Sifat Nabi terpuji: Ummiyy

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu ala manittaba’a al-huda

Sebagai sedikit cetusan minda, sempena Maulidur Rasul kali ini 1436H, saya hidangkan kembali tulisan yang pernah saya terbitkan pada tahun 2008 ini untuk tatapan tuan-tuan dan puan pengunjung setia blog yang tak seberapanya ini.. saya sangat mengalu-alukan sebarang padangan dan komentar yang membina daripada tuan-tuan.. saya sedang mempertimbangkan cadangan sahabat saya Ustaz Abdullah dan ustaz Abu Farhi tersebut.. cuma sudah tentu banyak editing perlu dilakukan untuk memperkemaskan lagi artikel yang seadanya ini.. mohon lagi komentar tuan puan guna memantapkan lagi buah isinya.. harap sudi-sudikan..

ini adalah artikel ana yang asal.. selamat bermuhasabah dan memberi sedikit komentar.. wassalam.

>>>>Ana agak terkejut mendengar satu sesi tazkirah Ramadhan yang diterbitkan dalam salah sebuah radio tempatan. Pentazkirah berkenaan melahirkan rasa terkilan kerana ada golongan para ahli agama (Islam) di negara ini yang menasabkan sifat ummiyy kepada Nabi Muhammad SAW dan diterjemahkan sebagai Nabi itu tidak tahu menulis dan tidak tahu membaca. Katanya tuduhan itu adalah melampau dan tidak realistik kepada seorang yang sangat sempurna kejadiaanya samentelah dia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Rasulullah!

Bagi ana, kenyataan si pentazkirah ini telah menunjukkan sifatnya yang tidak suka mengkaji, sebaliknya hanya suka membuat tafsiran perkara agama mengikut logik akal fikirannya sendiri tanpa merujuk kepada fakta-fakta atau huraian yang dilakukan oleh para ulama muktabar. Sayanglah kalau kita tidak merujuk fakta sahih kerana ia berkemungkinan menyerlahkan penguasaan ilmu agama kita yang sangat tohor.


Ana membayangkan berapa ribu pendengar yang mendengar sesi tazkirahnya itu dan sebanyak itu jugalah orang yang mungkin terpesong fahamannya dengan kenyataan tersebut, yang manis tetapi bersalut racun yang amat bisa, bahawa tidak sepatutnya Nabi Muhammad itu disifatkan dengan al-ummiyy iaitu tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis.

Sedangkan Allah sendiri menyifatkan utusanNya itu sedemikian. Nabi al-Ummiyy.

Lihatlah surah al-A’raf: 157 Allah berfirman “(aitu) orang-orang yang mengikut Rasul, nabi yang ummi yang mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma’ruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka”

Begitu juga seterusnya firman Allah surah yang sama ayat 158, bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad) Hai manusia Sesungguhnya Aku adalah utusan Allah kepadamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan, Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, nabi yang ummi yang (juga) beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimatNya (kitab-kitabNya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk”

Dalam dua ayat di atas, Jelas Allah menyifatkan Nabi Muhammad sebagai nabi yang ummi. Tidak tahu menulis dan tidak pula tahu membaca. Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini (2/241-245) menjelaskan sifat Nabi Muhammad tersebut (ummi) memang diketahui dalam kitab-kitab terdahulu pun. Yakni, Nabi Muhammad memang terpuji dengan sifatnya yang ummi tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis tetapi hanya sebagai penyampai utusan Allah SWT. Bukanlah apa-apa yang disampaikannya itu adalah hasil kehebatannya menulis dan kefasihannya membaca tulisan, tetapi semua sekali adalah bersumberkan Allah semata-mata. Bukan dirinya.

Hamka dalam tafsirnya menjelaskan “Nabi yang ummi artinya ialah yang tidak pandai menulis dan tidak pandai membaca. Kalau diartikan cara sekarang, yaitu Nabi yang tidak pernah masuk bangku Sekolah. Inipun adalah satu mukjizat. Seorang yang tidak pandai menulis dan tidak tahu membaca (tulisan) telah membuat satu perubahan dalam alam. Dan ummat yang mula didatanginyapun adalah ummat yang ummi juga (lihat surah al-jumuah:2) tetapi sepeninggal Rasulullah SAW wafat, ummat yang ummi itu telah pun mengembangkan ajarannya hingga ke Barat, hingga mendirikan kerajaan besar di Sepanyol hingga ke Timur” (Hamka, 1993, 4/2572).

Sayyed Qutb pula menghuraikan ayat ini dalam tafsirnya (3/1380) Perkara kedua yang menarik perhatian adalah sifat Nabi yang ummi SAW. Dia juga telah beriman dengan Allah dan apa-apa yang dibawa melalui syariatnya kepada nabi-nabi sebelumnya. Hakikat ini adalah penting dan sifat (ummi) ini mempunyai nilai yang tinggi menandakan bahawa setiap pendakwah perlulah mempunyai iman yang kukuh terhadap apa yang ingin didakwahkannya. Walaupun tidak tahu membaca dan menulis tetapi Nabi mempunyai iman yang kental.

Malang sekali nasib pentazkirah berkenaan yang berpendapat bahawa sifat nabi yang ummi tidak bererti ia tidak pandai menulis, tidak pandai membaca tetapi bererti ia tidak mampu untuk menulis dan tidak mampu untuk membaca berdasarkan kisah nabi menerima wahyu pertama di gua hira. Ia tidak mampu membaca al-Quran yang tidak dapat dicapainya ketika itu kerana ia belum ditulis. Ma ana biqari itu diterjemahkannya sebagai “macamana aku nak baca, apa yang aku nak baca..” subhanallah.

Maksud yang difahami oleh pentazkirah itu, kalau ada al-Quran nescaya nabi boleh membacanya. Dan inilah jarum suntikan para Orientalis. Mereka cuba mempengaruhi orang-orang agama yang tohor iman dan ilmunya agar memahami cara faham orientalis. Nabi tak boleh baca sebab tidak ada apa yang hendak dibaca. Kalau ada benda (al-Quran tertulis), nescaya nabi bolehlah membacanya. Kerana maksud ummi itu pada mereka adalah tidak mampu menulis dan tidak mampu membaca apa-apa yang tidak ada. Kalau ada maka mampulah.

Subhanallah.

Dengan kenyataan berbisa dan anti Islam ini, maka rosak habis kefahaman ulama-ulama Islam dahulu, kini dan selamanya. Apalah dangkal sangat ilmu mereka. Apakah pentazkirah ini tidak faham bahawa bukannya sesuatu yang tertulis sahaja orang dapat membacanya. Apakah dia tidak faham bahawa orang buta juga membaca. Ramai dalam kalangan orang hafiz al-Quran itu orangnya buta. Mereka senang sahaja membaca al-Quran walaupun buta.

Pentazkirah itu juga menambah “Kalaulah anak-anak kita di sekolah-sekolah memahami bahawa Nabi mereka juga tidak tahu membaca tidak tahu menulis, apalah gunanya mereka ke sekolah. Kerana buta huruf itu satu sifat nabi, Sunnah nabi. Tidakkah fahaman seperti ini melemahkan semangat orang-orang Islam untuk mencintaim ilmu?

La haula wala quwwata illa billah

Apalah cetek sangat fahaman mereka. Apakah pentazkirah ini tidak faham bahawa nenek moyangnya dulu juga tidak bersekolah. Tetapi laras bahasa mereka terlalu fasih. Puisi-puisi, pantun dan syair mereka dipelajari hingga kini. Bahkan canggih-canggih persekolahan zaman ini pun tidak mampu lagi melahirkan manusia berjati diri melayu sehingga pengajaran dan pembelajaran pun hendak diajar dalam bahasa asing?

Apakah pentazkirah ini sudah lupa apa itu maksud sekolah dan apa itu nilai kefahaman? Nabi Muhammad SAW memang seorang yang ummi. Seorang yang tidak tahu membaca dan memang dia tidak tahu menulis. Baginda adalah terpuji dengan sifat ini. Ummi itu adalah sifat kenabiannya yang tertulis dalam kitab-kitab terdahulu. Yang telah difahami oleh kaum yahudi dan nasrani. Kemudian diwarisi pula perkhabarannya oleh al-Quran. Kalau kita tidak sempat melihat nabi, al-Quran ada untuk membuat penegasan tersebut.

Tetapi sifat ummi nabi tidak menghalang baginda untuk memahami al-Quran. Bahkan Nabilah makhluk Allah yang terlebih faham al-Quran. Kerana laras bahasa yang dimiliki oleh Nabi itu adalah yang terbaik. Nabi dibersarkan dalam suasana kampung, tidak bercampur dengan penduduk kota yang ternyata mudah rosak dan telah rosak laras bahasanya. Nabi membesar dalam kalangan keluarga Sa’diah yang terkenal dengan mutu bahasa yang tinggi. Nabi hanya lahir dalam kalangan bangsa Quraisy yang telah sedikit sebanyak penguasaan bahasanya telah pudar dek pergaulannya dengan bangsa-bangsa yang datang menziarahi kaabah. Pun begitu, bahasa Quraisy itu sendiri dikatakan adalah bahasa terbaik kerana mereka memilih bahasa-bahasa yang baik daripada semua bahasa pertuturan mereka yang berada di mekah ketika itu.

Ditambah pula dengan suasana kampung, yang bahasanya tidak bercampur, maka nabi muhammad adalah makhluk Allah yang mempunyai penguasaan bahasa Arab yang terbaik pada masa itu, dan yang tidak pernah dapat ditandingi kehebatan bahasa pada masa ini dan masa akan datang pun. Fakta.

Penguasaan bahasa sebagai alat untuk memahami adalah tinggi pada diri nabi muhammad SAW. Sifatnya yang ummi tidak menghalang baginda daripada memikul amanah Allah (memahami al-Quran dengan cara terbaik dan menyampiakannya pula dengan cara yang terbaik). Bahkan, sifatnya yang ummi telah menafikan tohmahan bahawa nabi sendiri merekacipta al-Quran (menulis, mengarang al-Quran kemudian membacakannya kepada orang ramai).

Nabi muhammad mendengar patah-patah al-Quran yang disampaikan Jibrail AS, memahaminya dengan cara terbaik. Nabi menghadamkan al-Quran di dalam hatinya Kemudian beliau menyampaikannya pula dengan cara dan kaedah metodolgi penyampaian yang terbaik kepada manusia. Sifatnya yang ummi tidak pernah menghalang. Apakah orang buta tidak boleh mendengar al-Quran? Apakah mereka kemudian tidak boleh membaca al-Quran kepada orang lain hasil pendengarannya itu? Dan Nabi Muhammad terlebih mulia daripada orang-orang buta itu.

Anak-anak kita tidak akan patah semangat dengan hanya mereka faham bahawa nabi muhammad itu bersifat ummi, tidak tahu membaca dan tidak pula tahu menulis. Bahkan mereka lebih respek kepada nabi mereka walaupun tidak tahu menulis, tidak boleh membaca tulisan tetapi memiliki tahap kefahaman Islam yang tinggi. Orang sekarang ini ramai yang tahu membaca, ramai pakar menulis tetapi berapa kerat yang amal Islam dengan sebaiknya? Ada orang itu baca al-Quran macam tikus tengok besi. Apakah orang itu terlebih mulia daripada nabi Muhammad yang ummi tetapi faham, beramal dan memperjuangkan al-Quran?

Al-Quran itu perlu dibaca tulisannya sahaja kah? atau perlu diamalkan ajarannya secara keseluruhannya kah? Ataupun perlu ditulis cantik-cantik kemudian digantung di dinding-dinding masjid yang dibina dengan wang berjuta-juta? Itukan maksud ajaran Islam? Sangat tidak retikah ustaz-ustaz di sekolah kita untuk menerangkan kepada pelajar-pelajarnya sifat ummi nabi yang terpuji ini? Sifatnya yang ummmi tetapi boleh menegakkan negara Islam, menegakkan hukum Tuhan di dunia. Apakah pula sumbangan kamu yang tidak ummi terhadap Islam?

Ummi atau tidak ummi bukanlah ukurannya, tetapi kefahaman Islam dan tuntutannya itulah yang utama. Nabi Muhammad itu ummi, tetapi sedarkan anda siapa gurunya? Yang setiap Ramadhan turun ke bumi mentasmik bacaan al-Quran Rasulullah. Jibrail AS yang terlalu suci sifatnya berbanding sekalian guru di dunia ini. Keikhlasan Jibrail AS menyampaikan wahyu adakah orang yang ingin mempertikaikannya? Tidakah anda pun ketahui, ilmu yang disampaikan dengan ikhlas itu memberi lebih faham kepada murid-murid?

Faham itulah yang utamanya. Bukannya kemampuan menulis baca.

Nabi Muhammad itu ummi, tetapi sedarkan anda persediaanya menerima wahyu? Berapa kali baginda dibedah dadanya semasa kecil oleh para malaikat untuk dibuang sifat payah faham dalam diri? Anak-anak disekolah kini berapa ramai yang dibedah pula oleh makanan-makanan syubhah? Makanan haram pun ada. Tidakkah itu memekatkan kehitaman hati yang menyusahkan mereka faham? Dicampur lagi dengan aneka maksiat yang dihidangkan oleh dunia media. Sama ada ditelan atau tidak impaknya tetap sama. Menghitamkan hati-hati manusia. Kata guru imam Syafie “Ilmu Allah itu adalah cahaya yang tidak mampu masuk ke dada pelaku maksiat”.

Sebab itulah tahu membaca tulisan dan pandai menulis tulisan itu bukannya ukuran. Kemampuan memahami itulah yang sebenarnya.

Adakah patut anda tohmahkan Rasulullah tidak tahu nak baca mana satu bahan bacaan kerana tidak ada bahan tersebut dalam peristiwa di gua hira? Bukan begitu. Ulama tafsir dulu dan kini sependapat bahawa ayat pertama surah al-alaq itu memang menggesa nabi dan umat nabi muhammad agar mencari ilmu. Sama ada dengan membaca tulisan (ayat kitabiyah) atau membaca alam (ayat kauniyyah). Tambahan pula, ada ulama tafsir yang mentafsirkan ayat satu itu sebagai gesaan untuk mengingati Allah dalam semua tingkah laku umat manusia. Yakni berpandukan ajaran Allah. Imam al-Qurtubi mentafsirkan di antara maksud ayat 1 surah al-Alaq itu sebagai “Sebutlah (sentiasa ingat) nama tuhanMu yang Maha menciptakan”.

Ilmu Allah itu sangat luas. Dan ia mampu dicapai oleh orang yang ummi, tidak tahu menulis dan membaca tulisan sepertimana ia juga boleh dicapai oleh orang yang tidak ummi. Bahkan sesekali orang yang buta mata itu terlebih penguasaan ilmunya daripada orang yang celik dan dapat membaca tulisan.

Akhirnya, janganlah kita mengeluarkan kenyataan, dan melakukan syarahan kepada kenyataan yang kita tidak maklumi dan fahami ia dengan tepat. Ana juga tidak mendakwa bahawa ana telah faham semua. Cuma berdasarkan pengajiaan ana, rujukan yang dibuat, berdasarkan ilmu Allah juga, maka ana yakin, sifat ummi yang ada pada nabi Muhammad itu adalah satu sifat yang terpuji yang turut sama menjadi bukti kenabiannya Rasulullah SAW.

Janganlah kita menjadi ajen kepada orientalis yang sangat licik dalam kenyataannya. Guru ana pernah memberitahu peristiwa pelajar di negara-negara orientalis menerima ijazah mereka. Katanya “Sebelum upacara memberi dan menerima ijazah, para graduan akan disalib (isyarat) terlebih dahulu dan ada yang diwasiatkan agar berjanji setia untuk menjadi ajen penyebar agama tuhan tiga, barulah layak mereka menerima ijazah. Sebab itu, guru ana tersebut memilih untuk tidak hadir majlis konvokesyennya. Katanya lagi, ada juga yang disuruh menulis dalam tesis mereka perkara-perkara yang bersalahan dengan akidah Islam.

Akhirnya guru ana berpesan “Kalau nak mendalami ilmu agama, tak payahlah ambil di negara-negara orientalis”

Wallahu aklam.

Rujukan: al-Quran al-Karim. Tafsir Ibn Kathir jilid 2. Tafsir Sayyed Qutb jilid 3. Tafsir al-Qurtubi jilid 10 dan Tafsir HAMKA jilid 4.

Advertisements

5 Komen (+add yours?)

  1. khairi online
    Sep 09, 2009 @ 21:17:20

    Assalamualaikum dan salam Ramadhan. wah panjang betul huraianya. respon ana tentang nabi bersifat ummi yang telah di salah tafsir oleh pentazkirah yang maha tohor ilmunya itu. sebagai ummat manusia (umat) Nabi Muhammad s.a.w. perkara utama yang kita patut ketahui ialah martabat kita dengan nabi laksana langit dengan bumi jurangnya apatah lagi kalau kita mahu satu level dengan Allah Rabbul jalil. standart kita manusia akhir zaman sudah tidak sama standart nabi disisi Allah. gelaran ummi itu jika di gelar pada Nabi dan manusia biasa, maknanya tidak akan sama walaupun perkataannya sama bunyinya (Ummi).sama juga dengan perkataan Allah samseng, makna samseng di sisi Allah adalah mulia, tetapi tidak pula pada manusia, perkataan samseng itu jika di sifatkan kepada manusia ia memberi makna yang buruk. begitu juga perkataan ummi. sandaran ummi jika kepada Nabi ia adalah mulia dan kurang baik kepada manusia biasa. jika ada penceramah yang sengaja samakan Nabi dengan manusia pada hari ini level kecerdikannya perlu diperbetulkan. dan bolehlah merujuk kepada artikal diatas sebagai ingatan.

    IR: w’salam. syukran atas komentar..

    Balas

  2. abamuaz
    Sep 12, 2009 @ 16:34:56

    Salam Akhi Zamri..

    INilahyang menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan Aqidah dan pemikiran Umat Islam.. Ana cadangkan anta cuba utarakanisu ini dalam akhbar.. atau sekurang2nya surat pembaca tentang bahaya isu ini dipermainkan.. Ini adalah salah satu cara kita memperbetulkan keaadaan agar ia tidak merebak dengan lebih parah lagi..
    Guna pendekatan dan laras bahasa yang amat lunak dan boleh mengetuk hati2 manusia.. Allah telah memberi tanggungjawab kepada kita semua untuk mempertahankan agamanya..

    IR: w’salam akhi.. terima kasih atas cadangan enta.. insyaAllah semoga Allah permudahkan usaha dakwa kita semua.. in uridu illa al-islah mastata’tu..

    Balas

  3. Abu Farhi
    Sep 14, 2009 @ 09:10:36

    Alhamdulillah…. Pentazkirah tu telah mengambil sumber dari orientalis atau anak-anak murid mereka. Harap ada cara untuk menyedarkannya atau berdialog dengannya. Ana rasa anta tentu ingat siapa dan kenal siapa dia. Bimbang jika dia seorang yang aktif bertazkirah perkara ini akan dia teruskan… Mudah-mudahan dia tersedar.

    Ana ada salin dan post artikel tentang polimek ummi ini. Sapa2 nak tambah info sila ke blog Abufarhi. Syukran.

    IR: syukran atas info yg diberikan.. man, bila nak mai rmh ana lagi?

    Balas

  4. ummu Azzam
    Sep 18, 2009 @ 00:37:20

    salamullahi’alaikum…. saya stuju dgn komen sdr khiari. susah bila msia meletakkan level Rasulullah SAW dgn msia biasa. Macam saya pernah dengar komen seorang pemimpin dahulu tentang ketidaklogikan beliau berkenaan nabi boleh berhutang dgn seorang yahudi sdgkan dia ketua negara n ramai pengikut. Kalu dah miskin sgt takkan sampai berhutang dengan yahudi. Sebab dia meletakkan nabi sebagai pemimpin dengan diri dia sebagai pemimpin yg hidup penuh kemewahan. Satu lagi dunia skrg manusia suka menilai agama dan menyampaikan agama berteraskan logik akal agar mudah diterima oleh masyarakat yang semakin jauh dgn konsep iman. Jadi mungkin tujuan yg baik telah diselewengkan ekoran terlalu nak mempermudahkan pemahaman dan penerimaan. Jarang kaedah PnP yang dilakasanakan disekolah dikaitkn dgn adab, barakah dan nilai ilmu sbg nur. Byknya guru@daie mementingkan kaedah material dan kecanggihan alat bantu mengajar@dakwah, yang akhirnya pelajar@mad’u kita berjaya secara luaran sahaja ttp semakin jauh dari rahmat Allah, Na’uzubillah. Jd sebagai daie@murabbi@ulama kenalah sentiasa ingat diatas kita ada lagi ulama. Sentiasalah merujuk walau kita rasa kita alim dlm sstu hal. Semoga Allah jauhkan kita dari menyampaikan ilmu sesat yang tersirat kepada masyarakat. Wallahu a’lam….

    IR: syukran atas tambhan dan doa

    Balas

  5. Trackback: Iqra dalam al-Quran « IbnRajab Online

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: