Tafsir ayat 1 surah al-Baqarah

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memungkinkan perjumpaan kita pada malam ini. Dalam sebuah majlis ilmu yang insyaAllah diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT. Sebenarnya, masjid ini tidak asing bagi saya kerana pernah diberi peluang seumpama ini pada tahun 2006 dan 2007 sebelum saya pulang ke semenanjung untuk melanjutkan pelajaran pada tahun 2008 dan 2009.

Alhamdulillah, Allah telah mentaqdirkan saya berada sekali lagi bersama tuan-tuan dan puan-puan. Di masjid ini. Mudah-mudahan perkongsian ilmu tafsir al-Quran yang cuba saya ketengahkan ini akan mendatangkan manfaat untuk kita bersama. Sebagai renungan, panduan dan pedoman hidup kita melalui cabaran dunia hari ini. Semoga dengan usaha kita yang sedikit ini, akan ditulis sebagai amal soleh di sisiNya. InsyaAllah.

Dalam siri kuliah saya, insyaAllah saya akan mengulas tafsir al-Quran yang dikemukakan oleh syeikh mutawalli al-syi’rawi. Beliau telah mengajar tafsirnya ini di masjid universiti al-Azhar Mesir. Semoga Allah memberi balasan yang baik atas ilmunya itu untuk kesejahteraan al-syeikh di dunia dan di akhirat.

Kita mulakan malam ini dengan ayat pertama surah al-Baqarah. Alif Lam Mim.

Allah SWT telah memulakan surah al-Baqarah ini dengan huruf. Apa yang disebutkan dalam ulum al-Quran sebagai huruf al-muqata’ah. Huruf al-muqata’ah ialah huruf yang disebut setiap satunya. Iaitu kita menyebut atau mengeja.

Dalam dunia bahasa, di sana ada huruf, sukukata, perkataan, ayat, kata kerja, ganti nama dan pelbagai perbahasan lagi. Di sini, kita perhatikan dalam bab huruf, ia terbahagi kepada dua kategori. Satu yang dinamakan sebagai huruf yang dieja dan huruf yang dibatang.

Contoh, pada perkataan BACA. Ia adalah satu perkataan yang dieja dengan B,A,C DAN A, dan pada masa sama, ia juga dibatang dengan BA dan CA. Itu apabila mereka membatang sukukata. Tetapi sekiranya mereka membatang perkataan, maka mereka menyebut BACA.

Jarang sekali, ataupun mungkin tidak ada manusia yang apabila bertemu dengan perkataan BACA maka mereka menyebut B,A,C,A. Sebaliknya mereka menyebut BACA secara terus. Iaitu jarang ada manusia atau mungkin tidak ada manusia apabila bertemu dengan sesuatu perkataan akan mengejanya sebaliknya membatangnya terus kerana mereka tidak mendapat apa-apa daripada perbuatan mengeja sebaliknya mereka dapat menyampaikan maksud atau memahami maksud dengan menyebut atau membatang perkataan.

Jadi, pada permulaan surah al-Baqarah ini, Allah SWT sengaja memulakannya dengan perkataan ALIF, LAM, MIM. Nabi Muhammad SAW mengajar kita semua menyebut ayat 1 ini sebegitu. Membuktikan bahawa Nabi itu benar-benar seorang Rasul utusan Allah. Kerana beliau tidak memandai-mandai dalam mengajar umatnya menyebut atau membaca al-Quran.

Sebenarnya, pekerjaan membatang perkataan itu sememangnya dapat dilakukan oleh sama ada orang yang terpelajar ataupun tidak. Sebaliknya, mengeja perkataan itu hanya dapat dilakukan oleh mereka yang mempelajarinya. Saya tidak tahu BACA itu terdiri daripada huruf B,A,C,A kecuali setelah saya mempelajari nama huruf-huruf itu di sekolah. Manakala mak saya, seorang yang tidak bersekolah, telah lama menyuruh saya BACA tanpa dia mengerti bahawa BACA itu terdiri daripada huruf-huruf B,A,C dan A.

Itulah mukjizat Nabi Muhamaad yang ummi itu. Mana mungkin Nabi SAW dapat membaca ALIF LAM dan MIM dan mengetahui nama-nama huruf itu kerana Baginda tidak bersekolah, tidak dapat membaca dan menulis. Tidak pernah menuntut nama-nama huruf itu semua. Tetapi, sebaik sahaja Malaikat mengajar Baginda menyebut ALIF LAM dan MIM itu, baginda tahu bagaimana menyebutnya. Bukan membacanya.

Sebab itulah, seorang muslim tidak dapat mendakwa ianya boleh membaca al-Quran kerana ia telah masuk ke sekolah. Belajar Iqra dan sebagainya. Seorang muslim itu perlu berguru sebagaimana Nabi Muhammad berguru dengan Malaikat Jibril as.

Sebenarnya dalam surah al-insyirah dan surah al-Fil itu juga ada perkataan ALIF LAM dan MIM ini. Tetapi dalam kedua-dua surah tersebut, kita tidak diajar menyebutnya sebagai ALIF LAM dan MIM sebaliknya ALAM. Kenapa ia demikian, kerana Rasulullah SAW memperturunkan kepada kita bacaannya secara sedekimian. Dan kini dalam surah al-Baqarah ayat pertama, Nabi memperturunkan bacaan perkataan yang nampak macam sama tetapi disebut lain-lain pula. Iaitu ALIF LAM MIM dan bukannya ALAM.

Ini sekali lagi membuktikan mukjizat Nabi Muhammad SAW dan apa-apa yang dibawa oleh Baginda adalah 100% bersumberkan daripada Allah SWT melalui perantaraan Malaikat Jibril AS.

Apa yang dapat kita ambil pengajarannya di sini ialah, membaca sahaja tidak dapat mempastikan kita benar-benar patuh kepada Allah. Kerana Allah yang memberikan pahala setiap pekerjaan kita. Dalam perkataan lain, pandai membaca itu bukan tiket untuk membeli pahala dan masuk ke syurga atau mendapat bahagia yang Allah janjikan. Sebaliknya, mentaati Allah itulah bahagianya.

Anak-anak yang ke sekolah dan belajar membaca itu tidak akan betul membaca awal surah al-Baqarah ini. Mungkin mereka akan membacanya sebagai ALAM. Itu tidak tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Oleh kerana itu, tidak tepatlah sekiranya ada pihak yang beranggapan bahawa, agama Islam ini dan keseluruhan syariatnya akan selesai sekiranya seseorang itu dapat membaca sahaja. Ataupun mereka mengatakan membaca itu sebenarnya kunci kejayaan dan kebahagiaan. Kerana ramai orang buta, mereka dapat menghafal al-Quran sedang mereka tidak mampu melihat pun, apatah lagi membaca.

Mereka hafal al-Quran, mereka faham al-Quran dan mereka menerima syariat al-Quran 100% lalu mereka bahagia di dunia dengan rezeki lahir dan batin anugerah Allah, dan mereka juga bakal bahagia di akhirat kelak. InsyaAllah. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman, berapa ramai orang yang baca al-Quran tetapi dimasukkan ke dalam neraka, sedang Allah tidak pernah menceritakan tentang orang-orang yang hafaz al-Quran itu akan masuk neraka pula.

Melalui al-Quran dan awal surah al-Baqarah ini lagi Allah telah mencabar pihak-pihak yang hebat dalam bacaannya. Mereka tidak dapat membaca ayat ini dengan ilmu bacaan mereka kerana apa yang Allah kehendaki adalah sebagaimana yang diperturunkan oleh Malaikat Jibril AS dan disampaikan oleh Nabi Muhammad. Cabaran al-Quran inilah yang dikatakan sebagai mukjizat. Sepandai mana pun seseorang, jika tidak berguru, nescaya akan sesat. Dan ilmu seseorang itu, tidaklah akan lengkap selagi mana ia adalah manusia. Walaupun ia pandai membaca.

Sebab itu, mukjizat nabi Muhammad apabila ia diutuskan sebagai seorang yang ummi, tidak tahu membaca dan menulis. Pertama bagi membuktikan apa-apa yang dibawanya adalah mutlak, solid dan 100% daripada Allah SWT dan membuktikan bahawa, kemampuan manusia tidak dapat diukur dengan ukuran ciptaan manusia (seperti ukuran dapat membaca, mengira dan menulis) sahaja tetapi ukuran kehebatan dan ketinggian manusia adalah ketaatannya kepada Allah SWT. Sebab itu Allah sebut dalam al-Quran sesungguhnya yang termulia dalam kalanagan kamu adalah yang paling tinggi taqwanya.

Jadi, perjuangan kita adalah bukan semata-mata perjuangan membaca sahaja, tetapi perjuangan untuk taat kepada Allah dalam segenap segi, setiap penjuru dan setiap masa.

Tuan-tuan, puan-puan muslimin muslimat sekalian.

Seterusnya, syaikh al-syi’rafi menyebut, al-Quran itu kebiasaannya terbina atas al-wasl, iaitu bersambung-sambung di antara satu ayat dengan ayat berikutnya. Maksudnya, boleh dibaca sambung kalau nak. Contoh;

Alhamdulillahi rabbil alaminarrahmanairrahimi malikiyau…. hingga akhir.

Jadi kebanyakkan ayat-ayat al-Quran itu terbina di atas al-wasl (sambung) melainkan beberapa pembuka surah yang dibina atas huruf-huruf. Kita tidak membaca ALIFU LAMU MIMU sebaliknya ALIF. LAM. MIM. Di sana ada surah-surah al-Quran yang dimulakan dengan satu huruf seperti surah Sad (SAD.) dan surah al-Qalam (NUN.)

Kesemua perkara seperti ini tidak diperolehi cara sebutannya yang betul melainkan dengan cara berguru. Dan tidak semestinya seseorang itu dapat membaca baru dia dapat berguru. Jika begitu, orang buta tidak dapat berguru dan tidak berhak membaca al-Quran lah.

Daripada sini terserlah mukjizat al-Quran yang berikutnya, iaitu ia tidak dapat dikatakan si buta, bahawa mereka tidak mampu membaca al-Quran kerana mereka mampu menghafaz al-Quran. Siapa kah yang menyediakan kemampuan itu? Hanya Allah SWT yang menyediakan segala sesuatu dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Ia mencabar manusia yang tidak buta. Sedangkan yang buta mampu menghafaz al-Quran dan memahami setiap perintah Allah, jadi bagaimana yang tidak buta? kenapa tidak mahu ikut perintah Allah SWT? Tidak mahu ikut 100%? Sehingga ada yang berani menidakkan kebenaran atau yang hak dan berani pula mengiyakan yang batil kerana nafsu.

Hadirin hadirat sekalian.

Seterusnya, sekiranya diperhatikan huruf-huruf yang digunakan dalam apa-apa bahasa, ia tidak mendatangkan makna secara sendirinya. Huruf B,A,C,A tidak membawa erti jika dibuang salah satu daripadanya. Jadi huruf bukanlah dikira sebagai satu ayat.

Tetapi dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 1 adalah ALIF LAM MIM. Surah Yaasin ayat 1 adalah YA SIN. Dalam al-Quran, ada yang dimulakan dengan satu huruf seperti NUN. ada dua huruf seperti HA MIM, ada tiga, ada empat dan sebagainya.

Dalam al-Quran, huruf-huruf permulaan ini ada juga digunakan bukan dalam bentuk satu ayat. Contoh ALIF LAM MIM RA dan surah al-Ra’d. Ia digabungkan dengan beberapa perkataan yang lain sehingga membentuk ayat 1 surah berkenaan.

Al-Quran telah mempersembahkan pelbagai bentuk penggunaan huruf, perkataan dan ayat. Ini memberi faham kepada kita, tidak ada unsur nafsu manusia langsung di dalam al-Quran. Ia datang sebagaimana yang Allah kehendaki. Mengandungi pelbagai hikmah yang Allah ketahui. Ada yang dapat dipelajari dan dibuka ilmunya untuk pengetahuan manusia dan ada yang masih menjadi rahsia Allah SWT hingga ke hari kiamat.

Begitu jugalah sepatutnya, dunia ini perlu diurus tadbir sebagaimana yang Allah kehendaki. Keluarga diuruskan sebagaimana yang Allah kehendaki. Pejabat, manusia, sumber air, sumber hutan dan sebagainya tugas manusia sebagai khalifah ini perlu mengikut aturan dan kehendak Allah. Patuh kepada Allah.

Manusia yang memperolehi sedikit ilmu hasil ilham Allah dan hidayahNya jua, tidaklah patut dan tidak layak merasakan dirinya terbaik. Sehingga boleh memandang hina manusia-manusia lain yang belum mencapai apa yang telah dicapai olehnya. Kerana asal ilmu itu adalah hak milik Allah SWT.

Setinggi manapun ilmu manusia, pasti akan ada batas dan hadnya. Mereka tidak akan mampu menandingi ilmu Allah. Masakan jika mereka tidak dapat memahami kenapa huruf-huruf dan perkataan-perkataan al-Quran itu sedemikian, mana boleh mereka mendabik dada dengan ilmu yang sedikit.

Semakin banyak al-Quran mencabar pengetahuan mereka, sepatutnya semakin gerun mereka dengan Allah. Semakin tunduk dan patuh mereka kepada setiap suruhan dan semakin jauh mereka daripada larangan Allah. Mereka menerima apa sahaja daripada Allah dan meninggalkan apa sahaja yang ditegah oleh Allah pula.

Sekian untuk kali ini, insyaAllah kita akan sambung perbincangan pada minggu-minggu hadapan. Mudah-mudahan Allah SWT mencampakkan rasa kagum dan teruja di dalam hati kita untuk menyelami ayat-ayat al-Quran, melazimi pembacaan dan pemahamannya serta beramal dengan segala-gala yang terkandung di dalamnya. InsyaAllah.

Untuk itu, saya akhiri dengan Wabillahi taufiq wal hidayah, astaghfirullahal azim li wali walidayya walakum ajmain. Walhamdulillahi rabbil alamin.

Wallahu aklam

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: