Mimbar 1/10

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatuhu wabarakatuh

Berikut ini adalah isi khutbah pertama yang ana sampaikan di Surau Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang. Pada semester pengajian ini, surau berkenaan sekali lagi dikehendaki menganjurkan Solat Jumaat untuk kemudahan warga Institut. Sukacita ana panjangkannya di sini untuk manfaat kita bersama dan untuk rujukan pada masa-masa memerlukan. InsyaAllah.

Sidang Jumaat yang berbahagia;
Tajuk khutbah kita pada hari ini adalah “Azam tahun baru”.

Alhamdulillah, dengan rasa penuh kesyukuran kita sekali lagi diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk melangkah ke tahun baru 2010, seterusnya melangkah ke sesi pengajian baru 2010. Kebetulan tidak lama sebelum ini, kita umat Islam juga telah meraikan kedatangan tahun baru Hijrah 1431 Hijriyah. Sama ada kita sedar ataupun tidak, kedatangan kedua-dua tahun baru ini, sebenarnya menandakan usia kita semakin meningkat, dan kita pada hakikatnya semakin menghampiri saat kematian (yang sekiranya disebut; maka akan datanglah kegerunan di hati-hati mereka yang sakit, sebaliknya pada masa sama, peringatan tentang kematian itu mendatangkan pertambahan iman, jatidiri pula kepada mereka yang bersedia dengan amalan sebagaimana disyariatkan).

Ikhwani al-muslimin;
Sebagai telah menjadi suatu tradisi, walaupun entah dari tamadun mana digamit cernakan tradisi berkenaan, apabila tibanya tahun baru, kita akan menyambutnya dengan semangat yang baru, azam baru, dairy baru, segala-galanya baru seolah-olah baru juga dilahirkan ke bumi atau sekurang-kurangnya baru tersedar dari mimpi.

Sebenarnya, dalam Islam tidak ada istilah tahun baru atau tahun lama. Perkara meraikan kedatangan tahun baru juga tidak pernah dianjurkan oleh Rasulullah bahkan tidak juga dihidupkan pada zaman pemerintahan sabahat ataupun tabien. Kemungkinan perkara sambutan-sambutan seperti ini diasaskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan, manakala oleh kerana dek rasa seronok dan terpegun dengan pemikiran dan keinginan mencintai budaya orang lain melebihi budaya ataupun tamadun sendiri, maka perkara yang disebutkan itu menjadi tradisi kita juga.

Namun sebenarnya, pada hakikatnya, dalam Islam kita dituntut untuk sentiasa tunduk, patuh dan taat kepada Allah, taat kepada Rasulullah SAW dan taat kepada Syariat yang dibawa olehnya pada setiap masa, dari awal tahun hingga akhir tahun, dari umur baligh hingga ke liang lahad.

Dalam Syariat Islam, setiap masa itu diambil kira sebagai ruang dan peluang baru bagi menambah dan meningkatkan darjah ketaqwaan (yakni kepatuhan dan ketaatan) kepada Allah, Rasulullah SAW dan Syariatnya. Secara keseluruhan! bukan sekadar mengambil apa-apa yang diperlukannya sahaja.

Firman Allah (surah al-Hijr:99) Bermaksud: Beribadahlah kepada Tuhanmu sehingga tiba kepadamu keyakinan (yakni kematian).

Hadirin yang dimuliakan,
Mimbar jumaat pada hari ini lebih suka mengajak umat Islam agar lebih mengutamakan kebaikan pada setiap masa, begitu juga mereka perlu menjauhi kejahatan dan kesakitan pada setiap masa. Bersifat amanah pada setiap masa, jujur, disiplin, pro aktif, prograsif pada setiap masa. Menolong orang lain sekadar dan sekiranya berkemampuan pada setiap masa. Menjauhi maksiat dan berpesan-pesan ke arahnya pada setiap masa. Tidak sombong diri pada setiap masa, tidak khianat dan mungkir janji, tidak jujur dan tidak pentingkan diri sendiri pada setiap masa.

Pada masa yang sama, kita umat Islam adalah wajar untuk sentiasa bermuhasabah. Atau apa yang diungkap dan disebutgunakan sebagai Amalan Refleksi Islam. Dalam ilmu tasawwuf Islam ianya dikenali sebagai ilmu “al-Tazkiyatu al-Nafs” atau “muhasabatu al-Nafsi” yang dipinjam daripadanya kata dasar, lalu membentuk perkataan muhasabah dalam kalangan masyarakat kita.

Umat Islam adalah wajar melakukan muhasabah lebih daripada azam. Kerana muhasabah adalah penilaian atas apa yang diyakini dan telah dilakukan, manakala azam adalah cita-cita ataupun lembaran khayalan atas apa yang masih lagi diragukan untuk dilakukan. Dalam kaedah fiqh Islam menyatakan “apa-apa yang bersandarkan kepada keyakinan itu perlu diutamakan daripada apa-apa yang disandarkan kepada perkara yang disyak atau diragu-ragukan”.

Umat Islam adalah wajar bermuhasabab; apakah mereka telah mencapai tahap KPI yang pertama tujuan kehidupan mereka didunia ini? adakah mereka telah mencapai tujuan Allah menciptakan mereka? iaitu adakah mereka telah bertuhankan Allah? Menerima dan menyaksikan kerasulan Muhammad SAW? seterusnya adakah mereka menerima apa sahaja yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Dalam ertikata yang lain, apakah umat Islam hari ini benar-benar telah taat kepada Allah? Adakah mereka taat beribadah kepada Allah pada setiap masa dan ketika? Sama ada ibadah khusus mereka seperti solat, puasa, zakat adakah benar kerana Allah? Ataupun ibadah umum mereka seperti bekerja, berurusan sesama manusia, menguruskan sumber rezeki, ekonomi adakah benar kerana Allah? Adakah benar mengikuti landasan yang Allah telah gariskan di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW?

Firman Allah yang selalu dibacakan (surah al-zariyat:56) bermaksudnya :tidak aku jadikan Jin dan Manusia itu, melainkan untuk mengabdikan diri (ibadah umum dan khusus) hanya kepadaKu (Allah SWT)

Sidang jumaat yang berbahagia,
Dalam Islam kita wajar melakukan refleksi, mungkin setahun yang lalu dan beberapa tahun yang berlalu juga pun, telah memberikan seribu satu pengalaman, pertambahan ilmu, pengetahuan dan kemahiran yang boleh dijadikan mekanisma buat diri.

Jika pada tahun lalu, atau tahun-tahun yang lalu kita telah menempa beberapa kejayaan dan kecemerlangan, maka pada tahun ini, boleh kita berazam dan berniat untuk mencipta lebih kejayaan dan kecemerlangan. Sekiranya pada tahun lalu ataupun tahun-tahun yang lalu kita mencapai tahap kualiti tertentu, mungkin tahun ini kita perlu mengorak langkah mencapai tahap inovasi pula. Yakni melakukan sesuatu yang mungkin baru buat diri sendiri, lebih kreatif , lebih kualiti seterusnya menjadikan usaha atau kerja atau produk kita itu lebih inovasi.

Sesungguhnya perkara seperti ini dituntut dalam Islam. Kerana Allah SWT tidak memandang kepada kuantiti kerja manusia, sebaliknya menilai mutu (kualiti), dan yang paling penting selepas itu adalah kesan atau apa yang disebut sebagai impak kepada setiap pekerjaan bahkan kejayaan itu sendiri. Tidak ada gunanya seorang pelajar memperolehi kesemua A di dalam peperiksaannya tetapi tidak dapat memberi sumbangan yang berkesan apabila diberikan amanah. Dan sebesar-besar amanah adalah sebagai khalifah Allah yang bertanggungjawab memakmurkan muka bumi ini.

Dalam surah al-Mulk ayat 2, Allah menegaskan bahawa, tujuan Allah menjadikan kehidupan dan kematian itu, adalah bagi menguji manusia mana yang benar-benar paling baik amalannya.

Sidang hadirin sekalian,
Sesungguhnya tidak salah untuk menanam azam tahun baru yang sebagaimana dibincangkan itu. Tetapi keazaman di dalam rutin hidup seharian, yakni daripada segi kualiti dan inovasi itu, hendaklah selari dengan keseimbangan daripada segi kehendak Allah. Iaitu mencapai kecemerlangan di dunia sebagai jambatan ke akhirat. Iaitu mencipta kejayaan duniawi seiring dan tidak menyalahi udang-undang sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah. Iaitu menggarap ketamadunan hidup dunia dengan acuan iman, taqwa dan ihsan.

Dalam lain perkataan, kejayaan yang bakal dicapai dan diazamkan oleh umat Islam adalah dalam bentuk yang lebih luas dan lebih jauh. Iaitu kejayaan yang tidak menjadikan sempadan kematian itu sebagai noktah terakhir impak kelakuannya tetapi kejayaan yang berterusan sehingga ke Akhirat, untuk dipersembahkan di hadapan Allah SWT, selaku penghukum terakhir yang akan sama ada memberi balasan baik ataupun sebaliknya. Samentelahlah pula, balasan berkenaan akan berkekalan selama-lamanya dan tiada pula nokhtah akhirnya.

Khutbah 2.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita menjadikan ruang dan peluang baru sesi pengajian kita ini, sama ada sebagai pelajar, pekerja, pensyarah hatta pentadbir di Institut ini, agar sama-sama menanam hasrat dan impian untuk menjadi hamba Allah yang terbaik dan berkesan walau di mana dan apa sahaja pekerjaan yang dilakukan.

Sekiranya kita itu adalah pelajar maka perlu berusaha dengan lebih keras mencari apa sahaja ilmu Allah. Segala kemahiran yang dikesan dalam diri perlulah digarap dengan sempurna bagi tujuan mempersembahkan mutu kerja terbaik dan berkesan apabila dipostingkan sebagai guru nanti.

Bagi yang bekerja pula, marilah sama-sama kita memperbaiki mutu kerja kita semua. Agar nilai-nilai anjuran Islam seperti Amanah, Jujur, Ikhlas, dan lain-lainnya itu menjadi sebati dan rukun di dalam menunaikan segala yang diamanahkan. Sesungguhnya tidak ada lain yang Allah kehendaki melainkan hamba-hambaNya melakukan sesuatu perkara (ibadah umum dan khusus) itu dengan ikhlas semata-mata kerananya.

Tidaklah mereka disuruh, melainkan mengabdikan diri kepadaKu (Allah SWT) dengan ikhlas (al-Bayyinah:5)

Wallahu aklam.

p/s: Mungkin anda ingin membaca artikel berkenaan ikhlas yang dimuatkan sebelum ini.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: