Tafsir al-Baqarah ayat 24

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Pada ayat 23 yang lepas, Allah SWT telah menerangkan bahawa, orang-orang yang tidak mahu menerima hakikat kebenaran al-Quran, iaitu mereka yang kekal kafir (tidak tunduk dan patuh kepada Allah) selepas mendengar keterangan-keterangan Allah melalui al-Quran yang tidak ada keraguan padanya itu, mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka pada hari akhirat kelak. Pada hari itu, mereka sudah tiada pilihan lagi selain apa yang Allah putuskan buat mereka, berbanding di dunia ini, mereka tidak dipaksa tetapi memilih untuk tidak mempercayai kebenaran al-Quran.

Seterusnya pada ayat 24 ini, Allah menceritakan pula nikmat-nikmat yang disediakan kepada mereka yang percaya kepada Allah, percaya kepada apa-apa yang disampaikan oleh Rasulullah dan menerima al-Quran sebagai panduan hidup. Iaitu nikmat Syurga yang dihiasi dengan makanan yang lazat-lazat, air sungai hidup yang sentiasa mengalir di bawahnya, nikmat pasangan hidup yang taat dan tiada sedikitpun riak untuk curang dan pelbagai nikmat yang tidak pernah dibayangkan oleh manusia itu sendiri.

Sesungguhnya, Allah SWT dengan sengaja pada banyak tempat dalam al-Quran, selepas menceritakan azab Neraka yang disediakan kepada golongan ingkar, Allah menceritakan pula nikmat-nikmat syurga yang disediakan kepada manusia yang memilih di dunia ini untuk hidup sebagaimana yang Allah kehendaki (beriman).

Perkara ini bagi memberikan kepuasan berkali ganda kepada orang-orang beriman dan memberikan perkhabaran derita juga dua kali ganda kepada mereka yang memilih untuk ingkar.

Orang-orang beriman, setelah mendengar ayat 23, merasa gerun kepada amaran Allah dengan neraka yang disediakan untuk mereka yang ingkar, walaupun mereka tidaklah kafir dengan Allah, tetapi iman yang ada dalam diri mereka itu mencetuskan juga perasaan takut kalau-kalau terjerumus dalam kekufuran pada masa-masa mereka terlalai.

Maka kini, Allah menceritakan pula nikmat-nikmat Syurga, maka hati mereka merasa sungguh ceria lalu mereka diharap lebih bermotivasi dan berdoa kepada Allah agar diberikan kekuatan untuk terus-terusan berada dalam golongan beriman. Tiada balasan di dunia ini yang mampu menandingi apa yang dijanjikan oleh Allah. Fakta ini menjadikan ketaatan mereka kepadaNya bukanlah lakonan lagi, tetapi ketaatan yang digambarkan dengan amalan ikhlas semata-mata kerana Allah.

Manakala di sebelah golongan satu lagi, iaitu mereka yang pada kehidupan di dunia ini memilih untuk tidak endah kepada kebenaran ajaran Islam, padahal mereka sendiri tiada fakta yang jelas untuk dijadikan alasan menolak apa-apa perkhabaran al-Quran itu. Tetapi dek kerana keangkuhan sifat mazmumah dalam diri dan dihasut pula oleh nafsu dan syaitan, mereka memilih juga untuk kekal dalam kesesatan walaupun al-Quran ada di mana-mana dalam hidup mereka di dunia ini untuk menerangi.

Setelah Allah menjanjikan neraka buat mereka di akhirat dengan pelbagai azab seksaan, Allah sindirkan pula mereka dengan perkhabaran nikmat-nikmat yang disediakan bagi orang-orang beriman. Kelak di dalam neraka, mereka akan menyaksikan sendiri nikmat-nikmat itu dikecapi oleh orang-orang beriman padahal di masa itu mereka sudah hilang nikmat pilihan yang kini ada pada mereka semasa hidup di dunia.

Allah menjanjikan kepada orang-orang beriman dan mereka yang terus-terusan melakukan amal soleh (kebaikan), bahawa mereka akan disediakan dengan syurga-syurga yang mengalir hidup di bawahnya sungai-sungai. Orang beriman boleh memilih syurga mana yang ia kehendaki. Di sana, ada yang namanya al-Naim, al-Ma’wa, al-Firdaus, Dar al-Salam dan syurga yang paling tinggi darjatnya adalah syurga ‘Illiyyun.

Di dalam syurga-syurga itu mengalir pula sungai-sungai yang hidup, bukannya kelompok air dalam bentuk tasik yang mati dan tidak bertukar airnya. Jadi hiduplah manusia beriman di dalam syurga tanpa ada rasa risau bahawa sungai itu akan kering, tidak bersih dan tidak segar airnya.

Allah SWT bawakan berita tentang sungai sebenarnya hanya bagi mendekatkan perkhabaran nikmat syurga kepada minda manusia sahaja. Padahal, nikmat-nikmat dalam syurga itu tidaklah boleh dibayangkan oleh akal manusia dek kerana terbatasnya ilmu dan pengalaman mereka semasa hidup di dunia ini. Walaupun syurga itu salah satu perkara ghaib tetapi Allah SWT menggunakan perkara-perkara yang terbaik di dunia bagi mengambarkan sedikit sahaja daripada nikmat-nikmat Syurga.

Perkara-perkara seperti ini sudah tentu akan memberikan motivasi lagi kepada orang beriman, untuk terus kekal dalam iman sehingga nyawa berpisah daripada badan. Bahkan mereka sanggup mempertahankan akidah ini kerana apa yang dijanjikan oleh Allah itu jauh terlebih baik daripada apa yang dapat dilihat oleh mata dan dirasai oleh pancaindera mereka di dunia.

Seperti seorang budak lelaki, apabila tiba umur akan dikhatankan, mereka bertanyakan kepada orang-orang dewasa, atau bapa mereka apakah kesakitan yang bakal mereka hadapi. Maka bapanya menjawab “alah, sakit seperti digigit semut sahaja”. Maka walaupun mereka tahu, apa yang bakal dihadapi itu adalah kesakitan, tetapi oleh kerana mereka pernah merasakan gigitan semut itu, maka mereka menjadi berani menentang kesakitan sebenar menghadapi pisau khatan yang akan menghiris sedikit daripada hujung kemaluan mereka sendiri. Tiada masalah kerana iman sudah tetap di hati.

Seterusnya, selepas nikmat bekalan air yang sudah semestinya terbaik buat mereka, Allah mengkhabarkan pula nikmat buah-buahan dalam syurga. Di dunia ini, walaupun ada pelbagai jenis kuih muih yang nampak enak-enak, lauk pauk yang pelbagai namun sudah semestinya tidak dapat menandingi kebaikan yang diberikan oleh buah-buahan ciptaan Allah. Buah-buahan tidaklah mengandungi bahan-bahan kimia, malah ia mesra sistem perkumuhan dan membekalkan bahan antioksida terbaik untuk sistem pemakanan dan penyaluran bekalan zat bagi manusia. Tiada kesan sampingan sehingga pepatah mengatakan “eat an apple a day, keep your doctor away”.

Di dalam syurga, buah-buahan itu tidak perlu dicari oleh orang yang beriman untuk memakannya. Malah, buah-buahan itu terus akan berada di tangan apabila tuannya terasa ingin merasai nikmatnya. Berbanding di dunia, pokok-pokok buah-buahan perlu ditanam terlebih dahulu, dipetik dan sebagainya. Paling mewah pun manusia masih perlu pergi ke pasar dan membeli untuk mendapatkan nikmat buah-buahan idaman.

Setelah begitu, di dalam syurga, Allah mengkhabarkan apabila terlintas sahaja di dalam hati ingin makan buah maka ia langsung ada di tangan, terkeluarlah ucapan dari mulut mereka “wah, buah-buahan ini seperti yang dahulunya ada di dunia, dan seolah-olah ia diberikan semula kepada kita di dalam syurga ini” padahal mereka tahu bahawa buah-buahan syurga itu lebih nikmat lagi. Tetapi, biasalah manusia, mereka kadang-kadang teringat peristiwa yang baik-baik yang telah dilaluinya.

Ini juga satu lagi sindiran sinis kepada ahli neraka bahawa mereka juga sudah pasti akan teringat nikmat buah-buahan di dunia, namun, apakan daya, mereka kini (pada hari itu) berada di dalam neraka yang penuh dengan azab-azab. Ingatan mereka kepada nikmat-nikmat dunia yang Allah pernah sediakan itu menjadi kenangan yang menambahkan lagi kesakitan padahal ia merupakan pertambahan nikmat kepada ahli syurga.

Kemudian pada akhir ayat 24 ini, Allah SWT mengkhabarkan di dalam syurga bahawa orang-orang beriman akan ditemani isteri-isteri (bukan hanya seorang isteri) yang suci dan tiada ruang langsung untuk mereka berlaku curang kepada suaminya. Ia jauh sekali dengan fenomena di dunia yang mana seorang suami mungkin akan merasa sangsi kepada isterinya dek kerana perasaan syak wasangka dan hati masing-masing yang dihasut syaitan.

Berkekalanlah manusia-manusia beriman itu di dalam syurga Allah yang dipenuhi nikmat-nikmat, manakala di sebelah sana, berkekalan jugalah ahli neraka yang dipenuhi azab siksaan.

Wallahu aklam.

*tulisan ini adalah ringkasan daripada isi kuliah tafsir di Masjid al-Mutaqqin Sarikei bertarikh 25 Disember 2010. Muslimin muslimat yang ada berdekatan dipersilakan hadir untuk sama-sama mengimarahkan masjid dan mendapat input yang lebih baik secara langsung selain daripada mempunyai ruang untuk bersoal jawab.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: