HUKUM SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Seperti yang telah diketahui, perayaan Maulidur Rasul ini merupakan satu perayaan yang kontroversi. Para ulama’ dulu dan kini berbeza pendapat tentang hukum kebolehan menyambut Maulidur Rasul ini. Pada kesempatan ini, akan dilampirkan hujjah kedua-dua belah pihak setakat mana yang mampu dikumpulkan. Melalui cara ini, kita dapat menilai sendiri yang manakah mempunyai hujah yang kuat. Dan insya Allah, kita akan berada di jalan yang benar.

HUJAH PENENTANG MAULIDUR RASUL
Berikut antara pendapat mereka yang menentang sambutan Maulidur Rasul bersertakan hujah-hujahnya:

1) Nabi Muhammad SAW tidak pernah merayakan atau menyuruh umatnya untuk merayakan hari kelahirannya. Nabi SAW telah menekankan agar jangan memperbesarkannya sepertimana orang Nasrani memperbesarkan Nabi Isa as. Ini dijelaskan di dalam hadis riwayat Bukhari: “Jangan memperbesarkan mengenai aku seperti Kaum Nasrani memperbesarkan mengenai anak Maryam. Aku hanyalah hamba, jadi katakanlah, ‘hamba Allah dan pesuruh Nya.”(Au kama qala al-Nabi)

Namun, terdapat athar pula yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyuruh agar umatnya menjadikan hari kelahirannya satu hari untuk beribadat, perkara tersebut difahami sebagai berbeza dengan perayaan. Bertepatanlah dengan hadis di bawah: Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata: Nabi (s.a.w.) telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin lalu baginda bersabda: “Di hari tersebutlah aku dilahirkan dan di hari tersebut jugalah aku diutuskan.”

2) Terdapat hadis yang menegaskan hukum haram melakukan penambahan dalam ibadah yakni yang tidak dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda : “…Dan hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu adalah sesat“ . [Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud]

3) Para sahabat Rasulullah SAW dan juga umat Islam pada tiga abad selepasnya juga tidak pernah merayakan Maulidur Rasul ini walaupun merekalah orang yang lebih mencintai Rasulullah saw berbanding umat Islam yang terkemudian. Hadis Imran bin Husain r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya yang terbaik dari kalangan kamu ialah sezaman denganku, kemudian orang yang hidup selepas zaman aku, setelah itu orang yang hidup selepas mereka.

Imran berkata: Aku tidak mengetahui kenapakah Rasulullah s.a.w menyebut selepas kurunnya, sebanyak dua atau tiga kali. Selepas itu datang satu kaum yang di minta memberi penyaksian tetapi tidak di beri penyaksian, yang berkhianat sehingga tidak boleh dipercayai, yang suka bernazar tetapi tidak melaksanakannya dan sukakan kemewahan.

Perayaan Maulid Nabi ini datang beberapa abad kemudian (selepas tiga kurun terbaik tersebut), yang mana ciri-ciri Agama Islam yang sebenar pada masa itu sudah hilang dan bid’ah (pertambahan dalam perkara ibadah) pula telah berleluasa.

4) Allah berfirman di dalam Al-Quran: Katakanlah, “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” Katakanlah, “Taatilah Allah dan Rasul-Nya; Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir”. (QS. 3:31-32)

Ayat-ayat al-Quran ini menerangkan cara menunjukkan kasih sayang yang sebenar yang patut dilakukan kepada Rasulullah saw. Ayat yang pertama di atas menjelaskan bahawa cinta itu hanyalah pengakuan, tetapi yang membuktikannya ialah; menuruti apa yang Rasulullah saw bawakan. Manakala ayat kedua menekankan kepentingan dalam menuruti kehendak Allah dan Rasul-Nya. Allah menyudahi ayat di atas dengan ancaman yang keras bahawa sesiapa yang tidak mahu mentaatinya adalah kafir dan Allah tidak mencintai orang-orang kafir.

5) Dalam al-Quran juga Allah telah menegaskan tentang perkara ibadah yang mana telah sempurna pada zaman Rasulullah SAW lagi. Umat terkemudian sepatutnya mengikuti segala pakej ibadah Baginda tanpa perlu kepada penambahan-penambahan. Firma Allah “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agamamu” (QS. 5:3)

Firman Allah lagi “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (QS. 33:21)

6) Kata-kata sahabat Rasulullah saw:

  • Huzaufah Ibnu Al-Yamaan ra berkata : “Setiap ibadah yg tidak dilakukan oleh sahabat Rasulullah saw, maka janganlah melakukannya”
  • Dan berkata Ibnu Mas’ud :”Ikutlah (sunnah) dan jangan menambah, dan telah cukup bagi kamu – perbuatan yg lama (kekal dengan cara lama)”

HUJAH MEMBOLEHKAN MAULIDUR RASUL
Antara ulama’ yang menyokong akan Maulidur Rasul ialah Imam Jalaluddin al-Suyuti, Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan lain-lain seperti berikut:

Imam Jalaluddin al-Suyuti berpendapat: “Ibadat macam itu adalah Hasanah (amalan baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia”.

Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan pula menyatakan: “Telah berlaku kebiasaan bahawa apabila orang mendengar kisah Nabi dilahirkan, maka ketika Nabi lahir itu mereka berdiri bersama-sama untuk meghormati dan membesarkan Nabi Muhammad saw. Berdiri itu adalah hal yang mustahsan (baik) kerana dasarnya ialah membesarkan Nabi Muhammad saw dan sesungguhnya hal serupa itu telah banyak dikerjakan oleh ulama-ulama ikutan umat”

Syeikh Atiah Saqr pula menambah: “Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk menyambut maulid al-Rasul. Apatah lagi di zaman ini pemuda pemudi Islam semakin lupa dengan agama dan kemuliannya. Perlu juga diingat sambutan tersebut janganlah dicemari oleh perkara-perkara haram dalam syariat. Seperti pergaulan antara lelaki dan wanita tanpa batas. Kita juga tidak sewajarnya menjadikan sambutan ini sebagai satu tradisi yang khusus, sehingga timbul dalam kefahaman masyarakat, jika sesuatu acara tidak dilangsungkan maka seseorang itu dikira telah berdosa dan melanggar syariat pula.”

Syeikh Yusuf Qardawi juga telah memberi komen mengenai maulid ini. Beliau berkata(ringkasan): “Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah saw tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah saw. Ini adalah kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah saw dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah saw itu kekal di dalam hati dan juga ingatan. Sa’d bin Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan perihal mengenai Rasulullah saw kepada kanak-kanak sama sepertimana keghairahan mereka mendidik anak-anak itu tentang Al-Quran. Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah saw, maka tidak perlulah mereka merayakan sepertimana dirayakan Maulid ar-Rasul pada masa kini.

Walaubagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya. Dengan itu, perayaan Maulid Rasul ini diadakan bertujuan untuk mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah saw masih hidup. Tetapi malangnya, Maulid Rasul ini telah bercampur dengan amalan  yang ditentang oleh Islam.

Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam bawaan semula Baginda SAW. Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara melanggar syariat. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan sejarah kesucian, keagungan, pemerintahan Islam sebagaimana bawaan Rasulullah SAW”

Berikut pula adalah antara dalil-dalil yang menjadi hujah bagi yang membolehkan Maulid:
1) Allah berfirman: “maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) mereka itulah yang beruntung.” – Al-Araf: 157 Keterangan: Tujuan maulud diadakan adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad saw. Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.

2) Firman Allah: “Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah.”-Ibrahim. Ayat 5. Keterangan: Al-Baihaqi di dalam “Syakbu al-Iman” daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi saw, sesungguhnya baginda menafsirkan ‘hari-hari Allah’ ialah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani menjelaskan lagi dengan katanya “kelahiran Nabi saw merupakan nikmat yang paling besar.”

3) Bahawasanya Nabi Muhammad saw datang ke Madinah maka beliau mendapati orang-orang yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu: “Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?” Jawab mereka: “Ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Firaun dan pada hari serupa itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan.” Maka Nabi SAW berkata: “Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu.” – [Riwayat Bukhari dan Muslim.]

Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Sharh al-Bukhari yang bernama Fath al-Bari berkata:  dari hadis ini dapat dipetik hukum: – Umat Islam dibolehkan bahkan dianjurkan memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari maulud, mi’raj dan lain-lain. – Nabi pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa Asyura sebagai bersyukur atas peristiwa hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak (kebenaran)

4) Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata: Nabi (s.a.w.) telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin lalu baginda bersabda: “Di hari tersebutlah aku dilahirkan dan di hari tersebut jugalah aku diutuskan.” Keterangan: Rasul saw menegaskan kelebihan hari kelahirannya berbanding hari-hari lain. Oleh itu setiap mukmin sewajarnya berlumba-lumba beramal dan bersyukur dengan kelahiran baginda saw yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

Di Malaysia, hari kelahiran Nabi Muhammad SAW (Maulid al-Nabi) telah diisytiharkan sebagai cuti umum. Langkah ini adalah wajar bagi memberi ruang umat Islam di negara ini melakukan muhasabah yang membangkitkan lagi rindu, cinta untuk mengikuti segala yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW (syariat Islam).

Amat malang bagi mereka yang hanya menjadikan cuti umum tersebut semata-mata bagi mencukupkan (qada) tidur, bahkan teramat malang bagi mereka yang memenuhinya dengan pelbagai perkara maksiat, atau menganjurkan program pembuka maksiat iaitu dengan membuka ruang pecampuran (ikhtilat) antara muslim lelaki dan wanita.

Salam maulid al-Rasul SAW untuk semua khas dari IbnRajab Online. Semoga dengan ini akan bertambah kecintaan kita semua kepada Baginda SAW, akan bertambah jugalah keimanan kita terhadap apa yang dibawakan oleh Baginda sebagai rahmat sekalian alam, dan juga akan bertambahlah kesedaran kita semua untuk sama-sama memperjuangkan amanah Allah yang pernah dipikul oleh Baginda SAW.

Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak meninggalkan kita begitu sahaja tanpa tugasan, Baginda telah meninggalkan tugas yang telah memuliakan umatnya berbanding umat-umat terdahulu, iaitu ‘dakwah fi sabilillah’. Usaha dakwah (mengajak semua manusia ke arah memperbanyakkan yang makruf [baik, benar dan hak] dan meninggalkan yang mungkar [dosa, maksiat dan sesat] hendaklah dipikul bukan sahaja oleh ahli-ahli yang berkelayakkan sijil agama (ustaz, ustazah, imam, kadi, hakim syarie dll) tetapi ia adalah tanggungjawab setiap muslim lelaki dan muslimah wanita dalam kadar bidang tugas dan peranan masing-masing.

Dan, peranan ahli-ahli dalam bidang agama itulah yang sepatutnya menjadi teladan. Tiada teladan pula lah, sekiranya ahli-ahli berkenaan tidak berfungsi.

Wallahu aklam.

Advertisements

6 Komen (+add yours?)

  1. abu hasan al-asya'ri
    Apr 01, 2010 @ 18:00:43

    salam,

    bolehla sambut maulid..

    IR: w’salam. insyaAllah..

    Balas

  2. Trackback: 12 Rabiul Awwal – Ittiba’ « IbnRajab Online
  3. Trackback: Selawat dan salam buat Baginda Al-Rasul « IbnRajab Online
  4. abdullah abdur rahman
    Jan 13, 2014 @ 12:07:35

    KALAU NABI SAW DAN SAHABAT-SAHABAT BAGINDA TIDAK PERNAH MERAYAKAN / MAULID NABI, BERMAKNA TIADA DALIL. DALIL-DALIL YANG DIBERI DIATAS ADALAH DALIL BUAH FIKIRAN SESEORANG, YANG TIDAK BOLEH DIJADIKAN HUJAH UNTUK MENGAMALNYA. CARA MENUNJUKKAN KECINTAAN TERHADAP RASULULLAH SAW IALAH MENGAKKAN SUNNAH BAGINDA SAW, BUKANNYA MELAKUKAN AMALAN YANG TIDAK PERNAH BAGINDA SAW LAKUKAN.

    IR: barakallahu fik

    Balas

  5. K Zul
    Jan 14, 2014 @ 18:49:36

    setuju dengan keterangan En. abdullah abdur rahman.

    Balas

  6. K Zul
    Jan 14, 2014 @ 18:52:45

    Yang mulakan sambutan maulidul rasul ini ahli syiah bukan sunnah al jamaah

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: