Khabar dari Tanah Suci

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatulahi wabarakatuh

Perkembangan terkini mengenai perjalanan haji mak dan ayah ini ana tujukan kepada sanak saudara yang sentiasa mengikutinya melalui blog ana yang tidak seberapa ini. Terima kasih atas perhatian tuan-tuan sekalian yang selalu sahaja bertanya khabar. Sesungguhnya tiada nikmat Allah yang terlebih istimewa di atas dunia ini selain daripada ikatan silaturrahim yang erat ini. Semoga kasih sayang ikhlas akan menjemput kasih sayang Allah pula ke atas kita semua, InsyaAllah.

Alhamdulillah baru sekajap tadi mak telifon dari Kota Suci Makkah al-Mukarramah. Katanya, hari ini kumpulan mereka akan mula bertolak ke Kota al-Nabi Madinah al-Munawwarah. Setakat ini mak dan ayah masih segar, sihat dan selamat. Hanya ayah sahaja yang kena demam beberapa hari sebelum mereka wukuf di Arafah tempohari. Alhamdulillah, setakat ini perjalanan kedua-dua mereka mengerjakan rukun Islam yang ke-5 itu dipermudahkan oleh Allah.

Biasanya di Madinah, para jemaah haji akan memanfaatkan masa yang ada (lebih kurang lapan hari) untuk bersolat jemaah di Masjid Nabi SAW. Dalam tempoh masa tersebut, jemaah haji akan berkesempatan melakukan solat selama 40 waktu secara berturut-turut.

Mengikut alim ulama, sekiranya seseorang inginkan sesuatu itu dilakukan secara istiqamah, atau inginkan perubahan yang baik dalam dirinya, maka hendaklah ia melakukan seperti tempoh masa perubahan ia berada di dalam perut ibunya iaitu 40 hari seketul darah, 40 hari seketul daging, 40 hari ditumbuhkan tulang temulang kemudian ditiupkan kepadanya ruh. Sekiranya tidak dapat istiqamah solat jemaah di sini selama 40 hari, bolah juga dilakukan selama 40 waktu.

Kemudian mereka digalakkan menziarahi al-Raudhah iaitu satu tempat dalam masjid Nabi SAW. Mafhum hadis Baginda “Raudhah itu adalah kawasan di antara rumahku dan mimbarku”. Dan satu hadis “Raudhah adalah satu taman daripada taman-taman Syurga”. Biasanya jemaah lelaki diberikan kebebasan memasuki kawasan al-Raudhah berkenaan kecuali waktu selepas solat Asar kerana ia adalah waktu ziarah bagi jemaah perempuan.

Setelah berada dalam al-Raudhah beberapa ketika (melakukan solat sunat, berdoa, bermunajat dan berzikir) mereka akan menyusuri bahagian hadapan masjid al-Nabawi untuk keluar dari masjid. Pada waktu itulah mereka akan melalui perkuburan Nabi SAW, makam saidina Abu Bakar al-Siddiq dan makam saidina Umar al-Khattab, ridhwanullahi alaihim ajmain. Sekiranya bernasib baik, mereka dibenarkan memasuki kawasan rumah Rasulullah SAW dan mendekati tiga makam berkenaan.

Apabila keluar sahaja dari Masjid al-Nabawi melalui pintu berkenaan, mereka akan memasuki pula kawasan perkuburan Baqi. Di sanalah dikebumikan ramai para sahabat dan sahabat-sahabat karib Nabi yang lain antaranya Saidina Ali Karramallah wajhah.

Kemudian, sekiranya ada kelapangan masa, mereka akan dibawa pula menziarahi Masjid Quba, Masjid Qiblatain dan perkuburan sahabat di Bukit Uhud. Itulah aktiviti biasa yang dilakukan oleh para jemaah haji di Madinah al-Munawwarah.

Seorang sahabat berkongsi hikmah Rasulullah SAW diwafatkan oleh Allah di bumi Madinah bukannya bumi kelahirannya di Makkah al-Mukarramah. Beliau menjelaskan hal ini kerana, Allah SWT ingin memuliakan Baginda SAW yang telah menegakkan risalah Allah (Islam) kerana sekiranya Baginda wafat dan dikebumikan di Makkah, nescaya orang akan mengatakan, mereka menziarahi Nabi kerana kebetulan telah berada di Makkah dan di samping melakukan ibadah haji di sana. Tetapi, sebaliknya manusia berkunjung ramai-ramai ke bumi Madinah adalah semata-mata melakukan ziarah ke atas Baginda SAW tanpa ada ikatan dengan ibadah khusus kepada Allah SWT.

Semoga perjalan mak dan ayah diberikan keberkatan oleh Allah. Teringat ana beberapa hadis daripada Nabi Muhammad SAW yang antaranya bermaksud “Tidak ada musafir yang sunat dilakukan kecuali untuk menziarahi tiga Masjid; Masjid al-Haram di Makkah, Masjid al-Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa di Palestin”. Ana sendiri masih belum diberi kesempatan menziarahi masjid al-Aqsa. Semoga akan adalah nanti ruang dan peluang berbuat demikian. InsyaAllah.

Nabi SAW juga bersabda “Sesiapa dalam kalangan umatku yang menziarahi kuburku (setelah kematianku) maka seolah-olah mereka menziarahiku sewaktu hidupku”. Rasulullah SAW turut berpesan “Sesiapa dalam kalangan umatku yang memberi salam ke atas ku selepas kematianku, maka malaikat Jibril as akan membawa salam berkenaan kepada ruhku dan aku akan menjawab salam mereka berkenaan secara langsung”.

Sebelum menamatkan perbualan telifon berkenaan ana sempat berpesan kepada mak “tolong sampaikan salam saya kepada Rasulullah SAW”. Tidak dinafikan ada sesuatu rasa seperti rindu, sayu dan syhadu yang hadir dalam hati apabila mengenangkan keindahan berada di dalam Raudhah kemudian melakukan ziarah ke kubur Baginda SAW serta dua sahabat yang mereka semua diredhai oleh Allah SWT itu.

Rasulullah SAW bersabda lagi “Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan berselawat kembali ke atasnya sebanyak sepuluh kali”. Oleh itu, sesiapa yang belum berkempatan menziarahi nabi SAW, hendaklah memperbanyakkan selawat ke atas Baginda. Semoga kita dikenali di akhirat nanti oleh Nabi dan diakui sebagai umatnya. InsyaAllah.

Semoga mak, ayah, diriku, keluargaku, dan umat Islam seluruhnya mendapat syafaat Rasulullah SAW di akhirat nanti, dan dengan itu semoga beroleh rahmat daripada Allah pula. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami, rahmatilah kami dan golongkan kami dalam kalangan mereka yang Engkau redhai. Amien..

p/s: ikut jadual, mak dan ayah akan berangkat pulang dari Lapangan Terbang Madinah ke tanah air pada 18 Disember 2009. Ketibaan mereka di Airport Kota Bharu pula dijangka pada keesokan harinya iaitu 19 Disember 2009 jam 8.30 pagi. InsyaAllah. Cuma tinggal sepuluh hari dari sekarang. Cepatnya masa berlalu.

Beberapa hadis yang ana tuliskan dalam artikel ini dipetik dari kitab al-Azkar oleh imam al-Nawawi. Maksud hadis yang sebenar adalah sebagaimana yang diungkapkan oleh Baginda SAW sendiri (Aw kama Qala al-Nabiyy)..

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: