Pengalaman lagi

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Alhamdulillah, thumma alhamdulillah

Beberapa kali ana memula taip dan memberhentikannya dan memulakannya semula. Terlalu berat rasanya untuk ana menulis artikel ini. Tetapi apabila ana terfikir kemungkinan (kalaupun tidak hari ini) ia dapat dijadikan tazkirah atau panduan oleh ana sendiri, atau anak-anak atau sesiapa sahaja maka ana rasa ia patut diteruskan.

Setelah genap tujuh hari tujuh malam ana terlentang di atas perbaringan kerana diuji oleh Allah dengan demam, selsema, batuk dan sengal-sengal (sakit urat) di bahagian pinggang hingga ke kaki,  maka hari ini dengan izin Allah jua ana dapat bangun dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Dalam tempoh masa tersebut, entah kenapa, dan mungkin kerana faktor usia, beberapa kali juga ana terfikir kemungkinan sakit ini akan membawa ana berjumpaNya.

Tok guru pernah berpesan dalam bahasa kiasannya yang hikmah “Kita ini, lahir ke dunia dengan disertakan bersama (oleh Allah) sebanyak 99 jerat. Salah satu daripadanya adalah jerat yang membawa kita kembali kepadaNya (kematian). Kita tidak pernah tahu, tidak diberitahu dan tidak akan tahu jerat yang nombor ke berapa akan membawa kita sendiri kembali. Mungkin ada orang, kena jerat pertama telah dijemputNya. Ada orang lain, hingga jerat ke 99”

Mengikut kefahaman ana yang tohor ini, jerat yang guru ana maksudkan itu adalah kesakitan. Tidak kira berapa sedikit atau banyak kesakitan itu, ia berkemungkinan boleh membawa kematian jika Allah menginginkannya. Ditimpa kecelakaan di jalanraya pun orang mati, tidak terkecuali kemalangan kecil di rumah atau dalam bilik sendiri. Dan ana juga faham, sekiranya  sesuatu jerat (kesakitan) itu tidak membawa kematian, ia mungkin menjadi pentazkirah, penghapus dosa atau Allah sengaja ingin mengangkat darjat hamba di sisiNya.

Tok guru pesan lagi “Allah tidak buat perkara itu sia-sia” dan ana baca dalam al-Quran, pepatah ini juga ada.

Ana tidak pernah kena demam seperti itu. Hari pertama disertakan hanya dengan selsema. Bila ditelah ‘panadol’ demamnya segera kebah. Peluh memercik hampir seluruh tubuh. Cuma rasa lemah dan sengal-sengal badan serta selsema itu yang masih kekal utuh. Ana fikir ana telah sembuh kerana biasa-biasa paling lama demam tiga hari. Setelah lapan jam berlalu, panas datang kembali. Kadang-kadang melepasi tahap 39 darjah celcius.

Masuk hari ketiga,setelah ada batuk dan tanda-tanda sengal badan, ana mengalah dan pergi berjumpa Doktor. Mana tau musim-musim sekarang ini. Ana turut diselubungi rasa bimbang. Tetapi ana yakin dan percaya bahawa apa-apa sekalipun, itu semua sudah ketentuan Tuhan. Selagi ada hayat dikandung badan, usaha perlu diteruskan.

Doktor kata demam biasa je nih. Dia bagi empat jenis ubat. Panadol, Multivitamin, Ubat selsema dan Ubat cair kahak.

Menjelang petang dan apabila semakin hampir waktu berbuka, panas badan semakin menjadi berang. Sehingga tiba waktu berbuka dan badan pun sudah lemah serta selera pula telah hilang sepenuhnya. Namun ana gagahi juga makan dua tiga mulut sebagai alas untuk menelan ubat-ubat yang dibekalkan oleh Doktor terutamanya panadol. Selang dua jam selepas itu, badan mula berpeluh dan rasa seolah-olah demam telah kebah. Selepas 8 jam berikutnya, panas badan menyerang lagi. Keadaan masih sama.

“Tak pernah lagi macam ni. Biasa kalau telan panadol, berpeluh dan terus kebah” ana bermonolog sendiri.

Ana cari kembali buku-buku sumber yang digunakan semasa mempelajari ilmu perubatan Islam suatu masa dulu di Bangi. Segala ramuan dan resepi ana turuti. Seingat ana, inilah kali pertama ana praktikkan ilmu yang dipelajari lebih 9 tahun yang lalu untuk mengubati diri sendiri. Selain itu, ada lah beberapa kali ana guna untuk membuat ramuan ubat selusuh isteri nak bersalin dan ramuan penawar untuk kegunaan anak-anak. Ada juga sekali ketiga ayah ditimpa strok dulu.

“Biasanya jika ana buat untuk orang lain menjadi. Cuma untuk diri sendiri ini, mungkin Allah masih ingin menguji” ana bermonolog lagi.

Hari kelima dan jam pun sudah melewati pukul empat petang hampir ke pukul lima. Klinik pun dah nak tutup tetapi ana gagahi juga untuk melawatinya sekali lagi. Kali ini Doktor buat saringan ujian darah. Tetapi resultnya bebas H1N1, bebas DENGGI dan menurut Doktor semua kandungan darah ‘ok’. Akhirnya Doktor bekalkan antibiotik untuk dihabiskan dalam 5 hari berikutnya.

“Kalau lusa tak kebah, datang balik ke sini dan kalau sesak nafas perlu datang segera, jangan tunggu lusa!” pesan Doktor. Serius bunyinya.

Keesokan harinya (hari keenam) keadaan masih sama. Bila telan panadol, demam kebah selama 8 jam. Selepas itu panas badan, rasa lemah dan sengal-sengal tiba kembali.

Menjelang petang hari ketujuh, ana rasa seolah-olah telah habis berusaha, tetapi demam ini tidak mengendahkannya. Ia memang pergi tetapi tidak serik untuk kembali lagi. Begitulah feelnya “Allah masih ingin menguji”. Jam pada masa itu sudah hampir waktu berbuka dan semua orang sedang sibuk di dapur. “Esok kalau macam ni, Doktor suruh pergi mengadap lagi” fikir ana.

Kebetulan mak datang menjenguk ana di perbaringan. Dalam lemah, ana bersuara “Mak.. tolong mandikan saya?”

Mak segera mengiyakannya. Disuruhnya ana bersedia dan dia pula bergegas menyediakan ramuan. Sekendi air panas dan beberapa kuntum bunga raya yang dicampur ke dalam sebasin air biasa. Itu ramuan yang ana nampak dan kenali. Selebihnya itu, ana tak pasti.

Jirusan pertama air mandian mak selepas berpuluh tahun ana tidak merasainya menimpa kaki (cuma ana selalu ingat pesan mak, kalau mandi basuh kaki dulu). Kemudian ia membasahi hingga ke kepala dan bak anak kecil ana merasai belaian dan usapan tangan mak yang lembut dan sangat ikhlas itu menjengah atas kepala ana. Tidak pasti bila kali terakhir mak memandikan ana. Dan kini pada umur yang melewati 30an, ana masih mampu menikmati rasa kasih sayang itu sekali lagi.

Setelah itu ana rasa seolah-olah mendapat nafas baharu. Kesegaran yang tidak pernah dirasai dalam seminggu dua ini bahkan mungkin sejak ana dewasa barangkali. Kesegaran yang lain daripada segar selepas menelan panadol atau sebarang pengubatan yang lain.

Beberapa ketika masuklah waktu berbuka. Ana menikmati juadah dengan agak berselera. Walaubagaimanapun ana tidak lupa mengambil dos untuk ubat antibiotik yang dibekalkan oleh Doktor. Kerana ana ingat lagi pesanannya “Makan ubat ini (antibiotik) hingga habis”. Cuma, oleh kerana rasa kesegaran dan tenaga yang luar biasa, ana tinggalkan panadol yang tertera maklumat tambahan pada bekas luarnya “Ambil sekiranya perlu sahaja”.

Kesimpulan
Apa yang nak ana kongsikan di sini ialah bukanlah perjalanan atau kisah demam ana yang mungkin sangat biasa ini. Kerana semua orang demam. Ada yang demamnya sehari, tujuh hari malah berbulan-bulan pun. Ana sedar itu. Cuma ana nak kongsikan pengalaman ana yang dimandikan oleh mak itu. Ianya jarang dibuat orang. Ana pun teringat petua ini daripada seorang guru yang pernah berpesan “sekiranya anak sakit dan lambat sembuh, atau liat untuk sembuh, elok dibawa mandi dibelakang kita (letak anak kat belakang dan mandi bersama-sama)” Mungkin ada hikmahnya.

Selain itu, tidak dinafikan bahawa penyakit itu datangnya daripada Allah. Ia merupakan ujian. Setiap penyakit itu pula ada ubatnya melainkan mati. Segala ubat-ubatan pula bukanlah penyembuh yang mutlak kerana hanya Allah SWT yang berkuasa menyembuhkan..

Wallahu aklam.

p/s: Semenjak cuti belajar, terutama di tahun terakhir ini (menulis tesis) ana menetap di rumah mak. Fikir ana inilah masanya setelah ana berjauhan dari keluarga sejak ke Jordan, kemudian ke Sarawak. Ana ingin berbakti kepada mereka berdua sementara masih ada. Itulah niatnya dan Allah kabulkan.

p/s 2: Bagi anda yang masih mempunyai mak. Hargailah ibu anda. Tunaikanlah kewajipan kepadanya dan jangan kekok, malu atau segan untuk meminta bantuan daripadanya. Tidak pernah ada insan di dunia ini yang terlebih ikhlas memberi bantuan kepada kita melainkan ibu kita sendiri. Dan doa ibu itulah yang utama. Redhanya pula membawa ke Syuga, kerana ia berkemampuan mengundang rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya.

Advertisements

3 Komen (+add yours?)

  1. khairi online
    Sep 05, 2009 @ 19:20:00

    Assalamualaikum ustaz…takziah untuk keadaan demam ustaz itu..patutlah ana intai intai tengok laman ustaz xde jejak baru kebelakangan ini..demam rupanya..ujian Allah tu…ana dah di uji sebelum balik kg. minggu lepas..seminggu jugak demam dan batuk..mungkin nasib ana x sebaik ustaz la, ana sakit semasa berjauhan dengan ibu. balik raya ni mintak mek ana mendikan ana lah. mandi masa segar pun moleh jugak dok..syukran

    IR: w’salam. molek tu

    Balas

  2. wan
    Sep 07, 2009 @ 12:01:41

    semoga Allah peliharakan kita semua dari segala musibah dan bala…

    IR: insyaAllah. amein

    Balas

  3. ummu Azzam
    Sep 18, 2009 @ 00:54:06

    Syukur, diri ini dilahirkan sbg perempuan…. nikmat Allah yg paling hebat ialah bila kita menderita merasai sakitnya bersalin. Disaat itu ingat betapa susahnya ruh bakal keluar dari badan yang bertahun disisi jika ditasybihkan kepayahan anak yang bersama hanya 9 bulan. Ketika itu juga merasai hebatnya dan bernilainya kasih ibu yang melupakan terus kesakitan berejam hanya sekadar melihat n mendengar tangisan pertama anaknya. Ustaz mungkin tak merasai nikmat ini. jadi hargailah ibu dan isteri ustaz. Wassalam…..

    IR: syukran

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: