Info Moral 1/10

PATRIOTISME adalah satu sentimen nasional yang menekankan kepada aspek   kesetiaan dan kecintaan yang mendalam kepada negara. Mempertahankan kedaulatan negara dan kesanggupan untuk berjuang menggadai nyawa demi negara memperlihatkan tahap patriotisme tertinggi yang wujud dalam diri seorang warga negara.

Patriotisme yang tinggi sangat penting bagi setiap rakyat dalam sebuah negara yang merdeka. Kemerdekaan yang dicapai sesebuah negara adalah berbeza antara satu sama lain dan biasanya ia bukanlah sesuatu yang mudah. Justeru, kecintaan yang mendalam kepada negara adalah asas utama untuk memastikan negara terus bebas dan merdeka daripada sebarang bentuk penjajahan.

Era awal selepas kemerdekaan mempamerkan semangat sayangkan negara yang tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Melalui pendidikan, rakyat berbilang kaum mempelajari mata pelajaran sejarah dan sivik bagi memupuk dan menyuburkan semangat cintakan tanah air.

Kebelakangan ini sejarah negara yang menjadi asas kepada pembentukan peradaban bangsa semakin dilupakan. Pengetahuan dan literasi sejarah umumnya dianggap satu aset intelektual yang tidak mendatangkan keuntungan atau bernilai perdagangan. Oleh itu, ia tidak dipentingkan dan dianggap sekadar satu pengetahuan am.

Namun, sedar atau tidak, pendidikan sejarah adalah aset amat penting dalam pembentukan keperibadian bangsa dan negara yang lebih kukuh, tersusun dan terarah. Ia juga amat penting untuk membina semangat patriotik yang semakin tandus dalam kalangan generasi muda kini. Justeru, kebanyakan kita lupa bahawa negara kita pernah dijajah selama 446 tahun (1511-1957), satu jangka masa yang amat panjang.

Kita juga lupa kesengsaraan dan perjuangan perit generasi terdahulu  kerana kita tidak pernah mengalaminya. Jika disorot, pasti ramai di antara anak kita yang tidak mengetahui nama terbilang seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Abdul Rahman Limbong, Dol Said, Rentap dan ramai lagi kerana saban hari mereka disogokkan dengan cerita hero khayalan seperti Spiderman atau Superman yang lebih menyeronokkan.

Bagi tatapan generasi kini, elok jika diimbau sedikit perjuangan Mat Kilau, seorang tokoh pejuang yang   unggul di negeri Pahang. Beliau terkenal dengan keberanian dan kegagahannya melancarkan gerakan penentangan (1891-1895) kerana membantah campur    tangan British dalam urusan pentadbiran Pahang.

Beliau membantah pelaksanaan sistem Residen yang mengurangkan kuasa Sultan dalam hal-ehwal pentadbiran, sekali gus mengetepikan peranan pembesar tempatan serta kesejahteraan rakyat. Dalam strategi awal penentangannya, Mat Kilau   mengarahkan pengikutnya memotong talian telegraf bagi menyukarkan dan memutuskan perhubungan antara pegawai pentadbir British.

Bagaimanapun, perbuatan ini dapat dikesan pihak British. Pihak British pula cuba memujuk Mat Kilau agar bekerjasama  dengan mereka, namun ditolak oleh Mat Kilau. Keengganan Mat Kilau bekerjasama dijadikan alasan oleh British menangkapnya. Dengan ini gerakan memburu Mat Kilau serta pengikutnya mula dilancarkan.

Perjuangan dan ketokohan Mat Kilau ini dapat dilihat daripada kesungguhan dan    kesanggupan beliau berjuang berterusan menentang British walaupun menghadapi pelbagai kesukaran. Beliau menyedari Sultan yang berada di bawah pengaruh dan telunjuk British tak mungkin memberi sokongan kepada usaha penentangan itu.

Ini ditambah pula dengan ada beberapa pembesar dan orang tempatan sendiri yang sanggup berpihak kepada British dengan menyalurkan maklumat dan menyertai gerakan memburu beliau dan pengikutnya. Mat Kilau juga menyedari bahawa segala alatan senjata tradisi dan jumlah kecil senjata yang digunakan oleh pengikutnya, sukar menandingi senjata moden digunakan askar upahan British.

Gerakan penentangan yang tidak bersepadu ditambah dengan jumlah pengikut yg tidak ramai, menyukarkan lagi peluang mereka mengalah dan menghalau British dari bumi Pahang. Namun Mat Kilau tetap meneruskan perjuangannya habis-habisan sehingga kampung tempat tinggalnya, iaitu Kampung Budu, dibakar British.

Penentangan Mat Kilau walaupun tidak berjaya menyekat kemaraan British, setidak-tidaknya dapat menyedarkan pihak British agar tidak memandang remeh terhadap keupayaan rakyat tempatan yang memiliki kekuatan tersendiri seperti ditonjolkan oleh Mat Kilau.

Berdasarkan kepada sumber rasmi di Arkib Negara Malaysia, pihak pentadbir British terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan khidmat tambahan polis Sikh bagi membantu memerangi kumpulan penentang (ada hampir 200 fail dalam simpanan Arkib Negara berkaitan Mat Kilau dan pergolakan di Pahang yang boleh dirujuk).

Perbelanjaan tambahan juga diperlukan untuk mendirikan kubu pertahanan, jambatan dan menyediakan peralatan senjata selain  membiayai ekspedisi memburu penentang berkenaan. Perkara ini jelas menunjukkan betapa besar ancaman dan tekanan dihadapi pihak British, walaupun kumpulan penentang ini terdiri daripada orang kampung yang tidak terlatih.

Malah, mereka ini tidak memiliki senjata canggih untuk menandingi senapang dan polis upahan British, sebaliknya hanya berbekalkan semangat juang yang tinggi dan kecintaan kepada negara yang tidak berbelah bagi.

Jika rakyat Malaysia mempunyai semangat patriotik dan ketahanan diri yang tinggi seperti dimiliki Mat Kilau, kita tidak perlu untuk mengadakan institusi bagi menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara seperti Biro Tata Negara (BTN), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan sebagainya.

Namun, kerana ramai di antara kita yang lupa sejarah perjuangan bangsa serta lemah jati diri, kerajaan menubuhkan BTN pada 1974, bertanggungjawabkan untuk menyalurkan pendidikan kenegaraan bagi memupuk semangat patriotisme rakyat Malaysia. Pendidikan kenegaraan ini amat penting untuk diterapkan kepada semua lapisan masyarakat termasuk anggota komuniti institusi pendidikan, belia, pekerja awam dan swasta, anggota pertubuhan serta pemimpin dan pemaju masyarakat.

Pendidikan ini juga untuk mempertingkatkan kesedaran, penghayatan serta komitmen rakyat secara berterusan kepada wawasan negara dan usaha ke arah kecemerlangan, mempersiapkan rakyat supaya menunjangi dasar negara ke arah pembangunan demi kesejahteraan bangsa.

Semangat patriotisme dan kecintaan yang tinggi kepada negara adalah benteng bagi mempertahankan kemerdekaan dan menjamin keharmonian yang dinikmati kini dapat terus dikekalkan. Sebagai rakyat dan juga pemimpin, pastinya tidak mahu peristiwa hitam 13 Mei 1969 serta penjajahan kuasa asing berulang dan bertapak lagi di bumi Malaysia tercinta.

Sumber: Berita Harian 27 Januari 2010 / Rencana ini ana terbitkan sebagai buletin ringkas untuk edaran kepada para pelajar. Klik untuk memuat turun buletin INFOMORAL bekenaan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: