Ekspo Inovasi Pendidikan (EIP) 2011

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Syukur alhamdulillah dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpahan kurnianya, ana bersama dua lagi sahabat dari JAPIM (Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan) berpeluang menyertai Pertandingan Inovasi sempena Ekspo Inovasi dan Penyelidikan (EIP 2011) yang bertempat di Dewan Bendahara, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut Terengganu pada hari ini.

EIP 2011 kali ini mendapat sambutan yang sangat menggalakan apabila sejumlah 64 penyertaan dalam empat kategori dipertandingkan. Kami (ana, ust Mohd Kamil diketuai ust Mohd Yusri) dipertanggungjawabkan mewakili JAPIM dalam kategori Inovasi dalam Teknologi Pendidikan.

Inovasi ini sebenarnya merupakan usaha berterusan ke arah memartabatkan semula pengaruh al-Quran al-Karim ke atas usaha mengajar dan belajar bahasa Arab. Idea shahid al-Quran ini dicetuskan oleh mantan murshid sewaktu ana menuntut di Jordan (Prof Dr. Abdul Kadir al-Saadi). Ingat lagi, dengan perasaan lemah ana melangkah masuk ke bilik Dr. Saadi memohon sedikit tunjuk ajar dalam memilih tajuk Latihan Ilmiyah (masyruk takharruj) kerana pada masa itu kebanyakan rakan telah memilih tajuk masing-masing.

Berkat nasihat seorang guru yang murshid, alhamdulillah ana dapat menyiapkan sebuah laporan kajian untuk Latihan Ilmiyah dengan tajuk “al-Shahid al-Qurani fi Kitab Sharh Ibn Aqil”.

Mendapat inspirasi tambahan daripada kata-kata sayyid Qutb dalam mukadimah kitabnya “tafsir fi Dzhilal al-Quran” yang menyatakan bahawa: Kehidupan di bawah naungan al-Quran itu adalah suatu nikmat, iaitu nikmat yang tidak pernah dirasai kecuali oleh mereka yang telah merasainya.

Rentetan dari itu, ana terus menyusuri perbahasan shahid al-Quran di peringkat disertasi Sarjana dengan tajuk: Penggunaan shahid al-Quran dalam Kitab Sharh Ibn Aqil dan Kitab Sharh Qatr al-Nada wa Ball al-Sada, Bab al-Marfuat: Satu Kajian Bandingan. Alhamdulillah, berkat tunjuk ajar penyelia berwibawa Dr. Kaseh, disertasi berkenaan berjaya mendapat kelulusan.

Oleh kerana terlalu ingin menyahut seruan untuk terus memperjuangkan bahasa Arab al-Quran, dan dengan semangat yang kembali dicetuskan oleh al-Ansari (1984) dengan teori beliau yang terkenal “Teori Nahu al-Quran” maka atas nasihat penyelia juga, sebuah artikel telah dihasilkan daripada disertasi tersebut dan diterima untuk diterbitkan dalam Jurnal Gema Online edisi 2011.

Seterusnya dengan ruang yang tersedia dalam seminar penyelidikan anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan pada bulan Mei 2011, sekali lagi ana memberanikan diri berkongsi dengan masyarakat ahli akademik sekalian sebuah artikel kajian dengan tajuk “Aplikasi shahid al-Quran Membitarakan Ibn Hisham”.

Dan sehingga ke hari ini, alhamdulillah dengan semangat untuk berkongsi rasa memperjuangkan teori atau pendekatan menggunakan al-Quran secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di sekolah-sekolah dalam negara kita, ana memberanikan diri mengajak dua orang sarjana hebat dari Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (al-Fadhil ust Yusri dan ust Kamil) untuk sama-sama mengetengahkannya dalam bentuk Inovasi Pendidikan pula.

Syukur alhamdulillah, walaupun hanya berjaya mendapat Anugerah Pingat Gangsa dalam pertandingan hari ini, kami semua bersyukur kerana usaha yang sedikit ini mendapat perhatian para hakim yang arif lagi bijaksana, para rakan peserta dan juga tidak ketinggalan para hadirin yang ramai mengunjungi booth kami.

Oleh yang demikian pada kesempatan ini, ana titipkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada kedua-dua rakan penyelidik (ust Yusri dan ust Kamil) atas sokongan dan bantuan yang tidak ternilai oleh tulisan dan ucapan kata-kata. Begitu juga kepada seluruh ahli jabatan JAPIM IPGKSM yang sudi berkongsi idea bagi memantapkan lagi penyertaan “GSQ-GAYA SHAHID AL-QURAN” dalam pertandingan yang julung kali ana sertainya hari ini.

Tidak dilupakan kepada guru-guru J-QAF SK Pasir Akar, Jerteh, SK Pusat Jerteh terutama al-Fadhil ustaz Zaki (SK Sri Payong, Jerteh Terengganu) serta anak-anak muridnya yang sudi menjadi bahan ujikaji dalam projek yang kecil ini. Juga tidak dilupakan kepada GB-GB sekolah-sekolah berkenaan yang sudi memberi izin untuk kami semua berkunjung menjalankan ujian pra dan pasca.

Seterusnya terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam memberikan suntikan semangat kepada kami di JAPIM, termasuk para pelajar PAI-KSM dan warga KSM sekalian. Begitu juga isteri dan anak-anak kami yang tercinta. Semoga usaha ini dapat dijadikan sumber inspirasi.

Secara peribadi, ana tidaklah mengutamakan kepada apa-apa anugerah. Namun, perhatian semua pihak terhadap perjuangan kami ini, itulah sebenarnya yang kadang-kadang menjadikan sekeping hati menjadi terharu lalu menyatakan syukur. Sayanglah, sekiranya hari-hari anak-anak kita mempelajari bahasa Arab tetapi, secara tidak sedar, mereka sedang dijauhkan daripada sumber dan tujuan hakiki mempelajari bahasa Arab iaitu untuk khidmat kepada agama, untuk memahami sedikit sebanyak kandungan al-Quran yang sepatutnya dijadikan keutamaan dalam setiap ruang lingkup kehidupan muslim seharian.

Semoga nanti kita belajar bahasa Arab bukan semata-mata untuk boleh ucap selamat pagi, selamat malam, jom makan dll (in Arabic) sahaja. Bukannya dekat pasar atau supermarket area kita ada orang cakap arab pun. Dan paling menyedihkan, orang arab pun tidak bangga cakap Arab Fusha. Jadi, apakah tujuan sebenar kita, anak-anak kita, orang Islam belajar bahasa Arab? Dan apakah perasaan kita sekiranya kita buka sumber pengajaran bahasa Arab dengan tidak ada satu patah perkataannya pun dikaitkan dengan al-Quran?

Sebahagia daripada penyertaan EIP 2011

Bahasa Arab GSQ

Projek ini berbentuk inovasi bahan pengajaran dan pembelajaran yang akan menggunakan shahid al-Quran sebagai bahan sokongan alternatif kepada bahan sedia ada. Inovasi ini menyingkap penggunaan shahid al-Quran sebagai medium utama dalam amalan pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa Arab. Ibn Hisham telah mengadaptasikan teori aplikasi shahid al-Quran dalam pengajaran tatabahasa Arab dan telah berjaya  mengangkat darjat beliau sehingga diiktiraf bitara tersohor melebihi pengiktirafan yang diberikan kepada sarjana lain dalam bidang tatabahasa Arab pada zamannya.

Inovasi ini melibatkan dua fasa. Fasa pertama adalah penyediaan bahan berbentuk shahid al-Quran yang mengandungi perkataan-perkataan yang disukatankan kepada pelajar mengikut Tahun. Fasa Kedua adalah pembinaan Model Pengajaran dan Pembelajaran untuk diaplikasikan di Sekolah-sekolah pilihan. Model Pengajaran ini telah dilaksanakan di tiga buah Sekolah di daerah Besut iaitu, Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh, Sekolah Kebangsaan Pasir Akar, Jerteh dan Sekolah Kebangsaan Bukit Payung, Besut Terengganu.

Hasil inovasi ini mendapati guru-guru yang terlibat lebih mudah dan bersemangat mengajar Bahasa Arab kerana shahid al-Quran telah memotivasikan mereka. Kesemua guru yang terlibat menyatakan bahawa murid-murid lebih menghayati perkataan yang diajar kerana adab  terhadap al-Quran membuatkan mereka lebih memberi perhatian dan tidak bermain-main. Bagi murid-murid pula 86% berpendapat shahid al-Quran lebih membantu mereka memahami perkataan yang diajar dengan lebih tepat dan sesuai penggunaannya, 14% merasakan mereka suka kepada kepelbagaian bahan yang digunakan.

Dari sini pengkaji merasakan penggunaan Shahid al-Quran adalah satu inovasi yang amat positif dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di Peringkat Sekolah Rendah dan boleh dikembangkan ke peringkat Sekolah Menengah dan seterusnya.

Advertisements

2 Komen (+add yours?)

  1. afnan faiz ridzuan
    Okt 12, 2011 @ 12:38:46

    tahniah ust..teruskan usaha dan niat murni ust..semoga Allah memudahkan dan membalas dgn ganjaran pahala yg berterusan..jadikan hadis nabi 3 perkara yg tidak terputus walaupun kita telah meninggal dunia sebagai inspirasi ust utk terus memperjuangkan bahasa arab..

    IR: jazakallah atas sokongan..

    Balas

  2. Faiz Ezra
    Okt 16, 2011 @ 15:20:07

    Subhanallah

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: