Tazkirah subuh masjid neman

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Macam biasa. Bila balik ke kampung, bila saja imam masjid ternampak kelibat ana di masjid, nak tak nak kena naik mengimami solat. Itulah kebiasaan imam kampung ana yang secara hikmah mendidik diri ana secara khususnya untuk ke hadapan di tengah-tengah masyarakat. Seingat ana, dari sekolah dulu lagi, beliau akan memberi ruang ana menjadi imam, memberi tazkirah dan sebagainya. Terima kasih tuan atas ajaran ini. Hanya Allah yang membalas jasa.

Begitulah ana dididik oleh tuan-tuan guru yang informal. Kalau nak disebutkan, ramai lagi ahli masyarakat yang terlibat di dalam mendidik diri ana menjadi orang yang sepertinya ini hari ini. Walaupun tidaklah sehebat orang lain, tetapi kejayaan yang dimiliki setakat yang ada cukup memberi motivasi kepada diri sendiri dan mungkin kepada anak-anak kelak. InsyaAllah, dengan izinNya jua, beberapa kejayaan dalam hidup akan tetap ditempa selagi hayat dikandung badan.

Pagi ini, mengambil kesempatan dan ruang yang tuan imam berikan, ana sampaikan sebuah tazkirah ringkas selepas solat subuh yang bertajuk: Niat. Ana sebut, Allah SWT sengaja mengajar umat Islam agar berbuat sesuatu itu dengan dimulakan dengan niat. Ibadah puasa yang dilakukan hari ini dan sepanjang bulan Ramadhan ini adalah dengan niat. Ibadah solat dan segala ibadah dalam Islam adalah tidak sah sekiranya tanpa niat.

Dengan niat, Allah SWT juga telah memberi kekuatan agar ibadah-ibadah berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik. Dengan niat untuk melakukan puasa kerana Allah, maka urusan menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari Ramadhan menjadi mudah. Berbantukan motivasi niat yang sengaja Allah perturunkan dalam syariatNya. Subhanallah.

Dengan niat melakukan ketaatan kepada Allah dengan jujur, maka umat Islam bukan sahaja mempu menahan diri daripada berlapar dan dahaga pada bulan Ramadhan. Tetapi mereka dilatih agar mampu menahan diri daripada melakukan kerosakan di muka bumi dengan menjalankan segala titah perintah Allah; melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan. Dalam kata lain, berbuat kebajikan (taat) dan pahala dan pada masa sama meniggalkan maksiat dan dosa.

Sebenarnya niat adalah permulaan. Dengan niat juga, Allah SWT akan memberikan kekuatan untuk hamba istiqamah dalam pekerjaannya (contoh puasa). Dengan niat untuk berpuasa, minda manusia muslim yang juga makhluk Allah akan tidak mengarahkan perut untuk mengeluarkan asid yang menyebabkan lapar sehingga waktu berbuka. Dengan niat untuk berpuasa dan melakukan ibadah puasa, diri manusia sendiri yang mendapat sihat dan sejahtera. Ramai doktor perubatan mengesahkan teori berpuasa dan kaitannya dengan kesihatan dan alam perubatan.

Kemudian, bukan sahaja memadai dengan niat. Kerana niat itu permulaan dan sumber motivasi dan kekuatan. Selepas niat, manusia diminta untuk melakukan perkara yang seiring dengan niat secara fizikal. Dan hasilnya nanti akan diperolehi secara fizikal (yang dapat dibuktikan oleh sains dan manusia) serta hasil daripada segi spiritual dan batiniah (yang hanya akan dinikmati oleh mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan merasai kemanisan iman).

Selepas niat, manusia diminta untuk menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan niat itu. Dengan niat untuk berpuasa, orang beriman digesa meninggalkan makanan dan minuman di siang hari Ramadhan. Dengan niat itu, mereka diperkuatkan untuk melakukannya. Tetapi mereka boleh untuk tidak melakukannya kerana niat mereka tidak ikhlas (yakni makan dan minum di siang hari). Padahal daripada segi fizikal, Allah telah memperkuatkan sistem badan bagi menghadapi dugaan puasa kalau mereka ikhlas.

Begitulah semua perkara yang Allah suruh manusia buat atas dunia ini. Dan juga perkara yang dilarang. Kalau ada niat yang ikhlas, akan dapat dan mudah sahaja dilakukan. Kalau pun ada dugaan dan cabaran yang mendatang untuk menduga, tetapi oleh kerana keikhlasan, manusia mampu menghadapinya juga. Sebutlah apa sahaja perintah dan ketetapan daripada Allah; samada yang berbentuk suruhan atau larangan. Semuanya mampu manusia buat sekiranya pada awalnya mereka memang ada niat melakukannya (mentaatinya) dengan ikhlas.

Sebagai kesimpulan, ana mengajak diri sendiri dan para jamaah, untuk sama-sama menyemak keikhlasan kita berpuasa. Adakah hanya untuk berlapar semata-mata, atau untuk menterjemahkan ketaatan kepada segala apa yang Allah SWT tetapkan. Tiada orang yang mampu menjawab dan mengetahuinya melainkan diri sendiri dan Allah SWT.

Dan sebagai cabaran minda, marilah sama-sama kita fikirkan, kalau betul niat manusia ikhlas untuk menyatakan taat kepada Allah melalui acara puasanya, maka kenapa masih ada manusia yang tidak mampu menutup auratnya? Kenapa masih ada manusia yang tidak mampu menutup mulut dan mengunci lidahnya daripada maksiat. Daripada mencaci, mencela dan daripada berkata yang sia-sia. Padahal mereka berpuasa?

Dan soalan yang lebih mencabar, kenapa manusia berpuasa, tetapi pada masa sama tidak mahu memperjuangkan agama Allah dengan ikhlas dan sebenar-benar perjuangan. Menjadikan agama Allah landasan hidup. Menjadikan al-Quran sebagai rujukan? Tanyakan kepada diri sendiri, apakah usaha kita di dalam menterjemahkan niat ikhlas kita berpuasa untuk menzahirkan ketaatan kepada Allah.

Mudah-mudahan, Ramadhan kali ini benar-benar menyekolahkan kita bahkan me’universiti’kan kita. Sesungguhnya sekolah terbaik, universiti terbaik, sukatan terbaik, pelajaran terbaik adalah yang bersumberkan Allah SWT kerana Dia yang menciptakan manusia, maka Dialah yang mengetahui tentang selok belok manusia dan bagaimana cara untuk mengurus manusia. Bahkan seluruh alam! Kerana Allah, tuhan sekalian Alam (al-Fatihah:2)

Wallahu aklam. Maaf atas segala kelemahan dan kekurangan. Kepada tuan imam, dan seluruh ahli jemaah semua, selamat berpuasa dan menyambut hari raya. Maaf zahir dan batin. Sesungguhnya, di kampung ini, di masjid ini, banyak yang saya belajar terutama pengalaman untuk tampil di hadapan khalayak ramai, di sini dan di mana-mana. Terima kasih atas ruang dan peluang. Sekian, wassalam.

Advertisements

1 Komen (+add yours?)

  1. Aiga
    Sep 20, 2010 @ 23:36:15

    sokong ustaz

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: