Tafsir al-Baqarah ayat 2

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Beberapa kesimpulan daripada tafsir ayat kedua dari surah al-baqarah sebagaimana yang ana kongsikan malam ini di Masjid al-Muttaqim Sarikei untuk tatapan dan renungan kita bersama di alam maya ini.

Pertama, Allah SWT menamakan al-Quran dalam ayat ini sebagai al-Kitab. Allah berfirman yang bermaksud “al-Kitab itu yang tidak ada di dalamnya sebarang keraguan, ia juga bersifat sebagai pentujuk kepada orang-orang yang bertaqwa”. Allah gantikan al-Quran dengan sifat al-Quran iaitu al-Kitab.

Maksudnya, Kenapa Allah tidak terus menggunakan perkataan al-Quran secara terus di sini pada ketika ini (ayat kedua surah al-Baqarah). Hal ini kerana, al-Quran dalam bahasa Arab bermaksud “yang dibaca”. Manakala al-Kitab adalah sesuatu yang bukan sekadar tertulis, tetapi ia juga dihafaz dalam dada-dada manusia. Kita tidak melihat imam meletakkan al-Quran di hadapannya apabila membaca surah al-Fatihah dalam solat. Sebaliknya, imam membaca al-Quran dari dalam dada yang telah dihafazkan olehnya.

Al-Quran itu sesuatu yang mikjizat kerana ia dapat dihafaz selain dapat dibaca. Orang-orang yang membaca al-Quran akan berasa seronok membacanya, begitu juga mereka yang menghafaznya. Al-Quran mencabar sesiapa manusia yang dapat bertahan membaca perkara yang sama sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam seperti mereka membaca surah al-Fatihah dalam solat.

Manusia tidak akan sanggup membaca dan mengulang-ulang sesuatu puisi yang diminatinya sepanjang umur. Siang, malam, pagi dan petang. Setiap hari bermula pada saat timbulnya minatnya itu. Tetapi al-Quran, setelah orang beriman mempelajarinya, mempelajari solat mereka membaca al-Fatihah dengan tidak jemu-jemu.

Itulah al-Kitab. Membacanya dalam bentuk tulisan tidak menjemukan dan membacanya dari dalam dada kerana sudah dihafaz juga mendatangkan rasa tenang, cinta dan keseronokan. Semakin difahami maksud setiap daripada ayat-ayat al-Kitab itu, semakin dirasa ketenangan dan semakin bertambah keimanan. Sebab itu Allah memilih perkataan al-Kitab bukan al-Quran di sini bagi menandakan al-Quran yang dihafaz bukan semata-mata dibaca.

Selain itu, al-Kitab adalah gambaran kepada kitab ini yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada umat akhir zaman adalah yang terakhir. Segala yang terkandung di dalamnya adalah kesempurnaan daripada isi-isi kitab-kitab yang pernah diperturunkan kepada manusia sebelum ini (umat Nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad). Perbezaan al-Kitab ini dengan kitab-kitab sebelumnya, adalah kitab-kitab tersebut tidak berkekalan manakala kitab al-Quran ini kekal sehingga ke hari kiamat.

Al-Kitab yang terakhir ini adalah pelengkap kepada ajaran-ajaran kitab-kitab sebelumnya. Al-Kitab yang ini telah mempertulkan kembali beberapa fakta kitab-kitab sebelumnya yang telah terpadam dek kerana ia tidak diingati oleh pengamalnya, ataupun ia telah diubah oleh tangan-tangan yang berkepentingan. Al-Kitab yang terakhir ini adalah penegasan atau peneguhan semula kepada butir-butir keimanan yang dibawa oleh Nabi-nabi terdahulu.

Itulah al-Kitab yang tidak ada syak dan ragu-ragu di dalamnya. Ia juga petunjuk kepada orang-orang muttaqin.

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah.
Kedua. Dalam ayat ini Allah SWT menegaskan al-Kitab (Al-Quran) dengan segala isinya itu adalah petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa. Ia telah sekali lagi bahawa al-Quran itu adalah daripada Allah. Al-Quran adalah Kalam Allah SWT. Kerana ia berupaya memberi petunjuk (hidayah) kepada manusia. Iaitu manusia yang bertaqwa.

Dalam ayat al-Quran yang lain (al-Qasas:56) bermaksud “Engkau (wahai Muhammad!) tidak dapat memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau sayang, sebaliknya hanya Allah pemberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya”. Kata-kata Nabi, bahkan doa nabi tidak berdaya memberi hidayah kepada manusia yang dikasihinya sekalipun. Manakala kata-kata Allah, segala firmanNya, Kalam Allah itulah pemberi hidayah. Hanya Allah pemberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.

Sekiranya diperdalami, hidayah milik Allah itu terbahagi kepada dua sebenarnya. Hidayah al-Dilalah dan Hidayah al-Maunah. Oleh kerana keadilan Allah SWT, di dalam al-Quran itu terkandung kedua-dua hidayah berkenaan. Hidayah al-Dilalah diberikan kepada semua manusia sama ada beriman atau tidak. Manakala hidayah al-Maunah itu pula hanya diberikan kepada mereka yang bertaqwa sahaja. Kekasih Allah yang menerima dan takut kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Mereka taat sepenuhnya kepada Allah sehingga Allah mengasihinya lalu Allah mengkehendakinya mendapat hidayah al-Maunah lalu jadilah mereka orang-orang yang beruntung di dunia hingga akhirat. Mereka itu adalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Walaubagaimanapun, al-Quran itu juga memberi petunjuk al-Dilalah kepada semua manusia. Sekiranya manusia tidak beriman, dan mengambil al-Quran sebagai rujukannya dalam menjalani hidup di dunia, mereka juga akan mendapat keselamatan. Kerana dunia ini diurus dan ditadbir serta ditetapkan udang-udang (sunnah) perjalanannya oleh Allah. Jadi melalui al-Quran, segala-galanya adalah bertepatan dengan kehendak Allah.

Contohnya, mereka yang mengkaji al-Quran akan dapat membantu mereka mengenal pasti peredaran bulan dan bintang, mengetahui hakikat dan fakta berkaitan janin dalam perut ibu. Mereka juga dipandu untuk meneroka angkasa lepas. Dalam al-Quran Allah telah menceritakan bahawa pada tahap-tahap ketinggian tertentu, dada manusia tidak akan dapat menampung kepadatan udara. Lalu berpandukan fakta itu, manusia dapat mencipta alat pernafasan bagi penerokaan bulan dan angkasa lepas.

Hidayah al-Dilalah itu semakin dipelajari semakin membantu manusia untuk mengenali perjalanan alam ini dan semakin mengenali yang Maha Pencipta. Hidayah al-Dilalah dalam bentuk penemuan-penemuan sains terkini dan teknologi dan sebagainya. Semakin lama mengkaji sains, fakta al-Quran tidak pernah bertentangan dengan dapatan-dapatan. Sehingga akhir-akhir ini dunia seolah-olah dikejutkan dengan penemuan sebuah sungai dalam lautan yang airnya tawar sedangkan perkara pertemuan (air tawar dan masin yang tidak bersatu) tersebut telah lama diceritakan dalam al-Quran.

Tetapi, penemuan-penemuan ilmiah atau hasil hidayah al-Dilalah berkenaan tidak mampu menagih kasih Allah kepada manusia melainkan mereka mengikuti segala perintah Allah di dalam al-Quran dan syariatnya samada yang telah ditemui oleh sains atau belum. Seperti sahabat pada zaman Rasulullah SAW yang apabila menerima ayat-ayat Allah, terus sahaja mereka mengimaninya.

Sama ada perkara yang diperintah dalam Agama itu difahami, tidak difahami, dapat dibuktikan oleh sains, atau masih belum dapat dibuktikan, asal sahaja ia daripada al-Quran, daripada Allah SWT, orang-orang beriman terus sahaja menerimanya. Lalu mereka dengar dan taat. Oleh yang demikian, mereka mendapat hidayah taufik ataupun hidayah al-Maunah yang berupaya menggamit kasih sayang Allah.

Nikmat hidayah al-Maunah atau maksudnya al-Maunah itu ialah, petunjuk Allah SWT kepada hamba-hamba pilihannya agar mereka terus menerus melalukan taat. Hidup di dunia ini dengan segala kepatuhan yang terpandu oleh hidayah Allah itu, mati dalam hidayah (iman) dan seterusnya dibangkitkan di akhirat dalam golongan orang-orang beriman untuk dimasukkan pula ke dalam Syurga Allah yang dipenuhi nikmat-nikmat.

Semoga kita semua diberikan kekuatan dan ruang untuk sentiasa membaca dan juga memahami ayat-ayat Allah SWT di dalam al-Quran. Membaca setiap aksara al-Quran itu mendatangkan 10 ganjaran pahala, manakala memahaminya pula dan beramal dengannya dijanjikan hidayah al-Maunah oleh Allah SWT. Semoga kita tergolong daripada orang-orang bertaqwa yang menjadikan al-Quran itu sebaik-baik sahabat di dunia dan akhirat. InsyaAllah

Segala yang baik itu daripada Allah dan yang selainnya itu adalah kelemahan diri saya yang masih lagi bergelar seorang pelajar. Kemaafan dipohon bagi setiap perkataan yang tidak sesuai. Wallahu aklam.

p/s: Untuk mendapat salinan asal teks tafsir ayat ini yang telah disampaikan oleh syiekh al-Syi’rawi, sila download di sini. Anda perlu install program al-Quran in word ini dahulu untuk membolehkan anda membaca teks-teks al-Quran yang digunakan oleh al-Syiekh untuk metafsirkan ayat 2 surah al-Baqarah ini.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: