Manisnya kenangan

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

pantaiLama juga ana tidak mengetuk papan kekunci laptop ini untuk menulis sesuatu untuk diposkan dekat sini. Mungkin tekanan tesis yang masih dalam proses untuk disiapkan tidak menyempatkan ana berbuat seperti selalu. Komitmen kepada tesis itulah yang lebih utama kerana ia adalah amanah kerja ana buat waktu ini. Apa-apa pun, pada saat dan waktu ini, rasa ini memaksa juga ana menuliskan sesuatu.

Ia adalah berkaitan dengan suatu kunjungan ke rumah sahabat ana di Pasir Mas. Bukan dia orang Pasir Mas pun, tidak juga isteri dia orang sana. Tapi mereka sekeluarga baru berpindah ke sana kerana isteri sahabat ana ini bertukar tempat mengajar ke salah sebuah sekolah di bandar tersebut. Kunjungan ana bersama keluarga hari ini ke rumah sewanya atas niat ziarah merangkap membalas ziarah yang dilakukannya hujung minggu baru ni ke rumah ana (rumah orang tua ana sebenarnya).

Pada minggu lepas ana sempat berkata padanya “macam mimpi je ana tengok anta dah tercegak kat kampung ana ni, macam tak masuk difikiran ana langsung yang anta akan jadi orang Kelantan”. Masakan tidak kerana dulu kami sama-sama hidup merantau di bumi Sarawak. Selalu kami berbalas kunjungan antara satu sama lain. Ana, ust azman, ust ainsa, ust hadi, ust adni dan rakan-rakan yang sama-sama bekerja di sana, akan memanfaatkan cuti hujung minggu untuk saling ziarah menziarahi. Kalau tidak menziarahi, kami pula yang akan diziarahi.

Walaupun hidup berjauhan daripada ibubapa dan sanak saudara, tetapi ikatan silaturrahim amat kami rasai. Kalau ada buat majlis keraian sikit-skit seperti majlis tahnik anak, akikah, majlis sambut hari raya dan sebagainya, kami meriah kawan walaupun tidak dapat menikmati keriuhan kehadiran sanak-saudara. Apatah lagi kalau ada di antara kami yang ditimpa sakit. Sikit sakit pun kami akan diziarahi dan didoakan agar cepat sembuh kembali. Sungguh manisnya kenangan itu.

Ingat lagi ana, kalau kebetulan ada dua tiga keluarga berkumpul (biasanya usrah ana, ust azman dan ust ainsa) maka kami akan jalan-jalan ke pantai Damai dekat santubung. Kat sana ada pantai. Suasananya agak tenang, jauh dari kesibukan dan agak damai seperti namanya pantai damai. Sebab tempat kami bertugas nak kata bandar tak la juga, mungkin lebih kepada hujung kampung la gamaknya. Kalau ust ainsa tu tempat dia lagi hujung kampung. Jadi keputusan untuk ke tepian pantai bawa anak-anak main itu menyeronokkan. Kadang-kadang tu bukan buat apa pun, hanya pergi kemudian balik, itu sudah memadai. Pada masa itu dan pada masa ini kenangan itu memang manis untuk dikenang.

Kalau rajin sikit, kami bawa anak-anak mandi air terjun kat Ranchan. Sini dekat sikit dengan rumah ust ainsa. Sampai hari ini, anak-anak suka sangat pasang video yang ana buat sendiri hasil daripada gambar-gambar dan visual yang diambil dari sana. Walaupun mereka tengok benda yang sama, dan hasil video ana itu tidaklah terlalu memuaskan tetapi anak-anak sangat terhibur. Mereka masih ingat nama-nama kawan yang sudah lama tidak dijumpai. Mereka juga merindui dan merasai manisnya kenangan itu.

Bila ana balik tempat asal ni, rasa nikmat ziarah menziarahi itu kurang. Ya lah, kalau ada pun cuti hujung minggu, rasa tanggungjawab nak balik rumah mertua. Atau menghabiskan masa melayan karenah anak-anak dengan membawa mereka jalan-jalan dalam suasana keluarga sendiri sahaja. Nak bawa orang tua (sama ada mak ayah ana atau mertua) memang mereka tak nak ikut sebab dah memang tempat sendiri.

Hari ini, dengan melakukan kunjungan ini, kenangan yang manis itu telah sedikit sebanyak terulang dalam sejarah kami. Walaupun tidak ada ikatan kekeluargaan, tetapi hubungan persaudaraan yang berlandaskan keikhlasan itu memberikan seribu satu makna. Dan hubungan seperti ini telah memeriahkan kehidupan kami di bumi perantauan. Apabila balik ke kampung pada hujung tahun (cuti sekolah) dan kemudiannya terpaksa meninggalkan ibubapa kerana kembali semula ke tempat kerja meneruskan tanggungjawab, perasaan adanya sahabat dan indahnya tali persaudaran inilah yang menguatkan semangat kami untuk terus berjuang walaupun hakikat kami berada di tempat orang.

Sesungguhnya amalan ziarah menziarahi ini sangat dituntut dalam Islam. Kedatangan tetamu dan kesudian kita menerima tetamu itu sebenarnya membuka pintu rahmat dan kasih sayang Allah. Ana ingat lagi, kalau pergi rumah kawan-kawan ni, selalunya mereka suka hidang makanan, dan tak pernah pula ada rasa tak lalu dan tidak ada selera untuk menjamah makanan itu. Selalunya memang luak lah. Dan kalau mereka pula datang, macam tu juga. Tetapi biasanya hidangan di rumah ana lah yang paling ringkas berbanding sahabat-sahabat yang lain.

Satu lagi yang ana sangat perasan, sahabat-sahabat ana ni memang tahu ana suka komputer. Jadi awal-awal lagi mereka dah siapkan satu laptop kat ruang tamu, siap dengan broadband lagi. Masuk-masuk rumah saja, perkara pertama selepas bersalaman yang kami buat adalah melayan komputer. Persoalan remeh temeh tentang komputer pun kami bincang. Nak sangat tarik suasana riang di samping anak-anak pula bising main sesama mereka. Ada tu saja je tanya pasal benda-benda (bahan) yang boleh disedut dari pen drive. Pasal antivirus, pasal software windows terkini dan lain-lain hal yang ada kaitan dengan dunia komputer. Dan hari ini kenangan manis itu berulang kembali.

Dalam hati kecil ana terfikir juga. Prihatin sungguh seorang sahabat di dalam melayan tetamu mereka yang bernama sahabat pula bagi mereka. Walaupun dalam keadaan yang tidaklah dirancang tetapi itulah nilainya sebuah persahabatan. Menjadikan seorang sahabatnya yang lain itu bahagia dan rasa seronok merupakan suatu yang selalu dibuat-buat. Biasanya yang kenal minat, hati budi dan kehendak seseorang itu selain ibunya adalah seorang sahabat.

Kebanyakan hari-hari yang dilalui buat masa ini adalah menikmati manisnya kenangan semalam. Cuma alhamdulillah, hari ini kemanisan itu telah kembali dapat kami rasai dan insyaAllah akan disirami selalu agar ia mekar kembali buat masa-masa yang mendatang. Selamat menziarahi sahabat-sabahat anda walau di mana anda berada. Semoga akan ada lagi sahabat yang datang ziarah ana juga dan menjemput pula ana untuk menziarahi mereka. InsyaAllah!

Wassalam

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: