Hujan menimpa tembakau

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini hujan turun lagi. Matahari pula seperti tidak ingin menyinarkan bahangnya. Langit mendung dan kadang-kadang diliputi awan hitam yang agak tebal. Cuma angin sahaja yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Menjadikan suasana di Daerah Bachok, Kelantan, keseluruhannya kesejukan. Dingin sangat. Semalam juga hujan. Sampai hari ini kalau berhenti pun untuk seketika. Kadang-kadang lebat dan kebayakan masa hujan turun renyai-renyai.

Hari ini para petani yang mengusahakan tanaman tembakau mula turun padang. Kalau semalam kebanyakan mereka memilih untuk berada di rumah, di kedai kopi atau di mana sahaja bagi berlindung daripada hujan dan kesejukan. Sebelum dua hari ini pula, mereka dilihat agak sibuk menguruskan tanaman tembakau yang kian menampakkan hasilnya. Aktiviti menyiram, meracun, membaja. Mereka nampak macam sibuk benar. Cuaca memang sangat hangat. Panas membahang. Ramai anak-anak dan orang dewasa juga mengidap demam-demam, batuk dan selsema.

Hari ini lain. Mereka memaksa diri dan seisi keluarga turun ke padang. Bukan untuk meratapi pohon-pohon tembakau yang semakin menumbang. Bukan pula untuk berpesta. Jauh sekali menyatakan bantahan kepada sunnah alam itu. Sebaliknya mereka semua bekerjasama menolong menimba air dari dalam relung tembakau ke dalam parit yang disediakan. Ada yang mencanggkul, mengorek atau menggali parit agar luas dan dalam. Ada kumpulan yang lain menghidupkan enjin air bagi menyedup air keluar dari relong.

Rumah ana terletak ditengah-tengah relong tembakau itulah. Belakang, belah kiri dan belah kanan dipenuhi tanaman tembakau.  Sebelah hadapan itu pula adalah pagar tapak UMK (Universiti Malaysia Kelantan). Orang tua ana sudah lama tidak tanam tembakau. Hanya ada beberapa ekor lembu yang diternak sebagai pengubat bosan. Mak ana ada juga tanam sayur sikit-sikit di depan halaman rumah sebagai sampingan.

Sayu juga hati ana memerhatikan nasib-nasib penanam tembakau yang secara tak langsung menjadi jiran-jiran ana itu. Dalam keadaaan hujan lebat, kelihatan mereka masih juga bermandi peluh. Kadang-kadang bila hujan terlalu lebat, mereka matikan sahaja enjin yang sedang menyedup air. Mungkin merasakan usaha mereka itu sia-sia. Dan apabila hujan mulai reda mereka hidupkannya kembali. Bila lebat, lama lebat, mereka matikan pula. Sungguh pilu melihat mereka tak putus-putus asa berusaha.

Satu Fitnah
Peristiwa hari ini memaksa hati ana mengingatkan juga suatu fitnah yang pernah tersebar suatu ketika dahulu. Tuduhan tanpa bukti dan bertujuan memburuk-burukkan para penanam tembakau khususnya di Kawasan Bachok ini. Berita berkenaan seorang daripada penanam tembakau di kawasan ini keluar ke padang dan menghunus parangnya ke arah langit sambil menjerit, meminta tuhan menjelma dan beradu tenaga dengannya kerana hujan turun tidak henti-henti. Tembakau yang ditanam habis musnah. Kemudian beliau dipanah petir lalu meninggal dunia.

Satu ketika yang lain, ana terbaca dalam sebuah majalah. Ada seorang wartawan yang cuba membuat kajian dan mencari asal usul cerita berkenaan. Katanya, kajian itu bertujuan melihat generasi yang ditinggalkan oleh petani berkenaan dan nasib yang menimpa mereka. Apakah mereka sekarang terus menderita akibat perbuatan derhaka si ayah, atau sebaliknya. Mana tahu ada pelajaran yang boleh dipelajari di mana-mana.

Setelah pergi ke satu kawasan, beliau pergi ke satu kawasan. Dalam Bachok ini. Apa tidaknya, kerana apabila beliau ke kampung telong, Bachok penduduk di sana mengatakan cerita itu berlaku di kampung Kemudi, Bachok. Bila sampai di Kemudi, mereka kata pernah dengar cerita itu berlaku di Melawi, Bachok. Bila ke Melawi, mereka kata ia berlaku di kawasan Beris, Bachok. Bila ke Beris, dikatakan pula di kampung Kandis. Bila ke Kandis cerita itu balik semula ke kawasan Telong. Habis semua kawasan dalam daerah Bachok ini beliau pergi. Satu kata mukmatad di mana peristiwa itu berlaku pun tidak dapat dipastikan. Ana dahulu pun pernah dengar cerita sama. Katanya orang dari Daerah lain mengatakan ia berlaku di Daerah Bachok.

Semuanya fitnah!

Memang tak masuk akal langsung. Satu daerah yang mempunyai warganya yang sangat intelek. Memiliki jatidiri dengan iman yang kental. Daerah yang dipenuhi dengan ahli cerdik pandai. Dituduh dengan cerita begitu? Sesuatu yang tidak berasas sama sekali. Siapa yang boleh menafikan rekod anak-anak Kelantan yang terkenal memiliki modal insan terbaik di Malaysia? Kalau selidiki tempat asal mereka, kebanyakkannya adalah dari Daerah Bachok inilah. Siapa tak kenal Dato Mustafa Muhammad? Dato Dr Awang Adek? Dato Seri Pahamin Rejab? Mereka semua pernah memegang jawatan hebat dalam Kerajaan. Dan sehingga kini pun, Pengarah di beberapa Jabatan Kerajaan Persekutuan, Bisnesman-bisnesman besar, Mereka semua adalah anak kelahiran para petani dan nelayan di kawasan Bachok inilah juga.

Kalau dilihat daripada segi nilai iman dan ketinggian ilmu agama. Siapa tak kenal Tok Bachok? Tok Ayah Zin? Dan ramai lagi pimpinan ulama sehingga ke hari ini. Kebanyakan mereka dari daerah inilah juga. Pemegang ijazah PhD, Master apatah lagi Ijazah pertama. Dijumpai berlambak-lambak sampai ada sesetangah keluarga tak ingin lagi menggantung gambar-gambar anak mereka yang menerima ijazah itu diruang tamu. Menyampah. Pergi mana-mana rumah hampir semua gambar anak ada di dinding-dinding.

Itu tak masuk lagi bilangan banglo mewah. Bilangan kereta Mercedes Compressor yang dimiliki warga Bachok. “Kat sini orang pompuan aje pandu Compressor ya?” komen seorang rakan yang sempat menziarahi ana dan daerah Bachok ini lewat tahun lepas. “Rumah ana ni je yang kecik tuan, tak ada Compressor” komen ana pula.

Kesimpulan
Cerita itu memang mengarut sungguh. Ia dibuktikan sekali lagi hari ini. Tidak ada riak muka bantahan langsung ke atas kerja Tuhan. Apatah lagi nak cari sepatah keluhan pun yang keluar dari mulut para petani itu. Sebaliknya ada yang berkata “nampak gaya tahun ni dapat imbuhan lagi la”. Memang tahun 2006 melihat Kerajaan memberi pampasan sebanyak RM5000 (lima ribu ringgit) seorang kepada semua penanam tembakau. Setelah tanaman mereka (carak) ditimpa hujan. Masa tu, ayah ana pun dapat. “Orang bagi kita ambil” satu pepatah yang paling glamour di daerah ini.

Sehingga artikel ini ditulis, hujan sudah agak reda. Deruman enjin-enjin air kembali berbunyi. Semalam sehingga ana melelapkan mata pada jam 12 tengahmalam, enjin air masih bersuara. Rasanya, malam ni pun sama. Mungkin berlarutan sampai pagi lagi. Usaha para petani yang begitu tinggi ini janganlah sesekali ditabur dengan fitnah yang tidak logik langsung! Masakan ada warga Bachok yang tergamak beradu dengan tuhan? Sedang pada masa yang sama sanggup menjual tanah kebun demi menghantar anak-anak mengaji di bumi anbia.

Sesungguhnya fitnah itu lebih buruk daripada membunuh. Jauhilah kita daripada menguar-uarkannya.

Wallahu aklam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: