tinggalkan vs tak boleh

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Sebelum khatib naik mimbar untuk khutbah jumaat hari ni, Imam 1 menyapa ana “minta ustaz memberi tazkirah selepas jumaat, boleh?”. Memandangkan beliau berharap, ana anggukkan juga kepala tanda setuju walaupun satu perkataan yang berbentuk fakta belum dijana dalam minda. Usai jumaat nanti, apa yang Allah ilhamkan insyaAllah itu sahajalah yang akan ana kongsikan bersama-sama ahli jemaah. Mengharap.

Sebelum khatib berkhutbah, satu pengumuman telah dibuat dan seusai solat, ana dipersilakan untuk berkongsi tazkirah dalam masa 15 minit. Berdebar juga kerana ia akan dilakukan tanpa persediaan.

Selepas memulakan dengan mukadimah ringkas, ana menyentuh tentang konsep syukur kerana diberi peluang untuk bertemu dengan bulan Ramadhan tahun ini. Betapa Allah SWT sengaja memanjangkan umur kita semua sehingga sempat kita berpuasa dan menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan amalan-amalan sunnah Rasulullah SAW. Pada masa sama, mungkin ada rakan-rakan, sahabat handai, jiran malah ahli keluarga yang telah dijemput bertemu Allah sebelum tibanya Ramadhan.

Barangkali, Allah mengetahui bahawa dosa-dosa kita masih banyak. Jadi Dia memberi ruang dan peluang untuk kita sama-sama bertaubat. Membersihkan diri. Barangkali juga, dosa kita hampir tiada, tetapi dengan Rahmat kasih sayang Allah, kita diberikan ruang Ramadhan ini untuk mengangkat darjat kita. Barangkali sebelum ini puasa kita hanya pada peringkat awwam, kali ini akan ditingkatkan kepada khusus ataupun khususul khusus.

Barangkali juga Allah memanjangkan usia hingga kita bertemu Ramadhan kali ini kerana berkat doa-doa kita. Terutama dalam setiap rakaat solat kita memohon Allah SWT memberikan hidayah dan bantu untuk kita menambah iman dan taqwa (hidayah)pada umur kita yang masih berbaki (al-Fatihah: 5), maka Allah menerima dengan mengizinkan kita melakukan ibadah puasa setelah kita hanya bersolat sahaja sebelum Ramadhan.

Barangkali juga berkat doa ibubapa yang sejak dari kita di alam rahim, sejak dari janin ibu mendoakan agar Allah mengurniakannya seorang anak yang soleh. Maka untuk itu, dipanjangkan umur sehingga kita bertemu dan berpeluang mendidik diri. Atau barangkali ia adalah berkat doa guru-guru kita yang menginginkan pelajar-pelajarnya yang soleh, yang beramal dengan agama dan menjadi seorang insan yang taat.

Kemungkinan-kemungkinan yang disebutkan di atas adalah di antara asbab Allah membuka ruang untuk kita hari ini. Ia bukannya sekali kali kerana kita adalah kita. Bukan kerana hebatnya kita dan bukan kerana apa-apa. Semuanya kerana kehendak Allah yang apabila kita fikir-fikirkan dan sedari, maka akan lahirnya tahap kesyukuran dan keinsafan dalam hati. Betapa ruang untuk bertemu Ramadhan ini sepatutnya kita syukuri nikmatnya yang tidak terhingga. Beramal dalam bulan Ramadhan adalah suatu anugerah. Suatu yang patut disedari dan disyukuri. Syukur dengan sebenar-sebenar syukur.

Perkara kedua yang ingin dikongsikan adalah, Ramadhan adalah bulan yang difardhukan umat Islam berpuasa. Puasa yang sama sebagaimana telah difardhukan ke atas umat-umat terdahulu. Iaitu suatu ibadah “tinggalkan” bukan ibadah berbentuk “buat”. Ia kontra dengan ibadah-ibadah khusus yang lain. Seperti solat, ia adalah ibadah menyuruh kita buat solat. Dirikan solat. Begitu juga zakat, keluarkan zakat. Dan juga haji. Kerjakan haji. Tetapi puasa, kita disuruh “tinggalkan” makan, minum, lagha dan perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa yang lain.

Namun, malang sekali, dunia hari ini kadang-kadang mendidik kita bahawa, dengan berpuasa, kita tidak dapat makan, kita tidak dapat minum, tidak dapat itu dan tidak dapat ini. Akhirnya, ada minda nakal memikirkan “dalam agama, semuanya tak boleh!”. Subhanallah. Sebenarnya apa yang tidak boleh itu? Kenapa tidak boleh? Sedangkan mulut ada, makanan ada, minuman ada. Jika nak makan, boleh sahaja, makan sahaja.

Apakah puasa itu larangan daripada makan dan minum, atau menafikan perbuatan makan dan minum, ataupun sebenarnya menggesa kita meninggalkan sekejap perbuatan makan dan minum itu kerana taat perintah Allah?

Konsep “tinggalkan” dan konsep “tak boleh” itu banyak bezanya. Kita tinggalkan perkara yang kita pernah buat dan benda yang kita ada. Seorang suami, meninggalkan isterinya buat sementara waktu kerana urusan kerja. Kemudian beliau akan pulang semula. Atau jika tidak pulang pun, contohnya bercerai, itu juga dikirakan tinggal. Perbuatan meninggalkan sesuatu, mestilah sesuatu itu pernah hadir dalam hidup seseorang. Semua orang ada pengalaman makan, minum. Jadi dengan puasa, kita disuruh meninggalkan sementara perbuatan-perbuatan itu kerana taat kepada suruhan Allah.

Berbeza dengan “tak boleh”. Contoh orang yang tak pernah pandu kereta, ia tidak boleh pandu kereta kerana tidak mahir, tiada lesen, tiada keberanian dan sudah semestinya tidak ada pengalaman memandu. Ada yang memiliki lesen, tetapi tidak boleh memandu kereta orang pula. Jadi, konsep tidak boleh sangat dibenci oleh jiwa manusia kerana ia adalah sekatan yang mutlak, bukan bersifat sementara berbanding konsep “tinggalkan” seketika.

Jadi barangkali Allah SWT selaku pencipta tubuh badan dan jiwa manusia itu Maha Mengetahui akan keperluan manusia itu sendiri. Allah mengetahui sekiranya nafsu manusia itu ditinggalkan sekejap, kemudian dilepaskan semula, maka keseronokan dan kegembiraan yang tidak terhingga akan dinikmati oleh mereka. Sebab itu juga barangkali, pepatah mengatakan “sayangkan isteri tinggal-tinggalkan”. Kerana apabila suami isteri yang terpisah akan merasai seolah-olah dikahwinkan semula apabila mereka kembali bertemu.

Begitu juga dengan berbuka puasa. Gembira tidak terkatalah manusia yang sungguh-sungguh berpuasa. Benarlah apa yang disabdakan Rasulullah SAW “Dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, satu daripadanya ketika berbuka dan satu lagi apabila mereka bertemu Tuhannya di akhirat”. Sengaja Allah dahulukan kegembiraan yang pertama bagi memberi isyarat kegembiraan yang kedua itu juga pasti. Mereka pasti gembira bertemu Allah. Begitu juga hari raya, gembira sungguh manusia pada hari itu kerana diizinkan makan minum semula pada waktu siangnya.

Jadi hidup di dunia ini, ada perkara-perkara yang Allah suruh tinggalkan sekejap, kerana walaupun fitrah mengkehendakinya, tetapi Allah akan sediakan yang lebih lagi di akhirat. Kerana banyak sebab yang hanya Allah mengetahuinya. Mungkin binaan fizikal manusia di dunia ini tidak mampu seperti mata tidak mampu melihat benda-benda yang halus, jauh dan sebagainya. Masakan mampu melihat zat Allah.

Jadi, Ramadhan, sebuah bulan yang menggesa konsep “tinggalkan sekejar, tunggu sebentar” sebenarnya mengajar manusia bersabar. Dan menikmati hasil sabar itu sendiri. Di dunia ini dan lebih-lebih lagi di akhirat. Dengan itu juga Ramadhan sebenarnya mengajar manusia yakin dengan janji-janji Allah di akhirat. Ramadhan akan lahirkan manusia yang benar-benar takut dan harapkan Allah semata-mata. Tidak lain dan tidak bukan.

Kemudian ana akhiri tazkirah ringkas dengan kata-kata ingatan kepada diri sendiri terutamanya agar memperbanyakkan membaca al-Quran kerana Ramadhan bulan big Sale pahala al-Quran. Jika tak mampu nak baca ayat-ayat dari surah yang panjang-panjang, eloklah jika pada saat kita teringat bulan ini bulan al-Quran, maka kita membaca ayat-ayat atau surah-surah mudah yang telah dihafaz.

Begitu juga dengan doa. Pada bulan ini, Allah menjanjikan doa dimakbulkan. Jadi, perbanyakkan berdoa. Tiada semestinya dalam bahasa Arab, niat dan hasrat dalam hati juga boleh dianggap doa. Pasanglah niat sentiasa agar diri dan jiwa akan mudah patuh kepada suruhan Allah, agar fizikal lembut dan ringan untuk tunduk dan patuh, untuk solat, untuk menolong orang dan sebagainya.

Semoga Ramadhan ini benar-benar mendidik dan menghapuskan dosa-dosa kita. InsyaAllah.

Wallahu aklam.

Advertisements

1 Komen (+add yours?)

  1. luahfikiran
    Ogo 19, 2011 @ 23:14:30

    SALAM,
    SINGGAH KALI PERTAMA DAN INSYAALLAH AKAN DATANG LAGI. SELAMAT BERIBADAH BULAN RAMADHAN DAN BULAN2 SETERUSNYA

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: