Awasi jerat ‘easy payment’

Bismillahirrahmanirrahim

Easy payment atau plan pembayaran mudah merupakan satu kemudahan yang disediakan oleh penyedia kad kredit. Yakni bank pengeluar kad kredit yang diuruskan sama ada oleh pihak MasterCard atau Visa. Ia juga dikenali sebagai bayaran ansuran tanpa faedah atau ‘zero interest’. Melalui kemudahan ini, para pemegang kad kredit boleh menikmati penggunaan barangan yang dibeli secara ansuran dengan tidak dikenakan sebarang faedah. Maksudnya, sama sahaja sama ada bayar secara tunai sekaligus atau dengan kad kredit secara bulan-bulan, tak ada pertambahan harga dan tidak dikenakan interest tetapi masih boleh memiliki dan membeli barangan yang tinggi harga sekalipun.

Melalui kaedah pembayaran seperti ini, pemegang kad biasanya diberi pilihan sama ada ingin membayar ansuran selama 6 bulan, 12, 24 atau sehingga 36 bulan (3 tahun). Contoh, barang yang berharga RM1800 boleh dimiliki dengan membayar secara bulan-bulan sebanyak RM100 sebulan untuk tempoh 18 bulan yakni setahun setengah. Siapa yang tidak mampu milik barang itu bukan? Kalau setakat bayar RM100 sebulan.

Pengalaman ana, sudah dua barang ana beli guna kemudahan seperti ini. Pada tahun 2005 ana beli sebuah komputer notebook. Bayar bulan-bulan selama 12 bulan dengan harga tidak sampai RM200. Kemudian pada tahun lepas beli handset dengan bayaran RM88.++ selama setahun. Terima kasih kepada pihak bank yang menyediakan kemudahan ini yang boleh dianggap sebagai menguntungkan pihak para pelanggan.

Rasional
Apa yang ana fikirkan sendiri. Kenapa pihak bank sanggup bersusah payah menanggung beban membayar kepada pihak peniaga dengan harga yang tinggi sekali gus kemudian ambil balik daripada pelanggan mereka sedikit-sedikit pada setiap bulan? Ana ada beberapa rasional mengikut pendapat peribadi ana sendiri sahaja.

1. Pihak bank menjangka akan mendapat pulangan sekiranya pihak pelanggan tidak dapat menyelesaikan bayaran bulanan mereka tepat pada masanya. Maksudnya, kalau mereka hanya mampu bayar jumlah minima bil kad kredit, maka mereka sebenarnya akan dikenakan faedah ke atas penggunaan bulan tersebut. Perkara ini akan bertambah dari bulan ke bulan. Ataupun lagi teruk “lagi untung” sekiranya pelanggan tak mampu bayar langsung bil mereka pada akhir setiap bulan. Lagi banyak caj boleh dikenakan!

2. Pihak bank ingin pastikan pelanggan mereka tidak memberhentikan penggunaan kad kredit sehingga jumlah easy payment itu dibilkan sepenuhnya. Dengan itu, pihak bank akan dapat yuran tahunan selama tempoh masa yang tertentu. Perkara ini akan lebih lagi menguntungkan pihak bank sekiranya pelanggan menambah penggunaan kemudahan easy payment mereka dengan membeli barang-barang setiap bulan atau paling kurang setahun sekali. Kesetiaan (keterikatan) mereka dengan bank akan bertambah panjang.

3. Pihak bank ingin menggalakkan para pelanggannya berbelanja kerana dengan easy payment mereka sudah merasakan mereka mampu berbelanja dengan bayaran balik yang sedikit pada setiap bulan. Harga beribu telah bertukar menjadi puluhan atau ratusan ringgit sahaja. Siapa pun mampu berbelanja!

Pun begitu, bagi pengguna kad kredit yang cerdik dan pintar pengurusan kewangan, mereka masih dapat gunakan kemudahan easy payment ini tanpa terkena jerat atau perangkap sebagaimana yang ana fikir dan senaraikan di atas. Iaitu mereka bayar bil kad kredit secara keseluruhannya pada akhir setiap bulan, maka mereka tidak dikenakan apa-apa caj. Lepas tu pula mereka hanya memilih kad kredit yang dikeluarkan secara percuma oleh bank-bank tertentu (semestinya dengan syarat-syarat yang mampu mereka patuhi). Akhir sekali mereka tidak berbelanja ikut nafsu tetapi ikut kemampuan dan perancangan perbelanjaan yang berhemat.

Peristiwa terkini
Ana teringin sekali lagi pada tahun ini untuk berbelanja dengan kemudahan easy payment. Pada ana, bil terakhir handset ana ni adalah bulan depan. Kalau ikutkan, bermula bulan depan akan ada sejumlah wang lebihan daripada perlepasan kredit berkenaan yang boleh ana gunakan bagi memenuhi keperluan perbelanjaan yang lain pula. Tidak ada masalah dan ana boleh mulakan servey (harga).

Ana masuk sebuah kedai elektronik yang namanya memang terkenal di seluruh negara. Kedai besar dan mewah dipenuhi barangan-barangan elektronik dan dipenuhi juga banner-banner yang memberikan tawaran itu ini. Memang syok kerana sebaik sahaja menjengah masuk sudah datang salesman yang manis muka, mesra dan ceria pula layanannya. Waa sejuknya mata.

Disamping bertanyakan itu dan ini, ana memberitahu hasrat menggunakan kemudahan easy payment. Katanya “kalau nak buat easy payment, mesti jumlah bilnya lebih RM1000 (satu ribu)”. “hmm tak ada masalah kerana kita memang nak cari banyak barang kali ni” bisik ana kepada isteri. Memang pun kerana tahun ini kami diberikan rezeki oleh Allah untuk duduk di rumah sendiri yang baru siap (tapi sehingga hari ini, kuncinya belum diserahkan lagi pun, hehe).

“Tak ada apa-apa caj tambahan ke ni ncik?” tanya ana kepada si (salesman) berpekerti mulia itu. “Tak ada, dah namanya easy payment encik.. zero interest” sahutnya sambil tergelak-gelak. Terusik juga hati ana. Yalah rasa macam diperbodohkan pula dengan soalan itu tadi.

“Atau saya perlu sertai apa-apa skim macam kena daftar kad ahli kedai ni ke dulu?” tanya ana lagi. Biar nampak bodoh tapi tidak ditipu oleh maklumat yang terselindung.

“Hmmm, untuk dapat kemudahan easy payment yang u kata tu..” belum habis pun ayat ana. “Tak ada ncik”. jawabnya pantas. “Apa-apa bayaran pun tak ada? swipe sekali tapi bayar sampai 18 bulan?” ana teruskan provokasi cara tersendiri.

“Adalah, encik perlulah bayar yuran proses, sekali saja” celahnya dengan suara yang agak perlahan dan tidak disertai dengan gelak-gelak lagi. “La riba apa pula tu?” getus ana. “Bukan riba la encik, memang semua orang kena bayar, bank dah tetapkan macam tu, sekali sahaja dan amaunnya tetap walaupun berapa jumlah easy payment yang encik buat” sambungnya macam bersyarah. “Berapa amaunnya itu?” tanya ana.

Setelah ana memberitahu bank pengeluar kad kredit ana dia pun jawab “kalau kad encik ni, berapa amaun yang encik beli pun bayaran prosesnya tetap RM85, tak kiralah seribu ka, dua ribu hatta 50 ribu pun” jelasnya. “Wah, kalau bank lain?” “ada yang hanya RM25 encik, paling murah yuran proses adalah RM25”.

“Memang riba lah ni” luah ana macam tak puas hati. “Tak encik” sangkalnya. “Riba apa pulanya, dah bank tetap macam tu, lagipun encik bukan bayar yuran proses ni tiap-tiap bulan, sekali ni saja” sambungnya berceramah pula. “Ini namanya riba al-Fadl, iaitu pertambahan harga ke atas harga asal yang dibayar semasa akad, saya tahu” ana cuba beri sedikit ilmu kepadanya. Seterusnya kami berdua diam sambil ana memulakan langkah keluar. Kecewa pun ada sebenarnya.

“Kat mana-mana kedai pun sama lah encik, kalau nak guna easy payment memang kena bayar yuran proses, kalau tak mana pihak bank nak untung?” akhirnya salesman tadi cuba melepaskan geramnya pula. Sambil berpaling dengan langkah tetap diteruskan, ana berkata “saya dah dua kali guna easy payment ni, tak ada pun, sekali beli komputer dan terbaru beli handphone”. “oo itu masa promosi encik, masa tu kami pun tak kenakan caj ni, sebab bank tengah promote penggunaan easy payment ni” sambungnya memberi info tambahan.

Disebalik easy payment
Ana ambil peluang untuk bertanyakan perkara berhubung yuran proses ini kepada pengeluar kad kredit melalui email dalaman atas talian (perbankan internet). Dalam masa tak sampai 24 jam, pihak bank memberitahu mereka tidak pernah menetapkan kepada mana-mana peniaga untuk mengenakan apa-apa yuran proses ke atas pihak pelanggan. Sebaliknya, sekiranya pelanggan memilih untuk menggunakan kemudahan itu dibeberapa kedai tertentu, pihak peniaga yang akan membayar yuran proses berkenaan kepada pihak bank.

Perkara seperti ini dikenakan kerana pihak peniaga telah dapat menarik minat pelanggan untuk berbelanja di kedai mereka melalui kemudahan easy payment yang diperkenalkan oleh pihak bank. Kerana tanpa kemudahan ini mungkin pelanggan itu tadi tidak akan melakukan perbelanjaan. Oleh itu, wajarlah pihak bank mengenakan caj ini terhadap peniaga.

Seperti juga pembelian runcit biasa, peniaga tetap dikenakan amaun tertentu sekiranya pelanggan memilih untuk membayar menggunakan kad kredit. Rasional yang sama kerana peniaga dengan pakej kad kredit berjaya menarik minat pengguna untuk berbelanja.Yuran-yuran atau caj-caj berkenaan adalah berbeza dari sebuah kedai ke kedai yang lain. Ianya mengikut jumlah jualan yang dapat dilakukan oleh peniaga berkenaan menggunakan kad kredit atau easy payment. Semakin tinggi claim (tuntutan) yang dibuat oleh peniaga, maka semakin kecil peratusan yang perlu mereka jelaskan berdasarkan kepada jumlah jualan mereka.

Begitulah penjelasan yang diberikan oleh pihak pengeluar kad kredit ana yang setakat ini tidak pernah mengecewakan pertanyaan-pertanyaan yang dikemukakan.

Kesimpulan
Easy payment ini memang bagus sekiranya kita bijak menggunakan dan mengguruskannya. Ia membantu kita mengurus keperluan hidup dengan pengurusan kewangan yang bijak. Dengan syarat kita perlu prihatin sebelum, semasa dan selepas penggunaan easy payment. Ditakuti terjebak dengan bayaran-bayaran yang tidak sepatutnya kita bayar. Itu jelas membebankan dan lebih teruk kalau ia tergolong dalam kumpulan riba yang diharamkan oleh agama. Terlibat dengan riba adalah bermaksud berperang dengan Allah dan RasulNya yang menjanjikan (kekalahan) iaitu kehidupan tidak berkat dan sengsara di dunia ini lagi sebelum di akhirat sana nanti.

Wallahu aklam.

Advertisements

5 Komen (+add yours?)

  1. How I Lost Thirty Pounds in Thirty Days
    Mei 04, 2009 @ 19:33:41

    Hi, interesting post. I have been pondering this issue,so thanks for sharing. I will certainly be coming back to your site.

    Balas

  2. Ghuroba
    Nov 13, 2014 @ 18:21:52

    Alhamdulillah, perkongsian yg bagus sekali akhi, terima kasih

    Balas

  3. Ahmad Ikmal Rosli
    Apr 30, 2016 @ 18:34:07

    Alhamdulillah. Perkongsian yang sangat bermanfaat. Terima kasih.

    Balas

  4. firdaus
    Jul 10, 2016 @ 23:16:37

    Terima kasih perkongsian .

    -Dari Tahun 2016-

    Balas

  5. Hamirah
    Dis 09, 2016 @ 01:55:00

    Assalamualaikum ustaz.
    Terima kasih atas perkongsian yg jelas, dan mudah difahami ini. Sangat membantu bagi mereka yang belum pernah membuat easy payment. Semoga ustaz dan keluarga sentiasa di bawah rahmatNya.

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: