Cinta

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Peribahasa melayu meninggalkan pepatah “Seperti labah-labah cintakan telurnya” bermaksud “Kasih sayang yang tak dapat dipisahkan” (Kamus Istimewa Peribahasa Melayu). Manakala Kamus Dewan Edisi Empat (terkini) pula menggariskan makna cinta sebagai “perasaan atau berperasaan sangat sayang kpd” sesuatu sama ada negara, orang tua, kebebasan dan lain-lain.

Cinta jika diterjemahkan kepada bahasa Arab bermaksud “Hubb”. Ada lagi beberapa perkataan yang ada kaitan dengan kasih sayang dalam bahasa Arab seperti al-Wud. Daripada dua perkataan ini “al-Hubb dan al-Wudd” keluarlah istilah mahabbah dan mawaddah. Kedua-duanya adalah istilah dalam berkasih sayang. Kasih sayang itu pula secara langsungnya dikaitkan pula dengan syariat agama. Seperti didoakan agar sebuah keluarga yang hidup aman damai dalam suasana kasih sayang itu sebagai “mawaddah wa rahamah”. Perkataan “rahmah” itu adalah pinjaman daripada sifat Allah yang Maha Esa lagi Maha Pengasih Sayang.

Begitu juga didoakan kepada pengantin baru “semoga berada dalam mahabbatillah warahmatihi”. Dua perkataan “mahabbah” dan “Allah” kemudian digabungkan pula dengan rahmatNya. Secara umum dan kebiasaannya perkataan cinta, perasaan kasih dan sayang yang suci itu dikaitkan pula dengan rahmat Allah yang suci juga. Tidak ada istilah bagi dua mempelai atau remaja yang sedang dilamun “cinta asmara” sebagaimana yang masyarakat faham hari ini yang turut dikaitkan dengan sifat rahmat.

Ini bermaksud, sekiranya cinta itu suatu perasaan suci yang terbit dari jiwa manusia terhadap sesuatu, maka ia akan terus sahaja (perasaaan tersebut) menjurus kepada apa yang Allah redha dan Allah suka. Kerana hanya dengan mengikuti ajaran yang membawa kepada redha dan suka Allah sahaja, akan beroleh rahmat daripadaNya pula. Cinta yang berasaskan asmara, nafsu dan ghairah semata-mata adalah tidak suci dan bersandarkan kepada sifat kebinatangan dan syaitaniyyah.

Oleh yang demikian, setiap manusia yang ingin mendapatkan cinta, ataupun ingin memberikan cinta (yakni perasaan kasih sayang yang amat mendalam terhadap sesuatu) maka perlulah berfikir akan rahmat dan kasih sayang Allah pula ke atasnya. Melalui sebuah hadis Rasulullah SAW, ada tiga jenis cinta yang suci; pertama cinta kepada Allah, kedua cinta kepada Rasulullah dan ketiga cinta kepada sesama manusia kerana Allah.

Sudah tentunya cinta seseorang manusia kepada Allah dan Rasulnya tidak berkaitan dengan nafsu dan gelora asmara. Sebaliknya perasaan sayang dan kasih yang amat sangat. Sayang dalam erti kata sanggup mempertahankan apa-apa sahaja yang disukai kekasihnya yang dicintai bahkan sanggup pula berkorban. Dalam konteks Allah dan Rasul, seseorang pencinta itu sanggup mempertahankan agama Islam dan mematuhi setiap ajarannya serta sanggup berkorban kerana itu (agama dan syariat) yang dibawa oleh Rasul dan itu yang diredhai oleh Allah.

Seterusnya cinta dan sayang kepada sesama manusia kerana Allah. Iaitu memberikan cinta, dan menerima cinta dalam konteks ibadah kepada Allah dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW (manusia) dengan ikhlas. Selama mana orang (sesama manusia) itu patuh kepada ajaran Allah, tidak meminta dan berbuat maksiat kepada Allah atau tidak menyimpang daripada ajaran sunnah Rasulullah SAW, maka cinta adalah layak buat mereka. Untuk mereka dicintai dan menerima cinta daripadanya pula.

Ada sebuah kisah daripada seorang sahabat Rasulullah SAW. Beliau adalah imam masjid Quba. Sebuah masjid pertama yang dibina sesampainya Nabi ke Madinah dalam peristiwa Hijrah. Apabila sahaja beliau mengimamkan solat, selepas membaca fatihah beliau akan membaca surah al-ikhlas (qul huwallah) pada setiap rakaat. Kemudian baru dibacakan surah-surah lain. Pendek kata, setiap waktu, setiap masa dan ketika, sekiranya beliau jadi imam, maka itulah tabiatnya. Membaca al-Fatihah (rukun solat) kemudian surah al-ikhlas dan barulah surah-surah lain.

Para sahabat yang lain mencurigai perangai sahabat berkenaan dan bertanyakan kepada Rasulullah adakah wajar dan boleh seseorang imam atau sesiapa sahaja berkelakuan demikian. Maka Rasulullah SAW memanggil beliau bertanya perihal aduan sabahat-sahabat yang lain. Kenapa berbuat demikian? Dengan ringkas beliau menjawab “Aku membaca surah al-ikhlas setiap masa kerana aku cintakan kepadanya. Aku seolah-olah tidak dapat melupakannya lalu membacanya juga di dalam setiap solatku”

Rasulullah SAW menjawab “Hubbuka iyyaha, adkhalaka al-Jannah” bermaksud “cintamu kepadanya (surah al-ikhlas) itulah yang membawa mu masuk ke Syurga”.

Subhanallah. Apakah kecintaan kita. Kepada siapakah kita mencintai dan daripada siapakah kita sedang menikmati perasaan cinta. Adakah cinta kita itu berlandaskan syariat atau maksiat kepada Allah?

Fikir-fikirkanlah wahai pemuda, wahai pemudi, orang tua, suami ataupun isteri yang mencari bahagia

Wallahu aklam

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: