300

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Kebetulan tulisan ini adalah entry blog IbnRajab Online yang ke-300. Dalam tempoh masa dua tahun lebih usia blog kecil ini (bermula september 2007) iaitu dalam masa lebih 800 hari, dimuatkan dengan 300 artikel bermaksud purata ana menulis dan berkongsi idea di sini adalah dalam lingkungan satu artikel untuk dua hari. Atau mungkin lebih tepat satu artikel untuk tiga hari. Apa-apapun, harapan semoga tulisan yang sedikit itu mampu merealisasikan impian dan harapan penulis sendiri iaitu “mengharap pahala, walaupun di saat tuannya sedang dibuai mimpi”. InsyaAllah.

Suatu hari mak ana pernah bertanya “Apa hal tulis blog?”. Ana jawab ringkas “Mak, setiap kali menulis, saya tulis lafaz ‘Bismillahirrahmanirrahim’ kemudian saya bagi salam, mungkin ada orang baca tulisan saya jadi secara tidak langsung ia memberikan saya pahala kerana membantu orang lain menyebut nama Allah (dalam kalimah basmalah) dan menyampaikan syiar Islam iaitu al-Salam”. Mak ana angguk-angguk. Mungkin setuju.

Namun, sekiranya ada lagi manfaat yang dipetik oleh para pengunjung di sebalik tulisan-tulisan ana, semoga adalah nanti ganjaran yang baik dicatat untuk ditatap di hari yang tidak akan dapat memberi manfaat lagi oleh harta benda wa imma anak pinak, melainkan mereka yang datang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera. Itulah sebenarnya matlamat ana menulis di sini. Dan juga matlamat menyampaikan risalah Islam di mana ada ruang dan peluang pun. Semoga diberikan hidayah dan taufik olehNya, insyaAllah.

Angka 300 bukanlah suatu yang sangat istimewa dalam sejarah hidup ana pun. Ia juga tidak ada kaitan dengan mana-mana peristiwa yang mengaitkan diri ana secara langsung wa imma keluarga atau sesiapa sama ada yang masih hidup atau yang telah pergi. Cuma kebetulan hari ini, melihat kepada statistik blog yang menunjukkan ke angka 299 (jumlah entry blog sebelum artikel ini dimuatnaikkan). Secara tidak sengaja minda ana teringat satu tajuk cerita orang putih yang bertajuk 300.

Cerita itu tentang peperangan. Ana taklah melihat dan menghayatinya sampai habis pun. Cuma tahu ianya bertajuk 300 dan jalan ceritanya dipenuhi aksi-aksi peperangan. Ana tak ingat peperangan itu di zaman silam atau di zaman akan datang yang terpaksa menggunakan senjata dan taktik peperangan zaman silam. Agak ganas aksi-aksi dalam filem berkenaan. Itu juga menyebabkan ana tak reti nak memahaminya.

Cuma apa yang menarik perhatian ana ialah, kebanyakan filem-filem keluaran orang putih ni berkualiti. Mungkin kerana dek kesungguhan mereka bekerja. Dalam erti kata lain, mereka bekerja bukan sahaja mencari rezeki, mencari duit, mencari makan, tetapi bekerja untuk kepuasan kerja itu sendiri. Mereka rela berhabis duit berjuta-juta Dollar. Memusnahkan kereta-kereta baru, berjaga malam untuk editing gambar sehingga yang tidak ada pun, macam benar-benar ada dan berlaku.

Contoh filem yang hangat diperkatakan hari ini. 2012 (1). Ana sendiri pun tidak pernah lihat filem tu lagi. Kebetulan semalam melihat visualnya dalam sebuah akhabar tempatan. Dan juga visual-visual yang disediakan dalam laman-laman youtube. Isu yang diutarakan ialah, filem berkenaan adalah adaptasi dan juga kritis kepada kegagalan masyarakat dunia mempertahankan alam sekitar berdasar satu perjanjian atau lebih tepat kegagalan Protokol Kyoto 2012.

Filem tersebut juga merupakan gagasan pencinta alam (daripada kalangan orang-orang seni) untuk memberi idea tambahan kepada para diplomat dan ketua-ketua negara yang akan bersidang pada sidang kemuncak PBB di Copenhagen pada pertengahan bulan Disemberi ini nanti. Mereka mengharapkan sesuatu keputusan yang positif diambil untuk memberi lebih penjagaan terhadap keselamatan alam sekitar pada persidangan berkenaan yang dihadiri semestinya oleh Presiden AS sendiri.

Selain 2012, ada juga beberapa filem terbitan barat yang menggamit takjub ana. Seperti filem Matrix, Terminator, Transfomer, filem-filem Anamasi 3D, hatta siri bersiri CSI juga. Perkara yang menerujakan ialah kerajinan staf filem mereka bekerja. Sehingga setiap aksi itu diperlihatkan dengan sesempurna yang mungkin. Contoh sekiranya berlaku kemalangan, kereta yang digunakan itu remuk beberapa kali. Kalau aksi bom dan kecederaan pun begitu.

Ia memberikan penonton satu perasaan yang lebih daripada apa yang mereka gambarkan. “Beyond an expectation”. Iaitu sekiranya anda melihat aksi dalam filem mereka, anda akan menjangkakan ianya hanya sekadar itu dan itu, tetapi sebaliknya yang dipersembahkan, iaitu aksi yang tidak anda jangkakan langsung. Sekiranya kerosakan, maka sudah tentu ia akan mengalami kerosakan luar jangkaan. Sehingga memberikan anda kepuasan menonton yang secara tidak langsung memberikan kepuasan kepada mereka yang membuat dan mengeluarkan filem berkenaan. Tidak kiralah berapa kos yang perlu diperhabiskan. Itu yang ana maksudkan ‘mereka bekerja untuk kepuasan’.

Seorang pensyarah ana (semasa di universiti) pernah memberi komen takjub kepada sebuah filem keluaran mereka bertajuk Titanic. Semasa itu kami dalam kuliah syair arab zaman pertengahan. Perbincangan adalah berkenaan bagaimana sesuatu hasil seni itu dinilai dan dihayati. Bukan semua orang dapat menilai hasil seni rupanya. Contohnya (kata pensyarah ana) bagaimana seninya orang yang menghasilkan filem Titanic, masa yang digunakan satu jam (60 minit) itu adalah seperti ianya benar-benar 1 jam berlaku pada penonton. Kerana tempoh masa 1 jam untuk kapal Titanic (dalam filem) itu tenggelam adalah sama dengan tempoh 1 jam yang dihabiskan dihadapan cerita berkenaan. Iaitu bermula dengan pelanggaran kapal berkenaan dengan gunung Ais. (ice-berg)

Tetapi adakah hasil-hasil seni tempatan juga sarat dengan nilai, seni dan perjuangan? Atau hanya sebahagian kecil sahaja? Manakala yang banyaknya adalah unsur yang tidak sepatutnya dibuat atas dasar mencari rezeki yang halal.

Contohnya, orang-orang kelantan yang terkenal di negara ini memiliki jatidiri iman dan nilai baik yang tinggi seperti rajin, bersungguh-sungguh, hatta dalam kalangan ustaz dan ustazah yang profesional sendiri pun ramai daripada kalangan anak-anak kelantan. Tetapi apa yang ditonjolkan dalam filem, anak-anak kelantan ini merogol di hadapan ayat-ayat suci al-Quran. Bukan itu sebenarnya majoriti atau kebanyakan perangai anak-anak kelantan tetapi yang terpencil sebeginilah yang dipertontonkan dalam filem-filem kita. Inilah fitnah!

Orang lain buat filem atas dasar perjuangan tetapi kita kebanyakannya hanya membuka pekung di dada di samping kadang-kadang membuat fitnah. Perbuatan begini adalah dosa dan dilaknat oleh Allah. Orang-orang Islam tidak sepatutnya membuka aib sendiri apatah lagi aib orang lain. Daripada Rasulullah SAW “Barangsiapa yang membuka aib saudaranya di dunia, maka Allah akan membuka aibnya di akhirat”. Itu perihal membuka pekung dan aib saudara seagama, bagaimana pula dengan dosa memfitnah yang ditegaskan dalam al-Quran “sesunggunya fitnah itu terlebih dahsyat daripada membunuh”.

Semalam (kebetulan lagi) sebuah stesen TV tempatan meraikan para artis dalam satu anugerah. Ramailah yang meramalkan orang-orang itu dan orang-orang ini memenangi anugerah-anugerah itu dan ini, sedang mereka sendiri tidak mengenal erti seni. Buta seni membuatkan anugerah tidak ada nilai sebenarnya. Lihat sahaja kepada filem-filem keluaran tempatan yang berorientasikan keuntungan dan hiburan semata-mata. Berbanding filem keluaran barat yang berorientasikan perjuangan (seperti menjaga alam sekitar) itu.

Anda nilaikanlah sendiri.

Bagi ana, memang dari dulu tidak suka melihat sebarang anugerah seni tempatan (yang sebenarnya pada ana tidak seseni mana pun sebab tiada apa yang berkaitan dengan nilai seni sebagaimana yang ana pelajari). Semenjak berkeluarga, ana juga melarang isteri dan anak-anak melihat anugerah yang disiarkan secara langsung itu. Bagi ana, menyokong seni (sebagaimana yang dipertontonkan hari ini) hatta walau melihat siaran langsungnya juga adalah menyokong maksiat berdasarkan hadis Nabi bermaksud: barangsiapa yang melihat maksiat perlulah mencegahnya dengan tiga perkara; tangan sekiranya berkuasa, mulut, dan hati, tetapi itulah selemah-lemah iman. Atau sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW.

Ana melihat ianya sebagai maksiat kerana di dalamnya ada pergaulan bebas antara laki-laki dan perempuan, aurat manusia dipertonton, dinodai, diekspoitasi dengan rela dan bangga, membesarkan sesuatu maksiat lebih daripada Allah dan syiar agama yang lain dan sebagainya. Walaubagaimanapun, sekiranya anda adalah peminat setia seni tempatan yang pada anda itulah sebenar seni, maka terpulang. Kita masing-masing akan dihisab dan cukuplah sekadar ana membuat peringatan.

Sebaliknya, ana menyokong seni yang benar-benar seni, yang terkandung di dalamnya sebuah perjuangan, yang diolah dalam keadaan halus (seni). Hatta ana rela berhabis bersama-sama mereka yang berhabis tetapi pada masa sama menghidang dan menikmati kepuasan kerana mesej perjuangan juga telahpun sampai bersama-samanya. Wallahu aklam.

(1) 2012 ialah sebuah filem Amerika Syarikat bergenre cereka sains arahan Roland Emmerich. Filem ini dilakonkan oleh John Cusack, Amanda Peet, Danny Glover, Thandie Newton, Oliver Platt, Chiwetel Ejiofor, Woody Harrelson dan George Segal. Filem ini akan diedarkan oleh Columbia Pictures. Penggambaran bermula pada Ogos 2008 di Vancouver; filem ini dijangka akan ditayangkan ke seluruh dunia pada 13 November 2009 (Wikipedia.org)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: