Adab berhias diri

KONSEP BERHIAS MENURUT ISLAM
Allah SWT itu indah, dan suka kepada keindahan. Manusia secara fitrahnya menyukai sesuatu yang cantik, indah dan kemas termasuk penampilan keperibadian yang baik. Selaras dengan itu Islam telah mengatur adab berhias diri sebagai panduan umatnya, merangkumi anggota fizikal, berpakaian, memakai bau-bauan, memakai perhiasan seperti emas, perak, batu permata dan sebagainya bertujuan supaya kelihatan lebih cantik dan menarik.

ADAB BERHIAS DIRI MENURUT ISLAM
Mandi: Mandi merupakan salah satu penjagaan kesihatan diri yang dianjurkan dalam Islam. Firman Allah bermaksud:… dan sesunggunya jika kamu berhadas maka bersucilah… (al-Maidah:6) Hukum mandi terbahagi kepada dua:
1. Mandi Wajib: Jika berhadas besar sama ada disebabkan persetubuhan, haid, nifas ataupun kematian.
2. Mandi Sunat: Seperti Mandi sunat hari Jumaat, Hari Raya, mandi selepas memeluk Islam dan mandi biasa yang diniatkan untuk membersihkan diri dengan tidak membazir air.

Gosok gigi: Suatu amalan yang dititikberatkan dalam Islam. Sabda Rasulullah saw bermaksud:  “Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah saw bersabda: Jika tidak memberatkan umatku, nescaya aku menyuruh mereka menggosok gigi setiap kali hendak solat”

Pakai bau bauan: Bagi kaum lelaki, hukumnya sunat apabila hendak ke Masjid. Manakala kaum wanita yang hendak keluar rumah atau berhadapan dengan bukan muhrim, haram memakai bau-bauan yang berlebih-lebihan yang boleh menarik perhatian mereka.

Sikat rambut: Suruhan membersih, menyikap dan memakai minyak rambut adalah jelas dalam Islam. Suatu ketika seorang pemuda hendak berjumpa dengan Rasulullah saw dalam keadaan rambutnya tidak terurus. Pemuda itu diminta mengemaskan rambutnya terlebih dahulu sebelum beliau dapat berjumpa dengan Rasulullah saw.

Potong kuku, cabut bulu ketiak dan bulu ari-ari: Tujuan Islam menyuruh umat Islam memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan bulu ari-ari ialah untuk menjaga kebersihan. Jika seseorang menyimpan kuku panjang ia merupakan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam kerana memberi kesan kepada pelaksanaan wudhu’.

Menghias muka: Allah swt telah menghiasi muka manusia dengan bulu kening dan bulu mata untuk menambah kecntikan seseorang sebagaimana firmannya dalam surah At-Tin yang bermaksud: “Sesungguhnya kami (Allah) menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baik kejadian”. Oleh itu setiap manusia wajib menjaga mukanya mengikut kehendak Allah dan Rasul-Nya. Sebarang perbuatan untuk mengubah suai anggota badan seperti mencabut atau mencukur bulu kening untuk menarik perhatian orang adalah haram.

Cara berpakaian: Umat Islam diharuskan memilih pakaian yang sesuai untuk menutup aurat. Seorang sahabat yang sangat suka berpakaian cantik telah menemui Rasulullah saw kerana beliau takut termasuk dalam perbuatan takbur. Lalu Rasulullah saw menegaskan bahawa menyukai pakaian cantik tidak tergolong dalam takbur bahkan ia adalah suatu  yang disukai Allah swt kerana Allah swt indah dan sukakan keindahan.

GARIS PANDUAN BERPAKAIAN MENURUT ISLAM
1. Berniat untuk menzahirkan dan mensyukuri nikmat Allah swt.
2. Bukan bertujuan berbangga diri.
3. Bertujuan untuk menutup aurat.
4. Tidak jarang yang menampakkan aurat.
5. Tidak ketat yang boleh memperlihatkan susuk tubuh badan.
6. Tidak menyerupai  pakaian upacara agama bukan Islam.

AMALAN BERHIAS DIRI YANG DILARANG DALAM ISLAM
1. Memakai emas, sutera tulin bagi lelaki.
Hukum memakai emas samada cincin, gelang, rantai, loket dan sebagainya dengan emas adalah haram. begitu juga haram hukumnya memakai sutera tulin. sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Daripada Abi Musa Al-Asy’ari r.a katanya, Sabda Rasulullah saw: Dihalalkan emas dan sutera untuk orang perempuan dikalangan kamu dan diharamkan ke atas lelaki”.

2. Berpakaian yang berlawanan jantina.
Wanita Islam diharamkan memakai pakaian yang meyerupai pakaian lelaki sehingga tidak dapat membezakan dengan golongan lelaki begitu juga sebaliknya bagi lelaki haram memakai pakaian yang menyerupai pakaian wanita. Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud: Daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah saw melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang perempuan yang menyerupai lelaki.

3. Menyambung rambut.
Dilarang menyambung rambut seperti menambah rambut dengan rambut yang lain samada palsu atau asli berdasarkan sabda Rasulullah saw yang bermaksud: Daripada Abi Hurairah r.a. Rasulullah saw bersabda: Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang diminta menyambung rambut dan Allah swt melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu.

4. Membuat tatu.
Membuat tatu atau membuat tanda pada anggota badan hukumnya haram. Contohnya melukis tanda tatu di muka, tangan atau di mana sahaja pada anggota badan dengan warna tertentu secara kekal kerana perbuatan itu dilaknat oleh Allah swt.

5. Pembedahan anggota badan untuk kecantikan.
Haram hukumnya jika melakukan pembedahan muka seperti pembedahan plastik untuk tujuan kecantikan atau supaya kelihatan lebih muda.  Harus hukumnya jika pembedahan plastik untuk tujuan mengembalikan fungsi anggota badan atau memulihkan kecacatan. Perlu diingat bahawa berhias diri adalah sebahagian daripada tuntutan Islam. Justeru itu kita hendaklah sentiasa memelihara penampilan diri supaya dapat menggambarkan keindahan dan kesempurnaan Agama Islam.

Persoalan : Adakah lelaki dibolehkan memakai gelang untuk tujuan perubatan? Baca komentar di sini.

Wallahu aklam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: