Tahun 2012 Miladi

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Pagi ini, sempat berbual-bual dengan seorang ‘orang tua’ di kampung. Bertanya khabar dan bertukar-tukar pandangan dan mengambil nasihat serta pengajaran daripada kata-katanya.

Sambil mengeluh, beliau menyatakan “ermm.. lepas setahun, setahun masa berlalu begitu sahaja”.

“Berlalu begitu sahaja ke pakcik?” ana menyampuk.

“Ya lah, kita sekarang tak rasa apa pun, buat baik setahun pun dirasakan sama je dengan tak buat apa satu. Kecuali orang ada iman, mereka suka berbuat baik dan sabar menunggu balasan daripada kebaikan.” Tambahnya menghurai.

“Tak fahamlah pakcik” ana merangsangnya lagi.

“Mu rasa ke? Umur mu brapa? (ana mencelah dengan jawapan “dekat 40 tahun”). Aku hampir 70 tahun, tapi mu dan aku bila memberitahu 40 tahun ke, 50 tahun ke, 70 tahun ke… hanya memakan masa 1 saat saja” beliau cuba mengajak untuk mendalami jiwanya.

Ana meneruskan diam.

“Cuba mu bayang, di akhirat, mereka bertanya-tanyakan di antara satu sama lain. Mu hidup dulu di dunia berapa tahun? Mu? Aku banyak ni, mu banyak ni, dia banyak ni… subhanallah.. benarlah Allah bagitau.. kehidupan dunia ni hanyalah permainan dan benda lalai belaka” (memetik mafhum ayat alquran surah al-An’am:32). Sama sahaja mu bagitau aku umur mu 40 tahun dan aku 70 tahun ni. Perasaan kita berdua untuk dua nombor itu sama sahaja. Iaitu sekejap, semeta, rasa baru tadi sahaja umur mu 40 ke 70 ke.. Betul tak? ke Mu rasa lagu mana?” Panjang huraian pakcik itu kali ini.

“Rasa macam betul juga pakcik” jawab ana selamba.

“Ha, itulah.. kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Kalau mu tak ada iman, dan tidak ada amal soleh, dan kalau mu perhati umur mu.. maka mu tak rasa apa. Rasa dirimu kosong. Mu rasa malu menumpang hidup di bumi tuhan, makan rezeki tuhan, hirup udara tuhan.. tapi umur mu sia-sia kerana banyak maksiat.. ermmm kalau tak ada maksiat pun, kerana mu tak ada apa-apa (pahala hasil dari perbuatan mu yang sia-sia selama umur yang diberi)”.

“Ya pakcik”. Ana tak ada hujah nak kongsi. Rasa macam pakcik ni lagi tinggi penghayatan ilmunya walaupun pada zahir beliau tidak memiliki segulung ijazah, tiada master mahupun phd. “Lepas tu apa nak buat pakcik?” itu sahaja yang mampu diluahkan. Ada rasa menyesal juga dalam nada aku menyuarakan itu.

“Aku tengok anak muda loni (hari ini) sudah tidak kenal hidup. Tidak tahu kenapa tuhan jadikan dia tu. Teladan orang tua tidak dipedulikan. Kalau ada yang menegur pun dilawannya. Bukan tegur apa pun, tegur suruh sembahyang, suruh cakap baik, buat baik”.

“Mereka hilang punca kerana mereka tak renung masa yang tuhan berikan untuk mereka. Bila tiba tahun baru, melalak sana, berhibur sini. Subhanallah.. ada majlis pula tu untuk sambut tahun baru. Sekarang ni cuti pun diberikan. Tapi, pengisian untuk mereka kenal apa itu masa, kenapa tuhan bagi kepada mereka itu masa, tak ada”. Mungkin beliau merujuk kepada anak-anak muda yang jarang meluangkan masa dengan orang tua untuk mendengar nasihat mereka. Sebenarnya disamping program-program hiburan, ada juga program pengisian, cuma ia tergantung kepada mereka lah, nak “follow” mana satu (tapi suara ini tidak keluar, takut beliau terasa hati).

Akhirnya, ana ambil kesimpulan bahawa, orang tua sebenarnya mereka banyak rasa, banyak pengalaman, banyak yang mereka nak kongsikan dengan kita jika kita bijak merangsang. Banyak yang boleh diambil daripada orang-orang tua terutama mereka yang melazimi masjid dan surau untuk berjemaah. Luangkanlah masa berborak dengan mereka kerana ia tidak sedikit pun mengurang power ijazah sarjana muda, sarjana mahupun phd kita.

Jangan terlalu asyik nak memberi sahaja kepada orang tua. Ambil juga masa untuk menerima daripada mereka. Hidup ini memberi dan menerima. Hikmah itu ada di mana-mana. Dan sesiapa yang diberikannya hikmah, maka ia telah dianugerahkan dengan benda yang paling bernilai di dunia ini.

Balik ke rumah, ana sempat juga mengjenguk ayat-ayat al-Quran berkaitan dengan kehidupan dunia. Ada tiga ayat Allah berhubung dengan perkara itu.

al-An’am:32.  Dan tiadalah kehidupan dunia ini, melainkan permainan dan senda gurau belaka iaitu kesenangan-kesenangan yang sementara dan tidak kekal. janganlah orang terperdaya dengan kesenangan-kesenangan dunia, serta lalai dari memperhatikan urusan akhirat. Kerana sesungguhnya akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu memahaminya?

Muhammad:36.  Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Sekiranya kamu beriman dan bertakwa, Allah yang akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta dari harta-hartamu.

al-Hadid: 20.  Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah di antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak pinak, Ia seperti hujan yang menyuburkan tanaman-tanaman yang mengagumkan para petani; Kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning Kemudian menjadi hancur. Sedang yang menunggu di akhirat (nanti) sama ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. dan kehidupan dunia Ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.

Ayat-ayat di atas adalah mengikut susunannya dalam al-Quran. Cuba kita semua perhatikan, pada ayat yang pertama Allah memberikan peneguhan dengan ayat nafi (wa ma), bahawa kehidupan dunia ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah seumpama tenpoh kanak-kanak bermain (seketika sahaja).

Ayat yang kedua, nampak lebih fokus. Iaitu Allah menghendaki manusia lebih serius dengan kenyataanNya bahawa dunia ini hanyalah tempat permainan dan sementara. Lalu Allah gunakan ‘inna’ dan ‘ma yang dinamakan dalam bahasa Arab sebagai kafah makfufah’. Ia memberi maksud demi sesungguhnya, tidak ada kenyataan yang sebaliknya bahawa dunia ini hanyalah tempat permainan yang seketika.

Lalu dalam ayat yang ketiga, Allah mendahului kenyataanNya dengan gesaan agar manusia mengetahui “I’lamu” iaitu “ketahuilah”. Pada masa ini, Allah menarik perhatian manusia bahawa Dia yang Maha Menciptakan itu ingin memberikan manusia yang dijadikannya itu, ILMU. Ketahuilah bahawa dunia ini (sebagaimana ayat yang diterjemahkan di atas).

Rujuklah kitab-kitab tafsir untuk lebih memahami. Semoga perkongsian bermanfaat. Wallahu aklam.

Advertisements

1 Komen (+add yours?)

  1. MAISARAH BINTI MAT DAUD
    Jan 05, 2012 @ 23:59:30

    sedih sgt……rasa pnyesalan pun ada…bila kita sembang dgn org tua2 mcm 2la,byk input yg dapat kita ambil wat pngajaran dan mereka memberi kita ruang untuk kita berfikir……tp org2 muda sekarang ,bila org tua ckp dia dgr tp xberamal dgn ap yg dia tahu….smpaikan ad setengah org tua 2 dia cakap kering jer nasihat kat org muda zaman sekarang…sy ni cetek ilmu,jjika tersilap dlm komen ni tlg bgtau balik,sekadar berkongsi,,,

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: