Pilih sekolah di Kelantan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sejak ana bermastautin di Kelantan ni ramai pula saudara mara dan sahabat handai (sama ada orang Kelantan dan bukan Kelantan yang bekerja dan masih menetap di luar Kelantan) bertanyakan tentang persekolahan di sini. Terutama pada akhir-akhir tahun begini dan tambahan pula penggal baru persekolahan akan bermula dalam masa tidak kurang sebulan sahaja lagi. Walaupun sibuk dengan melayan dan membawa anak-anak bercuti, mungkin juga membeli peralatan baru persekolahan, ada segelintir ibubapa yang sudah tercari-cari tempat persekolahan terbaik untuk masa depan anak-anak mereka.

“Ustaz, kalau sekolah kat Kelantan, mana sekolah yang baik?”
“Ustaz ada tak borang kemasukan ke Sekolah Maahad Tahfiz Sains?”
“Ana nak anak ana melanjutkan pelajaran menengahnya di Kelantan, dia pun minat, katanya nak tukar suasana”
“Mengaji di Kelantan ni berkat, guru-gurunya pun rajin”

Itulah antara luahan dan pertanyaan yang sempat ana rakam dalam minda. Tak sangka pula ana, rupa-rupanya ramai dalam kalangan ibubapa yang beralih arah dan berpandangan untuk menyekolahkan anak-anak di Negeri Kelantan yang dikatakan dan diuar-uarkan sebagaimana yang anda sedia maklum. Mungkin kalau anda orang Kelantan, anda juga pernah diajukan soalan sama sebagaimana yang ana tulis di atas.

Minat masyarakat untuk menyekolahkan anak-anak ke Negeri Kelantan semakin kuat, ditambah lagi dengan berita hangat keputusan-keputusan peperiksaan utama yang menunjukkan prestasi cemerlang pelajar-pelajar yang bersekolah di sini. Sama ada mereka anak Kelantan, juga anak orang luar. Mereka yang berjaya ini (kalau bukan anak Kelantan) akan balik menceritakan suasana seronok belajar di Kelantan yang menjadikan sahabat handai dan saudara mara mereka lebih teruja untuk menikmati perasaan sama.

Negeri kelantan selain itu telah melahirkan modal-modal insan yang berkualiti. Lihat sahaja, sekiranya anda ada memiliki sahabat atau rakan sekerja yang berasal dari Kelantan, sekiranya anda positif maka anda menjadikannya sebagai pesaing dalam mencipta kejayaan secara bersama. Sebaliknya sekiranya anda seorang yang berjiwa negatif, maka anda boleh sambung sendiri ayat dan perenggan ini.

Hal ini kemungkinan mereka yang belajar di Kelantan lebih diberi penekanan kepada nilai dan jatidiri Islam. Menjadikan mereka lebih ikhlas dalam apa sahaja bidang pekerjaan yang dilakukan. Sama ada sekiranya mereka belajar, adalah kerana Allah dan bersungguh-sungguh, begitu juga sekiranya mereka seorang pekerja, maka mereka juga meletakkan matlamat Redha Allah sebagai yang utama. Menjadikan motivasi kerja mereka tinggi seterusnya meningkatkan produktiviti dan melahirkan tenaga kerja yang aktif, inovatif dan kreatif.

Keberkatan guru.
Memang tidak dinafikan bahawa, keberkatan guru akan melahirkan murid atau pelajar yang berkat juga. Ana juga pernah menulis tentang faham dan maksud ‘berkat’ di sini. Tetapi apabila bertanyakan kepada semua guru pun, mereka mesti menjawab dan menginginkan anak-anak didik yang memiliki ilmu yang berkat. Hatta walaupun pelajarnya yang sangat menyakiti hati. Doa guru adalah agar pelajar mereka semuanya suksess.

Guru-guru di Kelantan mungkin mempunyai nilai tambah yang memberikan output berkat yang lain. Sepanjang ingatan ana semasa bersekolah dahulu. Ada sesetengah guru, tidak mengajar mana pun (dalam ertikata seperti yang ana lakukan dalam proses PnP hari ini). Ada di antara mereka yang masuk kelas, berceloteh hingga habis masa. Memperbetulkan akhlak kami para pelajar. Ada pula yang hanya menterjemahkan teks bahasa Arab ke Melayu (kerana ana dulu belajar di sekolah Arab, guna buku sukatan dalam bahasa Arab).

Tetapi, kalau kami dengar sahaja tapak kasut cikgu yang datang. Kami sudah tidak berani. Ada semacam perasaan gentar dalam hati. Walaupun guru tidak direspek mana berkenaan mutu pengajaran tetapi ada nilai lain yang kami gerun. Apatah lagi guru yang bersungguh-sungguh. Bukan sahaja kami respek tetapi kami juga takut. Takut berkat ilmu lari. “Kata mak, kalau tak ada berkat ilmu, mengaji tinggi-tinggi tiada gunanya..”

Kini bila sudah bergelar guru juga. Ada ana bertanyakan bekas-bekas guru yang sempat ana jumpa. Ana beranikan diri bertanyakan status gaji mereka, pernah juga ana ajukan persoalan kenapa tak nak sahaja mengajar sebagai guru seperti ana (memiliki KPLI dan dipostingkan dengan gred 41). Mereka jawab selamba “walaupun gaji tak besar, tapi anak-anak murid nanti bergaji besar tak apa dah”. Aduh..

Daripada segi pergaulan pula. Semasa ana bersekolah dulu, cikgu dengan murid nampak sama. Kalau dalam pasukan permainan, mereka main sama-sama (bukan perlawanan cth bola tampar, bola sepak dll). Bila buat program, contohnya solat hajat, kem motivasi, mereka lantik ajk daripada kalangan kami sendiri. Mereka duduk dalam program pun sama-sama.

Pernah satu ketika, dalam program solat tahajjud, gula yang kami beli tidak mencukupi untuk penyediaan minum pagi. Seorang cikgu panggil ana; “Awak pegi rumah cikgu, kejut suami cikgu, minta gula tiga kilo”. Jam pukul 4 pagi dia suruh pegi rumah dia kejut suami dia minta gula? Gula dari dapur dia yang dibeli dengan duit dia. Hanya demi menjayakan dan melancarkan program solat tahajjud (SPM) kami. Subhanallah..

Kenakalan pelajar
Siapa kata pelajar kelantan tak nakal? Sekarang ni ana tak pastilah. Tetapi kalau ana singkap tabir sejarah, maka bagi ana pelajar sekolah agama Kelantan mempunyai tahap kenakalannya juga. Yang mencabar minda kalau anda seorang guru. Terutama guru disiplin.

Pernah seorang guru bertanya satu soalan kepada ana (masa tu ana ketua kelas tingkatan 2 Lelaki) “Anta tahu tak, kenapa kelas anta (2L sahaja) di pindah dari sekolah (bangunan) lama ke sekolah baru ni?” Manalah ana tahu, tapi mungkin bangunan tak cukup. “Bukan masalah bangunan tak cukup, tetapi kawan-kawan dalam kelas anta tu, mereka tidak akan boleh jadi senior kat mana-mana sekolah”. Macam dia dah baca apa jawapan ana. “Oo sebab tu”. “Ya, sebab kalau kawan-kawan anta jadi senior, tak tau la sekolah ni”.

Ana fikir, nanti dalam tingkatan 6, kami tetap akan jadi senior. Kami akan dipindahkan lagi ke mana? Masa tu manalah ana terfikir, kalau dah di tingkatan, perangainya tak lah sama seperti di tingkatan menengah rendah ini lagi kot. Semasa ana bersekolah dulu, Maahad Nipah ada dua lokasi bangunan. Satu lokasi (bangunan lama) menempatkan pelajar tingkatan peralihan hingga tingkatan 2. Manakala satu lokasi lagi (bangunan baru) menempatkan pelajar tingkatan tiga hingga tingkatan enam.

Kalau pasal bertumbuk, bukan setakat hero dalam kawasan sekolah saja (sama-sama sekelas, antara kelas) tetapi melibatkan pelajar sekolah lain. Pernah ana terlihat, seorang pelajar berlumuran darah di kepalanya kerana terkena tumbukan rakan yang memakai senjata “buku lima”. Tapi tak pasti masuk hospital dan bising-bising ke tidak, cuma ana rasa-rasa ia hanya berakhir di situ sahaja. Sama-sama puas hati.

Kalau bergaduh antara sekolah pula, pernah sekali rakan sekelas ana diiringi guru hingga ke rumahnya kerana guru telah maklum bahawa dia ada menerima pesanan budak sekolah lain yang akan menunggu di pertengahan jalan selepas balik dari sekolah.

Pengalaman ana sendiri pun ada. Pernah satu ketika, keadaan dalam kelas ana bising sangat. Pelajar-pelajar berlari sana sini, tumbuk menumbuk sesama sendiri, sepak kerusi dan meja. Ana ketua tingkatan masa tu tidak terdaya berbuat apa. Dalam keriuhan dan kekalutan itu menjelmalah pengetua sekolah yang sangat digeruni oleh ketegasannya.

“Berdiri semua!” Arahannya jelas dan kasar. “Mana rais (ketua)”. Ana angkat tangan sambil muka tertunduk. Takut. “Siapa kepala pengat (paling bising) tadi?” Terus jari ana tertunjuk kepada seorang rakan yang ana sendiri maklum akan sikap panas baran dan pantang ditegurnya itu. Ia tanpa sedar kerana ana pun sedang takut. “Mari ikut saya ke bilik guru” Arahnya kepada rakan ana berkenaan.

Apabila mereka berdua hilang dari pandangan, rakan-rakan terus menerpa ana lalu berkata “Habislah mu meri..” Dan apabila rakan ana tadi balik ke kelas, dengan muka harimau dia terus meluru ke arah ana, menggengam kolar baju dan mengangkat ana sehingga berdiri dari posisi duduk. Gagah betul. “Mampus mu aku kerjakan balik sekolah..” sambil menunjuk tangannya yang digenggam kuat, menampakkan tenaga ammarah dan kesungguhan.

Apabila loceng sekolah dibunyikan tanda balik. Seorang rakan karib ana datang memberi jaminan “Tak apa, aku teman mu balik hari ni”. Ana sedar, berbasikal dengan jarak rumah sejauh lima kilometer itu macam-macam pekara boleh terjadi. Ana tak kisah, apabila rakan-rakan ana sampai di rumah masing-masing (lokasi rumah mereka di pertengahan jalan ke rumah ana kerana rumah ana paling jauh) ana suruh mereka beredar. Kata ana “Kalau aku nak mati hari ni, tak ada apa boleh halang..”

Tetapi apa yang sepatutnya diramal terjadi hari itu tidak terjadi dan mulai hari itu, ana rasa lebih dihormati sebagai seorang ketua. Berani kerana benar. Malah hari ini, rakan ana tadi yang menjadi kepala pengat, telah menjadi seseorang yang lebih berjaya dari diri ana sendiri. Memegang jawatan bergred 48 di salah sebuah universiti di Kelantan. Begitu juga rakan-rakan yang lain, lebih separuh daripada mereka memegang jawatan sekurang-kurangnya pada gred 41. Tahniah!

Semasa sama-sama di Jordan, seorang rakan menceritakan kes kenakalannya di sekolah MML. Sekolah tu paling top di Kelantan kalau nak kira. Katanya “selalu dia lompat pagar untuk ponteng, kalau mood tak ada”. Ada ka, mood tak ada lalu panjat pagar lari pulang ke rumah sewa. Tapi masih sampai Jordan juga.

Yayasan Islam Kelantan
Apa yang ana perasan. Kebanyakan pelajar yang menuntut di sekolah kelolaan YIK itu lebih menunjukkan prestasi yang cemerlang berbanding sekolah-sekolah lain walaupun berada di Kelantan. Walau dalam suasana pembelajaran (sekolah YIK) yang mungkin tidak sesempurna yang ada di sekolah-sekolah lain, keadaan gaji guru yang tidak boleh dibandingkan dengan kemewahan yang dinikmati guru sekolah lain, tetapi mampu melahirkan modal insan lebih baik.

Ana dan rakan-rakan juga bersekolah di sekolah kelolaan YIK. Mereka yang menempa nama kerana kejayaan yang cemerlang hari ini pun dari sekolah YIK seperti Adik Nik Nur Madihah dan rakan-rakannya. Guru ana yang masih di sekolah YIK tidak mahu ditukarkan ke sekolah lain walaupun mengajar dalam keadaan serba kurang daripada segi material. Kerajaan kelantan juga tidak menyerahkan sekolah-sekolah YIK kelolaan mereka untuk diambil alih tadbir.

Maahad Tahfiz Sains.
MTS atau MTAQ adalah satu ikon sekolah dan budaya ilmu yang baru dalam era persekolahan di kelantan. Ia juga di bawah kelolaan YIK. Semasa ana bersama bekas guru datang menjemput anaknya yang bersekolah di MTS Bachok, ana lihat suasana prasarana sekolah amat dhaif. Bangunan baru (masa tu 2007) masih belum ada. Hanya bangunan lama tempat ana bersekolah dahulu lagi (dari tingkatan peralihan hingga tingkatan 1).

Tetapi, sambil-sambil menunggu ibubapa datang ambil itu, mereka main ping pong. Sambil-sambil main, mereka masing-masing tasmik hafazan. Seorang membetulkan kesahalan seorang yang lain apabila bacaan dari hafazan mereka tersasar. Sungguh murni suasana ilmu mereka.

Kata anak bekas cikgu ana itu. “Pagi-pagi lepas subuh, kami di masjid (hadapan sekolah) itulah, menghafaz”. Kemudian balik ke kelas untuk mengikut pengajaran dan pembelajaran seperti biasa. Masa main, sebelum tidur, kami tasmik. Ana difahamkan, dalam tingkatan satu, mereka perlu tamatkan 10 juzuk dan apabila masuk tingkatan 3 mereka khatam hafazan 30 juzuk al-Quran.

“Peraturan sini, kalau berada di top 10, tak boleh balik kampung, kena stay”. Pulak dah. Sebab itu kata guru ana, anak dia ni slowkan tahap supaya rakan-rakannya memintasnya dan ambil alih rankingnya. Agar dia boleh balik kampung. Kami semua gelak-gelak dan senyum dalam insaf.

Ana sempat juga bertanyakan syarat-syarat kemasukkan di MTS ini. Katanya semasa temuduga, mereka akan diberikan satu muka surat (cabutan spontan) dan dikehendaki menghafaz muka surat itu dalam masa 10 minit. Tahap dan kemampuan mereka menghafaz itu diambil kira untuk menentukan kelayakan mereka masuk ke MTS. Selain itu, pencapaian UPSR juga perlulah “strong dan straight” katanya yang meminjam perkataaan daripada bahasa Inggeris.

Bekas cikgu ana menambah “Memang pada dasarnya MTS ini dibuka khusus kepada anak-anak Kelantan, tetapi ia juga dibuka peluang kepada anak-anak dari Negeri luar. Mungkin ada kouta tertentu”. Sebab itu ana perhatikan ramai juga pelajar-pelajar luar. Antara mereka ada yang datang dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang. “Di sini kami bukan sahaja menghafaz al-Quran, tetapi mengambil subjek sains tulen seperti Bio, Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan” sahut anak lelaki cikgu ana.

Kepada mereka yang berminat nak hantar anak sambung ke MTS selepas tamat UPSR, bolehlah menghubungi pihak-pihak tertentu. Ana rasa sekiranya anda mengikuti link-link yang ana sertakan dalam artikel ini insyaAllah ia juga membantu dalam memberi maklumat tambahan.

Semoga dengan adanya budaya baru dalam cara menuntut ilmu (iaitu bermula dengan penguasaan al-Quran), Negara kita akan diperkayakan pula dengan ahli-ahli sains, tokoh korporat, usahawan, cendiakawan dan ahli akademik yang bukan sahaja maklum dan arif dalam bidang masing-masing, tetapi memiliki kekuatan jiwa, kekayaan rohani dan mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik daripada apa yang dimiliki oleh orang-orang Islam pada masa ini. InsyaAllah.

Kesimpulan
Apa-apapun, semestinya ibubapa prihatin akan pendidikan anak-anak yang semestinya akan menjadi aset dirinya. Bukan sahaja di dunia bahkan sehingga ke akhirat. Kerana salah satu perkara yang tidak akan putus amalannya kepada anak adam selepas mati adalah anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.

Minggu lepas ana sempat menghadiri majlis wada seorang anak jiran yang melanjutkan pelajarannya ke bumi Morocco. Walaupun dengan perbelanjaan sendiri, ana kagum dengan semangat yang dimiliki oleh kebanyakan ibubapa Kelantan, yang sanggup sehingga berjual tanah demi mempastikan anak-anak berjaya bukan sahaja dalam kehidupan di dunia tetapi memperolehi bekalan ilmu hingga ke akhirat.

Kerana kejayaan anak-anak adalah sebenarnya kejayaan ibubapa.

Wallahu aklam.

P/S: sekiranya anda adalah bekas pelajar sekolah-sekolah di Kelantan, atau anda sedang menuntut di mana-mana sekolah di Kelantan pada masa ini, terutama MTS, anda dialu-alukan mencatat sebarang info atau catatan pengalaman bagi tujuan rujukan para pengunjung yang mungkin memerlukannya di sini.

Advertisements

6 Komen (+add yours?)

  1. abu huzaifah
    Dis 04, 2009 @ 22:27:08

    Alhamdulillah ,ana telah membaca sebahagian entri ustaz.Memang benar belajar disekolah banyak kekurangan disegi prasarananya.Ana mengalami sendiri walaupun ana belajar diMML.Jika hendak dibanding dengan sekolah2 bawah KPM.
    Namun sebagaimana kata ustaz,kelebihan yang ada adalah soal keberkataan.Disekolah YIK akhlak dan budi diutamakan.
    Seingat ana kawan-kawan yang nakal dulupun kurang mereka sekarang jadi peniaga,askar,bomba dan macam-macam.pendek kata jadi orang.

    Seorang hamba Allah dari Shah Alam ,menghantar 3@4 orang anaknya diKelantan kerana pada pandangan beliau tidak sanggup untuk menyekolahkan anak-anaknya di Selangor (sebelum 2009)kerana bimbang dengan gejala sosial.
    Memang diKelantan kes-kes jenayah tetap berlaku, namun tidak sehebat di Selangor,KL, Johor dsb.

    Sekiranya ada ibubapa dari luar Kelantan berhasrat menghantar anak belajar diKelantan, memang dialu-alukan ,namun jangan serahkan anak 100% kepada pihak sekolah/guru.Sekali sekala dapatkan maklumat dari guru-guru/mudir tentang sikap anak anda dari semasa ke semasa.Ibubapa juga perlu sentiasa berdoa keselamatan dan kebajikan anak-anak mereka.Pendek kata walaupun anak anda belajar disekolah agama,guru bukannya boleh membentuk keseluruhan personaliti anak kerana banyak faktor lain yang mempengaruhi mereka termasuk faktor rakan sebaya,pengaruh keluarga,pemakanan,persekitaran dan tentu orang yang melahirkannya sendiri.WALLAHU A’LAM

    IR: jazakallah ust.. kemah komen ust ni.. syukran

    Balas

  2. alrisblog
    Dis 05, 2009 @ 01:16:21

    Salam kenal, ya.
    Salam
    Alr

    IR: w’salam. selamat datang ke laman ana ini. semoga ada yg mmberi manfaat. jazakumullah

    Balas

  3. Umi
    Jan 14, 2010 @ 13:23:37

    Alhamdulillah…saya merupakan ibu kepada pelajar MTS Bachok. Hari pertama saya menghadirkan diri ke MTS Bachok untuk mengambil surat tawaran anak untuk belajar di sini, perasan terkejut dan risau terpalit di hati. Prasarana yang dilihat pada MTS ini amat daif. Pandangan pertama menyebabkan saya terfikir dapatkah anak saya belajar dengan baik. Malam pertama anak di asrama, saya menangis dalam perasan kelam dan rasa bersalah kerana berfikir adakah saya berdosa menyebabkan anak yang sebelum ini dibesarkan dengan kehidupan sederhana terpaksa mengharungi alam persekolahan menengah nanti dengan ketidaksempurnaan prasarana sekolah. Salahkah pilihan seorang ibu?

    Namun dengan niat dan kekuatan untuk memberi ilmu kepada anak lelaki sulung saya, doa dipanjatkan kepada Allah agar segala dipermudahkan. Alhmadulillah seminggu di asrama dengan didikan dan kawalan guru, saya dapat melihat perubahan sikap dan tingkah laku anak yang disayangi. Sesuatu yang amat mengagumkan. Keberkatan Al-Quran yang dijadikan ‘teman’ sepanjang masa untuk hafazan, insyaAllah akan memberi satu keajaiban yang dinantikan oleh keluarga kami.

    Diringkaskan, keberkatan dan kerahmatNya akan dapat mengatasi segalanya.

    IR: tahniah umi. satu komentar yg sgt baik dan touching..

    Balas

  4. Abah
    Dis 01, 2010 @ 23:08:39

    Hasil keputusan UPSR 2007 anak menerima 3 tawaran dari SBP Integrasi, SM Imtiaz dan MTS Nurul Aman, Kok Lanas. Berfikir panjang dalam memilih best of the best untuk anak…semua tiga buah sekolah dilawati dan ramai orang agama di minta pendapat mereka.

    Pendapat yang paling menusuk kalbu..dari seorang imam “Jika nakkan keberkatan dan ilmu, pergilah ke Kelantan”.

    Akhir 2007 masa pergi ke MTS Nurul Aman..keadaan sekolah agak daif..baru nak ubahsuai dari sekolah agama rakyat…memang jauh berbeza dari sekolah kerajaan pusat…maklumlah sekolah di negeri yang di ‘anak tirikan’.

    Selepas itu berfikir pula tentang yuran RM 270 sebulan + duit poket + lain-lain..kurang-kurang RM 400-450 sebulan…Tapi hati dah nekad untuk menjadikan anak sulong sebagai Hafiz dan sebagai pendorong kepada adik-adik.
    Tapi percayalah wang yang dilaburkan akan dibalas Allah dengan rezeki yang tak disangka-sangka..dan semuanya akan terasa amat berbaloi apabila anak memberitahu kita…”Abah..habis dah 30 juzu”..saya sendiri mengalaminya 1 Ramadhan lalu…hanya sujud syukur dan titisan air mata jadi penganti kesyukuran.

    Akhir sekali kita dapat melihat keperibadian anak yang dididik dengan tarbiyyah Islamiyah..jauh berbeza…dan di bulan Ramadhan dapatlah kita sekeluarga solat Tarawih berimaman anak kita sendiri.

    Setelah 3 tahun MTSNA, kini bangunan 3 tingkat hampir siap.

    Dan insya-Allah anak ke-2 akan menyusul ke Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat awal 2011.

    IR: tahniah Abah.. semoga komen bermotivasi menjadi tambahan kpd amal saleh di sisiNya

    Balas

  5. syazwani fadzil(qawsu quzahin)
    Nov 03, 2015 @ 13:47:36

    assalammualaikum,ustaz.

    saya sekarang adalah pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah kebangsaan agama di kedah dan saya juga baru selesai exam pt3. saya memerhati sekolah saya di sini tidak mempunyai tarbiah yang mantap.saya sebagai remaja, saya amat mendahagakan ilmu akhirat dan agar dapat berdamping dgn al-quran,memandangkan saya dahulu agak jahil tentang agama.saya juga berharap agar saya dapat mempunyai persekitaran yg lebih baik.ana minta cadngan sekolah ustaz.

    Balas

  6. iza nuar
    Apr 22, 2016 @ 10:57:37

    assalamualaikum..blh bg sy jenis2 sekolah agama yg baik utk membentuk ank2 menjadi hafiz hafizah utk sekolah rendah sbb ank sy berumur 9 dan 7 thn..kebetulan sy akn berpindah ke kelantan thn depan..sy kekurangan ilmu agama utk membimbing ank2 sy jd sy ingin mereka belajar agama..tlg sy bantu sy

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: