Kelahiran anak

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sepanjang pengetahuan ana, ada tiga perkara yang sunat dilakukan seawal hari pertama kelahiran anak (sejurus selepas mendapatkan anak yang baru dilahiran); iaitu, Azan, tahnik dan ucapan tahniah kepada ibu dan bapa yang dikurniakan kelahiran tersebut.

1. Azan
Iaitu lafaz azan biasa yang digunakan untuk menyeru umat Islam mendirikan solat (selain subuh). Ianya sunat dilakukan di telinga kanan manakala di telinga kiri pula diperdengarkan lafaz-lafaz iqamah. Amalan ini adalah sama bagi kedua-dua anak; sama ada lelaki ataupun perempuan.

Hikmah:  Memperdengarkan dan memperkenalkan anak kepada kalimah tauhid (asas aqidah ‘pegangan’ umat Islam iaitu beriman dengan keesan Allah, kenabian Muhammad SAW dan penerimaan segala syariat yang dibawa Baginda SAW) seawal saat pertama kelahirannya ke dunia. Semoga dengannya juga dijauhkan daripada gangguan Iblis dan Syaitan yang dilaknat oleh Allah daripada mengganggu dan menguasai bayi yang baru sahaja dilahirkan dalam keadaan serba kelemahan itu dengan segala kekuatan yang dikurniakan dan dizinkan oleh Allah SWT.


2. Tahnik
Ia berasal daripada perkataan Arab “Hankun” iaitu satu kawasan yang paling atas dalam bahagian mulut (lelangit). Tahnik daripada segi bahasa bermaksud perbuatan memasukkan sesuatu yang mengenai lelangit berkenaan. Daripada segi istilah dalam Islam (fiqah), Iaitu amalan mengunyah buah tamar (kurma atau sesuatu yang manis ) kemudian diletakkan dihujung jari manis, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam mulut bayi lalu disapukan ke bahagian atas di dalam mulut sehingga mengenai lelangit bayi berkenaan dan sehingga dirasakan ia (bayi) menghisapnya masuk ke dalam tekak.

Perbuatan ini berdasarkan kepada beberapa buah hadis daripada Rasulullah SAW, antaranya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (hadis no 2144, 2145 dan 2147). Antaranya (hadis no 2145) dari Abi Musa ra, katanya: “Telah lahir kepadaku seorang bayi, maka aku bawakan kepada Rasulullah SAW, kemudian dinamakannya Ibrahim dan ditahniknya dengan buah kurma”.

Dr Mustafa al-Bugha menjelaskan adalah sunat membawakan bayi (selepas kelahirannya dalam kadar yang segera sekiranya keadaan mengizinkan) kepada orang soleh yang bertaqwa (tok guru, alim ulama, para ustaz dan sebagainya). Diminta agar ditahnikkan dan semoga ia juga dapat mendoakan kebaikan dan keberkatan ke atas bayi berkenaan.

3. Ucapan tahniah
Disunatkan agar orang-orang lelaki mengucapkan tahniah kepada si bapa, manakala wanita muslimah mengucapkannya kepada si ibu yang melahirkan. Lafaznya adalah seperti berikut:

doa1

Perhatian: bacaan dalam tulisan merah adalah pilihan, dalam kurungan itu adalah untuk diucapkan kepada si ibu.

Manakala sunat pula si bapa dan isterinya membalas ucapan tadi dengan ucapan berikut:

doa2

Rujukan: Kitab al-Fiqh al-Manhajiy, Mustafa dib al-B ugah et all, 3/60-63, cetakan Dar al-Ulum al-Insaniyah, Damsyik 1989.

Beberapa persoalan berkaitan:

Siapakah yang paling baik melakukan amalan-amalan tersebut?
Sebaik-baiknya si bapa yang mengazan dan mengiqamahkan anaknya yang baru dilahirkan, kerana ia mungkin orang (lelaki) pertama yang menerima bayi tersebut selepas kelahirannya. Dan dia jugalah orang yang bertanggungjawab mendidik anaknya itu termasuklah pendidikan awal sebegini. Ataupun sekiranya hal tidak mengizinkan (seperti si bapa berada dalam perjalanan/perantauan) maka bolehlah diazankan oleh datuk, bapa saudara, atau mana-mana lelaki yang terlebih dahulu sampai kepada bayi.

Manakala untuk amalan tahnik, sebaik-baiknya dihantar si bayi berkenaan kepada mana-mana orang lelaki yang terkenal dengan sifat dan akhlak baiknya, seperti tokoh ulama, pemimpin yang adil ataupun mereka yang ahli dan istiqamah dalam melaksanakan segala perintah agama (ustaz-ustaz). Sekiranya tidak didapati, maka bolehlah juga dibawakan kepada ahli agama perempuan yang solehah (atau ustazah).

Mengenai ucapan tahniah, sesiapa sahaja yang mengetahui khabar gembira kelahiran ini disunatkan mengucapkan tahniah dan membacakan doa seperti di atas kepada sama ada si bapa (untuk lelaki) dan si ibu (untuk muslimah). Elok juga sekiranya diluagkan sedikit masa untuk menziarahi keluarga berkenaan dan diucapkan tahniah atas kelahiran orang baru dalam keluarganya. Sekiranya hal tidak mengizinkan seperti berada jauh, bolehlah menggunakan khidmat pesanan ringkas. Mudah-mudahan ada ganjaran pahala ‘mengikut sunnah’ dicatatkan dalam buku amalan kita. InsyaAllah.

Begitu juga (pada pandangan ana) si ayah juga bolehlah mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada isterinya yang telah selamat melahirkan anak mereka dan isteri pula membalas ucapan tersebut. Semoga bertambah ikatan kasih sayang dan keberkatan hidup berumahtangga dalam mengharungi cabaran-cabaran yang pelbagai bagi membesar dan mendidik anak mereka itu mengikuti segala perintah Allah SWT.

Bolehkah diadakan majlis bagi meraikan kelahiran anak? seperti mengadakan majlis cukur rambut?
Dalam masyarakat kita hari ini, mereka melakukan majlis selain majlis bagi meraikan akikah anak yang sunat dilakukan pada hari ke-7. Mereka biasanya melewatkan amalan akikah sehingga mereka mampu melakukan hal demikian, sebaliknya mereka dahulukan majlis cukur rambut yang disertakan padanya amalan tahnik oleh orang-orang soleh seperti imam, ustaz dan ahli dalam agama. Selain itu mereka adakah sekali majlis bacaan selawat secara beramai-ramai.

Pada pandangan ana, elok kita semua kembali kepada sunnah sebagaimana yang diajarkan Rasulullah SAW melalui hadis-hadis sahih yang diriwayatkan oleh ahli-ahli hadis yang muktabar. Selain itu, kita juga perlu mempertimbangkan amalan para sahabat, tabien dan salaf al-soleh.

Tiga amalan yang disenaraikan di atas boleh diamalkan dan dipraktikkan sama ada oleh si ayah (azan), orang soleh (tahnik) dan masyarakat (ucapan tahniah) pada hari pertama seseorang anak dilahirkan (atau seawal yang mungkin sekiranya ada hal yang tidak mengizinkan ia dilakukan pada hari pertama).

Manakala untuk diadakan majlis bagi melahirkan kesyukuran atas kelahiran bayi, sekiranya mampu maka lakukanlah amalan akikah pada hari ke-7. Sekiranya tiada kemampuan, cuma ingin melakukan sedikit jamuan (tak sampai menyembelih seekor kambing seperti yang disunatkan dalam ibadah akikah) maka bolehlah didahulukan amalan dalam hari ke-7 selepas kelahiran iaitu; 1. mencukur rambut bayi dan ditimbang untuk dibayar nilainya kepada fakir miskin dengan kadar nilaian perak atau emas atau mana-mana nilai sedekah mengikut kemampuan. 2. menamakan bayi berkenaan.

Bagaimana dengan memberi minum bayi dengan air zam-zam? Dan beranika barang yang digunakan dalam majlis bercukur seperti cincin perak atau suasa, buah tin, buah anggur kering dan madu.
Tidak dinafikan air zam-zam adalah air terbaik yang Allah anugerahkan bagi manusia di dunia ini. Cuma elok kita berpada dan mengamalkan sunnah nabi SAW iaitu memberi makan kurma yang dikunyah seperti yang diterangkan dalam amalan tahnik di atas. Selain itu, susu ibulah yang terbaik untuk bayi bukanlah cincin suasa, cincin perak dan sebagainya. Sekiranya tidak diperolehi buah kurma, maka bolehlah digantikan dengan buah tin, buah anggur kismis, madu atau benda-benda manis seperti yang telah dijelaskan.

Sekiranya anda merasakan ingin memberikan anak sedikit air zam-zam sebagai pembuka rasanya selepas buah kurma itu bukanlah salah kerana ia tidak dilarang menerusi hadis-hadis atau mana-mana athar (kesan) daripada sahabat dan para tabien. Samentelah kalau dibacakan ayat-ayat al-Quran dengan niat mendoakan keberkatan bayi yang meminum air yang turut menjadi kegemaran Rasulullah SAW. Pada pandangan ana, mungkin ia dibolehkan.

Mengikut nasihat guru ana, kalau dapat selalu disediakan bekalan air zam-zam ini untuk diminum oleh anak-anak bahkan oleh ibubapa sebagai pembersih lahir dan batin. Tidak terhad kepada bayi yang baru lahir sahaja. InsyaAllah. Tetapi tidak sama sekali cincin sama ada emas, perak ataupun suasa dan sebagainya perkara-perkara yang tidak disandarkan kepada mana-mana nas yang boleh dipercayai.

Bagaimana sekiranya buah kurma atau benda manis tadi tidak dikunyah, sebaliknya dipenyekkan dengan tangan sehingga lumat lalu dimasukkan ke dalam mulut bayi?
Yang sunnahnya daripada Rasulullah SAW adalah kunyah. Mungkin ada keberkatan di situ. Ana secara peribadi tidak keberatan sekiranya ia ditahnik oleh alim ulama yang mengunyah buah kurma lalu disapu ke mulut bayi. Cuma sekiranya anda dijemput sebagai orang yang akan melakukan amalan tahnik, dan anda tidak yakin dengan kebersihan, bagi ana, anda tidak perlu sanggup melakukannya sebaliknya meminta diberikan kepada mereka yang lebih layak.

 Untuk meninggalkan amalan sunnah, ana rasa ia tidak berbaloi sekiranya hendak diukur dengan penilaian akal (faktor kebersihan, kejelekkan dll). Bagi ana, sekiranya kita dipilih, pada masa itulah sedaya mampu kita melakasanakan amalan sunnah yang pernah ditegaskan oleh Baginda SAW “mengamalkan sunnah pada akhir zaman adalah seperti menggengam bara api”.

Wallahu aklam.

InsyaAllah, ana akan sambung pula bicara tentang tajuk “Kelahiran anak : Hari ke-7”. Semoga Allah mempermudahkannya.. Amien.

Advertisements

2 Komen (+add yours?)

  1. Aida
    Ogo 03, 2011 @ 18:47:27

    Assalamualaikum,
    Saya ada terbaca tetang akikah yg sebaik-baiknya di percepatkan walaupun berhutang kerana setiap anak yg lahir itu tergantung syafaat rasurullah ke atas nya selagi ia tidak berakikah. Apa pandangan ustaz mengenai isu ini? dan apakah pandangan ustaz sehinggakan berhutang agar dapat berakikah?

    IR: wa’alaikumussalam. hukum asal akikah adalah sunat muakkad, ttp blh jatuh wajib jika bernazar. tk payah lah smpai nk berhutang. sdgkn Nabi mengajar doa agar bebas dr belenggu hutang. Namun, hutang diharuskan jika terdesak (keperluan asasi) wallahu aklam bissowab

    Balas

  2. eddy
    Jan 10, 2013 @ 22:54:58

    assalamaualikaum,
    saya nak tahu bolehkah jika sseorg bapa mengakikahkan anaknya sedangan bapanya itu belum akikah

    blh.. ia dua perkara yg berbeza

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: