah kerana Allah yang mentakdirkan mereka dan merezekikan mereka menjadi hamba soleh. Lalu mereka rasa, petunjuk Allah diperlukan hanya oleh orang-orang kafir, orang-orang lain yang masih bergelumang dengan maksiat dan melupakan bahawa diri mereka terlebih perlu kepada hidayah Allah.

Fikir-fikirkan. Mana letaknya diri kita. Sekian, wallahu aklam dan wassalam.

Ruj: Ibn Taimiyyah, Makarim al-Akhlaq. Almahasibiy, Risalah al-Mustarsyidin. Al-Tabariy, Tafsir al-Tabariy.

Advertisements

1 Komen (+add yours?)

  1. Trackback: Syukur. – JAZALO Blog

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: