Gelombang hati

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Hati adalah anggota dalam badan manusia. Hati merupakan organ homeostasis yang memainkan peranan penting dalam proses metabolisma dalam manusia dan haiwan. Hati mempunyai pelbagai fungsi termasuk menyimpan glikogen, mensintesis protein plasma, dan menyahtoksik dadah. Ia menghasilkan hempedu yang penting bagi penghadaman. Ia melaksana dan mengawal pelbagai fungsi biokimia jumlah besar yang memerlukan tisu khas. Istilah perubatan yang berkaitan dengan hati sering kali bermula dari perkataan Greek bagi hati iaitu hepar, menjadi hepato- atau hepatic. Hati berwarna perang kemerahan dan terletak di bawah diafragma iaitu di dalam rongga abdomen. Hati menerima makanan terlarut dalam darah apabila makanan ini tercerna dan diserap di usus (ms.wikipedia.org)

Itu adalah hati fizikal. Yang dimiliki oleh setiap makhluk Allah yang bernyawa; sama ada manusia ataupun haiwan.


Dalam Islam ada lagi suatu hati. Ia adalah satu istilah yang menunjukkan kepada suatu mekanisma yang dapat menentukan baik dan buruknya seseorang manusia itu di sisi tuhannya, iaitu di sisi Allah SWT. Hal ini telah ditafsirkan oleh sebuah hadis sahih daripada Rasulullah SAW (riwayat imam Bukhari dan Muslim): Di dalam tubuh badan manusia ada seketul darah, sekiranya ia baik maka akan baiklah seluruh anggota badannya, sebaliknya sekiranya ia rosak maka akan turut rosaklah seluruh anggota badannya. Ia itu adalah hati.

Hati yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW itu bukanlah hati fizikal sebagaimana yang dibawakan dalam wikipedia di atas. Sebaliknya hati nurani manusia yang lebih bersifat rohani. Iaitu roh manusia itu sendiri.

Guru ana menterjemahkan hati itu sebagai suatu gelombang rasa yang terbit dari roh manusia dan ia dapat pula mengarahkan diri manusia itu secara keseluruhannya. Gelombang hati tersebut mampu pula diterjemahkan oleh otak yang ada di kepala manusia yang kemudiannya otak akan melaksanakan arahannya kepada seluruh anggota untuk tindakan seterusnya.

Di dunia hari ini Allah telah mengizinkan bijak pandai mencipta alat untuk membaca gelombang-gelombang tertentu. Contohnya manusia berjaya mencipta alat untuk memancarkan gelombang radio untuk dibaca dan diterjemahkan oleh alat seperti telifon bimbit, radio, televisyen dan sebagainya.

Bijak pandai dari dahulu hingga kini tidak menafikan wujudnya gelombang-gelombang lain di dunia yang mampu dibaca dan diterjemahkan oleh alat-alat tertentu. Sebagai contoh, alim ulama yang membacakan ayat-ayat suci al-Quran pasti memancarkan gelombang-gelombang yang dapat dibaca oleh makhluk halus sehingga ia boleh menjadikan diri mereka terbakar. Ada dalam kalangan mereka yang membacakan surah al-Fatihah kepada orang yang sedang sakit maka dengan pertolongan Allah ia dapat menyembuhkan penyakitnya itu.

Gelombang hati ini semestinya telah lama dapat dibaca dan difahami oleh pemiliknya iaitu manusia. Sejak ia mula faham untuk merasai warna kehidupannya di dunia. Sama ada sedih, gembira, marah, bertimbang rasa, prihatin dan pelbagai perasaan lagi yang timbul dari gelombang hati dan diterjemahkan oleh otak. Perasaan-perasaan tersebut semestinya tidaklah sepertimana rasa-rasa lain yang mampu diterjemahkan oleh otak berdasarkan alat atau anggota badannya yang lain seperti rasa manis, masam, pedas, pahit yang bersumberkan lidah atau rasa sakit, pening, loya, mabuk yang bersumberkan perut dan sebagainya.

Dalam al-Quran Allah berfirman (Surah al-Syams:8) yang mafhumnya “Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) dosa dan taqwa”. Guru ana mentafsirkan ayat ini, bahawa Apabila seseorang manusia itu berhadapan dengan sesuatu situasi atau suatu perkara, maka Allah akan memberi izin kepada jiwanya iaitu hati untuk mengeluarkan gelombang rasa sama ada ingin mengambil maksiat atau taat kepada Allah. Dengan itu, manusia akan mengambil keputusan berdasarkan kepada pilihan kepada rasanya itu.

Sebagai contoh, apabila manusia mendengar seruan azan, maka dengan secara tidak semena-mena, hati manusia akan mengeluarkan rasa sama ada ingin mendirikan solat atau tidak mengindahkan seruan azan berkenaan. Rasa yang dipandu oleh taqwa sudah pasti memilih untuk mendirikan solat, sebaliknya rasa (gelombang hati) yang dikuasai nafsu syaitan akan memilih untuk ingkar perintah Allah berkenaan (tidak solat).

Orang yang rosak hati contohnya di alam cyber, akan tercetus rasa dalam hatinya untuk mengakses kepada blog-blog pornografi yang lucah dan padat dengan info maksiat sama ada dalam bentuk gambar (visual) ataupun tulisan. Sebaliknya orang yang suci hatinya akan mengakses blog-blog tazkirah dan perkongsian ilmu untuk panduan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Contoh lain yang dibawa oleh guru ana ialah kisah Nabi Yusuf as yang digoda oleh isteri al-Aziz (surah yusuf:23). Melalui sunnah Baginda, ia telah mengajar bagaimana gelombang rasa hati yang dipandu iman dan taqwa itu dapat menempis ajakan wanita berkenaan ke arah maksiat yang akan menghancurkan diri bukan sahaja di dunia bahkan lebih teruk menerima balasan di akhirat. Baginda telah memilih untuk lari daripada ajakan wanita yang berajakan nafsu itu. Namun akhirnya, (dengan iman) Baginda telah berjaya menjadi seorang yang berkedudukan mulia dan tinggi dalam masyarakat apabila dilantik menjadi setiausaha kerajaan pada masa itu.

Guru ana menyambung, hati yang mengeluarkan rasa inilah yang perlu dididik, disemai dan dibaja oleh baja-bajaiman agar ia berjaya menewaskan kuasa nafsu yang ingin mengambil syaitan sebagai penasihat utamanya. Sekiranya seseorang itu memilih iman dan taqwa, maka hatinya telah terisi dan syaitan tidak lagi dapat menguasai. Sebaliknya, jika iman tidak melekat dihati, ia sudah tentu memudahkan syaitan untuk berkuasa seterusnya apabila hati tersebut penuh dengan isian ajaran syaitan, sudah tentu ia susah pula menerima petunjuk dan baja-baja yang boleh melahirkan nilai iman.

Perkara ini telah dijelaskan dalam al-Quran (surah Ahzab:4) Maksudnya “Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang itu dua hati dalam rongganya. Berdasarkan ayat ini, Allah telah menetapkan bahawa manusia itu tidak berupaya memiliki dua hati (jiwa) yang dapat mengarahkannya pada satu-satu masa. Iaitu sekiranya hati manusia itu telah dimasuki iman, sudah tentu ia tidak dikuasai syaitan begitulah juga jika hati telah dikuasai syaitan, sudah semestinya ia susah untuk menerima kemasukan iman dan taqwa.

Pun begitu, hati yang telah dikuasai iman berkemungkinan menerima masuk hasutan syaitan sekiranya ia tidak dibacai dengan iman lagi. Begitu juga hati yang telah rosak dan sedang dikuasai syaitan juga sudah tentu dapat dipulihkan dengan kesedaran, keinsafan, taubat dan jihad yang besar untuk kembali menerima ajaran-ajaran iman.

Cabaran yang dihadapi manusia adalah, mereka selalunya tidak sedar sama ada hatinya telah dikuasai iman dan hidup segar bugar atau dikuasai syaitan lalu mati dan tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya (iaitu janjinya di alam roh untuk mentaati Allah, surah al-a’raf:172) Bagaimanalah mereka akan sedar kerana matinya hati itu tidak pernah mengeluarkan bau busuk ataupun apa-apa kesakitan oleh manusia sebagaimana baki anggota fizikal badannya yang lain. Kalau matanya tidak berfungsi ia semestinyalah mudah disedari. Begitu juga kalau lidahnya sudah tidak dapat membezakan rasa lagi. Ia semestinya mudah untuk disedari.

Cara untuk sedar hati itu telah menerima kuasa syaitan ialah apabila jiwa manusia suka kepada kemungkaran, maksiat dan kerosakan iman dan tidak pula menyukai perkara-perkara yang dapat menyemai dan membajai iman. Jiwanya memusuhi para ulama yang sering mengajak kepada kebaikan, ia juga tidak suka mendengar ayat-ayat Allah dibacakan sehingga laungan azan itupun menjadi sakit ke telinga. MasyaAllah. Ia juga merasa takut atau ragu-ragu kepada segala peraturan agama yang berbentuk ketetapan-ketetapan yang ada dalam al-Quran seperti suruhan menutup aurat, suruhan menjalankan hukuman ke atas penzina, pencuri, pembunuh dan suruhan mengaplikasikan syariat Islam secara menyeluruh dalam mentadbir urus seluruh kehidupan manusia di dunia.

Kesimpulan
Marilah kita halusi rasa dalam hati kita ini. Adakah ia selalu mengarahkan kita berbuat taat dan taqwa kepada Allah ataupun sebaliknya ia selalu mengarahkan kita melakukan maksiat? Sekiranya ia suka kepada kebaikan, maka hati itu mungkin masih suci fitrahnya. Selalulah bajai hati itu dengan ilmu untuk memperolehi iman yang lebih kental dan hati yang lebih sejahtera agar jiwa kita diterima di hadapan Allah pada hari yang tidak memberi manfaat padanya akan anak pinak dan harta benda melainkan mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera (surah al-Syu’arat:89)

Sebaliknya jika kita merasakan hati selalu sahaja mengarahkan kepada keburukan, kerosakan di dunia dan maksiat kepada Allah. Bertaubatlah kita dengan kembali semula ke pangkal jalan sementara hayat, ruang dan peluang masih ada. Syukurilah nikmat baki umur yang Allah izinkan ini. Mulalah pada titik mana kita tersimpang dari jalan sirat al-mustaqim itu. Sekiranya ia bermula dari titik kita tidak pandai membaca alif ba dan ta, mulalah dari situ. Sehingga suatu hari kita dapat menjiwai setiap ayat al-Quran untuk kita mematuhi dan mentaati segala perintah Allah yang berbentuk syariat agamaNya.

Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi seseorang hambaNya melainkan merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri (surah al-Baqarah:57, Ali Imran:117, al-A’raf:160, al-Taubah:70, Yunus:44, al-Nahl:33 dan 118, al-Ankabut:40, al-Rum:9 ). Kepada umat ini, Allah lebih menyatakan kasih sayangnya kerana mereka dibekalkan al-Quran yang tidak akan dapat dipesongkan oleh manusia, jin dan segala makhluk dan ianya dijamin oleh Allah akan berkekalan sehingga ke hari penghabisan (kematian kita atau kiamat dunia).

Dan hati nurani itulah pembeza di antara makhluk Allah yang bernyawa; sama ada ia haiwan ternakan yang berjiwa kebinatangan atau insan yang memiliki sifat kemanusiaan, walaupun kedua-dua mereka mempunyai hati fizikal dengan fungsi yang hampir sama.

Semoga kita semua mendapat hati yang bersih lagi suci, yang mampu memancarkan gelombang rasa taat kepada Allah bukannya gelombang ingin dan gilakan maksiat serta cinta pula kepada dunia yang bersifat hina dan sementara. Amin ya rabb al-alamin.

Advertisements

2 Komen (+add yours?)

  1. ibn khaldun
    Okt 17, 2011 @ 17:30:08

    Akm wbt.
    Ana lihat dari perspektif positif dan berlandaskan hukum. Membaca kitab suci al-quran di tanah perkuburan tiada nas yang qat’i dan amalan bidaah lantas mengharamkan perlakuan sebegitu rupa. Kita ambil saja pandangan raji’ dari jumhur ulamak yang menyatakan bahawa membaca al-quran di tanah perkuburan adalah diharuskan, selagi kita dapat menjaga adab2 yang dituntut dan juga tidak melanggar batas2 kemungkaran.

    Kebanyakan kita beranggapan bahawa rutin membaca al-quran di tanah perkuburan terutama menjelang h raya aidil fitri dan selepas kematian merupakan hadiah terbaik kepada arwah. Perkara2 sabegini berlaku menurut adat sejak turun temurun, dan dianggap satu kemestian. Walhal, apa yang perlu diketahui ialah, pembacaan al-quran dapat dilakukan dengan lebih sempurna dan selesa dan tumakninah jika berada di tempat2 yang lebih sesuai, spt di tempat2 ibadah atau pun di rumah.

    Walau bagaimanapun, satu perkara yang perlu diingat, menziarahi tanah perkuburan adalah sesuatuyang dituntut dalam agama.

    Seseorang yang mati itu hanya akan mendapat balasan dari AMALAN dia sendiri semasa hayatnya saja dan hanya 3 perkara yang dapat membantu ialah anak2 yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang memberi menfaat.

    Wassalam

    IR: wslm. terima kasih atas pandangan dan ala al-ziyarah.. mungkin sdr/i ini komen artikel sebelum ini kot.. iaitu artikel yg ana petik dr blog lain yg ana sertakan linknya.. https://ibnrajab.wordpress.com/2009/10/24/baca-al-quran-di-perkuburan/

    Balas

  2. ibn khaldun
    Okt 17, 2011 @ 23:27:09

    akm. sebenarnya baru kali pertama hari ini ana logon ibnrajab. ana hanya komen berdasarkan artikel diatas dibaca secara lalu saja, tidak secara detail…terlalu panjang nak baca…agak monotonous….!

    kalau bolih, next change biarlah ringkas sikit tapi padat…jadi, tak le …..yawwwwn ! lebuhraya utara-selatan pun ada R&Rsssss…

    most web dwellers don’t fancy long winded texts…..

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: