Bumi dicipta untuk manfaat manusia

Bumi Dicipta Untuk Manfaat Manusia
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

AL-MARAGHI berkata: Setelah Allah SWT menceritakan kisah Nabi Musa a.s dan Firaun kepada orang musyrik, berikutnya ditunjukkan bahawa kaum Nabi Musa tidak dapat dilemahkan oleh perancangan jahat Firaun.

Allah SWT mengazabnya dan menjadikan peristiwa tersebut sebagai pengajaran kepada orang lain. Kisah ini untuk menghiburkan hati rasul-Nya agar baginda tidak susah hati kerana didustakan dan tidak diimani oleh kaumnya berhubung dengan apa yang disampaikannya.

Selanjutnya Allah SWT berfirman kepada golongan yang menolak adanya hari kebangkitan. Dia mengingatkan mereka tidak layak mengingkarinya sebab kebangkitan itu amat mudah bagi-Nya apabila dibandingkan dengan mencipta langit yang kukuh dan tersusun sebagai bukti betapa luas ilmu Allah SWT dan kekuasaan-Nya.

Firman Allah SWT: (Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan kukuh)! Ia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnakannya.

Syed Qutb berkata: Pertanyaan ini tidak mempunyai jawapan yang lain melainkan jawapan menyerah kalah dan mengaku bahawa langitlah yang lebih sukar diciptakan.

Ini tidak dapat dipertikaikan lagi dan yang demikian, mengapa kamu masih tertipu dengan kekuatan kamu sedangkan langitlah yang lebih sukar diciptakan dari kamu, dan yang menciptakan langit lebih gagah dari langit? Dan ia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang.

Disebutnya siang sebagai dhuha kerana ia merupakan waktu yang paling baik dan bersih. Kesegaran jiwa hanya terdapat pada waktu itu dan tidak terdapat pada waktu lain seperti kata al-Maraghi.

Firman Allah SWT: Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya).

Syed Qutb berkata: Diratakan permukaannya supaya sesuai untuk berjalan di atasnya. Prof. Zaglul al-Najjar mengemukakan teori bahawa hamparan bumi dan pembentukan kulitnya lalu pemecahannya serta pergerakan oasis dan pembentukan benua-benua, gunung-gunung serta sungai-sungai dan lain-lain hanya terjadi pada fasa kelima dari enam fasa penciptaan alam buana.

Pada fasa keenam pula iaitu yang terakhir barulah terjadi pembentukan kehidupan dalam bentuknya yang paling sederhana hingga kepada penciptaan manusia.

Alam buana ini dianggarkan usianya antara 10 hingga 15 bilion tahun. Sedang batu-batu yang terdapat di bumi tertua dianggarkan terbentuknya sekitar 4.6 bilion tahun.

Ini serupa dengan hasil penelitian berkenaan batu-bata yang terdapat di bulan dan aneka benda angkasa yang jatuh ke bumi. Kesan kehidupan di bumi yang tertua dianggarkan sekitar 3,800 juta tahun.

Jika demikian, masa bumi untuk dapat dihuni oleh makhluk yang hidup dianggarkan sekitar 800 juta tahun. Sedangkan kehidupan makhluk yang bernama manusia dianggarkan wujud sekitar 100,000 tahun yang lalu.

Firman Allah SWT: Ia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya. Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya), (semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.

Ayat ini menggambarkan ciptaan Allah untuk manusia bagi melangsungkan kehidupan termasuk binatang ternakan mereka.

Dalam tafsir al-Misbah menyebut: Perkataan mar’aha pada mulanya bererti tempat penggembalaan. Tetapi ia juga dapat difahami dengan makna rumput dan makanan binatang.

Agaknya kata itu dipilih walau yang dimaksudkan ayat di atas adalah tumbuhan secara umum baik yang dimakan oleh manusia mahupun binatang.

Ini kerana konteks ayat ini berbicara berkenaan golongan yang kafir lagi menolak kepercayaan hari kiamat. Mereka itu seperti binatang bahkan lebih sesat dari binatang.

Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur memperolehi kesan dari penyebutan kata yang hanya khusus digunakan untuk binatang ternak itu, bahawa ini menunjukkan rahmat Allah yang demikian luas kepada makhluknya kerana kepada binatang sahaja Dia telah menyiapkan bahan makanannya apatah lagi kepada manusia.

Penutup
Syed Qutb berkata: Itu ialah sebab-sebab hayat atau faktor-faktor hidup adalah cukup di bumi. Ukurannya cukup sesuai, jarak jauhnya sederhana dan strukturnya adalah sesuai untuk menemukan anasir-anasir benda pada nisbah yang boleh mencergaskan kegiatan hidup.

Ukuran bumi yang sesuai itu adalah perlu kerana kekalnya udara dingin di sekeliling bumi bergantung kepada daya tarikan yang ada pada bumi.

Dengan menukilkan pendapat Ustaz al-Aqqad melalui bukunya Aqaid al-Mufakkirin berkata: Kedudukan bumi merupakan satu kedudukan yang paling sesuai untuk menyempurnakan syarat-syarat tersebut yang pasti untuk pertumbuhan hayat dalam bentuk yang kita ketahui dan sehingga sekarang tiada bentuk hayat yang lain diketahui oleh kita.

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa berfikir pada kejadian Allah SWT, seterusnya dapat ma’rifatullah. Amin

Sumber: Utusan Malaysia.

Ana sempat makan setalam dengan Dr Zul ini, di rumah sewanya semasa kunjungan ilmu ana dan sahabat-sahabat ke Syria pada tahun 1996. Kami berenam adalah kumpulan pelajar Malaysia di Jordan pada masa itu, berkunjung ke Syria selama dua bulan setengah (semester musim panas) untuk menuntut ilmu dan menghadiri kuliah-kuliah ilmu yang disampaikan oleh ulama-ulama Syria. Antara mereka yang menjadi guru kami secara tidak langsung ialah, Syaikh Said Ramadhan al-Butiy, Dr Mustafa Bugha, Syaikh Kamal, Syaikh Rusdy dan ramai lagi. Alhamdulillah atas pengalaman itu.

Dr Zul pada masa itu adalah pelajar Master. Beliau banyak sekali menuntut ilmu secara tafakkuh sama ada berkumpulan atau secara individu. Kebanyakkan ulama terkenal Syria adalah guru kepada Dr Zul. Selain itu, Dr Zul sendiri ada mengendalikan kelas-kelas tafakkuh kepada rakan-rakan pelajar Malaysia yang baru berjinak-jinak dengan dunia ilmu dan talaqi sebelum mereka akhirnya dengan sendiri melalui pengalaman sama seperti beliau.

Tahniah Dr Zul. Sekarang ini semakin gah dalam dunia dakwah di negara kita, sama ada melalui medan media cetak, media elektronik, media penyiaran ataupun melalui slot-slot ceramah secara tradisional. Semoga dapat menjejaki langkah beliau.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: