Sumbangan ibubapa

Bismillahirrahmanirrahim

Allah SWT melalui firmannya (Isra:23) sengaja menyuruh hamba-hambaNya yang beriman agar sentiasa berbuat baik kepada kedua ibubapa. Manakala dalam surah Luqman, Allah mewasiatkan hamba-hambaNya agar kekal bersahabat yakni berbuat kebaikan kepada ibubapa walaupun mereka masih kekal di dalam agama asal (tidak beriman kepada Allah) Firman Allah bermaksud: “Dan jika keduanya memaksamu agar mempersekutukan Aku (melakukan syirik) dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, Maka janganlah kamu mengikuti keduanya, sebaliknya bergaullah dengan kedua mereka di dunia dengan baik (Luqman:15)

Melalui hadith yang disandarkan kepada Rasulullah SAW pula, banyak sekali terdapat pesan Baginda mengenai berbuat kebaikan kepada orang tua. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW diriwayatkan sebagai menjawab soalan seorang sahabat berkenaan dengan siapakah yang paling layak untuk menerima kebaikannya lalu Rasulullah menjawab “ibumu” sebanyak tiga kali kemudian “bapamu” pada kali yang keempat. Di dalam hadith yang lain Rasulullah SAW diriwayatkan menyuruh sabahat-sahabatnya mengumpul kayu api untuk membakar seorang anak yang terlalu sukar melafazkan kalimah syahadah semasa nazaknya kerana dosa-dosa terhadap ibu, sehingga akhirnya si ibu berkenaan mengampunkan dosa si anak tersebut, maka dengan mudah beliau melafazkan kalimah suci itu untuk kembali ke rahmatullah.

Ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith tersebut memberi pengajaran betapa peri pentingnya berbuat kebaikan kepada kedua ibupada selain ada dosa yang dikenakan sekiranya si anak menyakiti kedua orang tuanya. Beratnya dosa sehingga sukar melafazkan dua kalimah syahadah ketika hendak meninggal dunia. Berbahagialah dan sejahteralah anak-anak yang telah dan selalu melakukan kebaikan kepada kedua orang tua mereka.

Tanggungjawab wajib
Tanggungjawab berbuat kebajikan kepada ibubapa haruslah dipikul bersama, sama ada oleh anak lelaki atau anak perempuan. Walaupun dalam ayat al-Quran dan hadith di atas, khitabnya (sasaran) secara langsung kepada anak lelaki, tetapi ia juga termasuk anak perempuan mengikut kaedah ‘al-ibrah bi umum al-lafz la bi khusus al-sabab’. Tetapi tanggungjawab anak lelaki lebih utama dan mengikut kefahaman ana ia adalah fardhu (wajib). Oleh kerana itulah, mungkin (pada pandangan peribadi ana juga) hikmah Allah menetapkan 2 bahagian harta pusaka orang tua kepada anak lelaki berbanding 1 bahagian jatuh kepada anak perempuan, kerana tanggungjawab anak lelaki adalah lebih besar berbanding anak perempuan. Anak lelaki bertanggungjawab (wajib) kepada kedua orang tua, saudara-saudara perempuannya yang masih belum berumahtangga dan tanggungjawab juga kepada keluarganya sendiri (iteri dan anak-anak) manakala anak perempuan hanya bertanggungjawab ke atas dirinya sahaja di samping kebergantungan mereka pula kepada lelaki sama ada ayah atau saudara lelakinya (sebelum kahwin) ataupun suaminya (setelah berkahwin).

Terdapat pelbagai cara dan bentuk melakukan kebaikan yang boleh dilakukan kepada orang tua sekiranya mereka masih ada. Kebaikan tersebut pula perlulah memenuhi kehendak fizikal (luaran), perasaan (dalaman) malah sehingga keperluan spritual.  Kehendak fizikal itu seperti memenuhi keperluan makan, minum, pakaian, kewangan, tempat tinggal yang selesa dan sebagainya. Kehendak perasaan pula seperti keperluan bertanya khabar dan keinginan mereka, pulang menziarahi mereka, meluangkan masa bersama mereka, merawati kesakitan mereka dan sebagainya bagi mempastikan mereka berada di dalam keadaan kesihatan dan ketenangan fikiran yang baik. Manakala kehendak spritual pula seperti membantu memudahkan atau kalau mampu memandu mereka pada melakukan lebih ketaatan kepada Allah dengan bersolat jemaah bersama, berpuasa dan berbuka bersama, melakukan haji atau umrah bersama dan sebagainya.

Bantuan kewangan
Kebanyakan orang tua yang bekerja pada masa muda, mereka akan menikmati wang pencen selepas bersara. Perkara ini dapatlah sedikit sebanyak meringankan beban kewangan, kerana kini mereka sudah kurang mampu melakukan pekerjaan bagi mendapatkan sumber kewangan tersebut. Wang ganjaran pencen ataupun kwsp yang diterima secara lumsum pula (sekiranya tidak diusik oleh anak-anak) boleh dilaburkan dalam mana-mana institusi pelaburan yang memberikan pulangan lumayan. Bonus pelaburan yang diterima saban tahun itu pula adalah sebagai sumber tambahan yang dapat memenuhi keperluan bagi membiayai mereka untuk melakukan umrah setahun sekali, membuat persiapan menyambut hariraya atau dikeluarkan bulan-bulan sebagai amaun tambahan kepada pencen bulanan sedia ada.

Namun bagi sesetengah orang tua yang kurang bernasib baik, yang bergantung hidup kepada ‘kais pagi makan pagi’ pada masa mudanya, dan banyak mengeluarkan belanja untuk membesarkan anak-anak sehingga kesenangan hidup mereka di masa tua turut digadaikan. Mereka ini tidak ada pencen bulanan, tulang empat kerat pun sudah tidak seteguh dulu, manakala tahap kesihatan pula kurang memuaskan bagi membantu mereka meneruskan pekerjaan yang dapat memberikan pendapatan. Sekadar bercucuk tanam di halaman rumah untuk mementenkan kesihatan itu, cukup untuk itu sahaja. Nak berjual seperti waktu muda, mereka memang sudah tidak mampu lagi. “Dulu makcik jual hasil tanaman, dapat RM10 pun dapat beli itu dan beli ini, kini hanya mampu ditukarkan dengan ikan, itupun kadang-kadang tak cukup sekilo” antara ungkapan yang selalu ana dengar. Maksudnya, hasil tenaga sudah tidak dapat menampung hatta keperluannya sendiri pun.

Sebab itulah bantuan anak-anak berbentuk sumbangan kewangan kepada orang tua sangat-sangat mereka perlukan. Di zaman mereka dulu, tak perlu bayar bil-bil, dan kalau bayar pun jarang sangat yang melebihi RM5. Tetapi di zaman ini sewaktu tenaga sudah tidak mampu dijanakan lagi, komitmen bil-bil pun boleh mendatangkan penyakit darah tinggi. Kadang-kadang untuk membeli makanan pun tidak mampu juga dan terpaksa berhutang. Nak mengadu kepada anak-anak, mereka pun kata “kami pun hutang mak…”

Memang agak sukar menguruskan kewangan pada zaman ini. Kerana keperluan manusia sentiasa dirancang melebihi kemampuan pendapatan mereka dan paling kritikal kerana bajet kebanyakan seseorang tidak mengambil kira saat-saat ujian Allah yang melibatkan kewangan seperti sakit, kematian, hatta bocor tayar kereta sekalipun. Kebanyakan mereka melakukan bajet seperti akan sihat sepanjang hayat, tidak terlibat dengan kes-kes kecemasan, tidak perlu peruntukkan kewangan untuk perkara-perkara yang tidak diduga. Banyak antara mereka suka perhabiskan semua yang dapat, hatta yang belum dapat pun (seperti bonus) dah ada perancangan ke mana hendak dipergunakannya.

Sepatutnya manusia hari ini mengaplikasi saranan Rasulullah SAW dalam berbelanja, iaitu hanya merancang dan mengurus kehidupan berdasarkan 1/3 nilai pendapatannya sahaja. Baki 2/3 lagi adalah untuk simpanan dan dibelanjakan ke jalan Allah termasuklah kebajikan kepada ibubapa. Sebagai contoh, sekiranya pendapatan mereka RM2100 maka mereka merancang dan mengurus kehidupan dalam kadar RM700 sahaja (1/3×2100) dan perlu mereka memberitahu kepada diri sendiri bahawa nilai 700 itulah pendapatan bulanan mereka. Jalanilah kehidupan berdasarkan nilai 700 itu. Berumah, berkereta, makan dan minum dalam lingkungan RM700 sebulan. Mereka perlu fahamkan diri kalau semuanya hendak yang besar-besar, hati pula ingin menandingi orang lain maka akhirnya tertinggallah kewajipan kepada orang tua yang semasa sihat dan muda mereka bersusah payah membersarkan dan menyekolahkan anak-anak. Bukan dengan nilai 1/3 daripada kehidupan mereka laburkan, seluruh harta benda mereka keluarkan kerana pada anggapan mereka, anak-anak adalah aset mereka dan kekayaan mereka kelak.

Tetapi apa jawab anak-anak kepada orang tua mereka? “saya pun hutang mak..”

Apa yang lebih teruk lagi ialah apabila anak dah besar-besar hatta yang dah beranak pinak pun masih bergantung dan berharap kepada ihsan kedua orang tuanya. Lalu berkelahilah anak-anak di hadapan orang tua yang masih sakit atau sedang sakit atau mula menunjukkan tanda-tanda hendak pergi selama-lamanya, seperti yang diketengahkan dalam filem ‘Tiga Abdul’ ilham P.Ramlee itu. Kerana nak sangat ikut nafsu dan lupa pula pada saranan nabi, maka mereka lupa juga bahawa mereka adalah berasal daripada keluarga ‘kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang dan malam’.

Kalau dulu dengan rezeki ‘kais pagi makan pagi’ itulah mak dan ayah dapat besarkan mereka dengan pelajaran, tetapi hari ini gaya kehidupan ibubapa sudah ditinggalkan jauh seperti jauhnya timur dari barat atau lebih jauh daripada tingginya langit dengan bumi. Tanpa segan mereka berkata “saya pun hutang mak..” sedangkan mak berhutang untuk meneruskan kehidupan tetapi mereka berhutang untuk bermewah-mewahan.

Jalan keluar
Memang sukar kalau seseorang hendak memberi wang sebanyak RM500 sekaligus kepada orang tuanya berbanding not RM50. Apatah lagi kalau RM5000 lagilah berfikir panjang. Tetapi kalau anak-anak buat terus buat potongan daripada gajinya secara bulan-bulan, mungkin tak terrasa sangat. Katakanlah kalau buat potongan RM250 sebulan (10% daripada gaji anak RM2500) ia telah mencapai RM3000 (tiga ribu ringgit) untuk tempoh setahun. Tidakkan terlalu sukar seorang anak nak hulurkan not 3000 pada satu-satu masa kepada mak, sedang ia dapat buat banyak benda dengan jumlah itu? Tetapi mungkin bukan terlalu sukar kalau ia RM250 yang dipotong bulan-bulan.

Kelebihan membuat potongan bulanan kepada orang tua, selain ia tidak memberikan ‘rasa’ sangat kepada anak, ia membantu anak menguruskan kehidupan mereka dengan lebih baik. Kerana orang biasanya akan melihat kepada jumlah gaji bersih mereka tiap bulan untuk buat bajet keluarga. Itulah rasionalnya mereka yang buat pinjaman kereta dengan gov loan, pinjaman perumahan dengan gov loan, kerajaan akan tolak terus daripada gajinya. Sebab itulah juga kalau diselidiki data orang yang tidak mampu menguruskan kewangan dengan baik adalah mereka yang bayar loan kereta, loan rumah dengan ‘cash’ di bank. Dan kerana mereka masih berfikiran bahawa jumlah gaji mereka adalah terlalu besar tanpa memikirkan hak-hak yang dituntut daripada gaji tersebut.

Macam itulah juga kisahnya bagi anak-anak yang tidak membuat potongan bulanan ke akaun ibubapanya. Mereka tidak ada rasa bahawa dalam jumlah pendapatan mereka itu sebenarnya ada hak yang perlu diberikan kepada kedua orang tua. Tiada rasa tanggungjawab (wajib) itu. Kalau ada rasapun, bila mereka nak berikan dalam jumlah yang agak besar, mereka pasti terfikir dua tiga kali. Akhirnya tak jadi.

Opsyen potongan gaji bulanan untuk saraan ibubapa disediakan oleh Tabung Haji. Apa yang anak perlukan adalah, apabila dapat sahaja pekerjaan, dan dah ada slip gaji, silalah ke pejabat tabung haji untuk isi satu borang potongan gaji secara bulanan. Ia mengizinkan anak mengagihkan potongan berkenaan dimasukkan ke akaun ibubapanya. Isikan amaun tertentu dengan niat menjalankan tanggungjawab kerana Allah dan kemudian ‘lupakannya’. Tiada caj dikenakan oleh tabung haji untuk perkhidmtan ini.

Selain itu, anak-anak boleh buat arahan tetap melalui bank di mana gaji mereka dibayar. Arahan yang dikenali sebagai DDI (Direct Debit Instruction) ini memberi izin kepada pihak bank secara tetap bulan-bulan, untuk memotong jumlah yang ditetapkan dan dimasukkan ke akaun tertentu (cth akaun ibubapa). Perkhidmatan ini dikenakan caj yang berbeza-beza mengikut peraturan bank yang berlainan dari satu bank dengan yang lain.

Keberkatan
Seorang ibu pernah bercerita kisah dan pengalaman seorang anaknya yang memasukkan (cash) ke akaun ibunya sebulan sebanyak RM400 (awal kerja). Setelah dua tahun (berkahwin) dan pada satu bulan tertentu, si anak tidak memasukkan wang tersebut ke akaun ibunya sebagaimana selalu kerana kemungkinan ia perlukan duit tu.

Selang dua tiga hari kemudian si anak menelifon ibunya memberitahu cermin kerete hadapannya pecah hanya kerana terkena percikan kecil daripada batu di tempat parkir kereta dan kos menggantikannya adalah RM400. Dalam pada si ibu menyuruhnya bersabar si anak melahirkan kata-kata “tidak mak, saya yakin itu duit mak sebenarnya, yang saya tidak bank-in kepada mak bulan ni. Allah keluarkan juga jumlah tu daripada saya”.

Selepas peristiwa itu, si anak telah melakukan potongan bulanan daripada gajinya dengan jumlah yang kurang sedikit dan ia kekal sehingga ke hari ini.

Memang tidak dinafikan, berbuat kebaikan akan diberikan ganjaran kebaikan juga oleh Allah SWT. Dalam surah al-Rahman:60, Maksud firman Allah, “tidakkah balasan kepada kebaikan itu adalah kebaikan juga?”. Inikan pula berbuat kebaikan kepada kedua orang tua yang menjadi asbab kewujudan anak itu sendiri. Sudah tentu keberkatan hidup akan mencurah-curah ke atas si anak.

Hal ini kerana, memang tidak dapat dinafikan, dalam hati kecil mana-mana manusia akan berasa senang terhadap kebaikan yang dilakukan oleh orang lain kepadanya. Tidak dinafikan juga. mereka akan berterima kasih dan berdoa kebaikan pula kepada yang memberi. Maka ketahuilah bahawa, doa orang tua kepada anak-anaknya itu sudah tentu memberi keberkatan hidup yang berlipat kali ganda kepada anak-anak itu sendiri.

Doa orang tua
Doa manusia sesama manusia yang ikhlas telah dijanjikan perkenan oleh Allah SWT. Dan tidak ada doa seseorang manusia kepada manusia yang lain terlebih ikhlas daripada doa seorang ibu kepada anaknya. Dalam surah al-Bayyinah:5, Maksud firman Allah, tidaklah kamu disuruh, melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas. Doa itu sendiri merupakan bentuk ibadah manusia kepada Allah. Manakala dalam ayat yang lain surah Ghafir:60, Maksud firman Allah, dan berdoalah kamu nescaya Aku perkenankan bagimu. Ayat-ayat al-Quran ini menunjukkan bahawa Allah memperkenan doa (ibadah hamba) yang dilakukan dengan ikhlas.

Sumbangan kepada orang tua yang telah tiada
Anak-anak yang soleh akan sentiasa memberikan manfaat untuk kedua orang tua walaupun jasad mereka telah lama atau sedang dimakan bumi. Perkara ini jelas berdasarkan sebuah hadith sahih, Rasulullah berpesan “tiga perkara yang tidak akan putus kebaikannya kepada seseorang anak Adam; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh”

Anak yang soleh, apa sahaja jenis kebaikan yang dilakukannya, pahala kelakuannya itu akan mengalir ke dalam kubur ibubapanya yang mendidiknya menjadi anak yang soleh. Berdasarkan sebuah hadith, bahawa Rasulullah SAW pernah melakukan sedekah bagi pihak Khadijah iaitu isterinya yang sudah meninggal dunia, sebagai tanda kasih sayang dan atas segala kenangan manis Baginda bersama isterinya itu. Berdasarkan nas ini, sebagai anak soleh, sekiranya ibubapa telah meninggal mereka masih boleh memberikan sumbang bulanan kepada ibubapa dengan menyedekahkan amaun tertentu secara tetap kepada mana-mana badan atau rumah anak yatim dan sebagainya atas nama ibubapa mereka.

Sayugialah diingatkan bahawa, pahala sedekah itu tadi tidaklah hanya dimasukkan kepada catatan ibubapanya sahaja, sebaliknya anak-anak yang mengeluarkan infaq tersebut turut mendapat pahala juga bahkan dua kali ganda; pertama pahala melakukan kebaikan kepada orang tua, dan kedua pahala melakukan infaq ke jalan Allah. Dan hanya Allah lah yang berhak melipatgandakan pahala hamba-hambaNya yang ikhlas.

Semoga kita semua berusaha menjadi anak-anak yang soleh, yang membahagiakan orang tuanya bukan sahaja pada kehidupan di dunia bahkan berterusan sehingga alam barzakh seterusnya ke alam baqa. Wallahu aklam

Wassalam.

p/s: catatan ini hanyalah sebagai peringatan kepada diri sendiri, moga suatu nanti sekiranya diri ini lalai (wal iya zubillah), maka catatan inilah sebagai rujukan bahawa “aku pernah menulis tentang ini, mengapa diriku kini adalah seorang yang gagal melakukan kebaikan kepada kedua orang tuaku?” semoga peristiwa tersebut tidak akan berlaku ke atas diri ana, dan diri anda sekalian.

Advertisements

2 Komen (+add yours?)

  1. Trackback: Kesihatan mental « IbnRajab Online
  2. norliana jaafar
    Jan 15, 2011 @ 23:16:35

    assalamuaalaikum… ustaz… boley tak saya nak share artikel ni kat fb..

    IR: wa’alaikumussalam.. silakan

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: