Sifat kesian

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia serta nikmat-nikmatNya yang tidak terhingga. Mudah-mudahan kita semua sentiasa dipayungi rahmat dan kasih sayang Allah sehingga ke hari perhitungan di padang mahsyar kelak. Hari yang tidak ada manfaat padanya oleh harta benda dan anak pinak melainkan mereka yang berhati sejahtera, yang mengharapkan hanya kepada rahmat Allah yang Maha Esa lagi Maha Kaya.

Kesian atau perasaan belas kasihan merupakan salah satu sifat yang terbit daripada sifat-sifat Allah yang Maha Agung. Iaitu sifat al-Halim. Allah kasihan kepada hamba-hambaNya lalu diutuskan Rasul selepas Rasul bagi memandu manusia. Tidak cukup dengan itu, Allah sediakan pula panduan iaitu kitab-kitab. Allah kasihan kepada hamba-hambaNya lalu Dia menyembunyi segala perbuatan buruk seseorang, tidak ada yang tahu melainkan dirinya dan Allah SWT sahaja. Allah juga sayang kepada hamba-hambanya yang beriman, taat dan patuh kepada segala peraturanNya di dunia ini. Dengan itu mereka akan disayangi oleh Allah, di dunia ini dengan dianugerahkan hidayah taufiq (pedoman ke arah kebaikan; yang pertama sekali adalah agama Islam itu sendiri, yang keduanya adalah Iman) dan juga di akhirat iaitu Allah akan menempatkan mereka ke dalam syurga yang dipenuhi dengan nikmat-nikmat.

Isu
Apabila manusia hilang sifat kesian atau belas kasihan samada sesama manusia atau makhluk yang lain, maka Allah juga tidak akan kasihan padanya. Hal ini jelas sebagaimana maksud Hadith “Sesiapa yang tidak mengasihi maka tidak akan dikasihi”. “Sesiapa yang tidak mengasihi ahli (isi) di bumi, maka dia tidak akan dikasihi oleh ahli di langit (Allah dan para malaikatNya)”.

Sebagai contoh, seorang pencuri yang memang sudah tidak ada sifat kasihan kepada orang yang dicurinya itu. Jikalau mereka kasihan tentu mereka tidak mencuri. Tidak mencuri motorsikal orang kerana mereka kasihan kepada tuannya yang nak guna motor itu untuk mencari nafkah, untuk ke masjid, untuk meneruskan hidup. Tidak mencuri kasut atau selipar orang yang datang ke masjid kerana kasihan kepada tuannya yang akan pulang berkaki ayam, terpaksa beli kasut baru, selipar baru.

Begitulah seterusnya apa sahaja post kita. Seorang ketua yang tidak ada sifat kasihan kepada orang bawahannya akan memperlakukan mereka sesuka hati. Tidak adil dalam pengagihan tugas dan memberi penilaian. Amalan fitnah memfitnah, mencela, mencaci, memaki hamun, mengampu, budaya kronisme dan pelbagai sifat buruk akan bermaharajalela dalam sesebuah organisasi. Hal ini bermula daripada sifat tidak kasihan. Tidak kasihan melakukan ketidakadilan kepada orang lain. Menyekat pangkat atau gaji seseorang pemalas adalah patut kerana kasihan apabila mereka mendapat pangkat lebih tinggi akan merosakkan nama dan maruahnya dek kerana kurang kepakaran. Kasihan kalau mendapat gaji yang tinggi dengan cara yang tidak adil akan menular budaya nafkah tidak sihat kepada sesebuah keluarga lantas melahirkan masalah sosial yang knonik. Kasihan akan hilangnya berkat dan rahmat daripada diri semua pihak.

Impak
Apabila Allah (dan ahli langit) tidak kasihan kepada seseorang, maka impaknya sudah pasti akan dirasai di dunia ini lagi. Allah akan menarik sifat kasihanNya. Allah akan menarik sifat kasihan manusia serta seluruh makhlukNya daripada mengasihani orang itu. Seorang pencuri yang dapat ditangkap oleh orang ramai sudah pasti akan dipukul tanpa sedikit rasa belas kasihan sebagaimana yang terpapar di dada akhbar pada suatu hari.

Seekor kucing jantan yang tidak diendahkan makan minumnya, tidak kisah langsung untuk membuang air kecilnya di dinding-dinding rumah, kereta atau perhiasan ruang tamu milik tuannya. Sedangkan orang lain juga ada membela kucing jantan yang tahu menggunakan tandas atau paling tidak akan qadha hajatnya di laur rumah. Kita mungkin pernah terdengar petua orang tua-tua “kalau memukul binatang berbisa biar sampai mati, jika tidak ia pasti datang kembali (untuk membalas dendam)”. Sifat kasihan kepada binatang berbisa yang mengganggu di rumah kita adalah dengan cara memukul dengan sekali mati. Dalam ilmu perubatan Islam, jika ada binatang bisa datang ke rumah, halau tiga kali dan jika degil, pukul sekali mati.

Didik
Bagaimana untuk kita mendidik diri agar sentiasa berasa belas kasihan sesama makhluk? Pertama dengan cara melihat kebesaran Allah kemudian mengabdikan diri kepadaNya secara mutlak. Iaitu ikhlas untuk tunduk dan patuh serta taat kepada Allah tanpa sebab lain, melainkan kerana Allah itu adalah Tuhan yang layak disembah dan ditaati. Dengan (amalan yang didasari ikhlas) itu, kita akan mendapat nikmat Iman yang jitu dan dapat pula memandu kita ke arah yang betul.

Kedua (ini mungkin ilmu kebanyakan orang Kelantan, dan di tempat yang lain mungkin menggunakan istilah yang berbeza iaitu) dengan menggunakan ‘Ilmu Taksir’. Orang Kelantan (terutama yang tua-tua, yang muda dah tak banyak amalkan ilmu ini, atau sudah tidak tahu kot) apabila mereka nak buat atau bincang sesuatu perkara yang ada kaitan dengan orang lain (meyakiti, menzalimi, menganiaya orang lain dsb) mereka akan kata “Kalu taksir pada diri kita, lagu mana?” maksudnya kalau perkara itu ditakdirkan orang buat pada diri kita, apa yang akan kita rasa? Contohnya membuang sampah dalam pagar rumah orang. Kalau orang buang sampah dalam pagar rumah kita, apa kita rasa?

Kalau orang curi motor kita apa kita rasa? Kalau orang tipu kita apa kita rasa? Kalau orang khianati kita apa kita rasa? dan segala macam tindak tanduk yang tidak memuaskan hati orang akan terlebih dahulu ditaksir kepada diri sendiri sebelum bertindak. Ilmu taksir ini juga sangat digalakkan sekiranya seseorang nak buat baik. Kalau tolong orang, suatu hari nanti orang tolong kita apa kita rasa? Sudah pasti kita akan merasa selesa. Oleh itu baik kita tolong orang, baik kita jaga amanah orang, baik kita buat baik kepada sekalian makhluk Tuhan. Itu ialah Ilmu Taksir.

Kesimpulan
Apa sahaja pendekatan yang digunakan, yang pentingnya sifat belas kasihan ini amat berguna dalam kehidupan seseorang manusia. Dengan memupuk sifat ini (bermula) ke dalam diri, seterusnya anak-anak dan seluruh keluarga, akan melahirkan sebuah masyarakat yang bukan sahaja prihatin terhadap orang lain, malah dapat mengelakkan mereka terjebak dengan gejala penyakit sosial yang semakin meruncing dalam negara kita hari ini. Setiap daripada kita adalah bertanggungjawab mempastikan sifat ini dimiliki oleh setiap orang di bawah pimpinan kita bermula diri kita sendiri, anak-anak, rakan sekerja, dan pemimpin serta ketua negara.

Ini adalah sifat Allah. Bagaimana kita mengharapkan Allah kasihan kepada kita lalu sentiasa memberi petunjuk dan hidayah ke jalan yang bahagia di dunia, dan memasukkan kita dalam kalangan orang-orang yang berjaya di akhirat, kalau kita tidak ingin tiru sifat Allah yang mulia ini dan kita amalkannya dalam kehidupan kita di dunia. Mudah-mudahan dengan niat dan amalan kita yang baik-baik dan dipandu pula oleh Allah, kita akan mendapat kesejahteraan di dunia dan berterusan sehingga kehidupan di akhirat. InsyaAllahu Taala.

Wallahu aklam

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: